DIALOG RAKYAT |
- Sejak bila umno bukan parti rakyat jelata?
- Syabas Ustaz Kazim!!
- Bantuan RM42.5 Juta Untuk Bapa Tunggal Dalam Tempoh Tiga Tahun Lepas
- Jangan sekadar laung 'Hidup Melayu'
- Ustaz Kazim tolak jawatan MT demi dakwah
- Banjir: Perkembangan terkini di Johor
- Tolak Usul Darurat, UMNO BN Tidak Perihatin Masalah Rakyat Hadapi Banjir
- Air Paras Bumbung, Pusat Pemindahan Banjir Pun Dinaiki Air
- Pemuda 21 tahun korban pertama banjir di Pahang
Sejak bila umno bukan parti rakyat jelata? Posted: 05 Dec 2013 02:48 AM PST TAJUK berita akhbar The Star pada 3 Disember berbunyi "Najib: We must be the people's party". Dalam bahasa Melayu "Najib: Kita wajib menjadi parti rakyat". "Kita" dalam ayat di atas merujuk kepada Umno Soalnya, sejak bila pula Umno bukan parti rakyat? Atau, jadi benarlah seperti didakwa oleh sesetengah pihak bahawa Umno sudah menjadi parti orang bangsawan, parti "warlords" dan parti laki-bini. Ataupun Mohd Najib Abdul Razak sebagai Presiden Umno mengakui selama ini parti itu tidak cukup mengutamakan rakyat jelata, terutamanya orang Melayu dan Bumiputera? Itulah yang terserlah ketika Pilihan Raya Umum (PRU) 5 Mei lalu apabila Mohd Najib begitu menguar-uarkan undi Cina dan India sebagai pemangkin kemenangan Barisan Nasional (BN). Tetapi yang akhirnya menyelamatkan beliau daripada dihanyutkan oleh tsunami Cina adalah oran g Melayu dan Bumiputera di kampung-kampung. Umno Dahulukan Rakyat? Berita Harian pula, pada hari yang sama, memetik beliau sebagai berkata kepemimpinan parti "perlu beri isyarat jelas bahawa Umno sentiasa dahulukan rakyat." Dalam Mohd Najib berikrar, berjanji mendahulukan rakyat, muka depan The Star memuatkan berita bertajuk "Painful but necessary" (sakit tapi diperlukan) yang merujuk kepada kenaikan 14.89 peratus tarif elektrik bagi Semenanjung dan 16.9 peratus bagi Sabah mulai 1 Januari ini. Tarif tidak naik di Sarawak kerana negara itu memilih untuk melaksanakan autonominya dengan tidak menurut jejak kerajaan pusat. Sarawak menjana dan mengedarkan sendiri keperluan elektriknya. BN Sarawak pun tidak serupa dengan BN pusat. Ia terdiri sepenuhnya daripada parti-parti politik negeri. Baru-baru ini, Johor pun menggunakan juga autonominya yang terhad untuk mengembalikan cuti hujung minggu daripada Sabtu dan Ahad kepada Jumaat dan Sabtu. Apakah perhimpunan Umno akan menutup mata kepada keingkaran sivil yang sedang dipamerkan oleh negeri-negeri, termasuk yang diperintah oleh BN, terhadap kuasa kerajaan pusat? Negeri-negeri jelas tambah berani mengambil kesempatan daripada kelemahan kerajaan pusat berikutan PRU 5 Mei lalu untuk melakukan hal-hal yang mereka tidak berani lakukan sebelum ini. Berubah atau business as usual? Soalnya, adakah para pembesar Umno dan perwakilan yang berhimpun di PWTC untuk persidangan tahunan parti itu sekarang sedar akan perubahan yang sedang melanda mereka atau bagi mereka, "it's business as usual"? Apakah slogan rakyat didahulukan akan terus menjadi pemanis kata dan perwakilan akan memberi 'standing ovation" kepada setiap patah perkataan yang Presiden ucapkan? Kalau benar seperti kata Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin bahawa persidangan Pemuda Umno perlu memberi fokus kepada isu rakyat dan kepada peranan kerajaan, melalui agensinya untuk menangani masalah rakyat serta kepentingan Melayu, adakah beliau tahu apakah isu-isu yang mengacau fikiran rakyat? Adakah Pemuda sedang menyusuri laluan yang sama dengan Wanita? Adakah beliau, seorang yang pandai dan memimpin pergerakan yang ramai orang cerdik, berani bercakap dan bertindak isu-isu rakyat seperti beliau ikrarkan? Adakah beliau berani bertindak membanteras rasuah, penyalahgunaan kuasa, pembaziran serta kefoya-foyaan pembesar Umno, anak bini dan konco-konco mereka? Adakah beliau berani menghurai mengapa 1MDB, sebuah syarikat milik negara menghantar RM7 bilion ke syurga cukai (tax haven) Cayman Islands sedangkan kita mempunyai tax haven sendiri di Labuan? Atau adakah Khairy juga sudah disedut ke dalam lubang hitam (black hole) politik yang tidak ada jalan keluar melainkan kemusnahan dan Pemuda Umno sedang menyusuri laluan yang sama yang menjadikan Pergerakan Wanita bahan senda kawan dan lawan? Dan adakah Pergerakan Puteri sekadar penyeri majlis sahaja atau menjadi suara lantang generasi baru wanita Malaysia? Adakah isu mendesak seperti inflasi, pengangguran graduan, rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang diilhamkan oleh Amerika, ekonomi Bumiputera yang makin terumbang-ambing dan diskriminasi sektor swasta terhadap pekerja Bumiputera akan mendapat tempat dalam perbahasan? Cintakan Bangsa, Agama dan Negara atau Cintakan PM? Atau ia akan terus menjadi pentas memuji memuja ala "I love PM" atau menunjukkan kehebatan berlawak jenaka ala Raja Lawak? Wallahuaklam | ||
Posted: 05 Dec 2013 02:46 AM PST Pendakwah bebas, Ustaz Kazim Elias akhirnya membuat keputusan menolak tawaran yang dibuat oleh Najib untuk menduduki kerusi MT UMNO. Beliau memberi tiga alasan penolakannya iaitu komitmen sebagai pendakwah, mahu menjaga urusan pentadbiran Pusat Pendidikan Al-Barakah miliknya dan mahu menjaga nama baik UMNO daripada terus difitnah. Dalam sidang akhbar sebelum ini, beliau dilihat begitu teruja dan bersemangat memperkatakan tentang tawaran menduduki kerusi MT itu sehingga menyebut dengan kedudukannya sebagai ahli MT, beliau bukan saja dapat menasihatkan perkara-perkara berkaitan Islam kepada UMNO tetapi juga kepada Perdana Menteri dan isterinya. Lantaran itu, beliau agak kecewa dengan pelbagai kritikan dan tohmahan yang dilemparkan kepadanya tanpa memikirkan sumbangan bermakna yang boleh dilakukannya. Namun dengan penolakan secara rasmi, bermakna terlepaslah peluang Ustaz Kazim untuk memberi nasihat kepada UMNO, Najib dan juga Rosmah Mansor sebagaimana yang dihasratkannya sebelum ini. Keputusan beliau menolak tawaran menduduki kerusi MT ini bagaimanapun dilihat adalah pilihan terbaik bagi dirinya sebagai seorang pendakwah. Blog ini juga sebelum ini tidak bersetuju jika beliau menerima tawaran menduduki kerusi MT, bukan saja bimbang dirinya hanyut dalam budaya dan kerakusan UMNO sebagaimana beberapa pemimpin agama yang menyertai UMNO sebelum ini tetapi juga dibimbangi jika perananna nanti tidak lebih hanya sebagai pembaca doa saja dalam majlis-majlis rasmi UMNO. Abang Ustaz Kazim, Najmuddin Elias juga tidak bersetuju adiknya menerima perlantikan menduduki kerusi MT dengan pandangan bahawa jika ingin memberi sumbangan mengenai Islam, tawaran yang sepatutnya diberi ialah menduduki jawatan dalam kerajaan yang berkaitan dengan pengembangan Islam dan bukannya menjadi ahli MT UMNO. Di dalam UMNO sendiri, ramai ahli dan pemimpinnya turut berpandangan sama. Mereka bimbang jika dengan menyertai UMNO, sisi buruknya lebih menonjol dan menjadi perhatian sepertimana yang berlaku kepada Nakhaie Ahmad, Yusof Noor, Allahyarham Dr Hamid Othman, Dr Mashitah Ibrahim dan Jamil Khir Baharom. Mereka melihat tawaran itu hanya semata-mata untuk memberi imej baik kepada Najib di mata umum dan seolah-olah beliau seorang pemimpin yang cintakan Islam serta untuk menenggelamkan pelbagai isu berkaitan pembaziran, pemborosan, kemewahan dan kelemahan urus tadbir yang membelenggu Perdana Menteri sejak sekian lama, sedangkan keuntungan di pihak Ustaz Kazim dan juga Islam belum begitu jelas lagi. Lebih dari itu, kecaman daripada dalam UMNO terhadap perlantikan beliau juga semakin kuat kedengaran berikutan beliau bukanlah ahli UMNO dan ia dilihat bertentangan dengan semangat perlembagaannya yang mensyaratkan kelayakan bertanding sebagai ahli MT ialah sekurang-kurangnya pernah menjadi AJK UMNO Bahagian selama sepenggal. Tentulah janggal jadinya jika untuk bertanding terdapat beberapa prasyaratnya tetapi tiba-tiba seorang yang bukan ahli UMNO dan baru keluar daripada Pas, terus dilantik menduduki ketusi MT UMNO. Terbaru, Dr Rais Yatim turut menulis di Twitternya yang berbunyi, " Ustaz Kazim tolak jadi ahli MT UMNO, yang rekomen beliau tu kenalah jawab. Kenapa tak buat kaji selidik dulu. Terus-terus jadi MT salah disisi peraturan." Kesimpulannya jika beliau menerima tawaran menduduki kerusi MT itu, masalahnya lagi banyak dan mungkin berpanjangan. Bukan saja kebaikan kepada dirinya belum pasti, bahkan UMNO juga belum tentu mendapat manfaatnya. Ini kerana selain terdapat kalangan dalam UMNO yang turut tidak bersetuju, kedudukannya yang belum menjadi ahli UMNO turut menjadi pertikaian. Begitu juga dengan kebaikan untuk Islam, turut juga tidak pasti. Tetapi dengan menolaknya, semua terpelihara. Beliau boleh terus berdakwah seperti biasa dan menguruskan sekolahnya. Dakwahnya akan terus berjalan tanpa prasangka. UMNO juga tidak terkait lagi, suara bantahan juga tidak akan kedengaran lagi. Pembangkang juga tidak lagi mengheretnya dengan pelbagai tuduhan dan mengaitkannya dengan UMNO. Yang lebih penting, Ustaz Kazim menolak untuk hanyut sebagaimana contoh nyata yang mendahuluinya. Oleh itu, syabas diucapkan kepada Ustaz Kazim kerana telah membuat pilihan yang betul dan tepat kali ini | ||
Bantuan RM42.5 Juta Untuk Bapa Tunggal Dalam Tempoh Tiga Tahun Lepas Posted: 05 Dec 2013 02:41 AM PST KUALA LUMPUR: Sejumlah RM42.5 juta telah diberikan sebagai bantuan untuk membantu 14,263 bapa tunggal dari anggaran 250,000 bapa tunggal di seluruh negara. Dalam jawapan bertulis kepada soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan bahawa RM42.5 juta telah diberikan kepada bapa tunggal untuk membantu mereka membesarkan anak-anak di antara tahun 2010 dan Jun 2013. Negeri-negeri yang mempunyai jumlah bapa tunggal tertinggi ialah Sabah (2,868), Selangor (2,352) dan Kedah (1,999) diikuti oleh Johor (1,639) , Perak (1,285), Pulau Pinang (919), Terengganu (587) , Pahang (803), Melaka (509), Perlis (446), Kelantan (476), Negeri Sembilan (140), Sarawak (54) dan Wilayah Persekutuan (11). Kementerian itu juga menyatakan bahawa terdapat 253,715 bapa tunggal di seluruh negara, di mana 201,012 adalah duda manakala baki 52,703 bercerai. Mengenai perkara berasingan, kementerian itu berkata 332 suami menjadi mangsa keganasan rumah tangga antara 2008 dan Julai tahun ini di mana mereka itu telah diberikan perlindungan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga. Sebanyak 25 kes keganasan rumah tangga melibatkan suami sebagai mangsa telah dilaporkan kepada polis di antara Januari dan Julai tahun ini. | ||
Jangan sekadar laung 'Hidup Melayu' Posted: 05 Dec 2013 02:34 AM PST Para perwakilan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno semasa persidangan pergerakan ketiga-tiga sayap Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. KUALA LUMPUR - Gagasan progresif yang diperkenalkan Pemuda Umno bukan sekadar sembang kosong atas angin, sebaliknya telah dizahirkan melalui program yang membuahkan perubahan di akar umbi. Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, ini telah terbukti apabila pelbagai isu yang membelenggu rakyat telah diperjuangkan oleh Pemuda Umno. "Lima rukun Pemuda Umno iaitu Berprinsip, Inklusif, Relevan, Proaktif dan Bersatu telah dirangkumkan dalam satu pendekatan baru yang lebih progresif. Progresif bukanlah bermakna lupa diri atau perjuangan asas. "Percaya kepada pendekatan berbeza dan moden juga tidak bermaksud Pemuda menggadaikan identiti dan perjuangan bangsa merdeka. Sebaliknya, melalui pendekatan ini, Pemuda telah bergerak atas dasar politik khidmat bakti sebagai perjuangan kita," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Umno 2013, di sini. Katanya, nasib anak bangsa masih di takuk lama sekiranya pendekatan sekadar melaungkan slogan terus diamalkan. "Walaupun ada di antara kita berasa cukup dengan hanya bersorak 'Hidup Melayu', kita jangan ambil pendekatan serupa. Hidup Melayu itu sudah ketentuan, tapi soalnya kita mahu Melayu hidup bagaimana? "Yang penting ialah hasil dan keberkesanan program kita daripada melaungkan slogan semata-mata. Sudah tentu lebih mulia apabila Melayu hidup bermartabat dari merempat," katanya. Dalam pada itu, katanya, Pemuda juga tidak lagi boleh bergantung dengan formula lama iaitu bertindak sebagai 'geng pendesak'. "Kita membangkitkan semangat dan emosi, tetapi gagal meninggalkan kesan jangka panjang untuk agama, bangsa dan negara. Bukan niat mahu memperkecilkan pendekatan lama di mana Pemuda dilihat sebagai kumpulan pendesak kerajaan pasca merdeka. "Namun, zaman sudah berubah dan masyarakat kini lebih mementingkan keberhasilan dan kebertanggungjawaban. Rakyat tidak lagi lut dengan retorik sekiranya tidak memberi kesan progresif kepada mereka," katanya. | ||
Ustaz Kazim tolak jawatan MT demi dakwah Posted: 05 Dec 2013 02:32 AM PST SUNGAI PETANI - Pendakwah terkenal Ustaz Mohammad Kazim Elias menolak pelantikan sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno kerana mahu menjadi pendakwah yang boleh bergerak bebas dalam usahanya memartabatkan perpaduan umat Islam negara ini. Ketika mengumumkan keputusan itu di hadapan 2,000 orang yang menghadiri ceramahnya di Taman Ria di sini malam tadi, pendakwah itu berkata beliau juga mahu menumpu pada sekolah yang ditubuhkannya, Pusat Pendidikan Al-Barakah di Jalan Maxwell, Ipoh. "Saya tidak mahu dilabel oleh orang ramai mendapat bantuan Umno dengan menerima jawatan MT," kata Mohammad Kazim yang menemui Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin lepas selepas perdana menteri dan presiden Umno mengumumkan pelantikannya itu baru-baru ini. Mohammad Kazim berterima kasih atas tawaran perdana menteri itu namun tetap dengan keputusannya untuk tidak menerimanya. "Saya dah bercakap dengan perdana menteri. Saya ini milik rakyat Malaysia dan bukan milik parti politik. Pengikut kuliah saya lebih suka saya bebas walaupun menyokong agenda perdana menteri yang berusaha memartabatkan Islam," katanya dalam ceramah itu. Mohammad Kazim berkata dalam pertemuan selama sejam dengan Najib di bangunan Parlimen, perdana menteri memaklumkan tawaran untuk melantiknya sebagai anggota MT Umno dibuat selepas mendapatkan pandangan empat Mufti. "Perdana menteri memberitahu pelantikan saya adalah untuk memberi nasihat kepada ahli-ahli Umno dan memperkasakan agenda umat Islam dari peringkat sekolah rendah hingga menengah. "Saya nampak perdana menteri sangat terbuka dalam hal agama dan meminta saya merangka satu sistem pendidikan terbaik bagi membentuk generasi muda menjadi orang yang lebih baik," kata Mohammad Kazim, yang merupakan antara sembilan orang yang dilantik ke jawatan itu pada 29 November lepas. Beliau bagaimanapun tetap kecewa dengan tuduhan orang ramai dalam laman sosial dan blog yang melabelnya dengan pelbagai gelaran seperti syaitan bisu, anak babi, gila glamer dan mahukan duit melalui jawatan dalam MT. "Saya belum lagi beri jawapan mereka dah maki hamun. Macam mana orang Pas yang dikatakan memperjuangkan Islam boleh kata macam tu? Sepuluh tahun saya berkecil hati dengan mereka kerana membuat tohmahan buruk terhadap saya. "Masa Kedah diperintah Pas saya digam walaupun bukan ahli Umno. Poster gambar saya dilukis dengan bertanduk seolah-olah syaitan. Kemuncaknya mereka kata saya anak babi menyebabkan saya ambil keputusan meninggalkan Pas," katanya. - Bernama | ||
Banjir: Perkembangan terkini di Johor Posted: 05 Dec 2013 02:26 AM PST SENAI – Sehingga jam 8 pagi tadi, mangsa banjir di negeri Johor meningkat kepada 9,233 mangsa daripada 1,532 keluarga berbanding 8,705 mangsa yang dilaporkan setakat jam 7 petang, semalam. Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor, Siti Zubaidah Abu Bakar berkata, walaupun bilangan mangsa meningkat keadaan banjir dilaporkan semakin pulih apabila 12 pusat pemindahan ditutup sejak awal pagi ini. "Setakat jam 8 pagi tadi hanya tujuh daerah dilaporkan masih dalam keadaan banjir berbanding lapan daerah semalam. "Daerah yang tidak terjejas termasuk Kulaijaya, Johor Bahru dan Ledang manakala Mersing mencatat bilangan mangsa tertinggi dengan jumlah 5,716 mangsa namun angka yang direkod mula berkurangan. "Sehingga jam 12 tengahari ini kita jangkakan bilangan mangsa banjir akan mula berkurangan susulan keadaan banjir yang semakin pulih," katanya. Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohd Khairi Yakub berkata, setakat ini tiada laporan wabak berkaitan banjir dilaporkan berlaku manakala bekalan ubat kepada pesakit mangsa banjir masih terkawal. "Setakat ini tiada hodpital yang ditutup membabitkan kawasan-kawasan banjir di negeri ini, bekalan ubat kepada mangsa banjir juga dapat dibekalkan dengan terkawal," katanya. | ||
Tolak Usul Darurat, UMNO BN Tidak Perihatin Masalah Rakyat Hadapi Banjir Posted: 05 Dec 2013 02:09 AM PST KELAB GREENBOC Ahli Parlimen Kuantan kesal isu banjir dipandang remeh Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh kesal usul tergemparnya berhubung pengisytiharan darurat di beberapa kawasan yang terbabit dalam banjir di Pahang ditolak sidang Dewan Rakyat, di sini, semalam. Beliau yang ditemui pada sidang media di lobi Parlimen berkata usul itu ditolak Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana memerlukan notis selama dua hari secara bertulis. Fuziah berkata, perkara yang disifatkan sebagai kecemasan harus dipertimbangkan Speaker terutama apabila membabitkan nyawa rakyat. "Saya tidak dapat menyiapkan teks atau notis kerana mendapat banyak aduan sejak awal pagi daripada penduduk terutama di Kuantan, Indera Mahkota dan Paya Besar yang kini berhadapan banjir teruk, yang mana kebanyakan kawasan ini terputus bekalan elektrik dan air. "Mereka juga tidak dibekalkan makanan dam pihak berkuasa seperti polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tidak dapat dihubungi untuk memohon bantuan," katanya. Fuziah turut melahirkan kekesalannya terhadap Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin yang mempersendakannya dan tidak prihatin terhadap kesengsaraan rakyat yang berdepan bencana banjir. Katanya, kerajaan pusat juga lambat menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir dan hanya mula mengarahkan pihak berkuasa untuk memulakan kerja menyelamat apabila usul itu dibentangkan. "Saya kesal dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang kata saya tidak prihatin dengan rakyat kerana meninggalkan kawasan dalam keadaan sekarang. Saya ingin tekankan bahawa kedatangan saya ke sini adalah untuk menggesa kerajaan pusat supaya segera menghulurkan bantuan. "Malam tadi berlaku banjir, tapi hari ini baru ingin mengarahkan pihak berwajib turun memberi bantuan," katanya. Keadaan banjir di Pahang kini semakin buruk dan ramai mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan di negeri itu. -selangorkini LIHAT VIDEO DI SINI | ||
Air Paras Bumbung, Pusat Pemindahan Banjir Pun Dinaiki Air Posted: 05 Dec 2013 02:05 AM PST KELAB GREENBOC Kuantan: Mangsa banjir di Pahang setakat jam 8 pagi tadi mencatatkan jumlah keseluruhan seramai 30,307 orang. Daerah Kuantan masih mencatatkan jumlah pemindahan mangsa banjir tertinggi iaitu 22, 291 orang yang ditempatkan di 48 pusat pemindahan. Di Rompin, sejumlah 4,289 mangsa banjir ditempatkan di 15 pusat pemindahan, membabitkan seribu 1,135 buah keluarga. Manakala di Pekan seramai 3,037 mangsa banjir, masih ditempatkan di 11 pusat pemindahan membabitkan 1,660 buah keluarga. Sementara itu di Maran mangsa yang terjejas banjir ialah 637 orang yang ditempatkan di enam buah pusat pemindahan membabitkan 1,145 buah keluarga. Di Jerantut pula, seramai 25 orang mangsa, daripada dua buah keluarga, ditempatkan di dua buah pusat pemindahan. Sementara itu di Lipis mangsa yang terjejas banjir ialah 21 orang yang ditempatkan di dua buah pusat pemindahan membabitkan 1,004 buah keluarga. Sementara itu di Temerloh mangsa yang terjejas banjir ialah tujuh orang yang ditempatkan di sebuah pusat pemindahan membabitkan 1,001 buah keluarga. Jalan-jalan yang ditutup kepada semua jenis kenderaan ialah: 1. KM 28 Kuantan-Sg Lembing 2. KM 36 Jalan Gambang berhampiran Gambang Resort 3. Bt 3 Jalan Gambang (depan Giant) 4. Lampu trafik Bukit Rangin Kuantan 5. Lampu trafik Shah Putra Kuantan
| ||
Pemuda 21 tahun korban pertama banjir di Pahang Posted: 05 Dec 2013 01:53 AM PST Banjir di Pahang meragut satu nyawa, Mohamed Alif Khalid, 21, yang dijumpai lemas petang semalam di Sungai Kampung Sepial, Kuala Tembeling, Jerantut. Dua beranak, Jamal Ali, 40-an, Anggota Jawatankuasa Umno bahagian Pekan dan anak lelakinya yang dikenali sebagai Megat, berusia belasan tahun, hilang apabila terjatuh ke dalam air semasa memindahkan barang di Perkampungan Sungai Isap kira-kira jam 8.30 malam tadi. Kejadian berlaku dalam keadaan banjir semakin buruk di Pahang dan negeri- negeri pantai timur dengan jumlah yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir semakin meningkat. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan