Selasa, 5 November 2013

Biaqpila

Biaqpila


RUMAH DALAM LIANG LAHAD SAHABAT KARIB

Posted: 05 Nov 2013 04:58 AM PST


Sao Paulo: Seorang lelaki papa kedana dilaporkan tinggal dalam sebuah liang lahad yang dikongsi bersama rangka sahabat karibnya sejak 13 tahun lalu.

Fabio Beraldo Rigol berkata, dia berpindah ke kawasan perkuburan di Santa Isabel itu selepas menjadi miskin dan mula menagih dadah. Katanya, disebabkan kemelaratan dia dibuang oleh keluarga dan tiada tempat lain untuk berlindung.

"Saya terpaksa keluar dari rumah dan merayau di jalanan.

"Pada satu malam hujan lebat dan entah bagaimana apabila saya sedar, saya berada dalam kubur," katanya.

Disebabkan terlampau melarat, Rigol terpaksa "meminta kebenaran" daripada rakannya untuk menumpang dalam kubur berkenaan.

Kata bekas broker itu, dia hanya keluar meninggalkan kawasan berkenaan untuk meminta sedekah bagi mendapatkan makanan.

RIGOL tinggal dalam kubur rakan karibnya sejak 13 tahun lalu.

Rigol berkata, pada awalnya dia hidup sama seperti orang lain dan bergantung kepada perniagaan untuk mencari sumber rezeki.

"Bagaimanapun perniagaan saya gagal dan saya mula menagih dadah," katanya. Rigol berkata, dia tidak ada masalah hidup dikelilingi rangka dan tanah perkuburan yang sering dikaitkan dengan hantu.

Sebaliknya, kata Rigol, dia lebih takutkan orang yang masih hidup.

"Saya tak pernah nampak hantu walaupun pada ketika tertentu keadaan di sini agak sunyi," katanya. - Agensi



HM


PISTOL DITEMUI DI STADIUM SHAH ALAM

Posted: 04 Nov 2013 05:00 PM PST


SHAH ALAM - Polis menemui sepucuk pistol bersama tujuh butir peluru hidup di salah satu tandas di Stadium Shah Alam ketika perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Pahang dan Kelantan berlangsung semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Deputi Superitendan Ruslan Abdullah berkata, ketika dihubungi hari ini berkata pihaknya masih berusaha mengesan pemilik pistol berkenaan dan motif senjata itu dibawa ke stadium itu.

"Buat masa ini kita tidak boleh memberi sebarang ulasan berhubung perkara itu kerana ia masih dalam siasatan pihak polis," katanya.

Difahamkan pistol itu ditemui oleh seorang anggota polis yang kebetulan masuk menggunakan tandas itu.

Ruslan berkata ,polis juga menahan 86 individu semalam atas kesalahan membawa tiket palsu namun kesemua mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

"Polis turut menahan lima lagi individu atas pelbagai kesalahan seperti menyalakan suar, membakar mercun dan membaling botol.

"Tindakan seperti itu bukan saja membahayakan diri sendiri, malah membahayakan nyawa penonton lain, termasuk kanak-kanak yang ada dalam stadium," katanya.

Bagaimanapun, secara keseluruhannya perlawanan malam tadi berjalan dengan lancar tanpa kejadian tidak diingini berlaku, katanya.

Ruslan berkata, polis menempatkan seramai 110 pegawai dan 1,482 anggota di kawasan dalam dan luar stadium termasuk di tempat meletak kenderaan, laluan masuk dan keluar stadium.

Pahang muncul juara Piala Malaysia 2013 selepas menewaskan Kelantan 1-0 hasil jaringan pemain import, Matias Ruben Conti di hadapan kira-kira 75,000 penyokong kedua-dua pasukan. - Bernama


Tiada ulasan: