Jumaat, 25 Oktober 2013

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Suspek kes tembak, rompak Ambank larikan RM450,000

Posted: 24 Oct 2013 10:49 PM PDT

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Pengawal keselamatan yang menembak mati pegawai wanita dalam kejadian rompakan di Ambank cawangan Subang Jaya Rabu lepas, melarikan wang tunai berjumlah RM450,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Supt Tan Ah Chua ketika dihubungi Bernama hari ini, berkata maklumat itu disalurkan oleh pihak bank kepada polis.

Mengenai identiti sebenar suspek yang menggunakan nama Ardi Hamza itu, beliau berkata perkara berkenaan masih dalam siasatan."Polis sedang menunggu pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara," katanya.

Dalam kejadian 6.18 petang itu, Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak oleh suspek ketika beliau membuka peti besi di dalam bilik kebal bank berkenaan, bersama-sama seorang lagi pegawai wanita.

Mangsa yang sudah berkerja selama 16 tahun di bank itu meninggal dunia di tempat kejadian susulan kecederaan parah pada bahagian kepala akibat ditembak dengan 'pump gun' oleh suspek. - BERNAMA 

Mahkamah bebaskan Liong Sik dari tuduhan tipu k'jaan

Posted: 24 Oct 2013 08:10 PM PDT

Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini daripada tuduhan menipu kerajaan Malaysia berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi membebaskan Dr Ling selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan di akhir kes pembelaan.

Dr Ling, 70, yang diperintah membela diri pada 9 Mac tahun lepas, didakwa menipu kerajaan untuk memberi persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah, Pelabuhan Klang bagi pembinaan projek 'Mega Distribution Hub' yang kini dikenali PKFZ.

Dia didakwa menipu kerajaan apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1.088 bilion sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Kementerian Kewangan, dalam menentukan nilai itu, telah mengambil kira kadar kupon.

Dr Ling juga berdepan dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 Sept dan 6 Nov 2002.

- Bernama

Tiada ulasan: