DIALOG RAKYAT |
- “Siapa Perkasa?” soal Pak Samad
- Faekah calon CEO MBI?
- Hasan Ali: Bahasa Inggeris subjek wajib lulus SPM hancurkan Melayu
- Musim pemimpin Umno berlumba tunjuk baik
- MAS, AirAsia didenda RM10j
- Anne Ngasri Ketua Puteri Umno Dataran Merdeka
- Integriti pudar punca rasuah berleluasa
- Rombongan pertama jemaah haji tiba di Madinah
- Projek naik taraf Masjid Nabawi tak ganggu jemaah
- SKMM giat tingkatkan kadar pengunaan jalur lebar
- Mama tenat sejak semalam: Anak
- Pirana gemar kemaluan lelaki
- Bekas CEO YPM dipenjara sehari, denda RM300,000
- Majikan diminta daftar segera pekerja asing
- Empat lelaki hadapi 67 tuduhan rompak berkumpulan
- Guan Eng: PPPM harus tekankan prestasi
- Muhyiddin tak bercakap benar, kata NGO Cina
- Hishamuddin Rais: IGP buat lawak pagi hari
- Disebalik skandal Adi Putra
- Ku Li masih berteka-teki jawatan ditandingi
- Rogol: Bekas ahli kumpulan R&B dipenjara, disebat
- Shabery: Sasterawan Negara 'budak tagih perhatian'
“Siapa Perkasa?” soal Pak Samad Posted: 07 Sep 2013 05:33 AM PDT "Saya tidak terlibat," tetapi bagi Datuk A. Samad Said, beliau juga tidak mengiktiraf Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) untuk mendengar tuntutan mereka agar beliau memulangkan kembali gelaran Sasterawan Negara. Beliau yang lebih dikenali Pak Samad, mengulas dakwaan beberapa pihak termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa beliau terlibat dalam mengibarkan bendera Sang Saka Malaya dan seterusnya memperlekeh beliau. Desakan Perkasa yang meminta beliau memulangkan sendiri gelaran sasterawan negaranya tidak diendahkan oleh Pak Samad. Perkasa pada Khamis meminta Pak Samad memulangkan sendiri gelaran tersebut untuk membuktikan keikhlasannya sambil mengalu-alukan sekiranya kerajaan mahu menarik balik gelaran itu dari Pak Samad. "Bapak tidak iktiraf Perkasa. Mereka yang hebohkan, mereka yang wajar bertindak," jelas Pak Samad dalam satu kiriman pesanan ringkas kepada The Malaysian Insider. Pak Samad menolak kritikan Muhyiddin yang mendakwa beliau terlibat dengan pengibaran bendera Sang Saka Malaya pada malam sambutan kemerdekaan hujung bulan lalu. Katanya, kehadiran beliau di Dataran Merdeka pada sambutan ambang kemerdekaan adalah memenuhi undangan pihak penganjur badan bukan kerajaan (NGO) Himpunan Hijau. "Secara kebetulan mereka yang mengibarkan bendera Sang Saka Malaya berada di atas pentas yang sama. Saya tidak sedar akan hal itu. Jadi mudah bagi pihak tertentu untuk membabitkan saya. "Saya tahu Hishamudin Rais dan Adam Adli datang tetapi mereka datang lebih awal dari saya. Apabila tiba giliran saya bersama Himpunan Hijau, mereka sudah ada di sana. "Perkaitan ini tidak munasabah apabila saya dibabitkan meskipun saya berasa simpati dengan Adam Adli dan Hishamudin," katanya semasa ditemui The Malaysian Insider. Apabila ditanya adakah beliau bersetuju Sang Saka Malaya dikibarkan pada malam kemerdekaan, beliau menjelaskan bendera itu relevan dengan semangat perjuangan golongan terdahulu. Katanya, Sang Saka Malaya sudah menjadi sejarah namun tidak salah bagi warga Malaysia mengimbas kembali sejarah berkenaan. The Malaysian Insider melaporkan semalam Muhyiddin menyelar tindakan Pak Samad kerana terlibat dengan insiden pengibaran bendera Sang Saka Malaya dan menyifatkan ia merupakan perbuatan yang memalukan. Muhyiddin itu kesal apabila insiden tersebut terjadi ketika negara sedang menyambut kemerdekaan sambil menyatakan penglibatan sasterawan itu amat memalukan dan sangat tidak senonoh kerana Pak Samad membawa nama Sasterawan Negara. Katanya, bendera Sang Saka Malaya tidak harus dikibarkan kerana ia bukan bendera asli Malaya malah dakwaan itu hanya bermotifkan politik semata-mata. Muhyiddin berkata sekumpulan yang tidak berpuas hati dengan kerajaan, akan sentiasa mencari kesalahan dan mempunyai niat yang tidak baik. | ||||
Posted: 07 Sep 2013 05:29 AM PDT Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Faekah Husin dikatakan bakal dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Menteri Besar Incorporated (MBI), lapor lama web akhbar The Star. Memetik laporan sumber, akhbar berkenaan berkata ianya bakal dilaksanakan dalam penstrukturan semula syarikat berkenaan. Syarikat milik kerajaan itu kini dipercayai tidak mempunyai CEO, dengan urusan pentadbiran dijalankan oleh Pengurusnya, Rohani Talib. Rohani juga dikatakan telah diberi sambungan kontrak selama tiga tahun, sama ada kekal dengan jawatan berkenaan atau dinaikkan pangkat kepada Ketua Pegawai Operasi (COO). Faekah selama ini dipercayai terlibat secara langsung dalam urusan berkaitan air antara kerajaan negeri dan juga Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. Beliau telah berkhidmat bersama dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) sejak 2010, dan mengetahui selok belok pengurusan syarikat berkenaan. Sumber berkenaan, jelas The Star, berkata penstrukturan industri air adalah sangat penting buat Selangor, dan MBI melalui Faekah bakal memainkan peranan penting dalam urusan rundingan untuk mengambil alih daripada syarikat konsesi. Spekulasi berkenaan dikukuhkan dengan pelantikan dua setiausaha politik untuk membantu Khalid. Mereka adalah Mustapa Mohd Talib, yang dipertanggungjaeab dalam urusan khas dan Azman Bidin yang akan membantu urusan Khalid di kerusi Bandar Tun Razak dan juga Pelabuhan Klang. Faekah bagaimanapun berkata beliau belum menerima tawaran tersebut, namun mengesahkan terlibat dalam urusan rundingan berkaitan air. "Ada kebenarannya. Mungkin 20 hingga 30 peratus," katanya merujuk kepada perbincangan. | ||||
Hasan Ali: Bahasa Inggeris subjek wajib lulus SPM hancurkan Melayu Posted: 07 Sep 2013 05:16 AM PDT Cadangan Kementerian Pendidikan mewajibkan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lulus subjek Bahasa Inggeris pada 2016 mendapat tentangan dari badan bukan kerajaan (NGO) Melayu, Jalur Tiga (Jati). Presidennya, Datuk Dr Hasan Ali meminta Kementerian Pendidikan mengkaji semula pelaksanaan itu berikutan tempohnya terlalu singkat bagi pihak yang terlibat untuk membuat persediaan. "Saya melihat keputusan kerajaan ini belum muktamad dan boleh dikaji semula. Tahun 2016 sudah terlalu hampir. Pastinya ramai yang masih belum bersedia seperti anak nelayan dan petani, ibu bapa serta guru sekolah. "Akhirnya, pelajar Melayu sendiri yang terkorban dengan pelaksanaan dasar ini. Setiap perkara yang diputuskan perlu memberi kepentingan kepada semua kaum terutamanya anak-anak Melayu. "Bayangkan jika Bahasa Melayu diwajibkan sebagai salah satu kriteria kemasukan dalam jawatan di peringkat kerajaan mahu pun swasta, pastinya mereka juga akan terkesan dengan pelaksanaan peraturan sedemikian," katanya semasa dihubungi The Malaysian Insider. Hasan memberi contoh semasa negara suatu masa dahulu mahu melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), pelajar Melayulah yang ketinggalan dalam keputusan peperiksaaan terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. Beliau menggesa kerajaan mengkaji semula dasar tersebut kerana Bahasa Inggeris bukanlah bahasa pertuturan majoriti kaum Melayu serta dasar tersebut, katanya, akan menghancurkan anak Melayu. Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memberi sokongan penuh kepada cadangan Kementerian Pendidikan itu. Setiausaha Agungnya, Syed Hasan Syed Ali berkata pelajar Melayu perlu menguasai subjek Bahasa Inggeris kerana pengabaian terhadap subjek itu menyebabkan mereka gagal mendapatkan tempat di universiti. "Pelaksanaan ini penting kerana seseorang pelajar itu kelak akan sukar mendapat peluang pekerjaan yang baik sekiranya gagal menguasai bahasa Inggeris meskipun mereka memiliki ijazah. "Maka Perkasa amat mengalu-alaukan cadangan Kementerian Pendidikan untuk mewajibkan pelajar lulus bahasa Inggeris dalam SPM. Menteri Pendidikan,Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 memaklumkan subjek Bahasa Inggeris akan dijadikan mata pelajaran wajib lulus SPM menjelang 2016. Beliau menjelaskan bagi melaksanakan hasrat ini, Kementerian Pendidikan kini dalam usaha menambah masa pembelajaran di dalam kelas supaya murid menerima pendedahan yang lebih untuk subjek tersebut. Katanya, PPPM menggariskan beberapa inisiatif seperti guru Bahasa Inggeris diuji kemahiran mereka melalui Ujian Penempatan Cambridge (CPT). Beliau berkata, kohort pertama seramai 5,000 pelajar sudah mengikuti latihan lanjutan oleh British Council, manakala 9,000 guru Bahasa Inggeris akan mengikuti latihan pada Oktober nanti. Muhyiddin menambah bagi menambah baik kualiti guru sedia ada, PPPM turut memperkukuh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan menempatkan pembimbing pakar untuk guru dan pemimpin sekolah dengan program yang dikenali sebagai SISC+ dan SIPartner+. PPPM yang dilancarkan Muhyiddin semalam berhasrat untuk mencapai lima keberhasilan bagi sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan merangkumi akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Pelan itu dilancarkan dalam tiga gelombang iaitu Gelombang 1 (2013-2015) memberi penekanan kepada menambah baik sistem dengan mempercepat perubahan kaedah pelaksanaan program. Dalam tempoh pelaksanaan itu, tumpuan diberikan kepada kaedah peningkatan kualiti pengajaran dengan meningkatkan kualiti guru sedia ada, meningkatan kualiti kepimpinan sekolah dan meningkatkan kadar literasi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan numerasi. Dalam Gelombang 2 (2016-2020), kementerian akan melaksana perubahan struktur pendidikan negara untuk mempercepat perjalanan perubahan kepada semua inisiatif yang bermula semasa Gelombang 1, antaranya pergerakan semua 410,000 guru dan 10,000 pengetua/guru besar kepada pakej kerjaya baharu dan penstrukturan semula kementerian. Gelombang 3 (2012-2025) akan memfokus kepada anjakan ke arah kecemerlangan dengan peningkatan keluwesan operasi, di mana pada permulaan gelombang ini, semua sekolah, guru dan pengetua/guru besar perlu menunjukkan prestasi melebihi standard minimum. | ||||
Musim pemimpin Umno berlumba tunjuk baik Posted: 07 Sep 2013 04:20 AM PDT
Idea pemotongan elaun itu pada mulanya dicadangkan oleh Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli sebagai menunjukkan para menteri turut menghayati langkah berjimat cermat kerajaan. Ia kemudian turut disokong oleh Perkasa dan pelbagai pihak lain turut juga menyambut baik cadangan itu. Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno merupakan menteri pertama dan satu-satunya anggota kabinet Najib yang memberi reaksi positif terhadap cadangan itu setakat ini. "Baik potong elaun saya sekarang kalau itu boleh bantu kukuhkan ekonomi, saya tidak teragak-agak dan sanggup lakukannya", demikian lebih kurang kata-kata yang diucapkan oleh Hishammuddin. Baik betul ada pemimpin macam Hisham ni, walaupun anak bangsawan dia memahami derita rakyat, kata seorang ahli jawatankasa bahagian memberi komen tentang kemuliaan hati yang dilihatnya daripada kesediaan Hishammuddin itu. Bukankah dia asyik bagi amaran saja sebelum ini, kata seorang teman yang lain. Ini musim pemilihan, semua pemimpin kena tunjuk baik dan berjiwa rakyat, selalunya begitulah. Ada makna semua tu, pintas seorang ketua cawangan yang agak veteran menjelaskan kepada rakan-rakannya. Mereka kemudian ketawa berdekah-dekah dan perbualan seterusnya meleret kepada pelbagai lagi karenah pemimpin yang cuba menunjuk baik yang mereka ketahui, bukan saja di musim pemilihan kali ini tetapi juga di musim-musim pemilihan sebelumnya. Sementara idea pemotongan elaun minyak ini disanggah oleh seorang lagi menteri iaitu Nazri Aziz, bahkan menyifatkannya sebagai idea bodoh, Hishammuddin sebaliknya menunjukkan sikap baik dan budiman dalam hal ini. Nazri tidak bertanding apa-apa jawatan dalam MT, bolehlah cakap begitu. Hisham pula perlukan undi, ketua cawangan veteran tadi menghuraikan dengan ringkas perbezaan kepentingan antara Hishammuddin dan Nazri Aziz. Mereka kemudian ketawa lagi dan gelihati apabila mengenangkan begini rupanya wajah pemimpin semata-mata untuk mendapatkan undi. Itulah realitinya setiap kali menjelang pemilihan UMNO. Masing-masing pemimpin yang ingin menang dan merasakan kedudukannya tergugat cuba bersikap kreatif dan menonjolkan sesuatu yang berbeza mengenai diri mereka. Ada yang bersikap baik, budiman, terlebih Melayu, peramah, sentiasa senyum, membuka pintu pejabatnya kepada sesiapa saja dan macam-macam lagi. Asalkan boleh menambah undi, itulah yang dilakukan. Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi juga dilihat cuba menonjolkan dirinya secara berlebih-lebihan apabila agak lantang bersuara mengenai pemansuhan Akta Hasutan dan Ordinan Darurat dan dilihat sanggup berbeza pendapat dengan Perdana Menteri. Beliau juga bercakap mengenai bakas tahanan Ordinan Darurat yang berkeliaran dan rangkaiannya mengikut anggaran matematiknya, kemudian mendedahkan nama-nama kongsi gelap dan selepas ini dilaporkan mahu mendedahkan pula nama ketua-ketua kongsi gelap itu. Meskipun usaha pencegahan jenayah dialu-alukan oleh semua orang tetapi Zahid dilihat seolah-olah cuba menonjolkan ketegasan dan meraih populariti dalam isu ini dengan bercakap terlalu kerap dan berlebih-lebihan mengenainya. Ramai yang bertanya, setelah mendedahkan itu ini, tangkapannya mana? Kedua-dua Zahid dan Hishammudin akan mempertahankankan jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilohan 19 Oktober depan. Selain seorang lagi penyandang yang turut mempertahankan jawatannya iaitu Shafie Apdal, tiga kerusi Naib Presiden UMNO kali ini juga cuba direbut oleh dua lagi pesaingnya iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam dan Pengerusi Felda, Isa Samad. Dengan Tengku Razaleigh masih belum memutuskan sama ada akan mencabar Najib atau tidak bagi jawatan Presiden UMNO, kerusi Naib Presiden setakat ini menjadi medan persaingan paling sengit. Pelbagai teori, andaian dan jangkaan sudah kedengaran tentang siapa yang dijangka menang dan siapa yang bakal kalah. Selain berkempen menemui perwakilan yang berjumlah kira-kira 150 ribu orang kali ini, membentuk persepsi dan menonjol-nonjolkan diri juga dilihat sebagai strategi penting untuk menambah undi dan mendorong kepada kemenangan. Zahid sudah memulakannya agak lama dan ratingnya agak baik ketika ini. Dalam waktu yang singkat Zahid berjaya menonjolkan dirinya sebagai pemimpin yang tegas dan boleh diharapkan. Perwakilan UMNO yang marah dengan sikap pengundi Cina yag enggan bersama dengan kerajaan serta sikap Najib yang terlalu memanjakan mereka, kini seperti meletakkan Zahid sebagai sandaran baru. Di ketika Hishammudin kelihatan agak tenggelam popularitinya, terutama kerana pendekatannya yang agak lemah semasa menjadi Menteri Dalam Negeri, anak bekas Perdana Menteri, Hussein Onn ini rupa-rupanya tidak mudah putus akal mahu melonjakkan persepsi dan popularitinya. Beliau kini dilihat satu-satunya anggota kabinet Najib yang berjiwa rakyat dan sanggup elaun minyaknya dipotong. Namanya kini turut melonjak dan menjadi sebutan walaupun belum diketahui pemotongan elaun minyak itu akan menjadi kenyataan atau tidak akhirnya. Tetapi seorang lagi calon Naib Presiden UMNO, Ali Rustam dalam usahanya meraih undi dan populariti, lebih mengejutkan lagi ideanya. Beliau mahu menutup pusat judi Genting Highlands. Katanya, pusat judi itu mendatangkan banyak masalah kepada sosial dan jenayah yang sedang berlaku sekarang. Walaupun Ali dikenali sebagai pemimpin yang mudah didekati, tiada protokol serta rajin menghadiri jemputan majlis mereka yang dikenalinya dan kekalahannya di Bukit Katil mungkin menzahirkan banyak undi simpati untuknya, idea dan gesaan menutup pusat judi itu bakal melimpahkan lagi undi daripada golongan agama dalam UMNO terhadapnya. Dengan memperjuangkan sesuatu yang dilarang agama, Ali dilihat lebih Islamik berbanding calon yang lain, tambahan pula beliau juga kerap berbaju Melayu sejak kebelakangan ini. Bahkan sudah ada yang menganggap memberi undi kepada Ali sudah jatuh wajib hukumnya kerana niat murninya mahu menutup pusat judi Genting Highlands itu. Orang juga seolah-olah terlupa untuk menyemak dan mengira berapa banyak kedai judi, pusat maksiat, kedai ekor dan pusat hiburan yang telah ditutup sepanjang Ali Rustam menjadi Ketua Menteri Melaka sebelum ini. Soal penutupan Genting Highlands boleh dibuat atau tidak bukanlah isunya, soalnya ialah Ali telah berjaya mencipta strategi untuk menambah undinya untuk mengisi salah satu kerusi Naib Presiden, jelas ketua cawangan veteran tadi apabila ditanya mengenai gesaan Ali Rustam yang mahu menutup pusat judi itu Ketika ini dilihat Zahid, Hishammudin dan Ali Rustam berjaya menonjolkan diri masing-masing melalui strategi dan pendekatan yang berbeza. Matlamatnya ialah mereka mahu dilihat sebagai pemimpin yang baik dan boleh diharapkan. Menjelang hari pengundian, mungkin banyak lagi idea-idea penonjolan diri ini akan dilakukan. Bahkan Shafie Apdal dan Isa Samad yang ketika ini agak diam juga barangkali turut tampil dengan kecerdikan masing-masing tidak lama lagi untuk menonjolkan diri dan kebaikan bagi merebut kerusi Naib Presiden yang diidam-idamkan itu. Tunggulah! Tidak saja calon-calon Naib Presiden, calon-calon bagi jawatan lain juga akan dilihat berubah watak dan berbeza sikapnya. Semuanya akan kelihatan baik-baik, berjiwa rakyat, peramah, senang didekati, kuat Melayunya dan sayangkan Islam. Begitu adanya, dulu, kini dan selamanya. | ||||
Posted: 07 Sep 2013 04:07 AM PDT MAS dan AirAsia didapati bersalah kerana mengganggu persaingan dalam pasaran penerbangan di Malaysia menerusi satu perjanjian antara dua syarikat itu pada 2011. SYARIKAT penerbangan Malaysian Airline System Bhd (MAS) dan AirAsia Bhd (AirAsia) masing-masing didenda RM10 juta oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kerana melanggar undang-undang berhubung satu perjanjian antara kedua-dua syarikat itu pada 2011. MyCC mendapati kedua-dua syarikat itu melanggar Seksyen 4(2)(b) Akta Persaingan 2010 dengan membuat perjanjian untuk berkongsi bahagian pasaran dalam sektor perkhidmatan pengangkutan udara di Malaysia. Pengerusi MyCC, Tan Sri Siti Norma Yaakob berkata, perkongsian bahagian pasaran seperti dilakukan MAS dan AirAsia adalah kesalahan serius di bawah akta tersebut kerana perjanjian seperti itu menghalang atau mengganggu persaingan dalam mana-mana pasaran bagi produk atau perkhidmatan. "Apabila syarikat bersetuju untuk berkongsi bahagian pasaran, mereka bersetuju untuk tidak bersaing dan kerugiannya ditanggung pengguna," menurut beliau dalam satu kenyataan, semalam. Jumlah denda yang dikenakan kepada kedua-dua syarikat berdasarkan perolehan yang dikumpul mereka antara 1 Januari 2012 dan 30 April 2012 daripada penerbangan MAS dan AirAsia bagi empat lalu domestik iaitu Kuala Lumpur ke Kuching, Kota Kinabalu, Sandakan dan Sibu. Menurut MyCC, denda itu adalah kurang 10 peratus daripada perolehan kedua-dua syarikat itu di seluruh dunia bagi tempoh tersebut, seperti tertakluk di bawah akta itu. "Denda ini dikira berdasarkan beberapa faktor seperti kerjasama memberikan maklumat dan data untuk siasatan dan langkah sukarela yang diambil kedua-dua syarikat untuk mengeluarkan bab laluan dan fokus pasaran dalam perjanjian mereka," menurut kenyataan MyCC. Menurut suruhanjaya itu, MAS dan AirAsia mempunyai 30 hari dari tempoh keputusan ini dibuat untuk memaklumkan kepada MyCC sama ada mereka ingin membuat pembentangan kepada MyCC. [INO KES] Pada 9 Ogos 2011, MAS dan AirAsia membuat perjanjian yang bermatlamat untuk memfokus kepada kekuatan masing-masing, memberikan perkhidmatan lebih baik dan pilihan kepada pengguna serta memberikan nilai lebih kepada semua pihak yang berkepentingan. Perjanjian itu turut membabitkan pertukaran saham antara pemilik MAS, Khazanah Nasional Bhd dan pemilik AirAsia, Tune Air Sdn Bhd yang akan memberikan Tune Air 20.5 peratus saham dalam MAS manakala Khazanah memperoleh 10 peratus saham dalam AirAsia. Kedua-dua syarikat turut bersetuju bahawa MAS akan menjadi syarikat penerbangan premium tunggal manakala AirAsia akan menjadi syarikat penerbangan tambang rendah bagi laluan dekat dan jauh. Namun, perjanjian itu dibatalkan pada Mei 2012 selepas mendapat tentangan banyak pihak termasuk oleh kesatuan pekerja MAS. MyCC kemudian atas inisiatifnya sendiri mengkaji perjanjian tersebut tetapi disebabkan perjanjian itu dibuat sebelum Akta Persaingan 2010 dikuatkuasakan, iaitu sebelum 1 Januari 2012, MyCC memulakan kajian serta siasatan secara formal hanya selepas penguatkuasaan akta tersebut. | ||||
Anne Ngasri Ketua Puteri Umno Dataran Merdeka Posted: 07 Sep 2013 04:05 AM PDT Anne Ngasri SHAH ALAM - Pelakon wanita popular, Naszriah Ngasri atau lebih mesra dikenali sebagai Anne dipilih sebulat suara sebagai Ketua Puteri Umno cawangan Dataran Merdeka dalam mesyuarat cawangan itu, hari ini. Laporan BH Online menyebut, cawangan berkenaan turut menyaksikan perubahan pucuk pimpinan apabila Naib Ketua Cawangan, Nor Adnan Zainal Abidin dipilih sebagai Ketua Cawangan berikutan kekosongan kerusi itu. Difahamkan, penyandangnya, Datuk Ab Rauf Yusof melepaskan jawatannya bagi cawangan Dataran Merdeka serta Bahagian Bukit Bintang dan bertanding di Masjid Tanah, Melaka. | ||||
Integriti pudar punca rasuah berleluasa Posted: 07 Sep 2013 03:59 AM PDT
SUBANG JAYA: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu melahirkan kerisauan terhadap soal integriti dan juga etika dalam sistem pentadbiran di negara ini yang secara jelas jauh tersasar. Katanya, soal integriti tidak lagi dipandang serius oleh pihak pentadbiran khususnya pemerintah dan juga parti-parti politik yang ada sekarang. "Apabila nilai integriti dan etika tidak dapat dipupuk serta dijadikan amalan, maka gelaja rasuah serta penyelewengan terus berleluasa tanpa ada perasaan bersalah ataupun bertanggungjawab. "Ini yang berlaku, nilai ini telah hilang dan kita dapat lihat isu rasuah mahupun penyelewengan terus meningkat tanpa dapat dibendung walaupun penguatkuasaan undang-undang dilakukan," kata beliau. Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian penutup Forum Pengukuhan Integriti Politik 'Pemantapan Integriti Politik Negara : Isu dan Cabaran' anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi PAS Pusat hari ini. Beliau juga turut menggesa agar setiap pihak dapat mengembalikan nilai-nilai ini, kerana baginya kesejahteraan dan keamanan sesebuah negara itu bergantung kepada nilai-nilai tersebut. "Saya akan berbesar hati dan gembira kerana dijemput dalam forum ini, walaupun IIM merupakan salah satu badan dari pihak kerajaan tapi bila bercakap soal integriti ia menjadi tanggungjawab semua. "Perbezaan pendapat itu adalah ideologi politik tetapi tanggungjawab serta etika yang berintegriti dalam pentadbiran, sikap bertanggungjawab adalah hak semua yang ada tanpa mengira fahaman politik," sambung beliau. Turut hadir sebagai ahli panel adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Zakaria Jafaar, Pengarah Latihan PKR, Mustafa Kamil Ayub, Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw dan juga Timbalan Dekan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM)n, Prof Madya Dr Shaharussin Badaruddin. Manakala moderatornya Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman. Bagi pihak IIM pula ia diwakili oleh Timbalan Presiden Institut Integriti Malaysia, Dr Abu Bakar Sarpon. | ||||
Rombongan pertama jemaah haji tiba di Madinah Posted: 07 Sep 2013 03:53 AM PDT Jemaah haji kumpulan pertama berjalan masuk ke bilik taklimat di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya. Seramai 450 jemaah haji kumpulan pertama berlepas ke Jeddah dari KLIA pada jam 1.35 pagi menaiki Saudi Airlines. - Foto Sinar Harian SAFWAN MANSOR MADINAH - Seramai 350 orang rombongan pertama jemaah haji Malaysia selamat tiba di lapangan terbang antarabangsa Putera Mohamed Abdul Aziz di sini kira-kira pukul 7 pagi waktu tempatan (12 tengah hari waktu Malaysia). Selesai urusan pemeriksaan imigresen dan kastam yang mengambil masa kira-kira sejam, mereka dibawa dengan bas ke hotel penginapan Anwar Al-Madinah Movenpick di sini. Ketibaan rombongan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur itu disambut oleh Duta Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Omar Syed Mohamad Al-Saggaf, Konsul Malaysia di Arab Saudi Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak, Timbalan Ketua Rombongan Haji Tengku Aziz Raja Abdullah dan Ketua Muassasah Adila, Dr Yusof Ahmad Hawala. Sementara itu, Syed Omar berkata kerajaan Arab Saudi menghormati jemaah Malaysia kerana budi perkerti dan disiplin mereka. "Saya sendiri pernah menghadap Raja Abdullah dan baginda ada memaklumkan jemaah dari Malaysia dihormati kerana akhlak yang baik dan saya ingin menasihatkan jemaah kita agar terus menjaga nama baik negara dengan mematuhi sebarang arahan dan peraturan kerajaan Arab Saudi," katanya kepada wartawan Malaysia. Katanya, jemaah haji kini tidak lagi perlu menunggu lama untuk urusan kastam dan imigresen ekoran pusat perkhidmatan di lapangan terbang di Madinah telah dikemaskinikan oleh kerajaan Arab Saudi. Sebanyak 22,320 jemaah haji dari Malaysia akan tiba secara berperingkat untuk mengerjakan ibadah haji musim ini dan jumlah itu berkurangan sebanyak 20 peratus berbanding tahun sebelumnya ekoran pengurangan kuota oleh kerajaan Arab Saudi kepada seluruh negara di dunia. - Bernama | ||||
Projek naik taraf Masjid Nabawi tak ganggu jemaah Posted: 07 Sep 2013 03:51 AM PDT MADINAH - Kerja naik taraf bandar Madinah dan pembesaran Masjid Nabawi di sini tidak menganggu pergerakan jemaah haji di sekitar bandar itu. Ketua Muassasah Adilla bagi Asia Tenggara di Madinah Dr Yusof Ahmad Hawala berkata, walaupun projek menaik taraf Masjid Nabawi itu adalah yang terbesar dalam sejarah sejak pembinaannya, namun kerajaan Arab Saudi telah mengambil pertimbangan mengenai keselesaan orang ramai yang mengunjungi di bandar itu sempena musim haji. Menurut laporan media tempatan, projek pembesaran Masjid Nabawi itu kelak dapat menampung sebanyak 1.6 juta jemaah berbanding 800,000 orang sebelum ini. "Proses (pembesaran) awal sebenarnya telah bermula di bahagian timur masjid dengan meroboh beberapa buah hotel berhampiran. Ia akan diteruskan tanpa mengganggu mereka yang tinggal di Madinah," katanya kepada wartawan Malaysia di sini. Duta Malaysia di Arab Saudi Datuk Syed Omar Al Saggaf membantu menterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia wawancara dengan Dr Yusof itu. Beliau berkata, kerajaan Arab Saudi sentiasa melakukan perubahan dari semasa ke semasa untuk mempertingkatkan lagi kemudahan kepada orang ramai terutamanya jemaah haji di Madinah dan ia boleh disaksikan oleh mereka yang pernah mengunjungi tanah suci itu. Dr Yusof juga berkata, Malaysia menjadi contoh terbaik kepada negara lain dalam mengurus dan mendidik jemaah haji yang sekali gus melicinkan pihak Muassasah memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan. - Bernama | ||||
SKMM giat tingkatkan kadar pengunaan jalur lebar Posted: 07 Sep 2013 03:46 AM PDT KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang berusaha keras untuk menambah baik prasarana komunikasi bagi meningkatkan kadar penggunaan jalur lebar ke tahap yang lebih tinggi. Ketua Pegawai Pembangunan Industrinya, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata, suruhanjaya itu berjaya melonjakkan kadar penembusan jalur lebar isi rumah kepada 67 peratus setakat ini. "Pada suku kedua tahun ini, kadar penembusan pelanggan mudah alih negara berkembang kepada 143.5 peratus. "Dengan penembusan jalur lebar dan mudah alih mencecah kuantiti yang diperlukan, Malaysia kini mempunyai jumlah pengguna yang besar yang teruja mencari kandungan dan aplikasi yang akan meningkatkan kualiti hidup mereka," katanya pada pembukaan Hari Pemaju Malaysia 2013 (MDD2013) di sini, hari ini. Mohd Ali berkata, bagi menggalakkan pembangunan industri kandungan dan aplikasi, SKMM telah menubuhkan Dana Pembangunan Industri Kreatif. "Dana itu, dengan peruntukan RM100 juta adalah bertujuan untuk memudah dan menggalakkan pembabitan rakyat Malaysia dalam penciptaan dan penghasilan kandungan multimedia yang kreatif dan asli," katanya. SKMM juga menyediakan geran bagi kandungan dan aplikasi inovatif dan kreatif terutamanya kepada pelajar di institusi pengajian tinggi, untuk menghasilkan kandungan dan aplikasi yang mempunyai potensi untuk dikomersialkan. "Menurut Kaji Selidik Pengguna Telefon Bimbit SKMM tahun lepas, 57 peratus daripada pengguna telefon bimbit di Malaysia yang berusia 20 hingga 39 tahun aktif dalam memuat turun aplikasi. "Secara purata, lebih daripada 60 peratus pengguna telefon bimbit memuat turun sekurang-kurang 10 aplikasi. Ini menawarkan potensi besar bagi pemaju aplikasi mudah alih untuk membangunkan aplikasi inovatif dan menjadikannya satu kejayaan perniagaan," katanya. MDD 2013 ialah pertandingan pembangunan aplikasi mudah alih 24 jam yang dianjurkan bersama oleh SKMM dan AT&T Global. Ia disasarkan untuk menjadi pemangkin bagi inovasi dan keusahawanan. Dalam mesej video mengalu-alukan peserta, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berharap, MDD 2013 boleh menjadi platform bagi para peserta untuk belajar teknologi bahu, menerap dan mengubah idea kreatif mereka menjadi satu kejayaan perniagaan. - Bernama | ||||
Mama tenat sejak semalam: Anak Posted: 07 Sep 2013 03:45 AM PDT SHAH ALAM - Pelakon veteran Maimon Mutalib meninggal dunia akibat kanser payudara di kediamannya di Seksyen 17 di sini pada 2.20 petang tadi. Anak lelakinya Abdul Rahman Haj Keristifa berkata ibunya menghembuskan nafas terakhir sejurus tiba di rumah selepas dibenarkan pulang dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kira-kira tiga jam sebelum beliau disahkan meninggal dunia. "Sudah empat hari Mama dimasukkan dalam wad dan beliau mula tenat sejak semalam (Jumaat). Kemudian kira-kira 12 tengah hari tadi, doktor minta pihak keluarga untuk membawanya pulang," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Surau Al-Irsyadiah di sini sebelum dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Sialang, Tangkak, Johor malam ini. Maimon, 54, atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Mon disahkan menghidap kanser payudara tahap keempat tahun lepas. Beliau yang merupakan ibu tunggal meninggalkan lima cahaya mata iaitu Kamarul Syahid Keristifa, 34, Surayatul Nadia Keristifa, 32, Surayatul Natasya Keristifa, 25, serta sepasang kembar lelaki iaitu Abdul Rahman Haji Keristifa dan Abdul Rahman Haj Keristifa yang masing-masing berumur 17 tahun. Antara filem lakonan Allahyarham ialah Chermin, CUCI, Pensil, Appalam, Semerah Cinta Stilleto, Otai, Sumpahan Kum Kum, Chantek dan Budak Pailang. Allahyarham juga cukup popular dengan penampilan pelbagai watak menerusi puluhan drama televisyen. – Bernama | ||||
Posted: 06 Sep 2013 05:30 PM PDT Pirana Pacu mempunyai struktur gigi menyamai manusia. Muzium Sejarah Denmark memberi amaran kepada orang ramai supaya mengenakan pakaian mandi ketika berada di Perairan Nordic bagi mengelakkan menjadi mangsa serangan ikan pirana yang tiba-tiba muncul di kawasan perairan tersebut sejak minggu lalu. Ikan Pirana spesies Pacu itu dikatakan hanya menyerang mangsa di bahagian kemaluan terutama golongan lelaki. Menurut pengkaji muzium, spesies ikan itu banyak ditemui di kawasan Oresund Sound, di luar pantai selatan Sweden. "Ramai mangsa ditemui mengalami kecederaan serius di bahagian kemaluan selepas digigit ikan berkenaan berbanding anggota badan lain," katanya. Beliau berkata, ikan itu mempunyai saiz gigi mendatar sama seperti gigi manusia yang mempunyai elemen menggigit dan mengunyah. "Kebanyakan ikan itu bersaiz 21 sentimeter (sm) panjang. Minggu lalu, dua nelayan maut selepas digigit ikan berkenaan. Selepas bedah siasat, kami mendapati kemaluan mangsa cedera digigit ikan tersebut," katanya. Menurut kajian, ikan tersebut boleh mencecah saiz 90sm panjang dan berat sehingga 25 kilogram. - Daily online | ||||
Bekas CEO YPM dipenjara sehari, denda RM300,000 Posted: 06 Sep 2013 05:28 PM PDT Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran MARA (YPM), Datuk Dr Abdul Shariff Hamid hari ini dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana bersubahat menggunakan dokumen palsu berjumlah lebih RM300,000 dua tahun lepas. Hakim Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu selepas Abdul Shariff menukar pengakuannya kepada bersalah terhadap lapan pertuduhan pilihan bersubahat itu. Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM50,000 hari ini dan selebihnya dibayar secara tiga kali ansuran sehingga 1 Disember ini dan jika gagal membayar denda itu, dia boleh dipenjara enam bulan. Abdul Shariff membayar denda RM50,000 itu. Hari ini sepatutnya mahkamah menyambung perbicaraan kes itu. Bagaimanapun selepas empat hari perbicaraan dan 12 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan kepada Abdul Shariff. Abdul Shariff, 53, yang juga setiausaha Kelab Umno Luar Negara didakwa telah bersubahat dengan pengurus bahagian pengurusan program YPM Zainal Rashid Zakaria, 44, dengan mengarahkannya menggunakan sebagai tulen borang pengesahan pembayaran bagi pelaksanaan lapan program yang keseluruhannya bernilai RM324,150 yang mana ia merupakan dokumen palsu. Program terbabit termasuk Program Bina Diri Anak-anak Yatim Darussalam Bersama Remaja dan Program Kecerdasan Emosi dan Pemikiran Ibnu Sina yang diadakan di beberapa negeri termasuk Perak, Kedah dan Johor. Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di pejabat Bahagian Kewangan YPM, Aras 9, Medan MARA, Jalan Raja Laut pada 2.45 petang, 12 Mei 2011. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala tertuduh diwakili peguam Wan Azmir Wan Majid.- Bernama | ||||
Majikan diminta daftar segera pekerja asing Posted: 06 Sep 2013 05:26 PM PDT Ahmad Zahid Hamidi PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta mana-mana majikan yang masih tidak mendaftarkan pekerja asing mereka supaya berbuat demikian ekoran ada dalam kalangan mereka yang ditipu oleh ejen pekerjaan. Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata terdapat majikan yang telah membayar antara RM3,000 hingga RM5,000 kepada ejen untuk proses 6P pekerja asing sebelum ini namun ejen tidak melaksanakannya. "Mereka telah membayar kepada ejen pekerja asing namun tidak diberikan sebarang dokumen," katanya dalam sidang media selepas Majlis Seminar Khas Kesejahteraan Keluarga KDN bersama pengarang buku 'La Tahzan' di sini hari ini. Beliau berkata ini juga untuk memberi keadilan kepada majikan dan ejen sepatutnya bertanggungjawab dalam hal ini. Bermula Ahad lepas, Jabatan Imigresen bersama pelbagai agensi telah menggempur pendatang tanpa izin (Pati) dalam operasi besar-besaran di seluruh negara dengan menyasarkan beberapa kawasan tumpuan termasuk pembinaan dan komersial. Ahmad Zahid berkata sehingga kini lebih 5,000 Pati berjaya ditangkap dan sebelum ini beliau berjanji operasi Ops Bersepadu 6P ini akan diteruskan sehingga tangkapan menujukkan angka sifar. Dalam perkembangan lain, beliau merancang menaik taraf kebajikan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) antaranya mewujudkan sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang menerapkan dua aspek iaitu akademik serta hafalan Al-Quran khas untuk anak-anak anggota polis. "Kami juga akan mencari alternatif untuk meningkatkan daripada empat peratus dividen pelaburan dalam koperasi polis. "Saya juga ada turun ke beberapa balai polis, Ibu Pejabat Daerah dan Ibu Pejabat Kontinjen Negeri dan dilihat banyak yang perlu dinaik taraf selain kuarters anggota," katanya. Sebagai langkah pencegahan jenayah, beliau berkata, PDRM akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan untuk memasang Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang berdefinisi tinggi di kawasan-kawasan tumpuan jenayah. - Bernama | ||||
Empat lelaki hadapi 67 tuduhan rompak berkumpulan Posted: 06 Sep 2013 05:25 PM PDT Keempat-empat lelaki dibawa keluar dari mahkamah hari ini. GEORGETOWN - Empat lelaki didakwa dengan 67 pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dan gagal memberi keterangan mengenai pelbagai jenis barangan yang disyaki barang curi. Tiga beradik dan seorang rakan mereka dihadapkan ke dua mahkamah sesyen dan dua mahkamah majistret, di sini, hari ini. Bagaimanapun, mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sejurus setiap pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa. Mengikut tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen 1, Mohammad Firdaus Samsuri, 25, Mohammad Fairuz Samsuri, 27, Mohamed Yaser Yacobpu Ghani, 21, dan seorang remaja bawah umur berusia 20, didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas warga emas berusia 69 dan tiga telefon bimbit dan wang tunai RM1,000 miliki dua warga asing. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu, di Lorong Sungai Dua Gelugor, kira-kira jam 2 pagi hingga 3 pagi, 4 Ogos lalu. Untuk ketiga pertuduhan itu, Hakim Khairul Anuar Abdul Halim membenarkan kesemuanya diikat jamin RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin. Dalam mahkamah yang sama, Mohamed Yaser dan remaja bawah umur didakwa melakukan kesalahan yang sama ke atas seorang warga asing dan merompak sebuah telefon bimbit jenama Nokia dan wang tunai RM500 di Taman Bukit Jambul, di sini, kira-kira jam 2 pagi, 31 Julai lalu. Bagi kesalahan itu, Khairul Anuar membenarkan Mohamed Yaser dan remaja bawah umur, masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin. Selain itu, Mohammad Fairuz, Mohamed Yaser dan remaja bawah umur didakwa bersama-sama dengan seorang rakan masih bebas atas tiga pertuduhan lain bagi kesalahan yang sama. Mereka didakwa merompak empat telefon bimbit pelbagai jenama, wang tunai RM570, enam keping kad top up, dua salinan passport serta dua kad ATM Maybank, milik tiga warganegara Nepal di Jalan Gudwara, kira-kira 11 malam, 5 Ogos lalu. Sejurus pengakuan tidak bersalah dari ketiga lelaki itu, Khairul Anuar membenarkan mereka diikat jamin RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan itu. Kemudian, beliau menetapkan 9 Oktober untuk sebutan semula kes. Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Nurdeenie Abdul Rashid, mengemukakan semua pertuduhan itu mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan. Di Mahkamah Sesyen 2, Mohammad Firdaus, Mohammad Fairuz, Mohamed Yaser dan remaja bawah umur didakwa bersama merompak wang tunai RM50 miliki Rianah, Lorong Sungai Dua kira-kira jam 2 pagi hingga 3 pagi, 4 Ogos lalu. Dua pertuduhan lain ialah melakukan rompakan ke atas dua warga asing termasuk empat telefon bimbit pelbagai jenama dan satu komputer riba di Jalan Osman Kadir Lit, kira-kira 11.40 malam, 17 Ogos lalu. Mohammad Fairuz Samsuri, Mohamed Yaser dan remaja bawah umur bersama seorang rakan yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan ke atas tiga warga asing termasuk tiga telefon bimbit pelbagai jenama, seutas jam tangan dan wang tunai RM830. Ketiga-tiga pertuduhan itu, didakwa dilakukan dimasa, tempat dan tarikh yang sama, iaitu di Lebuh Sandilans, kira-kira jam 10.30 malam, 17 Ogos lalu. Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan. Terdahulu, Hakim Zulhazmi Abdullah membenarkan setiap tertuduh dibenarkan diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan. Tarikh sebutan semula kes ialah 25 Oktober ini. Kes dikendalikan DPP Mohd Faisal Md Noor. Selepas itu, Mohammad Firdaus dan remaja bawah umar didakwa atas 18 pertuduhan atas tuduhan gagal memberi keterangan mengenai pelbagai jenis barangan yang disyaki barang curi di Mahkamah Majistret 2. DPP Edward Chan Wei Heng mengemukakan setiap pertuduhan itu mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM1,000, jika sabit kesalahan. Sejurus menerima pengakuan tidak bersalah Mohammad Firdaus dan remaja bawah umur, Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha membenarkan mereka diikat jamin masing-masing, RM1,000 dengan seorang penjamin untuk setiap satu pertuduhan yang dihadapi dan sebutan semula pada 25 Oktober. Kemudian, Mohammad Firdaus dan remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret 1, bagi 36 pertuduhan atas kesalahan gagal memberi penjelasan tentang pelbagai jenis barangan yang disyaki barang curi. Bagaimanapun, dua beradik itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di hadapan Majistret Umma Devi Logananthan. Terdahulu, Umma Devi membenarkan 12 pertuduhan yang dihadapi oleh dua beradik masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin manakala baki 24 pertuduhan dibenarkan masing-masing diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin. Beliau menetapkan 24 Oktober untuk sebutan semula kes. 36 pertuduhan itu, dikendalikan oleh DPP Nurakmal Farhan Aziz mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM1,000, jika sabit kesalahan. | ||||
Guan Eng: PPPM harus tekankan prestasi Posted: 06 Sep 2013 05:21 PM PDT Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) harus menekankan soal prestasi. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Wilmar GBS Sdn Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan perniagaan global di Pulau Pinang hari ini. Katanya, pelan pembangunan itu juga harus menyediakan rakyat Malaysia berhadapan dengan pembangunan dan keadaan ekonomi dan kewangan global yang sedang berubah dengan cepat. Beliau mendesak kerajaan persekutuan membenarkan kewujudan sekolah aliran Inggeris terpilih bagi menyediakan rakyat Malaysia menghadapi pasaran global. "Bahasa Inggeris kita semakin membimbangkan, standardnya semakin merosot dan membimbangkan," katanya. | ||||
Muhyiddin tak bercakap benar, kata NGO Cina Posted: 06 Sep 2013 05:20 PM PDT MALAYSIA KINI Tiga kumpulan pendesak Cina secara terbuka menafikan dakwaan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa sekolah vernakular bersetuju dengan masa tambahan untuk pembelajaran bahasa Melayu.Jiao Zong, Hua Zong and Kesatuan Guru Besar Sekolah Kebangsaan berkata kenyataan menteri pelajaran itu, bahawa tiga kumpulan tersebut menerima cadangan untuk menambah masa pembelajaran Bahasa Melayu dari 180 minit kepada 240 minit seminggu, adalah tidak benar. "Kami terkejut dan amat kecewa dan kenyataan timbalan perdana menteri, ia tidak benar sana sekali," kenyataan badan tersebut dipetik. Menurut kenyataan bersama itu lagi, mereka hanya mencadangkan agar mata pelajaran Bahasa Melayu diajar dalam tempoh 210 minit seminggu. Badan tersebut turut menegaskan bahawa pendirian tersebut dinyatakan dengan jelas dalam satu pertemuan dengan Muhyiddin pada Selasa lalu. Dalam pertemuan itu, Jiao Zong turut mengemukakan satu memorandum yang ditandatangani oleh 732 sekolah rendah Cina. "Ia ditandatangani bersama oleh 1,604 anggota lembaga pengarah, persatua ibu bapa dan guru serta persatuan alumni dari 732 sekolah, yang meminta kementerian menghormati kehendak mereka," kenyataan itu dipetik. | ||||
Hishamuddin Rais: IGP buat lawak pagi hari Posted: 06 Sep 2013 05:18 PM PDT WAWANCARA Aktivis politik Hishamuddin Rais menyindir Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mendakwa Sasterawan Negara Datuk A Samad Said "menyorok dan menyelinap" sebelum beliau ditahan oleh polis. Sambil ketawa sinis, Hishamuddin yang juga bekas tahanan ISA menyifatkan Khalid sebagai "seorang yang pandai membuat lawak" waktu pagi, berhubung kenyataannya mengenai pencarian dan penahanan A Samad. "Pagi-pagi lagi, (beliau) kata Pak Samad menyorok. Rasa saya, Pak Samad nak menyorok dekat mana, umurnya sudah 80 tahun. Dia bukan ada ilmu ghaib. Jadi lawak. Bagus juga buat lawak sekali-sekali. IGP ini seorang yang pandai buat lawak," kata Hishamuddin sinis (atas). "Tadi (kelmarin) saya baca lagi, dia buat lawak lagi. Masa tu Pak Samad nak menyelinap masuk. Nak menyelinap masuk macam mana, dia buka kunci. Tak munasabah. Rumah dia juga naik lif. Tak munasabah," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini semalam. Beliau menjawab soalan berhubung penahanan A Samad yang juga pengerusi bersama BERSIH pada awal pagi Rabu lalu bagi membantu siasatan berhubung isu mempamerkan bendera Sang Saka Malaya pada malam ambang kemerdekaan. Mengakui pegawai polis boleh melakukan tangkapan untuk menyiasat pada bila-bila masa, Hishamuddin bersetuju dengan seorang lagi pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga (kiri) bahawa penahanan pada lewat malam itu sebagai satu bentuk "gangguan" kepada A Samad. "Rasa saya tindak laku ini tidak harus berlaku kepada orang tua dan tidak harus dilakukan kepada sesiapa warga negara walaupun dia kanak-kanak atau budak-budak kecil. "Kita ini nak menuju masyarakat sivil. Jadi kelakuan begini seharusnya kita tinggal belakang dan masukkan dalam tong sampah sejarah," katanya. Bukan di Jerman tahun 1943 Bagi merealisasikan hasrat itu, Hishamuddin menasihatkan supaya polis tidak mencontohi tindakan pihak berkuasa Jerman pada 1943 dengan mengetuk pintu rumah orang awam untuk menyiasat. "Jadi, rasa saya tak perlulah, ketuk pintu 12 pagi. Ini tahun 1943 di Jerman. Kita bukan begitu. Jadi tak perlu. Tapi nampaknya sedang berlaku di Kuala Lumpur ini. "Dalam segi hal juga, saya juga tersenyum sebab kelakuan dan tindak tanduk oleh pihak berkuasa ini menyemarakkan kebencian dan ketidakpuasian orang ramai. Daripada keadaan tenang hari raya, menimbulkan ketegangan kembali," katanya. Sebelum penahanan Pak Samad, Hishamuddin dan aktivis mahasiswa Adam Adli ditahan berhubung penglibatan mereka mempamer Sang Saka Malaya sempena sambutan ambang kemerdekaan Jumaat lalu. Hishamuddin mendakwa penahanan mereka disebabkan mereka "tidak bersama-sama dengan dasar pihak berkuasa dan memiliki pandangan berbeza dengan pandangan pihak berkuasa". "Ini jelas. Jadi secara tidak sengaja Pak Samad adalah sasterawan negara. Ramai sasterawan negara yang mereka hormati. Kenapa Pak Samad tidak dihormati? "Kerana Pak Samad ini memiliki pandangan yang berbeza. Kerana Pak Samad ini memiliki juga tulisan yang dilihat mengancam dan dilihat memberi pencerahan apa yang berlaku sekarang. "Sajak, syair, pantun dan tweet Pak Samad ini yang diikuti beribu-ribu anak Malaysia ni memberi satu gambaran bahawa negara kita ini dalam suasana tegang dan kezaliman," katanya. Menceritakan insiden pada malam ambang kemerdekaan, Hishamuddin berkata banyak pihak termasuk Pak Samad hadir memberi sokongan pada kumpulan anti-Lynas Himpunan Hijau yang berkempen memungut sejuta tandatangan membantah kilang nadir bumi itu dekat Dataran Merdeka. Rampas Sang Saka Menurutnya, sekalipun hadir agak lewat dan berada "agak jauh" daripada itu, Hishamuddin berkata beliau melihat pelbagai aktiviti diadakan seperti pemberian ucapan pelbagai pihak, pembacaan sajak dan nyanyian. "Jadi saya tak tahu beliau (Pak Samad) memberi ucapan atau baca sajak. Rasa-rasa saya dia membaca sajak, saya tidak tahu tajuk apa yang dibaca pada malam itu. "Ketika tu memang ada hingga tiga (helai) Sang Saka berkibar, dipegang oleh anak-anak muda ketika tu. Dan pada ketika tu, dalam sekelip mata, ketika Pak Samad bacakan sajak, ada seorang lelaki datang merampas bendera Sang Saka. "Dan ia berlaku begitu pantas dan si lelaki ini melarikan diri dalam lautan manusia yang ada pada malam itu," katanya. Ekoran tersiarnya laporan berita dan komen ahli-ahli politik berhubung tindakan mempamerkan bendera itu pada hari Isnin, Hishamuddin berkata beliau merasakan akan berlaku tangkapan terhadap dirinya dan Adam Adli. Menurutnya, seramai empat atau lima orang pegawai polis mengelilingi meja sewaktu beliau dan Adam makan malam di Kampung Baru dan kemudiannya membawa mereka ke ibu pejabat polis Dang Wangi. "Saya lihat ketika tu ada tiga buah kereta, rasa saya. Di hadapan sekali kereta Pajero dan mereka guna bunyi 'ngiao, ngiao, ngiao'. "Jadi bayangkan Kampung Baru, (keadaan) berasak-asak sehingga orang datang melihat, (dan) sempat mengambil gambar (ketawa). Ini bagi saya, macam satu lawak komedilah," katanya. Hishamuddin turut diwawancara oleh wartawan Lee Way Loon dan Hafiz Yatim. | ||||
Posted: 06 Sep 2013 05:03 PM PDT Isteri Amiruddin. SIAPA pun tidak menyangka kisah seorang pelakon lelaki kacak didakwa mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang. Menerusi laporan media, pelakon berusia 32 tahun itu dikhabarkan sedang dalam siasatan polis apabila seorang ahli perniagaan dari Johor mendakwa pelakon itu mempunyai skandal dengan isterinya. Adi Putra turut didakwa saling berbalas mesej dan bertukar gambar lucah dengan isteri ahli perniagaan terbabit. Skandal ini dipercayai dikesan oleh suami wanita terbabit di Johor sekitar awal Ogos lalu. Adi Putra juga membuat laporan polis kerana menerima ugutan dari ahli perniagaan tersebut. Melalui salinan laporan polis itu, Adi Putra mengadu bahawa lelaki tersebut telah menghina dan menjatuhkan maruahnya serta menyuruh dia menceraikan isterinya. Lelaki berkenaan turut mengatakan bahawa dia akan memastikan kerjaya Adi Putra hancur. Pelakon KL Gangster ini dalam kenyataannya mengaku ketika dihubungi lelaki tersebut pada 7 Ogos lalu, dia telah memasang loudspeaker sambil perbualan mereka didengari isterinya, Aida. Sinar Harian cuba mendapatkan pelakon kelahiran Singapura itu namun beliau mengelak untuk ditemui media. Bagaimanapun Sinar Harian berjaya mendapatkan penjelasan daripada ahli perniagaan tersebut yang dikenali sebagai Amiruddin Osman. Kami juga berjaya mendapatkan isteri Adi Putra, Aida Yusof. Ikuti temubual eksklusif ini. 'Saya mahu dia keluar Malaysia!' Boleh anda jelaskan situasi yang berlaku? AMIRUDDIN: Sebenarnya, isteri saya merupakan peminat fanatik pelakon itu. Malah, isteri saya turut memaklumkan kepada saya bahawa mereka turut berhubung melalui aplikasi sosial, WhatsApp dan Instagram. Pada 1 Ramadan ketika sedang bersahur ketika pelakon itu berada di Kota Suci, saya terbaca kandungan perbualan di WhatsApp yang berbaur lucah yang disertakan gambar. Saya sangat terkejut melihat tindakan keterlaluan mereka dan terus bertanya kepada isteri mengenai perkara itu. Isteri saya memberitahu bahawa pelakon itu yang memulakan terlebih dahulu dan mereka saling berkongsi gambar. Adakah anda pasti, gambar itu dihantar pelakon terbabit? AMIRUDDIN: Sudah pasti, kerana perkara ini turut diakui oleh isteri saya. Malah, gambar yang dihantar pelakon itu kepada isteri saya adalah di lokasi penginapannya di Kota Suci ketika mengerjakan umrah. Lokasi gambar itu turut disahkan rakannya yang turut berada di sana. Walaupun mereka tidak pernah berjumpa, namun selepas kes itu, hubungan saya dan isteri mula renggang dan sering bergaduh. Kenapa baru sekarang anda mahu ambil tindakan? AMIRUDDIN: Saya cuba mendapatkan kerjasama daripada pelakon itu untuk berbincang mengenai perkara ini, namun dia tidak mahu. Saya tidak pasti, adakah dia ego ataupun malu untuk berjumpa. Apabila niat saya untuk berbincang secara baik tidak dihiraukan, saya tampil membuat laporan polis kerana tertekan dengan perkara ini. Anda seperti menyalahkan pelakon itu sahaja.... AMIRUDDIN: Tidak, dua-dua salah. Saya tak kata dia saja yang salah, orang rumah saya pun salah juga. Namun, dalam hal ini, dia perlu bertanggungjawab dan sebagai selebriti, dia tidak sepatutnya berbuat demikian apatah lagi kepada isteri orang. Tetapi, melihat kepada kandungan perbualan mereka, pelakon itu yang memulakannya dahulu. Sebagai peminat fanatik, isteri saya terus termakan pujukan dan kata-katanya sehingga bertindak 'melayan' permintaan pelakon itu. Saya sendiri tidak sangka dia sanggup berkelakuan seperti itu apatah lagi ketika itu dia sedang mengerjakan umrah. Sebelum perkara ini diketahui umum, saya sudah memberi peringatan kepadanya menerusi gambar yang dimuat naik isterinya di Instagram ketika dia dimasukkan ke wad. Namun, ketika itu saya dihambur kata-kata kesat oleh peminat fanatiknya di laman sosial. Menerusi laporan polis yang dibuat, pelakon itu mendakwa anda mengugut untuk menghancurkan karier dan memastikannya keluar dari Malaysia. Benarkah? AMIRUDDIN: Memang saya mahu dia keluar dari Malaysia kerana dia tidak menghormati undang-undang negara kita. Sebagai rakyat Singapura, dia perlu peka mengenai perkara ini dan tidak membuat masalah yang boleh mencabar undang-undang. Saya minta agar masyarakat dan peminat yang terlalu obses dengannya 'celik mata'. Setelah dua bulan perkara ini berlaku, bagaimana pula hubungan anda dengan isteri? AMIRUDDIN: Kami masih tidak seperti dulu. Namun, hubungan ini diharapkan dapat dipulihkan walaupun mengambil sedikit masa. Saya tahu, setiap orang pasti melakukan kesilapan. Lagipun, dia sudah menginsafi kesalahan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Saya ada semua bukti: Aida Isteri mana yang tidak melatah sekiranya suami dikaitkan mempunyai skandal dengan wanita lain, apatah lagi wanita yang dimaksudkan adalah isteri orang. Namun, sikap profesional yang ada pada isteri Adi Putra, Aida Yusof, wajar diberi pujian. Bukan sahaja menasihati suaminya untuk tidak membuat sebarang kenyataan, malah Aida juga tenang menghadapi dugaan yang mampu menduga kesabarannya itu. "Tak apa, biar dia (pengadu) tampil memberikan segala bukti yang ada. Memang media ada menghubungi saya dan Adi, namun saya nasihatkan Adi untuk tidak memberikan sebarang penjelasan yang boleh mengganggu siasatan polis. "Beri kami sedikit masa dan kami juga akan tampil dengan bukti yang kami ada. Saya tidak berniat untuk menyebelahi Adi kerana yang salah tetap salah. Namun, sebagai suami dia tidak sepatutnya mendedahkan aib isteri," katanya. Menurut Aida, dia tetap berpegang kepada pendiriannya untuk berfikir secara rasional tanpa terburu-buru. "Kenapa saya tidak melenting? Kerana saya tahu perkara sebenar yang berlaku. Saya ada kesemua bukti. Jadi, kenapa pula dia terlalu menyalahkan Adi dalam hal ini sedangkan isterinya sendiri tidak tahu menjaga adab seorang isteri. "Sebenarnya, ini bukanlah isu besar pun sehingga membabitkan media. Dia tak ubah seperti menegakkan benang yang basah. Saya takut, selepas saya kemukakan semua bukti, dia yang akan malu kerana dia fikir saya tak tahu apa yang terjadi," kata Aida yang mengakui akan mengadakan sidang media secepat mungkin untuk membersihkan nama suaminya. Tambah Aida lagi, walaupun isu ini lebih kepada serangan peribadi, namun dia berharap agar peminat dan masyarakat tidak terus menghukum sebelum menilai. "Saya tak rasa, perkara ini boleh menjejaskan karier Adi kerana peminat lebih mengenalinya. Peminat dan masyarakat tidak perlu membuat sebarang spekulasi kerana kami belum mengeluarkan kenyataan lagi. "Kalau Adi salah, sebagai isteri, saya yang sepatutnya melenting. Namun, saya tidak nampak kesalahan itu pada Adi kerana sebagai lelaki, dia ada tiga kuota untuk diisi sekiranya saya izinkan. "Saya percaya, usaha lelaki itu untuk 'menghalau' Adi dari Malaysia tidak akan berhasil malah pendedahan kami akan membuktikan siapa isterinya dan apa yang pasti, ini bukanlah kali pertama isterinya bertindak seberani itu," katanya. | ||||
Ku Li masih berteka-teki jawatan ditandingi Posted: 06 Sep 2013 04:59 PM PDT Tengku Razaleigh Hamzah KUALA LUMPUR - Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah terus berteka-teki mengenai jawatan yang akan ditandinginya pada pemilihan parti itu Oktober ini. Bagaimanapun, veteran Umno berusia 76 tahun itu berkata, beliau berminat untuk bertanding pada pemilihan itu nanti. "Hasrat (bertanding) itu ada, tapi untuk bertanding jawatan apa, saya belum tahu. Sehingga sekarang belum ada apa-apa keputusan dibuat, tunggulah sehingga hari penamaan calon nanti. "Macam saya kata di Gua Musang minggu lepas, apabila ditanya pemberita, saya kata tunggu hari pendaftaranlah, kalau ada... ada, kalau tiada, tiadalah." "Saya tidak tahu pasal tarikh perdaftaran orang yang nak menawar diri untuk jawatan parti sudah diubah, jadi akhir sekali saya dibisik mengatakan tarikh baru adalah 21 September. Mungkin saya tidak ada dalam negeri (ketika tarikh itu),"katanya dalam sidang media di kediamannya di sini hari ini. Jelasnya, pertimbangan untuk bertanding mana-mana jawatan tinggi perlu dilihat sama ada beliau layak, dikehendaki (diperlukan) dan mampu memikul tanggungjawab (jika dicalon dan menang) dan pertimbangan itu terletak di tangan anggota Umno sendiri. Kepada cadangan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan, Tengku Razaleigh atau lebih dikenali dengan Ku Li berkata, mengikut Perlembagaan, setiap ahli kalau layak, boleh menawar diri untuk bertanding mana-mana jawatan. "Semua orang boleh bagi cadangan. Katakan semua jawatan dalam Majlis Tertinggi tidak dipertandingkan, bagus juga, itu mengamankan keadaan. "Pandangan saya terbuka dan saya patuh pada Perlembagaan. Saya percaya beliau (Datuk Seri Najib Tun Razak) mesti yakin. Lagipun beliau telah lama menjadi Presiden," katanya. Ditanya sama ada parti perlu lebih ramai generasi muda berbanding veteran, Ku Li menjelaskan, parti bukan hanya untuk golongan itu sahaja tetapi juga untuk semua jenis ahli. Menurutnya apa yang penting, parti itu perlu kuat dan efektif dengan gabungan muda, senior dan veteran terus dikekalkan untuk kesinambungan parti yang lebih cemerlang. Ku Li menarik perhatian, mana-mana anggota parti yang berhasrat untuk bertanding jawatan tertinggi termasuk Majlis Tertinggi perlu menjuaraipertandingan dan berpengalaman di peringkat cawangan dan bahagian dahulu. "Jadi ada juga syarat-syarat yang menghalang penyertaan tenaga baharu, tenaga muda, yang patut diguna oleh parti, mengikut pandangan saya.- Bernama | ||||
Rogol: Bekas ahli kumpulan R&B dipenjara, disebat Posted: 06 Sep 2013 04:48 PM PDT KAJANG - [Dikemaskini] Seorang bekas ahli kumpulan R&B terkenal tanah air dihukum penjara 20 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah merogol anak tirinya yang berusia 14 tahun, tahun lalu. Hakim Nor Hazani Hamzah menjatuhkan hukuman tersebut ke atas lelaki yang berusia 38 tahun itu setelah mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah. Bapa kepada dua anak itu yang kini merupakan guru vokal di beberapa kementerian dan agensi kerajaan kelihatan tenang dan hanya menundukkan wajah ketika hakim membuat keputusan tersebut. Dalam penghakimannya, Norhazani berkata, keterangan mangsa telah disokong saksi-saksi lain yang tampil memberi keterangan termasuk guru kaunselingnya. "Saya percaya pada keterangan saksi pendakwaan kerana semua saksi bebas, ditambah kenyataan pegawai perubatan yang mengesahkan koyakan pada alat sulit mangsa," katanya. Bagaimanapun menurut hakim, keterangan salah seorang saksi pembelaan mengukuhkan lagi pendakwaan, tetapi tertuduh tidak membuat sebarang laporan polis. "Keterangan yang diberikan semasa pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah, tertuduh disabitkan dengan kesalahan," katanya. Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam Azmi Talib dan Mohamad Burok memohon hukuman minimum kerana dia kini menanggung dua orang anaknya yang masing-masing berusia 9 dan 7 tahun. Timbalan Pendakwa Raya, Noor Fazlin Abd Zawawi pula memohon mahkamah memberikan hukuman maksimum sebagai pengajaran kerana tertuduh merupakan bapa tiri kepada mangsa. Noor Fazlin menambah, tertuduh sepatutnya menjadi pelindung dan memberikan kasih sayang kepada anak tirinya yang sedang membesar. Hakim seterusnya mengarahkan agar mangsa dipanggil ke mahkamah untuk memberikan kenyataan berkaitan kesan kejadian tersebut terhadap dirinya. Semasa dipanggil memberi kenyataan, sambil menangis mangsa berkata, dia kini berasa tidak selamat, fobia, dan jijik pada diri sendiri selepas kejadian tersebut. "Saya rasakan masa depan begitu gelap. Saya takut untuk ke sekolah dan merasai tekanan setiap hari. "Malah saya jadi takut pada ayah kepada rakan-rakan saya dan guru lelaki," katanya yang kini ditempatkan di rumah perlindungan. Mangsa turut menyatakan dia kini hilang kepercayaan pada orang lain meskipun pada ahli keluarga sendiri. Berdasarkan kertas pertuduhan, bekas ahli kumpulan R&B itu didakwa merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 14 tahun di sebuah rumah, di Taman Gombak Jaya, jam 9 pagi pada 9 Februari tahun lalu. Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat jika disabit kesalahan. Peguam tertuduh, Azmi Talib memohon mahkamah menangguhkan hukuman penjara tersebut kerana tertuduh mahu memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan itu. Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman, bagaimanapun, jaminan ditingkatkan kepada RM80,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan. Sepanjang perbicaraan, seramai lapan saksi pendakwaan dan enam saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan. | ||||
Shabery: Sasterawan Negara 'budak tagih perhatian' Posted: 06 Sep 2013 04:47 PM PDT Ahmad Shabery Cheek KUALA LUMPUR - Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said cuba menarik perhatian orang ramai dengan melakukan perkara pelik seperti mengibarkan bendera alternatif pada malam ambang Kemerdekaan di Dataran Merdeka, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Menurutnya, apa sahaja yang boleh menarik perhatian ramai, sasterawan itu akan melakukannya dengan harapan perhatian akan diberikan kepada mereka. "Macam budak kecil yang tidak diberikan perhatian, beliau akan melakukan pelbagai perkara pelik dengan harapan ibu bapa mereka akan marah, agak malang kerana perkara ini timbul daripada orang yang dianggap sebagai sasterawan negara," katanya kepada media selepas melancarkan pertandingan penulisan skrip filem pendek Malaysia 2013 di sini hari ini. Sementara itu, mengulas mengenai tayangan lagu Negaraku di setiap pawagam, katanya beliau berpuashati dengan respons orang ramai dan berharap pengusaha pawagam dapat memainkan semula lagu itu pada 16 Sept ini sempena Hari Malaysia. Pertandingan penulisan skrip itu dianjurkan Anext Star Production dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Pertandingan itu dibuka kepada orang ramai mulai hari ini hingga 15 Nov ini. - Bernama |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan