DUNIACACAMARBA |
- Semakin Banyak Wanita Bedah Alat Kelamin, Untuk APA??
- Mak Nyah DITETAK Pelanggan
- Bagaimanakah Anggota Abu Sayyaf Menyusup Masuk ke Sabah yang Dikawal oleh ESSCOM?
- Wanita Mohon Maaf "Fitnah" Restoran Nasi Kandar Terkenal di Ipoh
- Pemilik Kereta Pengsan Jumpa Mayat Atas Kereta
- Pengurus Restoran “Nasi Ganja” NAFI Guna Najis Manusia
- Anak Dapat 5A, Ayah Hadiahkan Mini Cooper
- Hudud: Annuar Musa Minta DAP Tutup Mulut, Biar Kelantan Laksana
- Khalid Samad Jawab FITNAH Menjelang Muktamar 59
Semakin Banyak Wanita Bedah Alat Kelamin, Untuk APA?? Posted: 16 Nov 2013 05:18 AM PST [BH] LONDON: Pakar ginekologi di Britain memberi amaran semakin ramai remaja perempuan dan wanita yang menjalani pembedahan kosmetik alat kelamin, berikutan gambaran tidak realistik yang ditonjolkan menerusi pornografi. Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) menjalankan lebih 2,000 prosedur pengecilan bibir faraj pada 2010, meningkat lima kali ganda dalam masa 10 tahun, kata Royal College of Obstetricians and Gynaecologists (RCOG). Ini mungkin hanya permulaan berbanding bilangan yang dilakukan di sektor swasta di mana data jarang dikumpulkan, kata Profesor Sarah Creighton, ahli jawatankuasa etika RCOG. Beliau berkata bahawa tiada pula peningkatan bagi penyakit labial sejak sedekad lalu untuk mewajarkan aliran berkenaan, sebaliknya ia adalah disebabkan kekeliruan mereka mengenai persoalan bagaimana rupa alat kelamin 'normal' yang sebenarnya. "Salah faham ini timbul daripada kecenderungan hanya sejenis rupa alat kemaluan yang 'kemas' yang sering kali digambarkan oleh bahan pornografi," kata seorang ahli falsafah, Thomas Baldwin yang juga berada dalam jawatankuasa etika RCOG. - AFP - 16/11/13 | ||
Posted: 16 Nov 2013 04:42 AM PST [SH] MUAR – Malang buat seorang lelaki berperwatakan wanita (mak nyah) apabila bukan hanya tidak mendapat bayaran, malah turut dicederakan pelanggan. Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi di sini, kelmarin, mangsa ditetak pada bahagian kepalanya menggunakan pisau selain rantai leher yang dipakai diragut. Mangsa menerima lebih 20 jahitan dengan kesan tetak pada bahagian kepala di samping cedera pada jari serta telapak tangan. Sumber memberitahu, mangsa mengenali suspek yang menjadi pelanggannya pada malam kejadian. Menurutnya, mereka bertemu di bandar ini sebelum dibawa pulang ke bilik mangsa tanpa rasa curiga. "Selesai melanggan, suspek cuba mencuri beg tangan mangsa yang mengandungi banyak barang kemas. "Berlaku pergelutan apabila mangsa cuba untuk mempertahankan beg tangan miliknya, namun suspek bertindak agresif dengan menetak kepala mangsa menggunakan pisau yang disembunyikan dalam sebuah beg sandang," katanya semalam. Sumber berkata, suspek turut memaksa mangsa yang berada dalam keadaan kesakitan supaya membuka pintu bilik yang berkunci dari dalam. Katanya, suspek sempat merentap rantai emas pada leher mangsa sebelum melarikan diri. "Mangsa segera menghubungi rakannya untuk pertolongan dan kemudiannya dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian dan suspek kini sudah ditahan untuk siasatan lanjut. "Kes disiasat mengikut Seksyen 326 kanun keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata. "Jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun atau denda atau sebatan atau kedua-duanya sekali," katanya. -16/11/13 P/s: Moga-moga si mak nyah ini insaf, bertaubat! | ||
Bagaimanakah Anggota Abu Sayyaf Menyusup Masuk ke Sabah yang Dikawal oleh ESSCOM? Posted: 16 Nov 2013 02:50 AM PST Kawalan Esscom Longgar, Sebabkan Pelancong Taiwan Ditembak, Isteri Diculik, Najib Perlu Jelas di Parlimen, Isnin [RK] KUALA LUMPUR, 16 NOVEMBER: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu memberi penjelasan di Parlimen, Isnin ini mengenai kelonggaran Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sehingga menyebabkan seorang pelancong dari Taiwan ditembak mati dan isteri mangsa diculik kumpulan yang disyaki pengganas Abu Sayyaf di Pulau Pom Pom berhampiran Semporna, awal pagi semalam. Ketua Parlimen DAP, Patah Lim Kit Siang dalam kenyataan medianya berkata, Najib perlu memaklumkan kepada Parlimen supaya Esscom mengetatkan kawalan keselamatan supaya kejadian pembunuhan dan penculikan oleh pengganas Filipina tidak berulang di Sabah. Katanya, laporan awal menyatakan bahawa sekumpulan lelaki lengkap bersenjata tiba di pusat peranginan Mandur Pom Pom dan menyerbu restoran serta melepaskan beberapa das tembakan di pusat peranginan yang ketika itu hanya dilanggani oleh pasangan pelancong dari Taiwan itu. Mangsa yang dikenali Lim Min Hsu, 57, terkena dua das tembak pada bahagian dada dan rusuk dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isteri mangsa, Lim Min Hsu, 57, dilarikan kumpulan bersenjata terbabit dengan sebuah bot kecil ke arah Filipina selatan. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar telah mengesahkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 1 pagi. "Pembunuhan dan penculikan di Pulau Pom Pom itu memberi tamparan hebat kepada usaha memulihkan keyakinan pelancong dan orang ramai terhadap kawalan keselamatan di Sabah selepas pencorobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, pada Februari lalu. "Ketika pelancaran Esscom April lalu, Najib menggariskan empat strategi dan pendekatan teknikal yang akan diambil untuk memelihara keamanan dan keselamatan di sepanjang 1,400 km kawasan pesisir laut bahagian timur Sabah, iaitu meningkat kemampuan perisikan, kawalan perairan 24 jam, meningkat keupayaan negara untuk memintas ancaman dari laut dan penguatkuasaan undang-undang secara ketat, termasuk mengambil tindakan segera sebaik saja penceroboh mendarat," katanya. Kit Siang yang juga Ahli Parlimen DAP Gelang Patah berkata, peristiwa tragik di Pulau Pom Pom pagi ini yang membawa kepada pembunuhan seorang pelancong dan pasangannya diculik menunjukkan keempat-empat strategi itu terjejas. Beliau berkata, pembentukan dan peruntukan besar kepada Esscom belum menghasilkan keamanan dan keselamatan di Pantai Timur Sabah, manakala tiga matlamat Esscom yang ditetapkan Perdana Menteri iaitu menjamin sepenuhnya keselamatan, memulihkan keyakinan orang ramai dan memulihkan keyakinan pelancong masih terlalu jauh untuk dicapai. -16/11/13 | ||
Wanita Mohon Maaf "Fitnah" Restoran Nasi Kandar Terkenal di Ipoh Posted: 16 Nov 2013 02:00 AM PST
[SH] IPOH - Individu yang menyebarkan fitnah kononnya Restoran Nasi Vanggey Greentown menggunakan najis manusia sebagai pelaris menerusi laman sosial Facebook miliknya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pengurusan restoran berkenaan malam tadi. Individu yang menggunakan nama profil Ze Aida itu hadir sendiri ke restoran berkenaan dengan ditemani abangnya untuk bertemu dengan Pengurus premis makanan tersebut, Ahmad Fazli Mohammed dan Pengarahnya, Ahamed Azlan Shah Saiful Jaafar Sadik bagi menyelesaikan isu berkenaan. Wanita berusia 24 tahun itu berkata, dia tidak berniat untuk menghina restoran berkenaan dan segala-galanya berlaku secara tidak sengaja. "Kontroversi timbul apabila saya menyalin semula status ditulis seorang individu di Facebook miliknya mengenai keburukan restoran ini. "Status Facebook saya hanya boleh dibaca sebilangan kecil individu sahaja, namun ada pihak tidak bertanggungjawab mencetak paparan skrin (screen shot) status saya dan menyebarkannya secara meluas melalui telefon dan internet," katanya. Ze Aida berkata, dia membuat telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam bagi menyangkal tuduhan disebarkan sebelum ini serta meminta pihak yang menyimpan salinan paparan skrin tersebut memadamkannya supaya ia tidak disalah tafsir. Katanya, bagi memenuhi permintaan pengurusan Restoran Nasi Vanggey, dia memohon maaf secara terbuka di atas kesilapannya itu dan menyatakan amat menyesali tindakannya membuat tuduhan tanpa asas dan kebenaran. "Saya juga berharap perkara ini menjadi iktibar kepada semua pengguna laman sosial agar lebih berhati-hati apabila meletakkan sesuatu status supaya tidak timbul masalah di kemudian hari," katanya. Sementara itu, Ahmad Fazli menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terdapat najis dalam peti simpanan makanan restoran berkenaan. Katanya, penyebaran berita palsu di Facebook yang memburuk-burukkan restoran popular itu menjejaskan perniagaan mereka sehingga 60 peratus. "Kami berharap melalui penjelasan dan pengakuan dibuat oleh wanita terbabit akan dapat memulihkan semula keyakinan orang ramai terhadap pengurusan makanan restoran ini," katanya yang turut mempunyai 10 cawangan tersebut termasuk sebuah cawangan di Kuala Selangor manakala dua lagi sedang dalam proses operasi di negeri ini. Menurutnya, restoran berkenaan tiada kaitan dengan penutupan Restoran Nasi Kandar Ayam Merah di Jalan Yang Kalsom Khamis lalu. Beliau berkata, serbuan dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) itu bukan sahaja membabitkan satu restoran malah melibatkan 12 restoran lain di sekitar bandar raya ini. - 16/11/13 | ||
Pemilik Kereta Pengsan Jumpa Mayat Atas Kereta Posted: 15 Nov 2013 10:00 PM PST [Bernama] GEORGE TOWN - Seorang lelaki pengsan apabila mendapati satu mayat lelaki terlentang di atas bumbung keretanya yang diparkir di Pangsapuri Sri Saujana, Lebuh Macallum di sini. Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6 petang mengatakan terdapat pemandu tersepit dalam kereta jenis Proton Waja itu. "Apabila tiba di lokasi kejadian, kita dapati ada mayat lelaki di atas bumbung kenderaan yang remuk teruk manakala pemiliknya pengsan di hadapan kereta itu," katanya ketika dihubungi. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata, mangsa Liew Kam Ming, 49, ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan kaki kanannya hampir putus dipercayai akibat terjatuh daripada tingkat 24 pangsapuri berkenaan. Kong Meng berkata, mayat lelaki itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut. "Kita sedang mengesan ahli keluarga Kam Ming untuk tampil membantu siasatan dan menuntut mayatnya," jelasnya. - 13/11/13 | ||
Pengurus Restoran “Nasi Ganja” NAFI Guna Najis Manusia Posted: 15 Nov 2013 08:08 PM PST [Bernama] IPOH – Pengurus Restoran Nasi Kandar Ayam Merah di Jalan Yang Kalsom di sini hari ini menyangkal keras dakwaan restorannya ditutup susulan penemuan najis manusia di dalam peti simpanan makanan di premis itu. Mohd Nihmatullah Syed Mustaffah berkata perkara itu yang disebar menerusi laman sosial sejurus selepas notis penutupan dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan petang semalam, merupakan fitnah yang bertujuan menjejaskan perniagaannya. "Adakah najis orang kita boleh masak? Kenapa cemburu selepas 55 tahun saya berniaga di sini?," katanya kepada pemberita di sini. Sambil menegaskan penutupan selama dua minggu sehingga 28 Nov itu atas faktor kebersihan, beliau berkata pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut mendakwa najis terbabit untuk disalut di sekeliling periuk. "Kalau ada bukti (saya berbuat demikian) keluarkanlah…," katanya menambah perbuatan tersebut turut menjejaskan imej Perak yang sinonim dengan nasi kandar restorannya yang dikenali sebagai 'nasi ganja'. Banyak orang kenamaan termasuk menteri dari luar negara datang menjamu selera di sini, justeru bayangkan apa perasaan mereka jika terbaca dakwaan yang dibuat itu, katanya. Mohd Nihmatullah, 59, juga menegaskan hanya restorannya ditutup manakala Restoran Vanggey di Greentown yang turut menjual nasi kandar beroperasi seperti biasa. Restoran Vanggey juga milik keluarga saya, katanya. Beliau berkata, restorannya dijangka beroperasi semula Ahad atau Isnin ini selepas Jabatan Kesihatan melakukan pemeriksaan susulan. Restoran terbabit diarah tutup selama dua minggu bermula semalam kerana gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan, menurut sumber Bernama. Notis perintah tutup premis yang dikeluarkan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah Kinta Abdul Rahman Ismail, dibuat mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983. -15/11/13 P/s: Sesiapa yang menyebarkan paparan skrin yang berkenaan, hentikanlah perbuatan yang terang-terang berunsur fitnah. Berdasarkan berita RTM, seorang wanita telah mengemukakan permohonan maaf kepada pemilik restoran berkenaan kerana menyebarkan fitnah hingga menyebabkan nama baik restoran itu terjejas. Menurut laporan berita lain, paparan skrin itu disalin dari dinding FB wanita berkenaan sebelum disebarkan oleh orang ramai. | ||
Anak Dapat 5A, Ayah Hadiahkan Mini Cooper Posted: 15 Nov 2013 07:22 PM PST [SH] KOTA BHARU - "Saya tak sangka ayah akan tunaikan hajat untuk menghadiahkan kereta Mini Cooper kepada saya," kata pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Siti Nur Fatini Zulaika Zukila, 12. Anak pembekal ayam di Kota Bharu itu yang juga murid Sekolah Kebangsaan Zainab 1, memperoleh keputusan 5A dalam semua lima mata pelajaran yang diduduki dalam peperiksaan UPSR, diumumkan semalam. Menurutnya, hadiah itu anugerah istimewa baginya kerana sebelum ini dia pernah menyatakan minatnya terhadap kereta tersebut yang kelihatan comel dan menarik kepada bapanya, Zukila Deraman, 36, dan ibunya, Nor Aishah Mahmud, 31. "Ayah beritahu saya, jika saya dapat keputusan cemerlang dalam UPSR, dia janji untuk hadiahkan kereta tersebut. "Memang pada mulanya seperti tidak percaya dan tidak sangka impian untuk memiliki kereta idaman tercapai selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam UPSR," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Taman Tanjung Chat, di sini, hari ini. Anak sulung daripada empat beradik ini bercita-cita menjadi juruterbang dan berhasrat melanjutkan pelajaran ke tingkatan satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). "Insya-Allah, mungkin enam tahun lagi apabila saya dapat lesen memandu, saya akan pandu sendiri kereta kesayangan saya ini. "Ayah dan ibu banyak bagi semangat untuk saya belajar. Mungkin hadiah ini agak pelik bagi saya yang baru berusia 12 tahun tapi inilah pendorong semangat untuk saya berjaya dan berharap akan terus capai keputusan cemerlang di peringkat menengah nanti," katanya. -16/11/13 | ||
Hudud: Annuar Musa Minta DAP Tutup Mulut, Biar Kelantan Laksana Posted: 15 Nov 2013 06:46 PM PST [SH] SHAH ALAM – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menggesa agar DAP tidak campur tangan berhubung isu pelaksanaan hudud di Kelantan. Beliau berkata demikian menerusi laman sosial Facebook miliknya, hari ini. "Boleh tak gu gu (kawan-kawan) yang baik dengan DAP cakap pada mereka supaya tutup mulut. Tak perlu menyibuk hal pelaksanaan hudud di Kelantan. "Di Kelantan, DAP tak ada setengah kerusi pun dalam Dewan Undangan Negeri. Kita tak kacau urusan hudud di Pulau Pinang atau Selangor," katanya. Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata isu pelaksanaan hudud itu melibatkan orang Islam dan biarkan Kelantan melaksanakannya. "Biar Kelantan buat. Selepas ini orang lain boleh tiru. Ini urusan agama orang Islam di negeri yang badan membuat undang-undangnya 100 peratus Islam. "Kita tak kacau demo (mereka) pun," katanya. - 16/11/13 P/s: Apabila UMNO bersedia melaksanakan hudud di Kelantan, sudah tentu orang ramai yang menyokong pelaksanaannya menerima baik kenyataan Tan Sri Annuar Musa di atas. Bagi TM, jika UMNO ikhlas, Allhamdulillah. Persoalan yang paling penting, adakah Kerajaan Pusat akan bersetuju? Walaupun UMNO Kelantan bersetuju, hudud tetap tidak dapat dilaksanakan tanpa lampu hijau Kerajaan Pusat. Jika hal ini tidak diselesaikan secepat mungkin, maka hal ini hanya memberikan lonjakan politik kepada UMNO untuk merampas Kelantan dalam PRU14. | ||
Khalid Samad Jawab FITNAH Menjelang Muktamar 59 Posted: 15 Nov 2013 04:52 PM PST Coretan Menjelang Muktamar [KhalidSamad]Muktamar PAS yang ke 59 kali ini merupakan muktamar yang akan diadakan pemilihan. Ianya amalan biasa, pemilihan diadakan setiap dua tahun. Namun buat kali ini, banyak sangat yang berlaku yang lain dari yang lain. Mungkin ini adalah kerana PAS sudah menjadi parti yang mempunyai kedudukan di beberapa negeri dan sudah membentuk kerajaan melalui PR. Mungkin inilah yang dikatakan ujian 'kemenangan'. Yang paling berbeza adalah corak kempen yang sedang berlaku. Facebook dan media baru dipenuhi dengan corak kempen fitnah menfitnah dan adu-domba. Suasana persahabatan dan ukhuwwah dirosakkan. Yang anehnya, ianya dirosakkan oleh golongan yang mendakwa ingin 'menyelamatkan PAS'. BUDAYA FITNAH PEROSAK: HADAPINYA DENGAN "KEKAL" Bagi saya, kalau ingin 'menyelamatkan PAS' sekalipun, ianya perlu dilakukan tanpa budaya fitnah dan adu-domba, tanpa merosakkan persahabatan yang telah terjalin sekian lama. Sepatutnya dibina dari apa yang telah sediada, bukan berusaha untuk meruntuhkannya. Oleh itu saya secara peribadi beranggapan mereka bukan menyelamatkan PAS tetapi merosakkannya dari dalam. Sebagai protes terhadap budaya perosak yang dibawa mereka, saya nyatakan secara terbuka, saya akan undi untuk kekalkan yang sediada. Saya menyeru kepada sesiapa yang bersetuju bahawa budaya yang dibawa golongan muda ini ditolak, sepertimana juga usaha 'perubahan dan menyelamat' yang kononnya mereka inginkan; melakukan seperti saya. Tolak melalui 'KEKAL', cogan kata yang membawa kemenangan di Sungai Limau. KEKAL budaya politik bersih dan sihat dan KEKAL saff pimpinan yang sediada. BAHAYA POLITIK FITNAH Dalam dunia politik, mungkin akan dikatakan soal fitnah perkara biasa! Ya, bagi politik yang tidak takut kepada kemurkaan Allah, bukan politik Islam lebih-lebih lagi dalam jemaah Islam. Ianya mungkin biasa bagi UMNO tetapi jangan sekali-kali dibawa dalam PAS! Sepatutnya ummat Islam, dan khususnya mereka yang ingin memperjuangkan penghayatan Islam di dalam sistem hidupnya, akan merasa serik dengan budaya fitnah. Tidak cukupkah pengajaran dalam sejarah Islam bagaimana politik fitnah dan adu-domba telah menghasilkan luka yang kesannya dirasai beratusan tahun? Lihat kisah Saidina Othman (RA). Walaupun beliau salah seorang dari sepuluh yang dijanji syurga, beliau tetap tidak terlepas dari budaya fitnah yang tersebar luas sehingga golongan muda dan bersemangat akhirnya bertindak melampaui batas. Jika dikenang kembali bagaimana fitnah yang tersebar menghasilkan keadaan sehingga Muhammad bin Abu Bakar, anak Saidina Abu Bakar (RA) sendiri, menceroboh masuk ke rumah Othman dan sambil menarik janggut Othman, menghunus pedang untuk membunuhnya. Saidina Othman telah berkata, "kalau ayah kamu berada di sini pada hari ini, pasti dia tidak melayani saya sebegini..." Mendengar kata-kata Saidina Othman, maka Muhammad bin Abu Bakar tersentak lalu melepaskannya dan terus meninggalkan rumah Saidina Othman. Kalau sahabat seperti Saidina Othman sendiri boleh difitnah, apakan lagi orang seperti kami. Hasil fitnah terhadap Othman maka berlakulah pembunuhannya yang menghasilkan pula perang antara Saidina Ali dengan Saidatina Aisyah pada mulanya dan diikuti pula perang dengan Muawiyyah. Ini telah kemudiannya menghasilkan golongan Syiah Ali dan Khawarij yang akhirnya menyebabkan perpecahan yang sentiasa dimanfaatkan oleh musuh Islam hingga ke hari ini. Kesan fitnah ini dirasai hingga ke hari ini. FITNAH SYIAH TERHADAP MAT SABU Ada yang mendakwa ingin selamatkan PAS dari pengaruh Syiah yang kononnya dibawa Mat Sabu! Saya nyatakan di sini, beliau bukan penganut fahaman Syiah. Perginya beliau ke Syria untuk menyeru Bashar supaya membuat pilihan-raya dan jangan membunuh rakyat Syria. Mat Sabu cuba memanafaatkan kenalan dan hubungan yang sedia terjalin sekian lama kerana Damsyik merupakan tempat terdapatnya pejabat HAMAS dan juga Jihad Islami. Syria juga merupakan laluan untuk bantuan kepada Hisbullah yang diguna oleh Iran. Maka Mat Sabu pernah berurusan dengan kerajaan Syria dan mengenali mereka. Usaha mulia beliau diguna untuk menuduhnya sebagai seorang penganut fahaman Syiah. Dakwaan dibuat oleh mereka kerana ingin menjatuhkan beliau sehingga sanggup menjadi pemanjang fitnah lidah UMNO dalam PAS! Dakwaan Mat adalah Syiah dimulakan oleh pihak musuh dan malangnya dimanfaatkan oleh 'orang PAS' untuk menjatuhkannya. Jika benar dakwaan mereka ini, maka bawakan bukti dan laporkan kepada JK disiplin parti! Tetapi jika tidak, maka ketahuilah ianya tidak lain melainkan fitnah. TIMBALAN PRESIDEN MESTI ULAMA? Isu Timbalan Presiden mesti ulama adalah satu pandangan. Ianya bukan satu ketetapan. Saya hormati pandangan itu tetapi 'patek mohon derhaka' di dalam Pemilihan Timbalan Presiden PAS. TGNA juga sudah menyatakan sebaliknya. Kertas Mesyuarat Peranan Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat yang saya kongsi bersama tempoh hari juga telah nyatakan secara jelas bahawa Jawatan Pusat termasuk Presiden dan Timbalan Presiden adalah'tanfizi' iaitu perlaksana. Maka saya rasa ianya sudah cukup jelas, ianya bukan satu kemestian. Yang penting bagi saya ialah Timbalan Presiden perlu membantu Presiden dalam urusan yang Presiden mungkin tidak sehebat. Barulah Timbalan Presiden membawa 'added value'atau nilai tambah. Apa guna adanya Timbalan Presiden yang hanya mampu membuat apa yang mampu dibuat Presiden dan itu pun tidak sehandal Presiden? Sebagai perumpamaan, apabila kita makan menggunakan sudu, pasti ianya diregukan dengan garfu. Atau jika makan 'steak', pisau digandingkan dengan garfu. Jarang sekali sudu digandingkan dengan sudu kecil atau garfu dengan garfu kecil. Maka bagi saya, Mat Sabu mempunyai kekuatan tersendiri dan akan membawa sokongan tambahan kepada PAS. Beliau mampu memperkukuhkan lagi hubungan PAS dengan PR dan sokongan dari bukan Islam. Sambil itu Presiden TGHH mampu menambahkan lagi sokongan dari masyarakat Melayu dan golongan agamawan. ISU SEBENAR YANG PERLU DIFIKIRKAN PERWAKILAN Suasana fitnah ini semua mempunyai matlamat tertentu. Di sebalik laungan 'selamatkan PAS' dan 'pertahan kepimpinan ulama', kononnya; agenda yang tersirat ialah untuk membawa PAS keluar dari PR. Ini bacaan saya. Banyak kali telah saya sebut. Maka perwakilan perlu pilih di antara calon yang akan KEKAL dan kukuhkan PR dan calon yang ingin mengkaji semula hubungan PAS dan PR. Kalau susah untuk dikenali, maka sekali lagi saya syorkan, KEKALkan sahaja yang sediada. Jika berhasrat untuk tukar dua tiga AJK PAS Pusat, dengan muka baru yang lebih muda, tiada masalah. Khususnya menggantikan orang seperti saya yang tidak menyerlah sangat prestasinya. Tetapi apa yang ada secara umum sudah cukup baik sepertimana juga strategi yang diguna-pakai melalui PR. WaLlahu 'Alam KHALID SAMAD |
You are subscribed to email updates from DUNIACACAMARBA (DCM) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan