Mat Zain Ibrahim kini tertanya-tanya, mengapakah masih belum sebarang tindakan dijalankan selepas sebulan beliau membuat pengakuan berkanun mengenai kes Pulau Batu Puteh, yang kini menjadi milik Singapura, dan mengirim dokumen tersebut kepada beberapa individu, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
NONEBekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur itu bimbang sekiranya Najib tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas gesaannya agar satu suruhanjaya diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat perkara itu.

Mat Zain memberitahu Malaysiakini, beliau beranggapan bahawa Najib melindungi Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan mengabaikan tuntutan dalam pengakuan berkanunnya, yang dibuat pada 7 Oktober lalu.

Dalam dokumen tersebut, Mat Zain turut menggesa akan satu tribunal dibentuk untuk menyiasat dakwaan salahlaku Gani dan juga RCI ke atas kes Pulau Batu Puteh.

"Jika seorang menteri persekutuan kanan boleh didakwa dengan tuduhan membunuh dan disabit kesalahan, jika seorang Presiden Mahkamah Agung boleh dihadap ke satu tribunal dan dilucutkan jawatan, dan jika seorang IGP boleh didakwa atas tuduhan menyerang seorang tahanan dan didenda dan dipenjara... apa yang hebat sangat tentang Gani Patail?," soalnya.

NONEBeliau merujuk kepada kes bekas menteri belia dan sukan Datuk Mokhtar Hashim, yang disabitkan kesalahan dalam kes pembunuhan bekas Speaker Negeri Sembilan Mohd Taha Talib, bekas Presiden Mahkamah Agung Tun Salleh Abbas dan bekas ketua polis negara Tan Sri Rahim Noor dalam kes mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mat Zain turut mengemukakan SD tersebut – yang berkisar mengenai pertemuannya dengan peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad – kepada ketua setiausaha negara Tan Sri Ali Hamsa, peguamcara negara Datuk Idris Harun dan ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Setakat ini hanya Khalid yang telah mengulas mengenai SD berkenaan. Beliau berkata dakwaan itu sepatutnya diteliti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.