Selasa, 5 November 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Kemenangan hari pertama tahun Hijrah – TG Nik Aziz

Posted: 04 Nov 2013 11:35 PM PST

Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kemenangan calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai  Limau semalam sebagai "kemenangan di hari pertama tahun hijrah 1435H".

Dalam entri terbaru di laman facebook beliau, Tuan Guru Nik Aziz memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT dengan kemenangan itu dan merakamkan tahniah kepada semua petugas, penyokong dan pengundi.

"Syukur Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan kemenangan kepada calon PAS di Dun Sungai Limau Kedah kelmarin (semalam).

"Tahniah saya rakamkan kepada semua petugas, penyokong dan pengundi PAS yang ternyata telah menolak tawaran wang ringgit semata-mata untuk kekal istiqamah bersama-sama dengan PAS.


"Kemenangan di hari pertama tahun hijrah 1435H diharapkan menjadi langkah kanan kita untuk terus melakar sejarah gemilang di pentas politik negara, Insya Allah," ujarnya.

PAS mengekalkan kerusi Dun Sungai Limau dengan majoriti 1,084 undi.

Calon PAS Ustaz Mohd Azam Abd Samat, 37, memperoleh 12,069 undi mengalahkan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, yang mendapat 10,985 undi.

Pada PRU ke-13  Mei lalu, Tan Sri Ustaz Azizan Razak (PAS) memenangi kerusi Dun Sungai Limau dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 2,774 undi.

Keputusan rasmi PRK Dun Sungai Limau diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Abdul Rashid Othman di pusat penjumlahan undi di Dewan Lukman Al-Hakim, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan kira-kira jam 9.00 malam.


Daripada 23,249 pemilih berdaftar yang keluar mengundi,  145 kertas undi diisytiharkan rosak.

Dengan keputusan ini, PAS mengekalkan kerusi Dun itu sejak pilihan raya umum 1995.

Adun Kadamaian Jeremmy Malajad keluar parti

Posted: 04 Nov 2013 11:33 PM PST

MSTAR ONLINE

Menurutnya keputusan beliau keluar daripada PKR adalah bagi memenuhi harapan rakyat di kawasannya yang mahukan pembangunan.




KOTA BELUD:  Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Jeremmy Malajad hari ini mengumumkan keluar daripada PKR dan menjadi wakil Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).

Jeremmy yang juga Ketua Penerangan PKR Sabah berkata perkara itu berkuat kuasa hari ini.
Beliau yang disertai oleh kira-kira 50 bekas pemimpin PKR Kadamaian berkata demikian dalam sidang media, di sini.

Menurutnya keputusan beliau keluar daripada PKR adalah bagi memenuhi harapan rakyat di kawasannya yang mahukan pembangunan.

"Sebagai wakil rakyat yang baru dipilih oleh rakyat, saya sedar tentang harapan tinggi rakyat di kawasan yang saya wakili untuk melihat perubahan dalam bidang pembangunan khususnya kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, klinik desa dan banyak lagi pembangunan luar bandar yang menjadi isu semasa yang sentiasa dilaung-laungkan masyarakat Kadamaian," katanya.

Jeremmy berkata kejayaan BN menangani pelbagai isu yang dibangkitkan di negeri itu semasa pilihan raya umum ke-13 membuatkan beliau meneliti semula kedudukannya sebagai wakil rakyat PKR.

Saya sudah berjanji untuk menjadi wakil rakyat terbaik dalam memberi sumbangan dan khidmat yang diperlukan oleh rakyat, dan saya percaya rakyat di Sabah semakin yakin dengan pendekatan dan kesungguhan kerajaan BN dalam menyelesaikan isu berbangkit, katanya.

Sambil menyatakan komitmennya tidak berubah dalam membantu rakyat di kawasannya, Jeremmy berkata beliau mahu terlibat secara langsung bagi merealisasikan pelbagai program transformasi yang dilaksana oleh kerajaan BN.

Dalam pilihan raya umum lepas, Jeremmy memperoleh 5,877 undi berbanding penyandang Timbon@Herbert Langadan daripada BN yang menerima 4,988 undi dalam pertandingan empat penjuru.- Bernama

Harga gula dunia turun, mengapa Malaysia mahal?

Posted: 04 Nov 2013 11:19 PM PST

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Tidak wajar sekiranya kerajaan tidak mampu menanggung subsidi gula, kerana trend dunia menunjukkan penurunan harga, kata Penyelidik Institut Rakyat (IR), Azrul Azwar Ahmad Tajudin.

"Trend harga gula menurun ketika ini. Jadi tidak wajar kerajaan tidak boleh menampung subsidi," katanya.

Harga gula ketika ini sedang menurun.
Harga gula ketika ini sedang menurun.

Azrul berkata, kadar harga gula yang diimport dari sesebuah negara adalah berdasarkan harga pasaran sesuatu kontrak ditandatangani.

Jelasnya, kerajaan perlu mempertimbangkan keperluan semasa rakyat dan kebarangkalian kenaikan harga secara teliti.

Laman web Futures pada September 2013 melaporkan peningkatan pengeluaran gula di Brazil, India dan Thailand, dalam masa yang sama permintaan gula rendah di pasaran dunia menyebabkan harganya rendah.

Justeru, Azrul membayangkan Malaysia tidak menyediakan pakar untuk membaca pasaran selain kumpulan perunding sebelum membuat sesuatu perjanjian dengan pengeluar gula antarabangsa.

"Kita bimbang kerajaan memuktamadkan kontrak pada harga yang tinggi. Bila harga gula di pasaran dunia menurun, Malaysia tidak ada pilihan.

"Katakanlah Malaysia telah tanda tangan sesuatu kontrak bagi tempoh tiga tahun. Kita kena patuh kepada perjanjian tersebut," jelasnya.

KDN digesa keluar surat tunjuk sebab, batal lesen syarikat keselamatan

Posted: 04 Nov 2013 11:17 PM PST

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa supaya mengeluarkan surat tunjuk sebab dan membatalkan lesen syarikat keselamatan yang terbabit dalam kejadian rompakan sebuah kedai emas di Setapak minggu lalu, dengan kadar segera.

Desakan itu dibuat kerana sebelum ini, KDN mengambil langkah drastik membatalkan lesen syarikat Kawalan Prima Sdn Bhd apbila pengawal keselamatan syarikat berkenaan menembak mati pegawai bank Ambank Jalan USJ 2, dekat sini, bulan lalu.
N_Surendran
Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran berkata, KDN dan Ketua Polis Negara perlu bertanggungjawab berhubung perkara terbabit memandangkan kuasa kelulusan senjata api dikeluarkan mereka kepada syarikat keselamatan.

"Kegagalan dan tanggungjawab ini terletak pada KDN dan Ketua Polis Negara kerana lesen kelulusan senjata api datang daripada kementerian terbabit.

"Bermakna masalah ini adalah kegagalan KDN untuk memastikan syarikat keselamatan yang diberikan lesen itu mempunyai kemampuan dan kebolehan menjalankan tugas tanpa melakukan jenayah," katanya, dipetik Media Selangorku.

Surendran berkata, sikap tidak konsisten dalam membatalkan lesen syarikat keselamatan yang terbabit dalam sebarang jenayah perlu diatasi kerana membabitkan nyawa orang awam.

Pada 30 Oktober lalu, seorang pengawal keselamatan mengacukan pistol kepada majikannya ketika mahu memulakan perniagaan kedai emas sebelum membawa dulang berisi 100 utas rantai leher yang tidak dapat dipastikan nilainya di premis yang terletak di KL Festive City Mall.

Mengulas dakwaan pembabitan seorang bekas Ketua Polis Negara dalam syarikat keselamatan, Surendran berkata, KDN perlu menjelaskan perkara berkenaan dengan lebih lanjut.

Menurut laporan portal MStar, carian di laman web Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) menunjukkan salah seorang ahli lembaga pengarah dalam firma yang mengambil suspek bekerja adalah bekas Ketua Polis Negara.

Portal Astro Awani melaporkan pengawal keselamatan warga Filipina berkenaan sudah ditahan bersama rakannya di Lapangan Terbang Tambang Murah, LCCT dan direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 10 November ini.

Tangkapan itu turut disahkan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner (ACP) Khairi Ahrasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Kekal di Sg Limau, Pas dakwa BN gagal 'sabotaj'

Posted: 04 Nov 2013 11:14 PM PST

mahfuz omar  
Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar

YAN - Cubaan 'mensabotaj' Pas dengan menetapkan hari pengundian pada hari bekerja di PRK Dun Sungai Limau nyata gagal apabila taktik itu tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada parti terbabit, dakwa Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz berkata, walaupun pihaknya kehilangan lebih 1,000 majoriti undi - akibat peratusan keluar mengundi terjejas, namun majoriti minimum 500 undi yang disasarkan sebelum ini dapat dicapai dan jauh lebih baik.

"Kekurangan majoriti ini bukannya kemenangan moral BN, tetapi kekurangan itu disebabkan lebih 1,000 pengundi di luar kawasan pilihan raya yang tidak dapat balik mengundi.

"Kadar keluar mengundi berkurangan daripada 89 peratus kepada 85.5 peratus turut menjejaskan majoriti undi Pas.

"SPR harus mengambil pengajaran ini supaya di lain kali pilihan raya tidak boleh diadakan pada hari bekerja kerana ia menjadi penghalang daripada mereka membuang undi," katanya kepada pemberita selepas SPR mengumumkan Dun Sungai Limau kekal milik Pas di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan, di sini, malam tadi.

Calon Pas, Mohd Azam Abdul Samat menewaskan calon BN, Dr Abdul Sohaimi Lazim dengan majoriti undi sebanyak 1,084 sekali gus mempertahankan kerusi yang menjadi kubu kuat Pas.

Dalam pada itu, Mahfuz yang juga naib presiden Pas menyifatkan kemenangan itu sebagai 'anugerah ALLAH' pada malam sambutan Maal Hijrah bagi tahun 1435 hijrah.

"Maal Hijrah pada malam ini adalah permulaan yang baik Pas bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat untuk memulakan langkah untuk kembali ke persada politik di Kedah menjelang PRU14 nanti," katanya lagi.

Mukhriz: Pengundi luar berdaftar di Bkt Besar menangkan PAS

Posted: 04 Nov 2013 11:10 PM PST

 

 

Jumlah penghuni pondok agama yang merupakan orang luar tetapi didaftarkan sebagai pengundi Sungai Limau menyumbang kepada kekalahan BN dalam pilihan raya kecil Sungai Limau, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

"Bagi pihak kami antara persoalan timbul ialah bagaimana satu daerah mengundi seperti Bukit Besar boleh mempunyai jumlah pengundi yg begitu ramai di satu tempat.

"Kita tahu banyak pondok-pondok di situ tetapi takkanlah sampai ratusan penghuninya.
"Sejak dahulu lagi tempat yang sama beri kemenangan kepada PAS," katanya.
Menurut Mukhriz, pihaknya menerima keputusan pilihan raya ini namun persoalan timbul sama ada amalan sedemikian selaras dengan semangat demokrasi untuk penduduk setempat.

"Bukan tempat kami untuk mempertikaikam kenapa tempat seperti itu mempunyai jumlah pengundi begitu ramai.

"Tindakan mereka mendaftar orang luar sebagai pengundi di situ, adakah ia boleh diterima sebagai satu amalan demokratik.

"Saya tak bermaksud mempertikaikan keputusan pilihan raya kecil ini tetapi persoalan begitu tetapi timbul," kata Mukhriz dalam reaksi segeranya terhadap keputusan pilihan raya N20 Sungai Limau.
Bukit Besar merupakan daerah mengundi yang dimenangi PAS dengan majoriti terbesar iaitu sebanyak 1,103 undi.

PAS memenangi sembilan daripada 19 daerah mengundi dalam Sungai Limau untuk menang dengan majoriti 1,084 undi.

Abdul Hamid, Dr Zakir tokoh Maal Hijrah

Posted: 04 Nov 2013 11:08 PM PST


tokoh 
 
 Tokoh Maal Hijrah 1435/2013M peringkat Antarabangsa, Dr. Zakir Abdul Karim Naik (kiri) bersama tokoh Maal Hijrah 1435/2013M peringkat kebangsaan Tan Sri Abdul Hamid Zainal Abidin pada majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1435H/2013M, hari ini.

Sementara, pendakwah terkenal, Dr Zakir Abdul Karim Naik dari India dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa.

"Pemilihan tokoh tersebut dibuat atas asas sumbangan besar mereka dalam memartabatkan Islam di peringkat nasional dan global yang diiktiraf oleh pelbagai pihak," ujar Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha,

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan nama pemenang di Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Hadiah disampaikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Kedua-dua tokoh menerima hadiah berupa wang tunai RM100,000, pingat dan sijil penghargaan.

Empangan Kahang: 3 soalan untuk MB

Posted: 04 Nov 2013 11:03 PM PST


 
 
Pada 26 Oktober 2013 Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkandi Kluang bahawa projek pembinaan Empangan Kahang yang memakan perbelanjaan sejumlah RM105 juta akan bermula pada bulan November ini.

Beliau berkata, projek ini tidak melibatkan pemindahan penduduk atau pengambilan tanah.

Sebaik sahaja projek ini selesai, pembekalan air di Kluang akan terjamin sehingga tahun 2035 dan masalah banjir di Kluang juga boleh diselesaikan.

Pembinaan Empangan Kahang merupakan suatu pelaburan awam yang penting dan kehidupan harian seramai 300,000 penduduk di daerah Kluang akan terus terpengaruh.

Menurut jangkaan Jabatan Statistik, populasi di daerah Kluang akan mencecah 400,000 orang menjelang tahun 2030.

Justeru, pembekalan air bersih merupakan perkara yang paling asas dan perlu diberikan perhatian oleh semua.

Setelah menjalankan kajian yang rapi, saya mendapati menteri besar tidak memberikan maklumat yang jelas atas beberapa isu penting.

Demi kepentingan awam, ingin saya mengemukakan tiga persoalan seperti yang berikut untuk menarik perhatian pihak berkenaan dan mengharapkan jawapan yang jelas daripadanya.

(1) Bagaimanakah projek pembinaan dapat bermula sebelum laporan DEIA diluluskan?
Menurut undang-undang alam sekitar, pembinaan empangan merupakan aktiviti yang ditetapkan yang memerlukan kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling Terperinci (DEIA) oleh Ketua Pengarah Alam Sekeliling sebelum sesuatu projek itu boleh bermula.

Setahu saya, Jabatan Bekalan Air di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) baru membentangkan laporan DEIA pada 25 Ogos 2013.

Laporan DEIA ini telah dipamerkan di Kluang, Johor Bahru dan juga Putrajaya untuk pembacaan dan maklum balas orang awam.

Jabatan Alam Sekitar juga telah menetapkan 17 November sebagai tarikh tutup untuk penilaian laporan DEIA.

Untuk projek mega seperti ini, Jabatan Alam Sekitar memerlukan masa yang lebih untuk mengumpulkan lebih banyak maklum balas daripada semua pihak.

Sehubungan dengan itu, pengumuman menteri besar bahawa pembinaan empangan akan bermula pada bulan November tidak benar, melainkan kerajaan sengaja menyalahi undang-undang dan memulakan pembersihan tapak dengan menebang kayu kayan sebelum laporan DEIA diluluskan.

Laporan DEIA ini jelas menyatakan bahawa tapak pembinaan empangan iaitu bahagian hulu Sungai Kahang merupakan kawasan hutan rizab yang kaya dengan kayu kayan dan pelbagai flora dan fauna (rujuk Bab 6 laporan DEIA).

Oleh yang demikian, saya berharap kerajaan tidak memulakan projek selagi laporan DEIA belum diluluskan semata-mata untuk mengaut keuntungan daripada pembalakan.

(2) Adakah benar tiada sebarang tanah yang akan diambil untuk kegunaan pembinaan Empangan Kahang?

Menurut para 4.1.8 laporan DEIA pembinaan jalan masuk sepanjang 2.5km ke kawasan empangan akan melibatkan tanah seluas 10 hektar yang berhampiran dengan Felda Kahang Timur.

Kenyataan menteri besar bahawa tiada pengambilan tanah akan dilaksanakan adalah sangat mengelirukan dan saya meminta kerajaan supaya memberikan penjelasan atas isu ini.

Sekiranya pengambilan tanah perlu dijalankan untuk tujuan projek ini maka saya berharap tuan punya tanah haruslah dimaklumkan segera.

Pihak kerajaan juga perlu berunding dengan mereka sebelum tanah mereka diambil.

Sekiranya tuan punya tanah bersetuju atas pengambilan tanah ini, maka pampasan yang munasabah haruslah diberikan.

(3) Bagaimanakah pembinaan Empangan Kahang menyelesaikan masalah banjir di Bandar Kluang?
Warga Kluang terutamanya penduduk kawasan bandar yang sering dihantui masalah banjir akan berasa gembira apabila mendapat tahu bahawa kerajaan mengambil langkah menyelesaikan masalah banjir.

Bagaimanapun saya berasa curiga atas kenyataan bahawa pembinaan Empangan Kahang dapat menyelesaikan masalah banjir.

Saya berpendapat bahawa usaha kerajaan dalam menyelesaikan masih tidak mencukupi dan lambat.

Kerajaan harus melipatgandakan usaha menyelesaikan masalah banjir tetapi bukan mengalihkan tumpuan awam atas isu ini.

Saya juga menyeru supaya isu ini diberikan perhatian oleh semua dan bersama-sama kita meneliti laporan DEIA ini.

Kita haruslah membincangkan kewajaran untuk melaksanakan projek ini dan memberikan maklum balas berkenaan projek ini kepada pihak berkenaan.

Untuk memudahkan orang awam saya akan memuat naikkan laporan DEIA ini ke laman Facebook saya (www.facebook.com/hongpintan)

Kerajaan perlu meneliti dan mendapatkan maklum balas yang menyeluruh sebelum memulakan projek pembinaan Empangan Kahang ini yang mempunyai impak yang besar dan mendalam.

Saya akan membangkitkan isu dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
 
* TAN HONG PIN setiausaha kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dan ADUN Mengkibol.

Subsidi gula, diabetes dan ketentuan Allah

Posted: 04 Nov 2013 11:01 PM PST

 

 
 
Saya masih lagi tidak mendengar kenyataan rasmi daripada ustaz-ustaz daripada Sekretariat Ulama Muda Umno (iLMU) tentang isu pengurangan subsidi gula (kalimat berhantu menggantikan kenaikan harga gula).

Mungkin isu ini tidak sehebat pengurangan subsidi petrol RON95 yang mendapat respon cepat daripada iLMU lantaran perlunya meredakan kemarahan marhaen terhadap pimpinan tertinggi negara.

Atau mungkin juga boleh saya keluhkan bahawa bingkisan "kenaikan harga ketetapan Allah" itu sebagai kuih penganan sahaja untuk melariskan populariti dalam pemilihan Pemuda Umno 2013 yang lalu.

Oh, berdosakah saya kerana syak wasangka ini?

Saya terkejut apabila mendengar perkara 161 dalam ucapan Bajet 2013. Benarkah itu yang termaktub atau saja-saja memanda perdana menteri menokok?

Oleh kerana tidak berpuas hati, saya menyemak semula teks ucapan bajet 2014. Memang benar, ada ditulis bahawa 2.6 juta rakyat Malaysia berumur 30 tahun ke atas mengidap penyakit diabetes.

Lantas langkah pengurangan subsidi (menaikkan harga) gula akan dilaksanakan serta merta selepas lapan jam pengumuman itu dibuat. Sungguh hebat.

Saya tidak menyangka perkara ini tertulis dalam ucapan bajet. Pasti Perdana Menteri United Kingdom (UK) David Cameron terpaksa dinyahpenyakit Sindrom Angelman selepas mendengar ucapan tersebut sebelum benar-benar bersedia menerima lawatan Datuk Seri Najib Razak, dua hari selepas ucapan Bajet 2014.

Menurut International Diabetes Federation (IDF), jumlah pesakit diabetes di Malaysia pada tahun 2012 seramai 2.1 juta daripada 371 juta pesakit di seluruh dunia.

Diabetes berlaku bukan hanya disebabkan pengambilan gula yang berlebihan tetapi boleh juga disebabkan oleh faktor keturunan dan gaya hidup individu.

Biarlah para cerdik pandai perubatan yang menerangkan punca-punca berlakunya diabetes agar masyarakat awam faham dan mengambil pengajaran awal tentang kesannya yang sangat mengerikan.

Saya tidak kesali akan penyataan gula penyebab diabetes kerana memang jelas terdapat kaitan yang signifikan antara keduanya.

Namun saya sangat kecewa kerana hal itu menjadi alasan ampuh kerajaan dalam menghalalkan tindakan mereka mengurangkan subsidi (menaikkan harga) gula.

Jika kita menggunakan saluran tidak berhikmah, kita sebagai warga negara Malaysia yang cintakan kesihatan dan antiketirisan boleh sahaja menyoal kerajaan kenapa perlu menggunakan kereta baru Honda Accord 2.4L dan 2.0L sebagai kereta rasmi?

Ini berlaku di saat harga minyak melambung tinggi dan bebanan hutang negara meningkat.

Walhal bukankah dengan menaiki kenderaan awam lebih menjimatkan kos, bukan memberikan alasan bahawa kereta Honda Accord lebih murah kos petrol dan servisnya?

Ataupun bukankah dengan berjalan kaki atau berbasikal boleh menyihatkan badan berbanding hanya duduk di dalam kereta?

Namun kita tidak sekelakar kerajaan dalam membangkitkan alasan. Walaupun kita dididik "hanya duduk diam" dan "kalau tidak setuju keluar sahaja dari Malaysia", kita masih berhikmah dalam menyoal. Apakah alasan ini wajar?

Kembali kepada isu gula, perlu difahami oleh semua warga Malaysia bahawa proses pengeluaran gula di Malaysia bermula daripada peringkat mengimport gula mentah daripada luar negara.

Gula mentah ini ditapis oleh syarikat-syarikat gula seperti MSM dan beberapa syarikat yang dibenarkan kerajaan. Bunyinya seperti oligopoli tetapi ada logiknya kerana kos pengeluaran mampu dikurangkan.

Selepas ditapis, gula ini akan dipasarkan di pasaran domestik melalui peruncit dan pengedar ataupun pemain industri.

Pengguna biasa (baca marhaen) pula akan mendapatkan gula yang ditapis secara langsung melalui peruncit dan pengedar; ataupun menggunakan gula yang ditapis secara tidak langsung melalui produk industri seperti minuman dan makanan ringan dalam pasaran.

Tahun 2012 menyaksikan permintaan gula di Malaysia dipelopori oleh sektor perindustrian sebanyak 60 peratus manakala isi rumah pula 40 peratus.

Menurut statistik data Bank Dunia, harga gula global pada Januari 2011 adalah AS$0.297 bagi setiap paun.

Harga ini kemudian turun kepada AS$0.24 bagi setiap paun pada Januari 2012, seterusnya turun lagi kepada AS$0.189 bagi setiap paun pada Januari 2013.

Namun begitu, mantan menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Januari 2012 mengumumkan bahawa kerajaan menandatangani perjanjian jangka panjang (LTC) bersama pengeksport dunia selama tiga tahun bagi mengimport gula mentah dengan harga tetap AS$0.26 bagi setiap paun antara 2012 hingga 2014.

Keyakinan ekoran kejayaan kerajaan menjimatkan RM 2 bilion hasil perjanjian harga gula mentah sebanyak AS$0.175 bagi setiap paun, melalui perjanjian jangka panjang (LTC) 2009-11 dengan pengeksport dunia.

Sekali imbas, ketidaktentuan harga pasaran gula mentah dunia menyebabkan kerajaan bertindak memeterai LTC 2012-14 dengan kadar pembelian tetap sebanyak AS$0.26 per paun.

Hal ini kerana kerajaan bimbang harga gula mentah dunia naik mendadak melebihi paras AS$0.26 per paun.

Dan sekiranya hal ini berlaku, kerajaan akan mendapat manfaat kerana telah membuat perjanjian harga yang tetap dengan pengeksport dunia.

Akan tetapi, hakikatnya kerajaan telah pun diingatkan tentang pengeluaran gula mentah melebihi permintaan yang menyebabkan harga gula mentah turun ke paras kurang daripada AS$0.26 per paun.

Bahkan pada tahun 2012, ahli Parlimen DAP Tony Pua telah membangkitkan rasa tidak puas hati dan bertanyakan apakah rasionalnya penetapan AS$0.26 per paun sedangkan harga gula mentah dunia pada waktu itu hanyalah AS$0.24 setiap paun dan menunjukkan trend menurun.

Telahan Tony Pua itu ternyata benar apabila harga gula mentah dunia turun menurut data Bank Dunia sehinggalah mencapai AS$0.176 pada bulan September 2013.

Untuk memudahkan kefahaman, saya senaraikan harga gula yang telah ditapis / diproses (yang ada dalam pasaran tempatan) dalam dua keadaan, iaitu mengikut harga gula mentah menerusi perjanjian LTC 2012-14 dan mengikut harga sebenar.

Andaikan kos pengeluaran menjadi gula yang ditapis adalah konstan sebanyak AS$0.18 per paun (merujuk kepada kos pengeluaran MSM - 2012).

Oleh itu, harga satu paun gula yang ditapis (mengikut harga mentah LTC) adalah AS$0.44 per paun manakala harga gula yang ditapis jika menurut harga gula mentah semasa pada bulan September 2013 hanyalah sebanyak AS$0.356 per paun.

Jika ditukar mengikut unit Ringgit (katakan AS$1 = RM 3.06) dan unit kilogram (100 paun = 45.3592 kg), maka kita akan mendapati harga gula yang ditapis menurut LTC 2012-14 adalah RM2.96 sekilo atau sekitarnya.

Ini kerana perubahan AS$ ke RM yang tidak konstan sepanjang masa.

Manakala harga gula yang ditapis mengikut harga gula mentah September 2013 pula hanyalah sebanyak RM2.40 sekilo.

Bayangkan betapa besarnya negara kita mengalami kerugian dek kerana ramalan kerajaan yang tidak tepat berkenaan harga gula mentah dunia.

Adakah kita tidak boleh menyalahkan kerajaan, walhal kerajaan (dengan adanya cerdik pandai ekonomi dan industri) sangat mampu menggerakkan satu jabatan yang berfungsi membuat kajian dan pembangunan (R&D) dalam memastikan harga yang paling sesuai sebelum digazetkan dalam perjanjian?

Tambahan lagi, menurut laporan tahunan MSM 2012, MSM sebagai pemain terbesar industri gula di Malaysia berjaya mencapai jumlah pendapatan sebanyak RM2.3 bilion dan keuntungan bersih sebanyak RM202 juta.

MSM mengeluarkan kira-kira 900,620 tan metrik gula halus pada 2012 yang merupakan 57 peratus daripada jumlah pengeluaran gula di Malaysia.

Apakah kerajaan akan mengarahkan MSM mengurangkan pengeluaran (yang mengakibatkan keuntungan pada tahun berikutnya berkurangan) sebagai langkah sokongan kepada kempen antidiabetes dan kempen pengurangan pengambilan gula seperti yang dihikayatkan dalam Bajet 2014?

Sudah tentu tidak. Bahkan MSM sendiri meletakkan sasaran untuk meningkatkan jumlah pengeluaran gula sehingga 36 peratus kepada 1.5 juta tan menjelang 2016.

Jadi apakah maksud perdana menteri menyatakan penyakit diabetes perlu dibendung dan sehubungan dengan itu kerajaan memansuhkan subsidi gula dalam perutusannya?

Tidak lain tidak bukan hanyalah sekadar satu penghinaan kepada intelektualisme kami rakyat marhaen Malaysia.

Apakah kerajaan berasa sangat mudah menipu kami rakyat jelata? Mungkin pada pandangan kerajaan, rakyat yang lama ditindas tidak pandai mengira harta berjuta-juta kerana hanya ada syiling-syiling lama dan habuk debu sahaja dalam poket.

Namun, warga marhaen mengingatkan kerajaan, mereka mungkin boleh ditindas, tetapi mereka tidak sesekali boleh ditipu dan dipermainkan!

Sangat jelas bahawa punca utama yang menyebabkan pengurangan subsidi (kenaikan harga) gula bukanlah disebabkan kebimbangan serius kerajaan terhadap peningkatan jumlah pengidap diabetes di Malaysia.

Apa yang sebenarnya berlaku lebih kepada mengambil kesempatan ke atas alasan tersebut bagi menutup segala kebodohan dalam mentadbir urus harta kekayaan negara.

Mungkinkah selepas ini harga kereta akan dinaikkan dengan alasan bagi mengurangkan kesesakan yang melimpah di jalan raya? Tidak mustahil ini akan berlaku kerana kerajaan langsung tidak menyebut tentang janjinya mengurangkan harga kereta dalam bajet 2014.

Ya, semuanya boleh berlaku di Malaysia. Andai marhean tidak suka, wajarlah mengambil buku merah dan terbang ke benua lain sebagai penutup segala cerita.

Bagi saya, alasan diabetes adalah pembodohan dan kelakar. Tetapi lebih kelakar lagi, saya tidak dapat melihat taring ulama muda Umno yang pada sangkaan saya sentiasa berjiwa kental memberikan komen.

Saban hari selepas ucapan 25 Oktober 2013, saya menanti respon mereka di hadapan TV3 dengan harapan ada berita yang bertajuk "kenaikan gula ketentuan Allah".

Di manakah mereka tatkala pemimpin mereka mengatakan diabetes disebabkan gula dan penawarnya adalah menaikkan harga?

Sikap berdiam diri ini menyebabkan saya tertanya-tanya, apakah kemenangan dalam pemilihan telah menggadaikan segala prinsip yang selama ini dipegang?

Maafkan saya wahai iLMU, bukan niat ingin menyindir, hanya sekadar terkenangkan "harga naik ketentuan Tuhan".
 
(*) DANIAL RAZALI seorang calon ijazah doktor falsafah dalam bidang Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tahniah pengundi Sungai Limau

Posted: 04 Nov 2013 10:54 PM PST


Hadi awang  
 
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Tahniah kepada pengundi di Dun Sungai Limau yang memberikan kepercayaan kepada calon Pas dalam Pilihanraya Kecil pada hari ini 4 November 2013.

Pas akan memastikan amanah yang diberikan kepada wakil rakyat baru Dun Sungai Limau ini dilaksanakan dengan sebaiknya.

Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada petugas dari Pas dan rakan Pakatan Rakyat yang datang dari seluruh pelusuk tanahair untuk membantu kemenangan calon Pas.

Sesungguhnya sumbangan tenaga dan dalam apa jua bentuk bantuan sepanjang tempuh PRK itu adalah sangat dihargai. Semoga ALLAH SWT lah yang membalas segala pertolongan tuan puan semua.

PRK Sg Limau: Matangkah budaya politik kita?

Posted: 04 Nov 2013 10:51 PM PST

PRK Dun Sg. Limau

TERJAWAB sudah tanda tanya siapa yang bakal menggantikan Adun bagi kerusi Dun Sungai Limau yang kosong pada September lalu ekoran kematian penyandangan, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Dun Sungai Limau memang kubu kuat Pas dan ianya terbukti dengan hasil kiraan undi yang diumumkan malam tadi meletakkan calon Pas, Mohd Azam Abd Samat di depan dengan majoriti 1,084, menewaskan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim.

Seperti yang diramalkan banyak pihak, Pas kekal di Sungai Limau namun dengan majoriti yang merosot. Tepat sekali ramalan itu.

Azam memperoleh 12,069 undi manakala calon BN mendapat 10,985 undi, jumlah pengundi yang turun membuang undi seramai 85.5 peratus (22,642 pemilih) daripada 27,222 yang sepatutnya turun menunaikan tanggungjawab.

Syukurlah sudah diketahui siapa penyandang barunya, usahlah lagi disebut soal sabotaj kerana mengundi hari biasa!

Mengimbau kembali siri kempen PRK Dun Sungai Limau, semuanya kelihatan tenang pada awalnya. Corak kempen kedua-dua parti lebih santai, bersahaja, bersih dan harmoni... malah Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyatakan, kempen PRK Sungai Limau yang paling aman.

Beliau mengesahkan hanya menerima enam laporan dan tiada kesalahan serius yang dilaporkan sepanjang proses kempen dijalankan.

Matangkah politik Malaysia?

Perbuatan menggantung patung kaki berhampiran dengan beberapa pusat gerak kerja BN di Dun Sungai Limau antara perbuatan yang benar-benar 'menggoncang' hati bukan sahaja isteri

kepada Allahyarham Tan Sri Azizan sekeluarga malah mereka yang mengikuti perkembangan PRK Dun Sungai Limau.

Tidakkah tidak timbul rasa simpati atau sebenarnya politik mengajar manusia menjadi biadap demi mencapai apa yang diimpikan?

Malah SMS-SMS fitnah yang bertebaran juga sedikit-sebanyak mencacatkan perjalanan PRK Dun Sungai Limau namun begitulah adat pilihan raya di Malaysia, mana-mana pun tak lari dari unsur provokasi. Kita mahu bercakap tentang politik matang?

Rasanya kita masih jauh... Belum lagi kalau kita sebutkan tentang pertengkaran mulut sehingga membawa pergaduhan. Rasa malu juga kenapa sampai begini jadinya.

Proses meraikan demokrasi dalam negara tidak sepatutnya berjalan seperti itu. 'Berperanglah' dari segi fakta bukan kata nista, amalkanlah budaya politik sihat, hormati lawan, kita hanya mahu memilih pemimpin, bukan mahu membinasakan kedamaian. Bukankah akhirnya selepas pilihan raya ini, kita masih tinggal di tempat yang sama? Mengapa perlu kita bergaduh dan mencerca?

Apa pun syukur, semuanya sudah selamat. Yang menang dengan izin ALLAH dan yang kalah juga atas kemahuan ALLAH.

Masing-masing, BN dan PR ada kelebihan dan kekurangan.

BN perlu mencontohi sikap "standby" Pas dalam menyediakan pelapisnya di peringkat muda, bukan hanya berbekalkan ilmu politik sahaja bahkan mampu menyantuni masyarakat setempat.

Rakyat semakin celik politik, BN perlu mengkaji semula strategi mereka jika mahu meraih sokongan rakyat.

'Projek mee segera' tidak lagi menjadi tarikan utama pengundi sebaliknya perjuangan kebajikan rakyat itu semakin 'popular' yang menjadi kayu pengukur sebelum seseorang wakil rakyat itu dipilih.

Keputusan PRK ini mungkin 'merentap' hati Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir selepas ia merupakan kegagalan berturut-turut selepas tewas pada pemilihan Umno, Oktober lalu dalam merebut jawatan naib presiden.

Walaupun pertandingan yang berbeza namun natijahnya sama, terpulang kepada Mukhriz untuk terus melaksanakan segala 'projek' yang dijanjikan baik beliau sendiri mahupun pimpinan Umno yang lain.

Jangan sampai orang kata masa berkempen sahaja pandai janji, bila habis mengundi sunyi sepi, tinggal sahaja tapak pecah tanah dan kayu pancang di sebalik papan tanda projek pembangunan segera.

Manakala Pas juga, jangan habis madu sepah dibuang. Janji-janji yang diungkap perlu dilunaskan, jangan jadi kacang yang lupakan kulit. Pengundi memilih dengan harapan yang besar supaya suara mereka dapat dibawa ke tengah.

Ucapan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar  yang mengakui "terhutang budi" dengan bantuan pengamal media yang tidak lokek memberikan ruang kepada kempen parti itu, kami sambut dengan hati terbuka. Kami di pihak media hanya memberi ruang dan melaporkan seadil-adilnya.

Nampaknya media sosial seperti Facebook, Twitter dan media baru menjadi pilihan pengundi di Dun Sungai Limau sebagai rujukan utama untuk mendapatkan informasi yang tepat dan telus.

Pengaruh media baru juga antara faktor penyumbang kemenangan Pas mempertahankan kerusi Dun Sungai Limau kali ini, namun jangan dilupa khidmat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menunaikan tanggungjawabnya dengan adil dan saksama.

Tiada ulasan: