Sabtu, 16 November 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Pemegang PhD Perancis dedah kajian terhadap Pekida

Posted: 16 Nov 2013 03:31 PM PST

 


 

Berdasarkan kepada kajian yang dijalankannya selama lima tahun di Malaysia, Pemegang PhD dari Perancis, Sophie Lemiere berkata NGO Pekida atau Tiga Line merujuk kepada kesetiaannya kepada orang Melayu, raja dan Islam.

Katanya, ini dapat dilihat dalam simbolnya  yang berwarna merah (untuk darah), kuning (raja ) dan hijau (Islam).

convertion forum protest 090807 gpms (left) pekida (right)Lemiere berkata berdasarkan temubualnya yang luas dengan
anggota-anggotanya dan carian di internet, kumpulan seperti Pekida adalah satu rangkaian kompleks NGO yang diwujudkan oleh kumpulan yang berkaitan dengan militan politik.

Pekida, menurut kajian Sophie,  adalah nama generik yang digunakan untuk menggambarkan satu rangkaian kompleks kumpulan dan NGO.

Pada hakikatnya, tegas beliau, nama Pekida adalah nama salah satu daripada banyak NGO yang diwujudkan oleh rangkaian tersebut untuk memberikan sokongan politik, menghalalkan sebahagian daripada aktiviti mereka, dan memudahkan penerimaan dana dari parti pemerintah.

180910 pekida burn bar council banner sosilawatiLemiere berkata mungkin ada kumpulan lain yang menggelar diri mereka Pekida tetapi di bawah nama lain juga atau mungkin tiada kaitan dengan Pekida .

Menurutnya, dua tanggapan utama yang akan diketengahkan adalah cabaran biasa bagi mana-mana kumpulan untuk terus hidup dan cara terbaik untuk menjamin survival adalah melalui kuasa dan wang.

'Kuasa dan wang jadi pendorong '


Katanya, objektif utama kumpulan itu adalah kuasa, keuntungan dan wang, yang membayangkan bahawa ahli-ahli terlibat dalam kegiatan haram, dan boleh menggunakan tahap keganasan yang berbeza.

Cita-cita asasnya, tegas Lemiere, ialah sering membentuk semula di segi ideologi bagi memudahkan pengambilan anggota, gabungan kumpulan dan mewajarkan penggunaan keganasan.

Kelestarian kumpulan itu dipastikan dengan menyesuaikan diri kepada perubahan politik dan sosial. Identiti kumpulan boleh berubah mengikut peluang yang wujud.

Sophie Lemiere Pekida forumLemiere (kiri) berkata, situasi politik yang berada dalam peralihan
adalah baik kepada pembangunan kumpulan-kumpulan tersebut dan membuka peluang untuk menjalin hubungan dengan parti-parti politik.
Dalam konteks ini, katanya, kumpulan-kumpulan itu boleh menjadi usahawan politik, atau militan secara diam-diam, kepada sesiapa di mana tindakan politik disubkontrak untuk mengekalkan kuasa politik.

Menurut Lemiere, ia umpama seekor sumpah-sumpah yang marah, yang boleh bertukar warna dan bentuk pada bila-bila masa,  tetapi sentiasa kekal dengan potensi ganas.

Lemiere, yang baru sahaja menerima PhD beliau dari Sciences-Po (L'Institut d'études politiques) Paris tentang pergerakan etno- nasionalis dan Islam di Malaysia, kini berada di Pulau Pinang untuk membentangkan kertas kerjanya di Universiti Sains Malaysia , semalam.

Kertas kerjanya  yang bertajuk 'Gangsters and Masters: Connivance Militancy in Contemporary Malaysia', adalah berdasarkan kajian dari tahun 2008 hingga April tahun ini.

Lemiere berpejabat di Singapura dan ahli gabungan Institut Penyelidikan Asia  di Universiti Nasional Singapura. Laporan tambahan

Kerajaan Selangor jadikan PJ dan Klang Bandar bertaraf dunia

Posted: 16 Nov 2013 03:27 PM PST

MBI-01

SELANGOR KINI

KENYATAAN MEDIA


Kerajaan Negeri Selangor sedang merancang untuk menubuhkan sebuah dana kekayaan negara – 'sovereign wealth fund' (SWF ) di bawah Menteri Besar Incorporated ( MBI ) untuk membuka nilai aset di Petaling Jaya dan Klang bagi tujuan pembangunan semula dan pembangunan baru.

Dana ini buat sementara waktu dinamakan Selangor Urban Development Fund atau SUDF, dijangka mempunyai saiz dana permulaan sebanyak RM1 bilion yang akan diperoleh daripada sumbangan pihak-pihak berkepentingan sektor swasta dalam industri pembangunan hartanah dan infrastruktur termasuk pemaju dan syarikat-syarikat pembinaan.

Di samping itu, kerajaan negeri bersama-sama dengan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan akan memperuntukkan peratusan tertentu daripada rizab tunai atau lebihan belanjawan untuk dana tersebut.

Rancangan itu didedahkan semalam oleh Dato' Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid bin Ibrahim ketika membentangkan kertas kerja dalam The Future Of Urban Living Conference di Iskandar, Johor.

"Menyedari terdapat beberapa kekangan kewangan terutama kekangan kewangan yang bersifat semulajadi, kerajaan negeri akan membuka nilai aset asas dalam bidang hartanah tertentu yang dimiliki oleh negeri, melalui kaedah konfigurasi atau memanfaatkan aset itu sendiri sebagai sumber pembiayaan utama.

"Dengan model ini, kerajaan negeri ( dan pihak berkuasa tempatan ) akan menjadi penggerak atau pemangkin kepada pembangunan bandar dengan satu pelan induk komprehensif dan menyeluruh, manakala pemain sektor swasta hanya akan menjadi pelaksana rancangan yang digariskan oleh kerajaan negeri," kata Dato' Menteri Besar yang juga merupakan Felo Eisenhower.

Beliau berkata satu pasukan petugas akan ditubuhkan tidak lama lagi untuk menyelesaikan semua butir-butir yang berkaitan termasuk perancangan & reka bentuk umum, peratusan rizab tunai untuk diasingkan oleh kerajaan negeri, jumlah sumbangan oleh pihak-pihak swasta, profil risiko-pulangan, prosedur standard untuk operasi ( SOP ), tahap pendedahan atau mana-mana spesifikasi lain.

SUDF bertujuan untuk menjadikan Petaling Jaya dan Klang sebagai bandar-bandar bertaraf dunia berdasarkan konsep "kondusif, mapan dan kehidupan bandar bestari" dengan mengintegrasikan semua aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar selaras dengan agenda "Merakyatkan Ekonomi Selangor".

Jika berjaya, SUDF akan menjadi SWF Malaysia kedua selepas Terengganu Investment Authority ( TIA ), yang kemudiannya ditukar menjadi 1Malaysia Development Berhad ( 1MDB ).

Persidangan tiga hari itu dianjurkan bersama oleh Eisenhower Fellowship, organisasi dari Malaysia dan Singapura. Pada hari Khamis sebelum itu, Dato' Menteri Besar telah membentangkan kertas kerja bertajuk "How To Make World-Class City: The Shah Alam Experience".

Selangor peruntuk RM37 juta atasi masalah banjir di Klang

Posted: 16 Nov 2013 03:25 PM PST

OLEH : NAZLI IBRAHIM


SHAH ALAM: Ekoran kejadian banjir kilat yang sering melanda di beberapa tempat di Klang, Kerajaan Selangor mengumumkan langkah segera bagi melaksanakan kerja-kerja tebatan banjir dan menaiktaraf sistem saliran bagi mengatasi masalah terbabit.

Projek untuk memastikan kesejahteraan penduduk Klang itu membabitkan dana sejumlah RM37,984,454.45 yang disediakan untuk lima projek utama di daerah itu.

MB SUK grey

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, jumlah itu meliputi peruntukan berjumlah RM12.4 juta dari Kerajaan Negeri yang disalurkan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor, manakala selebihnya RM25.5 juta disediakan Kerajaan Persekutuan.

"Walaupun ini merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri turut mengambil tanggungjawab menyediakan peruntukkan pada jumlah yang kita mampu.

"Sebahagian projek itu dijangka siap pada pertengahan 2014 dan beberapa projek lagi akan siap pada April 2015," kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Lima projek utama itu, adalah kerja menaiktaraf sistem saliran bagi mengatasi banjir kilat di Pelabuhan Klang yang dibiayai Kerajaan Persekutuan.

Sementara empat projek yang dibiayai Kerajaan Negeri pula adalah, projek tebatan banjir di Jalan Papan, Pandamaran, menaiktaraf sistem saliran Kampung Teluk Menegun, menaiktaraf sistem saliran di Sungai Aur Fasa 4 dan membina lencongan Sungai Rasah ke Tasik Ladam Sungai Klang dan kerja-kerja berkaitan lain.

banjir klang

Selain itu Kerajaan Negeri turut menyediakan dana tambahan RM2.7 juta untuk 23 projek kecil yang melibatkan pelebaran 'Borrowpit', mengorek dan membersihkan sungai, penyelenggaraan perangkap sampah (log boom).

Turut sama adalah kerja mengorek semula parit di kampung-kampung, mengukuhkan dan menstabilkan tebing sungai, mengorek dan mendalamkan kolam takungan dan lain-lain yang dijangka siap pada penghujung tahun ini.

"Kerajaan Negeri sangat prihatin terhadap masalah banjir dan kepayahan hidup penduduk di kawasan yang sering dinaiki air di Taman Sentosa, Rantau Panjang, Sungai Udang, Telok Pulai, Pandamaran, Taman Chi Liung , Bayu Perdana, sebahagian pekan Pelabuhan Klang, Bandar Putri dan Padang Jawa serta kawasan persekitaran," kata Abdul Khalid lagi.

Kerajaan Negeri berharap dengan perlaksanaan projek tebatan banjir di Klang itu dapat mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda daerah Klang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.-EZY

Selangor tubuh Skuad Pantas kendali kes kecemasan, bencana

Posted: 16 Nov 2013 03:23 PM PST

Oleh : Afeeqa Afeera


SHAH ALAM: Penubuhan Pasukan Tindakan Segera (Pantas) Negeri Selangor membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Negeri bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membantu agensi
keselamatan lain dalam mengendalikan kes kecemasan dan bencana.

DSC_0269

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata skuad ini bertujuan memberi bantuan awalan terhadap aduan kecemasan dan bencana mengikut tempoh yang ditetapkan.

Katanya, penubuhan skuad ini tidak akan mengganggu peranan agensi keselamatan sedia ada seperi pasukan polis dan bomba, tetapi bertindak sebagai sokongan dalam melaksanakan tindakan bantuan
merangkumi aspek logistik, kepakaran dan kebajikan.

"Setiap PBT yang terlibat sebenarnya mempunyai pasukan khas mereka sendiri untuk mengatasi kes kecemasan, namun kerajaan negeri ingin memantapkan usaha sedia ada dengan menggabungkan
ahli-ahli PBT ini kepada satu pasukan dikenali sebagai skuad Pantas.

"Dengan cara itu, jika berlaku kecemasan dan memerlukan kita untuk membantu masyarakat di mana-mana tempat, kita boleh bergantung kepada pelbagai PBT," katanya semasa merasmikan penubuhan Skuad Pantas Selangor di Taman Tasik Subang Ria, hari ini.

Hadir sama, Exco negeri, Datuk Teng Chang Khim dan Rodziah Ismail serta Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi.

Skuad Pantas adalah pasukan yang ditubuhkan PBT negeri Selangor bagi mengendalikan kes kecemasan dan bencana seperti banjir, tanah runtuh, ribut, kemalangan dan kebakaran.

Antara PBT yang terlibat adalah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp).

DSC_0357

Setakat ini, seramai 50 anggota dipilih untuk menyertai skuad ini.

Abdul Khalid berkata, anggota yang menyertai skuad ini akan diberi elaun bulanan sebanyak RM200 seorang selain caruman skim perlindungan insurans khas oleh setiap PBT.

Katanyan, peranan skuad ini akan diperluaskan ke peringkat PBT lain dari masa ke masa bergantung kepada keperluan masyarakat.

"Kita akan mempunyai pasukan yang mantap untuk mengatasi perkara-perkara kecemasan melalui anggota yang dilatih. Kita juga bercadang untuk memperluaskan skuad ini ke kawasan-kawasan lain
dalam masa terdekat," katanya lagi.-EZY

MB minta media tempatan henti putar belit isu BBC

Posted: 16 Nov 2013 03:18 PM PST

Oleh  Afeeqa Afeera


SHAH ALAM : Media tempatan terutama arus perdana digesa menghenti sebarang dakwaan tidak berasas berhubung isu memorandum daripada Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor .

DSC_2871

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata isu itu dianggap selesai apabila Kerajaan Negeri mengadakan pertemuan bersama BBC untuk menyerahkan lakaran Belanjawan 2014.

"Sudah banyak kali kita cerita isu ini. Isu memorandum ini sudah pun diselesaikan dengan mengambil kira kehendak dan kepentingan semua pihak.

"Saya minta media jangan laga-lagakan isu ini kalau tujuannya untuk melariskan surat khabar hasil daripada cerita tidak tepat," katanya ketika diminta mengulas mengenai isu memorandum dari BBC.

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan penuh kepada pembangunan rakyat dan tidak akan melayan karenah atau dakwaan liar sesetengah pihak.

"Ini semua drama yang sengaja ditimbulkan. Kita sudah sampai ke satu tahap yang lebih tinggi dari segi kematangan dan fikiran dan tidak akan melayan karenah kecil seperti ini," katanya.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat (PR) Selangor menyelar tindakan mengedar  'surat layang' menggunakan nama Kelab Penyokong Kerajaan Selangor sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab.
Pimpinan PR Selangor turut menafikan menandatangani mana-mana surat atau kenyataan menyatakan perasaan marah dan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan Abdul Khalid.- EZY FZL

Kebebasan sistem kehakiman terletak pada integriti hakim, kata bekas hakim

Posted: 15 Nov 2013 11:10 PM PST

Oleh V Anbalagan, PENOLONG PENGARANG BERITA
























Sistem kehakiman hanya akan bebas selepas hakim berhenti daripada menerima habuan kewangan dan pangkat dalam menjalankan tugas mereka, kata bekas hakim Mahkamah Tinggi ketika berucap kepada peguam dan ahli akademik di Kuantan, hari ini.

Datuk V T Singham (gambar), ketika muncul kali pertama selepas bersara empat bulan lalu berkata, perkara itu bukan kebebasan kehakiman yang perlu diketengahkan.

"Kebebasan sistem kehakiman bergantung kepada integriti dan kesedaran setiap hakim.

"Hakim yang diamanahkan dengan kuasa dan akujanji untuk melaksanakan tugas perlu melakukannya tanpa mengharapkan balasan kewangan atau pangkat.

"Mereka tidak seharusnya menjadi galeri awam," katanya merujuk kepada hakim yang membuat sebarang keputusan bagi mendapatkan perhatian pihak berkuasa.

Singham berkata demikian ketika berucap dalam majlis anjuran Majlis Peguam Pahang di Kampus Cawangan Universiti Islam Antarabangsa di Indera Mahkota.

Katanya, perkataan keramat "kebebasan sistem kehakiman" akan sia-sia jika hakim dan pegawai mahkamah tidak bebas dalam membuat keputusan.

"Perkataan itu hanya akan menjadi slogan. Undang-undang dan peguam tidak seharusnya menjadi mangsa jika penghakiman dipengaruhi pelbagai faktor," katanya.

Singham, 65, turut menyeru pentadbir perundangan untuk adil kepada hakim dan pegawai mahkamah apabila melibatkan soal kenaikan pangkat, kerana ia seharusnya bebas tanpa diskriminasi dan campur tangan pihak berkuasa.

Singham sebelum ini dalam keputusan terakhirnya sebagai hakim menjatuhkan kehakiman terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung kes kematian dalam tahanan, A Kugan.

Pihak pendakwa memenangi kes berkenaan dengan ibu Kugan menerima bayaran RM800,000 setelah memenangi kes berkenaan menentang polis dan kerajaan.

Beliau yang dikenali sebagai seorang yang tegas beberapa kali dinafikan kenaikan pangkat.

Kebanyakan rakannya yang dijadikan Suruhanjaya Kehakiman sepertinya sejak 13 tahun lalu sudah berpindah ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Keadaan itu menjadikan Singham hakim Mahkamah Tinggi paling tua di Malaysia.

NST siar permohonan maaf atas laporan palsu

Posted: 15 Nov 2013 11:07 PM PST


MALAYSIA KINI
 
 
 
The New Straits Times (NST) hari ini menyiarkan permohonan maaf kepada empat NGO kerana penerbitan satu laporan palsu tahun lepas yang menuduh mereka, termasuk gabungan pembaharuan pilihan raya BERSIH, cuba menggugat kestabilan kerajaan.

bersih defamation sue against nst 131113 01Permohonan maaf itu yang disiarkan di muka surat tiga akhbar harian tersebut, adalah sebahagian daripada syarat-syarat yang ditetapkan oleh NGO terbabit - BERSIH 2.0; badan hak asasi manusia, Suaram;  Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ ) dan peninjau pendapat awam, Merdeka Center, untuk menggugurkan saman mereka terhadap akhbar berkenaan.

Selain NGO berkenaan, Malaysiakini juga dinamakan dalam artikel itu sebagai salah satu penerima sebahagian daripada RM20 juta oleh National Endowment for Democracy (NED) yang berpangkalan di Washington dalam tempoh tujuh tahun dari tahun 2005.

Wang itu, didakwanya, adalah sebahagian daripada dana asing yang bertujuan untuk "menggugat kestabilan" kerajaan yang diterajui oleh BN, dengan mencetuskan pergolakan politik, sama seperti di negara-negara Timur Tengah, dan untuk menjatuhkan ekonomi negara.

Dalam permohonan maaf itu, NST mengakui bahawa artikel, 'Plot to destabilise govt' yang disiarkan di muka depan pada 21 September 2012 adalah "tidak berasas" dan "palsu".

Ia mengakui bahawa tuduhan yang dibuat dalam artikel itu adalah palsu dan tanpa asas.

bersih defamation sue against nst 131113 02Ia juga mengakui bahawa ia tidak mempunyai apa jua bukti untuk
menyokong mana-mana dakwaan tersebut dan tidak mengesahkan maklumat dan fakta-fakta itu dengan BERSIH 2.0, CIJ, Suaram dan Merdeka Centre.

Oleh itu, ia berkata, artikel berkenaan "tidak sepatutnya diterbitkan".

Selain permohonan maaf itu, yang disiarkan dalam tempoh 14 hari daripada penyelesaian mahkamah, kecuali pada hari Sabtu, akhbar harian itu juga bersetuju untuk menarik balik artikel itu dari dalam talian dan menyiarkan permohonan maaf yang sama.

Ia juga bersetuju untuk membayar RM120,000 kepada empat pihak berkenaan.

[Baca berita penuh]
1. Laporan 'gugat kestabilan': NST akan mohon maaf

Murid cemerlang UPSR parah dirempuh kereta

Posted: 15 Nov 2013 11:04 PM PST

MALAYSIA KINI
 
 
 
Seorang murid Sekolah Kampung Nyoir, Dungun tidak menyangka terbabit dalam kemalangan sehari sebelum dia memperoleh keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan semalam.
  
Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.40 pagi pada Rabu ketika Nur Iffah Qharina Amri, 12, hendak melintas jalan ke kedai milik ibunya tetapi dirempuh sebuah kereta.
  
Akibat itu, dia patah kaki dan tangan dn terpaksa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.
  
Menurut ibunya Zalina Ghani, 41, ketika itu anak ketiganya itu singgah di gerainya yang terletak berdekatan rumah mereka untuk bersarapan sebelum pergi ke sekolah.

Beliau berkata anaknya yang lengkap berpakaian sekolah begitu teruja untuk ke sekolah sebelum mengetahui keputusan peperiksaannya pada hari esok.

"Dia memang teruja kerana dia begitu yakin akan memperoleh 5A," katanya ketika ditemui di HSNZ hari ini.
  
Beliau berkata selepas anaknya itu sedar kira-kira pukul 4 pagi tadi, Nur Iffah Qharina memberitahu dia hendak balik ke Dungun untuk mengambil keputusan peperiksaan bersama kawan-kawannya.
  
"Semalam ibu saudaranya yang mengambil keputusannya. Selepas dia sedar tadi, saya memaklumkan dia mendapat 5A.
  
"Dia sangat gembira namun sedih kerana tidak dapat berkongsi detik indah itu bersama rakan-rakan yang lain," katanya.
  
Sementara itu Nur Iffah Qharina berkata dia berhasrat untuk belajar di Sekolah Menengah Agama Rantau Abang bersama rakannya yang lain.- Bernama

'Perkauman' pemimpin Umno berangkan Gerakan

Posted: 15 Nov 2013 11:02 PM PST



Naib presiden Gerakan Asharuddin Ahmad menyelar Ketua Bahagian Umno Cheras Syed Ali
Alhabshee kerana memberi amaran supaya masyarakat Cina dan India daripada mengambil kesempatan terhadap kebaikan orang Melayu.

NONEAsharuddin (kiri) berkata, kenyataan itu berunsur perkauman dan etnosentrisme yang jelas serta tidak boleh diterima.

Free Malaysia Today dua hari lalu melaporkan Syed Ali sebagai berkata, masyarakat Cina dan India di negara ini tidak harus memijak kepala orang Melayu.

Beliau dikatakan merujuk kepada gesaan supaya perdana menteri memulaukan sidang kemuncak Komanwel di Sri Lanka minggu ini serta berhubung isu perobohan sebahagian binaan di kuil Sri Muneswarar di ibu negara.

Dalam kenyataan hari ini, Asharuddin menuntut Syed Ali memohon maaf kerana "cauvinisme dalam apa pun bentuknya mesti dihentikan".

"(Kenyataan ini) penghinaan yang besar kepada kaum lain yang banyak berkorban dan menyumbang untuk pencapaian Malaysia," kata Asharuddin.

Kabinet digesa tolak usaha Umno selamatkan Utusan

Posted: 15 Nov 2013 11:00 PM PST

MALAYSIA KINI



Ahli Parlimen DAP, Tony Pua berkata, menteri yang berfikiran waras dalam kabinet perlu menyuarakan bantahan mereka terhadap apa yang didakwanya penyalahgunaan wang pembayar cukai untuk menyelamatkan akhbar harian milik Umno, Utusan Malaysia.

Pua berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak - yang juga merupakan menteri kewangan dan presiden Umno - mesti dikecam kerana tindakannya didakwa jelas menunjukkan berlaku konflik kepentingan.

nuj utusan melayu picket  police 160904  securityDalam menyokong pandangan rakan MP dari DAP, Teo Nie Ching, Pua
juga menggesa Suruhanjaya Sekuriti bertindak secara bebas dan tanpa campurtangan Kementerian Kewangan untuk mengecualikan Umno daripada menjalankan tawaran am mandatori untuk membeli kepentingan pemegam saham minoriti Utusan Melayu (M) Bhd

"Berdasarkan peraturan-peraturan semasa, jika kepentingan Umno dalam syarikat itu meningkat lebih daripada dua peratus, ia mesti membuat tawaran untuk membeli saham lain dalam syarikat itu.

"Memandangkan usaha Umno untuk melanggan tawaran hak itu, Umno akan meningkatkan kepentingannya kepada sekurang-kurangnya 53.1 peratus dan dengan itu mencetuskan tawaran am mandatori," tambahnya.

Oleh itu, kata Pua, ianya menjadi lebih penting lagi bagi Suruhanjaya Sekuriti untuk melindungi integriti pasaran kewangan.

"Ia bukan sahaja perlu bertindak adil, tetapi juga perlu dilihat bertindak adil kepada semua pelabur dan rakyat Malaysia," kata Pua dalam satu kenyataan.

Khalid Samad: Awas budaya fitnah dalam PAS

Posted: 15 Nov 2013 10:57 PM PST




 
 
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menegaskan, kewujudan budaya fitnah dan adu domba menjelang pemilihan parti itu minggu depan mempunyai agenda tersirat mengeluarkan PAS dari Pakatan Rakyat.

Katanya, budaya itu bukan akan menyelamatkan parti Islam itu, sebaliknya bakal meruntuhkannya.

pas youth protest against egypt coup mohamad mat sabu"Di sebalik laungan 'selamatkan PAS' dan 'pertahankan kepimpinan ulama', kononnya; agenda yang tersirat ialah untuk membawa PAS keluar dari Pakatan," katanya yang juga timbalan pesuruhjaya III PAS Selangor.

Menulis dalam blognya semalam, Khalid antaranya merujuk kepada dakwaan fitnah terhadap Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (kanan) yang didakwa berfahaman Syiah.

Khalid menegaskan dakwaan tersebut digunakan untuk menjatuhkan beliau itu sebenarnya hanya menjadi pemanjang fitnah lidah Umno dalam PAS.

"Dakwaan Mat adalah Syiah dimulakan oleh pihak musuh dan malangnya dimanfaatkan oleh 'orang PAS' untuk menjatuhkan," katanya.

Beli bata, bantu bersama bina teratak Malaysiakini

Posted: 15 Nov 2013 10:48 PM PST

 
MALAYSIA KINI


 
 
Selepas 14 tahun beroperasi, Malaysiakini akhirnya akan memiliki bangunannya sendiri.

Bulan lepas, syarikat ini membeli sebuah bangunan industri yang akan menjadi pejabat barunya mulai tahun depan.

NONEBangunan tersebut yang terletak di Business Park PJ51, Seksyen 51, Petaling Jaya, akan membolehkan portal berita bebas yang pertama dan tunggal di Malaysia ini, maju setapak lagi dalam menyajikan maklumat kepada rakyat Malaysia.

"Untuk terus berkembang, Malaysiakini memerlukan asas yang lebih teguh.

"Ibarat sepohon pokok, bangunan baru ini akan membantu Malaysiakini bertapak lebih dalam supaya ia lebih stabil dalam usaha untuk mempertingkatkan lagi sumbangannya," kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran.

Bangunan tersebut - yang akan dikenali sebagai @Kini - akan menyediakan ruang untuk Malaysiakini berkembang dalam tahun-tahun seterusnya - dengan ruang kerja, kawasan mesyuarat, bilik latihan dan studio video yang mencukupi.

"Ia akan menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk pasukan Malaysiakini yang telah bekerja kuat selama ini - dan mereka inilah wira sebenar yang membantu menerbitkan berita-berita penting," kata Ketua Pengarang Kumpulan, Steven Gan.

Dengan ada bangunan tersebut, kata Steven, Malaysiakini tidak perlu lagi khuatir akan risiko diusir pemilik bangunan yang disewanya yang kadangkala mudah takut dengan gangguan pihak berkuasa.

malaysiakini burger king operation 271004 the crewPada tahun 2004, Malaysiakini pernah menerima notis pengusiran daripada pemilik bangunan pejabat di Bangsar Utama selepas portal berita ini diserbu polis.

Malaysiakini akhirnya berpindah ke bangunan sekarang yang juga
terletak di Bangsar Utama.

Ekoran perpindahan tergesa-gesa itu, maka wartawan dan editor pada masa itu terpaksa bekerja dari sebuah restoran makanan segera di sebuah pusat membeli-belah selama seminggu.

Malaysiakini bercadang untuk membuka sebahagian besar daripada @Kini kepada orang ramai.

"Kami menjangka ruang itu akan menjadi tempat mengadakan forum, dialog serta tayangan filem bagi untuk menggalakkan penglibatan orang ramai dalam isu-isu hangat.

"Dengan berbuat demikian, kami percaya kita semua dapat membina sesuatu yang hebat - bersama-sama," kata Premesh.

NONEBangunan tersebut (kanan) juga akan mempunyai pusat siaran web secara langsung yang pertama di negara ini, di mana forum awam dan perbincangan boleh diadakan dengan penyertaan penonton, di tempat tersebut dan melalui Internet.

KiniTV, sayap TV Internet Malaysiakini, akan membina studio pelbagai guna yang memakai sistem penyiaran yang sama dengan rancangan American Idol.
Ia akan melaksanakan konsep studio terbuka dengan mengalu-alukan kumpulan masyarakat sivil dan pertubuhan orang ramai untuk menyiarkan program-program mereka, serta menyediakan latihan media baru.

Sokongan anda diperlukan


@Kini dibeli pada harga RM6.1 juta. Jumlah keseluruhannya apabila mengambil kira kos ubahsuai serta yuran dan duti peguam, mencecah sekitar RM7 juta.

Untuk ini, Malaysiakini merancang membayar pendahuluan sebanyak RM1 juta secara tunai dan mendapatkan pinjaman bank sebanyak RM3 juta.

Untuk meringankan beban, Malaysiakini memohon sokongan pembaca untuk mengumpulkan RM3 juta dalam masa dua bulan akan datang menerusi kempen "Buy a brick" (beli bata).

Setiap penyokong yang menyumbangkan RM1,000 akan mendapat langganan dan iklan di Malaysiakini bernilai RM1,000, serta seketul bata yang diukir dengan namanya.

Bata ini akan diguna untuk membina tembok penghargaan yang akan menjadi satu identiti tetap bangunan baru Malaysiakini itu.

NONE"Beli bata dan bantu bina sebuah bangunan buat media bebas," kata Steven merayu sokongan daripada para pembaca Malaysiakini.

Malaysiakini mensasarkan untuk memperolehi 1,000 orang untuk membeli bata bernilai RM1,000 ini.

Malaysiakini juga mengalu-alukan tajaan korporat sama ada sebanyak RM25,000 atau RM50,000.

Penaja akan diberikan pengiktirafan yang jelas dalam bangunan tersebut serta ruang pengiklanan yang setara nilainya di Malaysiakini sebagai tanda terima kasih.

"Ia cara yang hebat untuk individu dan warga korporat untuk menzahirkan sokongan mereka buat media bebas," kata Premesh.

Kempen "Buy a brick" ini bermula hari ini dengan nilai terkumpul sebanyak RM42,000 yang telah diraih daripada kakitangan Malaysiakini dan rakan-rakan mereka.

Untuk maklumat lanjut tentang bangunan dan cara untuk menyokong Malaysiakini, sila kunjungi building.malaysiakini.com

Kes denggi, kematian meningkat di seluruh negara

Posted: 15 Nov 2013 10:43 PM PST

MALAYSIA KINI



Jumlah kes demam denggi dan kematian akibat jangkitan itu di seluruh negara sejak Januari hingga 9 November lepas mencatat peningkatan, berbanding tempoh sama tahun lalu.
  
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata sejumlah 31,170 kes dilaporkan, meningkat sebanyak 67 peratus daripada 18,679 kes yang dilaporkan bagi tempoh sama tahun lepas.
  
Sementara kematian akibat jangkitan itu meningkat kepada 63 kematian berbanding 32 kematian iaitu peningkatan sebanyak 97 peratus bagi tempoh sama tahun lepas, katanya dalam kenyataan semalam.
  
Beliau berkata pemantauan yang dilakukan melalui analisa KKM terhadap empat jenis serotype virus denggi iaitu DEN 1,2,3, dan 4, menunjukkan berlakunya pertukaran tren serotype bermula dari bulan Februari tahun ini.
  
"Di mana serotype dominan DEN 3 pada akhir tahun 2012 dan Januari 2013 bertukar kepada jenis serotype DEN 2 pada tahun ini. Pertukaran serotype adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada berlakunya peningkatan kes dan kematian," katanya.

Lokman berkata 412 lokaliti berwabak denggi dipantau di seluruh negara setakat ini, dengan 79 lokaliti kawasan panas dikenal pasti melibatkan hanya di Selangor.
  
"Lokaliti kawasan panas in berlaku di empat daerah di negeri Selangor iaitu 38 lokaliti di daerah Petaling, 30 lokaliti di daerah Hulu Langat, sembilan lokaliti di daerah Gombak dan dua lokaliti di daerah Sepang," katanya.
  
Beliau berkata bagi tempoh 3 hingga 9 November lepas (minggu ke-45), sejumlah 1,416 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara dengan tujuh negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya.
  
"Iaitu Perlis yang meningkat sebanyak lima kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (34 kes), Negeri Sembilan (enam kes), Sarawak (tiga kes), Terengganu (dua kes), Kedah (satu kes) dan Johor sebanyak lima kes," katanya.
  
Justeru, katanya orang ramai diingatkan agar memastikan tiada bekas atau tempat yang berpotensi untuk menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes berada di kawasan kediaman bersempena cuti persekolahan yang akan bermula.
  
"Langkah pencegahan dan kawalan perlu diambil bagi mengelak jangkitan denggi seperti menggunakan bahan penghalau nyamuk pada bahagian badan yang terdedah untuk gigitan nyamuk.
  
"Terutama pada waktu nyamuk aktif menggigit pada awal pagi dan lewat petang," katanya.- Bernama

Peniaga Pasar Malam Maut Ditembak Depan Rumah

Posted: 15 Nov 2013 09:30 PM PST

RAKYAT NEWS

alt
 
 
 
BACHOK - Seorang peniaga pasar malam maut terkena tiga das tembakan dilepaskan seorang pembonceng motosikal di depan rumahnya di Pengkalan Petah, di sini.
 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, motif kejadian masih disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
 
Kejadian berlaku kira-kira 8.45 malam,  mangsa, Alias yusof, 58, menunggang motosikal keluar dari rumahnya bersama anak lelaki berusia enam tahun selepas pulang berniaga.
 
Kira kira 30 meter menunggang motosikal, muncul motosikal ditunggang dua lelaki sebelum pemboncengnya melepaskan tembakan dan satu tembakan terkena di kepala dan dua lagi perut kanan.
 
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat di bawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II ( HRPZ II ) Kota Bharu untuk bedah siasat.

Insiden Kekecohan Dewan Rakyat Merupakan Sejarah Hitam

Posted: 15 Nov 2013 09:22 PM PST

Aqilah Radzuankaidi

alt
PUTRAJAYA - Insiden kekecohan yang berlaku di sidang Dewan Rakyat yang melibatkan usul perggantungan ahli Parlimen Padang Serai N. Surendran disifatkan sebagai sejarah hitam yang memalukan.
Timbalan Menteri Kewangan, YB Datuk Haji Ahmad Maslan berkata, kejadian perbalahan selama sejam setengah yang berlaku tidak berhenti, walaupun seminit.
" Ia tidak sepatutnya berlaku, jika kita mengikuti peraturan- peraturan sebagai ahli mesyuarat,
" Pihak yang memulakan kejadian adalah pihak pembangkang, malah mereka koyakkan usul kerana tidak bersetuju dengan usul, dan perbalahan yang berlaku tidak berhenti selama sejam setengah," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani kontrak diantara Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).
Menurut Ahmad Maslan, beliau berharap kejadian seperti ini tidak berlaku lagi, kerana ia mencemarkan reputasi institusi. 
alt
Sebelum ini, kekecohan di Dewan Rakyat dalam isu melibatkan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Surendran yang digantung selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat ekoran kenyataannya yang menghina Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Dewan Rakyat.
Ekoran perbuatannya, menuduh Pandikar Amin memberi fakta tidak benar dan Speaker bersifat bias, semua keistimewaan Surendran termasuk bayaran elaun ditarik balik selama tempoh tersebut yang berkuat kuasa serta-merta.

Iskandar Samad : Rumah Kos Rendah dilulus 1997 belum dibina

Posted: 15 Nov 2013 09:18 PM PST

SELANGOR KINI


Di dalam usaha untuk memastikan sasaran pembinaan sebanyak 35,000 Rumah Mampu Milik di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuas Teknikal Pemantauan Pembangunan Rumah Mampu Milik Negeri Selangor.

Tujuan jawatankuasa ini adalah untuk :

1) Memantau permohonan dan kelulusan Rumah Mampu Milik.
2) Menyelaras pembinaan Rumah Mampu Milik.
3) Merancang pembinaan Rumah Mampu Milik.

Di antara usaha-usaha yang dilakukan adalah mengenalpasti Rumah Mampu Milik termasuk Rumah Kos Rendah dan Rumah Kos Sederhana yang telah diwajibkan ke atas pemaju-pemaju untuk dibina.

Hasil siasatan yang dilakukan mendapati bahawa terdapat Rumah Kos Rendah dan Rumah Kos Sederhana yang wajib dibina oleh pemaju tetapi masih belum lagi dibina.Terdapat rumah-rumah yang mendapat kelulusan pada tahun 90'an di zaman Kerajaan Negeri Barsian Nasional yang masih belum dibina.

Contohnya Pendengaran Awam Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Shah Alam minggu ini mendapati 2 projek perumahan Rumah Kos Sederhana dan Rumah Kos Rendah yang melibatkan lebih 1,800 unit masih belum lagi dibina walaupun telah diluluskan seawal tahun 1997.

Untuk mengelakkan perkara ini dari berulang, Kerajaan Negeri sekarang telah mewujudkan satu sistem pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih cekap dan tegas agar pemaju-pemaju itu tidak mengabaikan tanggungjawab mereka.

Kerajaan Negeri juga telah mewajibkan Rumah Mampu Milik dan Rumah Kos Rendah dibina serentak dengan rumah-rumah jenis lain.

Beberapa pemaju terlibat juga telah dipanggil untuk memberi penjelasan kenapa mereka masih gagal membina Rumah Kos Rendah yang telah diwajibkan ke atas mereka.

Kerajaan Negeri akan memastikan pembinaan rumah-rumah itu walaupun tanah yang terlibat telah dijual kepada pihak-pihak lain.

EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar
Negeri Selangor

Kerajaan Pusat perlu matang beri peruntukan MP Pakatan

Posted: 15 Nov 2013 09:14 PM PST

Oleh : Lizawati Madfa


SHAH ALAM : Kerajaan Umno-BN yang kini melebihi setengah abad menerajui pemerintahan negara digesa untuk bersikap lebih matang dan terbuka dalam isu pemberian peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen daripada Pakatan Rakyat (PR).

Shamsul Iskandar vs Najib Razak 3

 Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mat Akin, berkata memang terdapat peruntukan kepada setiap kawasan Parlimen namun ianya tidak disalurkan secara terus kepada Ahli Parlimen PR.

Menurut beliau, tindakan itu menyebabkan pelbagai rancangan pembangunan terganggu di kawasan yang dimenangi PR, seterusnya mengkhianati amanah rakyat yang mengundi.

"Kerajaan seharusnya meletakkan titik noktah kepada permasalahan yang berlarutan sekian lama ini dan mengambil pendekatan yang memenangkan rakyat di akhirnya.

"Kalau benar-benar menjunjung demokrasi seperti diuar-uarkan selalu, maka Umno-BN perlu lebih terbuka dan mementingkan rakyat serta jangan politikkan peruntukan ini," ujar Shamsul yang dihubungi Selangor Kini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu peruntukan pembangunan yang tidak disalurkan secara terus kepada Ahli Parlimen PR, sebaliknya diletakkan di bawah bidang kuasa Pegawai Pembangunan Negeri bagi setiap negeri di bawah pentadbiran PR.

Sehubungan itu, Shamsul yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa Kerajaan Umno-BN mencontohi Kerajaan Filipina yang memberi peruntukan sama rata kepada Ahli Parlimen sama ada daripada parti pemerintah mahupun parti pembangkang.

"Itulah amalan demokrasi yang sebenar dan yang bebas daripada pemikiran politik lapuk diamalkan Umno-BN di sini," kata Shamsul.- EZY

Tembakan di Sabah, Najib Razak perlu beri kenyataan di Parlimen

Posted: 15 Nov 2013 09:12 PM PST

Oleh : Mohd Ezli Mashut


 SHAH ALAM : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu memberi kenyataan di Parlimen pada Isnin ini tentang kelonggaran kawalan keselamatan Esscom sehingga menyebabkan seorang pelancong Cina ditembak mati dan isterinya diculik kumpulan disyaki pengganas di pulau Pom Pom berhampiran Semporna.

kit siang parlimen 01

Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berkata Najib perlu memaklumkan kepada Parlimen tindakan yang akan diambil oleh Esscom untuk mengetatkan kawalan keselamatan supaya kejadian pembunuhan dan penculikan tidak akan berulang.

Kata Kit Siang, laporan awal menyatakan bahawa sekumpulan lelaki lengkap bersenjata tiba di pusat peranginan Mandur Pom Pom dan menyerbu restoran di pusat peranginan tersebut yang ketika itu hanya dilanggani oleh pasangan dari Taiwan terbabit dan lalu melepaskan beberapa tembakan.

Mangsa tembakan Lim Min Hsu, 57, ditembak dua kali pada bahagian dada dan rusuk. Beliau meninggal di tempat kejadian. Isterinya, Lim Min Hsu, 57, dilarikan oleh kumpulan bersenjata tersebut dengan sebuah bot kecil ke arah Filipina selatan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan kejadian tersebut berlaku sekitar jam 1 pagi.

"Pembunuhan dan penculikan di pulau Pom Pom itu memberikan tamparan hebat kepada usaha untuk memulihkan keyakinan pelancong dan orang ramai terhadap kawalan keselamatan di Sabah selepas pencorobohan pengganas Sulu ke atas Lahad Datu pada bulan Februari lalu," kata Kit Siang dalam kenyataan medianya.

Kit Siang berkata, sewaktu pelancaran Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bulan April tahun ini, Najib menggariskan empat strategi dan pendekatan teknikal yang akan diambil oleh Esscom untuk memelihara keamanan dan keselamatan di sepanjang 1,400 km kawasan pinggir laut bahagian timur Sabah.

Peristiwa tragik di pulau Pom Pom yang membawa kepada pembunuhan seorang pelancong dan penculikan pasangannya menunjukkan bahawa keempat-empat strategi tersebut telah terjejas.

Pembentukan dan peruntukan besar kepada Esscom belum menghasilkan keamanan dan keselamatan di Pantai Timur Sabah, manakala tiga matlamat Esscom yang ditetapkan oleh Perdana Menteri belum tercapai.

"Ia berkaitan untuk "menjamin sepenuhnya keselamatan," "memulihkan keyakinan orang rami untuk kembali hidup seperti biasa" dan "memulihkan keyakinan pelancong" selepas pencerobohan pengganas Sulu ke atas Lahad Datu, masih terlalu jauh untuk dicapai," kata beliau.-EZY

MB : Pemaju Bukit Cermin perlu baiki cerun, kemuka semula permohonan

Posted: 15 Nov 2013 09:10 PM PST

Oleh : Mohd Ezli Mashut


SHAH ALAM : Selangor mengeluarkan arahan kepada pemaju Kingsley Hills Sdn Bhd (Kingsley) untuk melakukan kerja pembaikan cerun di kawasan runtuhan Bukit Cermin di Putra Height seperti disarankan perunding bebas yang dilantik kerajaan negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Kingsley juga memberi komitmen bertulis untuk melakukan kerja pembaikan cerun seperti yang disaran dan diperincikan tiga perunding bebas iaitu Nexus Engineering Consultan (NEC), Perunding KHS dan Mohd. Asbi & Associates.
Abdul Khalid Kredibiliti Syed Husin Menjadi Senator 2
Katanya, sehubungan itu, kerajaan negeri menarik balik arahan pemberhentian kerja pembangunan bagi membolehkan kerja pembaikan dilakukan pihak pemaju seperti yang dipersetujui.

"Bagaimanapun, ini tidak bermakna Kingsley boleh meneruskan pembangunan hartanah kerana mereka perlu mengemukakan semula pelan kerja tanah dan pembangunan untuk pertimbangan semula Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

"Keputusan ini dibuat selepas kerajaan negeri mendengar taklimat daripada MPSJ dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) yang diadakan dua minggu lalu," kata Abdul Khalid dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, dalam mesyuarat MTES itu, beberapa keputusan lain juga dibuat untuk dipatuhi pemaju antaranya perlu menyediakan 'As Built Structural Discontinuity Mapping' bersama semua cadangan memperkukuhkan cerun.

katanya, pihak terbabit perlu mengadakan kajian terperinci sama ada terdapat kesesuaian memotong puncak bukit untuk mewujudkan cerun yang lebih landai kepada keseluruhan tapak.

"Mengadakan perundingan pembelian dengan pemilik tanah bagi lima lot tanah bermilik di atas puncak bukit supaya kerja pembangunan dan pembinaan dapat diintegrasikan.

"Ini akan menjadikan keseluruhan Bukit Cermin dimiliki pemilik tunggal yang akan memudahkan kerja pembangunan di atas tapak," katanya.

Beliau berkata, Kingsley juga perlu mengemukakan semula pelan kerja tanah dan keseluruhan pembangunan untuk pertimbangan semula MPSJ.

"Perlu diingatkan bahawa pembekuan pembangunan cerun kelas tiga dan empat masih terpakai serta kerajaan negeri komited untuk memantau permohonan pembangunan cerun dengan teliti supaya kejadian tanah runtuh yang mengakibatkan kehilangan harta dan nyawa boleh dielakkan," katanya.
-NFN-

Cukup-cukuplah Tun, tak usahlah sebut-sebut lagi PPSMI

Posted: 15 Nov 2013 09:07 PM PST

ASPAN ALIAS

Dr Mahathir adalah seorang pemimpin yang penuh dan sarat dengan 'contradictions' dalam hidupnya. Beliau berubah pandangan kepada sesuatu hal mengikut waktu dan senarionya. Sekarang tidak berhenti lagi beliau meminta PPSMI di laksanakan kembali untuk menambah kemahiran murid dan pelajar dalam bahasa Inggeris. Itu sebabnya medium yang terbaik bagi beliau ialah dengan mengajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris.

Kalau tidak Dr Mahathir siapa yang bertanggungjawab melemahkan penguasaan bahasa Inggeris dikalangan murid dan pelajar sekolah selama ini. Bukankah segala-galanya berubah semasa beliau menjadi Menteri Pelajaran sejurus beliau di terima kembali ke dalam UMNO pada tahun 1974 dahulu?

Dulunya setiap kawasan dan daerah ada sekolah-sekolah jenis Kebangsaan Inggeris dan saya bersekolah dalam salah sebuah sekolah itu. Tetapi semasa beliau menjadi Menteri Pelajaran beliau mengutamakan politik dan kononnya dengan menukar semua sekolah untuk menjadi Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya, maka sejak itu bahasa Inggeris sudah tidak lagi menjadi bahasa pengantar di dalam sistem pelajaran sekolah sehinggalah keperingkat universiti.

Semasa beliau menjadi Perdana Menteri satu generasi yang pandai dan menguasai bahasa Inggeris telah tiada kerana mereka sudah berada dalam zaman persaraan. Sekolah-sekolah di penuhi dengan guru-guru yang tidak tahu berbahasa Inggeris dan selepas itu pula Dr Mahathir menumpukan usahanya untuk mengembali bahasa Inggeris ke sekolah melalui pembelajaran dalam subjek Matematik dan Sains.

Kerajaan terpaksa menghantar guru-guru yang bakal mengajar dalam matematik dan sains kursus untuk melatih murid-murid dalam bahasa Inggeris dalam kedua-dua mata pelajaran itu. Yang saya syok sekali ialah apabila isu ini telah menjadi bahan lawak di khalayak ramai kerana guru yang tidak dapat menguasai bahasa Inggeris bakal akan mengajar dalam bahasa Inggeris dalam kedua-dua mata pelajaran itu.

Dalam ramai-ramai guru yang di hantar ke kursus itu ada yang menjawab pertanyaan saya dengan lucu. Saya bertanya macam mana kamu hendak mengajar murid, jika ada soalan 'dua tolak satu dalam matematik?' Guru itu dengan selamba menjawab berjenaka, dua tolak satu dalam bahasa Inggeris ialah 'two push one equals one' (dua tolak satu jadi satu), walhal dalam bahasa Inggeris ia akan berbunyi 'two minus one equals one'.

Menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik itu mengarut, kerana mengajar dalam bahasa Inggeris dalam mata pelajaran yang 'quantitative' itu tidak akan menambah kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Sepatutnya bahasa Inggeris itu di jadikan salah satu bahasa yang wajib lulus dalam peperiksaan SPM atau UPSR.

Jika bahasa Inggeris secara khususnya di jadikan mata pelajaran dan di tambah pula dengan 'English Literature' ia akan menambah murid dan pelajar memahami bahasa Inggeris itu dengan betul dan tepat penggunaanya.

Patut juga di adakan bulan bahasa Inggeris dalam mana dalam bulan-bulan itu semua murid di kehendaki bertutur dalam bahasa Inggeris.

Jika ini dilakukan nescaya tidak akan ada lagi guru yang mengajar muridnya, 'two push one equals one'. Ia akan menjadi 'two minus one equals one', sebagai contohnya.

Penguatkuasa agama Sarawak dibekal senjata api

Posted: 15 Nov 2013 09:03 PM PST

 
Ia akan dibincangkan dalam seminar eksklusif pemerkesaan pendakwaan syariah peringkat kebangsaan (SEPP).




KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membincangkan kemungkinan membekalkan senjata api kepada anggota penguatkuasa dan pendakwa Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais).

Ia akan dibincangkan dalam seminar eksklusif pemerkesaan pendakwaan syariah peringkat kebangsaan (SEPP).

Menteri Muda Hal Ehwal Islam Datuk Haji Daud Abdul Rahman berkata, perkara itu perlu kerana keselamatan anggota pasukan penguatkuasa dan pendakwa terdedah dengan ancaman bahaya seperti yang berlaku di Pahang baru-baru ini.

"Kerajaan mengambil serius soal keselamatan anggota penguatkuasan dan mahu bukan sahaja diri mereka, tetapi juga ahli keluarga dalam keadaan yang terjamin," tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan seminar berkenaan di sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini.

Menurutnya, sesetangah negeri seperti di Terengganu mula mengambil langkah membekalkan pasukan penguatkuasanya dengan senjata untuk menjaga keselamatan semasa menjalankan tugas.

"Kemungkinan di dalam seminar ini, perkara tersebut akan dibincangkan sama ada ia sesuai atau tidak untuk diaplikasikan di negeri kita.

"Ia kerana kita mahu keselamatan ahli keluarga diberi kepentingan yang sama agar kehidupan mereka berlangsung dengan aman tanpa gangguan yang membahayakan," ujarnya.

Tindakan negatif

Daud yang juga Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur menasihati rakyat yang mempunyai tanggapan yang salah terhadap tugasan anggota pasukan JAIS untuk mengubahnya dan memahami dengan jelas sebelum melakukan tindakan negatif.

Katanya, pegawai penguatkuasa dan pendakwa hanya menjalankan tugas yang diamanahkan kerana mahu semuanya berjalan dengan baik.

"Sehubungan itu, saya berharap aspek keselamatan mereka diperketatkan dan menjadi salah satu resolusi pada seminar ini," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Sarawak kini dalam proses untuk mendapatkan kelulusan naik taraf menjadi sebuah Jabatan Pendakwaan Syariah.

"Dengan adanya penjabatanan ini, ia dapat meningkatkan keupayaan bahagian pendakwaan syariah dan seterusnya memartabatkan undang-undang Syariah di Sarawak," katanya.

Beliau mensasarkan proses tersebut mengambil masa selama enam bulan dan dijangka akan diluluskan pada tahun hadapan.

DAP kekalkan keputusan pecat 38 ahli

Posted: 15 Nov 2013 04:31 PM PST

Tan Kok Wai2


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP hari ini mengumumkan pemecatan 38 ahli yang melanggar disiplin parti.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai berkata keputusan itu dibuat selepas tindakan mereka iaitu 12 orang yang bertanding sebagai calon bebas dan 26 yang lain melakukan kesalahan yang bercanggah dengan pendirian parti.

Pada 29 September lalu, DAP mengadakan pemilihan semula CEC mengikut arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan oleh kerana ia tidak 'diiktiraf', maka ahli yang dipecat dibenarkan hadir dan mengundi.

"Apabila CEC yang sama dipilih semula. Semua 38 kes dikaji semula sekali lagi dan Jawatankuasa Disiplin (DC) memberi surat tunjuk sebab mengapa tindakan tidak boleh diambil ke atas mereka," katanya dalam kenyataan.

Kok Wai yang juga Ahli Parlimen DAP Cheras menegaskan, DC memilih untuk mengekalkan keputusan memecat 38 ahli berkenaan.

"Selepas menerima surat tunjuk sebab dan mengkaji, DC mengekalkan keputusan untuk memecat mereka.

"Saya ingin menegaskan bahawa DC mempunyai tanggungjawab untuk menegakkan imej dan reputasi parti serta tidak mengecewakan keyakinan orang ramai terhadap parti," ujarnya.

Antara 38 ahli yang dipecat ialah Alexander Anthony Wong, Jenice Lee Ying Ha, David Dass, Mohd Sani Abdullah, Rodiah Biden dan Lee Yun Li. -Roketkini.com

UMNO salah guna RM40 juta wang pembayar cukai untuk selamatkan Utusan

Posted: 15 Nov 2013 04:30 PM PST

tony parlimen


KUALA LUMPUR: Tindakan UMNO menyuntik dana tambahan RM40 juta kepada Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan) adalah bukti nyata betapa terdesaknya parti itu untuk menyelamatkan syarikat seliaan mereka hingga sanggup menyalahgunakan wang kerajaan.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, tindakan itu harus ditentang oleh menteri berfikiran waras dalam Kabinet kerana ia jelas membabitkan wang pembayar cukai atau wang rakyat.
"Ini adalah konflik kepentingan apabila kita tahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga merupakan Menteri Kewangan dan Presiden UMNO.

"Berdasarkan peraturan, jika kepentingan UMNO meningkat melebihi 2 peratus ia mesti membuat tawaran pembelian kepada pemegang saham lain.

"Memandangkan usaha mereka untuk mendapatkan tawaran terbitan hak, parti itu perlu meningkatkan kepentingan sekurang-kurangnya 53.1 peratus dan ia sekaligus mewujudkan tawaran am mandatori," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara itu mengulas rancangan UMNO menyuntik RM40 juta kepada Utusan melalui cadangan 'Two Call Rights Issue'.

Pada 12 November lalu, Utusan mengumumkan kepada Bursa Malaysia akan meningkatkan terbitan hak kepada pemegang saham kira-kira RM40 juta.

Pua turut menyokong saranan Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching yang menggesa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bertindak bebas tanpa campur tangan Kementerian Kewangan untuk mengecualikan UMNO daripada menjalankan tawaran am mandatori agar dapat memberi saham minoriti Utusan.

"Apa yang paling penting, SC perlu melindungi integriti pasaran kewangan negara. Bukan sahaja bertindak dengan adil, tetapi perlu dilihat bertindak adil serta telus kepada semua pelabur dan rakyat Malaysia," katanya.

Menurut makluman daripada Bursa Malaysia, tindakan itu akan melonjakkan pegangan saham UMNO dalam Utusan daripada 49.8 peratus kepada 53.1 peratus.

Dengan jaminan untuk membeli saham terbitan, kuasa mengundi UMNO bakal meningkat kepada kira-kira 67.2 peratus iaitu lebih dua peratus dalam tempoh enam bulan.

Katanya lagi, akhirnya sebab sebenarnya UMNO berulang kali menyeru syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membeli iklan secara agresif dalam Utusan kini terjawab.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan sebelum ini juga dilaporkan telah mengeluarkan arahan rasmi secara bertulis kepada pengarah agensi dan ketua eksekutif GLC supaya membeli iklan di akhbar itu.

"Gesaan Utusan untuk mengumpul dana dan rayuan menteri UMNO supaya agensi kerajaan membeli iklan lebih banyak membuktikan bahawa Utusan kini berdepan masalah kewangan yang teruk.

"Utusan kini memikul beban hutang yang besar iaitu sebanyak RM195 juta pada Oktober 2013 dan RM15.8 juta pada 2012. Ditambah dengan kerugian RM8.8j juta dalam tiga bulan tahun ini," ujarnya. -Roketkini.com

Yang Dipertua Dewan

Posted: 15 Nov 2013 04:27 PM PST


Oleh Izmil Amri


Tulisan ini hanya rekaan semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan sesiapa yang masih hidup atau pun yang telah mati.

Tuan Speaker, point of order. Saya mohon izin laluan untuk minta penjelasan. Gombak dan Tanjung Karang boleh sambung bergaduh di luar. Tanjung Karang boleh balik ternak udang. Saya tak kisah. Tapi ini saya kena tanya. Boleh atau tidak Dewan yang mulia ini memecat Tuan Speaker?

Ya sabar, jangan menjerit dulu, Tanjung Karang. Awak dengar dulu ni saya nak baca point of order ni. Aturan Mesyuarat ni, hormatlah. Duduk dulu.

Tuan Speaker,

Perkara 3 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menetapkan bahawa, "Bila-bila jawatan Tuan Yang Dipertua itu kosong, baik dengan sebab dibubarkan Parlimen atau dengan lain-lain sebab, maka majlis, sebaik-baik cukup bilang ahlinya, hendaklah memilih Tuan Yang Dipertua".

Saya nak ingatkan Dewan yang mulia ini bahawa kerusi speaker ini adalah kerusi yang diputuskan melalui undian dan kepercayaan Ahli Dewan. Tuan Speaker berperanan sebagai 'pengadil' antara blok kerajaan dan pembangkang. Tuan Speaker bukan kerajaan, dan bukan juga pembangkang; jadi Speaker tidak boleh berat sebelah.

Sikap berat sebelah Speaker adalah penghinaan bukan setakat kepada institusi Yang Diertua, malah merupakan suatu penghinaan kepada institusi Parlimen yang diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong.
Malah tidak salah sekiranya kita mengatakan bahawa Speaker Dewan bukannya entiti yang berdiri paling tinggi dalam institusi Parlimen, jadi harus hormat prinsip-prinsip asas keadilan ketimbang menghina Yang di-Pertuan Agong dengan bertindak secara bias dan tidak adil.

Ya Kinabatangan, 'ketimbang' tu maksudnya 'berbanding'. Duduk dulu, bagi saya habis.

Tuan Speaker,

Peraturan mesyuarat ini pula harus dibaca bersama Perkara 62(1) Perlembagaan Persekutuan; dan dalam soal Speaker Dewan ini, kita juga kena baca Perkara 57. Undang-undang nampaknya tidak membuat sebarang peruntukan terhadap keadaan sekiranya Yang Dipertua Dewan tidak lagi layak menjadi Yang Dipertua dan tidak boleh mengawal Dewan.

Ini sesuatu yang amat pelik bagi saya. Perdana Menteri pun boleh dipecat oleh Yang di-Pertuan Agong. Tapi Yang Dipertua Dewan seakan-akan makhluk yang tidak boleh disentuh. Ini pelik sekali.

Yang ada cuma Peraturan 99. Apa dia peraturan 99 ini?

"Keputusan Tuan Yang Dipertua berkenaan dengan sebarang perkara tafsir dalam mana-mana jua Peraturan Mesyuarat ini atau berkenaan dengan kelaziman adalah muktamad kecuali jika ada usul bersendiri menentang keputusan Tuan Yang Dipertua; Tuan Yang Dipertua, dari satu masa ke satu masa, boleh mengeluarkan petua berkenaan dengan perkara itu.

Ya, Kinabatangan; saya pun keliru apa bendanya 'petua-petua' ini. Jadi saya rujuk juga versi bahasa Inggeris. Versi dalam bahasa Inggeris saya menemukan bahawa kalimat 'petua' diterjemah sebagai 'ruling'. Ini bukan petua, tapi keputusan.

Jadinya Speaker Dewan ini berkuasa betul. Siapa yang disayangi Speaker memang beruntung.

Tetapi saya mahu bangkitkan soal kebolehan Ahli Dewan untuk mengemukakan usul bagi menentang keputusan Speaker. Ini juga wajar dibaca bersekali dengan Perkara 62(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa "Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini dan peruntukan undang-undang persekutuan, setiap Majlis Parlimen hendaklah mengawal selia tatacaranya sendiri."

Bererti Dewan yang mulia ini adalah entiti yang mentadbir diri sendiri atau 'self governing', dengan izin.

Tuan Speaker,

Saya sungguh-sungguh mahu minta penjelasan. Adakah Tuan Yang Dipertua ini institusi kebal yang tidak boleh disemak imbang, atau adakah Tuan Speaker juga Ahli Dewan Rakyat seperti ahli Yang Berhormat yang lain?

Apa sebabnya tidak ada peruntukan undang-undang atau peraturan untuk 'impeach' Tuan Speaker; atau adakah saya saja yang rabun tak nampak peruntukan itu?

Pasti, Unit Amal aset berharga PAS

Posted: 15 Nov 2013 04:23 PM PST

Mohd Sabri Said,


TASEK GELUGOR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyeru semua ahli PAS di setiap peringkat supaya menghargai dan menjaga pasukan Unit Amal dan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) sebaik mungkin kerana ia merupakan aset penting kepada PAS.

Menurutnya, sejarah membuktikan masyarakat mula 'celik mata' terhadap PAS selepas mengenali pengorbanan pasukan Unit Amal dan menyukai sistem pendidikan dan pendekatan yang diguna pakai di Pasti.

Justeru itu, kejayaan PAS hari ini ada kaitan dengan keaktifan Unit Amal dan Pasti kerana ada setengah pihak mengenali keduanya dahulu sebelum berjinak dengan PAS.

"Jagailah pasukan Unit Amal dan Pasti dengan baik, jangan hampakan rakyat yang telah menaruh harapan terhadapnya. Unit Amal dan PASTI merupakan aset PAS yang berharga," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan 25 tahun Pasti Nurul Iman, Kampung Guar Kepayang, Tasek Gelugor baru-baru ini.

Unit Amal dan Pasti katanya, bukan sahaja terkenal di kalangan orang Islam ataupun penyokong PAS, malah kini sudah menjadi buah mulut masyarakat termasuk bukan Islam kerana sumbangan besar kedua-duanya.

"Ini bererti nama PAS sudah melekat di hati rakyat maka situasi sebegini harus dijagai sebaik mungkin agar tidak berlaku masalah yang akhirnya menjejaskan nama PAS itu sendiri," katanya.

Tiada ulasan: