Selasa, 5 November 2013

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Tidur di Liang Lahad Sejak 13 Tahun Lalu

Posted: 05 Nov 2013 04:30 AM PST

RIGOL tinggal dalam kubur rakan karibnya sejak 13 tahun lalu.

'Rumah' liang lahad

[HM] Sao Paulo: Seorang lelaki papa kedana dilaporkan tinggal dalam sebuah liang lahad yang dikongsi bersama rangka sahabat karibnya sejak 13 tahun lalu.

Fabio Beraldo Rigol berkata, dia berpindah ke kawasan perkuburan di Santa Isabel itu selepas menjadi miskin dan mula menagih dadah. Katanya, disebabkan kemelaratan dia dibuang oleh keluarga dan tiada tempat lain untuk berlindung.

"Saya terpaksa keluar dari rumah dan merayau di jalanan.

"Pada satu malam hujan lebat dan entah bagaimana apabila saya sedar, saya berada dalam kubur," katanya.

Disebabkan terlampau melarat, Rigol terpaksa "meminta kebenaran" daripada rakannya untuk menumpang dalam kubur berkenaan.

Kata bekas broker itu, dia hanya keluar meninggalkan kawasan berkenaan untuk meminta sedekah bagi mendapatkan makanan.

Rigol berkata, pada awalnya dia hidup sama seperti orang lain dan bergantung kepada perniagaan untuk mencari sumber rezeki.

"Bagaimanapun perniagaan saya gagal dan saya mula menagih dadah," katanya. Rigol berkata, dia tidak ada masalah hidup dikelilingi rangka dan tanah perkuburan yang sering dikaitkan dengan hantu.

Sebaliknya, kata Rigol, dia lebih takutkan orang yang masih hidup.

"Saya tak pernah nampak hantu walaupun pada ketika tertentu keadaan di sini agak sunyi," katanya. - Agensi - 5/11/13


Pemuda Menangis Kereta Majikan Masuk Parit

Posted: 05 Nov 2013 02:00 AM PST


[SH] BAGAN SERAI - Seorang pemandu lelaki menangis setelah menjadi punca kereta kepunyaan majikan yang dipandunya terbabas dan memasuki sebuah parit berhadapan Kolej Vokasional Bagan Serai, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengahari, mangsa berusia lingkungan 20-an yang sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Kurau menghala Bagan Serai dipercayai terbabas dengan sendiri setelah kenderaan dipandu hilang kawalan.

Saksi kejadian, Johari Zainal Abiddin, 56, berkata, sewaktu kejadian, dia sedang menunggu anak pulang dari sekolah sebelum melihat sebuah kenderaan pacuan empat roda meluncur laju menghala ke arah sebuah parit sebelum terjunam ke dalamnya.

"Saya bersama beberapa lagi rakan segera membantu mengeluarkan mangsa namun hairan melihat gelagat pemandu tersebut yang tidak henti-henti menangis.

"Ketika ditanya, pemandu terbabit ketakutan kerana kereta dipandunya itu milik majikan," katanya.

Sementara itu, mangsa yang dikenali sebagai Zarul berkata, dia bimbang dipecat majikan akibat insiden itu.

"Saya sedang memandu kenderaan itu seperti biasa sebelum ia hilang kawalan dipercayai akibat masalah tayar.

"Saya sudah membuat laporan polis dan berharap majikan boleh membuat tuntutan insurans untuk membaik pulih kenderaan itu," katanya. -5/11/13


Rakyat M'sia dengan Gelaran "Si Gemuk Leonard" Akan Didakwa di Amerika Kerana...

Posted: 05 Nov 2013 12:30 AM PST



[Mstar] SAN DIEGO (AS): Seorang rakyat Malaysia yang dikenali dengan panggilan 'Si Gemuk Leonard' di kalangan pegawai-pegawai kanan tentera laut Amerika yang beroperasi di lautan Pasifik kini popular atas sebab yang salah setelah dia didakwa di sebuah mahkamah persekutuan di sini kerana menjadi bapa ayam.

Tetapi menurut agensi berita AP, berdasarkan kertas dokumen mahkamah yang diperolehi, Si Gemuk Leonard atau nama sebenarnya Leonard Francis bukan sekadar membekalkan pelacur kepada pegawai-pegawai tinggi tentera laut Amerika yang berlabuh di Pasifik malah menggunakan cara tersebut untuk memperolehi pelbagai maklumat sulit tentera laut yang akhirnya digunakan untuk mendapat kontrak yang lumayan.

Dia juga didakwa menyediakan tiket konsert percuma Lady Gaga untuk pegawai-pegawai tentera laut Amerika sebagai habuan mendapat akses kepada maklumat kontrak yang dicarinya.

Skandal yang amat memalukan pasukan tentera laut Amerika di Pasifik ini yang sebelum ini dianggap sebagai pasukan yang penuh integriti dan paling beradap serta sopan di kalangan cabang pasukan bersenjata Amerika telah menjadi tajuk berita utama di negara tersebut.

Dan yang paling memalukan ialah, nama Malaysia muncul di tengah-tengah kehangatan kes tersebut gara-gara Si Gemuk Leonard.

Kes ini juga telah mendedahkan betapa korupsi dan penyalahgunaan kuasa boleh menjejaskan isu keselamatan negara.

Mahkamah akan memutuskan Jumaat ini bilakah tarikh perbicaraan akan bermula.

Sementara itu, berdasarkan dokumen pendakwaan yang diperolehi oleh AP, Komander Angkatan Tentera Laut Amerika, Michael Vannak Khem Misiewicz telah dikatakan membekalkan maklumat sulit mengenai jadual perjalanan kapal-kapal perang Amerika kepada Si Gemuk Leonard yang mempunyai sebuah firma pembekalan yang berpusat di Singapura.

Firma tersebut, Glenn Defense Marine Asia Limited kemudiannya mencaturkan di manakah kapal-kapal perang Amerika termasuklah kapal pengangkut pesawat patut berlabuh dan menerima khidmat bekalan sokongan.

Firma itu kemudiannya didakwa telah menggenakan caj yang berlebihan ke atas kapal-kapal tentera laut Amerika ini menerusi bekalan minyak, makanan dan lain-lain perkhidmatan.

Syarikat milik Si Gemuk Leonard ini pernah sekali mengenakan caj perkhidmatan sehingga AS$10 juta kepada tentera laut Amerika dalam satu tahun.

Malah mereka didakwa telah mencipta tarif yang dipalsukan menggunakan dokumen pihak berkuasa pelabuhan.

Bekas Panglima Angkatan Laut Amerika, Admiral Terry McKnight telah dipetik sebagai berkata, adalah sesuatu yang menakjubkan bagaimana seorang manusia boleh menentukan di pelabuhan manakah sesebuah armada laut patut berlabuh apatah lagi jika ia dilakukan hanya dengan pengaruh seorang kontraktor perbekalan.

Setakat ini pihak berkuasa telah menahan Misiewicz, Si Gemuk Leonard, pengurus besarnya, Alex Wisidagama dan seorang lagi pegawai tentera laut bernama John Beliveau.

Menurut kertas pendakwaan, Beliveau dituduh membekalkan maklumat kepada Si Gemuk Leonard tentang perkembangan siasatan dan bagaimana hendak mempertahankan dirinya daripada semua dakwaan ini sebagai balasan kepada percutian mewah, rasuah dan pelacur.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah.

Tetapi jika didapati bersalah kelak, mereka berhadapan dengan hukuman sehingga lima tahun penjara.

Ramai yang percaya akan terdapat beberapa nama lagi pegawai tinggi tentera laut yang akan terpalit dan didakwa kerana menerima pelbagai hadiah lumayan daripada Si Gemuk Leonard.

Yang paling menakjubkan ialah, Si Gemuk Leonard ini dikatakan telah mencapai status 'legenda' di kalangan pegawai-pegawai tinggi tentera laut Amerika di Pasifik yang sekaligus mengambarkan betapa popularnya dia.

Fakta ini diakui sendiri oleh Admiral McKnight walaupun dia sendiri tidak pernah bertemu Leonard tetapi sekadar mendengar namanya sahaja.

Banglo mewah Leonard di Singapura menjadi perhatian ramai dan disifatkan sebagai sama hebat dengan pusat membeli belah terkemuka negara itu.

"Jika anda bercakap dengan mana-mana kapten kapal armada yang pernah belayar ke Singapura dan Pasifik, tidak ada seorang pun yang tidak kenal dengannya. Semua mereka mengenalinya secara peribadi," kata McKnight lagi.

Dalam pada itu, Pengarah Siasatan Jenayah Tentera Laut Amerika, Laksamana John Kirby dipetik oleh AP sebagai berkata, siasatan ke atas Leonard bermula pada tahun 2010.

Pada tahun yang sama, Komander Misiewicz turut mencuri perhatian dunia apabila dia buat pertama kalinya kembali ke tanah asalnya Kemboja sebagai seorang pegawai kanan tentera laut Amerika. Dia disambut bagaikan seorang wira oleh warga Kemboja.

Dia berhijrah ke Amerika pada usia yang kecil selepas diambil sebagai anak angkat oleh seorang wanita warga Amerika. -5/11/13



Pasangan 16 Tahun Kantoi Ehem-ehem dalam Kebun Sawit

Posted: 04 Nov 2013 11:46 PM PST







Selimut dan bantal turut ditemui dalam pondok

[SH] HULU TERENGGANU - Perbuatan sepasang remaja menjadikan sebuah pondok dalam kebun kelapa sawit, di sini, sebagai port memadu kasih mengundang padah apabila kegiatan tidak bermoral mereka dihidu anggota SRS Paloh Nyior, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, pasangan berusia 16 tahun terbabit dipercayai sedang melampiaskan nafsu, namun hasrat mereka terbantut apabila menyedari kehadiran anggota SRS Paloh Nyior dan polis.

Difahamkan, remaja perempuan berasal dari Kampung Telaga itu terlebih dahulu menunggang motosikal mengambil pasangannya yang tinggal di Kampung Getang sebelum kedua-dua mereka tiba di kawasan kebun kelapa sawit tersebut sekitar jam 7.30 pagi.

Setiausaha SRS Paloh Nyior, Abdul Manat Ibrahim, 63, berkata, kehadiran pasangan terbabit disedarinya setelah mendapati terdapat sebuah motosikal berhampiran pintu pagar kebun sawit itu ketika dia sedang melakukan rondaan.

"Sebagaimana kebiasaan, saya kerap lakukan rondaan sekitar kawasan kampung apatah lagi malam tadi (semalam) bertugas sebagai anggota SRS.

"Ketika melalui kebun sawit ini, saya lihat sebuah motosikal dan ia adalah motosikal sama ditemui pada minggu lepas," katanya.

Kata Abdul Manat, dia mengesyaki sesuatu setelah mendapati pintu pagar kebun berkunci manakala pemilik kebun itu tinggal di Kemaman.

"Saya memaklumkan anggota SRS yang lain selain turut hubungi polis. Pondok terletak kira-kira 50 meter jaraknya dari pagar ini pernah jadi lokasi penagih dadah," katanya.

Menurutnya, hasil serbuan didapati sepasang remaja dalam keadaan mencurigakan.

"Mereka akui pernah ke sini sebelum ini. Dalam pondok ini turut terdapat gebar dan bantal tidak pasti sudah ada atau dibawa mereka.

"Pasangan ini dibawa ke Balai Polis Kuala Telemong sebelum dimaklumkan ibu bapa masing-masing," katanya.

Difahamkan, remaja lelaki itu sudah tidak bersekolah manakala yang perempuan masih bersekolah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim berkata, kedua-dua remaja itu ditahan untuk jalani ujian air kencing, bagaimanapun hanya remaja lelaki didapati positif dadah serta masih ditahan.- 5/11/13


Tiada ulasan: