Jumaat, 25 Oktober 2013

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Masuk Syurga kerana bulu mata

Posted: 24 Oct 2013 10:24 PM PDT

  • bulu mata
 1 / 1 
SEORANG hamba ALLAH SWT diadili di hari pengadilan kelak, dia menghadapi tuduhan kerana mensia-siakan hidupnya di dunia demi untuk berbuat maksiat.

Sebaliknya, dia berkeras membantah dengan mengatakan tidak pernah melakukan perkara berkenaan.

Dia menafikan apabila malaikat memberitahu mengenai kesalahannya: "Mana saksi-saksi yang engkau maksudkan? Di sini tiada sesiapa melainkan aku dan suaramu sahaja."


Jawab malaikat, "Inilah saksi-saksimu..."

Tiba-tiba mata berbicara, "Saya yang memandang."

Disusuli dengan telinga, "Saya yang mendengar perkara itu."

Hidung pun tidak ketinggalan, "Saya yang mencium."

Bibir pun mengaku dengan selambanya, "Saya yang merayu."

Lidah menambah dengan berani, "Saya yang menjilat dan menghisap."
Tangan tanpa malu meneruskan, "Saya yang meraba dan meramas."

Kaki pula menyusul, "Saya yang berjalan dan berlari semasa itu."

"Kesemua anggota tubuhmu akan memberikan kesaksian mengenai perbuatan aibmu." kata malaikat lagi.


Lelaki tersebut tidak mampu menyatakan apa-apa hujahan lagi lantas dia berputus asa dan berduka kerana sebentar lagi akan dihumbankan ke dalam panasnya neraka jahanam.

Dia  berharap agar segala perbuatan jahatnya dapat diselindung. Tatkala dia sedang dilanda kesedihan, tiba-tiba terdengar satu suara halus yang amat lembut dari sehelai bulu mata berbunyi, "Saya pun ingin mengangkat sumpah untuk menjadi saksi dalam perkara ini." Malaikat menjawab dengan tenang, "Silakan wahai bulu mata."

"Terus terang sahaja, menjelang ajalnya pada satu malam yang hening, aku pernah dibasahi dengan juraian air mata penyesalan mengenangkan segala perbuatan keji yang telah dilakukan.

Bukankah Rasulnya telah berjanji, apabila ada seorang hamba yang ingin bertaubat, walaupun sehelai bulu mata sahaja yang dibasahi dengan air mata, demikian itu diharamkan dirinya dari ancaman api neraka?

Maka, saya sehelai bulu mata, berani tampil sebagai saksi bahawa dia telah bertaubat sampai membasahi saya dengan air mata penyesalan."

Dengan kesaksian bulu mata itu, orang tersebut dibebaskan dari neraka dan segera dihantar ke syurga.

PKFZ :: Tipu Kerajaan - Liong Sik dilepas dan dibebas

Posted: 24 Oct 2013 09:44 PM PDT

Tun Dr Ling Liong Sik
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada Jumaat daripada tuduhan menipu kerajaan Malaysia berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Hakim Datuk Ahmadi Asnawi membebaskan Dr Ling selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan di akhir kes pembelaan.
Dr Ling, 70, yang diperintah membela diri pada 9 Mac tahun lepas, didakwa menipu kerajaan untuk memberi persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah, Pelabuhan Klang bagi pembinaan projek 'Mega Distribution Hub' yang kini dikenali PKFZ.
Dia didakwa menipu kerajaan apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1.088 bilion sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Kementerian Kewangan, dalam menentukan nilai itu, telah mengambil kira kadar kupon.
Dr Ling juga berdepan dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.
Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 September dan 6 November 2002.-BERNAMA

Jamal dan Rossa antara yang dikurnia Datuk oleh Sultan Pahang

Posted: 24 Oct 2013 02:36 AM PDT

Jamal Abdillah.
KUANTAN: Penyanyi Jamal Abdillah dikurnia Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk, bersempena ulang tahun keputeraan ke-83 Sultan Pahang, pada Khamis.
Turut dikurnia darjah sama ialah penyanyi dari Indonesia, Sri Rossa Roslaina Handiyani atau lebih dikenali sebagai Rossa.
Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 54, antara 643 penerima anugerah darjah kebesaran dan pingat yang dikurnia oleh Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.
Berasal dari Ipoh, Perak, Jamal yang mendapat gelaran 'Raja Pop' mula menceburi bidang nyanyian pada 1973 dan aktif dalam dunia hiburan tanah air sehingga kini.
Rossa.
Anak sulung daripada tujuh beradik itu mula dikenali ramai setelah muncul sebagai juara dalam pertandingan Bintang RTM 1979.
Namanya memuncak setelah mempopularkan lagu-lagu ciptaan komposer Ahmad Nawab serta membintangi beberapa filem seperti 'Azura' serta 'Kekasih Awal Dan Akhir'.
Jamal yang pernah berumahtangga sebanyak tiga kali dikurniakan dua anak lelaki, Osama Yamani dan Ahmad Zaki Yamani.
Sementara itu, Rossa, 35, yang berasal dari Sumedang, Indonesia mula aktif dalam bidang nyanyian pada 1995 dan menempa nama di negara dengan lagu-lagu seperti 'Atas Nama Cinta', 'Ayat-Ayat Cinta', 'Hati Yang Kau Sakiti' dan 'Aku Bukanlah Untukmu'. - BERNAMA

Tiada ulasan: