Selasa, 19 November 2013

Addin

Addin


PAS Pulau Pinang Bidas Kerajaan Negeri

Posted: 19 Nov 2013 08:00 AM PST

Pemimpin PAS Pulau Pinang hari ini membidas kerajaan negeri di bawah pimpinan DAP kerana dikatakan gagal mengamalkan slogan kecekapan, akauntabiliti, ketelusan (CAT) dalam pakatan pembangkang.

Timbalan Pesuruhjayanya Muhammad Fauzi Yusoff (gambar) berkata kerajaan negeri meminggirkan PAS, selain tidak menghargai usaha dan sumbangan mereka dalam memastikan pakatan pembangkang kekal relevan di kalangan rakyat terutamanya masyarakat Melayu.

Katanya berikutan itu PAS Pulau Pinang akan mengkaji semula kedudukan mereka dalam pakatan pembangkang negeri jika kerajaan negeri meneruskan amalan yang hanya melindungi maruah dan prinsip DAP.

"Pada mesyuarat perhubungan parti negeri yang telah diadakan pada Khamis lepas, PAS telah mengeluarkan beberapa resolusi untuk kerajaan negeri pertimbangkan antaranya menggesa kerajaan negeri memberi Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Mohd Salleh Man (Pesuruhjaya PAS Negeri) kuasa penuh untuk melantik ahli-ahli majlis itu.

"Kami juga mahu kerajaan negeri memperuntukkan kuota yang lebih besar bagi wakil dari PAS dalam mana-mana syarikat berkaitan kerajaan," katanya.

Muhammad Fauzi berkata antara resolusi lain adalah meningkatkan kuota PAS kepada hingga empat orang ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai. ~bernama





Iklan C (ii)




Presiden Perkasa Jadi Banduan

Posted: 19 Nov 2013 04:48 AM PST

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali dan penulis blog Zainuddin Salleh bersalah atas kesalahan menghina mahkamah.

Kesalahan itu merujuk kepada penerbitan satu tulisan Zainuddin di laman web PERKASA pada 7 Januari lalu yang dianggap mencalar imej Hakim Mahkamah Tinggi Datuk VT Singham.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari ke atas Ibrahim, berkuatkuasa hari ini dan juga denda RM20,000.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara empat minggu ke atas Zainuddin, berkuatkuasa hari ini.  

Zainuddin dalam tulisannya mendakwa Singham, yang mendengar kes saman difailkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas Utusan Malaysia pada masa itu, sebagai pro-pembangkang.

Zainuddin juga mempersoalkan orientasi seksual hakim berkenaan dan menyatakan bahawa hakim tersebut masih bujang.Hukuman dijatuhkan oleh Hakim Datuk John Louis O'Hara. 

Susulan itu, Ibrahim diperintahkan ditahan di lokap kompleks mahkamah Kuala Lumpur sehingga jam 5 petang ini.

Dalam penghakimannya, Hakim O'Hara berkata tindakan oleh kedua-dua defendan merupakan serangan ke atas Hakim Singham dan turut mempersoalkan integriti dan kesaksamaan hakim tersebut.  

Tambahnya, tulisan di laman web tersebut juga sub judice kerana Hakim Singham pada waktu itu mendengar kes saman oleh Anwar ke atas Utusan Melayu (M) Bhd dan ketua pengarangnya Datuk Abdul Aziz Ishak.

"Penghakiman yang sesuai perlu dibuat. Saya berharap ini menjadi penghalang kepada sesiapa yang menghina mahkamah," kata O'Hara.

Sementara itu, peguam Ibrahim, Adnan Seman @Abdullah berkata hakim enggan membenarkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman, yang menyebabkan Ibrahim terpaksa dipenjara selama sehari hari ini.

"Saya akan failkan rayuan ke atas hukuman itu esok... dengan asas bahawa laman web tersebut tidak dimiliki oleh PERKASA," kata Adnan kepada pemberita. ~mk




Iklan C (ii)


Patutlah Najib Tak Gunakan Pesawat Komersil.. Ini Sebabnya

Posted: 19 Nov 2013 02:48 AM PST

Penggunaan perkhidmatan syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines (MAS) untuk lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara adalah kurang bersesuaian kerana beberapa faktor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata antaranya laluan penerbangan MAS tidak meliputi semua kawasan dan adalahkurang bersesuaian jika pemimpin negara terpaksa menaiki pesawat komersil bersama penumpang lain.

"Ia melibatkan imej negara. Takkan Perdana Menteri terpaksa menunggu sehingga semua penumpang (baru boleh terbang).

"Ia akan melibatkan kos yang lebih tinggi jika kerajaan terpaksa 'charter' sebuah pesawat MAS untuk tujuan tersebut," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai penjelasan kepada beberapa anggota parlimen yang ingin tahu mengapa Perdana Menteri tidak menggunakan MAS untuk lawatan rasmi ke luar negara.

Shahidan berkata penggunaan pesawat-pesawat eksekutif milik kerajaan bukan terhad kepada Perdana Menteri sahaja.Katanya, pesawat tersebut juga boleh diguna oleh Yang di-Pertuan Agong, Timbalan Yang di-Pertuan Agong serta Timbalan Perdana Menteri untuk tujuan lawatan rasmi ke luar negara.

Katanya, malah isteri Perdana Menteri juga boleh menggunakan pesawat tersebut untuk urusan rasmi di luar negara dengan syarat mendapat kelulusan Jemaah Menteri dan sesuatu acara yang dihadiri itu mempunyai kepentingan untuk negara.

Katanya, perbelanjaan tinggi diperuntuk bagi penyenggaraan pesawat-pesawat ini bagi memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan terbaik."Kalau kereta rosak, kita boleh berhenti di tepi jalan. 

Tapi kalau pesawat rosak, di mana kita nak berhenti?," katanya.Awal bulan ini, Shahidan memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan telah membelanjakan RM182 juta untuk petrol dan penyenggaraan tujuh buah pesawat eksekutif milik kerajaan. ~tmi




Iklan C (ii)


Menteri Dedah Keburukan Rosmah

Posted: 18 Nov 2013 09:44 PM PST

Datuk Seri Shahidan Kassim mempertahankan isteri perdana menteri, Rosmah Mansor dalam isu pembiayaan kerajaan terhadap jet eksekutif swasta dalam lawatannya ke Qatar awal bulan ini.

Tindakan kerajaan itu hari ini dipersoalkan bertalu-talu oleh beberapa wakil rakyat pembangkang di Parlimen hari ini.

Mereka mempersoalkan sama ada Rosmah diperuntukkan keistimewaan itu berdasarkan peraturan kerajaan.

Menjawab soalan tersebut, Shahidan menjelaskan lawatan tersebut diluluskan kabinet.

Mendengar kenyataan itu, MP Gombak, Azmin Ali berdiri dan mendakwa kelulusan itu mengandungi elemen konflik kepentingan kerana perdana menteri sendiri mengetuai kabinet.

MP Sepang, Hanipa Maidin turut bangkit dan mendakwa perdana menteri boleh didakwa di mahkamah jika beliau didapati bersalah kerana melanggar prosedur dalam membuat keputusan yang melibatkan konflik kepentingan.

Shahidan: Demi kepentingan negara

Diasak bertalu-talu, Shahidan tidak menjawab kedua-dua pertanyaan tersebut. Beliau hanya menjelaskan yang ada perkara tertentu dalam mesyuarat jemaah menteri kabinet bersifat rahsia dan tidak boleh didedahkan.

Beliau juga menegaskan yang lawatan yang dilakukan Rosmah adalah demi kepentingan negara. "Beliau mewakili negara dan mewakili kepentingan negara," katanya.

Jawapan beliau itu mendorong MP Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar untuk bangkit dan terus mengasaknya tentang peranan isteri perdana menteri.

Mahfuz ingin tahu jika isteri perdana menteri dibenar mewakili negara dalam hal ehwal perhubungan dua hala dengan negara lain.

'YB boleh, isteri YB tak boleh'Shahidan bagaimana pun gagal memberikan penjelasan memuaskan dan hanya menggunakan dirinya yang akan mewakili negara ke satu persidangan di Ankara, Turki tidak lama lagi.

Mendengar jawapan itu, beberapa MP bangun membantah dan ada antaranya bersuara dengan lantang:"Yang Berhormat menteri boleh wakil Malaysia. Tapi isteri Yang Berhormat tak boleh". 

Rosmah pada 10 November lalu hadir ke Qatar untuk Forum Ahli Perniagaan Wanita Antarabangsa Qatar ke-4.Azmin mendakwa, penerbangan itu disahkan kerajaan dilakukan dengan menggunakan jet eksekutif.

Awal bulan ini, Parlimen diberitahu, jet yang digunakan kerajaan menelan belanja sebanyak RM14.95 juta untuk belanja petrol dan RM160.08 juta untuk penyelenggaraan.Setiap penerbangan dilaporkan menelan belanja kira-kira RM470,000. ~mk





Iklan C (ii)


Rafizi Dedah Kejahatan Terbaru BN

Posted: 18 Nov 2013 07:19 PM PST

Setelah memungkiri janji untuk menurunkan harga kereta, kerajaan Barisan Nasional (BN) menaikkan pula harga minyak dan kini  akan menghadkan jangka hayat kereta kepada 12 tahun sahaja.

"Ini akan menindas keluarga berpendapatan sederhana dan rendah serta menutup banyak perniagaan kereta terpakai," dakwa Rafizi Ramli (gambar), ahli Parlimen Pandan.

Beliau terkejut dengan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi bahawa kerajaan akan menimbangkan untuk melaksanakan had jangka hayat kenderaan berikutan saranan oleh Ketua Pengarah Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bahawa kereta berusia 12 tahun ke atas adalah tidak selamat.

Lebih membimbangkan, kata Rafizi, apabila Abdul Aziz turut dilaporkan sebagai berkata bahawa keputusan menetapkan had jangka hayat kenderaan "perlu dibuat segera demi keselamatan rakyat".

Bagi beliau, pelaksanaan had jangka hayat kenderaan kepada 12 tahun akan memangsakan beratus ribu rakyat Malaysia.Ini kerana, kebanyakan pembeli kereta daripada keluarga berpendapatan sederhana dan rendah membuat pinjaman selama sembilan tahun untuk melangsaikan hutang.

"Dengan pelaksanaan had jangka hayat kenderaan ini, selepas tiga tahun keluarga-keluarga di Malaysia terpaksa membuat hutang baru untuk membeli kereta.

"Keadaannya lebih parah bagi pembeli daripada keluarga berpendapatan rendah. Kebanyakan mereka hanya mampu membeli kereta terpakai yang sudah pun berusia," kata Rafizi, Pengarah Strategi PKR dalam kenyataannya.

Bagi mereka yang meminjam untuk membeli kereta katanya, pelaksanaan had jangka hayat kenderaan bermakna kereta mereka dikira haram di sisi undang-undang dan tidak boleh digunakan sedangkan hutang masih belum dilangsaikan.

Bagi beliau, cadangan pelaksanaan had jangka hayat kenderaan adalah rentetan daripada tindakan-tindakan yang menekan rakyat sejak BN menang (dengan tipu helah) dalam PRU13.

Menurut Rafizi, pakar strategi daripada PKR itu, masalah utama bersabit pemilikan kereta di Malaysia pernah dilaporkan sebagai kedua termahal di dunia ialah struktur cukai dan pasaran domestik yang menyebabkan harga naik melambung.

"Wujudnya cukai eksais yang melebihi 100% ke atas kereta-kereta yang digunakan oleh keluarga berpendapatan sederhana dan rendah menyebabkan harga kereta terlalu mahal dan menenggelamkan keluarga dengan hutang kereta yang terlalu tinggi.

"Cukai eksais yang terlalu tinggi ini juga memberi ruang kepada syarikat-syarikat pengeluar dan pengedar kereta untuk bersembunyi di sebalik struktur cukai ini untuk mengambil keuntungan yang lebih tinggi berbanding di negara lain.

"Oleh kerana pelaksanaan cukai eksais dan pemberian rebat cukai eksais adalah tidak telus, maka struktur margin keuntungan di atas setiap kereta yang dibeli juga tidak telus,"katanya.

Akibatnya, dakwa beliau,  harga kereta di Malaysia terus kekal menjadi antara yang tertinggi di dunia.Oleh itu kata beliau lagi, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menggariskan dasar-dasar automotif PKR telah menegaskan bahawa langkah pertama merombak struktur harga kereta yang mahal di Malaysia perlulah bermula dengan menghapuskan cukai eksais yang melampaui batas itu.

Apabila cukai eksais sudah tiada, barulah rakyat tahu bahawa jika harga tetap kekal tinggi bila dibandingkan dengan model yang sama di negara-negara lain, perbezaan harga itu berpunca daripada tindakan mengambil untung yang berlebihan oleh pengeluar dan pengedar kereta.

Hanya dalam keadaan pasaran kereta seperti ini barulah wujud persaingan sihat di antara pengeluar dan pengedar kereta yang boleh menurunkan harga kereta supaya setanding dengan negara lain bagi model yang sama, katanya.

"Maka, sebarang usaha untuk memperkenalkan had jangka hayat kereta sebelum cukai eksais dihapuskan akan ditentang habis-habisan."Dasar had jangka hayat kereta hanya boleh dilaksanakan setelah harga kereta di Malaysia turun setanding dengan model yang sama di negara lain," tegas beliau. ~tmi






Tiada ulasan: