Khamis, 26 Disember 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Mujurlah Hanya Ada Seorang Hasan Malek Di Negara Ini

Posted: 26 Dec 2013 05:25 AM PST

shahbudindotcom


Berlakunya siri kenaikan harga barang dan perkhidmatan kebelakangan ini diakui oleh semua pihak bakal memberi kesan kepada sokongan rakyat terhadap kerajaan. Ia bukan saja memperlihatkan kegagalan kerajaan menggunakan kuasa yang ada padanya dengan sebaik mungkin, malah sesetengah kenaikan itu juga menunjukkan kegagalan kerajaan menepati janjinya.

Selain Perdana Menteri, wakil-wakil rakyat, ahli akademik, NGO dan sebagainya turut menyedari bahawa kenaikan yang menyebabkan kemarahan rakyat ini akan terus menjejaskan sokongan rakyat kepada kerajaan serta sedang melihatnya sebagai isu yang serius, beberapa pusat kajian bebas turut membuat kajian mengenainya.

Merdeka Center melalui kajiannya mendapati, sokongan rakyat terhadap Najib telah menurun daripada 62 mata kepada 52 mata sejak kenaikan ini dilakukan manakala Umcedel pula mendapati isu kenaikan harga barang ini turut menjejaskan sokongan yang diterima kerajaan dan akan menentukan keupayaan memenangi pilihanraya ke 14 nanti.

Pihak pembangkang pula kini sedang menangguk sokongan yang kian melimpah berikutan kemarahan rakyat yang sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi. Sementara kenaikan ini diyakini akan terus menyebabkan pengundi bandar dan separa bandar terus bersama PR, BN juga dipercayai akan mula kehilangan sokongan pengundi luar bandar kerana kenaikan harga barang ini telah mendatangkan kesan yang merata kepada rakyat.

Hakikatnya semua orang bercakap tentang kenaikan harga barang dan perkhidmatan ini bakal memberi kesan kepada BN dan kerajaan jika tidak ditangani segera.

Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hassan Malek dengan bangganya menolak bahawa kenaikan harga barang ini akan menjejaskan sokongan rakyat kepada kerajaan. Perkara ini, katanya, hanyalah masalah kecil saja.

Beliau juga menolak hasil kajian Umcedel yang meramalkan sokongan rakyat kepada BN merosot berikutan kenaikan kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat.

Penolakan Hasan Malek ini seolah-olah memperlihatkan beliau tidak pernah merasai denyut nadi rakyat yang sedang gelisah sekarang ini. Apakah beliau tidak sedar atau tidak mahu sedar apa yang sedang berlaku di sekelilingnya sekarang ini?

Sebagai wakil rakyat di Kuala Pilah dan menteri yang terlibat dengan hal ehwal pengguna, adalah mustahil hanya respon yang baik-baik saja diterimanya setiap hari. Atau mungkin pegawai dan orang bawahannya tidak menyampaikan maklumat yang betul kepadanya?

Dengan menolak hasil kajian Umcedel yang tidak memihak kepada kerajaan, Hasan Malek juga terlihat masih terbelenggu dengan pemikiran bahawa kerajaan adalah betul segala-galanya atau kerajaan tahu segala-galanya sedangkan Perdana Menteri sering kali mengingatkan kepada menteri-menteri kabinetnya supaya membuang pemikiran itu.

Dalam hal ini, Hassan nampaknya masih terbuai dengan khayalannya. Mungkin sebab itulah agaknya baru-baru ini beliau sanggup hadir sebagai penonton di program Maharaja Lawak Mega walaupun ada siaran langsung di televisyen. Tidaklah salah hadir di program itu tetapi dengan mempamerkan riang gembiranya dan bertepuk sorak di program itu, ia secara langsung juga menonjolkan mentalitinya sebagai pemimpin.

Biasanya seseorang menteri hadir di program sebegitu hanya untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang atau seumpamanya sahaja. Kalau ingin bertepuk sorak dan bergembira, menonton di rumah atau bersama kawan-kawan rapat sudahlah!

Dalam masa yang sama, dengan menolak hasil kajian Umcedel dan seperti sedikit angkuh menyatakan sokongan rakyat tidak merosot kerana kenaikan harga barang ini, ramai yang teringat kembali komennya agar jangan makan ayam apabila harga ayam naik menjelang hari Raya Aidil Fitri yang lalu.

Ramai yang marah dan mencemuh beliau atas komennya yang tidak sensitif kepada keperluan rakyat itu. Beliau seolah-olah tidak tahu bahawa ayam adalah salah satu keperluan setiap kali musim perayaan untuk dibuat rendang dan sebagainya.

Saranannya supaya beralih kepada ikan dan daging pula lebih jauh tersasar dalam usaha meringankan beban rakyat memandangkan kedua-duanya lebih mahal daripada harga ayam. Terlihat bahawa beliau seorang menteri yang tidak tahu apa-apa dalam tugasnya.

Hasilnya, beliau adalah anggota kabinet pertama yang dianugerahkan gelaran "menteri cap rakyat" oleh beberapa blog dan laman sosial.

Kemudian, beliau juga gagal menjawab di Parlimen apabila ditanya oleh Rafizi Ramli mengenai mengapa harga gula negara kita lebih mahal berbanding beberapa negara lain berikutan harga gula mentah sedang menurun harganya. Sekali lagi beliau menonjolkan dirinya sebagai menteri yang tidak tahu apa-apa apabila menjawab, "saya tidak dapat menjawabnya sekarang kerana ia memerlukan pengiraan terlebih dahulu".

Rafizi kemudian menyindirnya dengan berkata, "lain kali kira dulu sebelum naikkan harga, bukannya naikkan dulu, baru kira".

Sebenarnya banyak lagi komen atau respon daripada Hasan Malek ini yang didapati tidak menggambarkan dirinya seorang pemimpin yang berbeza keupayaannya dengan rakyat biasa atau menteri yang mewakili rakyat, malah kadangkala tesasar jauh daripada hakikat yang sebenarnya berlaku. Dalam banyak keadaan, Hasan Malek adalah antara pemimpin yang langsung tidak membantu UMNO, BN dan kerajaan dalam memenangi hati rakyat bagi menghadapi pilihanraya akan datang.

Beliau lebih banyak menjadi bahan persendaan, cemuhan dan kadang-kadang lawak jenaka kerana respon atau pandangan yang dikeluarkannya.

Tetapi, mujurlah hanya ada seorang saja pemimpin seperti beliau di negara ini.

Penganjur nafi himpunan 31 Disember untuk guling kerajaan

Posted: 26 Dec 2013 04:58 AM PST

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menafikan himpunan pada malam 31 Disember ini bertujuan untuk menggulingkan kerajaan sebaliknya berpegang kepada objektif mendesak kerajaan menurunkan punca kenaikan kos sara hidup.

Pengerusinya, Badrul Hisham Shaharin (gambar) atau juga dikenali sebagai Che'Gu Bard berkata himpunan tersebut tidak akan mampu melawan kekuatan pihak berkuasa dan menyifatkan pihak yang  gemar memburuk-burukkan perhimpunan itu terpengaruh hasutan kerajaan.

"Mereka berkejar bertindak kerana hasutan Barisan Nasional (BN).  Kredibiliti polis jelas hilang di sini. Polis perlu tenang kerana  dakwaan menggulingkan kerajaan itu perang saraf jahat regim yang takut dengan kesedaran rakyat.

"Himpunan kami adalah himpunan membantah kenaikan kos meningkat tanpa kawalan. Kami turun secara aman. Semua kuasa ada pada 'regim'. Apa mampu kami buat?" katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada The Malaysian Insider.

Sebuah gabungan yang terdiri daripada Pemuda Umno Pekan, anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Kemajuan Kampung (JKKK), persatuan pesara, bekas tentera dan polis dan beberapa pertubuhan lain membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Pekan semalam bagi meminta tindakan tegas diambil terhadap mereka yang merancang mengadakan 'Himpunan Guling Kerajaan' pada 31 Disember ini.

Wakil mereka yang juga Ketua Penerangan Pemuda Umno Pekan, Asmayudim Uyub berkata, mereka bimbang tanpa tindakan awal himpunan itu akan menimbulkan kejadian tidak diingini selain mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mengheret rakyat ke jalanan untuk menggulingkan kerajaan.

Badrul Hisham berkata, pihak yang membuat laporan polis sememangnya mempunyai hak untuk berbuat demikian namun sebanyak 15 laporan polis yang dibuat berhubung dakwaan bekas ketua Cawangan Siasatan Jenayah Datuk Mat Zain Ibrahim terhadap Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail masih belum ada tindakan.

"Laporan polis hak individu tetapi yang rakyat nak tengok ialah sama ada polis mampu bertindak dengan bijak atau tidak," katanya yang menjangkakan ramai peserta akan menghadiri perhimpunan itu akibat tertekan dengan kenaikan kos sara hidup.

Media hari ini melaporkan sekumpulan anggota polis dipercayai datang ke kediaman Badrul Hisham termasuk ke kediaman ibu bapanya di Bukit Chedang, Seremban pada tengah malam tadi.

Pengarah Propaganda SAMM Edy Noor Reduan berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada keluarga Badrul Hiisham, seramai sembilan anggota polis beruniform dan berpakaian preman hadir menaiki dua kereta dan satu van polis.

Ketika diminta mengulas insiden itu, Badrul Hisham berkata: "Saya sedia beri kerjasama dengan polis. Itu saja.

SAMM dalam satu kenyataan semalam memberitahu sebuah panitia yang terdiri daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan aktivis anak muda dan kumpulan mahasiswa telah ditubuhkan.

NGO itu berkata panitia yang dinamakan Gerakan 3112 ditubuhkan bagi memastikan himpunan pada malam tahun baru 31 Disember ini lebih tersusun dan berjalan lancar.

"Gerakan 3112 menggesa penyertaan orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat memilih Dataran Merdeka sebagai tempat berhimpun pada malam 31 Disember bagi menuntut segala punca kenaikan kos sara hidup diturunkan segera.

"Ini adalah sebuah protes dari rakyat untuk rakyat merentasi batasan parti politik mahupun fahaman agama," jelas NGO itu yang mengesahkan tiada pemimpin parti politik terlibat dalam perhimpunan tersebut.

SAMM berkata, Gerakan 3112 ditubuhkan untuk menyelaras tiga perkara penting iaitu sebelum, semasa dan selepas himpunan seperti mengatur perikatan dengan kumpulan peguam dalam soal perundangan, persediaan pasukan perubatan dan arahan keselamatan pada 31 Disember.

Katanya, Gerakan 3112 mensasarkan objektif membawa semua peserta himpunan masuk ke Dataran Merdeka walau apa pun halangan bermula jam 10 malam dan berhimpun secara aman serta bertahan selama yang boleh.

"Seluruh kekuatan peserta disaran berkumpul di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada jam 9 malam dan mula bergerak masuk ke Dataran Merdeka pada 10 malam.

"Semua peserta diminta berpakaian serba hitam, membawa bendera kebangsaan dan tidak digalakkan membawa bendera parti politik. Pengumuman rasmi dan arahan terbaru akan disiarkan melalui laman Facebook Gerakan 3112 dan #RakyatPilihDataranMerdeka31Dis," katanya.

Demo bantah KDN satu kewajipan

Posted: 26 Dec 2013 04:39 AM PST



Oleh H FANSURI



"Potonglah kaki tangan seseorang lalu masukkan di tempat 2 x 3 meter dan berilah kebebasan padanya. Inilah kemerdekaan pers di Indonesia..." ~ Soe Hok Gie.

Perkara ini tertuang dalam lembaran catatan diari peribadi Soe Hok Gie, seorang mahasiswa beraliran sosialis, komunis apabila beliau menyatakan sikapnya mengenai amalan dan dasar kebebasan akhbar di negaranya. Diari peribadi itu kemudiannya dibukukan dengan judul; Catatan Seorang Demonstran.

Jauh di Timur Tengah, agak menakjubkan saat Presiden negara haram Israel; David Ben-Gurion mengungkapkan, "The test of democracy is freedom of criticism..."

Ben-Gurion adalah antara penyokong Zionis. Ketika berkuliah di Universiti Warsaw, beliau bergabung dengan pertubuhan Marxis Poale Sion pada 1904. Dia ditahan dua kali dalam Revolusi Rusia pada 1905. Akhirnya, beliau terpaksa berhijrah ke Palestin setahun berikutnya.

Pada tahun 1912, Ben-Gurion berhijrah ke Istanbul, Turki, bagi mengikuti kuliah hukum di Universiti Istanbul itu. Di sinilah beliau menceburi kerjaya sebagai wartawan.

Dan, selepas tiga tahun bekerja wartawan, beliau diusir. Mungkin ketika inilah David Ben-Gurion, mengungkap hal yang berkaitan kebebasan dalam kewartawanan, "The test of democracy is freedom of criticism..." ~ Ujian ke atas demokrasi adalah kebebasan untuk menegur.

Dua cebisan kisah kecil ini bererti, hatta Soe Hok Gie, seorang siswa Cina beraliran Sosialis, Komunis, dan juga Yahudi Zionis David Ben Gurion yang dikenali kejam lagi zalim sekali pun, turut peduli ke atas amalan kebebasan akhbar.

Bagaimanapun, isu kebebasan akhbar mutakhir ini seolah-olah tidak ghairah dibincangkan. Malah, penerbit akhbar dan masyarakat wartawan sendiri tidak bersatu dalam membangkitkan soal tekanan-tekanan yang ditimbulkan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke atas mereka.

Kalau wartawan dan pemilik akhbar sendiri jarang-jarang menunjukkan sikap melawannya, maka bagaimanakah rakyat ingin menyerap derita tekanan yang ditanggung oleh kalangan wartawan, pemodal dan pemilik akhbar itu? Sementara itu, pihak KDN akan terus kekalkan sikap berdiam diri sebagai cara bagi menyelamatkan diri.

Dalam perkembangan terkini, penerbit akhbar The Heat berkata KDN akan memberi jaminan bahawa KDN akan berlaku adil dalam mempertimbang rayuan penggantungan permit penerbitan mingguan itu. Kenyataan pihak pengurusan The Heat itu dilaporkan selepas diadakan satu pertemuan antara pengarang akhbar dan pegawai KDN.

Agak aneh bila melihat sikap KDN itu dirumuskan oleh pihak pengurusan The Heat. Sepertinya, KDN tidak hendak memberi sebarang kenyataan kerana menyedari akan kezaliman yang sedang mereka rancang ke atas penerbitan akhbar itu.

"Pihak pengarang telah bertemu dengan pegawai-pegawai KDN sekali lagi hari ini dan kami memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kementerian untuk menyelesaikan perkara ini.

"Pihak kementerian memberikan jaminan yang mereka akan mempertimbangkan rayuan untuk menarik balik penggantungan ini secara adil dan segera," kenyataan itu dipetik daripada kenyataan pihak pengurusan The Heat.

Akhirnya, setiap akhbar akan berhasil ditundukkan oleh KDN dengan peristiwa 'membuli' akhbar-akhbar yang tertindas ini daripada semasa ke semasa. Kitaran ini akan terus berterusan bagi menumbuhkan rasa takut yang ketara jelas di mana-mana.

"Freedom of the Press, if it means anything at all, means the freedom to criticize and oppose," berkata George Orwell (Eric Arthur Blair), sasterawan Inggris yang terkenal dengan karya Nineteen Eighty-Four dan Animal Farm itu.

Lewat memoir Mikhail Bulgakov; Manuscripts Don't Burn: Mikhail Bulgakov A Life in Letters and Diaries, tertuang ayat-ayat yang melawan usaha penapisan, "To struggle against censorship, whatever its nature, and whatever the power under which it exists, is my duty as a writer, as are calls for freedom of the press. I am a passionate supporter of that freedom, and I consider that if any writer were to imagine that he could prove he didn't need that freedom, then he would be like a fish affirming in public that it didn't need water."

Ketika Mikhail Bulgakov, pengarang novel The Master and Margarita dari Rusia menganggap penulis yang tidak ingin kebebasan seperti ikan yang mendakwa bahawa mereka tidak perlukan air untuk hidup, maka John Lewis, seorang pemimpin hak asasi manusia berkata...

"We live in a country where we're supposed to have freedom of the press and religious freedom, but I think to some degree, there's a sense of fear in America today, that if you say the wrong thing, what some people will consider what is wrong, if you step out of line, if you dissent, whether you be an entertainer, that somehow and some way this government or the forces to be will come down on you."

Ini luahan seorang pimpinan hak asasi Amerika Syarikat yang dilihat menjuarai amalan kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara. Di Malaysia, KDN sudah dedahkan ketakutannya sendiri dengan mengelak bercakap-cakap dengan media selepas mereka menggantung permit The Heat.

Tidak syak lagi, keberanian dan kesedaran rakyat itulah yang membuatkan KDN akan semakin tertekan. Tindakan menurunkan rakyat ke jalan raya untuk bantah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) mesti dilakukan segera. Tertekannya KDN dan Najib Razak, bererti zaman kekuasaan mereka semakin menuju era kemerosotan.

Siti Zailah arah Muslimat seluruh negara turun demo

Posted: 26 Dec 2013 04:33 AM PST

SAIDAH HAIRAN 


KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusof menyeru Muslimat seluruh negara turun ke himpunan aman dan penyerahan memorandum kepada kedutaan Bangladesh, Jumaat, 27 Disember ini.

Menurut beliau, penyertaan ahli dan pimpinan Muslimat di semua peringkat amat penting sebagai tanda bantahan terhadap keganasan dan kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan Bangladesh terhadap umat Islam di negara tersebut.

Katanya, nyawa umat Islam dibunuh sewenang-wenangnya oleh rejim Bangladesh tanpa ada belas dan sifat keperikemanusiaan.

Beliau menegaskan, tindakan zalim itu merupakan pencabulan hak asasi yang diluar perikemanusiaan dan harus ditentang oleh seluruh umat dunia secara habis-habisan.

"Saya menyeru dan berharap ahli dan Muslimat seluruh negara di semua peringkat cawangan, kawasan dan negeri turun beramai-ramai pada hari Jumaat di kedutaan Bangladesh," katanya.

Tegas beliau ia sebagai tanda bantahan terhadap kezaliman di Bangladesh dan umat Islam tidak boleh diperkotak katikkan.

Beliau berkata, sebelum ini seluruh dunia dikejutkan dengan hukuman gantung sampai mati terhadap Penolong Setiausaha Agung Jamaat-e-Islami Bangladesh Abdul Quader Mullah.

Tindakan itu tegas beliau menunjukkan kerajaan Bangladesh tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat khususnya Jamaat-e-Islami.

Himpunan Turun: Polis cari CheGu Bard

Posted: 26 Dec 2013 04:32 AM PST

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Sekumpulan anggota polis dilapor datang ke kediaman Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Che'GuBard (gambar) termasuk kediaman ibu bapanya di Bukit Chedang, Seremban pada tengah malam tadi, kata Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan.

Menurut Edy, berdasarkan maklumat yang diterima daripada keluarga che'GuBard, seramai sembilan anggota polis beruniform dan berpakaian preman diketuai Inspektor Zaafar, hadir menaiki dua kereta dan satu van polis.

"Gagal mendapatkan che'GuBard yang ketika ini mempunyai urusan di luar negara, Inspektor Zaafar hanya meninggalkan nota untuk dihubungi.

"Apabila ditanya apakah tujuan kedatangan pihak polis, dan adakah ia berkenaan himpunan protes rakyat 31 Disember di Dataran Merdeka, Inspektor Zaafar tidak pasti tetapi menegaskan ia adalah arahan Bukit Aman untuk 'bertemu' che'GuBard," ujarnya.

Menurut Edy, walaupun pihak polis telah beredar, namun keluarga che'GuBard memaklumkan terdapat kenderaan dengan dua individu tidak dikenali berada tidak jauh dari kawasan rumah beliau.

Edy tidak menolak kemungkinan individu tersebut ialah anggota polis yang dalam usaha mencari che'GuBard.

"che'GuBard yang hanya pulang pada awal pagi esok memaklumkan bahawa beliau akan menghubungi Inspektor Zaafar berdasarkan nota yang ditinggalkan sebaik sahaja tiba di dalam negara.

"Sebagai warga yang baik, che'GuBard akan hadir sendiri ke mana-mana balai polis jika diperlukan," katanya.

Himpunan 31 Dis : BN takut bayang-bayang sendiri

Posted: 26 Dec 2013 03:09 AM PST

SALMAH MAT HUSAIN 


PASIR MAS:  Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan mengingatkan pimpinan kerajaan Pusat agar tidak takut dengan bayang-bayang  sehingga memesongkan  himpunan 31 Disember ini  bertujuan menggulingkan kerajaan.

Katanya, pelbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin BN disamping laporan polis yang dibuat agar pihak berkuasa menyekat himpunan ini, membuktikan pemimpin kerajaan takut dengan baying-bayang sendiri.

( Gambar ) Ustaz Fadhli menyampaikan peralatan sekolah kepada dua orang kanak-kanak dalam program turun ke bawah di dun pasir pekan (gambar, kiri).

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tidak timbul langsung isu untuk menggulingkan kerajaan seperti yang dihebohkan oleh banyak pihak.

Sebaliknya tambah beliau lagi, ia hanyalah himpunan bagi menyatakan bantahan terhadap pelbagai kenaikan harga barang dan perkhidmatan khususnya menjelang tahun baru 2014.

"Saya menyeru pemimpin Barisan Nasional agar membuka mata dan telinga mendengar rintihan rakyat terhadap kenaikan pelbagai barangan dan perkhidmatan ini khususnya menjelang musim kembali ke sekolah.

"Semuanya akibat urus tadbir yang lemah dan penuh dengan rasuah dan korupsi yang diamalkan oleh Barisan Nasional. Inilah yang seringkali dibuktikan oleh Laporan Ketua Audit Negara saban tahun," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke 20 buah rumah keluarga berpendapatan rendah di DUN Pengkalan Pasir, untuk menyampaikan sumbangan peralatan sekolah.

Fadhli yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas turut diiringi Anggota Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas.

Fadhli seterusnya memberitahu, tuduhan yang dilontarkan  himpunan itu bertujuan menggulingkan kerajaan, hanya  perasaan takut pada bayang-bayang sendiri.

Beliau seterusnya berkata, bagaimana mungkin rakyat marhaen yang hanya berhimpun tanpa sebarang senjata boleh menggulingkan kerajaan.

Mengulas berhubung perhimpunan yang bakal dianjurkan TURUN 31 Disember ini, beliau memberitahu ia semakin mendapat perhatian di seluruh negara terutama selepas pengerusinya, Muhammad Azan Safar ditangkap pihak polis pada 23 Disember lalu.

"Saya penuh yakin, jika BN  berterusan menekan rakyat seperti ini dan menggunakan kekerasan untuk menyekat sebarang perhimpunan aman yang dibenarkan oleh perlembagaan, kita akan menyaksikan kebangkitan rakyat secara besar-besaran di seluruh negara untuk bangkit melawan kezaliman yang ditaja oleh Barisan Nasional," tambah beliau.

Kenaikan Tol di Malaysia RM0.50 – RM2.00. Mana Satu Pilihan Rakyat? Naik Tol @ Cukai Naik?

Posted: 26 Dec 2013 03:07 AM PST

 


Kenaikan Tol Malaysia



Pilihanraya umpama ikatan perkahwinan antara pemimpin politik yang dahagakan tampuk kuasa dengan rakyat marhaen. Sebelum kahwin acapkali menjanjikan bulan dan bintang kepada pasangan iaitu anda sebagai rakyat Malaysia. Tetapi, malangnya selepas berkahwin terus bertukar kepada wajah sebenarnya. Cakapnya, tindakannya, perlakuannya…..

Kalau Tol Tidak Naik, Cukai Akan Naik

Datuk Seri Najib Razak hari ini mempertahankan langkah kerajaan untuk menaikkan kadar bayaran tol dan berkata, sekiranya harga tol kekal, Putrajaya terpaksa menaikkan kadar cukai.
Menurut Perdana Menteri, pihaknya bagaimanapun sedang meneliti beberapa kaedah untuk memberikan kesan minimum kepada pengguna tol tetap untuk mengelakkan mereka terbeban dengan kenaikan kadar berkenaan.
"Kalau tak kena tol kita kena naikkan cukai. Cukai ni kena semua. Tol orang lalu akan bayar. Tapi kerajaan memikirkan agar kenaikan ini tidak akan memberi keuntungan tak munasabah kepada tol operator.
Sumber : Malaysian Insider
Datuk Seri Najib Razak telah memberikan kata dua kepada rakyat Malaysia, samada tol naik atau cukai naik? Disebabkan rakyat Malaysia tidak semuanya menggunakan tol setiap hari, maka kenaikan tol "dihalalkan". Adakah ini antara alasan yang wajar daripada seoarang yang bergelar Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Malaysia?
  • TOL = Cukai
  • Adakah kita bayar cukai setiap kali melalui lebuhraya?
  • Adakah minuman percuma di setiap hentian rehat?
  • Bukankah selama ini kita membayar kos perkhidmatan apabila menggunakan lebuhraya?
  • Adakah harga makanan dan minuman murah atau lebih rendah di mana-mana R &R di sepanjang jalan?
Bukankah kerajaan berjanji untuk menurunkan kadar tol di Malaysia. Mengapa cepat benar bertukar kenyataan?

Tol di Malaysia Naik
Manifesto Barisan Nasional PRU Ke 13

Macammanalah perjanjian sebegini rupa boleh dipersetujui bersama. Betul-betul menekan rakyat bawahan. 

Pada pendapat Berita Semasa sepatutnya mana-mana pemegang konsesi telah pun mendapat break even, kadar tol yang dikenakan sepatutnya dikekalkan untuk tujuan hanya bagi tujuan menampung penyelenggaraan yang dilakukan hanya sekali sekala. Kerajaan telah buat silap melibatkan perjanjian dengan pemegang konsesi tol dan Berita Semasa berharap perjanjian yang cukup berat sebelah dengan pemegang konsesi tol seperti mana yang berlaku pada perjian dnegan pemegang IPP (SEPERTI DI SINI) disemak semula dengan segera.

Ini kerana dengan kenaikan tol, bakal memberikan impak hebat ditambah dengan kenaikan tarif elektrik (KLIK SINI), dan juga kenaikan harga minyak (SEPERTI DI SINI). Dalam jangka masa pendek, semua kos akan meningkat seolah-oleh tembok Iskandar Zulkarnain sudah tidak dapat menahan Yakjuj dan Makjuj ini. Apa pendapat balas anda pula mengenai gelombang dan kesan rantaian dek kerana kenaikan tol selepas ini?

"Guling Kerajaan": Kain Rentang Memfitnah Pakatan Dikesan

Posted: 26 Dec 2013 03:02 AM PST


KELAB GREENBOC
 
 
Sungai Jarum - Pemuda Pas Kuala Langat kesal tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengaitkan PR dengan penggantung kain rentang mengajak masyarakat menyertai perhimpunan menggulingkan kerajaan pada 31 Disember ini.

Ketuanya, Hairul Nizam Tohar berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang cuba mengganggu gugat keharmonian dan kesejahteraan penduduk negara ini.

Menurutnya, pihaknya masih percaya sistem demokrasi dan menghormati ketenteraman awam, namun jika menyalahgunakan nama dalam mengajak masyarakat untuk menjatuhkan sesuatu pihak tidak sepatutnya berlaku.

"Saya menerima maklumat satu kain rentang telah digantung di Jalan Telekom Lama, Banting sekali gus mengarahkan ahli supaya menurunkan kain rentang terbabit supaya tidak meragukan masyarakat.

"Tindakan itu menunjukkan ada unsur sengaja ingin menjatuhkan imej PR selain menunjukkan sikap tidak profesional mereka dalam menimbulkan isu baru," katanya kepada Sinar Harian di pejabatnya.

Hairul Nizam berharap penyebaran fitnah seperti itu dihentikan supaya tiada berlakunya sikap menuding jari.

Katanya, orang ramai juga diharapkan segera melaporkan kepada polis sekiranya menerima maklumat berhubung pemasangan kain rentang berkenaan.

Selain itu, Hairul Nizam berkata, pihaknya difahamkan pemasangan kain rentang berkenaan bakal dipasang lagi namun pihaknya mengambil langkah berwaspada untuk membanteras pemasangan tersebut daripada berleluasa.

Dalam pada itu, semalam, lebih 20 ahli Pemuda Umno Bahagian Kuala Langat, Puteri Umno Bahagian Kuala Langat bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan bantahan secara aman mengenai pemasangan kain rentang mengajak masyarakat menyertai aktiviti menggulingkan kerajaan pada 31 Disember di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat. -SH

Berakhirnya era Soi Lek..

Posted: 26 Dec 2013 02:52 AM PST



Oleh Lim Hong Siang


CHUA Soi Lek secara rasminya berundur selaku Presiden MCA setelah saf pimpinan baru terpilih pada hujung minggu lalu. Untuk lebih dua dekad Chua menceburi arena politik, tetapi tidak banyak "legasi" yang ditinggalkannya sepanjang tiga tahun beliau menerajui tampuk kuasa tertinggi dalam MCA.

Barangkali Chua lebih dikenang dengan skandal seksnya, meskipun kebanyakan orang percaya bahawa VCD tersebut dirakam oleh musuh dalam selimutnya, sebagai senjata untuk menghalang kemaraan Chua ke atas tangga kuasa dalam MCA.

Ironinya, panah yang terkena pada tumit Chua ini gagal menamatkan hayat politiknya pada tahun 2008, sebaliknya beliau kembali dalam tempoh 10 bulan untuk merebut jawatan Timbalan Presiden MCA. Beliau terus diserang dengan senjata yang sama oleh Ong Tee Keat, Presiden MCA ketika itu yang khuatir kedudukan dirinya diancam oleh Chua.

Akhirnya mereka yang mahu menghapuskan Chua, dihapuskan oleh Chua sebaliknya. Ong Ka Ting bersama Ong Tee Keat tewas dalam pertandingan tiga penjuru untuk jawatan Presiden dalam pemilihan semula MCA pada tahun 2010. Jelas, anda boleh menyindir Chua dengan skandalnya, tetapi anda terpaksa mengkagumi kecekalan dan kesungguhan Chua melawan sepanjang hayat politiknya.

Persoalannya, mengapa Chua boleh menang dalam pemilihan MCA, dalam situasi dirinya terpalit dengan skandal, tetapi gagal memimpin partinya untuk mencapai kemenangan dalam PRU13? Jawapan paling mudah untuk memperlekehkan MCA adalah kualiti pemimpin MCA ditentukan kualiti anggotanya.

Perwakilan MCA tidak lagi mewakili suara rakyat, sehingga pemimpin yang terpilih tidak mencerminkan aspirasi majoriti masyarakat Cina secara khususnya.

Namun, jawapan mudah dengan sekadar menyebut "skandal seks" tidak memberi gambaran sepenuhnya.

Kemenangan Chua dalam MCA memperlihatkan Chua seorang pemimpin yang bijak mengatur strateginya ketika bertempur di gelanggang MCA. Beliau memastikan dirinya memperolehi undi yang secukupnya daripada perwakilan untuk menang, tatkala calon yang lain sibuk untuk meraih populariti di kalangan masyarakat Cina dengan cubaan untuk menarik tumpuan media. Chua cukup sedar bahawa peraturannya direka sebegitu, dan percaturan strateginya tertumpu untuk mencapai kemenangan.

Tetapi mengapa pula MCA di bawah pimpinan Chua gagal dalam PRU13? Kerana Chua tidak sedar bahawa gelanggang telah berubah di luar MCA. Misalnya, Chua masih yakin bahawa serangan isu hudud mampu menyelamatkan MCA, kerana pengalaman PRU pada tahun 1999 dan 2004 membuktikan sedemikian. Chua seolah-olah tidak peka dengan isu politik baru yang semakin hangat bahangnya, contohnya Lynas, Bersih, Teoh Beng Hock dan sebagainya.

Maka beliau mengitar semula retorik lama, misalnya menekankan "kestabilan" ketika berdepan dengan suara bantahan masyarakat Cina. Chua terlupa bahawa huru-hara tidak berlaku selepas 8 Mac 2008, lantas hilang mujarabnya ugutan sebegini di kalangan masyarakat Cina.

 Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011, malah mempunyai pengalaman yang terharu sepanjang penyertaan dalam aktiviti perhimpunan.

Keberanian dan ketegasan Chua dalam sesetengah aspek dipuji, contohnya beliau berani menyahut cabaran untuk berdebat dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Malah Chua berani mempertaruhkan nasib MCA dengan mengugut untuk tidak masuk Kabinet seandainya prestasi MCA lebih teruk daripada apa yang tercapai dalam PRU12. Namun, keberanian sahaja tidak membawa MCA ke mana-mana. Ketika ditemu bual Malaysiakini, pengamat politik, Phoon Wing Keong berkata, seandainya Chua memiliki keberanian dan ketegasan yang setimpal untuk menarik diri (MCA) daripada Barisan Nasional pada saat-saat yang genting, supaya sistem dua parti direalisasikan, sudah tentu makna sejarah yang dibawa Chua dan MCA akan berbeza.

Kesilapan terbesar Chua adalah kegagalan beliau untuk mara ke depan sejajar dengan langkah perubahan politik. Beliau mengandaikan dirinya boleh meraih sokongan masyarakat Cina, sebagaimana beliau meraih sokongan perwakilan MCA.

Maka beliau cuba mengulangi formula yang sama, misalnya menakut-nakutkan masyarakat Cina dengan isu hudud, sedangkan masyarakat Cina cukup sedar bahawa isu hudud bukan tumpuan, sebaliknya isu rasuah, penyalahgunaan kuasa, jurang kaya-miskin, pencabulan kebebasan dan demokrasi dan sebagainya, lebih penting daripada isu yang cuba dimainkan MCA
di bawah pimpinan Chua. Iktibarnya, pemimpin politik perlu peka terhadap perubahan persekitarannya. Formula untuk menang yang berkesan pada 10 tahun yang lalu, tidak semestinya memberi kesan yang sama selepas 10 tahun. Isu yang mungkin dirasakan paling penting di kalangan puak anda, tidak semestinya sama penting untuk orang lain.

Jikalau dikupas selanjutnya, pengulangan formula untuk menang, atau kitaran semula isu basi barangkali juga disebabkan ketandusan idea. Ia mungkin berkaitan dengan kemalasan politikus untuk berfikir, atau kebodohan yang membataskan perspektifnya. Seseorang pemimpin politik bukan sekadar respons kepada isu, tetapi merungkai apa yang terjadi pada zamannya. Beliau perlu tahu ke manakah halatuju parti yang dipimpinnya, dan masyarakat apakah yang mahu dibentuknya pada masa depan.

Jelas, Chua gagal memberi jawapan untuk dua persoalan di atas, lantas tidak banyak yang ditinggalkannya untuk MCA. Pengundurannya sudah tentu memberi makna lebih daripada "bahan sindiran" semata-mata, tetapi juga sebagai iktibar untuk semua pemimpin politik di Malaysia.

Membazir masa sahaja!

Posted: 26 Dec 2013 02:49 AM PST



Oleh SELENA TAY 


KERAJAAN telah menyatakan hasrat untuk menubuhkan sebuah makmal untuk mengkaji bagaimana peningkatan kos sara hidup memberi kesan atas kehidupan harian rakyat.

Semua 20 orang yang diwawancara oleh penulis ini berpendapat bahawa langkah tersebut adalah satu langkah yang membazir masa sahaja dan kebarangkalian membazir wang juga. Ini adalah kerana maklumat yang dikehendaki oleh kerajaan boleh diperolehi dengan mudah melalui tinjauan rakyat.

Lagipun, rakyat tidak boleh membuat apa-apa berkenaan dengan peningkatan tersebut tetapi hanya terpaksa mengikat perut dengan lebih ketat lagi.

Justeru, ini juga menunjukkan bahawa kenaikan harga telah dilakukan dengan tergesa-gesa, contohnya kenaikan harga minyak RON95 daripada RM1.90 seliter menjadi RM2.10.

"Jika hendak naik pun, janganlah naik sebanyak 20 sen tetapi naiklah sebanyak 10 sen pun sudah cukup banyak. Jika harga RON95 ialah RM2.00, sekurang-kurangnya kita akan dapat membeli lima liter minyak dengan wang sebanyak RM10.00 tetapi sekarang dengan RM10.00 kita dapat 4.76 liter sahaja, jauh perbezaannya," kata seorang kerani kilang yang memandu kereta Kancil.

Selain dari itu, Cukai Barang Dan Perkhidmatan (GST - Goods & Services Tax) tidak harus dilaksanakan dan jika hendak dilaksanakan pun, ia harus bermula pada 4% dahulu dan berada kekal pada paras 4% untuk sekurang-kurangnya lima tahun.

Cukai pintu diberi penurunan sebanyak 2% sahaja pun masih membebankan rakyat juga kerana penilaian harta sudah naik mendadak.

Oleh itu, kerajaan harus membuat perancangan dengan lebih teliti dahulu sebelum melaksanakan kenaikan tarif, kadar atau harga. Janganlah membebankan rakyat dengan sewenang-wenangnya.

Kerajaan Selangor serah kunci rumah, subsidi tambang bas sekolah

Posted: 26 Dec 2013 02:39 AM PST

IMG_4532


KLANG,: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan kerjasama Pejabat Daerah Klang menganjurkan majlis Penyerahan Kunci Rumah Kerajaan Prihatin dan Subsidi Tambang Bas Sekolah, semalam.

Majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna, Pejabat Daerah Klang mulai jam 2.30 petang itu dilancarkan Timbalan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Tiew Way Keng.

Tiew dalam ucapannya berkata, program itu adalah usaha kerajaan negeri membantu rakyat Selangor dan diharap dapat meringankan beban mereka.

"Selain rumah untuk golongan berpendapatan rendah, Kerajaan Selangor juga memberi subsidi tambang bas sekolah kepada anak-anak pekerja ladang berikutan kenaikan harga barang dan pengurangan subsidi oleh kerajaan Pusat.

"Kerajaan negeri Selangor sentiasa berusaha memberi manfaat kepada rakyat. Program Pemberian Subsidi Tambang Bas Sekolah ini diharap dapat meringankan beban mereka," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Teratai.

Seramai 64 daripada 160 penerima bantuan Program Rumah Kerajaan Prihatin menerima kunci rumah masing-masing.

Seramai 39 pelajar daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Brafferton; Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Kapar, Sekolah Kebangsaan Kapar dan Sekolah Menengah Kebangsaaan Tengku Idris Shah pula menerima subsidi tambang bas sekolah bernilai RM300 setiap seorang.

Program Perumahan Kerajaan Prihatin adalah di bawah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), manakala Subsidi Tambang Bas Sekolah di bawah Tabung Pendidikan Anak Pekerja Landang.-Roketkini.com

Mukhriz dikritik lambat rancang pembangunan Kedah

Posted: 26 Dec 2013 02:34 AM PST


Mukhriz dikritik lambat rancang pembangunan  
Mahfuz ketika berucap pada ceramah, kelmarin.


ALOR SETAR – Pas Kedah menyifatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir sebagai seorang menteri yang lambat bertindak untuk merancang pembangunan di negeri ini selepas mengambil alih pentadbiran daripada PR pada PRU13 lalu.

Pesuruhjayanya, Datuk Mahfuz Omar berkata, Umno dan BN tidak boleh buat perancangan seperti lima tahun kerajaan PR perintah di Kedah.

"Ini sudah nak masuk hujung tahun, tidak ada apa yang dibuat oleh Mukhriz. Dia kata kena ambil masa sikit. Saya ingat bila orang muda jadi menteri besar, cepatlah sikit dia bertindak. Tapi dia kata perlukan masa pula. Ini membuktikan dia lemah.

"Kita kerajaan PR pada sebelum ini baru setahun perintah, kita sudah ada perancangan. Padan la kita baru setahun perintah dan tidak ada pengalaman mentadbir. Berbanding Mukhriz yang pernah jadi menteri dan ahli parlimen, patutnya dia ada idea yang bernas. Tapi tak ada apa yang dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah sempena Mini Karnival Anak Muda di pekarangan Kompleks Pas Pokok Sena, di sini, kelmarin.

"Dulu BN janji bermacam-macam nak meringankan beban hidup rakyat dan kurangkan kos sara hidup rakyat. Kita boleh buka manifesto BN yang mereka kata tidak akan menaikkan kadar tol dan sebagainya.

"Ini janji mereka. Tapi hari ini, walaupun ia belum dimuktamadkan kenaikan, tapi menteri sudah kata kenaikan kadar tol tidak dapat dielakkan sebab sudah ada dalam perjanjian.

"Inilah dia perjanjian yang dibuat oleh sebuah kerajaan Umno dan BN. Ini bukan salah rakyat yang memilih mereka, tapi salah pemimpin Umno dan BN yang buat perjanjian dengan syarikat konsesi yang mengendalikan lebuh raya," katanya.

Mahfuz berkata, kerajaan sepatutnya membuat perjanjian itu mestilah berdasarkan pro-rakyat dan bukan kepada pro-syarikat seperti yang berlaku pada hari ini.

"Ini adalah perjanjian yang tidak adil dan berat sebelah. Cukuplah kalau terkena virus kencing tikus, jangan terkena virus kencing BN. Virus kencing tikus itu boleh tahan lagi sebab bukan semua tempat kena, tapi kalau virus kencing BN ini, satu Malaysia akan terkena," katanya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena turut menyarankan kepada penyokong PR agar tidak mudah terperangkap dengan isu-isu remeh yang berbangkit.

"Kerajaan BN ini pandai, dia kata Mat Sabu (Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu) pengikut ajaran Syiah dan sebagainya. Sebab apa jadi macam ini? sebab dia nak alih perhatian kita supaya jangan fikir bab kenaikan harga barang, tapi Syiah yang lebih bahaya," katanya.

DAP kecam tuduhan Maximus Ongkili, terus usaha bantu warga miskin Sabah

Posted: 26 Dec 2013 02:33 AM PST

stephen wong


SANDAKAN, : Ahli Parlimen DAP Sandakan, Stephen Wong mengecam kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang mendakwa DAP sengaja mengelirukan masyarakat melalui projek Impian Sabah.

Beliau berkata, tuduhan Maximus itu sama sekali tidak benar dan membuktikan betapa beliau takut kegagalannya membantu penduduk terutamanya warga miskin Sabah terbongkar.

"DAP hadir ke Kampung Samparita Laut bukan dengan niat menghasut tapi kami ingin membantu seikhlas mungkin kepayahan yang dihadapi penduduk.

"Kami juga berusaha menyediakan air bersih kerana setelah lebih 50 tahun, penduduk kampung tidak pernah mempunyai akses kepada bekalan air bersih.

"Amat memalukan apabila seorang Menteri Air dan Ahli Parlimen BN Kota Marudu gagal menjaga kawasan sendiri," katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

Menurut Stephen, usaha murni DAP itu adalah bertujuan membantu masyarakat luar bandar dan ia dimulakan di Kampung Samparita Laut minggu lalu.

Beliau yang juga Penyelaras Impian Sabah turut menyelar kegagalan Maximus membekalkan air bersih kepada penduduk Sabah walaupun sudah bergelar menteri lebih 10 tahun.

"Beliau langsung tidak mengucapkan terima kasih kepada DAP atau mengaku bersalah terhadap kecuaiannya tapi memilih untuk membuat tuduhan kepada kami.

"Saya ingin bertanya kepada Maximus, pernahkah beliau masuk menjenguk kampung ini selama sedekad ini? Adakah dia memahami penderitaan penduduk? Apakah beliau tahu kampung ini tidak ada bekalan elektrik dan air? Jambatan lengkap juga tidak disediakan untuk menyeberangi sungai," tegasnya.

Katanya, bantuan yang dibekalkan kepada penduduk Kampung Samparita Laut hanya permulaan dan DAP akan bergerak ke seluruh pelusuk Sabah untuk memastikan semua lapisan masyarakat dapat merealisasikan impian mereka.

"Kami bukan BN, kami tidak mempunyai wang dan tidak mempunyai akses kepada wang cukai. Projek ini dibiayai sepenuhnya oleh orang ramai yang berhasrat melihat perubahan.

"Maximus harus meminta maaf kepada penduduk dan sukarelawan Impian Sabah yang bekerja dengan ikhlas untuk membantu penduduk.

"Beliau bukan saja gagal melaksanakan tugas tapi tidak pernah mengakui kegagalan BN sejak 50 tahun lalu," ujarnya.

Beliau menambah, Impian Sabah tetap akan diteruskan dan DAP konsisten bekerja demi kebaikan rakyat Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya. -Roketkini.com

Agenda Lebuhraya PLUS: DAP sudah dedah sejak 1987

Posted: 26 Dec 2013 02:31 AM PST

PLKS plus


KUALA LUMPUR,: Perjanjian kotor kerajaan demi mengkayakan kroni dalam pemberian kontrak projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) 26 tahun lalu akhirnya terbukti menyusahkan rakyat.

Dalam risalah bertajuk 'Skandal Lebuhraya Utara Selatan' terbitan 1987, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang pernah mendedahkan kemungkaran UMNO yang dilihat mempunyai kepentingan kepada saham konsesi lebuhraya itu, namun sehingga kini masih diam membisu.

Antara yang dipertikaikan beliau adalah peranan syarikat pelaburan UMNO iaitu Hati Budi Sdn Bhd yang menguasai United Engineers Malaysia (UEM) Bhd.

Hati Budi ketika itu dikaitkan dengan pimpinan tertinggi kerajaan iaitu Tun Daim Zainuddin (Menteri Kewangan ketika itu) dan Dr Mahathir Mohamad.

UEM merupakan syarikat utama mendapat kontrak pembinaan PLUS dengan tempoh konsesi daripada 1987-2017 yang akan mengutip tol berjumlah RM54 bilion dalam tempoh 30 tahun.

"PLUS adalah projek yang menelan belanja RM3.4 bilion. Pemberikan kontrak kepada UEM menjadi satu persoalan yang tidak terjawab.

"UEM jelas tidak mempunyai 'track record' sama sekali dalam pembinaan jalan raya berbanding syarikat lain yang berpengalaman dan memohon tender sama seperti Pilecon serta Hashbuddin dengan kadar jauh lebih rendah.

"Ia jelas pemberian kepada UEM adalah semata-mata disebabkan pertalian unik Hati Budi dengan Daim dan Mahathir," katanya dalam risalah itu.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen DAP Tanjung ketika itu turut menggesa Menteri Kerja Raya, Datuk S Samy Vellu mendedahkan identiti UMNO di sebalik syarikat Hati Budi.

Namun Samy Vellu tidak mahu membuka mulut dan hanya menyatakan fakta terbabit boleh didapati di Pejabat Pendaftar Syarikat.

"Saya telah menghantar orang untuk memeriksa fail syarikat itu, tetapi ia tidak boleh didapati.

"Persoalannya apakah 'track record' kewangan yang dimiliki UEM adalah sebuah 'insolvent company' sehingga boleh menawar untuk mendapat projek PLUS yang begitu besar?

"Satu pemeriksaan dilakukan ke atas Hati Budi menunjukkan bahawa pada 1984, ia cuma sebuah syarikat yang ditubuhkan dengan modal RM2 dan mempunyai dua pemegang saham.

"Adakah benar Hati Budi tidak perlu mengeluarkan sebarang wang tunai untuk membeli saham UEM kerana mendapat pinjaman bank OCBC sebanyak RM25 juta atas persefahaman bahawa UEM akan dapat kontrak PLUS dan beberapa kontrak lain?," soalnya. – Roketkini.com

Beri dana kepada Perkasa, Kerajaan BN perlu mohon maaf

Posted: 26 Dec 2013 02:29 AM PST

Teresa kok 2


HO CHI MINH (Vietnam), Kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu memohon maaf kerana menggunakan wang rakyat untuk membiayai kumpulan yang menentang penyatuan kaum dan keharmonian agama, termasuk Perkasa.

Setiausaha Publisiti DAP, Teresa Kok Suh Sim berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak tidak seharusnya membantu kumpulan pendesak Melayu yang melawan konsep 1Malaysia yang sering dilaungkan.

"Maka kebenaran (akhirnya) keluar, UMNO dan kerajaan selama ini melindungi dan memberi banyak dana kepada Perkasa.

"Bagaimana kerajaan yang sering cakap mengenai 1Malaysia boleh melindungi dan beri bantuan kepada organisasi yang melawan konsep itu sendiri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen DAP Seputeh itu turut mendesak Najib mendedahkan maklumat bantuan yang diberikan, serta menyatakan sama ada beliau komited dengan konsep 1Malaysia.

Beliau merujuk laporan kenyataan anggota Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Isa Samad bahawa Perkasa banyak mendapat bantuan daripada UMNO.

"Dia pun nasib dia, kita yang bela dan mereka banyak terima nikmat daripada kita. Macam mana mereka nak ganti dia?" kata Isa seperti dipetik.

Dalam pada itu, Teresa berkata, tanggapan umum bahawa UMNO menggunakan Perkasa bagi menyuarakan permintaan ekstrim mereka memang sudah lama berlegar.

"(Malah) tiada tindakan diambil kepada kumpulan ini apabila membuat kenyataan provokasi dan menghasut yang melanggar undang-undang," katanya yang menyifatkan pengakuan Perkasa itu mengejutkan dan tidak boleh diterima.

Memetik laporan Malaysiakini semalam, Perkasa turut mengakui mendapat bantuan daripada tiga agensi kerajaan – Majlis Keselamatan Negara (MKN); Biro Tata Negara (BTN) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang membiayai programnya.-Roketkini.com

Isma: Kos hidup meningkat memang salah Umno

Posted: 26 Dec 2013 02:27 AM PST


Aminuddin Yahaya  
Aminuddin Yahaya


SHAH ALAM -  Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hari ini membidas kenyataan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad yang menyebut rakyat tidak seharusnya menuding jari kepada Umno berhubung kenaikan kos sara hidup dan harga barang keperluan.

Timbalan Presidennya, Aminuddin Yahaya berkata, kenyataan tersebut menunjukkan pemimpin Umno sudah jauh daripada realiti hidup masyarakat.

"Alasan yang diberikan beliau dilihat cuba memperlekehkan minda rakyat. Seolah-olah rakyat masih hidup di zaman 70-an yang tidak mempunyai sebarang akses maklumat.

"Walhal adalah menjadi kewajipan pemimpin untuk menjaga kebajikan rakyat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tegasnya, sebagai parti pemerintah, Umno tidak boleh mengelak daripada dipertanggungjawabkan atas perkara itu.

"Mana mungkin kalau dikatakan Umno tidak boleh dipertanggungjawabkan dengan isu kenaikan kos sara hidup.

"Mereka yang menentukan dan menjalankan polisi, maka sudah tentu Umno tidak boleh mengelak daripada dipertanggungjawabkan," katanya.

Jelasnya, meskipun kenaikan kos hidup tidak dapat dielak, kerajaan haruslah bijak untuk membuat penyelarasan dengan menaikkan gaji.

"...Tetapi sebaliknya ini (kenaikan gaji) tidak berlaku, sehingga akhirnya menyebabkan rakyat semakin tertekan.

"Yang menjadi persoalannya, pelbagai kos meningkat naik bahkan dalam masa yang sama pendapatan negara juga semakin bertambah.

"Ke mana perginya wang negara yang melimpah ruah itu? Ditambah pula dengan isu ketirisan yang ditimbulkan dalam Laporan Audit Negara yang hampir setiap tahun juga masih belum terjawab," katanya.

SPRM sahkan polis bergelar 'Datuk' beri keterangan

Posted: 26 Dec 2013 02:20 AM PST

SINAR HARIAN

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafa Ali  
Mustafa Ali


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan seorang pegawai tinggi polis bergelar 'Datuk' telahpun memberi keterangan, dipercayai berhubung kes pengubahan wang haram RM6 juta.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafa Ali berkata, pegawai polis berkenaan memberi keterangan di Putrajaya, Selasa lepas.

"Sebenarnya pegawai polis yang kita panggil itu adalah untuk mengambil keterangan dia, rakam percakapan.

"Dia telah memberi kerjasama yang baik dan keterangan telah diambil. Tidak ada tangkapan dibuat," katanya ketika ditemui pada sidang media Panel Penilaian Operasi (PPO) di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkaitan kes itu serta dakwaan penemuan wang tunai di rumah pegawai polis berkenaan serta pegawai lain akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Akhbar hari ini melaporkan pegawai tinggi itu dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan SPRM terhadap tiga pegawai polis berhubung kegiatan pengubahan wang haram RM6 juta.

Akhbar itu juga, pada November lepas, melaporkan bahawa tiga pegawai terbabit yang masing-masing berpangkat Deputi Superintenden, Asisten Superintenden serta Sarjan, ditahan berasingan dan ketika ditahan, SPRM turut menemui wang tunai lebih setengah juta, tiga jam tangan berjenama Rolex selain sejumlah barang kemas.

Siasatan awal suruhanjaya itu mendapati kegiatan pengubahan wang haram ini membabitkan nilai jutaan ringgit.

Dua daripada pegawai yang ditahan bertugas di Johor manakala seorang lagi di Seremban, Negeri Sembilan.

Seorang daripada mereka disyaki terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM1.7 juta manakala seorang lagi RM4.3 juta.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. - Bernama

Fahami hasrat rakyat adakan himpunan 31 Dis - Saifuddin

Posted: 25 Dec 2013 04:29 PM PST

HAZAYANI ZAKARIA 


KUALA LUMPUR: Ada di kalangan pengundi BN sendiri meminta kerajaan tidak menaikkan kadar tol lebuh raya kerana ia merupakan janji BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, selain kadar tol, BN juga berjanji tidak akan menaikkan harga barang.

"Kenaikan harga barang ialah isu yang timbul sebelum PRU13 lagi dan ada janji-janji BN yang besar dalam PRU13 untuk tidak menaikkan harga barang, kadar tol.

"Sebab itu ada di kalangan (ahli) BN pun yang minta supaya kerajaan jangan naikkan tol kerana mereka tahu pertama itu janji dan kedua itu memang antara yang dibicarakan di mana-mana di kalangan rakyat biasa," kata beliau ketika ditemui di Universiti Malaya hari ini.

Beliau juga berkata, kenaikan kos sara hidup menjadi faktor penting yang menentukan sokongan rakyat kepada kerajaan.

"Dapatan ini membuktikan bahawa kenaikan harga tiga perkara iaitu harga barang, minyak dan tarif elektrik memang perkara yang menjadi keutamaan di kalangan rakyat.

"Kajian semasa sebelum dan semasa PRU dahulu, isu kos sara hidup dan jenayah hampir sama tapi nampaknya dapatan kali ini menunjukkan kos sara hidup mengatasi kes jenayah, maknanya kos sara hidup akan menentukan sokongan. Ini sangat jelas," katanya yang juga Felo Penyelidik Jemputan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel).

Pengarah UMcedel, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman sewaktu membentangkan kajian hasil Kaji Selidik Politik Malaysia Enam Bulan Selepas PRU Ke-13 sebelum itu berkata, kenaikan harga minyak, kenaikan harga barang dan peningkatan tarif elektrik menjadi tiga isu utama yang memberi kesan kepada kehidupan seharian rakyat.

Saifuddin juga berkata, beliau memahami hasrat rakyat yang ingin mengadakan himpunan aman pada 31 Disember ini sebagai tanda protes terhadap kenaikan kos sara hidup.

"Kita harus memberi penegasan sesiapa sahaja boleh berhimpun asal dibuat secara aman.

"Saya dapat memahami kenapa ada cadangan mereka, namun demikian saya juga menaruh harapan yang kerajaan akan menjelaskan isu kenaikan harga barang ini dengan secepat mungkin," katanya.

Malaysia berhak dapat Menteri Pendidikan baru

Posted: 25 Dec 2013 04:28 PM PST

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Malaysia berhak mendapat Menteri Pendidikan baru yang sepenuhnya komited untuk menangani krisis pendidikan nasional menerusi pelan tindakan yang praktikal dan matlamat yang mampu dicapai bagi mengubah sistem pendidikan negara ini menjadi sistem pendidikan bertaraf dunia, kata Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang cuba untuk mengurangkan kerosakan besar yang timbul berikutan tindakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin membisukan diri selama tiga minggu tanpa memberi sebarang respons tentang tiga khabar buruk berkenaan kemerosotan mutu pendidikan negara ini, iaitu:

* Pencapaian buruk dalam TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study) 2011;

* Pencapaian buruk dalam PISA (Programme for International Student Assessment) 2012; dan

* Laporan buruk oleh Bank Dunia dalam Malaysia Economic Monitor yang bertema "High-Performing Education".

Berikut kenyataan Lim yang juga Penasihat DAP Kebangsaan.

Malaysia berhak mendapat Menteri Pendidikan baru yang sepenuhnya komited untuk menangani krisis pendidikan nasional menerusi pelan tindakan yang praktikal dan matlamat yang mampu dicapai bagi mengubah sistem pendidikan negara ini menjadi sistem pendidikan bertaraf dunia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang cuba untuk mengurangkan kerosakan besar yang timbul berikutan tindakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin membisukan diri selama tiga minggu tanpa memberi sebarang respons tentang tiga khabar buruk berkenaan kemerosotan mutu pendidikan negara ini, iaitu:

* Pencapaian buruk dalam TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study) 2011;

* Pencapaian buruk dalam PISA (Programme for International Student Assessment) 2012; dan

* Laporan buruk oleh Bank Dunia dalam Malaysia Economic Monitor yang bertema "High-Performing Education".

Menerusi Facebook beliau kelmarin, Najib mengatakan bahawa Malaysia mampu menyediakan sistem pendidikan terbaik dengan kerjasama semua pemegang kepentingan, iaitu ibu-bapa, pendidik dan pelajar sendiri.

Beliau menyifatkan soal pendidikan sebagai perkara yang amat beliau ambil berat dan mengakui bahawa pelbagai usaha telah diadakan untuk memperkukuh sistem pendidikan negara yang "merangkumi semua aspek pembangunan modal insan secara menyeluruh, selain merapatkan jurang pendidikan antara pelajar di bandar dan luar bandar."

Ujar beliau: "Kita hanya dapat menghasilkan modal insan yang cemerlang menerusi sistem pendidikan yang holistik. Kerana itu, saya menyokong sebarang usaha pembangunan pendidikan seperti yang dirumuskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Kebangsaan."

Sistem pendidikan adalah salah satu daripada janji yang gagal ditepati oleh Najib menerusi slogan "Janji Ditepati".

Perdana Menteri telah melakukan percubaan berani untuk memulihkan keyakinan orang awam terhadap sistem pendidikan kebangsaan dan khususnya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang cuba untuk melonjakkan sistem pendidikan Malaysia dalam tempoh 13 tahun dari tangga sepertiga tercorot di peringkat antarabangsa ke arah menjadi sebuah sistem bertaraf dunia.

Namun usaha Najib untuk menangani krisis pendidikan tidak memadai memandangkan beliau mempunyai seorang Menteri Pendidikan yang telah menunjukkan sikap tidak peduli dan tidak endah tentang tahap pendidikan Malaysia yang semakin merosot apabila Muhyiddin membisu seribu bahasa sepanjang tiga minggu yang lalu ketika berdepan dengan tiga musibah pendidikan.

Muhyiddin mahu pun Najib belum mampu menjelaskan "ciri unik" sistem pendidikan negara di mana tahun demi tahun pelajar Malaysia menunjukkan peningkatan pencapaian dalam peperiksaan tempatan seperti UPSR dan PMR, dengan semakin banyak pelajar mendapat gred A dalam semua subjek, tetapi pada masa yang sama pencapaian mereka merosot berdasarkan ujian penilaian antarabangsa empat tahunan TIMSS dan tiga tahunan PISA.

Sebagai contoh, sewaktu Malaysia kali pertama ikut serta dalam TIMSS pada tahun 1999, mata yang diperolehi bagi subjek Matematik (519 mata) dan Sains (492 mata) berada di atas kadar purata antarabangsa dan kita menduduki tangga ke-16 dari 38 buah negara bagi subjek Matematik dan ke-22 bagi Sains.

Untuk TIMSS tahun 2003, pencapaian Malaysia hampir sama seperti di tahun 1999. Mata Sains meningkat sedikit dan kekal di atas kadar purata antarabangsa, manakala mata Matematik merosot sedikit, tetapi masih kekal di atas kadar purata antarabangsa, dan kedudukan negara ini meningkat ke tangga ke-10 di kalangan 45 buah negara.

Bagaimanapun, pencapaian pelajar Malaysia dalam TIMSS 2007 dan 2011 merosot teruk berbanding rakan-rakan sebaya mereka dari negara lain.

Bagi tahun 2011, mata Matematik jatuh ke 440 mata (tangga ke-26 di kalangan 42 buah negara) dan mata Sains jatuh ke 426 mata (ke-32 di kalangan 42 buah negara).

Dalam empat TIMSS dari tahun 1999-2011, Malaysia adalah negara paling teruk merosot matanya di kalangan negara yang terbabit dalam ujian bagi kedua-dua subjek matematik dan sains: mata matematik merosot sebanyak 79 mata dari 519 di tahun 1999 ke 440 pada tahun 2011; mata sains merosot sebanyak 66 mata dari 492 di tahun 1999 ke 426 mata di tahun 2011.

Muhyiddin dan juga Najib belum mampu mengemukakan penjelasan yang baik tentang kemerosotan standar pendidikan sekolah-sekolah kita, sama ada berdasarkan TIMSS atau PISA, yang sedemikian parah sejak sedekad yang lalu.

Tiada seorang pun di antara kedua-dua mereka menjelaskan tentang bagaimana kerajaan boleh membelanjakan RM20 juta untuk membayar khidmat perunding asing bagi menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang mengandungi matlamat "dongengan" yang memerlukan pelajar Malaysia melakukan tiga keajaiban dalam tempoh 13 tahun Tiga Gelombang pelan pendidikan untuk melonjak dari tangga sepertiga tercorot dalam PISA dan TIMSS ke tangga sepertiga teratas – "lonjakan berganda" tahap pendidikan yang tidak pernah berjaya dilakukan oleh mana-mana negara atas muka bumi ini!

Saya telah berulangkali bertanya kepada Muhyiddin sama ada beliau benar-benar percaya bahawa pelajar Malaysia mampu mencipta rekod dunia melonjak dari tangga sepertiga tercorot ke tangga sepertiga teratas dalam PISA dan TIMSS dalam tempoh 13 tahun, namun beliau dan juga para perancang pendidikan di Kementerian Pendidikan membisu seribu bahasa, dan begitu juga McKinsey & Co, perunding asing yang menerima bayaran RM20 juta untuk menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan!

Malaysia berhak mendapat Menteri Pendidikan baru yang sepenuhnya komited untuk menangani krisis pendidikan nasional menerusi pelan tindakan yang praktikal dan matlamat yang mampu dicapai bagi mengubah sistem pendidikan negara ini menjadi sistem pendidikan bertaraf dunia dari kedudukan sekarang yang serba sederhana.

Jika Muhyiddin masih merasakan dirinya seorang Menteri Pendidikan yang baik, maka beliau seharusnya mengalu-alukan persidangan khas Parlimen dalam bulan Januari untuk membincangkan krisi pendidikan negara dan membuktikan beliau layak memegang teraju pendidikan negara ini.

Jika tidak, mungkin Najib patut mengambil peluang daripada rombakan Kabinet yang akan dibuat bagi melantik Menteri Pendidikan baru yang mampu memberi khidmat yang wajar kepada negara dan generasi masa depan memandangkan mutu sistem pendidikan negara adalah berkait rapat dengan masa depan ekonominya.

31 Dis: Polis buat lawak, Umno guna alasan bodoh

Posted: 25 Dec 2013 04:26 PM PST

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Jabatan Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia, Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham) menempelak tindakan pihak polis yang membuat tangkapan terhadap rakyat yang ingin berhimpun secara aman pada 31 Disember ini bersempena protes kenaikan harga barang.

Terbaru, pihak polis telah menangkap Pengerusi Gerakan Turun Harga Barang (Turun), Azan Safar pada 23 Disember di mana siasatan adalah berdasarkan kepada Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Awam 2012 dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

"Juham melalui barisan peguamnya telah turun untuk membantah permohonan lanjutan reman oleh pihak polis," kata Pengarah Juham, Noorazmir Zakaria dalam satu kenyataan.

Majistret kemudiannya, kata beliau telah menolak permohonan lanjutan reman oleh pihak polis dan Azan Safar telah dibebaskan lewat petang semalam.

Menurutnya, Juham amat terkejut dengan dakwaan pihak polis yang memberikan alasan bahawa tangkapan Azan Safar adalah kerana beliau disyaki terlibat di dalam gerakan untuk menggulingkan kerajaan.

"Lawak jenaka apakah ini apabila mengaitkan tangisan rakyat terhadap kenaikan harga barang dengan gerakan untuk menggulingkan kerajaan?" tanya beliau.

Katanya, Juham percaya Umno dan Barisan Nasional sudah kehabisan alasan untuk menutup kelemahan mereka sehingga menggunakan alasan bodoh sebegini.

Beliau berkata, Juham turut telah mendapat maklumat bahawa akan terdapat beberapa lagi siri tangkapan bersempena perhimpunan 31 Disember ini.

Justeru, tegasnya Juham mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak polis ini yang jelas menafikan hak rakyat untuk bersuara sepertimana yang telah dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Apatah lagi, kata beliau perhimpunan aman ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah sekadar luahan serta tangisan rakyat yang bakal berdepan pelbagai siri kenaikan harga menjelang tahun baru 2014.

 Justeru, ujarnya Juham menggesa agar pihak polis menunjukkan sikap yang bertanggungjawab dengan tidak tunduk kepada tekanan Umno dan Barisan Nasional yang semakin tidak relevan dan telah kehabisan talian hayat.

Selanjutnya,kata beliau Juham menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar tidak khuatir dan gusar dalam bersoladiriti menyuarakan bantahan anda terhadap kezaliman Umno dan Barisan Nasional ini.

Beliau memberitahu, Juham sedia untuk memberikan khidmat guaman secara percuma sekiranya terdapat sebarang tangkapan serta dakwaan yang dibuat.

Katanya, sejarah telah membuktikan bahawa Umno dan Barisan Nasional akhirnya akan akur dengan kehendak rakyat sepertimana pemansuhan Akta Keselamatan Negeri hasil daripada pengorbanan dan penat lelah yang tanpa henti daripada rakyat yang bencikan kezaliman.

"Oleh itu, tunjukkan soladiriti, tekadkan hati. Infiru!" tegasnya.

TURUN: Himpunan 31 Dis diteruskan

Posted: 25 Dec 2013 04:24 PM PST


MALAYSIAKINI
 
 
 
Pemimpin Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) Azan Safar berkata sisasatan polis ke atasnya tidak menghalang beliau untuk meneruskan kempen '2014 Tahun Sengsara Rakyat' melalui perhimpunan besar di Dataran Merdeka pada malam 31 Disember.

NONEAzan, yang dibebaskan polis selepas ditahan selama 20 jam semalam turut mempersoalkan tindakan berkenaan, serta tuduhan "serkap jarang" ke atasnya, kerana didakwa terlibat dalam usaha untuk menggulingkan kerajaan.

"Adakah dengan memperjuangkan hak dan suara rakyat supaya bebanan kos sara hidup mereka diturunkan, maka, saya digelar penjenayah berat dan diserbu sebagai seorang penjenayah?

"Hakikatnya, saya menyeru masyarakat turun dan menyatakan sokongan mereka supaya kerajaan tidak mengambil ringan dan memandang enteng masalah beban kos sara hidup rakyat menjelang 2014.

"Di manakah salahnya?," katanya lagi dalam kenyatannya, yang mengimbau semula detik-detik ketika beliau ditahan sepasukan anggota polis semasa sedang makan di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada malam Isnin.

Beliau turut menegaskan bahawa TURUN sama sekali tidak terlibat dengan satu lagi perhimpunan yang dipromosi sebagai "Himpunan Guling Kerajaan", juga pada malam tersebut.

"TURUN sentiasa menghormati sistem demokrasi berparlimen di negara kita," katanya.

PERKASA akui terima bantuan MKN, BTN, JASA

Posted: 25 Dec 2013 04:21 PM PST


MALAYIAKINI
 
 
 
NGO pendesak PERKASA mengakui bahawa tiga agensi utama kerajaan – Majlis Keselamatan Negara (MKN), Biro Tatanegara (BTN) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) menyalurkan bantuan kepada pertubuhan berkenaan bagi menjayakan programnya.

Setiausaha agungnya, Syed Hassan Syed Ali berkata bantuan yang disalurkan oleh agensi kerajaan kepada pertubuhan itu bagaimanapun tidaklah sebanyak mana berbanding dengan usaha yang dijalankan untuk menarik sokongan golongan Melayu kepada BN.

NONESyed Hassan berkata demikian bagi menjawab kenyataan anggota Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Isa Samad yang tidak yakin dengan kemampuan PERKASA untuk mengantikan Umno dalam membela nasib orang Melayu.

Beliau berkata, Isa membuat kenyataan tidak bertanggungjawab apabila menyatakan bahawa PERKASA sendiri pun banyak menerima bantuan Umno selama ini.

"Perkasa harap Tan Sri Isa dpt senaraikan jumlah bantuan diberi kpd Perkasa untuk jayakan program selama ini. Berapa banyak? Berjuta-jutakah? Berbilion-bilionkah?," katanya dalam satu kenyataan.

"Begitu juga dakwaannya bahawa agensi-agensi kerajaan bantu PERKASA. Kami tak nafikan ada agensi seperti MKN, BTN dan JASA bantu PERKASA untuk jayakan beberapa program terpilih yang mana pada PERKASA tidak lebih yg diberi kepada NGO lain termasuk NGO kaum Cina dan India.

"Bantuan seperti pemberian kepada anak kecil itu usahlah diungkit-ungkit.

"Kalau nak banding apa yang PERKASA dah laksanakan untuk menarik sokongan balik Melayu kepada BN, apalah sangat jumlah bantuan yang agensi itu beri," katanya.

NGO mahu polis sekat himpunan 31 Dis

Posted: 25 Dec 2013 04:18 PM PST


 

Sebuah gabungan di daerah Pekan hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) meminta tindakan tegas diambil terhadap mereka yang merancang mengadakan Himpunan Guling Kerajaan pada 31 Dis ini.

Gabungan itu terdiri daripada Pemuda Umno Pekan, anggota jawatankuasa kemajuan dan kemajuan kampung (JKKK), persatuan pesara, bekas tentera dan polis, ibu tunggal, persatuan peladang dan nelayan, Belia 4B, Kelab Anak Wawasan Pekan (Kawan) dan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC).

Wakil mereka yang juga Ketua Penerangan Pemuda Umno Pekan, Asmayudim Uyub berkata mereka bimbang tanpa tindakan awal himpunan itu akan menimbulkan kejadian tidak diingini.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mengheret rakyat ke jalanan untuk menggulingkan kerajaan yang telah dipilih berdasarkan demokrasi dan mengikut undang-undang serta perlembagaan negara," katanya kepada pemberita di Pekan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Pekan,  Lt Kol(B) Zulkiffly Mohd Tahir berkata tindakan tegas bukan sahaja perlu diambil ke atas penganjur tetapi juga penulis blog serta laman sosial yang mempromosikan himpunan haram tersebut.

Menurutnya, PBTM Pekan menyokong sepenuhnya sebarang tindakan undang-undang mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 diambil ke atas mereka yang terlibat.- Bernama

Letupan bom: Pelajar Malaysia di Mansoura selamat

Posted: 25 Dec 2013 04:17 PM PST

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Semua pelajar Malaysia di Mansoura, Mesir, berada dalam keadaan selamat, susulan kejadian letupan bom yang dilapor menggegarkan bandar raya itu pada Selasa.

Menurut kenyataan Wisma Putra di sini, berdasarkan rekod Kedutaan Malaysia di Kaherah, terdapat kira-kira 1,000 pelajar Malaysia di bandar raya itu.

"Mereka sudah dinasihatkan agar mengikuti langkah-langkah keselamatan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Malaysia di Kaherah dan pihak berkuasa tempatan," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi Malaysia sangat bimbang dengan insiden letupan tersebut dan kesal kerana kejadian meragut nyawa mereka yang tidak berdosa.

"Malaysia menggesa semua pihak terlibat agar tidak meneruskan keganasan," kata kenyataan itu.

Wisma Putra sedang memantau situasi di wilayah berkenaan.

Media melaporkan seorang pengebom berani mati meletupkan sebuah kereta yang sarat dengan bahan letupan dalam pekarangan balai polis di Mansoura yang mengakibatkan 15 terbunuh dan 140 lagi cedera. - Bernama

Berapa lama lagikah Najib mampu bertahan?

Posted: 25 Dec 2013 04:14 PM PST

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Kritikan demi kritikan yang diterima Datuk Seri Najib sejak kebelakangan ini jelas memperlihatkan kerajaan yang sedang dipimpinnya semakin lemah dan ditolak oleh rakyat, tulis blogger Shahbudin Husin.

Menurutnya, jika sebelum ini kegagalan Najib menangani kenaikan harga barang lebih banyak dikritik oleh pihak pembangkang, mutakhir ini pula memperlihatkan suara dari dalam Umno sendiri semakin lantang mengenainya.

Katanya, selain Ahli Parlimen Pulai dan Pengerusi PAC, Nur Jazlan Mohamed, ahli akademik pro BN, Ridhuan Tee Abdullah yang sudah bersuara mengenainya, semalam pula bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah turut bersuara dengan nada yang serupa.

Tulisan penuh Shahbudin di dalam blognya sebagaimana di bawah.

Kritikan demi kritikan yang diterima Najib sejak kebelakangan ini jelas memperlihatkan kerajaan yang sedang dipimpinnya semakin lemah dan ditolak oleh rakyat. Jika sebelum ini kegagalannya menangani kenaikan harga barang lebih banyak dikritik oleh pihak pembangkang, mutakhir ini pula memperlihatkan suara dari dalam UMNO sendiri semakin lantang mengenainya.

Selain Ahli Parlimen Pulai dan Pengerusi PAC, Nur Jazlan Mohamed, ahli akademik pro BN, Ridhuan Tee Abdullah yang sudah bersuara mengenainya, semalam pula bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah turut bersuara dengan nada yang serupa.

NGO Perkasa yang sejak penubuhannya dilihat pro kerajaan dan Najib juga sudah mulai berbeza nada, malah memberi amaran mahu mengambil alih peranan UMNO dalam membela nasih rakyat lantarah UMNO dilihat semakin jauh daripada perjuangan membela nasib Melayu dan rakyat sejak kebelakangan ini.

Ada yang mengatakan di belakang Perkasa ialah Mahathir Mohamad dan jika dilihat hubungan Perkasa dengan Mahathir sejak sekian lama, malahan Ibrahim Ali dapat bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihanraya umum lalu di Pasir Mas sehingga membuatkan calon UMNO, Johan Che Pa tidak mengemukakan borang pencalonannya, turut dikaitkan dengan campurtangan bekas Perdana Menteri itu.

Sementara pembangkang dan pelbagai NGO mereka terus menguatkan tekanan terhadap Najib dan kerajaan supaya lebih memikirkan kenaikan kos sara hidup rakyat yang sedang terhimpit sekarang, suara-suara dari dalam yang sebelum ini pro UMNO dan kerajaan juga sudah memperlihatkan rentak dan nada yang seirama.

Puncanya tentulah tidak lain kerana mereka juga sudah dapat mengesan kesengsaraan rakyat akibat kenaikan kos sara hidup ini. Selepas ini, mungkin ada lagi yang turut bertindak sama.

Jika dulu Pak Lah mula menerima kesan penolakan rakyat akibat tindakannya menaikkan harga minyak sebanyak 78 sen yang kemudian dihubung-kaitkan dengan pelbagai kelemahannya yang lain, Najib pula dilihat mula menerima kesan yang sama akibat tindakannya menaikkan beberapa jenis barang dan perkhidmatan sejak kebelakangan ini.

Najib bukan saja sedang menuruti jejak Pak Lah, bahkan langsung tidak mengambil teladan daripadanya.

Satu demi satu kenaikan yang gagal dikawalnya telah menyebabkan populariti Najib kini hanya tinggal 52 mata berbandinpg 62 mata sebelumnya berdasarkan kajian Merdeka Center manakala Umcedel pula dalam kajian terbarunya turut mendapati kenaikan harga barang akan menjadi beban yang akan terus menurunkan sokongan rakyat terhadap kerajaan.

Selain mendapati 42 peratus kemarahan rakyat adalah kerana kenaikan harga minyak, 34 peratus kerana kenaikan harga barang dan 24 peratus disebabkan kenaikan tarif letrik, kajian Umcedel juga mendapati bantuan BR1M tidak lagi berkesan dalam meringankan beban kehidupan rakyat.

Yang lebih buruk ialah, di sebalik kemarahan rakyat kian meningkat, pembangkang makin agresif meningkatkan prestasinya dan lebih banyak pula dari dalam UMNO dan kerajaan sendiri yang mengkritik kepimpinan Najib, tindakan mempertahankan Najib pula hampir tidak kedengaran.

Lebih ramai yang memilih untuk berdiam diri daripada mengeluarkan suara mempertahankan Najib. Najib seolah-olah mula keseorangan dalam menpertahankan diri dan kerajaan yang sedang dipimpinnya sekarang. Dalam isu melibatkan isterinya yang diserang baru-baru ini, Rosmah Mansor akhirnya terpaksa tampil sendiri mempertahankan diri dengan menulis surat yang panjang mengenainya.

Suara-suara dari sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO juga hampir-hampir tidak kedengaran membela dan menpertahankan Najib dan kerajaan sedangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru, masing-masing mengaku merekalah tulang belakang dan tulang depan kepada parti dan kerajaan.

Apakah tulang-tulang ini sudah bengkok dan hampir patah sekarang ini? Mana jentera siber Pemuda UMNO dalam hal ini?

Jentera media sosial yang diakui sebagai medium paling utama dalam menghadapi pilihanraya akan datang pula, dilihat sudah terkulai sebelum masuk medan perjuangan. Selain terdapat blog dan media sosial pro UMNO yang berdiam diri daripada mempertahankan Najib dan kerajaan, selebihnya turut juga lantang mengkritik. Yang mengaku sudah menjadi bebas dan tidak lagi mahu dikaitkan dengan pro mana-mana parti juga sudah ada.

Semua ini memperlihatkan kedudukan Najib sekarang ini sebenarnya lebih parah berbanding ketika Pak Lah diserang dan mahu dijatuhkan dulu. Ketika itu Mahathir terpaksa bekerja keras ke seluruh negara dan menghadiri pelbagai program di merata tempat untuk menjustikasikan perlunya Pak Lah diturunkan sebagai Perdana Menteri, namun menteri kabinet dan pemimpin UMNO ramai yang masih lantang mempertahankannya.

Namun sekarang ini, sementara tekanan kian meningkat, suara yang mempertahankannya juga hampir tidak ada. Kalau ada pun yang bersuara hanyalah daripada pemimpin yang semakin terhakis wibawanya seperti Isa Samad dan Ahmad Maslan, manakala yang lain-lain lebih selesa memilih berdiam diri dan menjaga hal masing-masing.

Ini menjadikan persoalan yang bermain di fikiran ramai orang ialah sampai bilakah Najib mampu bertahan menghadapi semua tekanan ini? Tetapi dengan sokongan yang semakin merosot hari demi hari ini, semakin ramai yang percaya bahawa Najib tidak akan dibenarkan terus mengetuai UMNO dan BN dalam PRU 14 nanti kerana kemungkinan BN hilang kuasa lebih besar jika beliau terus kekal

Yang paling tidak mahu melihat UMNO dan BN kalah pastinya Mahathir. Yang lain-lain ada yang merasakan hanya kekalahan dan hilang kuasa merupakan pengajaran bermakna bagi UMNO dan para pemimpinnya. Selebihnya pula merasakan apa salahnya PR diberi peluang pula.

Dan ramai juga yang percaya kerja Mahathir jauh lebih mudah kali ini. Berbanding ura-ura dan tohmahan bahawa kerajaan mahu digulingkan melalui demonstrasi, Najib sebenarnya lebih mudah tergolek jika Mahathir mulai bersuara. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Tiada ulasan: