Khamis, 7 November 2013

GoMalaysian

GoMalaysian


Tuan Ibrahim tanding Naib Presiden

Posted: 07 Nov 2013 05:50 PM PST

Tuan Ibrahim Tuan Man

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man  mengumumkan akan bertanding jawatan Naib Presiden parti itu dalam Muktamar Pas Ke-59, pada 22 November ini.

Beliau berkata, keputusan itu dilakukan atas kehendaknya sendiri tanpa dipengaruhi individu lain.

"Setelah meneliti ketiga-tiga jawatan yang saya dicalonkan, antara AJK, Naib Presiden dan Timbalan Presiden, maka saya dengan rendah diri menawarkan diri untuk menerima pencalonan sebagai Naib Presiden dalam Muktamar kali ini.

"Keputusan untuk bertanding jawatan ini adalah keputusan yang diambil diri saya sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana- mana pihak. Ia lebih kepada penilaian diri dengan kemampuan melaksanakan tugas yang diamanahkan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sebelum ini, media melaporkan Tuan Ibrahim adalah calon popular untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa juga turut berkata, beliau hanya akan menerima atau menolak tawaran jawatan nombor dua parti itu bergantung kepada keputusan Tuan Ibrahim.

Selain itu, seorang lagi Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang turut mendapat pencalonan untuk jawatan tersebut tetapi membuat keputusan menolaknya dan selesa untuk mempertahankan jawatan yang disandangnya.

Manakala Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah masih belum memberikan jawapan untuk menyertai penyandangnya Mohamad Sabu atau tidak.

Dalam perkembangan yang sama, Tuan Ibrahim turut berkata,  memperkukuhkan ukhwah di dalam PR adalah faktor penting yang perlu untuk membuat keputusan terhadap jawatan yang ditawarkan.

"Pas kini berhadapan dengan cabaran besar masa depan dan muafakat dalam PR yang perlu diperkukuhkan serta ukhuwah jamaah yang perlu diperkasakan, antara faktor penting dalam penilaian kemampuan menerima atau tidak sesuatu jawatan itu," jelasnya lagi.

Pesuruhjaya Pas Pahang itu juga turut mengingatkan ahli Pas yang terdiri daripada tiga kumpulan utama iaitu aktivis, ulama, dan profesional tidak termasuk dalam perangkap yang dibina musuh untuk memecahbelahkan parti dan juga PR.

"Akhirnya saya ingin berpesan agar jangan sesekali kita termasuk dalam perangkap yang dipasang oleh musuh bagi memecah-belah antara kita dan jangan pula kita membenarkan apa yang musuh tuduh kepada kita.

"Setiap orang perlu memainkan peranan sebagai faktor penyatu parti. Menyatukan parti tidak harus diletakkan di atas bahu mana-mana individu tertentu sahaja," katanya.

Jualan murah Sungai Limau hanya kebetulan, kata Jamil Khir

Posted: 07 Nov 2013 12:33 AM PST

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom (gambar) menyifatkan jualan murah gula dan beras yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) ketika tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau baru-baru ini adalah satu kebetulan.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Jerai berkata, jualan murah tersebut dijadikan modal pembangkang untuk memburukkan BN apabila ia kebetulan diadakan pada musim kempen PRK Sungai Limau.

"Jualan murah ini ada di mana-mana, pasar raya selalu buat jualan murah jadi apa yang dihairankan. Kebetulan ia diadakan semasa PRK namun hakikatnya ia bukan kerana PRK," katanya kepada media selepas merasmikan Konvesyen Pendakwah Negara 2013 di Kuala Lumpur.

Katanya, keadaannya sama seperti situasi pembangunan  dan kempen jualan murah yang dilaksanakan kerajaan.

"Ia seperti pembangunan yang dilakukan secara berterusan tidak kira sebelum atau selepas musim pilihan raya, begitu juga jualan murah.

"Bajet dibuat sepanjang tahun dan kita tidak boleh melepasi apa yang diperuntukkan. Contohnya seperti pemberian dana sekolah atau jalan raya, ia bukan hanya kerana untuk meraih undi, tetapi ia sememangnya ada bajet, " katanya.

Beliau turut menafikan segala peruntukan yang diberikan oleh kerajaan untuk Sungai Limau adalah bajet bagi PRK.

Malah pengumuman BN dalam memberikan peruntukkan kepada Sungai Limau semasa PRK juga adalah perkara biasa.

"Jangan silap kata ia hanya untuk bajet PRK, bukan hanya peruntukan sekolah atau pembinaan jalan raya. Sebelum pilihan raya pun kita bina bukan saja jalan bahkan lebuh raya, jadi ini normal.

"Kalau kata beri rasuah bawalah ke mahkamah tapi ini semua cakap-cakap pihak pembangkang yang nak tuduh kita semasa PRK,"katanya.

Sebelum ini BN dilaporkan mengadakan karnival rakyat di Bukit Besar iaitu sebuah kawasan yang terletak kira-kira 19 kilometer dari bandaraya Alor Setar dengan menjual barangan keperluan harian pada harga murah.

Satu kilogram gula boleh dibeli pada harga RM1 berbanding harga pasaran RM2.84 dan sekampit beras 5 kilogram dijual RM5 berbanding harga pasaran sebanyak RM13.

Bagaimanapun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dengan berkata jualan murah barangan asas seperti beras dan gula tidak mempunyai unsur rasuah.

Hal itu menyebabkan PAS dan PKR menyelar kenyataan SPRM itu kerana jelas tidak mencerminkan peranan badan Itu sebagai badan yang bertindak memantau pilihan raya untuk dijalankan dengan adil dan telus.

Selain jualan murah beras dan gula peruntukan sebanyak RM1.8 juta kepada tiga sekolah cina di Sungai Limau turut mencetuskan kontroversi. – 7 November, 2013.

BN Akui Ada Pengundi Hantu?

Posted: 06 Nov 2013 04:24 PM PST

Pengundi hantu wujud pada PRK Dun Sungai Limau?
WARTAWAN SINAR HARIAN
6 November 2013

KUALA LUMPUR - BN mendakwa "pengundi hantu" wujud pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau, yang berlangsung pada Sabtu lalu.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasim mendakwa, pada PRK lalu, terdapat pengundi yang tidak dapat dikesan kerana alamat tidak sama dengan tempat pembuangan undi.
 
Dakwanya lagi, perpindahan beramai-ramai pengundi ke satu kawasan pengundian telah berlaku pada PRK Dun Sungai Limau tanpa dikesan terutama di kawasan Bukit Besar.
 
"Dulu pihak pembangkang sebut pengundi hantu. pihak BN tidak tahu pun apa pengundi hantu. Rupanya perangai orang ini kalau dia nak buat nakal kepada seseorang ini, selepas dia menyamun, dia akan kata kita yang menyamun.
 
"Jadi dia tuduh dulu, seperti juga isu pengundi hantu ini. BN tak pernah buat kerja ini. Kami cari merata tempat tapi tak dapat kesan.
 
"Mereka hanya pergi daftar pemilih menggunakan borang daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mereka tukar alamat pada hari pendaftaran dan mereka akan kembali ke tempat asal untuk menunggu pilihan raya," dakwanya pada sidang media, di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Sementara itu, Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau berkata, Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) perlu mengkaji perkara tersebut.

"PSC perlu kaji perkara ini.

"Saya akan cadangkan pada mereka bincangkan mengenai isu perpindahan ini atau pengundi hantu ini," katanya.

Beliau turut menggesa penduduk di kawasan tersebut menjalankan protes apabila daftar pemilih dibentangkan dalam tempoh 10 hari bantahan akan datang.

"Bukan sahaja kerajaan kena atasi masalah ini, tetapi penduduk juga perlu ambil bahagian dalam perkara ini untuk protes," ujarnya.

Tiada ulasan: