Jumaat, 25 Oktober 2013

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Rompakan Ambank: Kerana RM450 Ribu, Satu Nyawa Melayang

Posted: 24 Oct 2013 11:28 PM PDT


Kes Ambank: Suspek Larikan RM450,000 - Polis

[Bernama] KUALA LUMPUR: Pengawal keselamatan yang menembak mati pegawai wanita dalam kejadian rompakan di Ambank cawangan Subang Jaya Rabu lepas, melarikan wang tunai berjumlah RM450,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Supt Tan Ah Chua ketika dihubungi Bernama pada Jumaat, berkata maklumat itu disalurkan oleh pihak bank kepada polis.

Mengenai identiti sebenar suspek yang menggunakan nama Ardi Hamza itu, beliau berkata perkara berkenaan masih dalam siasatan.

"Polis sedang menunggu pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara," katanya.

Dalam kejadian 6.18 petang itu, Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak oleh suspek ketika beliau membuka peti besi di dalam bilik kebal bank berkenaan, bersama-sama seorang lagi pegawai wanita.

Mangsa yang sudah berkerja selama 16 tahun di bank itu meninggal dunia di tempat kejadian susulan kecederaan parah pada bahagian kepala akibat ditembak dengan 'pump gun' oleh suspek. - 25/10/13


Rompakan Ambank: Pertanyaan Terakhir Pegawai Bank kepada Suaminya

Posted: 24 Oct 2013 06:30 PM PDT

IRWAN Kamarudin menabur bunga rampai bersama dua anaknya, Mohd. Hazimy, 8, (dua dari kanan) dan Nurnisa Nabilah, 12, (kanan) di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Ayer Hitam, Labu, Kampar, Perak, malam tadi.

"Awak sayangkan saya?" ungkapan terakhir arwah kepada suami

[UM] KUALA LUMPUR 24 Okt. - "Awak sayangkan saya tak?"

Itulah pertanyaan terakhir Norazita Abu Talib, 37, pegawai operasi AmBank yang mati ditembak oleh pengawal keselamatan bank itu sendiri dalam rompakan di Jalan USJ Sentral 2, semalam, kepada suaminya, Irwan Kamarudin, 37.

Menurut Irwan yang bekerja sebagai pemandu peribadi, ungkapan itu diluahkan Norazita ketika menghubunginya menerusi panggilan telefon bimbitnya kira-kira sejam sebelum kejadian.

"Saya terima panggilan telefon itu pukul 5.15 petang yang semata-mata mahu bertanyakan soalan sama ada saya menyayangi dia.

"Selepas saya menjawab bahawa saya sayangkan arwah, dia terus memberitahu dia sedang sibuk dan terus mematikan talian telefon," katanya dalam nada sebak tetapi tenang ketika ditemui di pekarangan rumah mayat Hospital Serdang di sini hari ini.

Irwan berkata, dia kemudian menghubungi semula isterinya itu kira-kira pukul 6.30 petang kerana bimbangkan keselamatan arwah yang akan memandu pulang dalam keadaan hujan lebat.

Bagaimanapun, katanya, panggilan itu tidak dijawab dan dia cuba menghubunginya sekali lagi sebelum dijawab oleh majikannya.

"Ketika majikan isteri saya menjawab panggilan tersebut, dia hanya meminta saya datang segera ke bank tetapi tidak memaklumkan kejadian yang menimpanya sehinggalah saya sendiri mengetahuinya sejurus tiba di situ. Lemah kaki dan menggigil badan saya apabila mengetahui wanita yang mati ditembak di dalam bank tersebut adalah isteri saya," katanya lagi.

Selama 13 tahun mendirikan rumahtangga, Irwan menyifatkan Norazita seorang yang baik dan taat menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri.

Beliau memohon individu yang memuat naik dan menyebarkan gambar ngeri selepas arwah isterinya ditembak di internet supaya segera mengeluarkannya sebagai menghormati sensitiviti dan kesedihan yang sedang dialami seluruh ahli keluarganya.

Anak arwah, Nurnisa Nabilah, 12, pula berkata, semalam pertama kali ibunya tidak menghantar dia dan adiknya, Mohd. Hazimy ke Sekolah Kebangsaan Subang Bestari kerana kesuntukan masa.

Nurnisa menyifatkan ibunya seorang yang penyayang walaupun tegas dan garang dalam mendidik anak-anak.

"Walaupun mama garang, saya sangat rapat dengannya. Saya sayangkan mama," katanya sambil menitiskan air mata.

Sementara itu, jenazah arwah Norazita selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Air Hitam Labu di Kampar, Perak kira-kira pukul 7.30 malam ini. Kira-kira 300 orang terdiri daripada ahli keluarga, kenalan, pemimpin setempat serta pegawai AmBank hadir dalam majlis pengebumian itu. 



P/s: Seperti seruan TM di laman FB DCM, mohon jasa baik pembaca menghentikan penyebaran gambar tanpa kabur mangsa serta video cctv yang memaparkan saat mangsa ditembak. Bayangkan mangsa itu ialah isteri atau saudara anda, sanggupkah anda berkongsi gambar itu kepada orang lain?

tembak pegawai Ambank
Suami mangsa, Irwan Kamarudin mententeramkan anak bongsunya, Muhd Hazimy ketika menunggu mayat isterinya dibedah siasat. - Foto Sinar Harian oleh NUR FARHANA ABDUL MANA
Kata suami mangsa, Irwan Kamaruddin seperti yang dipetik oleh Bernama: "Saya harap semua dapat memadamkan gambar dan video insiden kematian isteri saya." 

Hormatilah perasaan dan hak orang lain!

Selain itu, hentikanlah juga penyebaran gambar mangsa pembunuhan, mangsa peperangan, mangsa kemalangan kerana perbuatan itu salah dan tidak beretika. Kita tahu situasi yang berlaku di negara yang bergolak, maka tidak perlulah mengaibkan mangsa peperangan dengan menyebarkan gambar yang kurang menyenangkan mata yang melihat. 

Takziah kepada keluarga Norazita Abu Talib.


Suspek kejadian masih BEBAS. 

Identiti Pemuda Mengamuk Diketahui, Ibu Suspek Terkejut

Posted: 24 Oct 2013 05:26 PM PDT



[UM] SEGAMAT 24 Okt. - Ibu kepada suspek yang menikam mati dua daripada empat orang awam di Kuala Lumpur hari ini tidak menyangka anaknya sanggup bertindak sedemikian memandangkan dia tidak pernah menghadapi sebarang masalah mental.

Hamidah Abd. Rahman, 56, turut menafikan anaknya itu, Zamri Yusuf, 26, yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik terlibat dengan ajaran sesat.

"Saya masih terkejut dimaklumkan dengan kejadian ini kerana dia seorang anak yang baik selain mengambil berat pelajaran adik-adiknya.

"Malah ketika pulang menyambut Hari Raya Aidiladha baru-baru ini, dia tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda menghadapi sebarang masalah sebaliknya gembira beraya bersama kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Felda Pemanis 1 di sini hari ini.

Menurut Hamidah, anaknya itu yang bekerja sebagai pemandu van syarikat rokok dan menetap di Cheras, Kuala Lumpur sejak lima tahun lalu juga sering memberikan duit belanja sebanyak RM250 setiap kali pulang ke kampung.

Beliau mengakui anaknya itu pernah putus cinta beberapa tahun lalu namun menolak ia menjadi punca kejadian tersebut.

"Saya belum mendapat cerita sebenar kejadian dan hanya dimaklumkan salah seorang anak saya sewaktu pulang dari kebun tadi. Saya dan suami akan ke Kuala Lumpur, " katanya. - 25/10/13

Berkaitan:

Amuk Di Stesen LRT: "Aku Hanya Menjalankan Tugas..."

[Mstar] KUALA LUMPUR: Pengedar rokok yang mengamuk dan menikam orang ramai di dua buah stesen LRT di Gombak dan Taman Melati sehingga membawa kepada dua kematian telah mengeluarkan kata-kata; "Aku hanya menjalankan tugas..." sebelum menikam salah seorang mangsanya iaitu pembantu kedai runcit di stesen berkenaan.

Peristiwa ini diceritakan sendiri oleh mangsa tikamannya, Sulianti Johari, 31, yang terselamat daripada insiden tersebut.

Katanya, selepas menusuk abdomennya dengan sebilah pisau rambo, suspek dengan tenang dan bersahaja kemudian berjalan menuju ke van yang dipandunya semula sambil tersenyum dan melambai tangan lalu memandu pergi dari Stesen LRT Gombak - tempat pertama dia mengamuk.

Menurut Sulianti, dia memang mengenali pemuda berusia 26 tahun itu kerana pemuda itu adalah pengedar barangan regular di kedai dia bekerja.

"Kami tidak pernah bertengkar atau berselisih pendapat dengannya. Selalunya dia ramah dengan saya malah saya anggap dia bagaikan seorang adik," katanya selepas berjaya menjalani pembedahan untuk menutup semula luka akibat tikaman di bahagian abdomennya itu.

Tetapi sebelum itu, para saksi yang lain menyedari yang suspek kelihatan seperti seorang yang dirasuk.

Pemilik kedai runcit di stesen berkenaan, Lau Siew Ling, 49, berkata, suspek adalah seorang yang mereka kenali dan merupakan seorang pembekal rokok di kedainya.

Bagaimanapun Lau yang turut ditikam oleh suspek menyedari yang suspek tidak kelihatan seperti biasa malah seperti telah dirasuk oleh sesuatu.

"Selepas dia berhentikan vannya di hadapan kedai saya dia terus keluar sambil memegang sebilah pisau. Dia tidak berkata apa-apa kepada saya tapi dia terus berjalan ke arah saya dan menghunuskan pisau itu ke sebelah kiri pinggang saya," kata wanita itu kepada para pemberita ketika ditemui di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Suami Lau yang enggan namanya disebut menyifatkan peristiwa yang menimpa isteri dan pekerjanya itu sebagai satu kejadian malang.

"Tapi nasib baik mereka selamat...," tambahnya lagi.

Menurut Lau, sebaik sahaja suspek menikam isterinya, suspek kemudiannya dengan selamba berjalan kembali ke arah pekerjanya Sulianti pula lalu menikam wanita itu. Kedua-dua mereka kini berada dalam keadaan stabil dan selamat.

Sementara itu seorang pemandu bas yang enggan dikenali berkata, dia telah menyaksikan kejadian itu di hadapan matanya dan nampak seorang lelaki yang kelihatan seperti "tidak betul" berjalan menuju ke vannya selepas menikam mangsa-mangsanya itu.

"Saya berlari ke arah mereka (mangsa) yang ketika itu sedang berdarah teruk dan salah seorang daripada mereka telah menunjuk ke arah van putih itu," katanya.

Dia kemudiannya telah menjerit ke arah pengawal keselamatan berhampiran stesen tersebut dan memintanya menembak ke arah van putih berkenaan tetapi pengawal itu tergamam dan tidak dapat melakukan apa-apa.

Katanya, jika mereka berjaya menahan van tersebut daripada beredar dari situ mereka mungkin telah berjaya menyelamatkan dua nyawa yang lain daripada melayang.

(Suspek kemudiannya memandu ke arah Stesen LRT Taman Melati pula dan dalam perjalanan ke situ telah menikam dua lagi mangsa - seorang lelaki tua dan seorang lagi pelajar kolej - yang membawa kepada kematian mereka).

Sementara itu seorang rakan serumah suspek seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku dan telah dilakukan oleh suspek.

"Sukar untuk percaya akan apa yang dah berlaku kerana dia adalah seorang yang baik. Dia tidak pernah menimbulkan sebarang masalah sebelum ini," ujar rakan serumah suspek yang telah enam tahun tinggal serumah dengannya di Selayang.

Dia telah bergegas pergi ke HKL untuk memastikan apakah benar rakan serumahnya itu yang terlibat dengan kejadian amuk dan bunuh tersebut selepas membaca berita mengenai kejadian itu dalam laman sosial Facebook.

"Saya tidak pernah melihat dia menghadiri atau terlibat dalam mana-mana kumpulan silat atau dakwah sebelum ini," katanya lagi. - 25/10/13




Tiada ulasan: