Harakahdaily, | 19 Nov 2013 |
KUALA LUMPUR: PAS Sarawak berharap pihak kerajaan jangan terburu-buru dalam melaksanakan sesuatu peraturan baru, kerana ianya akan menyusahkan kebanyakan rakyat.
"Mungkin peraturan baru ini hanya akan memberi kebaikan dan keuntungan kepada penjual kenderaan baru tetapi kepada pengguna ianya pasti menjadi satu bebanan hutang yang berpanjangan," kata Timbalan Pesuruhjayanya, Jofri Jaraiee
(gambar) dalam satu kenyataan.
Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Ketua Pengarah Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) bahawa kereta berusia lebih 12 tahun tidak selamat berada di jalan raya.
"Apakah jaminan pihak kerajaan yang kereta baru tidak mengalami kerosakan dan selamat di jalanraya?
"Adakah peratusan kemalangan berlaku sekarang berpunca dari kereta lama yang lebih dari 12 tahun?" tanya beliau.
Berikut ialah kenyataan beliau.
Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, tiba-tiba datang pula cadangan dari pihak kerajaan untuk menghadkan jangka hayat kenderaan di negara ini kepada 12 tahun.
Cadangan Ketua Pengarah Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof. Dr. Wong Shaw Voon baru-baru ini yang merupakan suatu penemuan baharu. Pada Jumaat lalu, Dr. Shaw Voon memberitahu media di Melaka bahawa kereta berusia lebih 12 tahun tidak selamat berada di jalan raya.
Adakah ini suatu penemuan baru cara untuk mendapatkan hasil pendapatan dari rakyat atau cara baru untuk menghabiskan stok kereta yang tidak laku? Apakah jaminan pihak kerajaan yang kereta baru tidak mengalami kerosakan dan selamat di jalanraya? Adakah peratusan kemalangan berlaku sekarang berpunca dari kereta lama yang lebih dari 12 tahun?
Sebelum melaksanakan sesuatu peraturan baru, adakah pihak kerajaan pernah mengkaji apa akan terjadi kepada kereta terpakai yang lebih dari 12 tahun dan juga rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk membeli kereta baru yang sudah tentu mahal dan terpaksa menanggung hutang seumur hidup?
Sudahpun harga rumah mahal dan kos kehidupan yang tinggi sekarang terpaksa pula menanggung hutang kenderaan yang berpanjangan. Adakah ini dikatakan kerajaan menjaga kesejahteraan dan kebajikan untuk rakyat?
Ke manakah kerajaan hendak melonggok ratusan ribu atau jutaan kenderaan yang sudah melebihi had jangka hayat tersebut?
Adakah pihak kerajaan sudah membina kilang memproses besi buruk untuk digunakan semula sebagai bahan membina kenderaan baru agar ianya boleh dijual dengan harga yang berpatutan dan tidak membebankan rakyat? Bagaimana pula dengan kereta antik yang lebih dari 12 tahun, adakah pihak kerajaan perlu melupuskannya juga?
Banyak lagi kenderaan pengangkutan awam yang melebihi 12 tahun juga akan jadi mangsa pelupusan ini dan di manakah mereka hendak menjual kenderaan ini sekiranya dipaksa untuk dilupuskan? Adakah pihak kerajaan sanggup membeli kenderaan lama dan menanggung semua kos dan hutang yang belum diselesaikan oleh pihak pengguna?
Kalau kerajaan terpaksa juga melaksanakan peraturan tersebut, pihak kerajaan perlu menurunkan harga kereta sehingga ke paling maksima. Harga kereta buatan Malaysia perlu diturunkan sampai ke 50 peratus begitu juga dengan kereta import.
Kereta lama yang melebihi 12 tahun akan digantikan dengan kereta baru dengan potongan harga 50 peratus maka rakyat tidak perlu menanggung bebanan hutang yang berpanjangan.
Walau bagaimanapun menetapkan had jangka hayat kenderaan mungkin sesuai di bandaraya metropolitan yang penuh sesak dengan kenderaan dan bukannya sesuai untuk dilaksanakan ke seluruh negara terutama sekali di Sarawak.
Di Sarawak ramai penduduk luar bandar yang masih menggunakan kenderaan lama untuk pengangkutan dan juga berulang alik ke bandar.
Lagi pun harga kenderaan di Sarawak mahal dan petrol di luar bandar juga dijual dengan harga yang mahal, adalah tidak realisitik untuk kerajaan melaksanakan peraturan tersebut ke seluruh negara terutama sekali kawasan bandar yang tidak mempunyai pengangkutan yang berkesan dan cekap untuk orang awam.
Punca sebenar kemalangan berlaku adalah atas sikap pemandu itu sendiri. Kalau ada pun masalah kenderaan ianya lebih kepada masalah teknikal bukannya usia kenderaan tersebut. Kalau kenderaan yang sudah melebih 12 tahun dijaga dengan baik ianya tetap selamat digunakan.
Kebanyakan kenderaan baru yang mempunyai CC yang tinggi menyebabkan pemandu ingin mencuba kelajuan kenderaan tersebut. Kalau pemandu itu cuai ketika memandu dengan kelajuan yang tinggi, walau bagaimana canggih kenderaan itu, kemalangan tetap akan berlaku. Semua ini adalah masalah dan sikap pemandu itu sendiri yang menjadi punca kemalangan berlaku.
Kita harap pihak kerajaan jangan terburu-buru dalam melaksanakan sesuatu peraturan baru, kerana ianya akan menyusahkan kebanyakan rakyat.
Mungkin peraturan baru ini hanya akan memberi kebaikan dan keuntungan kepada penjual kenderaan baru tetapi kepada pengguna ianya pasti menjadi satu bebanan hutang yang berpanjangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan