Datuk Ngeh Koo Ham IPOH – "Saya tidak takut. Segerakan siasatan jika benar kami terlibat rasuah," tegas Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang menyatakan kesediaan untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kontroversi tanah di Kelantan.

Beliau berkata, sekiranya benar dakwaan berlakunya penyelewengan dalam urusan melibatkan pajakan tanah berkenaan, pihak yang bertanggung jawab harus menyegerakan siasatan.

Menurutnya, selagi isu berkenaan ditimbulkan, Umno dan Barisan Nasional (BN) akan terus menjadikannya sebagai modal untuk menutup isu-isu penyelewengan yang dilakukan mereka.

"Dakwaan yang ditimbulkan memang tidak benar kerana sehingga kini, saya belum menerima sebarang panggilan yang meminta saya memberikan keterangan.

"Saya dan beberapa pelabur sedia berikan kerjasama pada bila-bila masa kerana terbukti isu ini tiada asas dan hanya ditimbulkan untuk mengalih isu penyelewengan mereka (BN)," jelasnya kepada Sinar Harian, semalam.