Rabu, 11 September 2013

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Siapa Penyamun Politik Curi Wang Negara RM51 Bilion Setahun

Posted: 11 Sep 2013 07:54 PM PDT

Siapa Penyamun Politik Curi Wang Negara RM51 Bilion Setahun

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, hanya dengan melaksanakan tender terbuka yang berdaya saing dan menentang rasuah negara akan dapat menjimatkan wang sebanyak RM51 bilion setiap tahun.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga boleh meyakinkan orang ramai akan keikhlasan beliau dan keperluan menaikkan harga petrol RON95 sebanyak 20 sen seliter untuk menjimatkan kos subsidi tahunan sebanyak RM3.3 bilion.

Beliau berkata, tanpa langkah yang menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap rasuah, orang ramai akan dengan mudah mempertikaikan keikhlasan kerajaan dan melihat tuntutan untuk mengurangkan kos sebagai palsu.

"Mengapa rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah, perlu menanggung penderitaan membayar RM3.3 bilion setahun kerana peningkatan harga petrol jika tiada tindakan diambil terhadap penyamun politik yang mencuri RM51 bilion setiap tahun daripada wang negara," katanya ketika berucap kepada Diaspora Pulau Pinang di Hong Kong, yang diterbitkan di Komtar, semalam.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, berdasarkan pengalaman tanggungjawab fiskal dan memerangi rasuah oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang dan Selangor, sekurang-kurangnya penjimatan 25% setahun boleh dicapai daripada kontrak perolehan kerajaan.

"Lebihan bajet tahunan di Pulau Pinang, peningkatan rizab aset sebanyak 50% dan pengurangan hutang kerajaan negeri Pulau Pinang dengan rekod 95% membuktikan keberkesanan langkah integriti daripada tender terbuka yang berdaya saing kepada pengisytiharan aset awam.

"Dengan anggaran RM201 billion kontrak perolehan Kerajaan Persekutuan setiap tahun, penjimatan minimum 25% akan berjumlah RM51 bilion.

"Mengapa kerajaan Persekutuan BN bersikap berkira pada satu sisi tetapi membenarkan pembaziran yang besar pada sisi lain dengan tidak memberi tumpuan kepada potensi penjimatan RM51 bilion yang memberi manfaat kepada hanya beberapa kroni kaya dan bukannya memaksa 28 juta rakyat Malaysia menanggung RM3.3 bilion daripada kenaikan harga petrol," tambahnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, bukan sahaja Kerajaan Persekutuan gagal melaksanakan logik mudah ini, sebaliknya mereka cuba mengalihkan perhatian daripada kesimpulan yang tidak dapat dielakkan dengan memainkan isu perkauman, sentimen agama dan pelampau.

Menurutnya, taktik perkauman dan pelampau digunakan dengan jayanya oleh BN untuk mengelak daripada mendepani empat masalah sebenar Malaysia, iaitu jenayah, rasuah, peningkatan hutang kerajaan dan setiap isi rumah serta penurunan taraf pendidikan, produktiviti dan kemahiran tenaga buruh Malaysia.

"Di Hong Kong, ramai pelabur dan penganalisis mengenal pasti empat isu utama ini yang menjadikan Malaysia kurang menarik atau kurang berdaya saing.

"Mengurangkan jenayah tidak begitu sukar jika kerajaan Persekutuan BN bersedia membenarkan polis memerangi jenayah dan bukannya memantau pemimpin pembangkang.

"Pada masa ini hanya 10% daripada pasukan polis yang terbabit dalam penyiasatan jenayah. Jika jumlah ini meningkat kepada 50% daripada pasukan polis keseluruhannya, saya pasti polis akan dapat menumpaskan penjenayah di Malaysia dengan lebih berkesan," ujarnya.

Guan Eng berkata, BN mendakwa hutang Kerajaan Persekutuan kini 54% daripada KDNK, bagaimanapun ini tidak termasuk hutang dijamin kerajaan yang akan meningkatkan jumlah hutang Kerajaan Persekutuan kepada 70%.

Katanya, jika hutang 70% kepada nisbah KDNK adalah tinggi, hutang isi rumah adalah lebih tinggi pada 83.5% daripada KDNK.

"Kebergantungan sedemikian kepada hutang adalah kesan pinjaman fiskal melulu sebagai jalan keluar mudah daripada masalah negara kita. Kerajaan Persekutuan perlu menunjukkan kepimpinan melalui teladan kepada setiap isi rumah dengan mengurangkan pergantungan hutang.

"Kerajaan Persekutuan juga gagal melabur untuk masa depan tanpa melabur dalam pendidikan yang berkualiti. Banyak pelabur asing dalam bidang teknologi tinggi berintensifkan pengetahuan merungut tentang kemerosotan kualiti dan penurunan tenaga kerja negara ini di semua peringkat, terutamanya penguasaan lemah Bahasa Inggeris.

"Dengan penetapan piawaian BN pada tahap cukup makan semata-mata dan bukannya budaya kecemerlangan, kepada kuota politik dan bukannya prestasi dan retorik kosong dan bukannya tindakan konkrit, Malaysia berisiko ditinggalkan bukan sahaja oleh pelabur asing berteknologi tinggi tetapi juga bakat terbaik kita yang berhijrah ke negara lain seperti Hong Kong," tambahnya.

Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berani menawarkan model di mana prestasi adalah lebih penting berbanding latar belakang politik, di mana usaha dibuat untuk menarik institusi pendidikan yang berkualiti di semua peringkat, di mana sebuah kerajaan yang jujur dan cekap melalui perkongsian dengan sektor swasta dan sektor awam serta sebuah bandar yang selamat, bersih, hijau dan sihat boleh memberikan penyelesaian kepada empat masalah yang disebut di atas. -Roketkin

MALAYSIA NEGARA KE 56 "BAHAGIA". SYUKUR....MALAYSIA AMAN

Posted: 11 Sep 2013 04:33 AM PDT

Punca Denmark menjadi negara paling bahagia di dunia - Muhammad Imran Ismail

September 11, 2013

Denmark sekali lagi mengekalkan takhta sebagai negara paling bahagia di dunia berdasarkan laporan tahunan kedua yang dikeluarkan oleh UN Sustainable Development Solutions Network, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam Laporan Kebahagiaan Dunia 2013 (World Happiness Report 2013).

Tahap kegembiraan sesebuah negara dinilai berdasarkan enam elemen penting iaitu kesihatan jangka hayat (health life expectancy), persepsi terhadap rasuah (perceptions of corruption), KDNK per kapita (GDP per capita), kebebasan untuk membuat pilihan hidup (freedom to make life choices), sokongan sosial (social support) dan juga and kemurahan hati (generosity). Laporan yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik di Earth Institute di University of Columbia itu mengklasifikasikan tahap kebahagiaan pada skala 1 hingga 10. Denmark mendapat 7.693 mata manakala Malaysia pula berada di tangga ke-56 dengan 5.760 mata dari keseluruhan 156 negara yang tersenarai.

Apa yang menarik, kelima-lima negara yang mengungguli carta negara paling gembira atau bahagia di dunia adalah negara yang terletak di utara eropah iaitu Denmark (1), Norway (2), Switzerland (3), Netherlands (4) dan juga Sweden (5).  Jadi, apakah punca sebenar rakyat di negara tersebut gembira dan bahagia? Adakah faktor cuaca dan lokasi sesebuah negara?

Kebajikan rakyat terjaga

Denmark sememangnya cukup dikenali sebagai model contoh sebuah negara kebajikan. Semua warganegara mempunyai hak yang sama dalam aspek keselamatan sosial dan beberapa perkhidmatan disediakan untuk rakyat secara percuma. Contohnya kemudahan kesihatan. Di Denmark, setiap individu bebas memilik klinik panel dan doktor keluarga masing-masing. Ini termasuk semua penduduk sama ada berstatus penduduk tetap ataupun sementara. Semua diberikan insurans kesihatan bagi menjamin kebajikan orang yang menetap di Denmark terjaga.

Tidak keterlaluan dinyatakan bahawa negara ini turut menitikberatkan kebajikan haiwan peliharaan. Penulis sendiri pernah melalui pengalaman yang merumitkan walau sekadar ingin memelihara ikan kecil di dalam rumah. Ini adalah kerana untuk memelihara ikan, sampel air di rumah perlu dihantar untuk dianalisis dan perlu membeli akuarium yang mempunyai saiz tertentu serta lengkap dengan peralatan khas termasukkan sistem pengaliran udara dan juga penapisan air. Pendek kata, jika tuntutan tersebut tidak dapat dipenuhi maka ikan tidak akan dijual. Semua langkah ini dijalankan bagi memastikan kebajikan ikan yang bakal dipelihara terjaga.

Pendidikan percuma

Dalam sistem kebajikan Denmark, pendidikan juga adalah percuma dari sekolah rendah hingga universiti. Kadar literasi di Denmark antara yang tertinggi di dunia iaitu 99%.  Pendidikan awal kanak-kanak lebih tertumpu sebagai tempat membina kemahiran berdikari dan bersosial serta menyuburkan nilai murni dan jati diri. Pelajar sekolah tidak terbeban dengan timbunan kerja sekolah yang perlu dilangsaikan setiap hari. Sekali seminggu, guru akan membawa kanak-kanak kecil melawat zoo, muzium, taman rekreasi dan tasik dengan hanya menaiki pengangkutan awam seperti bas dan juga keretapi tanpa perlu menempah bas sekolah atau van. Mudah dan senang bukan?

Semua mahasiswa di universiti tidak perlu membayar yuran pengajian bagi institusi pengajian tinggi awam dan juga hampir semua institusi pengajian tinggi swasta. Malahan semuanya ditawarkan bantuan kewangan bulanan yang dikenali sebagai Statens Uddannelsesstøtte  (The State's Educational Support). Institusi pendidikan di Denmark mempunyai tahap yang tinggi dan menggabungkan pendekatan pembelajaran yang inovatif bagi menghasilkan pelajar yang berperananan aktif dalam masyarakat berasaskan pengetahuan global. Apa yang menarik, institusi pendidikan turut mendapat manfaat daripada kerjasama yang erat dengan pihak industri dan institusi penyelidikan lain bagi memperkayakan suasana pembelajaran yang efektif untuk pelajar.

Kerja sedikit, gaji banyak 

Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) pada tahun lalu melaporkan pekerja di Denmark mempunyai purata tempoh waktu kerja yang kedua terendah selepas Netherlands iaitu hanya 33 jam seminggu. Semua pekerja turut memperolehi sekurang-kurangnya lima minggu cuti bergaji untuk bercuti di musim panas. Tidak dinafikan pekerja di Denmark juga turut selesa menikmati gaji bulanan yang tinggi. Misalnya gaji minimum yang disyaratkan oleh kerajaan Denmark adalah 115 danish kroner iaitu kira-kira RM66 sejam.

Bagaimanapun, pekerja dikenakan cukai yang cukup tinggi. Purata cukai yang dikenakan adalah dari 38-55% bergantung kepada jumlah pendapatan tahunan. Malah, potongan cukai boleh mencapai sehingga 68%. Walaupun cukai yang dikenakan tinggi, warga tempatan seolah reda kerana mereka sama-sama dapat menikmati kemudahan dan prasana kelas pertama yang disediakan kerajaan. Misalnya, jaringan pengangkutan awam yang efisen serta pilihan perkhidmatan internet dan telekomunikasi yang baik.

Selain itu, undang-undang buruh negara Denmark mengamalkan konsep 'flexicurity' iaitu gabungan unik di antara fleksibiliti (flexibility) dan juga keselamatan ataupun jaminan (security). Konsep unik ini membolehkan  majikan bebas melantik atau memecat pekerja. Bagaimanapun, sekiranya dipecat, pekerja tersebut akan dilindungi kerajaan yang mana penganggur berhak mendapat gaji minimum yang membolehkannya menyara hidup sehingga mendapat kerja yang baru dalam tempoh dua tahun.

Pekerja juga mempunyai waktu kerja yang fleksibel. Kebanyakan majikan membenarkan pekerja memilih waktu masuk kerja. Apa yang penting kerja yang ditugaskan diselesaikan dalam tempoh waktu kerja yang ditetapkan. Lebih menarik, ibu yang melahirkan anak boleh mendapat cuti bersalin dengan gaji penuh sehingga setahun. Manakala si bapa pula boleh mendapat cuti bergaji jika pasangan bersalin hingga tiga bulan. Menarik bukan?

Persekitaran sihat dan selamat

Penduduk di sekitar bandar Copenhagen gemar menggunakan basikal untuk ke sesuatu tempat. Oleh itu kesesakan lalu lintas adalah sangat kurang walaupun pada waktu puncak. Situasi ini bukan sahaja baik untuk alam sekitar malah baik untuk kesihatan. Masyarakat tempatan juga gemar melakukan aktiviti riadah tanpa mengira waktu. Seringkali kelihatan orang ramai bersenam dan berjoging tidak kira dalam kehujanan, pada waktu malam malah semasa salji turun sekalipun. Di kawasan kejiranan pula banyak disediakan taman kecil dan tempat beriadah. Sementelahan  itu, jika cuaca baik, maka berpusu-pusu orang ramai keluar bersiar-siar atau hanya sekadar duduk di bangku di beranda sambil menikmati sinar mentari.

Malah sewaktu musim sejuk sekalipun mereka gemar menceriakan suasana sambil beristirehat di rumah dengan memasang lilin beraroma atau lebih dikenali sebagai 'hygge' dalam bahasa tempatan. Perkataan itu sendiri sebenarnya sukar didefinisikan kerana mempunyai konotasi berbeza-beza. Tetapi boleh ditakrifkan sebagai keselesaan. Contohnya, dengan menikmati secawan kopi sambil dibaluti selimut sambil membaca buku. Suasana sebegini sudah tentu mendamaikan dan membuatkan hati menjadi tenang dan selesa.

Antara faktor lain yang menjadikan seseorang itu sentiasa gembira adalah apabila berasa selamat. Kadar jenayah di Denmark secara keseluruhannya rendah. Jarang sekali terdengar kes tembakan, kecurian atau rompakan. Tirai besi tidak diperlukan untuk membaluti tingkap kaca rumah. Anak kecil juga boleh bebas bermain di sekitar kediaman tanpa ibu bapa perlu risau bahaya kes penculikan.

Lantaran itu, faktor sebegini mendorong rakyat di Denmark menjadi sentiasa ceria dan gembira serta sangat berpuas hati dengan kehidupan masing-masing. Memang penduduk negara kaya cenderung untuk lebih bahagia tetapi kekayaan sesebuah negara bukanlah menjadi faktor penentu untuk mengukur tahap kebahagiaan.


* Penulis adalah pelajar yang baru menamatkan ijazah sarjana di Copenhagen, Denmark.

Tiada ulasan: