Jumaat, 20 Disember 2013

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Bikin Filem Lucah : Guru wanita dan pasangan warga Pakistan dihadap ke Mahkamah

Posted: 20 Dec 2013 07:05 PM PST

Melaka: Seorang guru wanita sekolah kebangsaan dan peniaga lelaki warga Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam, atas tuduhan membuat filem lucah.
Kedua-dua tertuduh, Lizah Buang, 49, dan pasangannya Muhamad Usman Ali Liqat, 27 tidak mengaku bersalah atas pertuduhan ke atas mereka di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membuat filem lucah atau bertentangan dengan kesopanan awam di sebuah rumah di Pangsapuri Bukit Beruang Utama jam 8.30 pagi pada 16 November lalu.
Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(1)(b), Akta Penapisan Filem 2002 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak yang mengendalikan kes menawarkan jaminan RM3,000 pada Lizah, manakala Muhamad Usman tidak ditawarkan jamin kerana lelaki itu adalah warga asing.

Lizah ketika merayu pengurangan jaminan memberitahu, hanya dia seorang bekerja, manakala suaminya sakit, selain mempunyai tanggungan enam anak.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Mohd Firdaus membenarkan Lizah diikat jamin RM2,500, manakala Muhamad Usman RM10,000 dan menetapkan 23 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, rakan Muhamad Usman iaitu Irfan Ahmed Ashraf Muhammad, 38, turut dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memiliki bahan lucah termasuk kesalahan memeras ugut.
Mengikut pertuduhan pertama, Irfan Ahmed didakwa melakukan pemerasan hingga mendorong penyerahan wang tunai RM10,000 oleh Lizah. Perbuatan itu dilakukan Irfan Ahmed di hadapan sebuah restoran di Bukit Beruang jam 12 tengah hari 20 November lalu.

Bagi kesalahan itu, Irfan Ahmed didakwa mengikut Seksyen 383, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua seksaan itu.

Pertuduhan kedua dan ketiga, Irfan Ahmed didakwa memiliki sebuah pemacu pena jenama Kingston dan telefon bimbit mengandungi filem lucah.

Untuk pertuduhan keempat, tertuduh didapati ada dalam kawalannya sebuah komputer riba Dell mengandungi filem lucah.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira jam 7.30 malam di sebuah hotel di Taman Kota Laksamana dan dia didakwa mengikut seksyen sama seperti pertuduhan kedua dan ketiga.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Nizam yang mengendalikan kes memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh dijamin disebabkan lelaki itu adalah warga asing.

Majistret Syajaratudur Abd Rahman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 7 Januari depan untuk tarikh sebutan semula kes.- 21 Dec 13 myMetro

Nurul (AF2) Menang Saman TV3, RM250,000

Posted: 20 Dec 2013 06:22 AM PST


Gambar fail menunjukkan Nurul (kiri) bersama suaminya dalam satu sidang media pada 6 Julai 2011 bagi menjelaskan status mereka.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan TV3 dan empat yang lain membayar ganti rugi RM250,000 kepada bekas Bintang Akademi Fantasia Musim ke-2, Nurullah Zawawi dan suaminya dalam kes saman fitnah berhubung status perkahwinan mereka yang disiarkan dalam program hiburanMelodi dua tahun lepas.
Bernama melaporkan, Hakim Datuk Nor Bee Ariffin juga memerintahkan kelima-lima defendan membayar sejumlah RM70,000 sebagai kos kepada penyanyi itu yang lebih dikenali dengan gelaran Nurul AF2 dan suaminya Mohd Munzil Muhamad selaku plaintif pertama dan kedua.
Nor Bee membuat keputusan itu selepas membenarkan saman yang dikemukakan pasangan itu terhadap TV3, penerbit rancangan Melodi Azman Abd Ghafar, wartawannya Michelle Wee Lili, syarikat Alt Media Sdn Bhd dan abang kandung Nurul iaitu Bustamam Zawawi.
Nor Bee juga memutuskan kesemua defendan gagal membuktikan pembelaan masing-masing dalam kes saman itu.
Pada 5 September 2011, Nurul dan suaminya memfailkan saman terhadap kesemua defendan selepas rancangan Melodi pada 26 Jun 2011, menyiarkan kenyataan berhubung isu perkahwinan mereka yang didakwa berunsur fitnah berserta gambar visual yang merujuk kepada pasangan itu.
Mereka juga mendakwa perkataan serta gambar visual yang disiarkan dalam rancangan itu memberi gambaran bahawa perkahwinan mereka tidak sah di sisi undang-undang dan mereka tidak menghormati ibu bapa serta keluarga.
Pasangan itu yang diwakili peguam David Dev Peter menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, perintah injunksi, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Dalam keputusannya Nor Bee juga berkata perkahwinan Nurul dan suaminya adalah sah mengikut perintah Mahkamah Syariah Hulu Langat yang mengesahkan pernikahan pasangan itu.
Nor Bee membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan saksi plaintif dan defendan.
Sementara itu menurut rekod mStar Online pasangan itu telah membuat sidang media pada 6 Julai 2011 bagi menjelaskan pernikahan mereka di Narathiwat, Thailand tidak pernah membelakangi keluarga.
Keputusan bernikah di negara itu dibuat disebabkan kesukaran Nurul untuk mencari walinya disebabkan statusnya sebagai anak angkat.
Mereka bagaimanapun telah mendaftar perkahwinan berkenaan di Mahkamah Rendah Syarikah Hulu Langat, Kajang, dekat sini.

Culik di Pulau Pom Pom : Pelancong Taiwan Berjaya Diselamatkan

Posted: 20 Dec 2013 03:41 AM PST

Oleh FARIK ZOLKEPLI
PETALING JAYA: Seorang pelancong warga Taiwan yang diculik dari Pulau Pom Pom di luar pantai Sabah pada 15 November lalu telah diselamatkan oleh pasukan keselamatan Filipina, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Menerusi tulisan Khalid di Twitter miliknya, beliau mengucapkan tahniah kepada rakyat Filipina kerana berjaya menyelamatkan Chang An Wei.
"Mangsa telah diselamatkan di Sulu dan dibawa ke hospital di sana.
"Wanita itu akan diterbangkan ke Zamboanga City esok (Sabtu)," kata Khalid, sambil menambah bahawa pihak berkuasa Filipina akan mendedahkan lebih banyak butiran dan perkembangan lanjut berhubung perkara itu.
Dalam insiden pada 15 November lalu, sekumpulan lelaki bersenjata menembak mati suami Chang dan menculiknya dalam satu serbuan di resort di Pulau Pom Pom di luar pantai Semporna di pantai timur Sabah.
Laporan awal menyatakan bahawa kumpulan lelaki bersenjata itu mendarat di villa atas air di Pom Pom Island Resort and Spa dan menggeledah tiga daripada enam villa termasuk satu unit yang didiami oleh mangsa Lim Min Hsu, 57, dan Chang, 58.
Ketika serbuan itu, terdapat 48 pelancong dan kakitangan di pulau itu, tetapi tidak dipastikan jumlah sebenar kesemuanya.
Resort berkenaan terletak kira-kira 1 kilometer dari pangkalan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan keselamatan diperketatkan di perairan dari Semporna ke Lahad Datu di laut Sulu dan Sulawesi sejak kumpulan bersenjata Sulu menyerang Lahad Datu pada Februari lalu.
Menurut laporan awal berhubung insiden tembakan di Pulau Pom Pom, seorang penyelia di resort itu mendengar bunyi tembakan pada pukul 1 pagi Jumaat dan segera memaklumkan mengenainya kepada pihak PGA.
Sejumlah besar anggota PGA segera bergegas ke resort itu di mana mereka mendapati mayat Lin dengan kesan luka dua tembakan di koridor.
Isterinya bagaimanapun hilang dan dia dipercayai telah diculik oleh kumpulan lelaki bersenjata itu, di mana difahamkan mereka menuju ke Pulau Mataking dekat perairan Filipina. -   mStar

Tiada ulasan: