Jumaat, 25 Oktober 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Pemergian Norazita: Keluarga Redha, Namun Marah Bercampur Geram

Posted: 24 Oct 2013 11:01 PM PDT

Kampar - Ahli keluarga mangsa tembakan, Norazita Abu Talib, 37, menyifatkan insiden pembunuhan pegawai bank itu sebagai tindakan kejam.

Sepupu, Musa Othman, 50, berkata, meskipun mereka reda dengan kematian berkenaan, namun terkilan dengan insiden yang dilakukan tanpa rasa perikemanusiaan itu.

"Pada mulanya kami sangka ia kematian biasa, tak sangka Allahyarham pergi dalam keadaan tragis begini.

"Dia cuma seorang perempuan, kenapa masih ada orang sanggup lakukan sebegitu? Kalau nak kata marah, memang kami marah, geram pun ada, beberapa saudara lain ada yang tak sanggup nak lihat gambar kejadian pun," katanya ketika ditemui di Kampung Air Itam Labu, di sini, semalam.

Musa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Poliklinik Kampar berkata, berita kematian itu hanya diketahui kira-kira jam 8 malam sebelum memaklumkan kepada ibu dan bapa Norazita.

Katanya, ibu Allahyarham, Norsham Abd Kadir, 63, rebah di kediaman sebaik mengetahui insiden itu sebelum dibawa ke Kuala Lumpur bersama suaminya, Abu Talib Md Isa, 75.


"Pada mulanya mereka dimaklumkan Allahyarham kena tembak, hanya pada panggilan kedua, barulah kami dimaklumkan yang Allahyarham sudah tiada," katanya.

Kali terakhir dia bertemu dengan anak bongsu daripada lima beradik itu ketika cuti Aidiladha, 15 Oktober lepas.

Suasana pilu dan sedih menyelubungi kampung halaman sebaik jenazah Allahyarham tiba kira-kira jam 7 malam menggunakan kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Itam Labu kira-kira jam 7.15 malam untuk disemadikan.

Idam makan tilapia

Sempena cuti Aidiladha lepas, Allahyarham dikatakan menyatakan keinginan untuk makan ikan tilapia kegemarannya.

Musa berkata, keinginan itu disuarakan kepada ibunya sementelah Allahyarham sukar mendapatkan ikan itu melainkan di kampungnya sahaja.

"Mujur secara kebetulan saya dapat ikan itu di kolam berhampiran dan memang niat saya untuk berikan kepada dia dan kakak saya di belakang rumah.

"Saya bersyukur apabila keinginan dia dapat dipenuhi sebelum pergi," katanya.

Musa berkata, lagak Norzita yang diibaratkan orang mengidam itu begitu asing kerana Allahyarham jarang bersikap sedemikian.

Katanya, ketika cuti itu juga, Allahyarham turut menunjukkan sikap pelik apabila membasuh kereta Toyota Wish miliknya dalam hujan.

"Dalam hati sudah berdetik, mungkin dia buang tabiat basuh kereta pada waktu itu, tetapi tidaklah menegur pula," katanya.

Pendiam, pentingkan keluarga

Seorang lagi sepupu mangsa, Suhana Abd Aziz, 48, menyifatkan Allahyarham sebagai pendiam, namun mementingkan hubungan kekeluargaan.

Katanya, meskipun tidak terlalu akrab, namun setiap kali cuti, mereka kerap bertemu di kampung.

"Suaminya orang sini juga, jadi mereka sekeluarga memang selalu balik kalau cuti panjang dan perayaan.

"Allahyarham memang tak banyak cakap tapi mesra dengan ahli keluarga dan saudara lain.

"Saya tak sangka, dia pergi dalam keadaan zalim begitu, sampai sekarang saya tak sanggup nak tengok gambar kejadian, terlalu kejam," katanya.

Kami reda

"Perkara dah berlaku, apa pun kami reda dan terima ketentuan ini," itu kata luahan yang dapat dilontarkan bapa Allahyarham, Abu Talib Md Isa, 75.

Abu Talib ketika ditemui di kediamannya di Kampung Air Itam Labu, di sini, kelihatan tenang meskipun suara tangisan silih berganti mengiringi jenazah Allahyarham.

Menurutnya, tiada perasaan marah atau dendam terbit kepada suspek atas insiden itu, sebaliknya menganggap ia satu takdir.

"Nak marah macam mana.. Biarlah polis yang menyiasat, pakcik serahkan kepada polis sahaja," katanya.

Beliau berkata, Allahyarham memang dikenali sebagai seorang yang komited bekerja.

"Dia memang begitu, tunggu sampai semua kerja betul-betul siap baru akan balik," katanya.

Kali terakhir mereka bertemu pada cuti Aidiladha lepas apabila arwah sekeluarga bercuti selama tiga hari di kampung berkenaan. -SH


'Abang masih sayang saya?


SERDANG - Panggilan singkat Norazita yang beria-ia benar hendak tahu sejauh mana kasih suaminya, rupanya petanda ajal wanita itu hendak pergi buat selama-lamanya.

Suaminya, Irwan Kamarudin, 37, sama sekali tidak menyangka itulah panggilan terakhir dan paling singkat daripada isteri tersayang.

"Abang masih sayang saya?" Begitu pertanyaan Norazita dan berkali-kali dia mengulang soalan itu menerusi panggilan telefon kepada suaminya sekitar jam 5 petang, kira-kira sejam sebelum dia ditembak mati oleh perompak.

"Kemudian saya jawab, 'abang sayang awak seperti kita mula berkahwin dulu. Tidak pernah berubah kasih sayang abang pada awak," ucap Irwan dalam nada suara menahan sebak.

Dalam kejadian sekitar 6.20 petang kelmarin, isterinya, Norazita Abu Talib, 37, mati tragis ditembak perompak dalam kejadian rompakan di bank tempatnya bekerja.

"Tetapi saya tidak boleh bercakap lama dengan isteri saya, kerana waktu itu saya sedang bekerja," luah Irwan yang bekerja sebagai pemandu peribadi di sebuah syarikat di Bukit Jelutong.

Sambungnya, sekitar 6.20 petang, dia beberapa kali menghubungi Norazita untuk bertanya sama ada isterinya itu sudah pulang ke rumah ataupun belum tetapi panggilan tidak berjawab namun pada ketika itu dia tidak mengesyaki sebarang perkara buruk sehinggalah seorang pengurus bank menjawab panggilan itu dan memintanya segera datang ke bank tersebut.

"Saya tanya dia apa yang berlaku tapi dia tidak jawab soalan saya, cuma suruh saya datang ke sana. Beberapa minit kemudian, seorang kawan beritahu saya yang dia mendengar ada rompakan di bank isteri saya bekerja, menerusi laman sosial Facebook.

"Ya ALLAH, ketika itulah hati saya mula terdetik memikirkan sesuatu dan menjadi tidak tenteram," katanya.

Sehinggalah pada waktu dia sampai, dia begitu terkejut setelah melihat ramai polis di tempat kejadian dan polis tidak membenarkannya masuk ke dalam bank itu.

Jantungnya berdebar dan katanya, dia bertanyakan keadaan isterinya tetapi polis mengatakan isterinya berada dalam keadaan baik.

"Pada awalnya, seorang anggota polis memberitahu, isteri saya baik saja, tetapi kira-kira 9 malam, salah seorang anggota polis beritahu yang isteri saya sudah tiada lagi (mati ditembak).

"Pada saat mendengar berita itu, hati saya bagaikan hancur. Sedih dan pilu berpadu," luah Irwan dan ini bermakna panggilan singkat sejam sebelum kejadian itulah kali terakhir dia mendengar suara Norazita.

Irwan benar-benar tidak menyangka nasib malang menimpa Norazita sedemikian rupa kerana isterinya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku sebelum ajal, dan kesedihan apalagi yang boleh diceritakan saat mendengar khabar, isterinya telah mati ditembak.

Menceritakan kisah isterinya itu, Irwan berkata, Norazita memang seorang yang agak pendiam, namun sangat baik hati dengan orang lain dan tidak menyangka Norazita terkorban secara kejam di tangan perompak.

Menurutnya, dia sudah 13 tahun mendirikan rumah tangga bersama arwah dan dikurniakan dua cahaya mata bernama Nurnisa Nabilah, 12, dan Muhd Hazimy, 8.

"Arwah akan dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Air Itam Labu, Kampar pada hari ini (semalam)," katanya di Jabatan Forensik, Hospital Serdang, semalam.

Sementara itu, berkongsi sedih dengan ayahnya, anak sulung arwah, Nurnisa Nabilah berkata dia telah kehilangan ibu yang selama ini menjadi tempat bermanja.

"Walaupun ibu seorang yang garang, tapi dia sangat sayangkan saya dan Hazimy.

"Sekarang mak dah tak ada," kata kanak-kanak itu dalam nada sayu.

Dalam kejadian kelmarin, Norazita yang bekerja sebagai pegawai bank di Ambank USJ, ditembak mati oleh perompak yang juga pengawal keselamatan di bank yang sama.

Seisi rakyat Malaysia turut merasai kekejaman yang berlaku terhadap wanita itu apabila perompak berkenaan tergamak menembaknya tanpa sebab sedangkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Norazita langsung tidak melawan.

Lebih mengerikan kerana insiden tembak itu dimuat naik menerusi laman sosial Facebook yang memaparkan Norazita ditembak pada muka hingga menyebabkan separuh dan otaknya hancur.

Dalam pada itu, perompak kejam tersebut berjaya lari dengan membawa wang rompakan itu dan kini polis sedang memburu pembunuh Norazita. Al Fatihah.
-SH


[GAMBAR & VIDEO] Amuk Di Taman Melati, 2 Maut 2 Cedera

Posted: 24 Oct 2013 08:35 PM PDT

Dalam tempoh 40 minit, seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah mental, bertindak menikam empat mangsa di tiga lokasi berasingan sekitar Taman Melati, Gombak, di sini, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.20 pagi itu menyebabkan dua mangsa termasuk seorang pelajar kolej swasta, meninggal dua di tempat kejadian sementara dua lagi termasuk seorang warga emas cedera parah dan kini dalam keadaan kritikal.

Ia bermula apabila suspek, bekerja sebagai pemandu van sebuah syarikat rokok, membuat penghantaran ke sebuah kedai di Stesen LRT Gombak.

Sebaik menghantar rokok, suspek dengan tidak semena-mena mengeluarkan pisau rambo dan menikam pemilik kedai, wanita berusia 60-an dan pembantu kedai, wanita warga Indonesia, berumur 40-an.

Suspek kemudiannya melarikan diri menaiki van menuju ke arah Stesen LRT Melati dan kemudiannya bertindak melanggar sebuah van penghantar barang (air mineral) dipandu seorang lelaki berumur 48 tahun di Jalan Persiaran Pertahanan, terletak kira-kira tiga kilometer dari stesen lokasi kejadian pertama.


Ketika mangsa turun dari van untuk melihat keadaan, suspek yang bagaikan dirasuk, bertindak menikam mangsa sebanyak tiga tusukan menyebabkan mangsa rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sejurus selepas itu, suspek memandu semula van ke arah Wangsa Maju dan melakukan modus operandi sama apabila bertindak melanggar sebuah kereta jenis Toyota Hybrid dipandu remaja berusia 25 tahun.

Dalam kejadian di Jalan Tumbuhan itu, mangsa yang merupakan pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman, Wangsa Maju, cuba melarikan diri, namun dikejar suspek sebelum ditikam sehingga meninggal dunia.

Saksi kejadian, seorang peniaga dikenali sebagai Farid, 30, berkata, orang ramai yang melihat kejadian itu bertindak membelasah suspek namun suspek hanya melaungkan takbir sambil mengucap berulang-ulang kali.

"Ketika itu dia dalam keadaan bergari dan berlumuran darah setelah dibelasah orang ramai,"katanya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, kejadian hanya berakhir kira-kira jam 12 tengah hari setelah suspek berjaya ditahan oleh anggota polis peronda Dang Wangi.

Katanya, terdapat tiga kesan tikaman di bahagian badan dan tangan pada mangsa terakhir sementara suspek cedera di bahagian kepala.

"Kita dapati suspek yang berasal dari Segamat Johor ini, berada dalam keadaan tidak normal dan mengalami masalah 'kejiwaan' berkemungkinan berkaitan dengan ajaran yang dituntut.

"Siasatan awal mendapati, suspek bebas daripada rekod jenayah, bagaimanapun ujian akan dilakukan sekiranya suspek berada di bawah pengaruh dadah.

"Kita juga akan libatkan jabatan agama, dan kaunseling bagi menentukan tahap kesedaran suspek ketika kejadian, sama ada normal atau tidak,"katanya.

Beliau menambah, motif kejadian masih dalam siasatan dan meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian.

"Kejadian ini tiada kena mengena dengan isu perkauman, tetapi lebih kepada masalah individu yang mengalami masalah jiwa dan bertindak di uar kawalan,"katanya.

Mangsa yang cedera dan suspek dibawa ke HKL untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 dan 302 Kanun Keseksaan. -SH




Rakaman CCTV Pegawai Bank Ditembak Oleh Pengawal Keselamatan Tersebar

Posted: 24 Oct 2013 05:10 PM PDT


Rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan babak sebelum Norazita Abu Talib, pegawai operasi Ambank, ditembak mati oleh seorang pengawal keselamatan telah dimuat naik di laman YouTube.

Rakaman berdurasi 33 saat itu memaparkan keadaan ruang pejabat dengan pintu bilik kebal terbuka, di mana mangsa yang memakai baju kurung berwarna merah dilihat berdiri bersebelahan dengan seorang lagi rakan sekerjanya yang memakai baju berwarna putih.

Kedua-dua mereka dilihat membelakangi kamera dan berhadapan dengan pintu bilik kebal.

Pada rakaman durasi 0:03 saat, kelibat Norazita tiba-tiba jatuh ke lantai, dan rakan sekerjanya dilihat menutup muka dan telinga mereka daripada bunyi tembakan.

Difahamkan mangsa ditembak muka dengan jarak kurang daripada 5 meter.

Suspek kemudiannya dilihat berlari ke arah yang selamat dan mengheret seorang rakan sekerja mangsa daripada bilik berkenaan.

Dia kemudiannya berjalan ke arah mayat Norazita dan terus mengambil wang yang diambil daripada bilik kebal bank berkenaan dan memasukkannya ke dalam sebuah beg.

Rakaman CCTV bertukar gelap selama beberapa saat dan kembali berfungsi dengan memaparkan aksi seorang lelaki memasukkan wang ke dalam sebuah beg sebelum melarikan diri.

Daripada rakaman video tersebut, lelaki berkenaan di lihat sangat fokus dan tenang dalam insiden rompakan tersebut. -mstar

Laporan sebelum ini
klik untuk baca

[BERGAMBAR PENUH & VIDEO] Pegawai Bank Ditembak Kejam Oleh Pengawal Keselamatan

[TAHNIAH] GMUKM Menang Besar Pilihanraya Kampus UKM

Posted: 24 Oct 2013 06:15 AM PDT


Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) menang besar pada pilihan raya kampus kali ini.

Kerusi yang dimenangi adalah sebanyak 22 kerusi, manakala 4 Aspirasi dan 1 Bebas.

ini telah dibuat secara rasmi oleh TNC HEPA UKM, Prof Othman Karim selaku ketua jawatankuasa pemilihan pelajar di Pusat Teknologi Maklumat di UKM.

Walaubagaimanapun, peratus pelajar yang keluar mengundi pada pilihan raya kampus kali ini sedikit merudum, iaitu sebanyak 60% berbanding sebelum pada ini melebihi 80%.

"Hal ini mungkin disebabkan oleh kesediaan pelajar UKM dalam menghadapi suasana pilihanraya kampus dalam keadaan terkejut, kerana selepas cuti hari raya Aidiladha," ujar Pengerusi GMUKM, Abdullah Sani Hashim.

Katanya, antara faktor kekuatan GMUKM adalah dengan kehadiran rakan baru seperjuangan Student Unity Front (SUF) yang mewakili kaum China di UKM.

Selain itu, ujarnya ruang media social facebook juga antara penyumbang terbesar kemenanangan GMUKM .

Katanya, video 'UKM & Darah' dan 'video stylo calon-calon fakulti' antara cetusan menarik kempen GMUKM kerana mencapai sehinggga ribuan 'like' hanya dengan beberapa hari.

Selain itu, kata beliau antara kekuatan lain adalah slogan 'Moving Forward' sebagai tagline GMUKM pada kali ini.

"Selain memberi impak besar kepada mahasiwa slogan ini diterjemahkan lagi dengan dengan perspektus 'Moving Forward' iaitu tawaran manifesto GMUKM kepada mahasiswa andai PMUKM dimenangi sekali lagi," ujarnya.

Katanya, walaupun GMUKM terpaksa menghadapi musibah rumah penginapan calon wanita dilempar sejenis bom buatan yang hampir membakar rumah, termasuklah disertakan ugutan 'Tarik diri atau mati' sehari sebelum pengundian.

"Namun, ini bukan kali pertama kita diugut bunuh, hal ini berlaku dari tahun sebelum pada ini lagi. Calon-calon GMUKM tetap mengorak langkah walaupun diugut bunuh.

"Akhir, Alhamdulillah kemenangan besar Pro Mahasiswa di UKM kali ini, saya harapkan sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada seluruh Pro Mahasiswa yang berada di Malaysia, bahawa kita mampu menewaskan aspirasi seteru utama kita," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua mahasiswa di seluruh universiti di Malaysia, memulakan politik mahasiswa kelas pertama.

"Di UKM kita semai politik matang dan nilai, 'debat presiden', 'debat manifesto calon', 'kreativiti kempen' antara yang diutamakan , semuanya adalah suasana baru politik kampus yang diadakan di UKM.

"Saya sarankan kepada rakan-rakan yang akan menghadapi Pilihan raya Kampus, wujudkan suasana ini dan kita mestilah bersedia mengubah suasana politik keji yang berlaku hari ini," katanya lagi. -HD


Makna kemenangan besar Pro-Mahasiswa di UKM


Tahniah buat rakan-rakan GMUKM (Pro-Mahasiswa di UKM) yang menang besar dalam PRK hari ini, khabarnya menguasai 22 daripada 27 kerusi yang dipertandingkan.

Tanggungjawab besar menanti anda, terutama untuk memberikan makna dan pengisian kepada gerakan pelajar yang matang, berwibawa dan berkesan.

Proses PRK yang bermula hujung Khamis lepas, dengan pelbagai karenah memalukan, khususnya komplot HEP ...(yang sewajarnya mengendalikan pilihan raya kampus dengan adil, bebas dan bersih), dan Kementerian Pendidikan, patut diambil iktibar.

Sesungguhnya tntutan agar PRK dikendalikan oleh badan bebas dan lebih berwibawa termasuk melibatkan mahasiswa sendiri -- dan bukan lagi HEP -- wajar diperjuangkan dengan lebih serius dan sistematik.

Ketempangan proses dan sistem PRK mesti didedahkan kepada masyarakat umum. Universiti yang sepatutnya menunjukkan teladan bagaimana demokrasi diamalkan, rupa-rupanya menunjukkan contoh buruk dan mengaibkan.

Dan yang tidak kurang pentingnya, anda mahasiswa, biar mempunyai kecenderungan politik berbeda, biar datang daripada kelompok Pro-M mahupun Aspirasi, atau juga Bebas, diharapkan dapat bersama dalam agenda gerakan pelajar yang lebih besar dan tulis. Bukan hanya terhadap dunia kampus tetapi juga memenuhi hasrat dan aspirasi umat-negara.

Malaysia kini berada di persimpangan yang kritikal dan amat memerlukan partisipasi proaktif rakyat, apatah lagi daripada golongan mahasiswa yang sedar, peduli, insaf dan tidak berkepentingan.

Salut buat mahasiswa semua ...



Zahid Hamidi Mahu Jadi Zahid Al-Sisi?

Posted: 24 Oct 2013 04:05 AM PDT

Sebanyak 74 kes bunuh melibatkan penggunaan senjata api oleh rakyat tempatan direkodkan sepanjang tempoh lapan bulan sejak Januari sehingga Ogos tahun ini.

Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 15 kes, diikuti Perak (10), Pulau Pinang (9), Johor dan Sabah (7), masing-masing Kuala Lumpur, Kelantan serta Sarawak (5), Kedah dan Negeri Sembilan (4), Melaka, Pahang, Terengganu (1), dan Perlis (0).

Angka itu dinyatakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menjawab soalan Ahli Parlimen DAP-Bakri Er Teck Hwa yang bertanyakan pecahan kes tembak mati rakyat Malaysia sepanjang tahun 2013 dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Ditanya punca senjata api begitu mudah didapati, Ahmad Zahid mengakui kekerapan pergerakan keluar masuk, kesibukan lalu lintas di pintu masuk serta interaksi ekonomi antara penduduk dikawasan sempadan negara jiran membuka peluang yang luas kepada aktiviti penyeluduan.

Malah kewujudan 'lorong tikus' di sepanjang sempadan ekoran faktor geografi sempadan Malaysia-Thailand juga digunakan untuk mewujudkan rangkaian yang mendorong kepada aktiviti penyeludupan senjata api.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan dua jenis operasi khas; Ops Laras dan Ops Api dari semasa ke semasa untuk mengekang penyeludupan dan mengawal penggunaan senjata api.

"Untuk mengatasi masalah yang dikatakan anggota polis marin gagal dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya, dicadangkan pasukan polis marin diperkukuh dengan memperluas kawasan tanggungjawab dilaut sehingga lima batu nautika dari pantai.

"Kerajaan sedang mempertimbang perolehan aset dan pembinaan infrastruktur baru dalam usaha mempertingkatkan daya operasi," katanya.

Katanya, dengan pengukuhan dan perluasan kuasa tanggungjawab pasukan polis marin, adalah diyakini pertahanan pengairan negara akan lebih berkesan dalam menangani apa jua bentuk pencerobohan yang meliputi aspek keselamatan serta ketenteraman kawasan pengairan negara. -FMT

ULASAN GB

Begitu ramai yang ditembak mati sehingga menyebabkan negara jiran Indonesia menyifatkan PDRM sebagai pengecut dan barbarian.

Prinsip "tembak dulu" yang dibawa oleh Zahd Hamidi semenjak memengang Menteri Dalam Negeri telah menimbulkan pelbagai riaksi negatif di kalangan masyarakat, namun beliau seperti "Al-Sisi" di Mesir, lansung tidak menghiraukan kritikan berkenaan malah menembak mati anggota Ikhwanul Muslimin yang dituduhnya pengganas dan penjenayah sekalipun tiada bukti.

Malah beliau memberi alasan kononnya bertanggungjawab di hadapan Allah terhadap keluaga mangsa penjenayah. Tetapi beliau terlupa beliau juga perlu bertanggungjawab kepada Allah terhadap mereka yang bukan penjayah tetapi telah mati ditembak tanpa belas kasihan.

Prinsip sejagat, "one is innocent until proven guilty" tidak digunakan tetapi yang digunakan pemuasan nafsu untuk menaikkan nama dan imejnya menjelang pemilihan UMNO yang lalu.

Beliau menang di dalam pemilihan Naib Presiden UMNO, tahniah, tetapi Hukum Kebenaran dan Keadilan tetap berjalan. Tunggu dan saatnya Zahid Hamidi menerima apa juga yang telah dilakukan - what goes round turns around!

Tiada ulasan: