MIMPI SENJA |
- Nenek 60 tahun lahir anak kembar
- Lagi Surat Terbuka Untuk Najib
- Jururawat mengaku khalwat dengan suami orang
- BN hilang sokongan: Pandangan Pengerusi PAC - Kajian UMCEDEL selari - Saifuddin
Nenek 60 tahun lahir anak kembar Posted: 24 Dec 2013 10:38 PM PST SHENG berehat selepas melahirkan anak kembar ketika berusia 60 tahun. Sheng Hailin, 63, kehilangan satu-satunya anak perempuan yang berusia lewat 20-an akibat kejadian keracunan gas pada 2009, lapor China Daily. "Bagi mengelak kesunyian, saya memutuskan untuk mendapat anak lagi ketika usia tua," katanya sebagaimana dipetik akhbar itu. Beijing: Seorang wanita China melahirkan anak perempuan kembar pada usia 60 tahun melalui rawatan IVF selepas satu-satu anaknya meninggal dunia. Kes yang luar biasa itu menyebabkan dia menjadi individu tertua yang melahirkan anak di negara itu, lapor media kerajaan semalam. Sebuah hospital tentera di Hefei, timur China bersetuju untuk memberikan Sheng dan suaminya terapi IVF. Dia melahirkan Zhizhi, 1.85 kilogram dan Huihui, 1.45 kilogram di hospital berkenaan. Wanita tertua yang melahirkan anak menurut Buku Rekod Guiness ialah Maria del Carmen Bousada Lara dari Sepanyol yang mempunyai anak lelaki kembar melalui pembedahan Caesarean pada 2006. Maria berusia 66 tahun dan 358 hari ketika itu. Dia meninggal akibat kanser tiga tahun kemudian. Sheng, pesara pekerja perubatan dan suaminya mempunyai wang saraan mencukupi tetapi dia kembali bekerja dengan membuat perjalanan ke seluruh negara untuk memberi ceramah mengenai kesihatan bagi mendapatkan wang tambahan untuk membesarkan anaknya. Dia terpaksa membayar 10,000 yuan (RM5,424) sebulan untuk dua penjaga kerana tidak lagi larat untuk menjaga anaknya. - myMetro |
Lagi Surat Terbuka Untuk Najib Posted: 24 Dec 2013 08:18 PM PST Pasca PRU13, ataupun pasca rakyat memberi mandat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN), kesabaran rakyat terus dan terus diuji. Pelbagai jenis keperluan rakyat dinaikkan dengan alasan yang pelbagai. Kata Datuk Seri, kita naikkan gula kerana mahu mengurangkan kadar diabetes rakyat Malaysia. Malah kata menteri-menteri yang lain, yang menjadi 'trademark' setiap kali kos sara hidup dinaikkan, "Kalau tak suka, jangan duduk di Malaysia!". Macam Malaysia ini kerajaan BN yang punya. Suka hati menghalau rakyat untuk berhijrah ke negara lain. Datuk Seri Najib Razak, saya masih ingat salah satu manifesto parti sewaktu PRU13. Datuk kata mahu menurunkan kadar tol secara berperingkat, Datuk kata mahu menurunkan itu dan ini, maka gembiralah kami seraya memberi mandat kepada Datuk agar melaksanakan manifesto dan janji. Datuk kata prihatin nasib rakyat. Saya ingat lagi, Datuk selalu mengulang kalimah Janji Ditepati. Namun setelah mandat itu diterima, mana Janji Ditepati? Yang saya lihat, banyak roti capati yang dijual di kedai-kedai mamak. Saya tak suka makan roti capati. Ingatlah Datuk, mandat yang dipegang sekarang diberi oleh rakyat, maka rakyat mampu menariknya kembali. Maka, prihatinlah masalah rakyat. Datuk kata rakyat mampu untuk menanggung kenaikan kos ini. Adakah Datuk tahu kewujudan begitu banyak golongan yang tidak mempunyai rumah (homeless) di bandar KL ini? Hampir setiap minggu rakan-rakan saya melalui begitu banyak program seperti The Nasi Lemak Project dan sebagainya turun untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan. Itu baru di bandar, bagaimana pula nasib mereka di kampung? Saya masih ingat lagi sewaktu saya kecil, ibu saya menangis kerana tidak mampu memberi wang kepada saya untuk ke sekolah. Saya memikirkan, jika golongan pertengahan pun berang kerana kenaikan kos sara hidup, bagaimana pula dengan golongan bawahan? Datuk, mereka miskin bukan kerana mereka bodoh, tapi mereka miskin kerana mereka diperbodohkan kroni-kroni Datuk. Setiap kali berjalan di bandar, saya sedih melihat golongan peminta sedekah, golongan OKU yang menjual barang-barang di tepi jalan. Saya terfikir, di manakah perginya cukai-cukai yang dibayar rakyat kepada kerajaan? Ke mana ia dilaburkan? Saban tahun, saya kecewa melihat laporan audit yang dikeluarkan Jabatan Audit Negara. Begitu banyak pembaziran dan wang yang 'lesap'. Itu wang rakyat Datuk. Wang golongan yang membanting tulang setiap hari mencari nafkah sekeluarga. Majoriti rakyat Malaysia bukanlah kaya macam Datuk, kami tak mampu belajar ataupun bercuti sehingga ke luar negara, tapi Alhamdulillah kami masih mampu berfikir. Berfikir kenapa rakyat Malaysia dibebani sehingga sebegini rupa. Masyarakat Malaysia, kita bertuah kerana bumi Malaysia ini kaya dengan rezeki. Kita ada minyak, kelapa sawit dan pelbagai lagi hasil negara. Tapi jangan sekali-kali kita bersyukur kepada kerajaan apabila pendapatan hasil bumi ini diseleweng dan disalahguna. Semalam, saya dapat tahu seorang aktivis yang memperjuangkan supaya kos sara hidup diturunkan, Azan Safar, Pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) ditahan polis untuk direman. Saya tertanya-tanya, begitu ramai penjenayah nasional, penyeleweng wang rakyat dan wang zakat dibiarkan hidup senang lenang, tapi kenapa seorang anak muda yang memperjuangkan nasib rakyat tertindas ditahan polis dan aktivis lain dilayan dan diherdik kasar sewaktu penangkapan saudara Azan Safar? Wah, nampaknya Datuk mahu menangkap siapa saja yang membantah kenaikan kos sara hidup yang membebankan rakyat. Lagak Datuk gah seperti seorang diktator. Saya fikir, logik apakah ini? Sesungguhnya, saya sedar Datuk mungkin tidak akan membaca apa yang saya tulis, namun jauh di sudut hati saya berharap Datuk dapat berubah. Jika tidak, maka tunggulah hukuman daripada rakyat yang diperbodohkan ini. Mandat yang kami berikan kepada Datuk, ketahuilah ia tidak lama. – 25 Disember, 2013.- TMI |
Jururawat mengaku khalwat dengan suami orang Posted: 24 Dec 2013 06:33 PM PST
PASIR MAS - Seorang jururawat didenda RM2,000 oleh mahkamah syariah di sini, semalam, selepas mengaku bersalah berkhalwat dengan seorang pemandu lori, Oktober lalu. Sarizana Saribudin, 37, yang masih berstatus isteri orang dan pasangannya, Abd Manan Aziz, 39, yang juga sudah berkahwin membuat pengakuanitu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Syarie, Mohd Hafiz Daud. Mengikut pertuduhan, kedua-duanya berkurung bersama-sama dalam keadaan yang mendatangkan syak kerana bukan suami isteri sah dan juga mahram di sebuah kuarters kesihatan di Rantau Panjang, kira-kira jam 12.55 tengah malam pada 29 Oktober lalu. Sarizana didapati bersalah di bawah Seksyen 9(2) dibaca bersama Seksyen 30 Kanun Jenayah Syariah No. 2/85 Negeri Kelantan, manakala Abd Manan didakwa di bawah Seksyen 9(1) dibaca bersama Seksyen 30 Kanun Jenayah Syariah No. 2/85 Negeri Kelantan. Mengikut fakta kes, berdasarkan maklumat orang awam, pegawai penguat kuasa Agama Jajahan telah pergi ke rumah terbabit dan mendapati pintu rumah serta tingkap tertutup rapat. Apabila pegawai penguat kuasa mengetuk pintu rumah dan memperkenalkan diri, seorang wanita memakai kain sarung batik dan berbaju T telah membuka pintu rumah. Hasil pemeriksaan mendapati, seorang lelaki sedang tidur dengan seorang kanak-kanak perempuan di ruang tamu rumah tersebut, manakala seorang lagi lelaki dengan memakai kain sarung dan tidak berbaju berada di atas katil dalam bilik tidur utama rumah berkenaan. Di dalam bilik itu juga, terdapat seorang lagi kanak-kanak perempuan sedang tidur. Hasil pemeriksaan keseluruhan mendapati, lelaki yang tidur di ruang tamu tersebut adalah adik kandung wanita terbabit, manakala dua kanak-kanak perempuan itu adalah anak kandung wanita itu. Setelah disoal siasat wanita dan lelaki yang berada di dalam bilik tersebut bukan suami isteri dan bukan mahram. Mereka ditangkap di bawah kesalahan Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan No.2/85, Seksyen 9 dan dibawa ke Pejabat Agama Jajahan Pasir Mas untuk diambil tindakan selanjutnya. Hakim mengarahkan kedua-dua tertuduh membayar denda RM2,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Bagaimanapun kedua-duanya menjelaskan denda tersebut. Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie Negeri, Norhasney Ridhwan Hassan. |
BN hilang sokongan: Pandangan Pengerusi PAC - Kajian UMCEDEL selari - Saifuddin Posted: 24 Dec 2013 08:48 AM PST Keputusan hasil kaji selidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) membuktikan bahawa pendapat Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed adalah berasas, kata bekas Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah. Saifuddin yang ditemui ketika pengumuman hasil kaji selidik UMCEDEL di Universiti Malaya hari ini berkata, jangkaan Nur Jazlan bahawa Barisan Nasional (BN) akan mengalami kekalahan lebih teruk di kawasan bandar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang berikutan kenaikan harga barang dan kos kehidupan selari dengan dapatan UMCEDEL bahawa peningkatan kos berkenaan akan menjadi penentu kelangsungan BN. "Jazlan bercakap ikut pengalaman beliau. Saya percaya beliau membuat kajian. Kajian UMCEDEL ini membuktikan kata-kata Nur Jazlan itu benar," kata Saifuddin. UMCEDEL mendapati kenaikan kos barangan, tarif elektrik dan harga minyak memberi kesan kepada kehidupan rakyat Malaysia secara keseluruhannya, dan tanpa sebarang tindakan, BN akan mengalami keadaan sukar dalam PRU14. "Tiga isu ini adalah isu utama. Dalam tempoh enam bulan kalau kita tidak selesaikannya, kesannya mungkin berpanjangan," kata bekas timbalan menteri Pengajian Tinggi itu. Hasil kajian UMCEDEL terhadap 1,676 responden di Semenanjung Malaysia yang dijalankan pada 6 hingga 8 Disember lalu mendapati 42% responden beranggapan kenaikan harga minyak memberikan kesan kepada kehidupan mereka diikuti 34% kenaikan harga barang dan kenaikan kadar tarif elektrik sebanyak 24%. Pengarah UMCEDEL, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, berkata pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga tidak lagi mampu menjadi "pelampung penyelamat" buat BN untuk PRU14 memandangkan impak bantuan one-off kewangan berkenaan tidak lagi dirasai rakyat. "Seramai 52% tidak bersetuju BR1M akan meningkatkan sokongan kepada BN kerana mampu mengurangkan kos sara hidup, manakala 42% sahaja bersetuju," katanya. Pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pula menyaksikan 61% responden tidak bersetuju, dengan hanya 20% sahaja yang bersetuju. "Pengundi Cina lebih tinggi peratusan penolakan dengan 67%, kerana sebahagian besar mereka merasakan akan berlaku kenaikan harga barang jika cukai itu dilaksanakan. "Manakala pengundi Melayu yang menolak GST pula pada kadar 61%. Ini persepsi rakyat berhubung pelaksanaan cukai ini," katanya. - TMI Follow us: @MsiaChronicle on Twitter |
You are subscribed to email updates from Mimpi Senja To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan