Isnin, 28 Oktober 2013

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Jin Pindahkan Surau Ke Tingkat 3

Posted: 27 Oct 2013 05:46 AM PDT

ALOR SETAR - Pelan asal dan reka bentuk surau di Kompleks Beli Belah Aman Central bagi menggantikan Madrasah Salihiah yang diroboh, didakwa diubah dengan meletakkan kedudukan surau di tingkat tiga kompleks itu.

Ura-ura mengatakan selepas kerajaan Pas kecundang dalam PRU13 lalu, pihak tertentu telah mengubah pelan asal yang dipersetujui pada Januari 2012 itu.


Sumber berkata, mengikut pelan asal, surau yang boleh diakses dari luar kompleks itu diubah ke tingkat tiga bagi memberi laluan kepada premis komersil.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak menegaskan, pada mulanya kedudukan surau di tingkat tiga, namun selepas perbincangan dan atas permintaan Azizan, pemaju bersetuju membina di tingkat bawah untuk kemudahan jemaah.

Berdasarkan persetujuan itu, pemaju akan membina surau satu setengah tingkat dengan seni bina bercirikan Islamik moden menggunakan cermin separa lut sinar atas keluasan 4,800 kaki persegi.

Sebuah kubah dan menara turut dibina pada bahagian sisi hadapan bercirikan Timur Tengah pada bahagian luar, menjadikan surau ini seolah-olah sebuah bangunan berasingan.
Saiz surau baru lebih besar dan mampu memuatkan 400 jemaah pada satu masa.

Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah (BBSMS) yang membantah perobohan madrasah itu juga akur dengan keputusan, berikutan dijanjikan tapak baru bagi pembinaan surau baru.

Ketika diajukan perkara itu kepada Exco Agama, Mohd Rawi Abd Hamid, katanya, ia di luar pengetahuan kerajaan negeri jika benar berlaku seperti didakwa.

"Saya tidak dimaklumkan jika ada pihak mengubah pelan asal seperti dipersetujui dengan kerajaan negeri terdahulu. Pemaju atau pihak tertentu tidak boleh sewenang-wenangnya melanggar persetujuan asal, biarpun kerajaan bertukar tangan," katanya.

Menurutnya, pihaknya akan menyiasat dakwaan itu dengan segera.

Tambahnya, setakat ini, kerajaan negeri pimpinan BN tetap dengan persetujuan asal dan mengikut pelan terdahulu.

Tiada ulasan: