Sabtu, 21 Disember 2013

.

.


Kampung Temboro perlu dimalui (Bhg4 dan akhir)

Posted: 20 Dec 2013 03:57 AM PST

CATATAN MUSAFIR                                                                       

Dalam catatan akhir siri ziarah musafir ke kampung Temboro, Karas, Magetan, Jawa Timur Indonesia ini saya hendak bercerita mengenai pondok pesentren Al Fatah yang menjadi mercutanda dan daya tarik kepada kampung Temboro, juga menjadi destinasi tujuan saya ke situ minggu lepas.

Pemandangan sebahagian masjid utama Pondok Al Fatah.
Kampung Temboro itu tidak akan mempunyai apa-apa keistimewaan kalau tidak ada pondok pesentren berkenaan. Keistimewaan dan tersohornya kampung Temboro disebabkan wujudnya pondok pesetren Al Fatah itu.

Tawarikh pondok pesetren Al Fatah Temboro, menurut satu catatan dikutip dari internet, ia dibangunkan pada tahun 1940-an semasa zaman Belanda lagi. Ia diasaskan oleh seorang Kiyai Haji (KH) Sarbun Siddik yang dikenali dengan Mbah Siddik r.h. Mbah Siddik merupakan seorang pengamal tarikqat Nasybandiyyah Khalidiyyah yang katanya sempat berbai'ah (mengambil) amalan wirid tariqat berkenaan di Jabbar al Qubais, Makkah semasa almaruhm menunaikan Haji.

Liku-liku kewujudan pondok ini, sebelum ia menjadi sebutan seperti hari ini menghadapi sunahtullah dan lumrah sama dengan badan-badan atau gerakan Islam yang lain. Mulanya ia hanya sebuah kumpulan kecil sahaja terdiri daripada sanak saudara Mbah Siddik sebagai pengikut dan pengamalnya. Tempat kegiatan zikir, suluk, berjemaah dan sebagainya berlangsung di sebuah surau kecil yang pada hari ini merupakan masjid yang menjadi pusat utama pondok pesetren Al Fatah yang kapasitinya berkali-kali ganda dengan dulu.

Sebahagian dari ribuan mendirikan solat Jumaat.
Peringkat awal kewujudannya, aktiviti utama ketika itu ialah pengajian al-Quran, al-Hadith serta kitab-kitab kuning yang di dalam bahasa Jawa kuno. Para pendengarnya terdiri dari penduduk setempat serta mereka yang memperakui kelilmuan Mbak Siddik. Peringkat awal juga kumpulan kecil itu ditentang oleh sesetengah penduduk dengan menganggap kumpulan itu sebagai golongan sesat dan menyeleweng. Bagaimana pun halangan dan dugaan itu dihadapi dengan tenang dan tabah oleh Mbak Siddik dengan menganggap ia adalah sunatullah, yang akihirnya diterima.

Beginilah keadaan dalam masjid jemaah mengadakan halaqa.
Pondok pesentren Al Fatah itu berkembang selepas ianya diambil oleh anaknya Kiyai Mahmud Kholid Ummar yang juga merupakan puteranya. Kiyai Mahmudlah yang memperkembangkan dengan memperluaskan pengajian di pondok tersebut, selain daripada menumpukan kepada pengajian al-Quran dan al-Hadith kepada pembentukan pengajian pendidikan Ibtidiyyah, sekolah (madrasah), Isnawiyah dan juga madrasah Aliyah.

Mulanya juga segala kegiatan dan dakwah di pondok pesentren itu berjalan secara dalaman, di kalangan pengikut dan pengamal sahaja, ia baru terbuka setelah kedatangan seorang ahli Tabligh dari India yang memberi ilham kepada Kiyai Mahmud untuk memperluaskan ruang lingkup dakwahnya. Selepas kedatangan pendakwah Tabligh itu dakwah ke luar dilakukan oleh anak-anak pesentren itu.

Sesuai dengan kewujudan sistem pembelajaran yang diperluaskan dan method dakwah setelah itu menjadikan pondok pesentren ini menjadi tarikan umum dan sekaligus menjadi pondok pesentren  tersebut bertambah maju. Kemudian pengajian diperluaskan lagi dengan pengajian tahfidzual Quran, madrasah Diniyah yang bukan saja di kalangan pendudukan tempatan tetapi orang luar dari dearah sekitar seperti Mageten, Madiun, Ngowi, Solo dan Wonogiri datang berpondok di situ.

Bersama KH Ubaidillah Ahrar, tengah.
Hari ini keteguhan dan keterkenalan pondok pesentren Al Fatah tidak perlu diperkatakan lagi. Ia menghimbau ke seantero dunia. Kebetulan ia juga menjadi setesen jemaah Tabligh, menyebabkan kesohorannya mudah terhimbau. Ahli-ahli Tabligh dari luar Indonesia yang berdakwah ke negara itu tidak akan ketinggalan akan mengunjungi dan singgah di pondok pesentren itu.

Dari sentri awalnya seramai puluhan, kini angkanya mencecah kepada belasan ribu. Menurut angkat tidak rasmi seramai kira-kira 6,000 sentri dipondok berkenaan yang menduduki di tiga institusi atau pun tahap pengajian. Kira-kira 2,500 yang mengikut pengajian hafal Quran dan hadith, manakala 2,500 terdiri dari sentri wanita dan 1,000 sentri pra sekolah yang berumur 12 tahun ke bawah.

Pondok pengajian thafiz Quran.
Angka itu tidak termasuk pengunjung tetap dari kalangan penduduk kampung Temboro yang berkapasiti seramai kira-kira 4,000 orang. Selain daripada sentri atau mereka menjadi pengunjung ke pondok berkenaan untuk mengikut pengajian al Hadith dan Quran (Bayan), pada waktu ini terdapat juga sentri (pelajar) dari negara luar, seperti Kemboja, Brunei, Thailand dan juga Palestin. Dari negara kita juga waktu ini terdapat kira-kira 200 orang pelajar majoritinya Kelantan.

Pondok pengajian sedarha tetapi indah dan kemas.
Pusat pengajian agama tradisional ini dikelolakan oleh sebuah badan (lembaga) yang diketuai oleh KH Uzairon Thaifor Abdilah yang bertindak sebagai ketua umum. Beliau dibantu oleh dua orang adik lelakinya KH Ubaidullah Ahrar yang bertanggungjawab terhadap kewangan dan disiplin manakala KH Ummur Fathullah yang mengawal hal ehawal pendidikan. Ketiga-tiga mereka adalah putera KH Mahmud Kholid Ummar.

Semasa kunjungan itu rombongan saya bertiga sempat dibawa meninjau ke pusat-pusat pengajian atau sektor pondok berkenaan yang terdiri dari tiga sektor yang berkedudukan berasingan.

Pusat pengajian al Quran, Hadith dan madrasah Tsnawiyah dan Aliyah terletak di pondok pusat. Pondok pusat ini merupakan bangunan dan masjid pertama di bangunkan sekitar tahun 40-an. Manakala untuk pre sekolah terletak agak jauh sekitar 1.5 km dari pusat pondok.

Satu lagi sektor atau bahagian ialah ditempatkan untuk pelajar (sentri) perempuan. Sekolah atau pusat pengajiannya terletak di sebuah bangunan yang dipagar setinggi lebih kurang tujuh kaki. Kawasan ini dilarang kepada kaum lelaki memasukinya, ia dikawal tetap. Semua sentri wanita memakai jilbab hitam. Selain sentri perempuan yang menyewa atau datang memondok terdapat juga sentri dari kampung berdekatan, mereka berulang alih ke pondok pengajian.

Kawasan pengajian sentri wanita.
Manakala untuk umum masjid utamanya dijadian pusat. Di sinilah berlangsungnya bayan atau majlis-majlis halaqa, perbincangan atau muzakarah ilmu. Kebetulan waktu saya berada di pusat pondok berkenaan kebetulan menjelang malam Jumaat, di mana malam ini pengajian diadakan secara terbuka untu orang ramai. Sejak awal-awal senja lagi orang ramai yang datang dari daerah berdekatan mula memasuki masjid. Ada yang datang berkereta, dengan bas dan banyaknya dengan motosikal. Melihat keadaan dan suasana di masjid yang bersenibinakan masjid di zaman kerajaan Islam Demak itu, persekitaran dan auranya tidak ubah seperti di masjid Haram di Makkah.
Madrasah pengajian wanita terletak dalam pagar ini.

Mereka yang datang terdiri dari semua peringkat usia, golongan tua dan juga anak-anak muda.

Menurut seorang pengawal di situ, pada hari-hari menjelang 1 Muharram atau menjelang 10 Ramadhan orang luar akan berbodong-bodong memasuki ke kawasan pondok itu untuk beriktikah, mendirikan solat tarawih serta bersuluk. Kebanyakn mereka sudah pasti merupakan ahli tariqat Nasybandiyyah Khalidyyihah.

Pondok pre sekolah untuk anak-anak 12 tahun ke bawah.
Setiap hari Jumaat masjid yang berkapasiti kira-kira 10,000 itu akan penuh sesak. Ia melimpah ruah sampai ke kawasan luar. Buat masa ini pembinaan sambungan masjid itu sedang dijalankan. Penduduk kampung berkenaan semua akan berpusu-pusu untuk mendirikan solat di situ. Biasanya hari Jumaat menjadi hari paling sibuk dan meriah ekoran kedatangan pengunjung luar yang akan bermalam dan akan meninggalkan masjid selepas solat Ashar keesokannya. Sebuah rumah makan yang disediakan untuk para pengunjung dan juga anak-anak pondok kebiasaannya akan kehabisan makanan pada hari Jumaat.

Bagaimana pun saya sebagai tetamu disediakan rumah tamu khas. Mana-mana tetamu atau musafir kelana akan ditempatkan di rumah tamu yang boleh menampung kira-kira 30 orang tetamu sekaligus. Makan minum disediakan oleh tukang masak terdiri dari anak-anak sentri yang menyediakan makan atau bekerja secara shif. Makanan mereka boleh tahan juga.

Mungkin juga perlu disebut disini, pondok ini ada sistem integrasi tersendiri dalam melaksanakan amanah dan kebajikan demi melahirkan sentri berilmu. Untuk memondok di sini tidak memerlukan biaya yang mahal. Pihak pondok tidak mengenakan kos yang tinggi. Kalau pun perbelanjaan yang agak berat sedikit sewaktu mendaftar, iaitu sebanyak RM500 untuk sepanjang hayat. Manakala yuran bulanan untuk makan minum dan penempatan dikenakan RM100 sebulan.

Balai khas untuk bersuluk yang mampu muat 150 orang.
Pihak pondok juga ada kaedaah tersendiri bagi memastikan sentri yang menghadapi masalah kewangan. Bagi meneruskan pengajian pihak pondok sedia memberi jalan alternatif kepada sentri dengan meminta mereka berkhidmat kepada pondok, sama ada dengan menjaga peliharaan terakan seperti ayam, kolam ikan, kambing atau kuda atau bercucuk tanam. Pondok pesentren itu mempunyai tanah berpuluh hektar yang diusahakan dengan tanaman padi yang sekaligus menjana pendapatan untuk pembiayaan pondok.

Padang latihan menunggang kuda kepunyaan pondok.
Mana-mana sentri yang tidak mampu membayar yuran mereka diminta berkerja mengikut kesesuian dan kebolehan. Sekiranya mereka bekerja pagi mereka akan masuk kelas waktu malam dan sebaiknya. Dengan adanya pertimbangan ini tidak ada mana-mana sentri yang menghadapi masalah kewangan tercicir dari belajar.

Apa yang dipraktikan oleh pondok pesentren Al Fatah itu sangatlah bertepatan dengan motto dan falasafhnya untuk melahirkan sentri yang berilmu, cintakan Tuhan dan mempunyai semangat dan komitmen tinggi untuk menyebarkan dakwah ke atas muka bumi ini sesudah keluar nanti. Pondok pesentren Al Fatah tidak mementingkan komersial, jelas kelihatan kewujudannya sebagai memenuhi tuntutan agar meramaikan manusia nyang cintakan Allah yang mempunyai nilai dan kualiti agama sebenarnya dan tabah berjihad di jalan Allah. [wm.kl.6:56 pm 20/12/13]

# Saya pohon keampuan kepada pihak pengelola pondok pesentren Al Fatah sekiranya catatan saya ini tidak menempati atau tersasar dari apa yang sebenarnya.

Tiada ulasan: