Selasa, 12 November 2013

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Khalwat: Artis Tidak Mengaku, Pasangan Mengaku Salah

Posted: 12 Nov 2013 12:22 AM PST

Shahrizal (kanan) bersama peguamnya, Asyraf A. Ranee di Makmahah Rendah Syariah daerah Petaling pada Selasa. Foto ihsan Rotikaya.

Khalwat: Pasangan Mengaku Salah, Shahrizal Jaszle Tidak

[Mstar] PETALING JAYA: Pelakon Shahrizal Jaszle mengaku tidak bersalah atas pertuduhan khalwat yang dikenakan terhadapnya di Mahkamah Rendah Syariah, Daerah Petaling di sini pada Selasa.

Shahrizal atau nama sebenarnya Shahrizal Jaszle Jasmin, 25, membuat pengakuan itu di hadapan hakim syarie, Abd Halim Abu Samah.

Bagaimanapun pasangan khalwatnya Farah Nurizzati Salleh, 21, mengaku bersalah terhadap tuduhan itu.

Sehubungan itu mahkamah memerintahkan Farah Nurizzati membayar denda RM3,000 atau penjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mahkamah bagaimanapun membebaskan Shahrizal dengan wang jaminan RM1,500 dan menetapkan 21 Januari 2014 sebagai tarikh perbicaraan terhadapnya.

Dalam kejadian 16 Mei lalu, Shahrizal dan Farah Nurizzati telah ditahan atas tuduhan khalwat di Apartmen Taman Sri Subang, kira-kira pukul 3.30 pagi oleh unit penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hasil aduan orang ramai.

Mereka ditahan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Jika sabit kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kejadian itu menyebabkan pertunangan Shahrizal dengan Redzwani Puteri, 25, terpaksa diputuskan oleh keluarga perempuan tetapi telah disambung semula pada hari raya Aidiladha lalu.

Ketika di mahkamah, pelakon lelaki itu diwakili peguam syarie, Asyraf A. Ranee. -12/11/13



[Gambar] Polis Edar Fotofit Suspek Kes Tembak Pegawai JAIP

Posted: 11 Nov 2013 11:46 PM PST




[BERNAMA] Polis Pahang hari ini mengedarkan fotofit suspek seorang lelaki dalam kes pembunuhan Ketua Penguatkuasa Agama Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), allahyarham Ahmad Raffli Ab Malik, 49, di Kuantan, Ahad lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifudin Ab Ghani, berkata lelaki berkenaan adalah suspek pertama yang masuk ke perkarangan rumah mangsa sebelum memberi salam.

"Suspek dipercayai berpakaian hitam dan berkopiah putih, berusia lingkungan 50-an, berkulit sawo matang, rambut dan misai beruban, berjanggut nipis, berbadan sasa, berkening halus, hidung sederhana dan berbibir nipis," katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.


Beliau berkata, fotofit yang dihasilkan itu diyakini 70 peratus tepat berdasarkan hasil siasatan dan maklumat awal yang diperoleh berhubung tiga suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

Sharifudin berkata, suspek kedua adalah seorang lelaki berusia lingkungan 40-an dipercayai yang melepaskan tembakan ke arah mangsa manakala suspek ketiga pemandu kereta Proton Wira Aeroback putih belum dikenal pasti.

Katnaya, polis juga tidak menolak kemungkinan semua suspek merupakan pengikut kumpulan ajaran sesat,'Tuhan Harun'.

"Polis juga masih menyiasat butiran kereta yang digunakan suspek dalam kejadian itu dan beberapa kenderaan lain yang didakwa berlegar-legar di kawasan kediaman mangsa sebelum kejadian," katanya.

Katanya, keputusan bedah siasat mendapati mangsa mengalami tiga luka tembakan, iaitu di dada kanan, rusuk kanan dan perut mangsa yang menembusi belakang badan.

"Polis turut menemui tiga kelongsong peluru dan tiga anak peluru jenis WCC7.80 caliber 9mm di tempat kejadian," katanya.

Dalam kejadian Ahad lalu, Ahmad Raffli mati selepas ditembak seorang suspek yang menaiki kereta Proton Wira Aeroback putih di rumahnya, di Indera Mahkota 2, dekat sini. -12 November, 2013.

Selepas Sedar “Sokongan Membawa Rebah” kepada Mohd Amar, Utusan Malaysia Kini Promosi Mat Sabu

Posted: 11 Nov 2013 10:57 PM PST


[TMI] Selepas menyedari sokongan mereka bakal "membawa rebah" kepada calon Timbalan Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, akhbar milik Umno Utusan Malaysia hari ini membuat pusingan 180 darjah apabila mempromosikan Mohamad Sabu pula untuk jawatan itu.

Dalam analisis The Malaysian Insider bertajuk Timbalan Presiden PAS: Sokongan Utusan "membawa rebah" kepada Mohd Amar?, didedahkan bagaimana dalam pemilihan PAS pada 2011, bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa mendapat undi tercorot sebanyak 224 undi berbanding Mohamad (420) dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (399) walaupun mendapat sokongan kuat daripada Utusan Malaysia.

"Sememangnya daripada segi rekod perjuangan dalam PAS, Mat Sabu dilihat jauh meninggalkan Mohd Amar yang dianggap hanya dikenali sebagai seorang pemimpin di peringkat negeri sahaja.


"Mat Sabu pernah menjadi Ketua Pemuda PAS dan Naib Presiden PAS sebelum ini manakala Mohd Amar pula tewas dua kali dalam percubaan untuk menjadi Naib Presiden.

"Berbanding Mohd Amar, dalam soal bertanding dalam pilihan raya Mat Sabu pernah menjadi Ahli Parlimen Nilam Puri (1990-1995), Kubang Kerian (1995-1999) dan Kuala Kedah (1999-2004)," tulis Pengarang Utusan Malaysia, Zukiflee Bakar dalam artikelnya bertajuk, "Mat Sabu harapan politik PAS".

Timbul persepsi di kalangan perwakilan PAS calon disokong akhbar milik Umno akan menjadi tidak popular kerana parti Melayu itu adalah musuh tradisi PAS sejak zaman berzaman.

Sebelum ini dalam artikel Zulkiflee bertajuk "Memperkasa ulama dalam PAS" pada Ahad, Pengarang Utusan Malaysia itu berkata, populariti Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu menurun dan jumlah kehadiran orang di siri ceramah pemimpin nombor dua PAS itu semakin berkurangan.

"Sememangnya jika apa yang dipaparkan mengenai rentetan perjalanan politik Mat Sabu, tidak ada salah untuk beliau terus kekal sebagai Timbalan Presiden.

"Apatah lagi menurut satu sumber, Mat Sabu dikatakan mendapat pencalonan melebihi Mohd Amar bagi jawatan Timbalan Presiden," kata Zulkiflee.

Utusan Malaysia kini mempromosikan Mohamad Sabu dalam laporan beritanya menjelang Muktamar PAS bulan ini.Perubahan sokongan Utusan Malaysia daripada Mohd Amar kepada Mat Sabu dilihat sebagai "reverse psychology" untuk memastikan Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan itu memenangi perebutan jawatan Timbalan Presiden PAS.

Ini kerana jika dilihat sejak pilihan raya umum 2008, akhbar milik Umno itu konsisten dalam mengasak PAS supaya keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) yang turut dianggotai oleh PKR dan DAP.

Ini selari dengan pandangan golongan ulama dalam PAS yang mahu kerjasama politik dengan PR dikaji semula terutama dengan PKR.

Utusan Malaysia dalam laporan beritanya sebelum ini sering menggelar Mohamad sebagai golongan Anwarinas - merujuk kepada pemimpin PAS yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara Mohd Amar pula diangkat sebagai wakil golongan ulama yang dikatakan bakal memperkukuh dasar Islam dalam parti itu.

Dalam ucaptama di Multaqa Ulama Semalaysia yang diadakan di Kota Sarang Semut pada September, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib mencadangkan agar parti Islam itu mengkaji semula tahaluf siasi (kerjasama politik) parti Islam itu terutama dengan PKR.

"Amat wajar tahaluf siasi bersama PKR ini dikaji setelah berlaku perkara yang boleh melemahkan PAS dan merosakkan hubungan di dalam tahaluf siasi," kata Harun.

Pandangan Harun itu dilihat sebagai pandangan golongan ulama yang berada di belakang Mohd Amar.

Di atas kertas, Mohamad mempunyai kelebihan dan lebih dikenali oleh 1,300 perwakilan PAS kerana sudah lama berperanan sebagai pemimpin nasional dan senangi oleh rakan-rakan PR berbanding Mohd Amar yang hanya aktif dalam arena politik Kelantan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatannya selepas tiada pencabar.

Pemilihan PAS bagi 2013 akan diadakan dari 22 hingga 24 November ini di Shah Alam, Selangor.- 12 November, 2013.


P/s: Kah kah kah!

Orang yang tahu akan tahu niat mereka. Orang tahu akan tahu siapa yang patut dipilih!!!


Tiada ulasan: