DUNIACACAMARBA |
- [Video] Akhirnya, Ucapan SENSITIF Zahid Hamidi Tersebar
- [Wajib Baca] Ingat Cerita Lelaki Bergaji Lebih RM17 Ribu Tetapi Didakwa Abai Ibu Bapa dan Anak-anak? Susulannya di Sini
- Penyelewengan Wang Rakyat, SPRM Buka 15 Kertas Siasatan
- Selepas Gagal Dipanggung, Tanda Putera Akan Jadi Wayang Pacak FELDA
- [Gambar] OKU Terpaksa Merangkak ke Pejabat Pengarah JKM Kulim Rohana Yusof Kerana...
[Video] Akhirnya, Ucapan SENSITIF Zahid Hamidi Tersebar Posted: 07 Oct 2013 01:58 AM PDT 'Kita Dapat Bukti Kita Tembak Dulu' [MK] EKSKLUSIF Kumpulan masyarakat sivil sering mendakwa polis menjalankan dasar tembak mati ke atas suspek penjenayah. Dakwaan itu nampaknya terbukti apabila Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu ucapannya memberi gambaran bahawa lebih baik jika suspek tersebut ditembak terlebih dahulu, sebelum siasatan dijalankan. Ahmad Zahid berucap dalam satu 'Majlis taklimat keselamatan bersama pemimpin masyarakat' pada hari Sabtu lalu, yang dilihat seperti satu acara kerajaan yang bertukar menjadi acara Umno. Para wartawan dihalau keluar dengan penuh biadap ketika Zahid hampir menamatkan ucapannya, dan turut diugut oleh menteri tersebut agar tidak membuat laporan berhubung kandungan ucapannya. Ahmad Zahid didakwa mengancam untuk menutup akhbar mereka sekiranya tidak berbuat demikian. Ancaman itu berjaya menutup mulut kebanyakan dari media tersebut, namun akhbar Oriental Daily News melaporkan bahawa Ahmad Zahid memberi amaran selepas membuat "kenyataan sensitif". Akhbar itu bagaimanapun tidak memberi butiran lain berhubung kenyataan tersebut. Malaysiakini berjaya mendapatkan rakaman audio sepanjang 20 minit bagi ucapan yang disampaikan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh, Melaka. Berdasarkan rakaman tersebut, Ahmad Zahid berkata kira-kira 28,000 dari 40,000 anggota gengster terdiri dari masyarakat India dan tiada salahnya untuk menahan golongan itu. "Bagaimana keadaan mangsa-mangsa rompakan, mangsa-mangsa bunuh masa tembakan ini, kebanyakannya adalah orang Melayu kita. Kebanyakannya ialah bangsa kita. "Saya pikir, cara paling baik jangan ada kompromi dengan mereka. Jangan ada lagi amaran kepada mereka, kita dapat bukti kita tembak dulu. Ahmad Zahid seterusnya membangkitkan mengenai kes tembakan maut ke atas lima orang suspek anggota kongsi gelap di Pulau Pinang pada Ogos lalu. Beliau turut menegur Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorty – tanpa menyebut namanya – kerana mempersoalkan kejadian tersebut. "Ada timbalan menteri cengkadak buruk, dia pertikaikan saya dan polis, kenapa tak beri tembakan amaran dulu. barulah tembak. Saya kata kalau kamu nak jadi NGO, letaklah jawatan timbalan menteri. Tak layak jadi timbalan menteri," katanya yang disambut sorakan dari hadirin. Zahid juga menyifatkan pindaan ke atas Akta Pencegahan Jenayah 1959 (PCA) yang memperkenalkan penahanan tanpa bicara sebagai undang-undangnya. "Kita siasat, kita bawa ke mahkamah, kalau tak ada bukti, kalau tak cukup bukti, sekurangnya dua tahun penahanan. Itu undang-undang baru saya, tiada kompromi," katanya lagi. Pindaaan ke atas PCA itu memberi kuasa untuk membuat penahanan tanpa perbicaraan dalam tempoh dua tahun bagi satu-satu masa. - 7/10/13 Berkaitan: Pesan Zahid pada 'Kawan-kawan Tiga Line' [MK] Berbeza dengan sikapnya pada kumpulan jenayah lain, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi nampaknya berlembut apabila bercakap mengenai kumpulan Tiga Line, yang disifatkannya sebagai rakan-rakannya dan menyarakankan agar pihak tersebut "menjalankan apa yang patut". Menteri Dalam Negeri itu membuat kenyataan tersebut dalam satu acara di Melaka pada Jumaat lalu, di mana beliau mengugut para wartawan yang hadir bahawa beliau akan menutup akhbar masing-masing sekiranya mereka melaporkan kenyataannya. Malaysiakini bagaimanapun berjaya mendapatkan rakaman ucapan selama 20 minit di mana beliau mendakwa sedang berucap kepada perwakilan Umno, dalam majlis yang kelihatan seperti acara kerajaan. Ahmad Zahid memulakan ucapan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Air Keroh itu dengan mengisytiharkan bahawa Ops Cantas yang dijalankan pasukan polis tidak mengenal warna kulit. Katanya, polis memeriksa seramai 178,217 orang Melayu, 77,104 orang Cina dan 73,505 orang India serta 51,517 kaum lain dalam operasi memerangi kumpulan kongsi gelap itu. Tambahnya, dari jumlah itu, seramai 14,511 orang didapati anggota kongsi gelap – 6,171 orang Melayu, 1,701 Cina, 3,685 India dan 2,954 kaum lain. Kemudiannya, beliau menyebut mengenai kumpulan Tiga Line dan mengumumkan bahawa kumpulan itu bukanlah "samseng betul" tetapi hanya "gengster kenduri-kendara". "Tapi yang Melayu 6,171 ini, bukan samseng betul. Mereka dulu anggota Pekida, mereka merupakan kumpulan Tiga Line, Geng 30, Geng 7, ini gengster kenduri kendara... "Saya beritahu kawan-kawan Tiga Line itu, jalankan apa yang patut," katanya yang disambut sorakan dari para hadirin. Tiga Line merupakan antara 47 kumpulan kongsi gelap yang dikeluarkan oleh Kementeri Dalam Negeri pada Ogos lalu dan diisytiharkan sebagai pertubuhan haram. -7/10/13 Laporan lain di sini. | ||
Posted: 06 Oct 2013 11:27 PM PDT
'Saya reda dia dijel' [HM] Kuala Terengganu: "Yang Arif, saya reda mempunyai anak seperti ini dan reda dia dipenjarakan," kata Mustafa Ismail, 67, dalam permohonannya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Rosdi Harun supaya memenjarakan anaknya, Nasrun Mustafa, 40, sebagai pengajaran terhadap tindakannya mengabaikan nafkah terhadap ibu bapa serta dua anaknya yang dipelihara Mustafa. Buat kali pertama selepas kes tuntutan nafkah dan saman difailkan Mustafa selaku plaintif terhadap Nasrun selaku responden pada 2010, anaknya itu muncul di mahkamah semalam selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya pada bulan lalu. Pada prosiding semalam, Rosdi memerintahkan Nasrun membayar RM10,000 kepada Mustafa dan ibunya, Che Mariam Abdullah, 59, sebelum jam 3 petang semalam dan jika gagal, defendan dikenakan hukuman penjara selama seminggu dan responden melunaskan bayaran nafkah itu semalam. Rosdi turut memerintahkan responden membayar baki RM11,000 secara ansuran kepada kedua-dua ibu bapanya. Mahkamah juga membenarkan Nasrun diikat jamin RM1,000 dengan dua penjamin sementara menunggu tarikh mendengar notis tunjuk sebab untuk responden membela diri pada 24 November depan selepas plaintif memfailkan permohonan supaya anaknya dipenjarakan kerana gagal melaksanakan perintah mahkamah berhubung pembayaran nafkah bernilai RM18,866.50. Mustafa dari Kampung Beladau Kolam, Manir di sini, pernah mendapat liputan meluas media apabila menyaman anaknya yang sebelum ini bekerja sebagai pengurus syarikat cari gali minyak dan berpendapatan lebih RM17,000 sebulan bagi mendapatkan tuntutan nafkah dua cucunya tiga tahun lalu. Selepas tiga tahun, permohonan pesara syarikat cari gali minyak itu akhirnya berjaya dan Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pada 28 Ogos tahun lalu memerintahkan Nasrun selaku responden memohon maaf secara terbuka kepada ibu bapa dan dua anaknya yang ketika itu berusia 15 dan 17 tahun. Rosdi dalam penghakimannya ketika itu turut memerintahkan Nasrun digelarnya sebagai 'Si Tanggang Moden' membayar RM400 seorang kepada ibu dan bapanya serta dua anaknya berusia 15 dan 17 tahun setiap bulan, selain RM1,000 untuk perbelanjaan Aidilfitri dua anaknya setiap tahun yang diabaikan sejak lapan tahun lalu. Bagaimanapun, Mustafa menerusi peguam syarienya, Fazru Anuar Yusof terpaksa memfailkan saman dan waran tangkap terhadap anaknya selepas Nasrun enggan dan gagal melaksanakan perintah mahkamah untuk membayar tuntutan nafkah ibu bapa dan dua anaknya berjumlah RM18,866.50. Terdahulu, pada prosiding semalam, Nasrun yang kini bekerja sebagai pengurus syarikat cari gali minyak memberi alasan tidak mahu melawan bapanya di mahkamah sebagai jawapan kepada soalan Rosdi yang mahukan penjelasannya mengapa tidak pernah hadir ke mahkamah sepanjang prosedur berjalan sejak 2010. "Saya tidak mahu melawan bapa saya di mahkamah. Saya tiada niat untuk melawan ibu bapa saya," katanya yang memakai baju kemeja biru berkolar putih sambil turut menafikan dia hadir ke mahkamah kerana menerima waran tangkap. Mendengar jawapan Nasrun itu, Rosdi kemudian memerintahkan supaya kedua-dua pihak mengadakan perbincangan dan menyelesaikan kes di luar mahkamah dengan memberi tempoh satu jam sebelum menyambung semula prosiding. Bagaimanapun, sebaik sesi prosiding disambung, Mustafa memohon mahkamah memenjarakan anaknya kerana kecewa dengan sikap responden yang langsung tidak mengendahkannya, malah hanya bersalaman dengannya selepas diperintahkan Rosdi, susulan keputusannya mahu memohon maaf daripada bapanya. "Yang Arif, saya nak tanya sedikit adakah salam ini salam betul atau apa? Sebab sepanjang kami bertemu di mahkamah ini tadi, dia langsung tak tengok muka saya, apa lagi bersalam dengan saya. "Saya reda anak saya dipenjarakan seminggu atau lebih. Saya duduk di situ berapa lama, dia buat tak tahu saja," katanya dalam nada suara bergetar. Peguam syarie yang mewakili Nasrun, Kamaruzaman Wahab kemudian mencelah "Yang Arif, kalau pun plaintif memohon responden dipenjarakan, saya memohon responden diberi masa untuk menjawab dan membela diri". Rosdi berkata, mahkamah tidak berhasrat memanjangkan kes berkenaan dan memohon Nasrun kembali kepada keluarganya dan mengambil berat perihal keluarganya termasuk ibu bapa serta dua anaknya berusia 16 dan 18 tahun. - 7/10/13 Laporan awal di sini. P/s: Terharu TM membaca laporan kes ini. Tidak terbayang TM jika mempunyai anak bersikap begitu!!! Berkaitan: Mustafa (kiri) berbincang sesuatu dengan peguamnya, Fazru Anuar Yusof (kanan) di luar mahkamah, semalam. -Teks/Foto: SH Seorang rakan yang menemani Nasrun di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, semalam, membantu menutup wajah Nasrun dengan jaket bagi mengelak dirakam media. -Teks/Foto: SH Laporan Sinar Harian di sini. | ||
Penyelewengan Wang Rakyat, SPRM Buka 15 Kertas Siasatan Posted: 06 Oct 2013 07:56 PM PDT SPRM Buka 15 Kertas Siasatan [BH] Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuka 15 kertas siasatan, susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2012 pada 1 Oktober lalu. Satu pasukan khas juga sudah ditubuhkan suruhanjaya itu bersama Jabatan Audit Negara bagi membentangkan hasil siasatan, pelan tindakan dan cadangan tindakan susulan. SPRM juga sudah mengadakan perbincangan dengan jabatan berkenaan bagi mendapatkan maklumat untuk mempercepatkan siasatan dan tindakan sewajarnya. Pengarah Siasatannya, Datuk Mustafar Ali, berkata siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan tindakan akan diambil sekiranya mendapati wujud salah laku rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan pemalsuan. Tindakan tegas "Sekiranya ada unsur rasuah, salah guna kuasa dan pelanggaran Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Arahan Perbendaharaan, SPRM akan ambil tindakan tegas. SPRM memandang serius kelemahan dan ketirisan yang dibentangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012," katanya dalam satu kenyataan, semalam. Mengenai arahan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa supaya SPRM sebagai agensi pertama dalam jawatankuasa khas bagi meneliti dan mengkaji laporan berkenaan, melihat sekiranya ada isu berkaitan suruhanjaya itu yang perlu diselesaikan dulu, Mustafar berkata, pihaknya sudah dan sedang meneliti isu di bawah bidang kuasanya. Katanya, penubuhan jawatankuasa khas berkenaan yang dipengerusikan sendiri Ketua Setiausaha Negara adalah usaha proaktif kerajaan, sekali gus membidas dakwaan kononnya kerajaan memandang enteng Laporan Ketua Audit Negara. "Mereka yang cuai dan gagal mematuhi peraturan dan undang-undang, terutama yang terbabit dengan rasuah harus dikenakan tindakan tegas supaya kesalahan sama tidak berulang," katanya. Laporan Ketua Audit Negara 2012 menemui pelbagai kelemahan dalam pelbagai bidang membabitkan 15 kementerian, jabatan persekutuan dan pengurusan empat syarikat berkaitan kerajaan. -7/10/13 P/s: Sesiapa yang mengikuti pendedahan Laporan Audit Negara 2010 dan 2011 sudah tentu tertanya-tanya tentang tindakan yang diambil terhadap penyeleweng dan perasuah yang didedahkan dalam laporan tersebut. Sehingga kini, rasanya tiada individu yang didakwa kecuali suami Shahrizat yang terlibat dalam Skandal NFC. Kali ini, SPRM dikatakan akan menyiasat dan mendakwa individu yang terlibat dalam penyelewengan seperti yang didedahkan dalam Laporan Audit Negara 2012. Isu penyelewengan itu sudah diaudit dan dibuktikan oleh Jabatan Audit Negara, yang perlu dicari oleh SPRM ialah individu yang terlibat? Sukar sangatkah untuk mengesan individu yang terlibat? Apa tindakan yang dikenakan terhadap penyeleweng dan perasuah dalam Laporan Audit Negara 2010 dan 2011? Bagaimana dengan kes penyelewengan dalam Laporan Audit Negara tahun-tahun terdahulu? | ||
Selepas Gagal Dipanggung, Tanda Putera Akan Jadi Wayang Pacak FELDA Posted: 06 Oct 2013 07:03 PM PDT Tanda Putera Jadi wayang Pacak FELDA [BH] Bandar Seri Jempol: FELDA akan menayangkan filem kontroversi, Tanda Putera, kepada penghuni 317 tanah rancangan di seluruh negara, menerusi Kembara Wayang Padang yang bermula, malam kelmarin. Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, berkata penayangan filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba, itu akan dibuat secara berperingkat. Katanya, keluarga peneroka wajar menonton filem itu kerana ia menyentuh pembangunan tanah rancangan yang dimulakan Allahyarham Tun Abd Razak. Fahami sejarah "Saya yakin masyarakat FELDA akan ambil peluang untuk bersama-sama menonton filem ini, sekali gus mengetahui fakta yang dibentangkan menerusi filem ini sebelum membuat pelbagai tohmahan," katanya selepas merasmikan Kembara Wayang Padang Peringkat Kebangsaan di Padang Awam FELDA Palong 12, dekat sini malam kelmarin. Turut hadir, Timbalan Pengarah Besar FELDA (Pembangunan Komuniti), Ab Ghani Mohd Ali; Pengarah Pembangunan Komuniti dan Koordinasi FELDA, Anuar Malek dan Ketua Eksekutif Yayasan FELDA, Datuk Dr Emel Faizal Mohd Mokhtar. Mohd Isa yang juga Ahli Parlimen Jempol, berkata pihaknya juga akan mempertimbangkan penayangan filem yang dianjurkan Jabatan Pembangunan Komuniti FELDA itu di kawasan kampung jika ada permintaan. Filem bermutu "Ini adalah filem yang baik, sejarah yang sangat sesuai ditonton oleh anak muda. Jadi, tiada masalah kita bekerjasama menyiarkannya," katanya. Sementara itu, Anuar berkata, kembara wayang padang dikendalikan sendiri Ikatan Seni Komuniti Anak FELDA (ISKAF) dan diharap dapat menyatukan keseluruhan masyarakat tanah rancangan. Katanya, hak penayangan filem itu yang diberikan oleh Pesona Pictures adalah kerjasama terbaik dan diharap dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. - 7/10/13 P/s: Tonton Tanda Putera, tonton juga pendedahan Tunku Abdul Rahman dan Lim Kit Siang. Anda mahu percaya filem atau pengakuan di bawah ini?
Fitnah kencing bendera, pengendali Laman filem Tanda Putera akui kesilapan. Baca di sini. | ||
[Gambar] OKU Terpaksa Merangkak ke Pejabat Pengarah JKM Kulim Rohana Yusof Kerana... Posted: 06 Oct 2013 05:25 PM PDT [MK] Seorang lelaki OKU yang mewakili satu NGO terpaksa bersusah payah menaiki tangga pejabat Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM) di Kulim hari ini untuk menyerahkan memorandumnya kepada pengarah jabatan tersebut. MP Padang Serai N Surendran berkata, seramai 50 anggota Persatuan OKU Setia Daerah Kulim pada awalnya berhimpun di luar jabatan tersebut sebagai bantahan berhubung bantuan kebajian pada kira-kira jam 1.30 petang. Bagaimanapun, pengarah JKM Kulim Rohana Yusof enggan menerima memorandum tersebut dan tidak berganjak dari pejabat tersebut di tingkat satu, kompleks bangunan majlis perbandaran. Katanya, selepas menunggu lebih satu jam di bawah pancaran matahari terik, salah seorang anggota persatuan tersebut. Gnana Pragasan, yang tidak boleh berjalan, bertindak menaiki tangga tersebut untuk menyerahkan sendiri memorandum tersebut kepada Rohana. Gnana, 53, dengan memorandum di mulutnya, menggunakan tangannya untuk memanjat tangga dan mengetuk pintu pengarah tersebut sehinggalah pegawai itu keluar untuk menerima memorandumnya. Surendran berkata kejadian itu menunjukkan bahawa jabatan berkenaan tidak sensitif kepada warga kurang upaya dan warga emas di negara ini. - 6/10/13 Berkaitan: OKU mengengsot serah memorandum kepada JKM Kulim [KD] KULIM 6 OKT: Seorang Orang Kelainan Upaya dari Kumpulan OKU Setia Kulim nekad mendaki tangga dengan mengengsot kerana mahu menyerahkan sendiri memorandum kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di daerah itu hari ini. Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran berkata, OKU itu, dikenali sebagai Gnana Pragasan, 53 berbuat demikian selepas Pengarah JKM Daerah Kulim enggan menemui mereka dan menunggu lebih sejam. Katanya, memorandum itu berhubung kemudahan OKU di pejabat JKM berkenaan yang didakwa tidak memuaskan hingga menyusahkan mereka untuk berurusan. Selain itu, kata Surendran, mereka juga mendakwa elaun antara RM150 hingga RM300 dipotong, serta layanan pegawai JKM yang disifatkan kurang mesra. "Pada mulanya lebih 50 OKU berkumpul di bawah (pejabat JKM Kulim) untuk menemui Pengarah JKM Kulim yang berada di tingkat atas. "Selepas menunggu hampir sejam, seorang dari mereka nekad mengengsot dengan mendaki satu demi satu anak tangga sambil menggigit memo itu. "Pegawai JKM dikenali sebagai Rohana hanya membuka pintu beberapa ketika selepas OKU itu berjaya naik ke tingkat satu dan menerima memorandum tanpa memberi respon mengenainya," katanya yang menyifatkan tindakan JKM itu sebagai zalim. Katanya, Gnana terpaksa menggunakan tangga disebabkan tiada lif dan kemudahan laluan untuk kerusi roda ke tingkat satu pejabat yang terletak di Kompleks Bangunan Majlis Perbandaran itu. Sehubungan itu, Surendran berkata beliau akan membangkitkan insiden itu pada sidang parlimen 21 Oktober ini dan kumpulan itu juga bersedia untuk hadir. - 6/10/13 P/s: Hebat sangatkah jawatan yang disandangnya? |
You are subscribed to email updates from DUNIACACAMARBA (DCM) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan