MIMPI SENJA |
Eja Azam Tidak Tinggalkan Solat Selepas Bertudung Posted: 19 Sep 2013 10:52 AM PDT oleh FERIDE HIKMET ATAK (feride@thestar.com.my) PETALING JAYA: Selepas membuat keputusan bertudung sekembalinya dari menunaikan umrah pada Mac lalu, pelakon Eja mempraktikkan diri untuk tidak meninggalkan solat. Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah Saifuddin, 41, berkata, selama ini dia jarang melengkapkan sembahyang lima waktu yang diwajibkan untuk umat Islam kerana kesibukan tetapi selepas mendapat hidayah Allah, dia akan pastikan kewajipan itu dapat dilaksanakan walaupun di lokasi penggambaran. "Sebagai manusia, banyak kekurangan yang saya miliki kerana sibuk dengan hal-hal dunia dan sepanjang 17 tahun berada dalam industri seni, kadang-kadang saya lupa terhadap kewajipan saya. "Tetapi sejak pulang daripada mengerjakan Umrah buat kali keempat, hati dan fikiran saya sudah mula berubah. "Saya memastikan diri ini tidak tinggalkan solat dan seandainya terlepas dengan tidak sengaja, saya akan qada semula. Selebihnya saya serah kepada Allah," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Khamis. Tambah pelakon yang popular dengan filem Sepi dan Janin ini, perubahan imej bertudung juga membuatkan dia lebih berjaga-jaga daripada segi tingkah laku serta pertuturan agar tidak dipandang serong. Malah Eja juga berazam untuk melakukan kebaikan sesama manusia agar dapat menggembirakan mereka selain berusaha tidak melukakan hati sesiapa. Sementara itu, Eja juga bersyukur imej baharu itu tidak menyekat rezekinya sebagai pelakon sebaliknya tawaran yang diterima tidak pernah putus termasuklah turut dilantik menjadi duta buat produk Cosry Skin Therapy. "Kalau nak tahu, saya menandatangani kontrak dengan pihak Cosry sebelum bertudung dan Alhamdulillah apabila bertudung, mereka tetap menerima imej baru saya ini. "Dan saya berpendapat, apabila kita melakukan perubahan kerana Allah, sudah pasti rezeki kita sentiasa ada dalam apa-apa situasi sekalipun asalkan kita rajin berusaha," ujarnya. Dalam pada itu Eja turut menasihati artis-artis bertudung lain agar tidak risau untuk meneruskan karier kerana industri hiburan tempatan sekarang ini lebih terbuka. Mengenai perkembangannya Eja baharu selesai menjalani penggambaran filem Tembus,arahan Ahmad Idham dan Manisnya Cinta (Bernard Chauly). Malah Eja juga bakal mengacarakan sebuah program televisyen mengenai isu wanita dan berhajat mengarah sebuah filem pendek tidak lama lagi. |
Lebih 1,000 nikah di Siam setiap bulan Posted: 19 Sep 2013 05:31 AM PDT
SONGKHLA - Setiap bulan lebih 1,000 rakyat Malaysia memilih untuk bernikah di selatan Thailand kerana keterbukaan negara Gajah Putih itu dalam hal perkahwinan. Konsulat Jeneral Malaysia di sini, Mohd Faizal Razali berkata, jumlah tersebut tidak termasuk pernikahan yang dilakukan melalui sindiket haram, di sini. "Kebanyakan mereka kahwin di selatan Thailand untuk mengelak perkahwinan mereka diketahui isteri pertama yang (dirasakan) tidak memberi persetujuan berpoligami atau keterlanjuran tetapi dihalang ibu bapa dan ahli keluarga. "Di selatan Thailand prosedur dan proses pernikahan tidak rumit serta cepat dan rata-rata pasangan yang berkahwin terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Paling ramai adalah yang berumur dalam lingkungan 30-an," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan persatuan mewakili 12 sekolah, di sini, semalam. Turut hadir, Pengerusi KPTM, Mohd Azis Jamman, Pengarah KPTM, Dr Wan Sabri Wan Hussain, Pengarah Kampus KPTM Kota Bharu, Mohamed Saifuddin Hussin dan pengetua-pengetua 12 sekolah yang terlibat. Menurutnya, kebanyakan pasangan terdiri daripada mereka yang tinggal di negeri bersempadan Malaysia-Thailand seperti Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan. Mohd Faizal berkata, jumlah tersebut dijangka lebih ramai jika turut melibatkan pernikahan melalui sindiket haram yang mengenakan bayaran dari RM1,700 hingga RM3,000 bagi setiap akad nikah.\ Katanya, apa yang menyedihkan ialah sindiket haram mengenakan bayaran tinggi tetapi kebanyakan proses pernikahan yang mereka uruskan diadakan di tempat yang tidak sesuai seperti di kedai makanan, dalam kenderaan dan tidak kurang yang diadakan hanya di tepi jalan. Beliau berkata, melalui konsulat, pernikahan dilakukan melalui proses yang sah mengikut garis panduan daripada Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Wilayah berkenaan serta mendapat pengesahan Pejabat Konsul Malaysia, di sini. "Melalui pihak konsul Malaysia, pasangan yang ingin bernikah hanya perlu mengeluarkan RM50 untuk pemprosesan dokumen dan ia juga tidak serumit yang dilakukan oleh pihak sindiket. "Tugas utama kami adalah bagi memastikan bahawa perkahwinan yang berlangsung itu mengikut garis panduan dan mengelakkan pasangan daripada menjadi mangsa penipuan sindiket," katanya. Menurutnya, melihat kepada sikap rakyat Malaysia yang suka ambil jalan mudah untuk berkahwin, beliau menyeru orang ramai agar tidak bernikah melalui sindiket kerana prosedurnya tidak sah dan akan beri kesan kepada keturunan pasangan berkenaan, di masa akan datang. Mohd Faizal berkata, pihaknya tidak mahu mereka ini menjadi mangsa penipuan pernikahan secara sindiket kerana ia dibuat melalui prosedur yang tidak sah, semata-mata ingin kaut keuntungan. "Saya tegaskan perkara ini perlu diambil serius kerana ianya melibatkan keturunan pasangan yang bernikah," katanya. Beliau berkata, sekiranya pasangan bernikah secara tidak betul maka apabila anak dilahirkan nanti menjadi tidak sah dan ini sudah tentu boleh merosakkan institusi kekeluargaan Islam tersebut. |
You are subscribed to email updates from Mimpi Senja To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan