Rabu, 13 November 2013

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


20 jaga Filipina didakwa guna IC palsu, milik orang lain

Posted: 13 Nov 2013 03:35 PM PST

20 jaga Filipina didakwa guna IC palsu, milik orang lain.Bagaimana sendiket membuat IC palsu  dan  begitu mudah untuk menjadi kerakyatan Malaysia.


PETALING JAYA - Dua puluh warga Filipina termasuk enam wanita hari ini dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret berasingan di sini selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri.
Kesemua tertuduh yang berumur antara 19 hingga 44 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nazri Omran dan Majistret KB Elina Hong Tze Lan.
Mengikut pertuduhan, 10 daripada tertuduh didakwa menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri manakala 10 lagi didakwa menggunakan kad pengenalan milik orang lain di kawasan Blok A dan B, Flat SS8, Jalan SS3/39, Sungei Way di sini pada 2.30 pagi tadi.
Pertuduhan dibuat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, kesemua tertuduh menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain yang beralamat di Sabah.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Pendaftaran Negara Zubaidah Zahol Ahmad. - BERNAMA

Profesional mahu Pas kekal dalam kerangka PKR, DAP

Posted: 13 Nov 2013 03:31 PM PST

Profesional mahu Pas kekal dalam kerangka PKR, DAP


KUALA LUMPUR - Golongan profesional Pas lebih cenderung membawa parti itu ke dalam pakatan pembangkang berteraskan kerangka yang diinginkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd. Rahman berkata, sebaliknya, golongan ulama pula mahu mengekalkan Pas pada landasan yang asal.

Menurut beliau, golongan ulama berhasrat memelihara Pas sebagai sebuah parti bebas dan tidak tunduk kepada pengaruh parti-parti lain.

"Walau bagaimanapun, Pas kini diikat kemas oleh perjanjian sedangkan dalam pengertian tahaluf siyasi, parti itu tidak sepatutnya diikat dalam pakatan pembangkang.

"Pas sepatutnya mempunyai hak dan kebebasan untuk membuat keputusan dan dasarnya sendiri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdullah Zaik mengulas perebutan jawatan Timbalan Presiden Pas antara penyandangnya, Mohamad Sabu dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar pada Muktamar Pas Ke-59, 22 November ini.
Abdullah Zaik

Tekad halang golongan liberal kuasai Pas

Posted: 13 Nov 2013 03:28 PM PST

Tekad halang golongan liberal kuasai Pas


KUALA LUMPUR 13 Nov. - Pengendali akaun Facebook Fikrah Islamiah Pilihan Kami yang identitinya masih menjadi teka-teki bertekad untuk menghalang kemenangan calon-calon liberal dalam Muktamar Pas Ke-59, 22 November ini.

Beliau yang mengakui ahli Pas berkata, pasukannya akan terus berkempen secara sihat bagi menghalang golongan parasit daripada terus merosakkan jemaah dan perjuangan Islam.

Menurutnya, tujuan pasukannya adalah untuk memastikan calon-calon yang berfikrah jelas dalam perjuangan Islam memenangi jawatan-jawatan penting dipertandingkan.

"Kemenangan calon-calon berfikiran liberal seperti Timbalan Presiden, Mohamad Sabu; Naib Presiden, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar serta calon Ketua Dewan Pemuda, Zulhazmi Shariff adalah cukup berbahaya untuk parti khususnya dan nasib umat Islam di Malaysia.

"Kemenangan calon-calon liberal ini sudah pasti akan menghalang usaha-usaha penyatuan ummah dan orang Melayu yang telah sekian lama kita idamkan bagi sebuah negara Islam yang menjadi matlamat perjuangan seluruh pencinta parti," katanya dalam kenyataan dipaparkan pada akaun Facebook Fikrah Islamiah Pilihan Kami.

Pada 10 November lalu, Facebook Fikrah Islamiah Pilihan Kami memaparkan imej seekor anjing bagi menggambarkan Zulhazmi.

Zulhazmi menyifatkan taktik itu sebagai 'kempen jijik' dan meminta pucuk pimpinan Pas menyelesaikan siasatan sebelum muktamar bermula.

Berhubung isu tersebut, pengendali akaun Facebook Fikrah Islamiah Pilihan Kami memohon maaf kepada semua ahli Pas terutama para perwakilan.

"Kesilapan ini sebenarnya berpunca daripada ahli baharu dalam pasukan ini yang masih belum luas pengalaman serta terlalu mengikut perasaan dan emosi ketika menulis," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan dalam kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya hari ini menempelak cubaan segelintir pihak mencatur keputusan muktamar parti.

"Ini tidak selayaknya berlaku. Saya sebut, mujur mereka ini tidak menjadi perwakilan. Jika tidak, habislah Pas jadi lunyai seperti roti canai," ujarnya.



PPSMI: Mahathir ulang hujah yang sudah jadi sejarah

Posted: 13 Nov 2013 03:25 PM PST

PPSMI: Mahathir ulang hujah yang sudah jadi sejarah


KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad masih terperangkap dalam pemikiran kolonial apabila mahu subjek sains dan matematik kembali diajar dalam Bahasa Inggeris, kata Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Mohd Azmi Abdul Hamid.

Beliau berkata, pandangan Dr Mahathir harus diketepikan kerana kerajaan sendiri akur dengan kehendak rakyat yang menolak Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
"Dr Mahathir ulang dan ungkit isu yang sudah selesai dan keputusan sudah dibuat oleh kerajaan supaya dasar ini dimansuhkan.

"Pandangan Dr Mahathir yang mahu PSSMI ini dikembalikan adalah ke belakang dan Dr Mahathir terperangkap dengan pemikiran kolonial," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Dr Mahathir ketika berucap di Persidangan Antarabangsa Pendidikan Guru dalam Dunia Islam di Petaling Jaya semalam merayu agar subjek sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris kerana berpandangan Bahasa Melayu belum menjadi bahasa sains dan matematik.

Beliau juga dilaporkan berkata, tanpa penguasaan bahasa Inggeris peluang pekerjaan seseorang itu akan menjadi sempit walaupun cemerlang dalam akademik.

Mengulas lanjut, Azmi yang lebih dikenali sebagai Cikgu Azmi berkata, peluang pelajar untuk mempelajari Bahasa Inggeris terbuka luas namun subjek sains dan matematik harus diajar dalam bahsa Melayu kerana sesuatu ilmu itu lebih senang difahami apabila diajar dalam bahasa ibunda.

"Dr Mahathir harus sedar bahawa kita tidak menyekat pelajar-pelajar mempelajari Bahasa Inggeris malah peluang untuk belajar terbuka luas dan ada di mana-mana.

"Namun dalam konteks pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik, kita mahu Bahasa Melayu digunakan kerana bahasa Melayu ialah bahasa ilmu dan tunggak kepada pembangunan bangsa dan budaya," tegasnya.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Prof Shahrir Md Zin pula berkata, segala hujah yang digunakan dr Mahathir merupakan hujah lapuk dan sudah disanggah oleh banyak pihak.
"Dr Mahathir ulang hujah yang sama, hujah yang sudah jadi sejarah tapi surat khabar suka keluarkan pandangan beliau.

"Saya dan beberapa rakan yang lain sudah lama menjawab hujah-hujah beliau contohnya sains dan matematik tidak sesuai diajar dalam bahasa Melayu.

"Tapi hujah dan pandangan kita tidak dikeluarkan surat khabar, maka pandangan Dr Mahathir tetap menjadi perhatian orang," katanya yang juga dihubungi Harakahdaily.

Tambah beliau juga, tiada alasan untuk kerajaan meneruskan PPSMI sedangkan Kementerian Pendidikan sendiri membuktikan terdapat kemerosotan keputusan akademik pelajar melalui pelaksanaan dasar yang bermula pada 2003 itu.

"Tidak perlu peduli dengan pandangan Dr Mahathir kerana beliau dari dulu lagi mahu PPSMI dilaksanakan dan tak peduli dengan pandangan orang kebanyakan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berpegang teguh kepada pendirian kerajaan untuk menarik balik pelaksanaan PPSMI kerana statistik Kementerian Pendidikan membuktikan terdapat kemerosotan keputusan akademik pelajar melalui pelaksanaan dasar itu.


Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Awang Sariyan dilaporkan berkata, PPSMI tidak mempunyai hala tuju selain Kementerian Pendidikan membuktikan keputusan pelajar merudum dalam subjek sains dan matematik dan Bahasa Inggeris.


Nurul Izzah bongkar ada 30 polis cawangan khas di London

Posted: 12 Nov 2013 11:54 PM PST

Nurul Izzah bongkar ada 30 polis cawangan khas di London

KUALA LUMPUR 12 NOVEMBER: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mempersoalkan tindakan Kerajaan BN menempatkan 30 anggota polis cawangan khas di London, England.
IzzahPCAhli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, kos menempatkan kontinjen tersebut di London dibiayai oleh dana awam sedangkan setahu beliau, tiada ancaman keselamatan dalaman pada Malaysia yang berasal dari negara Eropah itu.
"Bukankah lebih baik sekiranya anggota-anggota cawangan khas tersebut digunakan untuk membuat rondaan di kawasan perumahan di Malaysia," kata Nurul Izzah, dipetik The Malaysian Insider.
Beliau berkata demikian pada forum mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Bangsar, Kuala Lumpur malam tadi.
Katanya, beliau mendapat tahu tentang saiz kontinjen di London itu selepas meneliti laporan Rancangan Malaysia ke-10, laporan bajet tahunan dan jawapan soalan kepada Kementerian Dalam Negeri di dalam Dewan Rakyat.
Nurul Izzah berkata, kontijen London itu merupakan satu lagi contoh pentadbiran Barisan Nasional gagal menggunakan sumber manusia pasukan keselamatan secara efektif bagi menangani jenayah.
Ini kerana, katanya, tugas utama polis yang ditempatkan dalam cawangan khas adalah untuk melakukan intipan terhadap ahli politik Pakatan Rakyat.
"Pada 1954, untuk memerangi Komunis, kita ada 459 polis cawangan khas. Sekarang kita ada 8,200 anggota cawangan khas. Maksudnya kita ada lebih ramai polis cawangan khas sekarang berbanding zaman darurat.
"Jumlah anggota cawagan khas juga bertambah semasa Najib jadi Perdana Menteri. Pada 2008 kita mempunyai 5,000 anggota cawangan khas. Jumlah itu bertambah sebanyak 3,000 semasa pentadbiran Najib," kata Nurul Izzah.
Beliau berkata, kes jenayah yang bertambah dapat diselesaikan sekiranya anggota cawangan khas ditukarkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (CID).
Katanya, tahun lalu, cawangan khas menghasilkan 830,000 laporan intipan dan kebanyakannya tentang ahli politik Pakatan, berbanding dengan CID yang menyelesaikan 60,000 kes jenayah.
"Mengapa mereka tidak boleh diletakkan ke dalam CID supaya kita boleh meningkatkan kadar siasatan jenayah," kata Nurul Izzah.

Tiada ulasan: