Rabu, 18 Disember 2013

BRIGED MP SEGAMBUT

BRIGED MP SEGAMBUT


Ahli Parlimen PAS gesa Selangor jangan tiru kerajaan pusat naik harga

Posted: 18 Dec 2013 01:57 AM PST

pm
Ahli Parlimen PAS, Khalid Samad (gambar) hari ini menggesa kerajaan negeri Selangor supaya tidak meniru kerajaan pusat yang sejak kebelakangan ini mengumumkan beberapa siri kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang membebankan rakyat.
"Kita menyarankan kerajaan negeri supaya tidak mengikut kegilaan kerajaan pusat yang hanya tahu mengambil duit daripada rakyat tanpa mengira kesannya," katanya pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam.
Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, tindakan kerajaan pusat yang terus menerus mengumumkan kenaikan harga barang menimbulkan kerisauan di kalangan rakyat yang terpaksa menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Khalid berkata, adalah penting kerajaan negeri memastikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak menaikkan kadar sewaan, lesen atau sebarang bayaran yang perlu dibayar oleh pengguna.
Tindakan tersebut, katanya, dapat membantu rakyat dalam menangani situasi mencabar dalam berdepan dengan kenaikan harga barangan sekarang.
Khalid berkata, sekarang merupakan masa terbaik bagi  kerajaan Selangor membuktikan pelaksanaan kepada negara berkebajikan.
Katanya, dengan lebihan rizab dan hasil pendapatan negeri yang tinggi, Selangor boleh memastikan rakyat di bawah naungannya terjaga dan tidak terjejas dengan kenaikan harga yang dilakukan oleh kerajaan pusat.
Kerajaan negeri, katanya, perlu mengambil tindakan tegas dalam memantau semua PBT untuk tidak melaksanakan sebarang kenaikan cukai, bayaran parkir kereta dan sebagainya.
Khalid berkata, kini sudah ada aduan daripada rakyat yang mendakwa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mula mengenakan bayaran parkir kereta walaupun sebelum ini tempat tersebut tidak pernah dikenakan bayaran.
Selain itu, ada peniaga restoran mendakwa MBSA menaikkan kadar sewa untuk meletakkan meja dan kerusi di kawasan parkir tepi jalan.
"Kalau dulu kadar yang dikenakan sebanyak RM10,000 untuk tempoh 6 bulan kini MBSA menaikkan sehingga RM20,000 bagi jangka masa yang sama," katanya.
Khalid berkata, PBT di Selangor tidak perlu mencontohi pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKl) yang tidak pernah mengendahkan kepentingan dan kesukaran rakyat.
"Kita tidak mahu apa jadi di Kuala Lumpur berlaku di Selangor kerana perlu diingat setiap tindakan menaikkan sewa atau cukai, yang terbeban pastinya adalah rakyat bukannya peniaga," katanya. – 18 Disember, 2013.

ABIM gesa M'sia tamatkan hubungan dengan Vatican

Posted: 17 Dec 2013 06:27 PM PST

NGO Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa Putrajaya agar menamatkan hubungan diplomatik dengan Vatican susulan laporan tentang spekulasi badan itu untuk melantik ketua biskop baru di Malaysia yang lebih keras bersuara dalam isu kalimah Allah.

Presiden ABIM, Amidi Abdul Manan dalam kenyataannya berkata, hasrat itu boleh mencetuskan "pertembungan tajam" yang seterusnya akan mencetuskan konflik di antara penganut Islam dan Katolik di negara ini.

NONE"Sikap Vatican dalam kes ini amat dikesali, kerana ia sama sekali tidak menghormati sensitiviti di kalangan masyarakat Islam di negara ini.

"Berdasarkan kepada kenyataan ini, ABIM menggesa sebarang hubungan diplomatik antara Malaysia serta Vatican ditamatkan serta merta," kata Amidi.

Ketua Gereja Roman Katolik Kuala Lumpur sebelum ini, Tan Sri Murphy Nicholas Xavier Pakiam meletakkan jawatan pada hari ulang tahun beliau ke-75, 6 Disember lalu, selaras dengan Canon Law.

Namun, tindakan Vatican yang menerima peletakan jawatan itu dengan cepat telah menarik perhatian beberapa pihak dan menimbulkan spekulasi yang mengaitkannya dengan ketegangan antara gereja dan kerajaan Malaysia dalam kes kalimah Allah.

Sumber yang rapat dengan Gereja Katolik memberitahu Malaysiakini bahawa tindakan tangkas Vatican itu mungkin menzahirkan kekecewaan kepada Pakiam yang dilihat condong kepada kerajaan dalam perbicaraan kes itu.

"Pendirian beliau yang dilihat ringan dalam isu Allah ini dikritik golongan paderi dan Katolik umumnya, yang mahukan Ketua Biskop lebih tegas dan lantang," kata sumber yang enggan dikenali itu.

Tiada ulasan: