Rabu, 9 Oktober 2013

.

.


Tiada kelulusan hutan simpang Chabang Tongkat manakala tanah Sg Tuang dah jadi milik orang

Posted: 09 Oct 2013 01:47 AM PDT

ULASAN SIDANG DUN KELANTAN                                                  

Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakub bersikap 'tawaduk' dan jujur menerima apa-apa isu yang dibangkitkan berhubung pentadbirannya dan mengucap terima kasih atas segala maklumat menyebabkan beliau boleh segera membuat semakan dan tindakan segera demi memperbaiki dan mempertingkatkan darjat kerajaan Kelantan.

Ahmad berterima kasih kepada Adun Salor.
Ahmad menzahirkan demikian semasa menggulung perbahasan dalam memberi respon kepada isu yang dibangkitkan pada perbahasan Bajet 2014 yang dibentangnya.

Isu paling panas mengenai permohonan hutan simpan di Hulu Sat Machang sebanyak 3,500 ekar yang dibangkitkan oleh Adun Salor, Husam Musa.

Sebagai pemerhati kerdil politik Kelantan saya juga turut memberi singgung kepada isu berkenaan secara lebih rakus sedikit beberapa hari lalu. Ia agak tersasar dari segi figure bila mana tersalah petik menyebabkan timbul kemarahan oleh pihak kerajaan Kelantan. Perlukah saya menyatakan kenapa dilakukan demikian adalah untuk kebaikan. Saya tidak ada apa-apa rekod kepentingan diri saya di Kelantan walaupun Kelantan sudah diperintah Pas 23 tahun.


Sekurang-kurang dua Exco yang memberi respon kepada isu yang dibangkitkan oleh saya itu, khasnya. Seorang Exco menyifatkan ia satu fitnah dan tohmahan nakal berhubung isu sekolah agama YIK, manakala seorang lagi tentang keluasan tanah yang berbangkit di daerah Machang. Saya akui akan kesilapan itu tetapi dalam beberapa jam kemudian setelah dicheck dan diperiksa angka itu perbetulkan.

Saya rasa kalau saya tidak membuat tohman nakal, isu berhubung YIK itu akan merebak lebih luas lagi. Apakah exco berkenaan tidak terfikir bahawa di sebalik kejahatan itu adalah nilai baik yang boleh dijadikan iktibar? Barang kali beliau suka kalau orang memuji mengenai dirinya biarlah kalau pun pujian itu boleh meriakkannya.

Walaupun figure mengenai keluasan tanah itu sudah diralat lebih dari dua kali, namun Exco berkenaan yang hafal membaca hadith dan ayat-ayat Quran, fasih hafa doa berjimak, terus membangkit dan mengungkitnya sebagai melebatkan khutbahnya di dalam DUN Kelantan. Barang kali dia merasakan mutu beliau sebagai seorang wakil rakyat meningkat dengan cara itu. Atau pun dia terlupa bahawa Dewan bukanlah masjid tempat untuk mengajar taranum, tajwid ataupun dijadikan jampi serapah hendak menunjukkan kita alim.

Sekiranya Exco yang satu ini tidak buta IT dan lembab mengejar maklumat dalam media baru dan bersikap dan bekeperibadian sebagai seorang yang taat kepada ayat-ayat yang dibaca, beliau tidak terus 'melawak' demikian sebaliknya mengulas mengenai isu atau subjektif yang ditimbulkan.

Exco ini boleh disifatkan orang tidak pandai bersilat tetapi melaung-laungkan dan mengepong gendang dan gong ke sana ke mari untuk mengatakan dia pandai bersilat.

Alhamudlilah Ahmad Yakub bijaksana dalam hal ini, beliau tidak memperlekehkan segala maklumat yang disampaikan baik oleh pihak BBC maupun pembangkang. Beliau terima dengan bersangka baik. Bahkan beliau mengucapkan terima kasih kerana isu itu dibangkit di mana membolehkan beliau memahami sesuatu perkara dan menjadi lebih berhati-hati.

Annuar Tan Abdullah, rengkas.
Katanya, misalnya selepas isu hutan simpan Hulu sat itu dibangkit beliau telah membuat semakan dengan memanggil Pengarah Perhutanan. Dalam semakannya mendapati permohonan itu memang ada dan beliau mengakui meminit dengan perkataan "sila uruskan" tetapi menjelaskan tidak ada apa-apa kelulusan atas permohonan berkenaan.

"Saya ucap terima kasih kerana membangkitkan perkara ini kerana membolehkan saya membuat semakan," begitulah kata Ahmad Yakub. Saya yakin dia berkata dengan jujur dan ikhlas. Sikap dan pendirian gentlemen beginilah yang kita mahui dan perlu dipuja sebagai pemimpin. Seorang pemimpin bukan saja boleh memberi nasihat kepada rakyat menegur kelalaian pegawai kerajaan tetapi dia juga harus bersedia untuk dinasihati.

Walaupun isu berkenaan sudah pasti menyakiti hatinya sebagai MB namun beliau masih boleh tersenyum dan cuba memberi penjelasan yang baik. Seharusnya sikap tawaduk, terbuka dan tidak suka melawak ataupun mengkhutbah orang seperti itulah yang harus ditiru dan dimiliki oleh para Exco Kelantan dan juga wakil rakyat seluruhnya.

Dalam pada itu juga Ahmad dalam meletakkan kerajaanya sebagai kerajaan yang suci dan mulia memberi jaminan dan akan menjadikan dasar setiap permohonan hutan simpan khasnya di Hulu Sat yang melibatkan dengan kawasan tadahan hujan tidak akan diluluskan sebelum ia mendapat persetujuan Jawatankuasa Kecil Perhutanan (JKKP) yang dipengerusinya sendiri.

Sebenarnya inilah hikmat di sebalik timbulnya isu permohonan hutan simpan itu, ia boleh memberi ruang dan jalan kepada kerajaan menjelaskan pendirian dan status sebenarnya. Kritikan seperti itu juga boleh mengemaskan kedudukan kerajaan seterusnya menjadi lebih berintegriti. Saya bersetuju dengan kata-kata Husam Musa mungkin juga kalau isu itu tidak dibangkitkan awal-awal menyebabkan ia boleh terlulus. Inilah rahmat dan hikmatnya.

Sementara itu DUN Kelantan juga menjelaskan berhubung permohonan PMBK ke atas tanah seluas 3,000 ekar di Sungai Tuang yang dikatakan mempunyai meneral bernilai ratusan juta ringgit bagi tujuan dijadikan modal membina lebuh raya rakyat.

Exco Perdagangan dan Perindustrian, Annuar Tan Abdullah menjelaskan kenapa permohonan PMBK itu tidak boleh diluluskan kerana lebih separuh kawasan itu telah diluluskan kepada dua buah syarikat lain melibatkan keluasan 2,500 ekar. Jelasnya sebanyak 24 buah syarikat yang memohon untuk mendapatkan kawasan berkenaan.

Dengan penjelasan rengkas dan tepat Annuar Tan itu bermakna penolakan permohonan PMBK yang bertujuan untuk membina lebih raya seperti dinyatakan Husam itu sebenarnya bukan disengajakan melainkan kerana ia sudah diluluskan kepada syarikat lain terlebih dahulu. Menghairankan juga kenapa butiran-butiran begini tidak diketahui Husam sedang beliau pernah berada dalam kerajaan.

Isu permohonan hutan simpan Hulu Sat dan penolakan permohonan PMBK ke atas tanah Sungai Tuang itu boleh dianggap selesai dengan penjelasan yang tuntas, telus dan terbuka di dewan hari ini. Semoga sekiranya ada hal-hal yang agak sulit tidak lagi dibawa ke dewan dan selesaikan diluar dewan kerana cara itu lebih harmonis. Dan perasaan berjauhan dan sakit hati juga boleh dihindarkan sekiranya exco yang fasih membaca ayat-ayat Quran dan mematikan hujah orang lain dengan seloka tok lebai tidak diberi masa panjang untuk bercakap. [wm.kl.4:29 pm 09/10/13]

Projek lebuh raya rakyat masih belum muktamad

Posted: 08 Oct 2013 09:44 PM PDT

ULASAN SIDANG DUN KELANTAN                                                

Exco Infrastruktur, Utilitis dan IT, Hanifa Ahmad hari ini memberi pencerahan berhubung projek pembinaan lebuh rakyat rakyat Kelantan yang terus menjadi tanda tanya apabila ia terhenti seketika disebabkan beberapa faktor yang kabur kepada umum.

Hanifa Ahmad
Hanifa dalam penggulungan dan menjawab beberapa persoalan yang dibangkit terhadap porfolio beliau menjelaskan status projek berkenaan waktu kini.

Menurutnya kontrektor dari Korea yang diberikan tanggungjawab itu sebelum ini sudah tidak berminat dengan projek berkenaan menyebabkan ianya dilupakan. Pernyataan itu dijelaskan dalam dua pucuk surat kepada kontrektor berkenaan dan juga kepada badan menguruskan projek berkenaan. Beliau membaca kedua-dua surat berkenaan.

Sehubungan itu katanya, kerana projek lebuh raya itu menjadi hasrat kerajaan dan ia sangat diperlukan, kerajaan mencari iniasitif untuk meneruskannya. Dalam keadaan itulah katanya, sebuah konsertium Icobound Sdbn Bhd mengemukakan proposal untuk membina porjek berkenaan.

Hari ini menurut Hanifa kajian mendalam telah dilaksnakan oleh konsertium berkenaan. Kerja-kerja teknikal mendalami mengenai harga dan perkara berkaitan. Katanya proposal itu sedang dikaji. Buat masa ini pihak konsertium sedang menilai kos sebenarnya.

Waktu ini proposal itu sedang diteliti oleh beberapa pihak termasuk JKR mengenai kos pembinaanya. Beliau menyebut anggaran dibuat oleh konsertium itu kos projek berkenaan sebanyak RM669 juta. Jelas Hanifa sekiranya harga itu munasabah setelah ia dinilai oleh JKR ia akan diserahkan.

Bagaimana pun sekiranya harga meningkat lebih daripada yang dianggarkan dan kos itu tidak disetuju maka konsertium itu akan dilucutkan.

Beliau menjelaskan kalau itu berlaku projek itu akan ditendar kepada umum dan mana-mana pihak atau kontektor boleh mengemukakan proposal. Kesimpulannya projek pembinaan lebuh raya rakyat itu masih belum dimuktamadkan. Bagaimana pun beliau menjangkakan keputusan muktamad akan diperolehi dalam tempoh sebulan dua ini.

Dengan penjelasan Hanifa itu isu mengenai projek lebuh raya itu sedikit sebanyak terjawab dan mengurangkan persepsi negatif terhadapnya. [wm.kl.12:39 pm 09/10/13]

Husam memangkinkan ucapan Ahmad Yakub

Posted: 08 Oct 2013 04:00 AM PDT

ULSAN  SIDANG DUN KELANTAN                                                     

Kelmarin buat pertama kalinya Ahmad Yakub sebagai Menteri Besar Kelantan telah membentangkan Bajet untuk negeri Kelantan bagi tahun 2014 di DUN Kelantan. Saya sempat meneliti dan memperhalusi tesk ucapan beliau. Ucapan atau Bajet bertemakan "Kesejahtraan Rakyat Kemakmuran Negeri' itu merupakan legasi Bajet Tokguru Nik Aziz sebelum ini. Ia dikira menarik dengan mengemukakan empat paksi utama;

Ahmad Yakub
1. Merancakkan pembangunan ekonomi rakyat,

2. Memperkasakan pembangunan Insan berteraskan Islam,
3. Pembelaan golongan daif dan miskin, OKU, anak yatim dan warga emas,
4. Mengukuhkan keupayaan institusi dan badan pelaksana bagi tujuan mencapai maksud dan tujuan.

Keempat paksi ini mencakupi aspek penting yang sangat dibutuhkan rakyat Kelantan waktu ini. Untuk belanjawan tahun depan diperuntukan sebanyak RM559.64 juta meningkat sebanyak RM23.69 juta berbanding bajet tahun lepas. Di mana sebanyak RM28.08 juta untuk perbelanjaan tanggungan manakala sebanyak RM531.59 juta untuk perbekalan. Tahniah kepada Ahmad.

Saya tidak mahu menyentuh banyak ucapan beliau, kerana bajet merupakan satu unjuran matemetik mengenai kewangan negeri bagi digunakan untuk pengurusan dan pembangunan. Angka-angka yang dikemukakan adalah munasabah setelah ia dikaji dari setiap sudut dan ia memberi satu hala tuju untuk dicapai oleh kerajaan bagi tempoh setahun akan datang. Sudah pasti kalau ia dibelanjakan dengan berhemat, telus dan bijasakana ia akan jaya.

Husam Musa
Keseluruhannya intipati bajet itu baik dan menarik. Sama ada segala kewangan dan peracangan yang dijana dalam bajet itu berjaya atau sebaliknya ia bergantung kepada implimentornya terdiri pegawai kerajaan, agensi pelaksana, para pemimpin kerajaan dan oposisi dan rakyat sendiri. Mereka inilah menjadi penentu kepada jaya atau gagalnya bajet itu mencapai sasaran.

Ternyata Ahmad menaruh harapan besar kepada peruntukan itu akan meletakkan Kelantan seperti mana diharapkan. Beliau sangat berharap agar semua pihak memberi kerjasama dan iltizam ke atasnya untuk kepentingan rakyat. Harapan ini dimadakah seperti mana berikut;

"Di kesempatan ini juga, saya ingin menyeru semua Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk sekali lagi memperbaharui azam bagi menyumbang khidmat yang terbaik, demi memikul amanah Allah serta melaksanakan harapan rakyat dan tanggungjawab ummah. Marilah kita sama-sama menyinsing tangan bekerja keras menjayakan agenda membangunkan negeri Kelantan mengikut landasan syariat agar bumi yang kita cintai ini menjadi makmur, dipenuhi barakah, rakyat sejahtera, serta sentiasa mendapat keredhaan Allah yang Maha Pengampun."

Dalam doa akhir beliau semasa menyampaikan ucapan belanjawan itu beliau menyebut dam berharap;

"Ya Allah, perbaikilah bagi kami agama kami sebagai benteng urusan kami, perbaikilah bagi kami dunia kami yang menjadi tempat kehidupan kami, perbaikilah bagi kami akhirat kami yang menjadi tempat kembali kami! Jadikanlah ya Allah kehidupan ini mempunyai nilai tambah bagi kami dalam segala kebaikan dan jadikanlah kematian kami sebagai kebebasan kami dari segala kejahatan!"



Di sini suka saya 'mendempet'kan harapan dan visi Ahmad Yakub yang diserlahkan dalam bajet itu dengan ucapan perbahasan oleh bekas Exco Kewangan, Peracangan Ekonomi, Perkhidmatan Awam dan Kebajikan Kelantan sebelum Husam Musa. Agak panjang lebar juga ucapan Husam membahas ucapan perbelanjawan itu. Ucapan itu menunjukkan bahawa Adun Salor ini terus memberi komitmen dan iltizamknya untuk menjayakan Kelantan walaupun beliau kini bertaraf sebagai Adun biasa sahaja dan tidak lagi berada dalam kerajaan.

Walaupun ucapan Husam seperti dikatakan pada hujungnya, ianya agak pahit kerana beliau melakukan muhasabah atau kritikan ke dalam, tetapi ia harus ditelan dengan lunak dan 'jelira' kerana ia bersifat ubat. Semestinya ubat sifatnya semua pahit. Dan seharusnya Ahmad Yakub dan barisan exconya serta penasihat kerajaan (master mind) bersikap baik dengan kritikan dan cadangan-cadangan dikemukakan Husam dan tidak dijudiskan.

Ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian khusus ke atas idea Husam dimana kalau ia dilaksanakan, wawasan, azam dan litizam Ahmad Yakub seperti ditumpahkan dalam ucapan bajet, Kelantan akan berjaya dan Kelantan terus mengekalkan pretasi selama 23 tahun. Apa ditekan Husam dalam perbahasannya mengenai akauntibiliti dan ketelusan dalam kerajaan.

Penekanan ini relevan dan sesuai dengan tonggak atau dasar kerajaan Membangun Bersama Islam yang sudah berusia 23 tahun itu, iaini; Ubudiyyah, Mas'uliyyah dan Itqan. Dari ketiga mauduk ini soal mas'uliyyah atau accauantablity adalah konsep pentadbiran yang sangat penting dan menjadi fokus beliau.

Dalam hal ini Husam mencadangkan agar Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) diberi wajah baru dengan menjadikan ia sebuah badan sepenuh masa dan benar-benar telus dimana ianya di isi oleh pegawai terlatih seperti akauntan, peguam, pegawai yang dipinjamkan dari SPRM, manakala penegerusinya diberi taraf eksekutif dengan syarat beliau tidak memegang jawatan lain dalam kerajaan.

Tegasnya demi mewujudkan sebuah PAC yang berintegriti dan dihormati ini semua anggota PAC atau Jawatnkuasa Akaun Awam bebas dari sebarang jawatan sama ada pengerusi anak-anak syarikat, timbalan Exco atau jawatan lain.

Sehubungan itu beliau meminta mana-mana wakil rakyat yang menganggotai PAC tetapi memegang jawatan-jawatan lain mengosongkan jawatan itu secara sukarela untuk diisi oleh orang lain.  Husam yakin konsep ini bebas dari pertentangan kepentingan atau confilict of interest di mana ia penting bagi memastikan PAC benar-benar berfungsi.

Hujahnya sudah tentu kalau jawatankuasa itu dianggotai oleh mereka yang ada kepentingan ia tidak dapat melaksanakan tugas dengan telus dan boleh dipertikainkan.

Beliau memberi contoh; jika beliau anggota PAC dan dalam masa sama adalah pengerusi anak syarikat, sudah tentu sekali semasa pemeriksaan dia tidak hadir manakala rakan-rakan dalam PAC adalah rakannya tentulah mereka segan untuk bertindak.

Cadangan bagi memperkasa atau memberi wajah baru kepada PAC ini adalah sejajar dengan hasrat Ahmad Yaakub yang mahu memastikan semua perancangan negeri demi kepentingan rakyat dilaksanakan dengan penuh ikhlas dan jujur. Lagi pun ia dikira tepat dan kena pada masanya PAC yang sebegitu boleh menjadi pengganti kepada badan Hisban yang pernah dijanjikan untuk diwujudkan tetapi tidak terlaksanakan sampai kini.

Tidak ada sebab dan helah lagi kalau kerajaan tidak mahu mewujudkan perkuatkan kedudukan PAC ini kerana dengan perwujudannya yang akan berfungsi dengan baik boleh meminimakan ketirisan, pembaziran, penyelewengan, lelengahan, kecuaian dan niat serong dan amalan negatif yang lain.


"Saya yakin, jika kita memperkuatkan PAC dengan wajah baru dan dengan niat mendapat sebuah pasukan yang boleh memeriksa perjalanan kerajaan, kita boleh meminimakan ketirisan, pembaziran, penyelewengan, kelengahan, kecuaian dan niat serong dan amalan negatif  yang lain. Hasil negeri Insya Allah akan meningkat dan idea-idea baru tentang pengurusan hasil mahsul dan khazanah Negeri Kelantan akan terjelma dan negeri kita bukan sahaja benar-benar makmur bahkan lebih diredhai oleh Allah dan memudahkan hisab kita Insya Allah di Padang Mahsyar nanti." tegasnya.

Dalam ucapan yang dikira ikhas tetapi sedikit beremosi itu untuk menjamin sebuah kerajaan yang telus dan diyakini rakyat Husam juga sebagai sifat wakil rakyat turut membangkitkan beberapa tindakan kerajaan yang dianggap cacat selepas ketiadaan Tokguru Nik Aziz apabila beberapa aspirasi dan kehendak Tokguru Nik Aziz dibelakangkan.

Salah satu yang beliau bangkit ialah berhubung pembatalan kelulusan kawasan lobong biji besi di Sungai Tuang yang dipohon PMBK sebanyak 3,000 ekar. PMBK telah pun diberi kelulusan untuk melaksanakan tander sendiri ke atas tanah tersebut tetapi ia ditarik balik selepas kerajaan baru dibentuk. Husam seakan kesal dengan tindakan itu kerana tujuan permohonan tanah di Sungai Tuang itu adalah untuk pembinaan lebuh raya rakyat.

Umum faham beliau tidak perlu menyebut perkara-perkara itu kerana ia bersifat dalaman, tetapi wajar juga untuk beliau menjawab persoalan yang bergeliwat di luar sana yang bertanya mengenai lebuh raya rakyat. Dengan pembangkitan isu itu setidak-tidaknya orang ramai dapat mengetahui apa yang berlaku dan ini mengurangkan persepsi buruk ke atasnya.

Bagi Husam langkah kerajaan membatalkan permohohan itu dan mengambil konsultan baru untuk membuat kajian ke atas projek lebuh raya itu meragukan keupayaannya. Kontrektor yang dikatakan akan ditawar membina lebuh raya itu belum ada track rekod, katanya sebatang jalan penggawa pun tidak pernah dibina. Icobound Sdn Bhd konsultan yang diberikan tanggungjawab membina lebuh raya itu juga katanya diragui akan keupayaannya serta intergriti pemiliknya.

Perkara kedua dibangkit Husam dalam ucapan penuh bernada nasihat dan kebimbangan tadi ialah berhubung ura-ura kelulusan tanah hutan simpan kekal di Hulu Set Machang seluas 3,500 ekar kepada sebuah syarikat milik individu kebetulan kroni kepada pemimpin tertinggi Kelantan.

Menurutnya ada beberapa sebab kenapa cadangan kelulusan itu perlu ditarik balik. Pertama, katanya semasa pentadbiran Tokguru Nik Aziz dalam mesyuarat pada Jun 1990 dulu semua permohonan baru di hutan berkenaan hendaklah ditolak. Hutan ini dikelaskan sebagai hutan terkaya di Kelantan buat masa ini. Manakala mana-mana bahagian Hutan Simpan Kekal Hulu Sat diletakkan sebagai Hutan Pengeluaran, maka ia hendaklah ditander dan bukan diberi menerusi permohonan dua muka surat.

Beliau menyatakan kekesalan berhubung permohonan itu apakah pegawai di pejabat MB tidak menyemak terlebih dahulu status tanah itu sebelum diluluskan. Husam meminta penjelasan mengenai berhubung perkara ini semasa Exco memberi penjelasan dan menjawab apa-apa yang dibangkitkan dalam perbahasan bajet nanti.

Dan sekiranya cadangan kelulusan itu tidak ditarik balik ini bermakna kerajaan pimpinan Ahmad Yakub hari ini tidak menghormati kehendak-kehendak atau amanat Tokguru sebelum ini yang mahu hutan simpan itu dijadikan khazanah negeri Kelantan dengan menganggapnya ia sebagai paru-paru negeri Kelantan.

Kesimpulannya ada kesamaan di antara harapan dan aspirasi Ahmad Yakub yang dipacarkan dalam ucapan belanjawan itu dengan apa yang dibangkitkan oleh Husam. Kita cukup yakin apa yang Husam buat itu bukan kerana dendam atau kebencian kepada sesiapa tetapi atas rasa tanggungjawabnya terhadap kerajaan yang didokongnya berlandaskan kepada ayat Quran yang beliau baca sebelum memulakan perbahasan iaitu surah al-Ashr. [wm.kl.6:44 pm 08/10/13]

Tiada ulasan: