DUNIACACAMARBA |
- Murid Bukan Islam Mula Tinggalkan Sekolah Kebangsaan Sri Pristana
- “Suami saya lihat Altantuya dibawa pergi mereka berdua” – Isteri PI Bala
- Guru Besar Halang Murid Guna Komputer Pemberian Kerajaan Selangor
- Tiga Babak Filem Tanda Putera Boleh Cetus Kontroversi
- Palsukan Borang 14, PAS Buat Laporan Polis terhadap SPR
- Baiki Pusara P.Ramlee, Saloma RM25,000 Haram - Mufti Selangor
Murid Bukan Islam Mula Tinggalkan Sekolah Kebangsaan Sri Pristana Posted: 27 Aug 2013 01:52 PM PDT Lebih Ramai Murid Bukan Islam Tinggalkan SK Seri Pristana Kerana Intimidasi Gambar fail yang mencetuskan kontroversi apabila murid bukan Islam SK Sri Pristana dikatakan diarahkan makan dalam tandas pada bulan puasa. [TMI] Sekurang-kurangnya tiga murid bukan Islam meninggalkan SK Seri Pristana dan 10 lagi akan menyertai mereka kerana intimidasi selepas insiden makan di bilik persalinan. Tiga murid yang meninggalkan sekolah itu mendakwa mereka diintimidasi dan dibuli pihak berkuasa sekolah selepas isu murid bukan Islam diarahkan untuk makan di bilik persalinan timbul. Dalam sidang akhbar hari ini, ibu bapa kepada 10 lagi murid yang akan berpindah sekolah mendedahkan, keputusan mereka disebabkan salah seorang ibu bapa ditahan kerana mendakwa diintimidasi oleh guru besar sekolah. Setiausaha Kebangaan Malaysia Tamilan Today Welfare, K Gunasegaran, berkata semua ibu bapa hilang kepercayaan kepada guru besar dan guru. "Kami tidak melihat cara lain oleh kerana murid diganggu dan dibuli di sekolah, hanya kerana ibu bapa mereka bersuara," ksysnys. Terdapat 25 murid bukan Islam di sekolah yang mempunyai 1,400 murid itu. Kontroversi menyelebungi warga SK Seri Pristana tercetus selepas Guneswari memuat naik gambar murid bukan Islam di SK Seri Pristana makan di bilik persalinan semasa bulan Ramadan lalu. Gambar yang disiarkannya di Facebook mengejutkan pengguna internet yang kemudian berkongsi gambar itu, dan akibatnya menyebabkan kekecohan di media sosial. Ramai yang menyokong sementara ada juga pihak yang mengkritik dan mengugutnya. Pengguna internet yang memberikan maklum balas negatif kebanyakannya membuat komen berbaur perkauman, meminta Guneswari dan ibu bapa bukan Islam yang lain menghantar anak mereka ke sekolah vernakular jika mereka tidak gembira dengan SK Seri Pristana, sekolah yang terbabit dalam kontroversi itu. Malah, guru besar Mohamad Nasir diarah mengambil cuti seminggu berikutan kontroversi tersebut. – 27 Ogos, 2013. P/s: Tahniah kepada pihak-pihak yang menjadikan sekolah kebangsaan hanya untuk Melayu. Takziah kepada orang bukan Melayu yang menyokong sekolah kebangsaan tetapi diduga dengan macam-macam dugaan di sekolah kebangsaan. Berkaitan: Ibu bapa dakwa polis bohong isu siasat pelajar [MK] Sekumpulan ibu bapa pelajar SK Seri Pristana menafikan dakwaan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Junaidi Bujang bahawa anggota pasukan itu tidak menyoal pelajar berhubung penggunaan bilik persalinan sebagai tempat makan di sekolah tersebut. Seorang eksekutif pemasaran yang hanya mahu dikenali sebagai Raj, 39, mendakwa anak perempuannya yang berusia sembilan tahun telah disoal oleh pegawai polis sebanyak dua kali semasa berada di kawasan sekolah antara bulan Julai dan Ogos. "Dia (anak perempuan Raj) begitu takut selepas disoal siasat oleh polis dan menangis tidak mahu pergi ke sekolah lagi. "Ketua Polis Daerah ini telah membuat satu pembohongan besar," kata Raj dalam sidang media bersama sembilan lagi ibu bapa pelajar SK Pristana. Turut hadir dalam sidang media itu ialah Ahli Parlimen Subang R Sivarasa. Selain itu, beliau berkata lagi, sembilan ibu bapa lain juga mengadu bahawa anak mereka telah "diganggu" oleh pihak polis. "Bagaimana mereka (polis) boleh bercakap dengan anak-anak kita tanpa kehadiran kita?," soal Raj. | ||
“Suami saya lihat Altantuya dibawa pergi mereka berdua” – Isteri PI Bala Posted: 27 Aug 2013 12:30 AM PDT [KD] KUALA LUMPUR 26 Ogos: Isteri mendiang PI Balasubramaniam, A Santamil Selvi berkata, suaminya menceritakan sendiri kepadanya bagaimana model Mongolia Altantuya Sharibuu 'dibawa' oleh Sirul Azhar dan Azilah Hadri. "Saya tahu Altantuya dibunuh. Mendiang suami saya menceritakan sendiri kepada saya. Isteri mendiang PI Balasubramanian, A Santamil Selvi (Gambar fail) "Dia melihat Altantuya dibawa pergi oleh mereka berdua, sebelum mayat Altantuya dijumpai telah diletupkan," katanya kepada Keadilandaily. Azilah Hadri, bekas Cif Inspektor Unit Tindakan Khas (UTK) dan Koperal Sirul Azhar dibebaskan daripada tuduhan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu 23 Ogos lalu oleh Mahkamah Rayuan. "Dimanakah keadilan untuk mangsa? Mereka yang melakukan jenayah itu dibebaskan hanya kerana masalah teknikal dalam perbicaraan. "Ini menyedihkan saya," katanya. Balasubramaniam, satu-satunya individu yang membuat akuan bersumpah (SD) menceritakan peristiwa berkaitan dengan pembunuhan Altantuya Shariibu kembali Malaysia 22 Februari tahu ini. Sebaik saja pulang, Bala berjanji akan membuat roadshow di seluruh negara bagi menceritakan apa yang berlaku. Beliau hanya sempat berbuat demikian di Dewan Himpunan China Selangor dan di Bachok, Kelantan sahaja kerana mengadu tidak sihat. Namun, beliau meninggal dunia 15 Mac lalu di Klinik Rawang selepas mengalami sesak nafas. Dalam pada itu, Selvi turut melahirkan rasa kecewa dan tidak puas hati dengan keputusan membebaskan dua bekas pengawal pengirng Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. "Saya berharap perbicaraan semula dilakukan. Panggil semua yang terlibat, bicarakan betul-betul," tegas Selvi. -26/8/13 | ||
Guru Besar Halang Murid Guna Komputer Pemberian Kerajaan Selangor Posted: 26 Aug 2013 11:30 PM PDT [HD] KUALA LUMPUR: Pentadbiran sebuah sekolah di Shah Alam dikatakan menghalang muridnya menggunakan komputer sumbangan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berikutan perbezaan fahaman politik. Hal itu didedahkan seorang Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), R Panner Selvam kepada TV Selangor selepas dimaklumkan guru besar sekolah berkenaan. "Tindakan tidak masuk akal itu merugikan murid kerana kita ada makmal komputer yang lengkap tetapi tidak digunakan hanya disebabkan alasan politik," katanya dipetik Selangorku. Beliau berkata, larangan itu bermula kira-kira lapan bulan lalu sejak pelantikan muka baru PIBG atas alasan makmal itu didakwa beroperasi haram. Katanya, pentadbiran sekolah itu dikatakan mengenakan yuran RM70 setahun terhadap murid bagi menampung kos penyelenggaraan makmal komputer itu. "Yuran dikutip dari Januari atau Februari tetapi kelas tak jalan," katanya yang turut mendakwa kelas komputer itu tidak mengikut jadual. Timbalan YDP PIBG, Selvarajah Palaniappan, pula berkata PIBG sudah membawa bantahan kepada pentadbiran sekolah. Mengulas isu itu, Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Dun Bukit Melawati, S Manikavasagam, berkata kerajaan Selangor pada 2010 berbelanja RM85,000 untuk membeli 45 komputer bagi pembelajaran murid SJKT Ladang Rasak, Subang . "Ini tidak patut berlaku sebab tidak kiralah siapa yang beri komputer, sekolah harus manfaatkan untuk masyarakat kita," kata Pengarah Biro Aduan Rakyat PKR itu. -26/8/13 P/s: Ada juga orang yang macam ini? | ||
Tiga Babak Filem Tanda Putera Boleh Cetus Kontroversi Posted: 26 Aug 2013 10:45 PM PDT 3 Babak Tanda Putera Boleh Cetus Kecurigaan – DAP [HD] KUALA LUMPUR: Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang berkata, berdasarkan ulasan, jelas filem Tanda Putera dipenuhi dengan peristiwa-peristiwa rekaan dan yang tidak disahkan sebagai benar-benar terjadi ketika rusuhan kaum 13 Mei 1969. Katanya, babak-babak yang dipaparkan itu boleh menimbulkan salah faham dan mencetuskan kecurigaan, kebencian dan malah ketegangan antara kaum. "Saya sebutkan di sini tiga babak yang disebutkan dalam ulasan filem tersebut," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah. Shuhaimi Baba seharusnya mempertimbangkan dengan serius nasihat saya agar beliau tidak menganggap filem berkenaan 13 Mei 1969, 'Tanda Putera', tergolong dalam genre 'filem hantu' seperti filem Pontianak yang beliau hasilkan sebelum ini. Beliau seharusnya lebih prihatin tentang keadaan negara ini, khususnya keadaan generasi kini dan masa depan, demi mempertahankan dan meningkatkan hubungan baik antara kaum, serta keamanan dan keharmonian dalam negara. Dengan itu, Shuhaimi perlu menyenaraikan babak-babak rekaan serta peristiwa-peristiwa 13 Mei 1969 yang dipaparkan dalam 'Tanda Putera' tetapi tidak disahkan sebagai peristiwa sebenar agar rakyat Malaysia tidak salah faham dan terhasut sehingga memburukkan hubungan antara kaum di negara ini. Tindakan ini mesti diambil memandangkan Shuhaimi sendiri telah mengakui bahawa filem beliau menampilkan cerita-cerita rekaan di sekitar peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969. Pada 21 Februari tahun ini, Malaysiakini menerbitkan ulasan filem berjudulTanda Putera a double-edged sword oleh seorang "penggila filem" yang telah berpeluang menonton filem berkenaan dalam salah satu sesi pra-tayangan yang diadakan untuk beberapa kelompok sejak beberapa bulan lalu. Berdasarkan ulasan filem tersebut, jelas bahawa filem Tanda Putera dipenuhi dengan peristiwa-peristiwa rekaan dan yang tidak disahkan sebagai benar-benar terjadi ketika rusuhan kaum 13 Mei 1969. Babak-babak yang dipaparkan itu boleh menimbulkan salah faham dan mencetuskan kecurigaan, kebencian dan malah ketegangan antara kaum. Saya sebutkan di sini tiga babak yang disebutkan dalam ulasan filem tersebut: 1. Babak yang menunjukkan sekumpulan pemuda Cina telah kencing pada tiang bendera yang mengibarkan bendera Selangor, di luar rumah menteri besar ketika itu, Harun Idris. 2. Babak di pawagam yang menunjukkan layar panggung tiba-tiba digelapkan, digantikan dengan tulisan dalam bahasa Cina di layar yang meminta para penonton Cina meninggalkan pawagam. Seorang penonton berteriak menanyakan mengapa ada tulisan Cina di layar dan menuntut supaya tayangan filem diteruskan. Setelah itu, tiba-tiba, semua penonton yang masih tinggal dalam pawagam itu dibunuh. 3. Dalam babak-babak yang membawa kepada kemuncak ketegangan dan menimbulkan rusuhan kaum, ada seorang lelaki Cina misteri yang memerhati segala yang terjadi. Dia kemudiannya didedahkan sebagai seorang pemimpin komunis–mengisyaratkan bahawa komunis mungkin terlibat sebagai dalang kekacuan. Saya telah mempersoalkan kesahihan peristiwa kencing berkenaan sebelum ini. Apakah "peristiwa" kedua dan ketiga di atas benar-benar terjadi atau ia juga merupakan khayalan dan rekaan pembikin filem? Dalam ucapan pertama saya di Parlimen 42 tahun lalu, pada 23 Februari 1971, saya menyeru agar ditubuhkan sebuah suruhanjaya untuk menyiasat kejadian 13 Mei 1969 bagi menyelidik puncanya dan menilai sejauh mana buruknya hubungan antara kaum di negara ini, selain untuk mengemukakan saranan-saranan bagi mencegah kejadian 13 Mei 1969 daripada berulang dan juga memastikan jurang antara kaum tidak melebar. Saya menyeru agar wang rakyat tidak digunakan untuk membolehkan seorang pengarah filem menggunakan "lesen kreatif" beliau untuk mereka-reka cerita tentang peristiwa-peristiwa yang kononnya membawa kepada rusuhan 13 Mei 1969. Sebaliknya, saya menyeru Kabinet untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja esok bagi menyiasat kejadian rusuhan kaum 13 Mei 1969. RCI berkenaan 13 Mei 1969 perlu diberi tugas untuk mengenalpasti peristiwa sebenar dan punca-punca rusuhan kaum 13 Mei serta pihak yang bertanggungjawab menimbulkan rusuhan tersebut, tetapi bukan untuk menyalahkan atau menghukum para pelakunya, memandangkan 44 tahun telah berlalu sejak tragedi itu, sebaliknya untuk mendedahkan sejarah sebenar supaya diketahui oleh generasi kini dan masa depan, selain untuk merawat luka lama perkauman yang parah dan mencegah 13 Mei daripada terus dijadikan momokan untuk menakut-nakutkan pengundi daripada menggunakan hak mereka yang sah dalam pilihanraya, seperti yang sering dilakukan dalam setiap pilihanraya selepas tahun 1969, atau untuk menghalalkan dasar-dasar yang memecah-belahkan dan tidak adil. - 27/8/13 | ||
Palsukan Borang 14, PAS Buat Laporan Polis terhadap SPR Posted: 26 Aug 2013 10:36 PM PDT [TMI] PAS membuat laporan polis terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini berikutan tindakan petugas badan pengendali pilihan raya itu memalsukan borang 14 di kebanyakan kawasan pilihan raya yang dicabar dengan petisyen oleh parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu. Pemimpin kanan PAS seperti Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Dr Dzulkefly Ahamd, Dr Hatta Ramly dan Datuk Kamaruddin Jaafar adalah di antara yang hadir ke di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur untuk membuat laporan polis beramai-ramai. Laporan polis dibuat kerana dalam kebanyakan hujah mahkamah untuk menolak petisyen pilihan raya mengatakan tindakan memalsukan borang 14 adalah kesalahan jenayah. – 27 Ogos, 2013. | ||
Baiki Pusara P.Ramlee, Saloma RM25,000 Haram - Mufti Selangor Posted: 26 Aug 2013 05:48 PM PDT
[Mstar] PETALING JAYA: Pusara Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan isterinya Puan Seri Saloma yang bakal dibaik-pulih dengan kos mencecah RM25,000 adalah haram hukumnya di sisi agama Islam. Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, Islam mengharamkan sesebuah pusara itu dihias secara berlebih-lebihan apatah lagi pengubahsuaian itu dilakukan di atas sebuah tanah wakaf. "Kos RM25,000 itu sangat tinggi untuk menghias sesebuah pusara dan saya percaya ia pasti menggunakan batu marmar yang mahal. "Malah dalam Islam sendiri sudah jelas memberitahu haram jika pusara dihias secara berlebih-lebihan di tanah wakaf melainkan ia adalah tanah persendirian," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin. Pada 21 Ogos lalu sebuah akhbar melaporkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan melakukan pengubahsuaian terhadap pusara P.Ramlee dan Saloma selepas ia roboh akibat dihempap pokok pada Mac lalu. Mohd Tamyes Abd Wahid Ketua Pengarah agensi itu, Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah dalam laporan berkenaan berkata, kerja-kerja pengubahsuaian tersebut mengambil sedikit masa memandangkan bahan binaan pusara berkenaan diimport dari luar negara yang turut mencecah RM25,000. Pusara berkenaan terletak di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang dekat sini. Dalam pada itu Mohd Tamyes berkata, setiap pusara di tanah wakaf hanya boleh dihias tidak melebihi setengah kaki selain dilarang sama sekali membina makam atau bangunan pusara berbentuk kekal kerana ia mungkin akan diguna semula pada masa akan datang jika tanah sudah penuh. Tambah beliau, walaupun matlamat pihak yang mahu menghias sebuah pusara itu sebagai ingin mencantikkan tempat berkenaan tetapi biarlah hiasan pusara dapat memberi manfaat seperti menanam pokok-pokok renek yang akan mendoakan si mati agar mengurangkan dosa-dosa kecil mereka semasa di dunia. "Senang cerita, kewajipan manusia pada jenazah hanya empat iaitu memandikan, mengapankan, sembahyangkan dan mengebumikannya. Ini yang wajib dan menghias bukanlah dalam perkara wajib," tegasnya yang turut menyifatkan kos pembinaan itu adalah satu pembaziran. Mohd Hasnil Abu Bakar Sementara itu, pendakwah dan pembimbing jemaah Haji, Ustaz Mohd Hasnil Abu Bakar pula berkata pihak Finas perlu mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pihak berkuasa agama Islam sebelum meneruskan perancangan membaik pulih pusara berkenaan. "Memanglah P.Ramlee milik masyarakat dan Allahyarham disayangi ramai. "Tetapi untuk membaik pulih pusara dengan kos seperti itu, lebih baik mereka berbincang dahulu bagi mendapatkan nasihat yang sepatutnya oleh pihak berkuasa Agama Islam ataupun mufti-mufti," katanya. Tambah beliau, jika pembinaan pusara itu dibuat secara keterlaluan, ditakuti wujudnya unsur-unsur syirik dengan aktiviti pemujaan untuk generasi akan datang sehingga menjadi tempat penyebaran ajaran sesat. "Adalah lebih baik wang itu digunakan untuk membuka maahad tahfiz P.Ramlee kerana ia akan mendatangkan lebih manfaat kepada umat Islam dan juga si mati sendiri," katanya. Ditanya siapakah yang berdosa jika projek berkenaan diteruskan Mohd Hasnil berkata, pihak yang terlibat membinanya akan menanggung dosa itu dan bukannya si mati.- 27/8/13 |
You are subscribed to email updates from DUNIACACAMARBA (DCM) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan