DIALOG RAKYAT |
- Tiada Kelulusan Kenaikan Tambang Tren Tetapi Kajian Semula Dijalankan - SPAD
- 'Amar makruf nahi mungkar' atau 'amar mungkar nahi makruf'?
- Permohonan kedua Anwar ketepi Shafee ditangguh
- Malam berinai: Che Ta pakai barang kemas RM11 juta
Tiada Kelulusan Kenaikan Tambang Tren Tetapi Kajian Semula Dijalankan - SPAD Posted: 11 Dec 2013 03:47 PM PST PETALING JAYA: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak memberikan sebarang kelulusan tren enumpang, tetapi mengesahkan bahawa kajian yang komprehensif sedang dijalankan. "SPAD tidak meluluskan sebarang struktur tambang baru bagi industri rel. Bagaimanapun, SPAD kini sedang menjalankan kajian semula yang menyeluruh ke atas struktur tambang industri rel," kata Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar . Bagaimanapun, beliau tidak memberi penjelasan bahawa perubahan harga mungkin berkuat kuasa. Syed Hamid berkata, terdapat empat faktor utama yang akan diambil kira oleh SPAD apabila menyemak semula tambang. Ini katanya, termasuk struktur sedia ada tambang, operasi dan penyelenggaraan kos bagi semua pengendali tren, peningkatan dalam bahan api dan kos tenaga dan kemampanan jangka panjang industri. "Struktur tambang sedia ada termasuk kemampuan rakyat, kajian semula perbezaan antara semua pengusaha dan mengharmonikan struktur tambang," katanya. Syed Hamid tidak menyatakan kemungkinan kadar kenaikan itu. Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Shahril Mokhtar mengalu-alukan kenaikan tambang yang dicadangkan itu, sambil menambah bahawa sudah lama menunggu saat itu. "Saya fikir adalah betul untuk melakukan perkara ini. Kami tidak mempunyai kenaikan lebih daripada 12 tahun," katanya. Shahril berkata, Prasarana terpaksa mengimbangi tambang tidak berubah dengan kenaikan kos. "Tenaga sahaja meliputi lebih 30% daripada kos. Tenaga kerja adalah kira-kira 40% dan bakinya adalah operasi dan penyelenggaraan yang lain. Jika kos terus naik, bagaimana kita mahu memberi perkhidmatan?" katanya. Syarikat itu juga melabur lebih RM1.5 bilion dalam 4 tahun lepas secara berperingkat, termasuk sistem tiket baru, kereta api baru dan kemudahan lain. Shahril berkata, Prasarana mengadakan beberapa perbincangan dengan SPAD mengenai perkara itu. Beliau turut meminta kajian semula tambang automatik, salah satu yang akan diadakan dalam setiap dua atau tiga tahun. Shahril bagaimanapun berkata, apa-apa kajian tambang perlu secara adil kepada penumpang Prasarana, kerana tidak mahu membebankan kepada mereka. |
'Amar makruf nahi mungkar' atau 'amar mungkar nahi makruf'? Posted: 11 Dec 2013 03:41 PM PST ASPAN ALIASUMNO telah mengenengahkan tiga isu pokok dalam Perhimpunan Agung itu yang selesai semalam. Presiden UMNO, Najib bercakap selepas Muhyiddun Yassin. Beliau telah berkata ada tiga perkara pokok yang dirumuskan oleh Najib pada Perhimpunan itu selama empat hari termasuk perhimpunan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri parti itu. Saya hanya hendak menyentuh satu dari tiga yang dirumuskan Najib semasa penggulungan persidangan agung parti itu semalam, iaitu tentang Islam yang akhir-akhirnya menjadi laungan Najib Tun Razak itu.. Saya tidak nampak kenapa UMNO bercakap dengan panjang lebar tentang Islam ini, kerana perjuangan Islam sebenarnya tidak payah menyebutnya dengan begitu lantang. Perjuangan Islam bukan boleh ditempel-tempelkan sahaja. Ia perlu dilaksanakan tanpa laungan seperti perjuangan agama-agama lain. Bukankah Islam itu adalah 'addin' atau cara hidup yang disebut oleh perwakilan UMNO setiap tahun dalam Perhimpunan Agung nya? Isu Islam ini disebut setiap kali UMNO bersidang dan sehingga hari ini agama kita tetap tercemar oleh mereka yang melaungkan Islam itu. Perjuangan Islam itu bukannya berjaya jika hanya mendapat pujian dari pemimpin Hammas atau Imam Masjidil Haram. Apabila kita mendapat pujian dari pemimpin Islam dari Palestin dan Imam dari Mekah Almukarramah itu bukannya bermakna kita telah berjaya memperjuangkan Islam. Islam ini adalah Addin dan meliputi semua bidang kehidupan kita. Apa Islamnya jika kerajaan kita dipandang sebagai kerajaan rasuah dan rasuah itu menjadi masalah dan isu utama kepada kita yang akan memasukkan kedalam perlembagaan negara sebagai Islam 'ahli sunnah wal jemaah' itu? Bagaimana hendak dikatakan UMNO itu pelindung Islam di negara ini sedangkan rasuah yang tidak dapat lagi dibendung-bendung berlaku di negara kita? Apa Islamnya itu? Bagaimana kita hendak mengaku negara kita negara Islam sedangkan pemimpinnya tidak langsung meng'addin'kan agama Islam itu? Adakah Islam itu cukup dengan berpuasa dan sembahyang lima waktu yang di syariatkan itu? Cukupkah Islam dengan kita pergi menunaikan fardhu Haji, mengucap dua kalimah syahadah serta mengeluarkan zakat sahaja? Bukankah itu hanya rukun yang wajib untuk melayakkan kita sebagai seorang Muslim? Bagaimana dengan ketuhanannya? Bagaimana dengan akidah kita umat Islam dinegara kita ini? Bagaimana kita hendak mengaku kita sebagai negara Islam jika pimpinan dipenuhi dengan pimpinan yang melakukan kehendak Tuhan secara 'head-on' itu? Jika benar selama ini kerajaan pimpinan UMNO ini adalah kerajaan yang berlandaskan kepada Islam yang sebenarnya, kenapa keadaan negara semakin hari semakin kecoh politiknya dan semakin miskin kantungnya walaupun di rahmati Tuhan dengan berbagai-bagai kemewahan dengan hasil minyak yang besar itu? Jika benar pimpinan kita adalah pimpinan Islam yang sejati, kenapa pula mereka menjadi pembawa dalil hari kiamat kerana dikuasai oleh pengaruh wanita terutamanya isteri-isteri mereka? Jika betul kita negara islam kenapa pesalah-pesalah besar tidak dapat ditangkap dan di bicarakan di muka pengadilan yang adil? Kenapa Islam itu dijadikan hanya sebagai hiasan kepimpinan dan tidak melaksanakan apa yang dikatakan tindakan 'amar makruf nahi mungkar', tetapi di sebaliknya mereka mengamalkan 'amar mungkar nahi makruf'? Kenapa dunia diberikan tanggapan yang kita ini adalah Islam yang mengamalkan sikap wasatiyah, sedangkan kita disini tahu pimpinan kita dan keluarganya berbelanja sesuka hati mereka dengan jumlah yang begitu tidak munasabah menggunakan wang rakyat? Adakah kerana isteri kita dapat membebaskan seorang rakyat Malaysia yang tersalah tangkap di Mesir itu melayakkan beliau berbelanja jutaan ringgit untuk peribadi beliau? Di mana wasatiyah laungan Najib itu? Di mana letak Islamnya di sini? Kenapa tidak beri tahu Imam Masjidil Haram yang isteri PM kita berbelanja wang rakyat dengan membazir itu? Kesalahan yang begitu 'unislamic' itu satu hal, tetapi yang sangat membuatkan orang ramai marah dan kecewa ini ialah sikap pucuk pimpinan yang cuba hendak memperbodohkan rakyat negara yang seramai hampir 30 juta ini? Takkanlah dari hampir 30 juta rakyat ini semuanya bodoh-bodoh belaka sehinggakan mereka percaya pembohongan secara terbuka pimpinan UMNO itu. Pembohongan ini bukannya 'attribute' UMNO yang sebenarnya. Pimpinan terdahulu ada juga berbohong tetapi tidak 'blatant' sebegini. Kepada Najib, hentikanlah lakonan ini. Jika berminat sangat hendak berlakon, menetaplah di Bollywood dan lakukan kemahiran anda di sana. Sampai di sana berlakonlah sepuas hati. Tiada siapa yang melarang. Yang kita larang ialah anda berlakon dengan rakyat yang ramai-ramai mahukan mereka terlepas dari cengkaman kezaliman pimpinan yang rata-rata marhean ini. |
Permohonan kedua Anwar ketepi Shafee ditangguh Posted: 11 Dec 2013 03:35 PM PST SINAR HARIAN PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini menangguhkan kepada 19 Dis untuk mendengar permohonan kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetepikan peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai pendakwa utama dalam rayuan pihak pembela terhadap pembebasan pemimpin pembangkang itu daripada tuduhan meliwat. Hakim Aziah Ali, yang mempengerusikan panel tiga anggota, hari ini menetapkan tarikh itu setelah meluluskan permohonan peguam Tommy Thomas, yang mewakili Anwar, agar pihaknya diberi lebih banyak masa untuk menjawab afidavit Muhammad Shafee yang diterimanya pagi ini. Sementara itu, pendengaran rayuan pendakwa terhadap pembebasan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, yang dijadual berlangsung hari ini, juga ditangguhkan apabila peguam Karpal Singh, yang mewakili Anwar dalam kes itu, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak Sabtu lepas (7 Dis) kerana jangkitan paru-paru. Aziah juga menetapkan 19 Dis sebagai tarikh pengurusan kes berhubung rayuan pendakwa. Mahkamah juga meminta Anwar hadir di mahkamah pada pendengaran akan datang. Anwar tidak hadir pada pendengaran hari ini kerana menghadiri seminar di Washington, Amerika. Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Rohana Yusuf dan Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh. Pada 6 Dis, Anwar, 66, memfailkan permohonan kedua untuk mengetepikan Muhammad Shafee daripada pasukan pendakwa. Kali ini, beliau menggunakan maklumat yang terkandung di dalam perisytiharan berkanun bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Mat Zain Ibrahim sebagai asas untuk memfailkan permohonan baharu bagi mengetepikan Muhammad Shafee. Permohonan pertama beliau ditolak Mahkamah Rayuan pada 17 Sept tahun ini dan rayuannya kepada Mahkamah Persekutuan juga ditolak. Permohonan pertama Anwar untuk mengetepikan Muhammed Shafee adalah berdasarkan kesahan pelantikan beliau dan atas alasan wujud percanggahan kepentingan kerana beliau (Muhammad Shafee) dikatakan menjadi saksi penting dalam perbicaraan kes liwat melibatkan Anwar. Pada 9 Jan tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di sebuah unit Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Pendakwa mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap pembebasan Anwar itu. - Bernama |
Malam berinai: Che Ta pakai barang kemas RM11 juta Posted: 11 Dec 2013 03:32 PM PST PELAKON jelita, Rozita Che Wan yang bakal menikah hari ini, telah menggayakan barangan kemas tajaan Habib Jewels bernilai RM11 juta pada malam berinai yang berlangsung Dewan N'Dah Shah Alam, malam tadi. Rozita, 40, menggayakan barang kemas itu dengan busana berwarna ungu, rekaan pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini yang turut ditemani bakal suaminya, aktor kacak, Zain Saidin, 29. Malam berinai itu telah diadakan dua sesi di mana, sesi pertama Rozita atau Che Ta telah menggayakan barang kemas delima terdiri daripada tiara berlian, dua bentuk cincin, sepasang anting-anting labuh, rantai leher dan dua pasang rantai tangan bernilai RM6.5 juta. Che Ta dan Saidin yang kelihatan duduk di atas pelamin yang dihiasai gabungan mawar putih dan ungu itu memakai inai tajaan My Beautiful Henna. Pada sesi kedua, sebaik selesai majlis berinai, pasangan hangat itu telah menukar pakaian dengan mengenakan busana berona putih tajaan Bianco Mimosa bersama barang kemas bernilai RM5 juta. Barang kemas itu berupa set berlian merangkumi sebentuk tiara, cokar mutiara kuning dan berlian, dua bentuk cincin berlian kuning, sepasang anting-anting labuh serta dua pasang rantai tangan berlian lebar. Seramai 200 orang tetamu hadir yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat, media dan rakan-rakan artis antaranya Datuk Aznil Nawawi, Ayu Raudhah, Sharifah Shahora dan Mazlan Pet Pet. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan