WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI |
- IKUTI DRAMA INI.
- VIDEO: Wartawan TV3 tersilap..kata "BN cuba untuk menipu..."
- Pendidikan masa hadapan demi Malaysia lebih baik - Nurul Izzah Anwar
Posted: 21 Dec 2013 03:05 PM PST |
VIDEO: Wartawan TV3 tersilap..kata "BN cuba untuk menipu..." Posted: 21 Dec 2013 08:03 AM PST |
Pendidikan masa hadapan demi Malaysia lebih baik - Nurul Izzah Anwar Posted: 21 Dec 2013 07:56 AM PST Ditakdir sudah bila Safiyah berumur sekitar lima tahun soalan yang ditanyakan kepada mamanya; selain soalan lazim seperti "mama buat apa di Parlimen; atau kenapa ceramah selalu kena malam-malam?;" adalah soalan: "Siapa yang cipta telefon? Atau piano? Atau televisyen? Takde ke orang Malaysia?," yang mengingatkan saya kepada kata-kata John Adams, Presiden Amerika Syarikat kedua [1735-1826]; I must study politics and war that my sons may have liberty to study mathematics and philosophy. My sons ought to study mathematics and philosophy, geography, natural history, naval architecture, navigation, commerce, and agriculture, in order to give their children a right to study painting, poetry, music, architecture, statuary, tapestry, and porcelain. Begitulah persoalan yang dianjurkan oleh Safiyah; yang seharusnya ditanyakan oleh kita semua. Begitulah kita - yang bernaung di tempat lahirnya Kesultanan Melaka; pelabuhan yang menemukan seantero dunia; namun terhad buah fikirannya hinggakan hadiah Nobel yang sudah dimenangi negara seperti Bangladesh, bukan sahaja tidak mampu disebut oleh bibir, jauh pula terlintas di benak fikiran. Realiti sebegini yang memaknakan kerelevan tenaga dan buah fikir Teach For The Need (TFTN); yang berhasil dalam: melaksana konvensyen pendidikan yang begitu gilang-gemilang tanpa sesen pun dana kerajaan dan lebih penting lagi melontar cabaran baru di tengah belantara pendidikan Malaysia yang terkedu berterusan dengan pengumuman seperti: Tiba saja TFTN di persada pendidikan negara, maka bermula era politik pendidikan jujur dan berani; jujur mengkritik kelemahan sedia ada, dan berani menongkah arus dalam cubaan menyelesaikan masalah struktur pendidikan tanah air. Kata TFTN, bagi setiap sekolah, atau kelas, sekurang-kurangnya 10 peratus daripada anak-anaknya sudah tentu terjerumus dalam perangkap buta huruf - tidak boleh membaca dan menulis. Walau saya mulanya sinis, terkedu juga saya apabila ditemukan dengan 40 pelajar darjah 6 yang buta huruf sedang saya menghantar jambangan bunga sempena Hari Guru di sebuah sekolah rendah di Lembah Pantai. Saya hanya boleh memasuki premis sekolah kebangsaan secara spontan membawakan sejambang bunga ros - kerana dihalang secara rasmi gara-gara Pekeliling keluaran Menteri Pendidikan. Setelah dipertemukan sendiri dengan anak-anak bijak namun buta huruf ini, jalan penyelesaian terbaik adalah dengan membawa sukarelawan TFTN masuk; Mereka yang apolitikal, tidak partisan, dan bersedia menabur bakti untuk memperbaiki lompang buta huruf sedemikian - supaya semua anak di Malaysia diselamatkan dengan keupayaan asas untuk maju ke depan. Menongkah arus jangan tanpa Pendayungnya! Berbilion ringgit buat PPSMI; segenerasi tikus makmal terkorban Negara kita kaya dengan hasil mahsul bumi yang tidak pernah putus bermulanya daripada bijih timah, kelapa sawit, getah, kayu balak dan terkini minyak dan gas. Daripada Petronas sahaja sejak 1974 sehingga kini menyumbangkan RM732 bilion kepada negara. Berapakah yang disalurkan kepada dana pendidikan negara? Dan daripada jumlah besar itu, berapa pula disalurkan kepada pembangunan guru dan anak murid selain daripada bilion wang untuk infrastruktur dan projek yang penuh ketirisian? Dalam mengambil mana-mana pendekatan drastik, kerajaan memerlukan perancangan serta kajian yang rapi sebelum ianya dilaksanakan di semua sekolah di Malaysia. Saya merujuk penulisan Majalah Saintifik Malaysia yang menyimpulkan: Harus adanya lebih banyak keterbukaan daripada segi perkembangan inisiatif dasar; termasuklah dalam mewujudkan kumpulan inkuiri yang independen dengan kaji selidik yang berkala. Bluprin yang disedia kerajaan harus diganding dengan sasaran masa pelaksanaan yang jelas untuk memantau keberkesanan pelaksanaan dasar tersebut. Ingatlah; Malaysia masih terkebelakang dalam memenuhi standard negara-negara OECD - yang punyai profil kukuh dalam pencapaian sains dan teknologi, serta keluaran ekonomi - dan negara tersebut bukanlah negara di mana bahasa pengantarnya Bahasa Inggeris. Malangnya, PPSMI dilaksanakan sebelum kita sempat melatih serta meningkatkan keupayaan bahasa Inggeris di kalangan guru. Ceritera bermula dengan kisah seorang perdana menteri yang mendapat ilham untuk memperbaiki mutu penggunaan Bahasa Inggeris dengan menggunapakai bahasa tersebut sebagai bahasa pengantar dalam matapelajaran Matematik dan Sains. Pedulikan kaji selidik; pedulikan persediaan mengajar guru; pedulikan pendapat pakar - all one needed at the time was to be in power. Being futurustic without sound knowledge is akin to digging a sand hole. Malangnya jua, yang tenggelam di dalam pasir jerlus ini merupakan segenerasi anak kita yang kini terbelakang berbanding Vietnam. Sistem pendidikan adalah sesuatu yang serius yang akan memberi kesan langsung kepada masa depan negara dan bukan dilakukan sewenang-wenangnya seperti menukar pakaian ataupun pelaksanaan satu idea yang muncul di benak pemikiran pemimpin di waktu minum petang. Masalah sebegini yang amat membimbangkan, dan saya yakin pada ketika itu yang ini akan memberi kesan kepada kualiti pendidikan yang diterima anak kita. Unesco melaporkan bahawa "Forcing children, or adults, to attend schools that use a language they neither speak nor understand hinders rather than helps them to develop their potential as productive members of society." Selain itu, dalam sebuah laporan yang lain, UNESCO telah berkata bahawa: "UNESCO and other international agencies concerned with early education, children's rights, and linguistic diversity argue strongly for the pedagogical imperative of using a child's own language as the medium of instruction, at least in the early years of formal schooling." Pada 2011, Laporan TIMMS melaporkan kejatuhan kedudukan Malaysia untuk subjek Matematik iaitu dari 16 (1999), 10 (2003), 20 (2007), dan 26 (2011) sementara subjek Sains pula ialah 22 (1999), 20 (2003), 21 (2007), dan 32 (2011). Kejatuhan markah purata bagi subjek Matematik iaitu 519 (1999), 508 (2003), 474(2007) ke 440 (2011); jatuh 79 mata sementara subjek Sains iaitu 492 (1999), 501 (2003), 471 (2007) ke 426 (2011). Yang menghairankan adalah kontradiksi yang diperlihatkan menerusi Laporan Lembaga Peperiksaan - rekod pelajar yang mendapat A dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut semakin meningkat dari tahun ke tahun di dalam peperiksaan PMR. Apakah yang sebenarnya berlaku? Menjelang 2013, sebuah lagi laporan pendidikan diterbitkan. Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) telah mengeluarkan laporan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (Pisa) 2012. Sekali lagi rakyat Malaysia dikejutkan dengan prestasi pelajar Malaysia yang semakin merudum. Terkini, Pelajar Tingkatan 3 Malaysia setaraf dengan pelajar Darjah 5 dari Singapura dan Korea Selatan! Laporan Bank Dunia mengenai Kualiti Pendidikan Malaysia mendedahkan beberapa perkara. Salah satu perkara yang positif yang dilaporkan ialah, akses kepada pendidikan di Malaysia secara puratanya amat tinggi, dengan lebih 95% daripada pelajar menerima pendidikan menengah rendah. Malaysia juga memberikan peruntukan yang tinggi dalam nisbah KDNK berbanding negara lain. Tetapi laporan itu mengesahkan apa yang kita bimbangkan selama ini. PPSMI menyebabkan pencapaian pelajar Malaysia semakin merudum Tahun 1970, penukaran bahasa pengantar dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu meningkatkan daya saing pelajar Melayu, dan mempunyai tidak mempunyai apa-apa impak yang jelas kepada pelajar etnik lain. Penukaran ini membuatkan pelajar Melayu mendapat peningkatan 0.3 tahun pembelajaran. Ini mungkin disebabkan penerimaan ilmu itu lebih mudah sekiranya aktiviti pengajaran dan pembelajaran itu dibuat dalam bahasa lebih difahami. Penukaran itu juga meningkatkan pendapatan warga Malaysia sebanyak 4.6%, dan pekerja Melayu secara khususnya sebanyak 5.7%. Pun begitu, saya tidak menidakkan peri pentingnya penguasaan Bahasa Inggeris. Dan kerana itulah, kita berhak merungkai mengapa kita mampu menghantar guru-guru kita ke Maktab Perguruan di Kirkby, Liverpool untuk melahirkan kumpulan pendidik terbaik dengan pantas bagi mengasuh anak-anak kita di tanah air pada 1950 an - bagaimana pula sekarang? PPSMI hanyalah simptom kepada masalah yang lebih serius – pelaksanaan berpandukan fakta, kaji selidik, persediaan konkrit, dan kebenaran. Saya membawa isu pelaksanaan program terbaru yang diwujud Kementerian Pendidikan yang menamatkan peperiksaan PMR tahun ini - sistem Pentaksiran Berdasarkan Sekolah - kepada perhatian pembentang Laporan Pendidikan World Bank ke atas Malaysia - Frederico Gil Sanders. Jawab Frederico mudah; seperti juga kesimpulan Majalah Saintifik Malaysia terdahulu: Laksana saja inkuiri yang independen beserta kaji selidik untuk meneliti keberkesanan perlaksaan PBS. Kemudian, dipersembah untuk tatapan umum." Malangnya, bila dibawa ke perhatian Menteri di Parlimen, sikap defensif yang menjelma. Adakah menjadi tanggungjawab pelaksana, iaitu guru yang sekarang jua terpaksa menjadi hakim dan penimbang tara menerusi laman Facebook yang berjudul Kami Mahu SPPBS Dimansuhkan dengan 58,000 Likes? Kalau begini, siapa mahu menjadi cikgu? Inilah jawapannya buat puteri saya Safiyah. Selagi mana pendidikan kita dipenuhi politisasi dan komersialisasi yang melampau, pendidikan hilang rohnya sebagai proses pengutuhan dan penyempurnaan insan. Selagi pendidikan kita terus menjadi proses dehumanisasi oleh sang penguasa seperti kupasan Paulo Freire, selagi itulah pendidikan kita tidak akan bakal melahirkan idea ataupun menuju peradaban yang agung. Maqasid atau objektif pendidikan pada akhirnya adalah untuk merungkai potensi maksima dalam manusia. Percaya atau tidak, saya merupakan produk sekolah kerajaan. Saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara dan kemudiannya Sekolah Menengah Perempuan Assunta. Jangan disalah sangka; saya amat berterima kasih kepada guru yang memberikan saya ilmu di dada; pun begitu, berbekalkan latar pendidikan ini memaksa saya bekerja dua kali ganda lebih berbanding dengan pelajar lain sewaktu saya menjalani pembelajaran peringkat sarjana di Johns Hopkins. Alhamdulillah, berkat doa daripada ibu bapa, rezeki yang diberikan oleh Allah, serta dokongan teman dan tenaga pengajar, saya mampu berjaya. Pengalaman ini membawa saya kepada sebuah persoalan yang penting. Apakah sebenarnya tujuan sekolah? Adakah ia sebuah institusi untuk membangunkan sumber manusia, atau ia kilang robot? Apakah kita mahukan anak kita cuma menjadi burung kakak tua, yang cuma tahu mengulang sahaja apa yang diajar? Lanskap pendidikan negara pada hari ini tidak menjuruskan pelajar kepada penjanaan idea dan pemikiran kritis. Individualisme dan perbezaan setiap kanak-kanak tidak diraikan oleh sekolah, malah ditekan sehingga pelajar kehilangan identiti. Kita terlalu takut untuk membenarkan anak kita berfikir melangkaui sempadan akademik. Dahulu sebelum merdeka kita mendidik dengan sistem berasingan daripada sekolah pondok, sekolah Inggeris, sekolah kebangsaan dan vernakular mengikut bangsa. Pasca merdeka memperlihatkan beberapa rangkaian penyelesaian seperti Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib demi penambahbaikan pendidikan. Terkini, sebuah Blueprint yang bernilai hampir RM20 juta dikeluarkan. Soalnya, setiap kali sistem pendidikan dirubah, satu generasi akan terkesan dan apakah sistem pendidikan yang kita mahukan untuk anak kita? Dahulu selepas merdeka, anak muda berebut untuk menjadi askar, polis ataupun cikgu. Ini merupakan pekerjaan tersohor di waktu itu. Tidak lama selepas itu, apabila negara menyambut arus pembangunan, anak pula digalakkan untuk mengambil bidang kejuruteraan atau perubatan. Sama ada anak itu mampu atau tidak itu soal kedua. Melihat masa hadapan, satu pembangunan holistik adalah dituntut. Pendidikan perlu di terbalikkan. Pendidikan dahulu menetapkan penghujung jalannya. Anak ditetapkan untuk menjadi jurutera atau doktor dari kecil. Pendidikan sepatutnya merungkai potensi anak semaksima mungkin. Pendidikan sewajarnya meraikan pilihan setiap individu anak itu sendiri. Pendidikan masa hadapan harus meraikan potensi anak yang tiada batasannya. Pendidikan yang mampu mencipta bidang baru, mencipta pekerjaan baru yang tidak terbatas sama ada daripada bidang matematik, falsafah, geografi, sejarah, pelayaran, musik, syair, lukisan, atau apa-apa pun. Ibnu Khaldun di dalam Muqadimah menjelaskan dengan terperinci bagaimana sistem pendidikan yang kukuh diperlukan untuk memastikan pemerkasaan sistem ekonomi yang seterusnya menjana kekuatan dan kedaulatan sesebuah negara. Adalah satu kegagalan apabila sistem pendidikan dilepaskan kepada institusi swasta. Menurut Dato Dr Siddiq Fadzil, konteks pendidikan harus dilihat daripada lensa tahririy-tanwiriy (pembebasan-pencerahan). Keberanian dituntut untuk membangunkan satu sistem pendidikan alternatif yang bersemangat memperkasa, membebas dan mencerahkan. Selama ini yang terhasil daripada sistem pendidikan sekarang hanya melahirkan generasi yang lemah, meminta-minta, tidak mampu mencipta, dan tidak mandiri. Anak diasuh menjadi generasi penakut, mementingkan diri sendiri, hipokrit dan berpandangan sempit. Ramai juga yang mengalami pemandulan daya kreatif, penumpulan sikap kritis dan tidak lagi memiliki idealisme. Malah ramai yang bangga menjadi budak suruhan sang penguasa. Inilah hasilnya dari satu sistem pendidikan yang gagal. Jadi ke arah mana Malaysia? Kaedah pemikiran yang kehadapan (forward thinking) dengan memikirkan implikasi sesuatu tindakan di dalam sesuatu situasi atau 'Maalatul-Af'al' menjadi asas kepada pendekatan 'Fiqh Tawaqqu' dalam penulisan Sheikh Abdullah Ben Bayyah yang bermata airkan perbahasan al-Imam al-Syatibi dalam kitab beliau yang popular, iaitu al-Muawafaqat. Fiqh itu sains - sains mengenai sesuatu - dan tawaqqu itu bermaksud meramalkan sesuatu yang bakal berlaku berdasarkan sama ada bukti empirikal, anekdoktal, atau berdasarkan pengalaman. Apakah tawaqqu' kita? Apakah masa depan kita? Jika tiada perubahan yang dilakukan - kita boleh bayangkan keputusan TIMSS, Pisa yang akan terus merudum, kualiti mahasiswa yang terus merudum dan pembangunan ekonomi merudum yang hanya bersikap sweat shops tanpa inovasi dan kreativiti. Makanya, kita wajar bersikap berani untuk melakukan perubahan drastik yang mengambil kira aspirasi semua lapisan masyarakat. Tidak cukup dengan melakukan blueprint bernilai RM20 bilion. Pengalaman kita cukup, kajian empirikal pendidikan dari seluruh dunia memadai untuk kita melaksanakan sampel kajian yang lengkap dan dengan niat jujur melaksanakan perubahan. Pengkaji pendidikan, nazir sekolah wajib turun padang untuk mendapatkan dapatan yang tepat dan melahirkan sistem pendidikan untuk masa hadapan. Malik Bennabi memperjelas bahawa tidak ada salahnya pun untuk mengambil sistem negara luar tidak kira sama ada negara Islam ataupun tidak, yang pentingnya kita mengambil sistem terbaik dan mengadaptasikannya untuk memenuhi keperluan tempatan. Perubahan itu mungkin - Jepun ketika melalui Meiji Restoration (1868) menghantar ribuan kakitangan kerajaan dan guru ke Barat untuk mengkaji cara pemerintahan dan pendidikan selama bertahun-tahun. Para pendidik dan pembuat polisi wajar mengubah fokus sistem sekolah. Sewajarnya untuk masa hadapan yang lebih baik kanak-kanak dibekalkan dengan alat untuk mereka berfikiran kritis dan mampu menjana sendiri kebolehan intelek. Kanak-kanak perlu digalakkan untuk meneroka dan mencari jawapan-jawapan mereka sendiri, berbanding disuapkan jawapan oleh guru. Pendidikan masa hadapan wajib bersifat menyeronokkan. Bayangkan sekolah yang menarik anak. Anak teruja, tidak mahu ponteng malah menangis jika tidak dapat hadir ke sekolah. Mereka ke sekolah untuk bertanya, belajar, dan mencabar semua ilmu pengetahuan. Sejarah tamadun membuktikan bagaimana membaca memberi sumbangan yang kukuh dalam pembentukan tamadun manusia dan meningkatkan kualiti hidup manusia. Untuk masa hadapan, Malaysia wajib menuju ke arah pembentukan sebuah masyarakat berasaskan pengetahuan. Sebuah masyarakat yang dipenuhi oleh para ilmuwan, cendekiawan dan rausyanfikir. Pendidikan masa hadapan perlu menerap dan menggalakkan pemikiran kritis. Jika kita terus menyekat pemikiran, negara akan terus mundur. "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (13:11). Surah Ar-Raad ayat 11. Bagi saya, pendidikan adalah penyelesaian bagi semua masalah dunia dan boleh merubah perjalanan dan nasib sesuatu negara. Zaman berzaman, generasi berganti generasi membuktikan bahawa pendidikan adalah agen perubahan yang paling berkesan. Impian tidak akan dicapai dengan minda terhalang; yang terpasung. Impian tidak akan dapat direaliasikan dengan hanya sekadar minda analitik untuk mengira dan menganalisis semua maklumat yang ada. Minda kita sering diisi dengan halangan semula jadi apabila kita ingin melakukan sesuatu yang baru. Minda kita harus diubah untuk mencapai masa depan lebih baik. Revolusi Meiji merubah rakyat Jepun daripada petani yang malas dan sambil lewa kepada sebuah negara ekonomi kedua terbesar dan maju dengan teknologi robotik mereka melalui pendidikan. Sejarah juga menyaksikan bagaimana orang arab Badwi yang dahulunya buta huruf menguasai dunia dengan pendidikan. Sejarah juga memberi pengajaran kepada kekuasaan Mongol yang tidak mementingkan pendidikan ketika meluaskan empayar mereka sehinggakan mereka langsung tiada sumbangan yang boleh dibanggakan kepada dunia sehingga hari ini. Tinggal kira-kira 6 tahun sebelum 2020 menjelma. Apakah impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju akan tercapai? Adakah kita sudah terlambat untuk mencapai wawasan yang dicanangkan selama ini? Bank of America Merril Lynch sudah pun meramalkan Malaysia menjadi negara yang muda dan miskin menjelang 2030. Apakah tindakan yang akan diambil untuk membetulkan serta menidakkan ramalan ini? – 21 Disember, 2013. * Nurul Izzah Anwar ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai dan beliau menyampaikan ucaptama ini di Konvensyen Pendidikan TFTN2013. |
You are subscribed to email updates from WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
2 ulasan:
PBS yang dilaksanakan kini adalah sistem lemah yang bakal menghancurkan negara.
PBS perlu dibaiki sistemnya kerana:
1. Sistem PBS sedang menghancurkan semua bangsa di Malaysia.
PBS bukan sahaja membebankan guru malah juga membebankan murid. Perlu diingat alam persekolahan
adalah alam dimana murid/pelajar majoritinya "perlu disuap" atau ditunjuk ajar setiap masa tidak
seperti mahasiswa yang perlu membuat kajian ilmu sendiri. Murid mengambil masa untuk memahami
suatu perkara tetapi dalam sistem PBS, pentaksiran perlu dilaksanakan selepas PnP atau sekerap mungkin
menyebabkan murid tertekan. Hal ini menyebabkan (1.) murid yang sepatutnya faham suatu topik akhirnya
gemuruh hingga tak faham. (2.) murid hanya dapat menjawab pada waktu pentaksiran tetapi kemudian
melupakannya sebab sudah dianggap tiada keperluan untuk mengingati kerana markah sudah diberi.
2. Sebaik-baik pengajaran adalah yang mempunyai musim peperiksaan. Dengan adanya peperiksaan, murid akan
sentiasa mengingati apa yang diajarkan sepanjang masa sehginggalah hari peperiksaan. Dengan sistem PBS
yang ada kini, murid tiada semangat langsung untuk mengingati apa-apa kerana mereka tiada target musim peperiksaan.
Suasana PBS adalah suasana jemu bagi mereka malah mereka menganggap PBS itu tiada apa-apa. Jika anda guru, anda
pasti memahami perkara ini. Cuma guru yang layak memberi komen berkaitan PBS.
3. Ingatlah betapa bersemangatnya anak-anak kita menduduki peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STPM. Malah jika melanjutkan
pelajaran ke Universiti Luar Negara pun akan ada peperiksaan semester. Bayangkan jika dari kecil dididik hidup tanpa peperiksaan,
bagaimana kehidupan mereka di universiti yang mengamalkan budaya peperiksaan? Kejutan budaya.
4. Pentaksiran Berasaskan Sekolah bermakna pentaksiran berasaskan guru. Adalah mustahil PBS
adalah sistem yang selaras kerana berbeza guru berbeza permarkahan, berbeza penilaian dan
berbeza corak pengajaran yang juga menyebabkan murid berbeza mendapat kualiti pemahaman yang berbeza. Malah lebih tragis
kerana sistem PBS membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk merasuah guru untuk memastikan markah anaknya tinggi.
Sistem ini tidak adil dan tidak selaras dan tidak sama di mana mana sekolah. Jika begini, di alam pekerjaan nanti, majikan tidak akan
mengambil pekerja berdasarkan keputusan penilaian PBS mereka tetapi cuma berdasarkan di sekolah mana mereka bersekolah.
5. Saya sangat terkilan apabila ada menteri yang menuduh guru tidak berkualiti sedangkan sistem PBS yang menyebabkan guru sugul, kurang bertenaga,
kelam kabut dan tertekan. Bayangkan pengisian markah setiap hari bagi setiap murid yang diajar. 1 kelas 34 murid. Setiap hari ajar 4 kelas. Maka 136
markah murid perlu diberi setiap hari. Bagaimana pula dengan seminggu, sebulan, setahun? Dalam 4 kelas itu, ada sahaja murid yang tidak hadir, maka
guru kena ulang balik PnP dan pentaksiran. Yang dikejar akhirnya tak dapat, yang dikendong akhirnya berciciran. Malah guru selalu kena tinggalkan kelas
untuk urusan lain, maka kacau bilau lah sistem PBS kita. Belum masuk lagi dengan buku latihan yang perlu ditanda setiap hari. Balik sekolah terus mesyuarat,
kursus taklimat. Tambah pula macam macam borang nak diisi. Nak kena online pulak, dengan server lembab dan macam macam pula kena isi onlina.
Maka guru jadi gila dengan sistem PBS dan pelbagai beban yang mengarut ngarut.
6. Guru dalam dilema untuk memberi markah PBS kepada anak muridnya. Kalau nak diikutkan hati, semua murid nak diberi markah penuh
demi masa depan mereka. Ada juga guru yang menyatakan 100% muridnya sebenarnya layak dapat band tertinggi. Ya memang benar kebiasaannya murid akan faham sebaik sahaja
setiap PNP tetapi akan melupakannya kerana tiada keperluan memandangkan tiada peperiksaan.
7. Pendidikan Malaysia sebenarnya sudah berada diantara yang terbaik di dunia sebelum PBS dilaksanakan. Tak perlu dengar laporan dunia tentang
ranking Malaysia. Biar kita rakyat Malaysia sendiri yang menilai. Di Perancis, Jepun, China, India, Turki, Thailand, Indonesia,
Arab Saudi, Korea MAJORITI RAKYATNYA TIDAK TAHU BERBAHASA INGGERIS walaupun subjek Bahsa Inggeris diajar sejak dibangku sekolah.
Sistem KBSR dan KBSM telah membuktikan pendidikan kita berjaya membuatkan rakyatnya boleh berbahasa Inggeris. Begitu juga subjek lain. Majoriti
anak anak kita juga tahap penguasaan matematik mereka lebih baik berbanding anak-anak negara lain. Sinivers matematik kita jauh lebih tinggi daripada negara lain pada usia yang sama.
Sistem pendidikan Malaysia adalah lebih baik tanpa PBS.
8. PBS perlu dibaiki dengan mengadakan Ujian 4 kali setahun di peringkat sekolah. PBS perlu dibaiki dengan mengadakan Ujian setara/selaras seperti UPSR, PMR, SPM, STPM, STAM.
Sistem tanpa peperiksaan kini perlu dihapuskan segera sebelum terlambat.
Catat Ulasan