Sabtu, 21 Disember 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Kos Sara Hidup Naik - Kerajaan UMNO BN Di Ambang Keruntuhan

Posted: 21 Dec 2013 12:05 AM PST


Cadangan Najib tubuh makmal kos sara hidup mengundang serangan di Facebook

Laman Facebook Datuk Seri Najib Razak bertukar menjadi talian aduan selepas pengunjung bertalu-talu memberikan rungutan dan kritikan mereka, beberaja jam selepas Najib mencadangkan sebuah makmal kos sara hidup bagi mengkaji keluhan rakyat tentang kenaikan harga barang dan perkhidmatan. "Adoi... Makmal otak dia. Baik buat makmal uji kaji binatang lagi bagus. Satu lagi projek kerajaan Barisan Nasional iaitu makmal kos sara hidup 1Malaysia. Betul-betul bodohkan rakyat. Terima kasih BN," tulis Sulaiman Leman Ahmad di laman sosial Najib, yang mempunyai peminat lebih 2 juta.

Semalam Najib buat pertama kali memberikan respon kepada keluhan rakyat terhadap tindakan drastik kerajaan menyelaraskan subsidi dan menaikkan harga, termasuk cadangan menaikkan kadar tol walaupun Barisan Nasional menjanjikan penurunan tol pada pilihanraya Mei lepas.

Najib berkata kerajaan bersetuju menubuhkan Makmal Mengenai Kos Sara Hidup di bawah Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksaan (Pemandu), sebagai langkah menangani peningkatan kos kehidupan.

"Makmal ini bertujuan untuk mengkaji serta merangka langkah-langkah susulan untuk meringankan beban rakyat dalam mengharungi masalah ini.

"Kerajaan sentiasa mencari formula yang sesuai untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Pada masa yang sama, kita juga perlu memandang ke hadapan demi memastikan ekonomi negara terus mampan," tulis Najib, disusuli 8,053 komen di Facebook pada ketika berita ini ditulis.

Seorang pengunjung, Rushdy Ali, menulis: "Setakat dengar baik tak payah bedebah. Siap nak buat makmal. Buat apa nak menghabiskan duit lagi. Lu spend banyak rakyat tanggung hutang. Memang haram setiap sen cukai kau ambik."

"Kamu buat hutang, rakyat yang kena tanggung beban nya? Menteri-menteri kamu gaji dinaikkan. Tenaga Nasional Berhad (TNB) untung 1.7billion tetapi letrik naik jugak.

"PLUS untung berjuta-juta tapi tol di naikkan. Kalau mcm tu aku buat hutang kamu bayar kan. Nak? Rajin-rajin la dengar masalah rakyat sebelum buat sesuatu. Manifesto BN sebelum PRU kata kadar tol tidak akan di naikkan.. Selepas PRU bukan saja tol tapi semua barang naik harga," tulis Syah Raja Azlan.

Sementara Mohd Eizar Farhan pula memohon Perdana Menteri untuk memikirkan kesan yang bakal ditanggung rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana.

"Masyarakat perlukan minyak petrol untuk bergerak. 20 sen nampak sikit tapi hakikatnya ada org yang tak mampu.

"Nak tak nak terpaksa juga juga sebab ia penting kepada masyarakat kita. Harap fikir semula pihak kerajaan," tulisnya mengeluh.

Seorang lagi pengguna Facebook, Faizul Rusli, meminta kerajaan menurunkan harga minyak selari dengan penurunan harga minyak dunia.

"Tetapkan subsidi siling bagi minyak Ron 95 dan diesel... contohnya RM 1.00. Hapuskan cukai kereta nasional kpd 0%. Ini menggalakkan pembelian kereta tempatan." -TMI


Naik harga: Blogger Pro-BN pun bantah


SHAH ALAM – Semua sudah sedia maklum mengenai isu kenaikan harga barang kebelakangan ini hingga menimbulkan pelbagai reaksi dan bantahan daripada pelbagai pihak terutama penyokong pembangkang.

Namun pemerhatian Sinar Harian mendapati penyokong BN juga turut merungut dengan tindakan kerajaan menaikkan harga barang apabila subsidi dikurangkan itu.

Rata-rata tidak puas hati apabila kebanyakan barang dan perkhidmatan dinaikkan secara serentak bermula tahun hadapan termasuklah gula, tarif elektrik, tambang LRT dan terbaharu kadar tol.

Antaranya, blogger The Unspinners menyatakan penyakit pengurusan harga berlaku di negara ini ialah apabila semua harga mahu dinaikkan secara serentak.

"Berlumba-lumba sapa dulu. Hari-hari kita boleh dengar, semua pihak nak naikkan harga kononnya tak dapat tampung kos lagi. Sampaikan syarikat berkaitan kerajaan pun guna alasan sama, padahal syarikat kerajaan sepatutnya menyeimbangkan harga agar rakyat menikmati harga murah.

"Menaikkan harga barang memanglah baik untuk negara tapi negara mana? Rasa-rasanya Malaysia tak memerlukan kenaikan harga pun, sebab ada sebahagian daripada kenaikan tersebut, boleh diserap menerusi pelbagai cara termasuk pengurangan kadar cukai berkaitan," kata blog tersebut.

Sementara satu lagi blogger, Gerakan Anti PKR pula mempersoalkan kesan kenaikan kadar tol yang akan menyebabkan poket rakyat semakin nipis.

"Apa kesan tol naik? Kesan tol naik adalah menyebabkan poket rakyat makin kempis.

"Bukan setakat itu, tatkala tol naik ini bermakna pedagang akan menolak kos kenaikan itu kepada rakyat. Justeru rasionalisasi bermakna kos kenaikan kepada rakyat," katanya.

Selain itu, blog Medan Info Kita juga mempersoalkan tindakan BN yang tidak menepati janji pada PRU13.

"Kenapa pada saat ini tidak mahu menepati janji sedangkan slogan BN adalah 'Janji Ditepati'? Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh dipersalahkan dalam hal sebegini.

"Kita harus melihat siapakah di belakang tabir membuat keputusan yang kurang bijak ini. Siapakah penasihat kepada Najib memberikan lorong jalan yang boleh menjahanamkan parti dan mengundang kebencian rakyat?" soalnya.

Manakala, blogger Sahabat Gunung pula menerbitkan kenyataan Exco Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin menyatakan kerajaan hanya akan menguji kesetiaan rakyat kepada BN dengan menaikkan harga tambang pengangkutan awam.

"Nazir berkata, nampak seakan-akan ada perlumbaan di kalangan syarikat milik kerajaan (GLC) berlumba-lumba menaikkan harga perkhidmatan tanpa memikirkan kesan bakal diterima rakyat khususnya di kawasan bandar.

"Sehubungan dengan itu, Pemuda Umno mendesak pihak kerajaan menilai semula cadangan yang akan memberikan kesan buruk kepada rakyat khususnya warga kota berpendapatan sederhana saban hari menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam setiap hari," katanya dipetik blog berkenaan.

Satu lagi blog iaitu Malaysia Heaven menyatakan langkah menubuhkan makmal untuk mengkaji siri kenaikan barang dirasakan kurang perlu.

Katanya, dengan menubuhkan makmal baru, lebih banyak duit akan dihabiskan pada Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu).

"Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin cakap makmal akan ditubuhkan untuk kaji kos sara hidup masyarakat. Makmal ditubuhkan akan diletakkan di bawah Pemandu. Habis apa tanggungjawab kementerian yang ada?

"Adakah selama ini Kementerian Pembangunan Wanita, Jabatan Kebajikan Masyarakat tak selidik kesusahan rakyat? Adakah menteri masih tak tahu, kenaikan harga minyak, gula dan lain lain tu antara punca rakyat hidup susah?" katanya.

Blog lain yang turut memperkatakan isu yang sama ialah Parpukari dan Selangorchronicle.
-SH



PKR: Harga barang naik, Najib akan diturunkan


Pakatan Rakyat memberikan kata dua kepada Datuk Seri Najib Razak agar menghentikan siri kenaikan kos sara hidup, atau berhadapan risiko kehilangan jawatan sebagai perdana menteri dalam masa terdekat jika terus berbuat demikian.

Amaran keras itu dilontar Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang percaya kedudukan Najib sekarang semakin goyah, berdasarkan dapatan tinjauan badan pengkaji Merdeka Center, baru-baru ini.

"Dalam banyak-banyak yang naik, ada satu yang turun - populariti Najib yang semakin turun.

"Kalau dia berani naikkan apa-apa lagi, dalam masa tiga atau empat bulan ini dia akan terpaksa turun daripada jadi perdana menteri.

"Kalau berani dia naikkan harga barang, kita akan turunkan Najib Razak daripada kerusi perdana menteri," kata anggota Parlimen Pandan itu di ibu negara lewat malam semalam.


Beliau berkata demikian pada pelancaran kempen 'Faham GST, Tolak GST' yang disempurnakan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tinjauan Merdeka Center mendapati populariti Datuk Seri Najib Razak di kalangan pengundi menjunam 10 mata kepada 52 peratus dalam bulan Disember dan merekod tahap paling rendah sejak dilantik sebagai perdana menteri pada September 2009.

Tinjauan itu dibuat selepas pengurangan subsidi bahan bakar pada September 2013, pembentangan belanjawan negara 2014 sewaktu kerajaan mengumumkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kenyataan tambahan berkenaan kenaikan tarif elektrik yang bermula pada Januari 2014.

Terkini, pemilik hartanah di Kuala Lumpur bakal berhadapan kenaikan kadar cukai taksiran bermula bulan Januari 2014.

Sementara itu, Anwar dalam ceramahnya berkata beliau akan menggesa Najib mengadakan sidang khas Parlimen bagi membincangkan kemungkinan aset negara dijual untuk memperbaiki kadar defisit negara seperti dilaporkan Bank Dunia.

Menurut Anwar, perkara itu dipersetujui pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat menerusi mesyuarat yang berlangsung sebelum pelancaran kempen malam tadi.

"Jadi hari Isnin surat akan sampai kepada Datuk Seri Najib, kena ada sidang khas parlimen (untuk bincangkan) kenapa jual aset negara," kata Anwar.

Terdahulu, beliau melancarkan kempen 'Faham GST, Tolak GST' di kawasan padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru.

Walaupun hujan turun renyai-renyai sehingga menyebabkan padang basah dan lecak seperti sawah padi, majlis itu tetap berjaya menarik kehadiran kira-kira 500 orang yang setia menunggu sehingga acara selesai.

Majlis yang bermula pada jam 9.30 itu hanya selesai kira-kira sepuluh minit sebelum jam 12 tengah malam.

Turut hadir adalah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, penasihat anggota Parlimen DAP, Lim Kit Siang serta Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.
-mk



Kerajaan 'tidak ada pilihan' wajib ditolak


Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee mengecam kenyataan kerajaan yang mendakwa tidak mempunyai pilihan lain kecuali mengurangkan subsidi untuk mengelak daripada terus mengalami defisit kewangan.

Beliau berkata, kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed itu jelas tidak bertanggungjawab dan membelakangi kepentingan rakyat.

"Banyak lagi pilihan, Menteri. Hapuskan rasuah, ambil alih konsesi tol lebuhraya mengikut syarat perjanjian, mansuhkan monopolis beras, gula, besi keluli dan barangan asas.

"Laksanakan perolehan tender terbuka. Hentikan penswastaan secara rundingan terus. Hukum Menteri serta pegawai yang tidak bertanggungjawab, pecah amanah dan runding semula perjanjian janakuasa elektrik bebas berat sebelah.

"Kepentingan rakyat mesti didahulukan, jangan hanya berjanji kosong atau lebih baik ubah saja kerajaan yang 'tidak ada pilihan' ini," katanya dipetik daripada laman sosial Facebook milik beliau.

Mustapa dalam forum sambutan tiga tahun Program Transformasi Ekonomi di Putrajaya hari ini menyatakan kerajaan tidak mempunyai pilihan selain meneruskan polisi pengurangan subsidi.

Menurutnya, walaupun keputusan itu menyebabkan kos sara hidup namun jika tidak dilakukan, ia akan terus memberi tekanan kepada kantung negara.

"Apa lagi pilihan kita?," soal Mustapa.
-Roketkini


ULASAN GB

Tidak ada apa lagi yang dapat menjelaskan apakah makna dengan kenaikan kos sara hidup yang meningkat selepas PRU13 sehingga kini rakyat dari segenap lapisan termasuk yang pro-BN turut menentangnya kecuali ia adalah petanda keruntuhan kerajaan UMNO BN.

Soal-soal pembaziran, ketirisan dan rasuah tidak ditangani dengan baik sehingga rakyat menjadi mangsa

Aksi Terlampau Guru Penolong Kanan Dengan Warga Pakistan

Posted: 20 Dec 2013 08:02 PM PST

Ayer Keroh - Seorang guru penolong kanan dan kekasihnya yang merupakan warga Pakistan dihadapkan ke mahkamah majistret di sini, semalam atas pertuduhan merakam video lucah di dalam sebuah rumah, November lalu.

Gambar: Lizah dan Muhamad Usman dihadapkan ke mahkamah majistret semalam Tertuduh, Lizah Buang, 49 dan Muhamad Usman Ali Liqat, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas mengangguk faham pertuduhan yang didakwa ke atas mereka di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Saleh.

Berdasarkan pertuduhan, Lizah dan Muhamad Usman didakwa bersama-sama merakam video lucah atau yang bertentangan dengan kesopanan awam.

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Pangsapuri Bukit Beruang Utama kira-kira jam 8.30 pagi pada 16 November 2013.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 5(1)(b) Akta Penapisan Filem 2002 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara maksima lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan RM3,000 terhadap Lizah, namun membantah jaminan terhadap Muhamad Usman yang merupakan warga asing.

Bagaimanapun, Lizah ketika rayuan memohon supaya jumlah wang jaminan dikurangkan memandangkan dia menanggung enam anak serta suaminya yang sakit dan tidak bekerja. Sementara itu, Muhamad Usman juga merayu supaya dibenarkan jamin terhadapnya yang mempunyai isteri di Pakistan.

Selepas mendengar rayuan tertuduh, Mohd Firdaus kemudian membenarkan Lizah diikat jamin RM2,500 sementara Muhamad Usman RM10,000 dengan dua penjamin serta syarat melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Tarikh sebutan kes bagi lantikan peguam ditetapkan pada 23 Januari 2014.

ULASAN GB

Apabila nafsu syaitaniah telah mengawal diri, isteri yang masih bersuami dan suami yang masih beristeri sanggup melakukan perbuatan terkutuk, dan lebih mengaibkan sanggup pula memvideokan perlakuan keji tersebut.

[TERKINI MESIR] Ikhwanul Muslimin Kecam Tuduhan Terbaru Terhadap Mursi

Posted: 20 Dec 2013 04:00 PM PST


Ikhwanul Muslimin mengutuk keras pemerintah kudeta Mesir di atas tuduhan terhadap mantan presiden Muhammad Mursi dan Ikhwan, yang dituduh melakukan tindakan pengintipan dan terorisme. Dalam kenyataannya, Ikhwan menolak tuduhan ini. Lebih lanjut, Ikhwan mengatakan ini sebagai tuduhan yang aneh.

"Tuduhan ini adalah episod baru dari kejahatan kudeta militer terhadap rakyat Mesir," kata Ikhwan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dari London dan diterima pada awal hari Khamis kelmarin (19/12/2013), portal islampos.com dipetik.

"Hakim kerajaan kudeta terus mengarang tuduhan lucu terhadap presiden yang terpilih secara demokrasi dan kepada sejumlah pemimpin Ikhwanul Muslimin," kata kenyataan Ikhwan.

Ikhwan juga menyerukan kepada masyarakat antarabangsa pada hari Khamis kemarin untuk memberikan tekanan kepada pemerintah Mesir agar membebaskan Mursi.

Pada hari Rabu sebelumnya, pendakwa raya memerintahkan pengadilan terhadap Mursi dan 35 tokoh Ikhwan lainnya atas tuduhan bersekongkol dengan organisasi-organisasi asing untuk melakukan serangan teroris.

Pendakwa menyebut hal ini sebagai kes terbesar dari konspirasi dalam sejarah Mesir.


Mursi hadapi tuduhan baharu


KAHERAH - MESIR. Presiden Mesir yang digulingkan, Mohammed Mursi bakal dibicarakan atas beberapa pertuduhan baharu termasuk bersubahat dengan pergerakan asing bagi melakukan keganasan.

Al Jazeera melaporkan, pertuduhan yang diumumkan pendakwa raya kanan semalam, berpotensi membawa hukuman mati.

"Perbicaraan tersebut turut membabitkan dua orang pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin dan 32 defendan lain.

"Mereka didakwa membocorkan rahsia pihak tentera kepada negara luar," menurut laporan itu kepada Al Jazeera.

Dalam satu kenyataan, pendakwa raya berkata, Ikhwanul Muslimin dituduh melakukan keganasan di Mesir serta menyediakan pelan yang membabitkan pergerakan Hamas di Genting Gaza dan pergerakan Hezbollah di Lubnan.

Hamas bagaimanapun mengutuk tuduhan berkenaan yang disifatkan sebagai satu lagi usaha mengaitkannya dalam hal ehwal dalaman Mesir dan bertujuan memburukkan nama pergerakan itu kepada penyokong rakyat Palestin terutamanya Gaza.

Mursi kini masih berdepan dengan perbicaraan atas pertuduhan menghasut keganasan ketika tunjuk perasaan di perkarangan Istana Presiden setahun lalu ketika menjawat jawatan Presiden.


Tiada ulasan: