Rabu, 13 November 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Kaum Iban penyokong kuat BN di Sarawak pun dipinggir

Posted: 13 Nov 2013 03:33 PM PST

AliceLau-hitea


KUALA LUMPUR,: Bumiputera Iban yang merupakan penyokong kuat Barisan Nasional (BN) di Sarawak terus dipinggirkan parti yang memerintah negeri itu apabila kebanyakan mereka yang tinggal di rumah panjang masih hidup dalam keadaan serba kekurangan.

Ahli Parlimen DAP Lanang, Alice Lau Kiong Yieng, berkata antara masalah berterusan yang menghantui penduduk rumah panjang ialah bekalan elektrik dan bekalan air bersih.

"Mereka terpaksa mengggunakan generator untuk mendapatkan bekalan elektrik," katanya dalam sesi perbahasan Bajet 2014 baru-baru ini.

Alice berkata, penduduk terpaksa bergantung kepada generator yang menggunakan diesel yang diangkut ke rumah panjang untuk mendapatkan bekalan elektrik.

Selain itu, katanya, golongan bumiputera turut berhadapan masalah bekalan air bersih walaupun sebahagian kawasan itu mempunyai paip air.

"Kawasan Lanang seperti kawasan Naman yang dekat dengan pasar telah mempunyai saluran paip tetapi air belum disambungkan. Ini bermakna paip ada tetapi air belum ada.

"Cukupkah bekalan air yang dibekalkan dalam tangki untuk kehidupan harian, minum dan sebagainya? Mungkin mereka boleh mandi di sungai, tetapi sanggupkah mandi dalam air sungai yang keruh yang berwarna macam teh tarik," katanya.

Tambah membebankan, kata Alice, apabila tiba musim kemarau kerana penduduk terpaksa memohon bekalan air daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) daripada semasa ke semasa.

"Permintaan mereka banyak kali tidak dilayan atau penghantaran adalah agak lambat.

"Saya mencadangkan dan berharap agar menteri sendiri turun melawat rumah panjang di Sarawak dan menggesa kerajaan menyediakan kemudahan infrastruktur yang sepatutnya sudah lama mereka peroleh," ujarnya lagi.-Roketkini.com

PR sasar rampas 46 lagi kerusi BN untuk tawan Putrajaya pada PRU-14: Lim Kit Siang

Posted: 13 Nov 2013 03:31 PM PST

lks orang asal


SUBANG JAYA: Berdasarkan persempadanan sekarang setiap parti komponen Pakatan Rakyat (PR) perlu menetapkan sasaran memenangi 45 kerusi bagi meraih majoriti 48 kerusi bagi menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Bagaimanapun, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ia banyak bergantung kepada keputusan di 40 kerusi yang perbezaan undi tipis, termasuk 51 kerusi daripadanya berada dalam tangan Barisan Nasional (BN) dan 29 kerusi yang dimenangi PR.

"Kerusi yang dimenangi dengan perbezaan undi melebihi 55% pada PRU-13 dianggap kerusi selamat, bererti BN mempunyai 82 kerusi selamat dan PR pula dengan 60 kerusi selamat.

"Pada PRU-13, PR memenangi undi popular tetapi gagal menawan Putrajaya kerana BN berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan dengan kelebihan kerusi iaitu sebanyak 133 kerusi, berbanding 89 kerusi yang dimenangi PR," katanya ketika berucap pada majlis makan malam amal Pakatan Rakyat, di Empire Hotel Ballroom, Subang Jaya, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen DAP Gelang Patah berkata, jika PR memenangi 23 lagi kerusi pada PRU-13 lalu, PR akan membentuk majoriti mudah dengan 112 daripada 222 kerusi.

Katanya, pada PRU-14 nanti, selain mengekalkan 89 kerusi Parlimen yang sedia ada, PR perlu menggandakan sasaran iaitu merebut bukan setakat 23 tetapi 46 daripada 51 kerusi yang dimenangi BN dengan majoriti tipis agar PR boleh memenangi 135 daripada 222 kerusi Parlimen iaitu dengan majoriti 48 kerusi.

Beliau berkata, ini bermakna setiap parti dalam PR memiliki jumlah kerusi yang sama iaitu PKR, PAS, dan DAP, masing-masing perlu memenangi 45 kerusi Parlimen.

"Ketika ini, DAP mempunyai 38 Ahli Parlimen, PKR (30) dan PAS (21), bermakna DAP perlu mendapatkan tujuh lagi kerusi Parlimen, PKR pula 15 kerusi dan PAS 24 kerusi.

"Saya yakin sasaran ini berada dalam jangkauan, memandangkan PAS memenangi 27 kerusi Parlimen pada PRU 1999, ketika Barisan Alternatif baru dibentuk iaitu hampir empat kali ganda lebih banyak berbanding hanya tujuh kerusi yang dimenanginya pada PRU 1995," katanya.

Menurut Kit Siang, pada PRU-14 nanti, PAS tidak perlu meningkatkan jumlah kerusinya sebanyak empat kali ganda, kerana ia cuma perlu meningkatkan bilangan kerusi kepada 45 daripada 21 kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU-13.

"Prestasi parti PR pada PRU 2008 dan 2013 menunjukkan ketiga-tiga parti komponen itu mempunyai kekuatan asas masing-masing. Jika kita sanggup terus memperjuangkan matlamat patriotik bersama, iaitu menyelamatkan negara ini daripada korupsi, kronisme, penyalahgunaan kuasa, eksploitasi golongan miskin dan tidak bernasib baik tanpa mengira kaum, agama, atau latar belakang, ekstremisme, serta sikap tidak bertolak-ansur, dan menggantikan semua itu dengan urus tadbir yang baik, integriti awam, kebertanggungjawaban, sikap hormat terhadap demokrasi dan hak asasi manusia, kesederhanaan dan toleransi, tiada sebab lagi rakyat tidak memilih PR untuk memerintah demi masa depan negara yang lebih cemerlang pada PRU-14 nanti.

Khamis lalu, bekas duta kanan negara, Tan Sri Razali Ismail mengingatkan bahawa Malaysia akan hilang kelebihan ekonominya jika politik terus dikuasai unsur perkauman yang melampau seperti yang sering dibangkitkan kawan-kawan dari luar negara kebelakangan ini berikutan timbulnya beberapa isu yang boleh menyebabkan perpecahan.

Kit Siang berkata, kenyataan Razali itu benar, kerana retorik dan politik ekstrem dan tidak toleran berada pada tahap paling mengejutkan dan memecah-belahkan dalam sejarah negara ini sejak enam bulan selepas PRU-13 walaupun Perdana Menteri bercakap mengenai penyatuan nasional dan mempromosikan Global Movement of Moderates.

"Pertarungan untuk PRU-14 sudah bermula dan beberapa pihak menyatakan kebimbangan bahawa wang pembayar cukai akan dirompak untuk mengisi tabung perang UMNO/BN bagi membiayai perang siber menerusi media sosial menentang PR.

"Selepas PRU-13 pada 5 Mei lalu, perang siber menentang parti PR tidak surut. Baru-baru ini saya dituduh sebagai anggota Illuminati, kononnya sebuah pertubuhan rahsia di peringkat dunia yang dianggotai beberapa elit berkuasa dan berpengaruh dan bertujuan menguasai dunia secara politik dan ekonomi.

"Setelah membaca tuduhan itu dalam blog Umno, saya terpaksa mencari maklumat di Internet mengenai perkara yang disebut sebagai konspirasi Illuminati itu," tambahnya.

Beliau berkata, baru-baru ini, seorang wanita Melayu datang menegurnya di lapangan terbang ketika sedang menunggu beg dan dia meminta maaf.

"Saya hairan dan bertanya sebabnya. beliau kata, sepanjang 18 tahun pertama dalam hidupnya, beliau membenci saya sebagai seorang yang rasis dan jahat, kerana yang diberitahu saya anti-Melayu dan anti-Islam. Tetapi setelah beliau menerjunkan diri ke dalam masyarakat dan mendapat akses kepada maklumat, beliau sedar bahawa segala yang diberitahu mengenai saya sebelum ini tidak benar sama sekali," katanya.

Menurut beliau, episod itu seharusnya menjadi sumber inspirasi kepada semua, sama ada dalam DAP, PKR atau PAS, kerana semuanya menjadi sasaran pembohongan dan pendustaan yang bertujuan memecah-belahkan parti dan kepimpinan PR.

"Revolusi maklumat akan membantu PR memerdekakan minda yang cuba diracuni dan dipasung oleh juru propaganda dan cybertrooper UMNO/BN.

"Parti dalam PR perlu terus teguh di atas jalan politik yang sedang ditempuh ini sehingga kita berjaya membawa perubahan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, daerah, atau kelas, demi mencapai Impian Malaysia bersama – Malaysia untuk semua rakyat Malaysia," tambahnya.-Roketkini.com

Ahmad Maslan Sepatutnya Minta GLC Tolong Orang Melayu, Bukannya Utusan Melayu

Posted: 13 Nov 2013 03:49 AM PST


Oleh Shahbudin Husin


Dalam usaha membantu syarikat Utusan Melayu yang semakin kerugian kerana semakin kurang orang membaca akhbar terbitannya, Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan membuat keputusan menulis surat kepada semua syarikat berkaitan kerajaan atau GLC agar menyalurkan lebih banyak iklan di dalam akhbar tersebut.

Menurut Ahmad Maslan, daripada 35 GLC utama di negara ini, mereka membelanjakan hanya sekitar 3.7 peratus saja daripada keseluruhan peruntukan iklan untuk Utusan Malaysia.

"Ini merupakan perbelanjaan yang terlalu amat sedikit," luahnya dengan kecewa.

Selain Utusan Malaysia, GLC terbabit juga turut diminta menyalurkan lebih banyak iklan untuk akhbar Berita Harian. Kedua-dua akhbar, Utusan Malaysia dan Berita Harian adalah milik UMNO dan bantuan dalam bentuk iklan itu, menurut Ahmad Maslan lagi, adalah supaya peranan akhbar terbabit untuk kepentingan negara terus dapat dilakukan dengan jayanya.

Tindakan Ahmad Maslan ini segera mengundang rasa kurang senang pelbagai pihak. Bukan saja pembangkang yang mengecam tindakan itu, bahkan sekutu UJNO dalam BN iaitu MCA turut melahirkan rasa kurang senangnya dengan perkara itu. Jika pembangkang melalui Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tsin menyatakan GLC seharusnya dibebaskan daripada sebarang campurtangan politik kerana ia adalah milik rakyat, MCA melalui Naib Presidennya, Gan Peng Sieu pula berkata, bukan tugas kerajaan atau GLC membantu syarikat media seperti Utusan dan Berita Harian.

Sambil menyifatkan tindakan Ahmad Maslan menulis surat kepada ketua-ketua GLC itu sebagai penyalahgunaan kuasa, MCA juga berkata, syarikat media seharusnya dibenarkan bersaing secara sihat berasaskan kemampuan profesionalisme dan kecekapan tanpa mengharapkan bantuan dan subsidi daripada GLC atau kerajaan.

"Mengarahkan bantuan atau subsidi adalah penghinaan kepada kecekapan dan profesionalisme kakitangan syarikat akhbar terbabit," tambah Naib Presiden MCA itu lagi.

Secara jujurnya tindakan Ahmad Maslan dalam hal ini menampakkan kekeliruan dan kecelaruannya dalam memahami tugas serta peranan GLC kepada rakyat. Dalam pembentangan agenda memperkasa ekonomi Bumiputera tidak lama dulu, Najib sendiri ada membangkitkan peranan GLC dalam membantu ekonomi Bumiputera dan orang-orang Melayu.

Dalam hal ini Perdana Menteri telah menetapkan usaha membantu orang Melayu ini sebagai salah satu KPI atau penunjuk prestasi pemimpin-pemimpin GLC terbabit yang dilantik oleh kerajaan menduduki jawatan tersebut.

Jika GLC diminta memainkan lebih banyak peranan dalam membantu dan memperkasa ekonomi orang Melayu, tidaklah ada sesiapa yang tersinggung kerana ia memang sewajarnya dilakukan memandangkan secara relatifnya kedudukan mereka masih tertinggal berbanding kaum-kaum lain.
Namun demikian dalam usaha memastikan kualiti tidak dikompromi, faktor merit dalam memberikan bantuan atau pertolongan itu tidaklah pula harus diketepikan.

Malangnya, Ahmad Maslan yang pernah berbangga dengan markah CGPA ketika di universiti sebanyak 3.85 dan barangkali antara pemimpin paling pandai dalam pentadbiran Najib, nampaknya telah gagal memahami perkara ini dengan jelas. Najib mahu GLC membantu orang Melayu tetapi beliau menulis surat meminta semua GLC membantu Utusan Melayu.

Mengarahkan GLC membantu Utusan Melayu langsung tidak berkaitan dengan orang Melayu. Ini kerana sejarah Utusan Melayu sebagai pembangkit nasionalisme Melayu hanya tinggal sejarah ketika ini. Ketika ini perjuangan Utusan Melayu tidak lagi ke arah itu, bahkan jalan politik yang dipilihnya dalam memuatkan pemberitaan banyak yang sudah menyimpang daripada semangat kemelayuan.

Bukan saja berita picisan yang sering menjadi bahan beritanya, bahkan ahli politik picisan juga lebih mendapat tempat berbanding sesetengah pemimpin Melayu dan kerajaan.

Utusan Melayu sejak beberapa tahun kebekalangan ini juga lebih menjadi medan menyiarkan berita berunsur seks dan fitnah. Ia juga paling banyak kena saman dan terpaksa memohon maaf serta kerap kali terpaksa membayar ganti rugi kepada pihak yang menyamannya. Mungkin juga boleh dimasukkan dalam Malaysia Book of Records sebagai akhbar yang paling banyak kena saman, memohon maaf dan membayar ganti rugi.

Lantaran itu, pembelinya makin merosot. Rakyat tidak lagi membeli Utusan, generasi muda pula mulai "geli" untuk membeli dan membacanya. Malah ramai kakitangannya sendiri yang tidak membaca akhbar itu. Yang tidak mahu membawa pulang ke rumah juga ramai jumlahnya berikutan banyak beritanya yang kurang sesuai dibaca oleh anak-anak dan ahli keluarga yang lain.

Jika ditambah dengan corak majalah Mangga yang diterbitkannya di mana banyak memuatkan gambar seksi dan lucah sehingga sebuah negeri memfatwakan majalah itu sebagai haram dimiliki, agenda nasionalisme Melayu sebenarnya sudah jauh ke laut daripada perjuangan Utusan Melayu.

Lantaran itu, memanglah tidak wajar bagi Ahmad Maslan meminta GLC memberi bantuan dan menyalurkan lebih banyak iklan kepada syarikat itu. Beliau seharusnya lebih memberi fokus kepada membasmi kemiskinan dan memperkasa ekonomi orang-orang Melayu dan bukannya Utusan Melayu. Menyalurkan banyak iklan dalam akhbar yang kurang pembeli dan pembaca juga bertentangan dengan nilai komersial dan menjemurumuskan GLC terbabit kepada kerugian juga.

Tambahan pula dalam banyak GLC juga, perjuangan memperkuat ekonomi orang Melayu ini masih lagi jauh daripada sasarannya. Jika di Petronas pun masih ada masalah untuk membantu peniaga Melayu menjual kerepek dan nasi lemak di stesen-stesen minyak miliknya, ini menandakan kalau pun mahu menulis surat kepada GLC supaya membantu syarikat seperti Utusan Melayu, ia seharusnya menjadi agenda terakhir yang dilakukan oleh Ahmad Maslan.

Dalam menjalankan tanggungjawabnya, banyak tugas lain yang semestinya lebih patut diutamakan. Tulis surat dahulu kepada semua ketua-ketua GLC agar lebih prihatin dan fokus dalam membantu ekonomi orang Melayu, kalau pun mahu juga menuls surat supaya membantu Berita Harian dan Utusan Melayu.

Jika ini dapat dilakukan barulah sesuai dengan CGPA 3.85 yang dibanggakannya itu.

Kira dulu sebelum naik harga gula - Rafizi

Posted: 13 Nov 2013 02:56 AM PST

Muhammad Faizal,
 

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli meminta agar kerajaan membuat pengiraan terlebih dahulu sebelum berhasrat untuk menaikkan harga gula melalui twitter.

Beliau ketika mencelah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hasan Malek ketika membuat penggulungan turut mempersoalkan bagaimana harga gula di Malaysia lebih tinggi berbanding dengan negara-negara jiran yang lain.

"Gula ni menteri semua orang tertanya-tanya kenapa harga di negara ini lebih tinggi jika dibandingkan negara lain.

"Di Malaysia dengan pelbagai kawalan subsidi dan sebagainya tetapi harga tetap tinggi iaitu RM2.85 bagi satu kilogram, itu masih ada kawalan subsidi.

"Tetapi di negara luar tak berlaku pun sedemikian, malah harga hanya sekitar RM1.36 untuk satu kilogram, kenapa boleh jadi begitu, boleh jelaskan tak," ucap beliau di sidang Parlimen pagi tadi.

Rafizi juga menggesa agar kerajaan memberi jawapan yang terperinci mengenai pengiraan yang menyebabkan kenaikan harga tersebut.

"Menteri jelas kepada rakyat kenapa kita ada subsidi tetapi harga tinggi, saya tak faham kenapa ini berlaku," sambung beliau.

Hasan ketika menjawab pertanyaan Rafizi itu memberitahu beliau memerlukan masa untuk membuat penjelasan terperinci kerana terdapat perkiraan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan mengenai faktor kenaikan harga gula.

"Mengenai soalan Pandan tu, saya minta masa untuk jawab secara terperinci kerana terdapat perkiraan yang dibuat Kementerian Kewangan kenapa kita mahal berbanding negara luar," jelas Hasan.

Bebaskan orang Melayu daripada racun Umno

Posted: 13 Nov 2013 02:52 AM PST



Oleh Zulkifli Sulong


Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yakin parti Islam itu dan Pakatan Rakyat (PR) akan lebih berjaya dalam pilihan raya umum akan datang jika mampu memecahkan tembok dan membuang racun yang ditanam Umno ke dalam pemikiran orang Melayu.

Pengerusi DHPP, Hu Pang Chaw, berkata "racun" itu yang menyebabkan majoriti orang Melayu masih menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Pertamanya, Umno menanamkan racum kepada orang Melayu bahawa hanya Umno penyelamat mereka.

"Keduanya, orang Melayu diracuni Umno bahawa jika Pakatan menang, DAP akan memastikan Cina jadi perdana menteri.  Agama rasmi negara akan ditukar kepada Kristian dan Melayu akan dihalau daripada bumi sendiri seperti berlaku kepada Melayu Pulau Pinang sekarang," katanya dalam satu temuramah bersama The Malaysian Insider, baru-baru ini.

Beliau berkata, menjadi tugas semua peringkat jentera PAS dan PR untuk membuang segala racun yang ditanam Umno ini jika mereka ingin berjaya.

Katanya, PAS terlalu banyak menekankan soal akidah di kalangan orang Melayu melalui ceramah dan kuliah mereka tetapi kurang menjelaskan bagaimana ekonomi, infrastruktur, pertanian dan pendidikan perlu dipertingkat.

Sehubungan itu, beliau yang aktif di Johor selepas bertanding di kerusi Parlimen Air Hitam mewakili PAS dalam pilihan raya umum lalu berkata, akan berusaha ke arah membuang racun yang dimasukkan Umno ke dalam minda orang Melayu di Johor.

Dengan kerjasama Pemuda PAS Johor, Hu merancang tiga program dan projek lawatan untuk Johor dan ia membabitkan program berkaitan rekreasi dan kebajikan, kursus dan latihan serta pembangunan ekonomi.

Katanya, bagi membuang racun Umno daripada minda orang Melayu khasnya di Johor, satu program lawatan ke Pulau Pinang akan diadakan.

"Kami merancang sekurang-kurangnya 2,000 orang Melayu Johor dari semua 26 kawasan Parlimen dibawa melawat Pulau Pinang yang ditadbir DAP menjelang pilihan raya umum ke-14 akan datang," katanya.

Beliau mengambil idea ini daripada PAS yang berjaya membersihkan imejnya dengan membawa orang Cina dari seluruh negara melawat Kelantan.

Selepas PAS memerintah Kelantan pada 1990, MCA menyebarkan pelbagai fitnah terhadap PAS dengan menyebarkan bagaimana orang Cina dilayan oleh kerajaan PAS.

Untuk mendapatkan gambaran yang sebenar, pelbagai rombongan orang Cina dihantar ke Kelantan untuk melihat sendiri kedudukan masyarakat Cina di negeri itu.

Hasilnya, apabila mereka pulang ke tempat masing-masing, MCA didakwa memfitnah PAS dan berakhir dengan penolakan orang Cina terhadap MCA, parti terbesar orang Cina sebelum ini.

"Kita akan ulangi kaedah yang sama. Kita akan bawa orang Melayu Johor ke Pulau Pinang," katanya.

Di sana, katanya, mereka akan dibawa menunaikan solat di masjid negeri dan surau, bertemu dengan majlis agama Pulau Pinang dan seterusnya berdialog dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng atau pimpinan negeri yang lain.

"Ada tiga fitnah utama yang diracun Umno kepada orang Melayu khasnya di Johor.  Azan disekat di Pulau Pinang, orang Melayu dihalau dan masjid pula dirobohkan.

"Kita harap mereka akan mendengar sendiri suara azan berkumandang di Pulau Pinang, masjidnya yang gagah berdiri dan bajet besar yang diberikan kerajaan negeri kepada Islam di Pulau Pinang," katanya.

Beliau yakin, 2,000 orang Melayu ini jika dilatih dengan baik selepas itu akan menjadi tenaga penting PAS dan PR untuk menukar minda orang Melayu di Johor.

Hu, 58, bekas wartawan dan guru adalah Pengerusi DHPP yang pertama selepas ia ditubuhkan tiga tahun lalu.

Beliau yang mempunyai empat anak memberikan tumpuan sepenuh masa kepada PAS walaupun pernah menjadi Setiausaha Pemuda MCA Kelantan pada 1980-an.

Berasal dari Kedah, Hu mula masuk ke Kelantan sebagai guru Kementerian Pelajaran selama 18 tahun dan menjadi wartawan akhbar Cina pada 1994 hingga 1999 sebelum aktif sepenuhnya menyokong PAS hingga sekarang.M/Insider

Isu Kritik FAM : Khairy Jamaluddin (Menteri KBS) + Tengku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) VS Siti Nurhaliza + Pemimpin FAM?

Posted: 13 Nov 2013 02:44 AM PST


Khairy Siti Nurhaliza
Setuju rombak FAM : KLIK SINI

Apakah FAM sangat kebal sehinggakan tidak boleh langsung dikrtitik untuk pembangunan & kemajuan bole sepak Malaysia. Rakyat Malaysia umumnya dan peminat bola sepak negara pelru tunggu berapa lama lagi? 10 tahun? 20 tahun? Atau……..


Dalam isu kali ini, bagi Berita Semasa ada hak untuk bersuara, beliau adalah Menteri Belia & Sukan.
Sebelum ini isu Persatuan Sepak Takraw Malaysia turut ditegur oleh Khairy Jamaluddin dek kerana kekalahan demi kekalahan dengan pasukan yang baru menyertai sukan takraw sehinggakan diberikan amaran berbunyi seperti di bawah ini :
"satu sen pun mereka tak dapat peruntukan dari KBS"
Keras bukan? Lagi dahsyat bukan? Tetapi…..

Tetapi ada yang melenting dan membela persatuan tersebut di media sosial di atas kononnya kebiadapan Khairy Jamaluddin kepada PSM? Ada?

Dan….. apabila meletupnya isu FAM sekali lagi, Khairy Jamaluddin terus dicop biadap? Erm…..

Twitter Siti Nurhaliza Tegur Khairy Jamaluddin

Siti Nurhaliza Khairy

Keliru, Berita Semasa agak keliru, apakah yang cuba artis Malaysia seperti Siti Nurhaliza mahu sampaikan? Soal biadap, hormat menghormati orang lebih tua atau kepentingan masa depan sukan negara?

Berita Semasa merasakan Khairy Jamaluddin telah melakukan tugasnya dengan sebaik mungkin. Negara perlukan lebih ramai pemimpin muda dan agresif sepertinya.

Ramai yang tak sedar bahawa sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri adalah merupakan pendirian/direction kerajaan Malaysia. Contohnya….Contohnya jikalau ada menteri keluar kenyataan seperti :
"peniaga jangan naikkan harga barang"
Maka pendirian kerajaan adalah melarang peniaga mmenaikkan harga barang dan kerajaan akan mencari jalan bagaimana harga barang dikawal. Dalam konteks isu sekarang ini "perang sihat & membina antara FAM & Khairy Jamaluddin" memberi perhatian mengenai bola.

Atas kapasiti beliau sebagai menteri sukan tentulah beliau ingin melihat kejayaan. Sebarang kejayaan dalam bidang sukan akan mengharumkan nama negara. Dalam hal ini menteri atau kerajaan akan bertindak salah satunya adalah melalui aduan rakyat. Setuju?

 

Kritikan Rakyat Malaysia VS Persatuan Bola Sepak Malaysia?

Dalam kes bola, peminat-peminat bola adalah golongan muda dan banyak menyalurkan ketidak puasan hati mengutuk FAM melalui Facebook,forum-forum internet bahkan dalam ruangan komen dalam ruangan sukan portal berita di Malaysia juga berbakul-bakul orang kutuk FAM Tetapi apabila rakyat biasa yang bagi pandangan tiada siapa yang peduli. Nah, hari Khairy Jamaluddin tampil mewakili suara rakyat Malaysia.

Bagi Berita Semasa merasakan teguran atau rasa terpanggil Datuk Siti Nurhaliza ibarat ibarat pasir dalam kasut sahaja. Yang penting Khairy Jamaluddin jangan patah semangat untuk terus menegur dan menekan pihak tertinggi FAM untuk membuat rombakan besar-besaran yang bakal membawa kebaikan daripada segi pembangunan bola sepak negara, begitu juga sukan-sukan yg lain…

TMJ Sokong Kritikan Membina Khairy Jamaluddin!

Khairy FAMJikalau menteri sebagai badan tertinggi dalam sukan tanahair tidak boleh boleh berkata apa-apa, nampaknya sukan bola sepak Malaysia bakal berterusan dirundung masalah.

Kritikan membina tidak mengapa. Lagipun sudah lama FAM patut dikritik.. Sudah tebal lemak tepunya. Biar pihak FAM buka mata terutamanya pengurusan tertinggi FAM.

Dahulu siapa kritik, akan dikenakan tindakan tatatertib. Nah, sekarang buku jumpa ruas. Ditambah dengan kenyataan terbaru Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberikan sokongan padu kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam kritikannya terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

P/S : Apa pendapat anda mengenai prestasi FAM menguruskan pembangunan & kemajuan bola sepak negara setakat ini?

Wanita Kristian Ini Menutup Aurat & Merasai Ketenangan Yang Tak Pernah Dirasa Sebelumnya

Posted: 13 Nov 2013 02:37 AM PST


Wanita Kelantan menutup aurat, tergerak hati saya'

KELAB GREENBOC




KOTA BHARU: "Saya menghantar anak saya ke Pasti kerana saya merasakan bahawa pendidikan agama yang menjamin masa depan anak saya," kata Maria Solastri, seorang warga negara Indonesia beragama Kristian yang menghantar anak lelakinya di sebuah Pasti dalam kawasan Kota Bharu.

Beliau dijemput berucap berkongsi pengalaman dalam Majlis Ihtifal Pasti Al-Bhaidha' Kampung Puteh, dekat sini yang dirasmikan oleh Adun Bunut Payong, Dr Ramli Mamat.

Suami Maria berbangsa Tionghua berasal dari Johor dan sekarang menetap di Kelantan.

Menurut beliau lagi, kehidupannya sebelum ini seperti penganut Kristian lain yang hidup dalam keadaan sosial dan berpakaian tidak menutup aurat.

"Tetapi apabila saya datang ke Kelantan dan melihat wanita Kelantan menutup kepala dan aurat sempurna, tergerak hati saya untuk melakukannya.

"Apabila saya berpakaian seperti ini saya dapat merasa suatu ketenangan yang belum pernah saya rasa,"
ujarnya yang memukau perhatian yang hadir.

Sebelum itu Dr Ramli dalam ucapannya berkata bahawa kurikulum yang digubal dan digunakan oleh Pasti mendapat pengiktirafan antara kurikulum pendidikan pra sekolah yang terbaik dalam negara.

Majlis Ihtifal Pasti Al-Bhaidha' yang berusia setahun itu turut diserikan dengan pertandingan mewarna hampir 50 orang kanak-kanak, pelbagai persembahan, pertandingan fesyen dan cabutan bertuah. -HD?

ULASAN GB

Mungkin pengalaman wanita Krisitian ini dapat meneggerakkan hati, bukan saja kaum hawa bukan Islam yang lain, tetapi untuk kaum hawa yang beragama Islam (yang belum menutup aurat sepenuhnya) juga, untuk mcuba menggunakan pakaian yang menutupi aurat... dan rasakan ketenangan sepertimana dialami olehnya.

Selangor peruntuk RM37.9 juta atasi banjir di Klang

Posted: 13 Nov 2013 02:30 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER






















Sebanyak RM37.9 juta diperuntukkan bagi melaksana lima projek utama tebatan banjir di daerah Klang, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar).

Beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor akan memantau pelaksanaan projek itu yang bertujuan mengatasi masalah banjir yang sering dihadapi penduduk di beberapa tempat sekitar Klang.

Peruntukan sebanyak RM25.5 juta disediakan oleh kerajaan persekutuan manakala RM12.4 juta disediakan kerajaan Selangor untuk projek tebatan banjir itu.

"Sebahagian projek dijangka siap pada pertengahan 2014 dan beberapa projek lagi akan siap pada April 2015," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Mengenai dakwaan kerajaan Selangor akan mengurangkan peruntukan pembangunan sebanyak RM100 juta dalam Bajet 2014 yang dijadual dibentangkan pada Selasa, Abdul Khalid berkata belanjawan negeri adalah rahsia. - Bernama,

Anggota BN Tempelak Ahmad Maslan Kerana Salahguna Kuasa

Posted: 13 Nov 2013 02:26 AM PST


MCA: Ahmad Maslan, bukan tugas GLC sokong Utusan

KELAB GREENBOC

 
MCA mempersoalkan arahan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan supaya syarikat berkaitan kerajaan lebih banyak beriklan di akhbar milik Umno Utusan Malaysia.

Menggelarkan langkah itu sebagai salah guna kuasa, Naib Presiden MCA Gan Peng Sieu berkata, bukan tugas kerajaan untuk memberikan subsidi atau menyebelahi mana-mana organisasi media swasta seperti Utusan.

Katanya, jika harian berbahasa Melayu, Cina dan Inggeris lain boleh bersaing menarik lebih pembaca dan sekali gus iklan, beliau tidak nampak kerana Utusan harus menikmati keistimewaan daripada dana kerajaan.

"Ini juga penghinaan kepada kecekapan dan profesionalisme mereka," kata Gan dalam kenyataan.

Ahmad kelmarin dilapor berkata, beliau sudah menulis surat kepada pemimpin tertinggi GLC berkenaan supaya membelanjakan bajet iklan mereka kepada akhbar berbahasa Melayu khususnya yang dimiliki Umno iaitu di Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Menurut Ahmad, perbelanjaan 3.7 peratus daripada 35 GLC utama untuk bajet pengiklanan di Malaysia terlalu amat sedikit jika dibandingkan dengan "perjuangan Utusan, Berita Harian ini untuk negara". -mk

Umno dikecam guna GLC bantu Utusan Malaysia

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mengecam tindakan Umno menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya mengiklankan produk mereka dengan akhbar Utusan Malaysia kerana GLC bukan milik mutlak kerajaan.

Pemimpin PKR itu berkata, GLC adalah milik rakyat Malaysia dan bukan hanya berperanan menjaga kumpulan tertentu, malah Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan menyalahgunakan tanggungjawab yang diberikan kepadanya.

"Beliau perlu ingat sebagai timbalan menteri yang diberikan tanggungjawab dan kepercayaan oleh rakyat untuk berkhidmat kepada mereka, beliau perlu meletak kepentingan rakyat terlebih dahulu," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Sim berkata, GLC diberikan mandat untuk menjaga kepentingan negara bukan hanya kepentingan Umno atau menjaga Utusan Malaysia sahaja.

"GLC diberikan mandat untuk menjaga kepentingan negara bukan hanya Umno sahaja.

"Pemimpin politik sentiasa datang dan pergi, tapi GLC akan kekal untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata, Utusan Malaysia menjadi akhbar yang hilang kredibiliti dan integriti sejak ia diambil alih oleh Umno.

"Akhbar itu hilang integriti dan kredibiliti sejak ia diambil alih Umno pada 1969, walaupun terdapat kerisauan dan bantahan daripada pekerja sendiri ketika itu," katanya.

Beliau turut menyarankan Utusan Malaysia supaya mengikut contoh akhbar berbahasa Melayu seperti Sinar Harian yang beritanya tidak berat sebelah dan mempunyai jumlah pembaca yang tinggi.

"Satu lagi akhbar harian berbahasa Melayu, Sinar Harian pula kekal dengan laporan tidak berat sebelahnya dan mendapat jumlah pembaca tinggi serta peningkatan dalam jumlah iklan.

"Kebebasan dalam laporannya mendapat kepercayaan pembaca merentas bangsa," katanya.

Akhbar Utusan Malaysia milik Umno itu sering berdepan kes saman daripada pemimpin Pakatan Rakyat. Antaranya adalah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin daripada PAS.

Uusan Malaysia ialah akhbar berbahasa Melayu terbitan Utusan Melayu (M) Berhad.

Menurut laporan Audit Bureau of Circulations pada 2004 jualan harian akhbar Utusan Malaysia adalah sebanyak 256,247 naskhah tetapi pada 2009 jualan harian akhbar itu menjunam ke 169,548 naskhah sehari.
-TMI

Joemar Pula Sedang Dicari Polis, Pegang Duit Rompakan RM400K

Posted: 13 Nov 2013 02:21 AM PST

Polis buru rakan tembak pegawai Ambank

KELAB GREENBOC



KUALA LUMPUR - Susulan penangkapan suspek utama dalam kes rompakan dan bunuh di Ambank cawangan Subang Jaya, polis kini memburu rakan jenayahnya dikenali sebagai 'Joemar' yang disyaki menyimpan sebahagian besar hasil rompakan itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ,Joemar yang dipercayai warga Indonesia juga bersubahat merancang rompakan dengan suspek utama.

"Joemar bukan pengawal keselamatan dan dia diburu bagi mengesan semula wang rompakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah dari Perspektif Islam, di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.

Khalid juga berkata, polis sudah mengenali identiti sebenar suspek utama itu dan mengesahkan lelaki berusia 35 tahun tersebut berasal dari Sulawesi, Indonesia.

Suspek sebelum ini menggunakan nama dan kad pengenalan palsu untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan sebuah syarikat kawalan keselamatan di ibu negara.

Lelaki itu diberkas oleh polis kira-kira pukul 7 pagi semalam di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor selepas diburu sejak 23 Okt lalu.

Mengulas tangkapan lelaki itu, Khalid berkata polis tidak menemui wang rompakan pada suspek.

"Ini bermakna, kita hanya menemui hasil rompakan berjumlah RM20,000 yang ditemui bersama tiga ahli keluarga suspek sebelum ini. Kita juga sedang mengesan senjata api yang digunakan suspek dalam kejadian itu," katanya.

Hasil siasatan awal, suspek mengaku menggunakan kad pengenalan palsu yang dibeli daripada seorang lelaki Indonesia di Malaysia, katanya.

"Kita juga sedang menjalankan siasatan berhubung penjualan kad pengenalan palsu ini termasuk harga yang ditawarkan walaupun kad pengenalan palsu ini tidak boleh diakses oleh peranti biometrik," katanya.

Sehingga semalam, polis menahan 12 orang termasuk suspek utama berhubung kes itu.

Dalam kejadian rompakan itu, Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak oleh suspek ketika mangsa membuka peti besi di dalam bilik kebal bank tersebut.

Mangsa yang berkerja 16 tahun dengan bank itu, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala setelah ditembak dengan 'pump gun' oleh suspek yang kemudiannya melarikan diri dengan hasil rompakan berjumlah RM450,000.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata Bangsar antara kawasan yang dikenal pasti akan dipasang dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan peruntukan telah disediakan dalam Bajet 2014.

"Ini memandangkan Bangsar ketika ini merupakan kawasan tumpuan dan penjenayah memang mengambil kesempatan di kawasan seperti ini dan kita turut meningkatkan kehadiran polis di kawasan ini," katanya. - Bernama 


LIHAT VIDEO DI SINI



Kelantan sudah bersedia laksana hudud

Posted: 13 Nov 2013 02:15 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER

Mahkamah Syariah Kelantan sudah bersedia untuk melaksanakan hudud yang sekian lama tertangguh. 



Mahkamah Syariah Kelantan sudah bersedia untuk melaksanakan hudud yang sekian lama tertangguh.Mahkamah Syariah Kelantan kini sudah mampu untuk menguruskan pelaksanaan undang-undang hudud jika kerajaan Kelantan pimpinan PAS mampu menguatkuasakan undang-undang berkenaan di negeri ini.

Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud Muhammad berkata ini kerana segala prasarana berkaitan pelaksanaan hukum Islam itu sudah lengkap termasuk mempunyai hakim untuk melaksanakannya.

"InsyaAllah Kelantan sudah boleh laksanakan hudud. Undang-undang sudah ada dan kalau perlu tambah hakim, kita tambah," katanya selepas Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Kelantan di Bandar Baharu Tunjung di sini, hari ini.

Perasmian kompleks berharga RM25.8 juta itu disempurnakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang turut dihadiri Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Pada 1993, Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 untuk membolehkan kerajaan Kelantan melaksanakan hukum Islam itu.

Bagaimanapun sehingga kini pelaksanaannya tidak dapat dilaksanakan termasuk disebabkan ia mendapat tentangan daripada rakan sekutu mereka iaitu DAP.

Sementara itu, Daud berkata tidak ada kes tertunggak melibatkan pelbagai kes umat Islam di Mahkamah Syariah di negeri ini dan itu dianggap satu kejayaan.

"Kami berjaya menyelesaikannya sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun daripada kes itu berjalan. Ini kerana kami mempunyai kelengkapan termasuk hakim yang mencukupi," katanya. - Bernama

Ahli Parlimen Pakatan tolak cadangan pegawai agama dibekal senjata api

Posted: 13 Nov 2013 02:08 AM PST

Oleh EILEEN NG


Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) menolak cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk melengkapkan pegawai penguatkuasa dengan senjata api, menegaskan ia bukan langkah terbaik untuk menangani jenayah dan menjaga keselamatan.

Ahli Parlimen pembangkang menegaskan kadar jenayah yang semakin meningkat berpunca daripada ketidakberkesanan serta kegagalan polisi dan langkah membekalkan senjata api akan memburukkan lagi keadaan.

"Penelitian mendalam perlu dilakukan untuk membekalkan senjata api kepada agensi kerajaan. Bila ia akan berakhir? Pegawai daripada Jabatan Kastam telah ditembak sebulan lalu, adakah ini bermakna semua orang perlu dibekalkan dengan senjata api?" soal ahli Parlimen Pandan merangkap Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli (gambar) sambil mengaitkan insiden April lalu di mana Timbalan Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim yang ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya.

"Selepas ini kita mungkin ada kes pegawai LHDN pula ditembak kerana mengutip cukai. Adakah senjata api juga akan dibekalkan?" kata beliau merujuk kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri .

Rafizi menegaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN), menerusi polis adalah agensi yang perlu dipertanggungjawabkan untuk memastikan keselamatan awam terjamin.

"Langkah tersebut akan menyebabkan kekeliruan. Mungkin selepas ini terdapat pula pertikaian mengenai perundangan pula," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab bagi portfolio hal ehwal agama Islam, Datuk Seri Jamil Khir Baharom baru-baru mencadangkan pegawai penguatkuasa agama dilengkapkan dengan senjata api susulan kes pembunuhan di Kuantan, Ahad lalu.

Bagi Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad daripada PAS, cadangan melengkapkan pegawai agama dengan senjata api memerlukan latihan yang mencukupi.

"Masalah akan timbul apabila terlalu ramai diberikan akses kepada senjata api. Saya meragui sama ada pegawai tersebut memiliki pengalaman dan kematangan untuk mengendalikannya.

"Ia lebih baik jika bekerja dengan polis memandangkan agensi tersebut terlatih dalam penggunaan senjata," katanya.

Beliau berkata terdapat banyak aduan terhadap tingkah laku pegawai agama yang bertindak keterlaluan dan membekalkan mereka dengan senjata mungkin memburukkan lagi masalah.

Manakala Ahli Parlimen Seremban daripada DAP, Anthony Loke (gambar) pula menggesa tiada keperluan untuk bertindak keterlaluan hanya kerana berlaku satu insiden.

"Bagaimana anda tentukan pegawai atau agensi mana yang berdepan risiko? Jika ingin bekalkan semua dengan senjata api, anda mungkin juga perlu bekalkan seluruh jentera kerajaan," katanya.

Beliau sebaliknya berkata piawaian prosedur operasi semasa aktiviti penguatkuasaan yang melibatkan kehadiran polis perlu diteruskan.

Beliau berkata pendekatan yang holistik diperlukan bagi menangani jenayah bukan hanya melengkapkan pegawai penguatkuasa dengan senjata.

Bernas diswasta, Syed Mokhtar tamak haloba – Anwar

Posted: 12 Nov 2013 10:38 PM PST

KEADILAN DAILY

Pengenalan

Akhir-akhir ini, syarikat yang dahulunya menjadi tarikan pelabur tapi kemudian dibuang-senarai (de-listed) dari pasaran saham lalu diswastakan bagai satu trend. Satu contoh: Blackberry, di mana ia dibuang-senaraikan lalu diswastakan selepas kerugian hampir USD 70 bilion dari nilai asal USD 80 bilion lima tahun lalu.

syed_mokhtar

Senario perniagaan yang semakin mencabar menyukarkan syarikat-syarikat yang tersenarai untuk memberi pulangan yang besar kepada para pelabur; penswastaan memberi peluang kepada pihak pengurusan sesebuah syarikat untuk fokus mengembangkan perniagaan jangka masa panjang.

Di Malaysia, penswastaan sesebuah syarikat sebegini seringkali mempunyai niat yang berbeza: tamak haloba.

Padiberas Nasional Berhad (Bernas) tidak menghadapi masalah serupa Blackberry. Harga saham Bernas sedang meningkat malah nilainya kini hampir tiga kali ganda nilai lima tahun dahulu. Ia satu contoh syarikat yang stabil dengan keuntungan bersih tahunan konsisten sekitar RM 135 juta setiap tahun sejak 2006, dengan hasil yang meningkat tahun demi tahun dari RM 2.1 bilion (2006) ke RM 3.6 bilion (2012).

Bernas memang sasaran pengambilalihan mana-mana individu yang sangat kaya. Apabila diambil kira keuntungan yang sihat, monopoli Bernas ke atas lesen AP import beras dan realiti bahawa beras adalah makanan ruji rakyat Malaysia, individu-individu yang sangat kaya pastinya mengidamkan syarikat sebegini.

Niat asal

Kita patut ingat niat asal penswastaan Bernas bukan sahaja untuk memastikan keperluan beras negara dipenuhi (melalui pengurusan Simpanan Stok Negara dan Skim Harga Subsidi Padi) tapi juga untuk memastikan petani dan pengedar bumiputera serta pekerja Bernas mendapat manfaat dari milikan ekuiti daripada penswastaan tersebut.

Hal ini dibangkitkan Menteri Kewangan pada bulan Disember 1995 dalam jawapan kepada YB Tn Lim Guan Eng di Parlimen, diikuti pembentukan konsortium Budaya Generasi Sdn Bhd pada Januari 1996. Konsortium tersebut membolehkan lebih dari separuh ekuiti Bernas dimiliki persatuan-persatuan petani (KADA, MADA, NAFAS), nelayan (NEKMAT) dan pekerja Bernas.

Pusingan 1

Bernas

Hingga hujung 2009, milikan-milikan ini mulai dibeli seorang individu bernama Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary (gambar atas) melalui syarikat-syarikat milik beliau (Gandingan Bersepadu Sdn Bhd dan Tradewinds) mengakibatkan beliau memiliki 53.7% Bernas melalui pengambilalihan oleh Maybank Investment Bank Berhad bernilai RM 526 juta. Purata keuntungan bersih Bernas dianggarkan pada RM164 juta setahun dan hasil meningkat dari RM 3.3 bilion (2009) ke RM 3.6 bilion (2012).

Pusingan 2

Apabila kerajaan memanjangkan mandat Bernas untuk merangkumi pengurusan bekalan beras negara dan monopoli pengimportan beras dari 11 Jan 2011 ke 10 Jan 2021, Tan Sri Syed Mokhtar bertambah tamak.

Tawaran pembelian Bernas pada RM 3.70/saham dibuat pada penghujung Feb 2013 melalui syarikat-syarikat lain milik beliau, iaitu other companies namely, Perspective Lane (M) Sdn Bhd, Kelana Ventures Sdn Bhd, Seaport Terminal (Johore) Sdn Bhd dan Acara Kreatif Sdn Bhd. Pengambilalihan ini, yang juga dinasihatkan Maybank Investment Bank Berhad dikatakan bernilai RM 477 juta.

Pada 6 Nov 2013, lembaga pengarah Bernas dinasihat menyahsenaraikan Bernas dari Bursa Malaysia kerana jumlah saham yang dimiliki awam telah jatuh ke 16.31% (iaitu dibawah nilai yang diperlukan untuk penyenaraian iaitu 25%) akibat pengambilalihan sistematik Tan Sri Syed Mokhtar.

Pada Feb 2013, Maybank Research membuat ramalan hasil dan keuntungan Bernas bagi 2013 hingga 2015:


Ini bermakna hasil dianggarkan meningkat hingga RM 3.9 bilion pada 2015 dari RM 3.6 bilion pada 2012. Keuntungan meningkat 40% ke RM 165 juta pada jangkamasa pendek untuk mengurangkan harga beras antarabangsa akibat pengeluaran berlebihan di Thailand, Vietnam, India dan Pakistan.

Hal ini akan menguntungkan sesiapa yang memiliki Bernas di masa hadapan.

Soalan yang diutarakan

Bagaimana seorang individu dibenarkan memiliki monopoli ke atas beras sebegini, yang mungkin mendatangkan kemudaratan terhadap kestabilan harga di masa hadapan, yang merupakan niat asal penswastaan Bernas?

Kenapa kerajaan telah tersasar dari niat asal penubuhan Bernas, iaitu untuk melindungi kepentingan petani dan pengedar bumiputera serta pekerja Bernas? Adakah milikan ekuiti mereka ini tidak penting di mata kerajaan, berbanding kepentingan individu-individu maha kaya dan mempunyai "kabel" politik sebegini?

Bagaimanakah pengambilalihan saham Bernas bernilai RM 477 juta, dan jumlan pengambilalihan melalui Tradewinds Plantation dan Bernas bernilai RM1.173 bilion oleh syarikat milik Tan Sri Syed Mokhtar (Perspective lane, Kelana Ventures, Seaport Terminal dan Acara Kreatif) dipermudah Maybank IB? Bagaimana seseorang individu boleh berterusan berjaya mendapatkan pinjaman dari bank yang sama?

Kami kecam pengambilalihan baru-baru ini yang bersifat oportunis oleh Tan Sri Syed Mokhtar sebagai satu langkah mengambilalih sepenuhnya Bernas pada ketika monopoli Bernas ke atas pengimportan beras dilanjutkan hingga 2021, disebabkan tindakan ini akan menguntungkan satu individu tertentu, iaitu Tan Sri Syed Mokhtar sendiri.


Datuk Seri Anwar Ibrahim
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Ketua Umum KEADILAN

Sebutan kes ‘Blackout 505′ Nik Nazmi ditetap 10 Disember

Posted: 12 Nov 2013 10:33 PM PST

KEADILAN DAILY


 PETALING JAYA : Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menetapkan sebutan semula kes 'Blackout 505′ Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad pada 10 Disember depan.

Nik Nazmi

 Perkara itu diputuskan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz hari ini.

Peguam Eric Paulsen berkata, pihaknya memfailkan satu notis rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 8 November lalu dan kini sedang menunggu keputusan berhubung perkara itu.

"Pihak kami juga akan memfailkan satu permohonan untuk penggantungan perlaksanaan agar prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan bagi proses di Mahkamah Rayuan," katanya dipetik ABN News.

Pada 17 Mei lepas, Nik Nazmi, 31, didakwa gagal memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dalam tempoh 10 hari sebelum penganjuran program 'Blackout 505′ di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Stadium MBPJ, Kelana Jaya di sini, kira-kira 8.30 malam, 8 Mei lepas.

Nik Nazmi mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 jika sabit kesalahan.

Nurul Izzah bongkar ada 30 polis cawangan khas di London

Posted: 12 Nov 2013 10:31 PM PST

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR - Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mempersoalkan tindakan Kerajaan BN menempatkan 30 anggota polis cawangan khas di London, England.
IzzahPC
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, kos menempatkan kontinjen tersebut di London dibiayai oleh dana awam sedangkan setahu beliau, tiada ancaman keselamatan dalaman pada Malaysia yang berasal dari negara Eropah itu.

"Bukankah lebih baik sekiranya anggota-anggota cawangan khas tersebut digunakan untuk membuat rondaan di kawasan perumahan di Malaysia," kata Nurul Izzah, dipetik The Malaysian Insider.

Beliau berkata demikian pada forum mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Bangsar, Kuala Lumpur malam tadi.

Katanya, beliau mendapat tahu tentang saiz kontinjen di London itu selepas meneliti laporan Rancangan Malaysia ke-10, laporan bajet tahunan dan jawapan soalan kepada Kementerian Dalam Negeri di dalam Dewan Rakyat.

Nurul Izzah berkata, kontijen London itu merupakan satu lagi contoh pentadbiran Barisan Nasional gagal menggunakan sumber manusia pasukan keselamatan secara efektif bagi menangani jenayah.

Ini kerana, katanya, tugas utama polis yang ditempatkan dalam cawangan khas adalah untuk melakukan intipan terhadap ahli politik Pakatan Rakyat.

"Pada 1954, untuk memerangi Komunis, kita ada 459 polis cawangan khas. Sekarang kita ada 8,200 anggota cawangan khas. Maksudnya kita ada lebih ramai polis cawangan khas sekarang berbanding zaman darurat.

"Jumlah anggota cawagan khas juga bertambah semasa Najib jadi Perdana Menteri. Pada 2008 kita mempunyai 5,000 anggota cawangan khas. Jumlah itu bertambah sebanyak 3,000 semasa pentadbiran Najib," kata Nurul Izzah.

Beliau berkata, kes jenayah yang bertambah dapat diselesaikan sekiranya anggota cawangan khas ditukarkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (CID).

Katanya, tahun lalu, cawangan khas menghasilkan 830,000 laporan intipan dan kebanyakannya tentang ahli politik Pakatan, berbanding dengan CID yang menyelesaikan 60,000 kes jenayah.

"Mengapa mereka tidak boleh diletakkan ke dalam CID supaya kita boleh meningkatkan kadar siasatan jenayah," kata Nurul Izzah.

R tak terlibat isu hina Sultan

Posted: 12 Nov 2013 10:16 PM PST

Nazri Deraman


KOTA BHARU - Badan Bukan Kerajaan Royalti (R) ingin menegaskan bahawa pihak R tidak terlibat sama sekali dengan isu yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab berkenaan satu kenyataan di dalam akaun Facebook bernama Listen Basikal Tua pada 11 November lalu.

Pihak pemilik laman Facebook tersebut telah pun membuat laporan polis pada awal pagi semalam, berikutan tersebarnya di dalam Internet berkenaan tulisan yang dikaitkan dengan beliau.

Presidennya, Nazri Deraman berkata, beliau menafikan bahawa kenyataan yang jelas menghina institusi Istana tersebut adalah daripada beliau dan menegaskan bahawa akaun Facebook beliau telah diceroboh.

Beliau menambah lagi bahawa beliau telah lama tidak membuka akaun facebook berikutan telefon bimbitnya hilang semasa menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia di Shah Alam yang lalu.

"Tujuan beliau membuat laporan polis tersebut adalah bagi membersihkan namanya, NGO R dan beberapa tokoh yang gambar mereka dimasukkan di dalam Facebook tersebut.

"Sehubungan dengan itu, saya mengecam segala tindakan yang berniat jahat yang cuba merosakkan nama baik Royalti (R)) dengan pihak Istana dan beberapa orang pimpinan yang dipaparkan di dalam akaun facebook tersebut," katanya.

Dua Premis Perniagaan Pengikut Tuhan Harun Ditutup

Posted: 12 Nov 2013 10:10 PM PST



Dicari...Fotofit salah seorang suspek yang terlibat dalam kes tembakan Ketua Penguatkuasa Jaip, Ahmad Rafli Abdul Malek turut diletakkan di pasar awam di Kuantan. Foto BERNAMA.
 
 
KUANTAN: Satu daripada tiga premis yang digunakan sebagai tempat berkumpul pengikut ajaran sesat Tuhan Harun kini disewakan.

Papan tanda tersebut diletakkan di luar premis ketika tinjauan The Star di premis yang terletak di Lorong Pandan Damai.

Ketika pihak kami bertanya kepada pemilik farmasi dan bengkel motosikal bersebelahan mereka enggan bercerita mengenai kumpulan berkenaan.

Jabatan Agama Islam Pahang, telah menutup premis berkenaan selepas menyerbunya awal April lalu.

Jabatan berkenaan turut menyerbu dua lagi premis yang digunakan untuk aktiviti kumpulan berkenaan di Bandar Indera Mahkota dan Jalan Bukit Ubi.

Serbuan itu diketuai oleh Ketua Penguatkuasaan Jaip, Ahmad Rafli Abdul Malek, yang ditembak mati dihadapan rumahnya di Indera Mahkota 2 oleh lelaki bersenjata yang tidak dikenali pada Ahad.
Polis mengesyaki suspek merupakan pengikut kumpulan Tuhan Harun.

Sumber turut menyatkaan pihak polis mendapat maklumat bahawa kereta berwarna putih yang digunakan oleh tiga suspek dalam kes pembunuhan berkenaan dilihat di Taman Indera Sempurna, namun ia belum dapat disahkan.

Dalam serbuan April lalu, pelbagai dokumen dirampas termasuk komputer riba, iPad dan 'thumb drive' dan cakera padat mengandungi perisian komputer dan maklumat mengenai kaedah pengajaran yang bertentangan dengan Islam.

Pada 24 April lalu, ketua kumpulan ajaran sesat Tuhan Harun, Harun Mat Saad, 47 , didakwa di Mahkamah Rendah Syariah di sini atas 11 tuduhan termasuk menyebarkan ajaran yang bertentangan dan mempersendakan Islam.

Sebahagian daripada pengikutnya didakwa bersubahat dan memiliki bahan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Harun seorang bekas komposer lagu berasal dari Kampung Jelutung Kok Lanas, Ketereh, Kela­ntan, juga dikehendaki oleh Bank Negara kerana didakwa terlibat dengan beberapa kes penipuan melibatkan wang berjumlah RM200 juta sejak 2011.

Beliau kini berada dalam tahanan pihak polis selepas gagal membayar ikat jamin atas beberapa tuduhan menipu dan menyebarkan ajaran sesat.

Sementara itu, Pengarah Jaip, Datuk Mohamad Roslan Harun enggan mengulas mengenai insiden tembakan berkenaan.

Bagaiamanapun, beliau berkata jabatan berkenaan mungkin akan menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat mengenai kes tersebut.

Sementara itu, pihak polis telah mengedarkan fotofit wajah seorang daripada tiga suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan berkenaan.

Ketua Polis Pahanag, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata fotofit berkenaan menyerupai hampir 70 peratus wajah salah seorang daripada suspek, itu berusia dalam lingkungan 50 an.

"Fotofit suspek ini akan diedarkan kepada orang ramai di pasar awam, terminal bas dan teksi," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Sharifuddin berkata Ahmad Rafli tidak pernah menerima sebarang ugutan bunuh daripada mana-mana pihak sebelum kejadian pembunuhan itu berlaku.

Mereka yang mempunyai maklumat digesa menghubungi talian 09-513 2222 atau obi pejabat kontigen polis di talian 09-505 2222.

Ketua Pembangkang Boleh Guna Bilik VIP di KLIA

Posted: 12 Nov 2013 10:08 PM PST




SEREMBAN: Ketua Pembangkang kini berhak menggunakan bilik menunggu orang kenamaan (VIP) Cempaka - yang berada di rangking ketiga daripada lapan bilik eksklusif yang terdapat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dari segi rangking, bilik paling eksklusif ialah bagi golongan VVIP dan pembesar seperti raja,
permaisuri, perdana menteri, timbalannya, dan yang dipertua negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Pemimpin luar negara juga berhak menggunakan bilik menunggu yang terletak di Kompleks Bunga Raya KLIA.

Bilik di rangking kedua ialah Anggerik, sementara keempat ialah Melor, diikuti dengan Melati, Seroja, Tanjung dan Kemuning.

VIP lain yang turut dibenar menggunakan bilik Cempaka ialah Peguam Negara, Panglima Angkatan Tentera, Speaker Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Timbalannya, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Persekutuan serta Hakim Mahkamah Rayuan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata arahan berkenaan digunakan oleh pihak berkuasa berikutan penempatan semula operasi lapangan terbang dari Subang ke Sepang.
Penempatan semula berkenaan bermula sejak 1998.

"Kita mengambil keputusan untuk mengkaji semula perkara ini berikutan penempatan semula operasi daripada Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz ke KLIA kerana di sana terdapat lebih banyak kemudahan," katanya.

Bilik Anggerik adalah dikhaskan kepada Ketua Hakim Negara, Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara, bekas perdana menteri dan timbalan perdana menteri serta balu mereka.

Ali berkata pengerusi pelbagai suruhanjaya yang ditubuhkan oleh Perlembagaan Persekutuan, Hakim Mahkamah Tinggim Pengerusi Perkhidmatan Tribunal Awam, Pesuruhjaya Kehakiman, Ketua Audit Negara, Gabenor Bank Negara dan Datuk Bandar Kuala Lumpur layak menggunakan bilik Melor.

Sementara pegawai kerajaan gred B, pengerusi serta ketua badan berkanun kerajaan persekutuan dan tetamu kerajaan pula boleh menggunakan bilik Seroja.

Bilik Tanjung dan Kemuning pula dikhaskan kepada pengurusan tertinggi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan beberapa syarikat swasta - pada kadar yang rendah.

PPSMI Tidak Relevan Dikembalik​an Dalam Sistem Pendidikan Negara

Posted: 12 Nov 2013 10:04 PM PST



 
Dr Awang Sariyan


KUALA LUMPUR: Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilihat sebagai tidak relevan untuk kembali dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Awang Sarian berkata, pelaksanaan PPSMI menunjukkan berlaku kemerosotan peratusan pelajar lulus bagi kedua-dua matapelajaran tersebut.

"PPSMI dilihat tiada hala tuju dan kajian yang dilakukan Kementerian Pendidikan mendapati ia memang tidak praktikal dalam konteks demokrasi dalam sistem pendidikan.

"Kita mungkin boleh melahirkan ribuan orang yang hebat dalam Bahasa Inggeris (BI) tetapi jangan kita lupakan 24 juta penduduk di negara ini yang mahir dalam penguasaan bahasa kebangsaan," katanya pada sidang media di sini Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa yang merayu agar PPSMI dikembalikan dalam sistem pendidikan negara.

Menurutnya, kajian Unesco menunjukkan pelajar lebih mudah memahami sesuatu ilmu dengan berkesan dalam bahasa ibunda (Bahasa Melayu) kerana ilmu dan bahasa berkait rapat.

"Kita perlu lihat Perancis, Jepun, Korea dan China. Ini berdasarkan pengalaman saya selama empat tahun di Beijing. Mereka tetap menggunakan bahasa kebangsaan, jadi itu tidak pernah melemahkan matapelajaran Sains dan Matematik mereka, " katanya.

Beliau berkata, BI sebaliknya perlu dikuasai sebagai alat untuk nilai tambah bagi memperkaya ilmu tetapi martabat BM itu tiada galang gantinya.

"Ini berlaku di seluruh dunia. Kalau kita sanggup mengorbankan 3 juta lebih pelajar di negara ini, bererti kita sanggup menidakkan hak pelajar terutamanya di kawasan luar bandar untuk mempelajari Sains dan Matematik dengan lebih berkesan.

"Apa yang penting bagi saya adalah keputusan dibuat kerajaan berdasarkan kajian yang saintifik dan menyeluruh. Oleh itu, kerajaan meminda PPSMI dan memperkenalkan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI)," katanya.

Tiada usul bubar Majlis Syura Ulama

Posted: 12 Nov 2013 10:02 PM PST

Calon Naib Presiden Pas, Datuk Abu Bakar Chik  
Datuk Abu Bakar Chik


KUALA TERENGGANU - Calon Naib Presiden Pas, Datuk Abu Bakar Chik menganggap tiada sebarang usaha daripada mana-mana pihak dalam parti itu yang mahu membubarkan Majlis Syura Ulama sebagaimana digembar-gemburkan dalam laman Facebook baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat berkata, sekiranya perkara itu wujud, sudah tentu terdapat usul daripada pihak tertentu ke peringkat jawatankuasa Pas Pusat bagi memastikan Majlis Syura Ulama terbubar.

"Kalau mahu dibuat perubahan mengenai perkara sedia ada dalam perlembagaan, mesti dibuat pindaan dalam perlembagaan. Maka pindaan itu biasanya dibawa usul dahulu, sekarang tiada usul lagi.

"Jadi, saya tidak nampak ada mana-mana unsur mansuhkan Majlis Syura Ulama, mungkin ia hanya dalam Facebook sahaja," katanya kepada Sinar Harian di Markaz Tarbiyah Pas Kubang Lembek, Manir,.

Dalam laporan Jumaat lalu, sebuah laman sosial Facebook mendedahkan terdapat usaha licik dilakukan pihak tertentu untuk menghapuskan Majlis Syura Ulama.

Menurut laporan itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat didakwa tidak mematuhi keputusan ditetapkan majlis itu dan mereka seolah-olah mengambil langkah 'menutup mata'.

Bagaimanapun, Abu Bakar tidak menolak keperluan mengekalkan atau tidak Majlis Syura Ulama yang dianggotai seramai 15 ahli itu pernah dibincangkan secara akademik sebelum ini.

Bilal diberi notis berhenti 24 jam

Posted: 12 Nov 2013 09:59 PM PST

Bilal diberi notis berhenti 24 jam  
Dari kiri: Mohamad Kasim, Muhammad Yasser dan Md Nor.


JOHOR BAHRU - Selepas pemecatan seorang imam di Masjid Taman Perling, tiga bilal masjid itu pula ditamatkan perkhidmatan.

Notis penamatan jawatan bilal menerusi notis 24 jam diserahkan kakitangan jawatankuasa pentadbir masjid itu kira-kira jam 1 tengah hari, kelmarin.

Tiga bilal itu mendakwa tindakan itu tidak mengikut prosedur, malah menafikan hak bersuara.

Antara isi notis berkenaan mengatakan, pegawai tidak mempunyai surat tauliah sah daripada jabatan agama, melanggar peraturan, etika dan melanggar panduan dan peraturan Jabatan Agama Johor 1999 akan dihentikan.

Menurut Bilal I, Mohamad Kasim Shariff, 54, beliau tidak mendapat penjelasan kenapa ditamatkan perkhidmatan, sebaliknya notis diterimanya menyatakan dirinya tidak mempunyai surat tauliah.

"Saya mempunyai bukti saya ditauliahkan mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor, malah alasan saya melanggar peraturan etika juga tidak dinyatakan secara jelas," katanya kepada Sinar Harian.

Bilal II, Muhammad Yasser A Rashid, 28, yang setahun setengah berkhidmat di situ, memberitahu, dua lagi rakan sejawat akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mempertahankan hak mereka.

"Saya terima notis berkenaan, namun saya tidak tandatangan surat itu yang turut dikepilkan cek satu bulan gaji kerana saya membantah tindakan ini.

"Isu Imam Muhammad Yusuf Baharuddin pun kami belum terima penjelasan. Kami akan merujuk perkara ini kepada jabatan agama selain menyatakan bantahan dan rayuan. Jika perlu di sisi undang-undang sivil, kita akan lakukan," katanya.

Bilal III, Md Nor Bidin, 49, berkatam belua mahu keadilan dan diberi peluang  bersuara.

"Kami sepatutnya diberikan hak bersuara, iaitu menerusi surat amaran, tunjuk sebab sebelum tindakan diambil," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbir Masjid Perling, Mohd Yusof Hassan menjelaskan penamatan jawatan tiga bilal itu mengikut undang-undang.

"Kita ada segala butiran pelanggaran (peraturan) mereka dan diserahkan ke pejabat agama. Semua bukti ini dikumpulkan menerusi siasatan kami sejak enam bulan lalu.

"Kami mempunyai enam cara untuk menamatkan jawatan bagi individu yang dilantik," katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Johor, Ahmad Faizal Mohamed berkata, isu berkenaan masih lagi dalam siasatan.

"Saya perlu melihat laporan mengenai perkara ini. Kita sedang jalankan proses siasatan," katanya.

Menurutnya, pemecatan penjawat yang bertauliah dan dilantik oleh pejabat agama perlu mengikut prosedur ditetapkan, manakala sekiranya lantikan itu dibuat atas dasar kontrak oleh masjid, ia tertakluk kepada pengurusan masjid.

Jumaat lalu, kira-kira 50 jemaah Masjid Jamek Taman Perling, di sini, berkumpul bagi mengadakan bantahan secara aman mengenai pemecatan imam II masjid berkenaan, Muhammad Yusuf.

Susulan pemecatan imam berkenaan, jemaah masjid mengumpul kira-kira 200 tandatangan sebagai menentang keputusan berkenaan untuk diserahkan kepada Pejabat Kadi daerah untuk perhatian lanjut.

Tiada ulasan: