Telok Bakong Online |
Pas Gagah Memimpin Ummah Ke Medan Siasah Posted: 29 Nov 2013 06:56 PM PST PERJUANGAN memakan masa yang lama, ia tidak dinamakan perjuangan tanpa perjalanan yang panjang dan sebuah pengorbanan yang mahal harganya. Perjalanan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk kekal di persada perjuangan menyaksikan ramai pemimpin PAS yang datang dan pergi, tidak ketinggalan yang pergi 'meninggalkan' perjuangan atau yang istiqamah hingga di titik akhir nafasnya. Patah tumbuh, hilang berganti, begitulah pewaris PAS meneruskan galas-ganti amanah menetapkan garis perjuangan supaya tetap di paksinya. PAS tidak pernah kemarau dengan pelapis yang senantiasa memenuhi ruang legar kepimpinan yang cukup untuk semua kerana setiap individu dalam parti dalam setiap posisinya ada peranan masing-masing, yang utama ialah mencurahkan kebaktian untuk parti. Walau apapun yang diperkatakan orang tentang PAS dan sejarah panjangnya, muqaddimah ini adalah hakikat yang perlu difahami dan dihayati oleh semua pihak khususnya pejuang-pejuang PAS. NAMA YANG TERUKIR Walaupun dalam PAS senarai nama yang tidak diukir lebih ramai dari yang diukir, pun demikian nama yang terukir bukan atas permintaanya tetapi di atas penghargaan dan amanah yang dipikulnya sebagai pengemudi bahtera perjuangan lantas diberikan penghormatan. Kepimpinan PAS terbentuk melalui daya juang yang tinggi dilatari suasana tekanan pesaingnya Umno yang selalunya memiliki kelebihan dari sudut kelicikan dan kuasa. Keupayaan pimpinan PAS menongkah arus dalam suasana demokrasi yang terhimpit wajib mendapat satu 'tabik spring'! Tokoh-tokoh PAS boleh dibahagi kepada mereka yang memimpin pada zaman sebelum kepimpinan ulama dan selepas kepimpinan ulama. Kepimpinan Ulama adalah kemunculan PAS pasca Dato' Asri yang memimpin PAS dari tahun 1971-1982. Sebelum Dato' Asri, Dr Burhanudin al Helmy telah membawa PAS ke persada kerana namanya yang besar itu sehingga PAS berjaya menguasai Terengganu dan kemudian Kelantan, seterusnya melebarkan sayapnya ke utara dan tengah tanah air. KEPIMPINAN ULAMA Keluar daripada konflik bukanlah satu usaha yang mudah apabila Allah SWT menguji bahtera perjuangan PAS dengan kocakan dalaman. Hikmahnya ialah Allah SWT mengkehendaki PAS terus maju dan ini terbukti dengan gagasan baru kepimpinan PAS yang menggelarkan dirinya sebagai 'Kepimpinan Ulama'. Tokoh pertama yang menggalas tanggung jawab ini sebagai Presiden ialah Tuan Guru Haji Yusof Rawa. Namanya tidak tertonjol pada awalnya dan beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Yusof Rawa setia dengan jawatannya sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dari tahun 1959. Namanya muncul untuk jawatan Timbalan Presiden pada tahun 1981 dan semasa Dato' Asri meletakkan jawatan, Pak Yusof Rawa memangku dan kemudian diamanahkan sebagai Yang DiPertua PAS Pusat tahun berikutnya. Gelaran itu kemudiannya ditukar kepada Presiden dan itulah yang diamanahkan kepadanya sehingga tahun 1987. Pak Yusof Rawa turut mencatat sejarah dalam PAS apabila menjadi Mursyidul 'Am yang pertama pada tahun 1987. Jawatan Mursyidul 'Am diwujudkan selaras dengan terbentuknya Majlis Syura Ulama dalam perlembagaan baru parti. Jawatan tertinggi dalam PAS itu diamanahkan kepada Pak Yusof Rawa sehingga tahun 1989 dan kemudiannya beliau meletakkan jawatan kerana keuzuran. PAS BANGKIT SEMULA Kepimpinan Ulama menandai kesungguhan kepimpinan parti untuk membentuk platform baru kepada parti. Apabila ide kepimpinan ulama diketengahkan pada awal 80-an, permasalahan umat Islam pada waktu itu menjadi fenomena dunia. Kejatuhan Soviet dan kekalahan yang memalukan kuasa komunis terbesar itu di tangan para Mujahidin di Afghanistan mengisyaratkan kebangkitan kuasa Islam yang tidak boleh dipandang ringan. PAS mendefinisikan dirinya semula dalam suasana tersebut dan kerana itu kelantangan suaranya kepada jati diri umat pada persada alamiyah (antarabangsa) turut menyuntik semangat kebangkitan Islam di Malaysia. PAS juga harus membina kekuatan dari arah dalam dengan membentuk program perkaderannya yang kini dikenali sebagai 'tarbiah'. Ahli disuntik dengan kekuatan dalaman dan mereka mesti melahirkan ciri-ciri muslim yang memilik sahsiah Islamiah lewat usrah, tamrin, mukhayyam dan ceramah. Pada waktu yang sama PAS perlu mendapat semula sokongan rakyat setelah kejatuhan Kelantan yang merupakan kubu tradisinya. Ini bermakna PAS perlu mengekalkan pengundi tegarnya dan sambil menggamit pengundi baru melalui sikap politik yang diambilnya menentang BN melalui pendedahan salah laku pentadbiran kerajaan diselitkan dengan ketegasannya terhadap ideal Islam dalam pentadbiran. Semasa PAS mendefinasikan semula kewujudannya, Pak Yusof Rawa menggalas tugas selaku arkiteknya, malah seorang jurnalis terkenal M.G.G Pillay menggelar Pak Yusof Rawa sebagai 'arkitek' yang bertanggungjawab membina semula PAS dalam era Kepimpinan Ulama. Pak Yusof Rawa banyak tertumpu membina kekuatan baru PAS dari kalangan profesional muda yang baru kembali ke tanah air dari UK, US dan universiti tempatan manakala figurnya yang berlatarbelakangkan pengajian Islam amat disenangi oleh para ustaz yang mendapat pendidikan formal Islam dari dalam dan luar negara khusunya Al-Azhar. MEMPROMOSI PAS Tidak mudah kerja-kerja perhubungan awam dilakukan dalam suasana politik baru yang dilalui oleh PAS dalam era kebangkitannya. Tembok penghalang utama adalah tanggapan sinikal yang tersemat dalam persepsi masyarakat khususnya bukan Melayu yang menganggap PAS sebagai untuk orang Melayu sahaja. Kesedaran yang tinggi di kalangan kepimpinan waktu itu terhadap fahaman bahawa Islam sebagai agama merahmati semua kaum mendorong kepimpinan PAS waktu itu menggapai sokongan masyarakat Cina khususnya melalui dialog dan ceramah untuk kelompok bukan Melayu. Kesungguhan usaha ini memungkinkan terbentuknya CCC atau Chinese Consultative Council, malah calon-calon bukan melayu turut bertanding atas tiket PAS dalam persefahaman lewat CCC. Sememangnya dilema antara mengekalkan pengundi Melayu sebagai asas dan mempromosi PAS kepada segmen pengundi bukan Melayu adalah umpama melakukan aksi berjalan atas tali yang halus. Keseimbangan mengekalkan momentum untuk berjalan adalah keunikan kepimpinan dalam suasana Malaysia yang multi-kaum dan kepimpinan ulama yang awal telah mengambil risiko tersebut. Namun hasilnya berbaloi dalam bentuk jangka panjang apabila suasana politik hari ini menyediakan platform yang selesa untuk menerima kelompok bukan Melayu sebagai sebahagian dari identiti PAS dengan terasasnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). Kepimpinan di bawah Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang hari ini tidak mungkin melakarkan sejarah penting ini jika tidak diterokai lebih awal lagi oleh dua pemimpin awal kepimpinan ulamak iaitu Pak Yusof Rawa dan Dato' Ustaz Fadzil Mohd Noor. PAS HARI INI DAN SETERUSNYA Generasi PAS hari ini tidak mungkin menuai hasil tanpa penat jerih yang dirintis oleh generasi awal PAS. Dari Tuan Haji Ahmad Fuad kepada Dr Abbas Alias kemudian dikemudi oleh Dr Burhanudin dan diambil alih oleh Dato' Asri Muda adalah bintang-bintang gemerlapan PAS. Pada waktu orang melihat PAS akan berakhir setelah era Dato' Asri, muncul pula Tuan Guru Haji Yusof Rawa lalu Dato' Fadzil Noor memikul amanah dan kini PAS terus kukuh di bawah kepimpinan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Pada setiap era, gandingan mantap pasukan kepimpinan sentiasa memastikan PAS terus mara ke hadapan. Hari ini PAS menyambut tahun ke-59 Muktamar Agung dalam suasana yang semakin mencabar. -Dr. Mujahid Yusof |
You are subscribed to email updates from Telok Bakong Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan