Isnin, 30 Disember 2013

SIASAH

SIASAH


Politik global 2013: Isu, idea dan tokoh

Posted: 30 Dec 2013 10:35 AM PST

Politik dunia Islam: 10 isu utama

10. Hukuman mati Abdul Kader Mullah dan krisis politik Bangladesh

Abdul Kader Mullah, bekas pemimpin Jamaat-e-Islami Bangladesh dijatuhi hukuman mati - selepas melalui proses yang kontroversi - setelah didapati bersalah oleh tribunal menyiasat jenayah semasa perang kemerdekaan Bangladesh pada 1971. Abdul Kader pada mulanya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, tetapi kemudian hukuman itu digantikan dengan gantung sampai mati. Semasa dan selepas dijatuhi hukuman, perhimpunan dan protes besar-besaran diadakan oleh kedua-dua pihak yang menyokong dan memprotes. Tribunal yang matlamat asalnya untuk mencari keadilan akhirnya didakwa menjadi senjata politik parti pemerintah. Protes terhadap proses yang didakwa selektif dan bermotif politik itu telah menyebabkan puluhan mati, dan mengheret kembali Bangladesh ke dalam krisis politik.

9. Pertembungan Erdogan-AKP dengan gerakan Gulen

Selepas beberapa tahun, perselisihan melibatkan Recep Tayyip Erdogan dan partinya Parti Keadilan dan Pembangunan, AKP, dengan Fethullah Gulen yang mengetuai gerakan antarabangsanya meletus secara terbuka. Imej Erdogan tercalar agak teruk akibat siasatan korupsi melibatkan pentadbirannya, sesuatu yang disifatkan perdana menteri popular itu sebagai satu konspirasi yang turut melibatkan pihak asing, merujuk kepada Gulen dan Amerika Syarikat, yang menjadi tempat tinggal tokoh itu. Gerakan Gulen yang berpengaruh telah menunjukkan kekuatannya, dan bakal memberi kesan kepada pilihan raya presiden pada 2014, pilihan raya yang Erdogan, sebelum episod ini tercetus, dijangka bertanding dan berpeluang besar untuk menang, dan mengukuhkan lagi kuasanya di Turki.

8. Rundingan Iran-Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa Barat


Iran menerima pemimpin baharu tahun ini, Presiden Hassan Rouhani yang disifatkan sebagai lebih liberal berbanding pemimpin sebelumnya, Mahmoud Ahmadinejad. Rouhani menunjukkan perbezaan yang dijangka itu apabila memulakan dialog dengan AS dan kuasa-kuasa Barat berhubung isu nuklear, walaupun menerima tentangan daripada dalaman Iran sendiri. Rundingan masih di peringkat permulaan dan berdepan halangan, tetapi merupakan satu permulaan yang diperhatikan banyak pihak, terutama sekutu-sekutu pihak yang terbabit seperti Arab Saudi, monarki Arab di Teluk Parsi dan Israel, sekutu-sekutu utama AS di dunia Arab yang bakal berdepan kesannya sekiranya hubungan Iran-AS pulih dan mengubah dasar luar Washington dan Tehran, terutama berkaitan aliansi di Asia Barat.

7. Pencerobohan Israel di Palestin


Ekoran dasar baharu pemerintah Israel, warga Yahudi kini diberikan hak lebih luas untuk memasuki dan beribadat di kawasan Haram al-Sharif di Baitulmaqdis, sehingga mencetuskan ketegangan dan kekerasan. Dengan perlindungan pasukan keselamatan Israel, penganut-penganut Yahudi kini dapat memasuki dan menggunakan tempat ibadat Muslim dan mendapat perlindungan pasukan keselamatan Zionis. Tanpa mendapat liputan media antarabangsa, pencerobohan Zionis ke atas Palestin semakin meningkat hari demi hari, dan pada masa pihak berkuasa Palestin dan kumpulan politik utama Palestin semakin lemah disebabkan politik dalaman dan pelbagai perkembangan serantau. Satu undang-undang baharu juga dicadangkan untuk membolehkan Yahudi dan Muslim berkongsi kawasan ibadat di Haram al-Sharif.

6. Rampasan kuasa di Mesir


Selepas protes besar-besaran di bandar-bandar utama, pihak tentera akhirnya merampas kuasa daripada Presiden Mohammed Morsi, mencetuskan kekacauan dan suasana tidak stabil yang berterusan hingga ke hari ini. Gaza, wilayah Palestin dikuasai Hamas menjadi mangsa awal implikasi kejatuhan Ikhwan al-Muslimin di Mesir, apabila pihak yang diharapkan dapat membantu hilang kuasa, dan tindakan kepungan digiatkan semula oleh tentera. Ikhwan berdepan cabaran paling getir sejak perubahan politik pada awal 2011 ekoran perkembangan ini, dan telah dilabel sebagai sebuah pertubuhan teroris oleh pihak berkuasa. Mesir, negara yang mendapat tumpuan dunia ini juga sedang menyaksikan satu lagi perkembangan yang merancakkan perbincangan berhubung gerakan Islam dalam politik masa kini.

5. Serangan dron di Yaman, Pakistan dan Somalia

Serangan dron yang direkodkan menurun berbanding tahun sebelumnya - terutama tahun 2010 yang menyaksikan serangan terbanyak - tetapi semakin mendapat perhatian dan memberi kesan kepada hubungan AS dengan sekutu, terutama Pakistan yang kelihatan semakin tidak sehaluan dengan Washington dan menunjukkan sikap itu secara terbuka. Kritikan terhadap Presiden Barack Obama - dan juga dasar peperangan Washington - semakin meningkat disebabkan jumlah kematian orang awam yang besar, dan persoalan perundangan serangan tersebut. Operasi dron juga semakin menjadi isu yang memberi kesan kepada pengendalian peperangan oleh AS. Serangan terburuk di Yaman berlaku pada 12 Disember lalu, ke atas satu konvoi majlis perkahwinan, mengorbankan sehingga 17 nyawa yang sebahagian besarnya orang awam.

4. Rohingya di Burma

Kezaliman terhadap etnik Rohingya di Burma berterusan pada 2013 tanpa mendapat perhatian sewajarnya, dan menjadi mangsa percaturan politik dalaman akibat pendekatan berhati-hati tokoh yang diharap menjadi pejuang demokrasi, Aung San Suu Kyi. Akibat persaingan geopolitik antara China dan AS di Burma, pengabaian terhadap pencabulan hak asasi manusia terus berjalan seperti sebelum Burma dilihat sebagai memasuki fasa baharu menuju politik yang lebih demokratik. Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara, Asean, turut sama menunjukkan kelemahan apabila tidak mampu bertindak, malah tidak mengeluarkan kenyataan yang tegas terhadap kekejaman disokong rejim di Burma. Burma menjadi tuan rumah sukan antara Asean, Sukan Sea, tanpa sebarang insiden protes dan bantahan keras daripada negara-negara anggota Asean.

3. Campurtangan ketenteraan Perancis di Mali dan Republik Afrika Tengah

Tahun 2013 menjadi tahun aktif dasar luar Perancis apabila dua negara Afrika, Mali dan Republik Afrika Tengah menjadi medan operasi tentera negara Eropah itu. Perancis, bekas penjajah di banyak negara Afrika dan Asia Barat - termasuk Mali dan Republik Afrika Tengah - kembali menggiatkan dasar luar campurtangannya, sebelum ini di Libya dan kemudian ke Mali dan Republik Afrika Tengah. Campurtangan Perancis di Mali bermula pada Januari, dan di Republik Afrika Tengah pada penghujung November lalu, dengan satu alasannya menghalang konflik sektarian antara Kristian dan Muslim berterusan, tetapi kini didakwa menyebelahi kumpulan Kristian dalam konflik itu. Perkembangan ini menandakan peningkatan peranan Perancis di dunia Islam, pada masa bekas jajahannya di wilayah Syam, masih bergolak dan tidak lepas daripada perhatian Paris.

2. Keganasan sektarian di Iraq

Sentimen sektarian melibatkan Muslim Sunni dengan Syiah semakin meningkat di seluruh rantau Asia Barat, malah seluruh dunia, akibat pelbagai isu yang berakar daripada konflik di Syria. Iraq yang menjadi titik mula sentimen sektarian ini melalui tahun 2013 dengan mencatat jumlah korban keganasan politik yang sangat tinggi, jauh mengatasi tahun-tahun sebelumnya. Selain Syria, Iraq menjadi medan utama pertembungan antara mazhab di dunia Islam, melibatkan militan daripada kedua-dua kumpulan Sunni dan Syiah. Lebih daripada 7,000 orang terkorban sepanjang 2013 di Iraq, berbanding 3,238 pada 2012. Mangsa utama ialah komuniti Syiah, yang sering dijadikan sasaran pada masa hari sambutan keagamaan. Keganasan di Iraq memberi petunjuk kepada peningkatan sentimen sektarianisme Sunni-Syiah, dan permainan politik kuasa-kuasa serantau.

1. Konflik Syria


Konflik Syria menjadi isu sentral dunia Islam akibat kedudukannya yang merupakan manifestasi dasar luar kuasa-kuasa serantau, dan kesan yang diberikan kepada rantau sekitar dan kepada kuasa-kuasa dunia. Negara jiran kepada Lubnan yang selama ini mempengaruhi negara kecil itu kini bergolak dan berdepan bencana kemanusiaan yang dahsyat, akibat kezaliman pemerintah dan tindakan kuasa-kuasa asing. Pada masa sama, kesan konflik telah menampakkan kesannya di Lubnan. Konflik Syria menemukan pemain-pemain utama dunia Islam - terutama Arab Saudi, Qatar, Iran dan Turki - dan kuasa-kuasa global - AS, Rusia - dan menguji hubungan antara negara, pada masa sama menunjukkan perubahan aturan kuasa global.

2014, tahun tekanan, tahun protes?

Posted: 29 Dec 2013 09:07 PM PST

Menurut kajian oleh Unit Intelijen Ekonomis (EIU), Malaysia tersenarai sebagai salah sebuah negara yang berisiko rendah untuk menghadapi protes hingga membawa kepada kekacauan sosial pada tahun 2014 nanti.

Malaysia menurut kajian itu, tersenarai bersama negara aman dan stabil lain seperti Sweden, Finland, Jerman dan New Zealand, negara yang jauh kurang menghadapi kompleksiti kepelbagaian berbanding Malaysia.

Laporan ini mungkin melegakan bagi pihak parti pemerintah, yang baru lepas melalui pilihan raya yang mencabar dan akan memasuki tempoh getir berhubung hal ehwal ekonomi rakyat.

Bagi pihak yang mahu protes terus digiatkan bagi meningkatkan tekanan ke atas pemerintah, laporan itu dinilai dengan sangat kritikal.

Walau bagaimanapun, berdasarkan perkembangan terkini di dalam negara, masih banyak yang boleh berubah, disebabkan ketidaktentuan yang menanti pada tahun depan.

Pemerintah Barisan Nasional telah menjadi sasaran sentimen negatif orang ramai dan pembangkang ekoran prospek kenaikan harga tol dan tarif elektrik, yang menambahkan lagi kos kehidupan harian rakyat.

Selain kenaikan itu, kenaikan harga bahan bakar tidak lama dulu akan menampakkan lagi kesannya pada tahun 2014 nanti.

Perkembangan semasa mempunyai potensi untuk mengulangi suasana global tahun 2007-2008, ketika dunia dilanda kenaikan drastik harga beras dan bijirin lain melebihi 100 peratus hingga mencetuskan protes di banyak negara dan menggugat pemerintah.


Hal ini dipercayai menyumbang kepada prestasi buruk gabungan parti pemerintah BN dalam pilihan raya yang diadakan pada Mac 2008.

Semua ini dapat digunakan oleh penentang parti pemerintah untuk menggerakkan protes dan menambahkan tekanan ke atas pemerintah, walaupun pilihan raya umum - yang pasti diambil kira oleh pemerintah dalam menguruskan kenaikan itu - telah berlalu.

Isu ekonomi sentiasa menjadi hal besar yang memberi kesan kepada pemerintah, dan tahun 2014 nanti akan menjadi sangat mencabar kepada BN, dalam keadaan ekonomi yang menyuburkan rasa tertekan dan tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

Pemerintah sentiasa menjadi pihak yang perlu memberikan jawapan kepada rakyat apabila keadaan ekonomi buruk, dan sentiasa menjadi yang awal menerima kesan rasa tidak puas hati itu.

Ini menjelaskan tindakan segera pihak berkuasa terhadap aktivis yang terlibat dalam protes harga barang menjelang tahun baru 2014 beberapa hari lagi.

Kedua-dua pihak pemerintah dan pembangkang kini menghadapi cabaran menguruskan sentimen ini dalam persaingan mengekalkan dan merebut sokongan rakyat dan menjadi pihak yang suaranya paling didengari.

Pihak Pakatan Rakyat telah mula menggerakkan protes menentang cukai barangan dan perkhidmatan yang bakal dilaksanakan, dan kumpulan-kumpulan lain turut terlibat mengeksploit kemarahan untuk dihalakan kepada parti pemerintah.

Ini semua meningkatkan kemungkinan tahun 2014 nanti akan menyaksikan siri protes besar-besaran terhadap pemerintah BN, yang dipertanggungjawabkan atas peningkatan kos hidup yang dirasai hari ini.

Lebih memburukkan keadaan kepada BN, kenaikan harga seperti tol dan tarif elektrik, dan GST yang akan menyusul, dikaitkan terus dengan dasar pemerintah - terutama pemberian konsesi kepada syarikat-syarikat pengendali lebuh raya - pada masa sama pemimpin-pemimpin dan ahli keluarga dilihat masih meneruskan gaya hidup mewah.

Berkaitan kenaikan tol, hal ini mendedahkan dengan jelas kegagalan BN menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya umum lalu untuk mengurangkan kadar tol antara bandar secara berperingkat.

Pada masa sama, mood global juga memperlihatkan protes politik menjadi sesuatu yang semakin menjadi pilihan ramai, sejak bermula protes besar-besaran di dunia Arab lebih tiga tahun lalu.

Apa pun jangkaan yang dibuat, tahun 2014 nanti boleh dijangka menjadi tahun yang mencabar kepada BN, yang bakal menghadapi kesan rasa tertekan rakyat akibat kenaikan kos. - Disember 27, 2013

Tiada ulasan: