Selasa, 27 Ogos 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


PAS Bera kesal SPR tidak jawab aduan

Posted: 27 Aug 2013 03:55 AM PDT

Khairil Abdul Rahim,


BERA: PAS Kawasan Bera kesal dengan respons Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak memahami tujuan sebenar satu aduan yang dibuat berkaitan salah laku ketua tempat mengundi (KTM).

Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan, Musaniff Abdul Rahman (gambar) berkata, pada 29 Jun lalu PAS Kawasan Bera telah menghantar laporan berbentuk aduan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri Pahang berkaitan salah laku KTM yang tidak mengembalikan Borang 14 semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu kepada agen PAS.

Beliau yang calon PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Guai berkata dalam aduan tersebut, PAS Bera menyatakan KTM telah menyalahguna kuasa dengan tidak menyerahkan borang laporan mengenai Penyata Keputusan Rasmi itu di N.37 Guai pada hari mengundi itu.

"Pada 30 Julai kami menerima suarat daripada SPR daripada Timbalan Pengarah SPR Pahang yang menyertakan bersama enam salinan Borang 14. Sedangkan aduan kami sebelum itu ialah memohon SPR mengenakan sebarang tindakan yang perlu terhadap KTM.

"Jadi lain yang kami adukan lain pula yang dijawap SPR. Borang 14 itu kami minta pada hari pilihan raya dulu. Itu yang kami kesalkan dengan respons ini," katanya.

Menurut Musaniff, pada hari mengundi 5 Mei lalu sebanyak tiga kes tersebut berlaku (dalam Dun Guai) iaitu di Saluran 6 Pusat daerah Mengundi (PDM) Purun, Saluran 5 PDM Kumai dan Saluran 4 PDM Bukit kepayang.

Sedangkan merujuk kepada undang-undang pilihan raya, jika KTM tidak menyerahkan Borang 14, KTM bersalah di bawah Peraturan 25 (12) (b) (ii) PPP dengan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 seperti termaktub dalam Seksyen 4 (g) AKP.

"Berdasarkan kesalahan yang jelas ini, kami berpendapat sudah sampai masanya SPR melantik pegawai-pegawai pilihan raya di peringkat parlimen bekerja terus di bawah SPR, bukan lagi diambil dari kalangan kakitangan awam.

"Pada masa ini pegawai SPR hanya wujud di peringkat negeri. Ada kemungkinan petugas SPR yang diambil secara sambilan dari kalangan JPA, kurang mendapat latihan cukup termasuk dalam aspek undang-undang sebab ada kes petugas polling agent PAS yang membantu menunjuk ajar KTM," katanya.

Bendahari PAS Pahang itu berkata, akibat langsung kepada calon jika Borang 14 tidak dikembalikan ialah berkemungkinan keputusan undi boleh diubah.

Ibu bapa pindah anak dari SK Seri Pristana

Posted: 27 Aug 2013 03:53 AM PDT



 
Sekumpulan ibu bapa bertindak memindahkan anak mereka dari SK Seri Pristana di Sungai Buloh, Selangor selepas polis menahan seorang bapa kepada murid tersebut, V Kumancan, 32, semalam.

MP Subang R Sivarasa berkata seramai ibu bapa kepada 10 orang pelajar tersebut memutuskan demkian kerana bimbang anak mereka juga akan diganggu oleh polis.

Katanya, kumpulan ibu bapa tersebut merupakan individu yang membuat laporan polis mengenai kes pelajar yang terpaksa makan di bilik persalinan sekolah tersebut semasa bulan Ramadan lalu.

Tambahnya, seramai tiga orang murid telahpun berjaya dipindahkan ke sekolah lain.

Kumancan ditahan apabila guru besar sekolah terbabit Mohd Nasir Mohd Noor mendakwa lelaki tersebut membuat ugutan ke atasnya.

Beliau dibebaskan dengan jaminan polis pada kira-kira jam 4.45 petang semalam dan dijangka akan didakwa atas tuduhan ugutan jenayah pada 9 September

Pemuda MCA: Apa berlaku, pengarah bertanggungjawab

Posted: 27 Aug 2013 03:35 AM PDT


MALAYSIA KINI


 
Pembikin Tanda Putera perlu bertanggungjawab jika berlaku "kekacauan masyarakat" akibat babak fiksyen berkaitan peristiwa 13 Mei yang dimuatkan dalam filem itu, kata Pemuda MCA.

wee ka siong spying case 160813 03Ketuanya Wee Ka Siong (kiri) berkata,babak kencing yang dipaparkan memaparkan masyarakat Cina secara buruk, tidak jelas menyatakan ia fiksyen semata-mata.

"Jika, dalam senario yang tidak diingini, kekacauan masyarakat berlaku akibat penonton filem itu dikesani oleh babak kencing, (pengarah) Shuhaimi Baba dan pihak yang terlibat dalam pengarahan dan penerbitan filem itu mesti bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan.

Babak itu memaparkan sekumpulan pemuda Cina kencing di tiang bendera di rumah bekas menteri besar Selangor Harun Idris di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Babak itu, menurut seorang saksi rusuhan 13 Mei 1969, satu "fiksyen" dan "mustahil" berlaku,

Ahmad Habib, yang ketika itu pelajar tahun dua ijazah pertama di Institut Teknologi Mara (ITM), berkata tiang bendera itu bukan sahaja berada di halaman yang dikawal rapi, malah menteri besar sendiri duduk di depannya.

Shuhaimi enggan mengulas berhubung perkara itu.

Kerajaan dingatkan jangan gopoh laksana GST

Posted: 27 Aug 2013 03:32 AM PDT

Oleh: Mohd Arif Juhani

KUALA LUMPUR : Kerajaan Umno BN diingatkan agar tidak gopoh untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan mengundang bebanan ke atas rakyat.

Ahli Majlis Perwakilan Pusat (MPP) KEADILAN, Azan Ismail berkata, kerajaan perlu sedar GST belum sesuai dilaksanakan ketika ini kerana ekonomi negara belum bersedia ke arah itu.

"Kuasa beli rakyat semakin rendah dan ekonomi Malaysia pula tidak begitu memberangsangkan. Jika GST dilaksanakan kerajaan, saya tidak nampak kebajikan rakyat akan terpelihara seperti dislogankan kerajaan.

"Maka saya nasihatkan Menteri Kewangan Kedua, Ahmad Husni Hanadzlah supaya tidak terlalu mengikut kehendak kerajaan dengan melaksanakan GST," ujarnya ketika dihubungi.

Adun Bandar itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan kerajaan yang tetap mahu melaksanakan GST dengan pengecualian terhadap lebih 40 barangan keperluan asas.

"Kita jangan terkeliru, walaupun kerajaan dakwa 40 barangan itu dikecualikan tetapi itu bukan jaminan yang kekal, mungkin dikecualikan untuk beberapa tahun sahaja tetapi akan dikenakan GST selepas itu.

"Saya faham sikap gopoh kerajaan mahu melaksanakan GST hanyalah kerana mereka sedar tahap kewangan negara berada pada tahap yang rendah selepas berbelanja besar sebelum PRU lalu," katanya.

Azan turut mencabar kerajaan untuk membuat tinjauan umum dalam kalangan rakyat untuk membuktikan bahawa GST diterima rakyat.

"Tetapi saya yakin rakyat akan menolak cukai ini kerana kos sara hidup yang semakin tinggi ketika ini, apatah lagi mandat yang diperoleh kerajaan Umno BN pula hanyalah mandat minoriti sahaja," jelasnya.
Sebelum ini, GST sudah ditangguhkan sebanyak tiga kali iaitu pada 2010, 2011 dan 2012.

Hapuskan campur tangan politik dalam MAS

Posted: 27 Aug 2013 03:31 AM PDT

Oleh: Mohd Arif Juhani

KUALA LUMPUR : Syarikat Penerbangan Malaysian Airlines (MAS) tidak perlu melantik tenaga asing dalam beberapa jawatan penting untuk memulihkan syarikat itu kerana Malaysia mempunyai banyak kepakaran tempatan.

Sebaliknya, kata Ahli Majlis Perwakilan Pusat (MPP) KEADILAN, Datuk Johari Abdul, MAS perlu menghakis campur tangan ahli politik dalam syarikat penerbangan negara itu.

"Kita mempunyai banyak contoh seperti syarikat penerbangan AirAsia yang dikendalikan oleh Tan Sri Tony Fernandes dan AirAsia X yang juga dimiliki oleh anak tempatan tetapi mereka berjaya mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa," ujarnya ketika dihubungi.

Beliau mengulas kontroversi berhubung pelantikan PlaneConsult sebagai perunding dan melantik lapan warga asing untuk memegang beberapa jawatan penting dalam MAS.

Menurut Johari, beliau tidak menolak keperluan mendapatkan kepakaran asing sekiranya diperlukan tetapi tindakan itu tidak seharusnya mengabaikan potensi anak tempatan.

Menurutnya lagi, masalah yang dihadapi MAS bukan berpunca daripada pengurusan syarikat sebaliknya hasil campurtangan politik kerajaan.

"Semasa Bekas Pengarah Urusannya, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman memimpin MAS, kita lihat prestasi syarikat itu begitu memberangsangkan.

"Tetapi selepas Tun Dr Mahathir Mohamad campur tangan dengan melantik Tan Sri Tajudin Ramli sebagai pengarah urusan, kedudukan MAS jatuh merudum sehingga hari ini. Jadi ini iktibar yang harus difahami oleh pengurusan MAS," kata Ahli Parlimen Sungai Petani itu.

Dalam pada itu, beliau percaya bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan sedaya upaya mendesak kerajaan menswastakan MAS, sepertimana disuarakan baru-baru ini.

"Beliau merupakan seorang manusia yang tidak pernah puas dengan apa juga yang dimiliki," ujar Ahli Parlimen Sungai Petani itu.

Menurut Johari, desakan Mahathir supaya MAS dijual bertujuan membuat keuntungan berjuta-juta ringgit melalui modal yang diberikan kerajaan.

"Tetapi kita tahu, jika GLC ini bankrap walaupun selepas diswastakan, kerajaan jugalah yang perlu membeli semula syarikat ini manakala Mahathir pada ketika itu hanya diam membisu," katanya.

Mungkin PM ada jawapan siapa bunuh Altantuya

Posted: 27 Aug 2013 03:30 AM PDT

Oleh Azuan Ab Rahman

KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mungkin ada jawapan bagi merungkai misteri di sebalik kes pembunuhan Altantuya Shariibuu.

Menurut Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin, Perdana Menteri perlu bertanggungjawab terhadap wanita malang seperti Altantuya sebagai menghormati slogan 'Respek Wanita: Masyarakat Sejahtera', sempena sambutan Hari Wanita yang dianjurkan kerajaan pada tahun ini.
Zuraida
"Mungkin Perdana Menteri ada jawapan kepada 'rantaian kes yang hilang' dan dapat memberi petunjuk kepada siapakah pembunuh sebenar Altantuya" ujar Ahli Parlimen Ampang itu.

Sekiranya apa yang diucap Najib tentang perlunya untuk respek wanita, maka Wanita KEADILAN menuntut agar PM berani memberi arahan agar kes pembunuhan Altantuya harus diselesaikan.

Malah Perdana Menteri itu sendiri digesa untuk tampil ke mahkamah sebagai saksi terhadap kes pembunuhan Altantuya.

"Memandangkan Sirul dan Azilah dibebaskan maka persoalannya 'siapa pembunuh Altantuya sebenar?

"Mungkin PM ada jawapan kepada 'missing link'(kebuntuan) dalam kes ini dan dapat memberi petunjuk (clue) kepada siapa pembunuh sebenar," katanya kepada Keadilan Daily.

Zuraida berkata, tema 'Respek Wanita: Masyarakat Sejahtera' yang diguna pakai oleh kerajaan di bawah pimpinan Najib 'diciplak' daripada idea Manifesto Pakatan Rakyat yang berteraskan falsafah hormati wanita.

Kelemahan M’sia tangani kes Altantuya memalukan negara

Posted: 27 Aug 2013 03:29 AM PDT

Oleh Mohd Arif Juhani

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar daripada tuduhan membunuh Altantuya Shaariibuu hanya mengulang plot pembebasan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda.

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, seperti kes Razak yang juga rakan karib Perdana Menteri, pendakwaan terhadap kedua-dua UTK itu mempunyai banyak kecacatan yang menyebabkan peluang untuk mereka bebas makin jelas.

altantuya

"Dalam kes Razak Baginda, hakim membebaskannya selepas mendapati pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau dan tindakan pendakwa itu memang sudah dijangka oleh ramai pihak memandangkan hubungan rapatnya dengan tokoh tertinggi negara.

"Jika kita lihat dalam isu anggota UTK ini pula, punca pembebasan mereka adalah kerana Timbalan Supritendan Musa Safri tidak dipanggil dan ini menyebabkan wujud kecacatan dalam pendakwaan," ujarnya kepada Keadilan Daily.

Justeru, pendakwaan semula wajar dilakukan dengan memanggil saksi penting seperti Perdana Menteri dan Datin Seri Rosmah Mansor, Musa Safri dan lain-lain.

"Peguam Negara juga harus bertanggungjawab dengan kes ini kerana jika mereka yang didakwa membunuh pun sudah dibebaskan, jadi siapakah pembunuh sebenar Altantuya?

"Kelemahan Malaysia untuk menangani kes berprofil tinggi seperti ini hanya menyebabkan kita menjadi bahan ketawa oleh masyarakat antarabangsa dan situasi ini sangat memalukan," tegasnya.

Pertubuhan Syiah M'sia diisytihar haram

Posted: 27 Aug 2013 03:27 AM PDT

MALAYSIA KINI


 
Menteri Dalam Negeri hari ini mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang, berpandukan Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966.

NONEKetua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Sri Abdul Rahim Mohamad Radzi (kiri) berkata, walaupun permohonannya untuk didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan ditolak, badan itu tetap bergerak aktif.

Malah, katanya, kegiatan itu memudaratkan ketenteraman awam serta mencetuskan keresahan di negara ini yang sebahagian besarnya berfahaman Ahli Sunnah wal Jamaah.

Menurut Abdul Rahim lagi, pengikut Syiah di Malaysia memohon mendaftarkan mendaftarkan pertubuhan itu pada 16 Jun 2011 dan tolak pada 4 Ogos tahun yang sama.

Rayuannya kepada menteri berkaitan juga ditolak pada 31 Oktober 2011, menurut kenyataan itu lagi.

Anggota polis hilang pistol selepas kemalangan

Posted: 27 Aug 2013 03:20 AM PDT



SHAH ALAM - Seorang anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Selangor kehilangan sepucuk pistol selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Seksyen 20 di sini, awal pagi semalam.
 
Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan berkata kemalangan pada pukul 5.45 pagi itu menyebabkan anggota polis berkenaan cedera di kepala dan lutut manakala motosikal yang ditunggangnya remuk.
 
"Kami sedang menyiasat kemungkinan ada orang lain mengambil pistol itu sejurus mangsa terjatuh ekoran kemalangan itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan amanat kepada pegawai polis pada perhimpunan khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.
 
Thaiveegan berkata anggota polis itu yang tidak memakai uniform sewaktu kemalangan, kini dirawat di hospital dan tidak berupaya untuk bercakap buat masa ini. - Bernama

Suara Keadilan 136 edisi eksklusif, bongkar kes Altantuya

Posted: 27 Aug 2013 03:16 AM PDT

SUARA KEADILAN

KUALA LUMPUR : Akhbar Suara Keadilan edisi 136 yang terbit hari ini membongkar semula kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Sharibuu.

Antara kandungan menarik ialah laporan pembebasan dua tertuduh Cif Inspektor Azilah Hadri dan Korporal Sirul Azhar Umar dari kes pembunuhan tersebut, baru-baru ini.

Suara Keadilan edisi 136 turut melaporkan kronologi tragedi, kenyataan bapa Altantuya, Setev Sharibuu, laporan khusus fakta-fakta meragukan dan kenyataan kes yang bercanggah di muka surat 2 dan 3.

Pada muka surat 4 dan 5, dimuatkan pandangan pimpinan KEADILAN, orang ramai yang mengikuti perjalanan kes selain peguam dan isteri penyiasat persendirian PI Balasubramaniam.

sk136

Akhbar Suara Keadilan diterbitkan setiap minggu, dengan muatan 32 muka surat sarat dengan maklumat, pendedaham dan laporan aktiviti Parti KEADILAN Rakyat di seluruh negara.

Untuk tempahanan hubungi talian 03-92211045 atau faks ke 03-92212045.

Sebarang pemakluman program dan kenyataan media, boleh menghubungi kami melalui emel skeadilan@gmail.com

Pautan Suara Keadilan versi dalam talian boleh dicapai melalui laman twitter dan facebook.

Najib sanggup mohon maaf pada keluarga Altantuya?

Posted: 27 Aug 2013 03:14 AM PDT

Oleh Azuan Ab Rahman

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Najib Razak perlu memohon maaf kepada keluarga mendiang Altantuya Shaariibu dan Kerajaan Mongolia ekoran kegagalan institusi kehakiman Malaysia menyelesaikan kes pembunuhan model kelahiran negara itu.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Azan Ismail berkata, Perdana Menteri kena bertanggungjawab kerana kes pembunuhan itu melibatkan rakyat negara luar.

altantuya_najib

"Sebagai Perdana Menteri, Najib perlu bertanggungjawab. Jika gagal, sudah pasti imej Malaysia akan tercalar sekaligus mengundang persepsi negatif terhadap jaminan keselamatan dan kelemahan penghakiman di negara ini," tegasnya menyarankan Kerajaan Malaysia mencontohi penanggungjawaban seperti Kerajaan Britain.

Beliau merujuk tindakan Perdana Menteri Britain, David Cameron yang memohon maaf secara terbuka kepada Ashraf Rossli, 20, pelajar Malaysia yang dipukul dan dirompak di London pada 2011.

"Jika Najib takut, biar sahaja (Tan Sri) Muhyiddin Yasin menggalas tanggungjawab itu," ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar itu ketika dihubungi.

Tegas Azan, keperluan tersebut penting bagi menjamin hubungan antara kedua-dua negara.

"Beranikah beliau berdepan dengan keluarga mendiang dan memohon maaf kerana kejadian itu berlaku di Malaysia?" soalnya.

Beliau menambah, berjiwa besarlah Najib jika sanggup mengaku salah atas apa yang berlaku terhadap warga Mongolia itu.

Al-Azhar buka cawangan kampus di Nilai

Posted: 27 Aug 2013 03:12 AM PDT

Idris Jusoh
SINAR HARIAN

SEPANG - Universiti Al-Azhar bersetuju membuka kampus cawangan sementara di Nilai, Negeri Sembilan dengan pengambilan 300 pelajar September tahun depan, kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Kampus sebenar bagi cawangan pertama Universiti Al-Azhar di luar Mesir ialah di Rembau, Negeri Sembilan yang akan mempunyai kapasiti pengambilan seramai 10,000 pelajar untuk jurusan Usuluddin, Shariah dan Bahasa Arab.

Pembukaan kampus itu akan memberi ruang kepada pelajar Muslim di Asia Tenggara dan Asia keseluruhannya untuk mengikuti pengajian Universiti Al-Azhar di cawangan di Malaysia, katanya kepada pemberita sejurus tiba dari Kaherah bersama 277 pelajar Malaysia di sini hari ini.

"Kampus ini (dan kampus cawangan Tuanku Muhriz di Rembau) merupakan alternatif kepada pelajar tanpa perlu pergi ke Mesir dan ia mencerminkan bahawa pihak Universiti Al-Azhar percaya kepada Malaysia yang merupakan sebuah negara Islam dan mampu melaksanakan tugas tersebut dengan baik dan sempurna," katanya.

Idris berkata pembukaan kampus cawangan Al-Azhar ini bukan kerana susulan pergolakan yang berlaku di Mesir kini tetapi seperti yang telah dirancang sebelum ini.

"Banyak negara sebenarnya yang ingin membuka kampus Universiti Al-Azhar di negara mereka namun kepercayaan tersebut diberi kepada negara ini bersandarkan  kemajuan Islam di Malaysia serta kepimpinan kita yang sederhana dan mengamalkan konsep wasatiyyah," katanya.

Idris turut memaklumkan peperiksaan ulangan, penangguhan pengajian dan program pemindahan kredit akan dilaksanakan bagi pelajar Malaysia yang dibawa pulang ekoran konflik di Mesir.

"Peperiksaan ulangan bagi 1,200 pelajar dalam pelbagai bidang akan diadakan di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada awal September," katanya.

"Usaha juga sedang dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pendidikan untuk memastikan sesetengah kursus boleh dijalankan di Malaysia dalam masa sebulan dua ini untuk memastikan mereka tidak ketinggalan.

"...perincian akan ditetapkan selepas perbincangan dengan Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan Datuk Seri Dr Zaini Ujang minggu ini," katanya.

Ditanya mengenai status dua orang pelajar yang melanggar perintah berkurung di Mesir dan kini dalam tahanan, Idris berkata pegawai kementerian telah mengenal pasti pelajar terbabit dan mereka akan dibebaskan tidak lama lagi. - Bernama

Penjawat awam perlu sentiasa dahulukan rakyat

Posted: 27 Aug 2013 03:08 AM PDT

Muhyiddin Yassin Muhyiddin Yassin.
PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu penjawat awam meneruskan prestasi kerja cemerlang menerusi kecekapan tadbir urus dengan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.

"Penjawat awam menghadapi pelbagai isu dan cabaran dalam melaksanakan tugasan harian, sehubungan itu, budaya cepat, tepat dan berintegriti perlu dijadikan amalan dalam menawarkan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 Kementerian Pendidikan kepada 614 warga kementerian hari ini.

Beliau berkata kerajaan sangat prihatin terhadap kebajikan penjawat awam dan telah menyediakan pelbagai kemudahan kepada mereka antaranya ialah peruntukan tiga tambahan kenaikan gaji tahunan dalam jadual gaji minimum-maksimum dan peningkatan kadar kenaikan gaji di antara 7 hingga 13 peratus yang telah pun berkuatkuasa pada 1 Januari lepas.

Selain itu, pemberian satu kenaikan gaji tahunan pada Julai lepas serta honorarium RM500 sempena sambutan Aidilfitri merupakan pengiktirafan kerajaan kepada usaha dan kerja keras penjawat awam, katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata semua warga kementerian perlu bersedia membuat anjakan paradigma supaya setiap perubahan yang dilaksanakan dapat memberi impak yang tinggi kepada peningkatan kualiti pendidikan negara.

"Transformasi yang kementerian lakukan ini diharap dapat memenuhi kepuasan pelanggan, mencapai atau setidak-tidaknya setanding dengan pencapaian di negara maju," katanya.

"Sistem penyampaian kementerian harus ditambahbaik dari semasa ke semasa dalam memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat dan ia perlu dilaksanakan berdasarkan kepada sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan kementerian.

Dalam pada itu, beliau berkata transformasi pendidikan yang sedang dijalankan mampu melahirkan generasi baru yang memiliki minda kelas pertama dan berupaya memacu kemajuan negara dan menguasai kepakaran teknologi serta mengamalkan nilai-nilai murni.

Sementara itu, Muhyiddin berkata kesemua penerima anugerah berkenaan telah menunjukkan prestasi kerja yang mencapai tahap terbaik dan diharapkan mereka akan meneruskan prestasi kerja cemerlang menerusi kecekapan tadbir urus dan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Abd Ghafar Mahmud. - Bernama

Melaka negeri pertama sedia bas elektrik

Posted: 27 Aug 2013 03:06 AM PDT

SINAR HARIAN
Datuk Idris Haron Datuk Idris Haron
MELAKA - Melaka bakal menggunakan bas elektrik yang pertama seumpamanya di negara ini ke arah menjadi sebuah negeri teknologi hijau.
  
Ketua Menteri Datuk Idris Haron berkata buat permulaan, lima buah bas akan beroperasi melalui anak syarikat kerajaan negeri, iaitu Panorama Melaka Sdn Bhd sebelum perayaan Tahun Baru Cina, pada Januari 2014.
  
"Kita percaya Tahun Baru Cina akan menyaksikan kemasukan pengunjung yang ramai dan ini merupakan masa yang paling sesuai untuk memberitahu dunia bahawa Melaka telah memulakan penggunaan bas elektrik, salah satu daripada inisiatif teknologi hijau," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Melaka di Menara MITC di sini, hari ini.
  
Turut hadir Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar.
  
Beliau turut memberi jaminan pengenalan pengangkutan awam berkenaan tidak akan membebankan pengguna kerana menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan sistem pengangkutan yang cekap dan menjimatkan.

Mengulas lanjut, Idris berkata pihaknya kini sedang meneliti teknologi bas elektrik dari tiga buah negara iaitu Jerman, Jepun dan Korea Selatan untuk diaplikasikan di Melaka.
  
"Saya telah diberikan taklimat, bas elektrik ini mampu mencapai kelajuan maksimum 45 kilometer sejam dengan membawa 35 penumpang dan boleh bergerak sejauh 400 kilometer sebelum baterinya perlu dicas semula," katanya. 
  
Sementara itu, Syed Hamid berkata Melaka merupakan antara destinasi yang dicadang sebagai lokasi transit bagi projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura sejauh 350 kilometer itu.
  
Katanya, projek berkenaan bakal menyediakan dua jenis perkhidmatan iaitu perkhidmatan ekspres dengan masa perjalanan 90 minit dan perkhidmatan transit dengan masa perjalanan 120 minit.
  
"Salah satu kawasan transit yang kita sedang usahakan ialah Melaka kerana bukan sahaja sektor pelancongan akan meningkat malah orang yang bekerja di Kuala Lumpur pun, kalau dari Melaka akan mengambil masa hanya setengah jam," katanya.
  
Projek yang dijangka mempunyai purata kelajuan 250km/j berkenaan, kini berada di tahap akhir penyediaan laporan termasuk aspek teknikal dan kejuruteraan, kos dan kewangan, operasi serta manfaat sosioekonominya. - Bernama

Doktor kerugian RM200,000 rumah dipecah masuk

Posted: 26 Aug 2013 10:55 PM PDT

SINAR HARIAN

BESUT - Seorang doktor klinik swasta di Bandar Jerteh kerugian kira-kira RM200,000 apabila rumahnya dipecah masuk di Kampung Pulau Panjang, dekat Jerteh pada tengah hari Ahad.
  
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata kejadian dipercayai berlaku antara 10.30 pagi dan 12 tengah hari, ketika pasangan suami isteri berkenaan keluar bekerja.
  
"Sebaik sahaja isteri mangsa pulang kira-kira pukul 12.15 tengahari itu, beliau mendapati pintu sliding (gelongsor) hadapan rumahnya terbuka dan pintu bilik utama rumahnya dipecahkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Kamaruddin berkata antara barangan yang hilang termasuk pelbagai jenis barangan kemas dan berlian, tiga utas jam tangan berjenama, dua komputer riba dan lapan telefon bimbit.
  
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati jeriji besi pada jendela belakang rumah berkenaan telah dipotong menggunakan pemotong besi.
  
"Pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu telah mengesan lima kesan cap jari yang diambil di tempat kejadian," katanya menambah polis kini giat mengesan penjenayah terlibat.  - Bernama

Belakang badan ditikam kerambit

Posted: 26 Aug 2013 10:54 PM PDT

Wartawan Sinar Harian
Superintendan-Wooi-Kooi-Cheang
 TAMPIN – Seorang lelaki cedera di bahagian belakang badannya selepas ditikam dengan senjata tajam ketika dalam perjalanan dari Gemencheh untuk pulang ke rumahnya di Kampung Ulu Rokan, dekat sini, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 12.50 tengah malam itu, mangsa berusia 25 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha 125 seorang diri sebelum motosikalnya dihalang sebuah kereta jenis Perodua Kelisa.

Sumber berkata, selepas perjalanan mangsa dihalang, empat lelaki bertopeng turun dari kereta lalu menyerang mangsa dan ada di antara suspek membawa senjata tajam.

"Semasa pergelutan berkenaan, salah seorang suspek menikam bahagian belakang badan mangsa menggunakan senjata tajam dipercayai kerambit. Namun, mangsa bernasib baik apabila terdapat sebuah kereta dinaiki orang awam memperlahankan kenderaan di lokasi kejadian.

"Kesemua suspek yang gusar dengan keadaan itu bertindak melarikan diri sebelum kumpulan penduduk kampung datang selepas orang awam yang melalui lokasi berkenaan memaklumkan kepada penduduk yang sememangnya sedang berkumpul di satu lokasi," katanya.

Sumber berkata, suspek yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Tampin dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mencederakan orang.

Katanya, pihak polis kini sedang giat mengesan empat suspek berkenaan dan berharap individu yang mempunyai maklumat berhubung insiden berkenaan boleh menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Pekerja temui rangka manusia

Posted: 26 Aug 2013 10:50 PM PDT

Pekerja temui rangka manusia  Rangka serta tengkorak manusia yang ditemui dalam semak berdekatan tapak pembinaan Hospital Shah Alam di Seksyen 7, semalam dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan
SHAH ALAM - Seorang pekerja kontrak terkejut menemui rangka manusia dalam semak dekat tapak Hospital Shah Alam, di Seksyen 7, di sini, petang kelmarin.

Dham Duc Anh, 21, seorang warga Vietnam berkata, dia sedang mencari sayur kira-kira jam 6.30 petang apabila ternampak banyak serpihan tulang berselerak di situ.

Pada mulanya dia menyangka itu adalah tulang binatang.

"Namun apabila saya bergerak kira-kira dua meter ke hadapan, saya ternampak tengkorak dan rangka dalam lubang.

"Rangka itu seolah-olah ditanam dalam lubang tersebut, tetapi mungkin anjing atau haiwan lain menarik sebahagian rangka itu keluar dari lubang berkenaan," kata warga Vietnam itu ketika ditemui di lokasi, semalam.

Menurut lelaki itu, dia melihat ada cebisan kain dipercayai seluar jeans pada serpihan tulang tersebut, selain terdapat sedikit rambut pada tengkorak berkenaan.

Katanya, dia yakin rangka itu milik manusia dan terus pulang ke rumah kongsi untuk memaklumkan rakan sekerjanya.
Duc Anh berkata, dia tidak segera melaporkannya kepada polis, tetapi kembali semula ke lokasi itu semalam bersama beberapa rakan.

"Kami kemudiannya buat laporan polis berhubung penemuan rangka tersebut pagi tadi (semalam)," katanya.

Katanya, dia dan rakan sekerja kerap ke kawasan semak di situ untuk memetik sayur, namun tidak pernah menemui apa-apa yang pelik .

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisoner Zahedi Ayub mengesahkan menerima laporan mengenai perkara itu kira-kira jam 9.35 pagi semalam.

Beliau berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan rangka berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaan.

"Sesiapa yang kehilangan ahli keluarga diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam atau ke mana-mana balai polis terdekat bagi membantu siasatan," katanya.

Merdeka yang hambar, siapa yang patut disalahkan?

Posted: 26 Aug 2013 10:38 PM PDT

ANALISIS BERITA OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA

Seorang kanak-kanak berdiri di deretan Jalur Gemilang yang dipasang di Kuala Lumpur. Gambar The Malaysia Insider oleh Afif Abd Halim, 27 Ogos, 2013. Seorang kanak-kanak berdiri di deretan Jalur Gemilang yang dipasang di Kuala Lumpur. Gambar The Malaysia Insider oleh Afif Abd Halim,

















Hanya beberapa hari lagi Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan negara yang ke-56. Namun, ramai masih tidak sedar kedatangan hari penting untuk negara ini.

Perbincangan hangat dalam media sosial bukan untuk menambahkan semangat bagi menyambut kemerdekaan tetapi untuk mencari sebab dan alasan kenapa mereka tidak berminat untuk meraikannya.

Penyokong Pakatan Rakyat (PR) berhujah, sambutan kemerdekaan sudah diculik oleh Umno dan Barisan Nasional (BN). Ia bukan lagi sambutan untuk semua rakyat Malaysia tetapi untuk mengingati perjuangan tokoh Umno dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.

 Selain Malaysia, beberapa negara lain turut menyambut kemerdekaan mereka tahun ini.

Antaranya ialah Singapura pada 9 Ogos, Korea Selatan (15 Ogos) dan Indonesia (17 Ogos).

Hampir semua negara itu menyambut hari kemerdekaan mereka dengan meriah bahkan rakyatnya teruja sekali menunggu kedatangan hari bersejarah itu.

Dua tahun lalu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu terperangkap apabila beliau cuba mengingatkan rakyat negara ini mengenai pejuang kemerdekaan negara.

Usaha beliau cuba mengingatkan Malaysia bahawa Mat Indera juga pejuang kemerdekaan menerima padah. Beliau dituduh menyanjung komunis kerana Mat Indera dikaitkan dengan perjuangan komunis di negara ini.

Hingga kini beliau masih lagi terikat dengan perbicaraan di mahkamah ekoran isu ini.

Kepanasan isu ini sekurang-kurangnya berjaya mengingatkan rakyat bahawa kita sedang mahu menyambut hari Kemerdekaan negara pada tahun itu.

Hari ini, semua senyap sepi. Tiada bendera, tiada kisah yang mengingatkan kita kepada kemerdekaan negara dan tidak ada program khusus untuk mengajak rakyat mengingati hari bersejarah ini.

Mungkin kerana itu, Menteri Penerangan dan Komunikasi, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mencadangkan supaya diwajibkan memasang bendera menjelang hari kemerdekaan.

"Sekarang ini kita masih belum sampai masa untuk mengenakan sebarang undang-undang kepada mana-mana premis atau bangunan kerajaan atau swasta. Sekarang ini secara sukarela.

"Bagaimanapun, saya lihat masih banyak bangunan terutama milik swasta yang tidak memberi respon yang baik kerana masih banyak tidak berbuat demikian," katanya kepada pemberita pada program 'Pocket Show 2013' di Uptown Danau Kota.

Tetapi itu hanya sekadar tindakan reaktioner selepas sambutan pra kemerdekaan ini hambar sahaja.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (PR), Profesor Dr Mohammad Agus Yusof menyalahkan menteri yang menjaga hal ini.

"Saya dapati tahun ini paling lembab dan lambat kita menguruskan soal mengibarkan bendera kemegahan kita. Saya kesal," katanya dalam facebooknya beberapa hari lalu.

"Siapakah yang perlu kita pertanggungjawabkan dalam hal ini? Jika dahulu ada juga Datuk Seri Dr Rais Yatim yang membuat promosi mengenai hal ini, tetapi sekarang siapa? Mana menteri yang bertanggungjawab," katanya.

Beliau membidas laman yang dibuat khas untuk  sambutan kemerdekaan ini, www.malaysiamerdeka.gov.my yang tidak agresif dalam membuat promosi hari kemerdekaan.

"Apa yang saya dapati ialah laman itu hanya sekadar menceritakan beberapa program sempena hari kemerdekaan sahaja. Kesedaran mengenai kemerdekaan negara tidak diceritakan langsung.

"Mengapa tidak digunakan sejarawan negara untuk menulis atau mengisahkan sejarah kemerdekaan negara untuk tatapan anak muda kita?

"Sampai satu tahap saya berfikir, adakah ini sebabnya generasi sekarang sudah tidak ambil kisah sangat sejarah negara," katanya.

Menilai semua pendapat ini, selain kerajaan, rakyat Malaysia juga sebenarnya mempunyai peranan masing-masing untuk mengenang kembali sejarah perjuangan kemerdekaan di negara kita.

Kalau selama ini, separuh daripada mereka mendakwa Umno men'culik' sejarah perjuangan kemerdekaan negara, bagaimana kali ini kita kemukakan, pihak lain juga turut menyumbang untuk kemerdekaan negara.

Mari kita kemukakan cerita kita. Kita sudah ada media dan media kita adalah sosial media. Kita sama-sama hangatkan hari kemerdekaan kita dengan cerita kita.

Selamat menyambut Hari Merdeka ke- 56.

Altantuya: Buka kertas siasatan semula

Posted: 26 Aug 2013 10:29 PM PDT

Mohammad Faizal Che Yusof,

CADANGAN perbicaraan semula adalah antara riaksi sepontan yang banyak diberikan bila Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskan Chief Inspector Azilah Hadri dan Corporal Sirul Azhar Umar. Saya sedikit berbeza dengan pandangan popular yang dilontarkan. Sekadar mengarahkan kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu dibicarakan semula, ia hanya menjadikan kita terus tertanya-tanya pelbagai persoalan yang tidak mungkin terjawab.

Datuk Seri Nazri Aziz dan Tan Sri Musa Hassan dalam riaksi segera kepada soalan wartawan sebaik Mahkamah Rayuan melepaskan dan  membebaskan Azilah dan Sirul, cukup menggambarkan situasi pasca keputusan Mahkamah Rayuan tersebut tidak mudah untuk dicatur.

Pasca keputusan Mahkamah Rayuan tersebut boleh mengundang pelbagai macam persepsi yang jika tidak ditangani akan meletakkan institusi keadilan dalam Negara terus dipertikaikan kewibawaannya.

Seorang hakim ternama England, Lord Deninning pernah menyebut antara peranan institusi kehakiman termasuklah menjelaskan sebarang persoalan undang-undang selain dari apa yang tertera di dalam akta atau enakmen. Ia bukan suatu yang mudah. Selain wibawa mahkamah itu sendiri, setiap pihak termasuklah pendakwaan yang diletakkan di bawah Jabatan Peguam Negara turut memikul tanggungjawab yang sama.

Di sinilah seluruh rakyat perlu sedar, mahkamah hanyalah institusi yang memutuskan sebarang pertikaian yang dikemukakan. Baik yang dihadapkan, baiklah keputusan yang dihasilkan. Lemahnya keterangan dan bukti yang diberikan, tidak mungkin suatu yang memuaskan akan diputuskan.

Dari apa yang diputuskan sebulat suara oleh tiga anggota panel hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, ia cukup menampilkan kealpaan dan kelemahan sepanjang perbicaraan di peringkat Mahkamah Tinggi. Tuntutan tahap pembuktian dalam kes jenayah iaitu sabitan tanpa keraguan munasabah cukup menggambarkan betapa pihak pendakwaan mesti menyediakan kertas pendakwaan yang cukup menyeluruh dengan bukti dan keterangan yang cukup berwibawa.

Keperluan tersebut telah gagal diberi penilaian yang sempurna sepanjang perbicaraan peringkat Mahkamah Tinggi. Antaranya termasuklah isu alibi Azilah Hadri, isu mengenai eksibit dan data-data keterangan, isu penemuan tempat jenayah dan barangan kemas si mati, serta isu kaitan antara selipar dengan kesan darah Altantuya yang ditemui dalam jip Sirul Azhar. Selain itu, tiadanya keterangan DSP Musa Safri yang ketika itu pengawal Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terus mendedahkan kelemahan pendakwaan yang dilihat tidak mampu membantu mahkamah perbicaraan mencapai keputusan yang memuaskan.

Satu hal yang perlu kita sedar ialah perbicaraan semula adalah kuasa umum yang diberikan kepada mahkamah peringkat rayuan. Ia boleh berlaku bilamana dalam Kes tersebut termasuklah semasa peringkat perbicaraan, terdapatnya suatu kepincangan yang ketara yang boleh disifatkan sebagai suatu keadaan yang cukup terkecuali. Saya berpandangan situasi tersebut tidak nyata dalam kes pembunuhan warga Mongolia ini. Sekadar dikaitkan dengan pimpinan politik tertentu, ia tidaklah memadai.

Apatah lagi dalam kes Azilah, Sirul dan Razak Baginda, perbicaraan semula hanya akan berakhir dengan pembebasan ketiga-tiga mereka. Saya berpandangan sedemikian kerana apa yang mampu dilakukan oleh pendakwaan hanyalah menyusun semula keterangan dan bukti yang ada dan akhirnya mendedahkan bahawa Azilah, Sirul dan Razak Baginda tidak boleh disabitkan sebagai pembunuh sebenar Altantuya.

Justeru apakah tindakan wajar selanjutnya? Dalam kes pembunuhan Altantuya ini, berdasarkan apa yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan jumaat lalu, kertas siasatan mesti dibuka dan siasatan yang lebih meluas perlu dilakukan.

Di samping menilai setiap kelemahan, apa yang disebut sebagai (private fiat) boleh dijadikan amalan pada masa hadapan. Peruntukan seksyen 376 Kanun Prosedur Jenayah iaitu melantik seorang peguam berpengalaman dan berwibawa untuk terlibat langsung dalam pendakwaan boleh dilakukan.

Persepsi rakyat bahawa institusi keadilan termasuklah Jabatan Peguam Negara dan mahkamah yang dikatakan tunduk kepada pimpinan politik tidak wajar dibiarkan berterusan dan ianya mesti dikikis. Tentunya ia perlu dilakukan bukan sekadar dengan pengumuman itu dan ini, melainkan diiringi dengan suatu tindakan yang mampu mengembalikan kepercayaan umum kepada system pentadbiran keadilan Negara.

Altantuya dibawa pergi 'mereka berdua' - isteri Bala

Posted: 26 Aug 2013 10:28 PM PDT

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: A Santamil Selvi, isteri kepada penyiasat persendirian mendiang Balasubramaniam mendakwa suaminya pernah bercerita kepadanya berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Sharibuu.

Dipetik Keadilandaily, Selvi dilapor berkata, suaminya ada menceritakan sendiri kepadanya bagaimana Altantuya dibawa oleh dua orang tertuduh sebelum mayat wanita berkenaan ditemui telah diletupkan.

"Saya tahu Altantuya dibunuh. Mendiang suami saya menceritakan sendiri kepada saya.

"Dia melihat Altantuya dibawa pergi oleh mereka berdua, sebelum mayat Altantuya dijumpai telah diletupkan," kata Selvi seperti dilapor Keadilandaily.

Balasubramaniam, satu-satunya individu yang membuat akuan bersumpah (SD) menceritakan peristiwa berkaitan dengan pembunuhan Altantuya Shariibu kembali Malaysia 22 Februari tahu ini.

Sebaik saja pulang, Bala berjanji akan membuat roadshow di seluruh negara bagi menceritakan apa yang berlaku.

Beliau hanya sempat berbuat demikian di Dewan Himpunan China Selangor dan di Bachok, Kelantan sahaja kerana mengadu tidak sihat.

PI BalaNamun, beliau meninggal dunia 15 Mac lalu di Klinik Rawang selepas mengalami sesak nafas.

Kelmarin, Azilah Hadri, bekas Cif Inspektor Unit Tindakan Khas (UTK) dan Koperal Sirul Azhar dibebaskan daripada tuduhan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu 23 Ogos lalu oleh Mahkamah Rayuan.

Mengulas lanjut, Selvi berkata beliau kecewa dengan keputusan mahkamah semalam.

"Dimanakah keadilan untuk mangsa? "Ini menyedihkan saya.

"Saya berharap perbicaraan semula dilakukan. Panggil semua yang terlibat, bicarakan betul-betul," tegas Selvi.

Hari kemerdekaan amat dekat, mengibar jalur gemilang masih lesu

Posted: 26 Aug 2013 10:15 PM PDT


 
Oleh Mohammad Agus Yusoff
 
Dalam hidup ini, saya mempunyai kesempatan untuk menyaksikan perayaan hari kemerdekaan di beberapa negara yang menyambutnya pada bulan Ogos. Antaranya ialah Singapura pada 9 Ogos, Korea Selatan 15 Ogos, Liechtenstein 15 Ogos dan Indonesia 17 Ogos.

Satu yang saya pasti ialah sambutan kemerdekaan di empat negara ini meriah sekali dengan bendera berkibar di setiap pejabat dan pelusuk kampung. Mereka bangga menyambut kemerdekaan negara. Di Indonesia misalnya, mereka menanti hari kemerdekaan sepertimana kita menanti kedatangan Hari Raya. Pada malam kemerdekaan, apapun pangkat, di mana pun berada, apabila sampai jam 12 malam 17 Ogos, mereka akan bertafakur (dipanggil waktu renungan) dengan cara masing-masing mensyukuri kemerdekaan yang mereka nikmati.

Korea Selatan juga begitu. Keghairahan rakyatnya menyambut 15 Ogos luar biasa sekali kerana hari ini adalah hari mereka bebas dari perang dengan Korea Utara. Begitu jugalah dengan Singapura dan Liechtenstein. Bendera mereka berkibar megah.

Bagaimana pula dengan kita? Hari kemerdekaan kita sudah amat dekat, tetapi keghairahan rakyat kita untuk mengibar jalur gemilang masih lesu. Mengapa begitu? Apabila saya tanya kawan-kawan, mereka menyatakan payah hendak mencari jalur gemilang. Dan selainnya, kerajaan kurang promosi untuk rakyat mengibarkan bendera kemegahan kita.

Apa yang kawan rakan saya kata itu ada asasnya. PM telah merasmikan Majlis Pelancaran Jalur Gemilang pada 16 Ogos di Sungai Petani, tetapi selepas itu media lesu dalam memainkan peranan untuk meniupkan sentimen patriotik kepada rakyat. Kempen-kempen kurang diadakan. Tidak seperti dahulu yang rakyat ternanti-nanti tema Hari kemerdekaan, pada tahun ini masih ramai rakyat yang masih belum tahu 'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku' adalah tema kemerdekaan kita.

Siapakah yang perlu kita pertanggungjawabkan dalam hal ini? Jika dahulu ada juga Datuk Seri Dr Rais Yatim yang membuat promosi tentang hal ini, tetapi sekarang siapa? Mana menteri yang bertanggungjawab?

Saya sempat melihat laman www.malaysiamerdeka.gov.my, dan apa yang saya dapati ialah laman tersebut hanya sekadar menceritakan beberapa program sempena hari kemerdekaan sahaja. Kesedaran tentang kemerdekaan negara tidak diceritakan langsung. Mengapa tidak digunakan para sejarawan negara untuk menulis atau mengisahkan tentang sejarah kemerdekan negara untuk tatapan anak muda kita? Sampai satu tahap saya berfikir, adakah ini sebabnya generasi sekarang sudah tidak ambil kisah sangat tentang sejarah negara.

Di akhir analisisnya, saya dapati inilah tahun paling lembab dan lambat kita menguruskan soal mengibarkan bendera kemegahan kita. Saya kesal. Sebelum datang ke sini, saya sudah berpesan pada anak-anak saya, cari bendera dan kibarkan. Jika tidak dijual, pakai sahaja bendera lama yang tersimpan. Jika pun warnanya sudah usang, jangan biarkan semangat kita menyambut kemerdekaan negara padam. Kecintaan pada negara kita perlu selalu segar dan cemerlang.

Oh Malaysia, tanah airku.

Menjelang Muktamar Pas Dan Pemilihan Tahun Ini

Posted: 26 Aug 2013 10:13 PM PDT


Oleh Khalid Samad

Sudah lama saya tidak menulis. Sepanjang Ramadhan saya hanya meletakkan tulisan orang lain serta beberapa video ucapan saya untuk tatapan pengunjung. Saya sedar ada banyak yang diperkatakan tentang saya, oleh mereka yang ingin 'menyelamatkan PAS' dan 'menyelamatkan Presiden' (kononnya) tetapi saya memilih untuk mendiamkan diri, buat seketika. 

Biarlah bulan Ramadhan diisi oleh usaha mentarbiyyahkan jiwa dan menundukkan nafsu. Bagi mereka yang merasakan diri mereka dijamin syurga, biarlah mereka teruskan dengan kerja memfitnah dan menabur dusta. Itu 'hak' mereka untuk menempah kemurkaan Allah sambil manusia lain berusaha mencari keredhaanNya.

Ada yang kata, "mereka tidak pun menyebut nama kamu...". Adakah mereka anggap Allah tidak tahu siapa yang mereka maksudkan apabila mereka menaburkan fitnah dan tuduhan tersebut kepada hadirin dan hadirat yang tidak tahu hujung pangkal? Juga budaya baru dari yang ingin 'menyelamatkan PAS' dan 'menyelamatkan Presiden' (kononnya).

Alhamdulillah diucapkan. Semoga dusta dan nista mereka menambahkan lagi pahala sepanjang Ramadhan. Apa lagi boleh dilakukan? Sudah dinasihati tetapi tidak mahu mendengar. Kedegilan manusia yang inginkan dosa sedangkan Allah dan RasulNya menyeru kepada kebajikan dan keampunan. Saya yakin mereka ini samada merupakan agen UMNO dalam PAS atau telah termakan dengan propaganda UMNO sehingga menganggap 'PAS dan Presiden perlu diselamatkan'. Sedangkan kedua-duanya tidak menghadapi sebarang ancaman. Sepertimana juga melayu tidak diancam oleh PR. Taktik pembohongan sama yang diguna-pakai. Mungkin dari penasihat yang sama?

Pada pertengahan bulan Syawal ini biarlah saya pula membuka cerita. Merongkai kembali segala fitnah yang ditabur oleh mereka sehingga akhir Ramadhan. Tidak, bukan untuk membela diri tetapi untuk melepaskan mereka yang tertipu supaya tidak menjadi pemanjang lidah fitnah dan dusta.

Sama ada sedar atau tidak, sebenarnya fitnah ini semua ada kena-mengena dengan pemilihan muktamar yang bakal tiba. Dan ada juga kena mengena yang rapat dengan hala-tuju yang ingin dibawa golongan yang ingin 'menyelamatkan PAS dan menyelamatkan Presiden' (kononnya). Ada yang tidak senang dengan sikap saya mempertahankan Pakatan Rakyat walau dalam apa jua keadaan. Apa jua yang saya katakan, ianya untuk membela dan mempertahankan PR. Sehingga sanggup menyanggah semua tindakan, termasuk yang melibatkan PAS, yang boleh menjejas hubungan PAS dan PR. Apa boleh buat? Bukankah keputusan muktamar empat kali berturut-turut adalah untuk mengukuhkan PR?

Respon saya terhadap tuduhan mereka akan saya kemukakan dalam 4 bahagian seperti berikut:

1. Senarai fitnah yang dilemparkan terhadap saya dan jawapan ringkas terhadapnya.
2. Menjelaskan maksud 'khianat' kerana ada yang masih tidak faham maksudnya.
3. Perancangan golongan yang ingin 'menyelamatkan PAS dan Presiden', (kononnya).
4. Perbincangan dengan seorang pimpinan UMNO berhubung PRU ke 14 semasa berhari raya.

BAHAGIAN PERTAMA: FITNAH YANG DILEMPARKAN TERHADAP SAYA
Oleh kerana ketegasan saya mempertahankan kerjasama dalam PR maka saya sering dijadikan sasaran. Ini sesuatu yang pelik memandangkan kerjasama PR adalah keputusan muktamar sendiri!

Kali pertama saya dilanda fitnah adalah selepas PRU 2008 apabila usaha untuk gagalkan PR melalui kaedah mencetuskan perbalahan dengan DAP khususnya telah saya dan beberapa sahabat lain gagalkan. Akhirnya kami digelar 'Kumpulan Erdogan', 'Anwarinas', 'Parasit' dan lain lagi oleh golongan yang ingin gagalkan PR dan berdamping dengan UMNO.

Kali ini, hasil dari pertembungan di Kota Damansara, yang tidak diketahui atau dirujuk kepada pihak Negeri Selangor, maka saya dituduh 'lebih PKR dari PAS', 'telah menjatuhkan Almarhum Hassan Shukri', 'mahu jatuhkan Presiden', 'mahu jatuhkan ulama', 'tidak wala' dan thiqah' dan sebagainya! Ditambah pula dengan tuduhan yang dilemparkan terhadap saya dalam kes pertama yang diulang tayang oleh kumpulan baru pula. Adakah mereka 'pewaris Hassan Ali'?

Sedangkan keputusan bertanding di Kota Damansara, bagi saya, merupakan tindakan mungkir janji yang tidak wajar dilakukan oleh sebuah parti Islam. Janji telah dibuat oleh PAS Negeri dan PAS Pusat sepertimana dijelaskan oleh Mustapha Ali sendiri selaku wakil PAS dalam perundingan kerusi di peringkat Pusat.

Pandangan saya untuk mengingatkan pimpinan akan janji kita bersama serta kerugian yang terhasil dilihat sebagai tindakan ingin 'menjatuhkan Presiden' walaupun tiada sebarang kecaman terhadap Presiden telah saya lakukan dalam tulisan saya. Dan kemenangan calon UMNO di KD dipandang sebagai 'tidak mengapa'.

Seterusnya dilebarkan lagi fitnah terhadap saya dengan menuduh saya ingin jatuhkan kepimpinan ulama'. Ekoran dari itu maka telah disebarkan beberapa 'poster' melalui FB khususnya, yang mengandungi tuduhan dan fitnah yang perlu saya jawab secara ringkas.

Mereka yang membuat 'poster' ini tahu ianya tidak benar dan adalah fitnah. Bagi mereka balasan atas kerja-tangan mereka. Yang memanjangkannya pula mungkin tidak tahu ianya fitnah dan penjelasan ini adalah untuk mereka ini, supaya mereka tidak menempah dosa tanpa disedari.

Poster fitnah yang disebar-luas melalui FB tertentu.

a) "Saya akan masuk PKR jika MB Selangor bukan dari PKR".
Ini kononnya yang saya kata untuk mengugut pimpinan PAS, khususnya Presiden, supaya TSKI kekal sebagai MB Selangor selepas PRU ke-13. Sedangkan Presiden sendiri telah mengarahkan sedemikian melalui panggilan telefon kepada PJ PAS Selangor, Dr. Abdul Rani, sehari selepas keputusan PRU diketahui. Surat yang ditandatangani DS Presiden berhubung perkara yang sama menyusul selepas itu.

Saya sendiri bersetuju supaya TSKI kekal sebagai MB tetapi bukan kerana dia dari PKR tetapi kerana kepimpinannya telah menyumbang kepada kemenangan PR di Selangor. Agak peliklah pula kalau MB bukan dari PKR maka saya akan masuk PKR. Kalau MB dari PAS lagi baiklah saya kekal dalam PAS! Aduhaai...Mengarut!

b) "Tuan Guru Presiden Merupakan Punca Pertembungan Antara Golongan Ulama' Dan Golongan Anti Ulama'."
Ini kononnya disebut oleh saya dalam wacana 'Kemenangan Yang Ditangguh' di Melaka pada 6Julai 2013. Sesiapa yang menonton video program berkenaan akan mengetahui bahawa saya tidak mendakwa sedemikian dan tuduhan ini merupakan fitnah yang jelas dan nyata. Malahan istilah 'anti-ulama' pun tidak saya sebut kerana dalam PAS tidak mungkin ada yang 'anti-ulama' setelah menerima konsep kepimpinan ulama'! Mengarut lagi...

Sebenarnya fitnah asal menggunakan ungkapan '...antara golongan ulama' dan profesional' tetapi diubah-suai kepada '...antara ulama' dan anti ualama'...' mungkin atas sebab lebih dramatik. Dasar penipu memang begitu: ubah ikut suka.

Apa yang saya sebut ialah bahawa selepas 2008 golongan Hassan Ali telah berusaha untuk menggambarkan bahawa adanya pertembungan di antara ulama' dan profesional dan usaha ini dipertingkatkan sehingga menjadi meruncing apabila ide 'Unity Government' dicampakkan oleh Tuan Guru Presiden secara mendadak. Apabila ramai dari golongan profesional menolak ide ini maka penyokong Hassan Ali mengambil kesempatan untuk mendakwa adanya pertembungan profesional dan ulama'. Sebenarnya, dalam video program berkenaan saya telah menyebut secara jelas bahawa pertembungan berkenaan tidak wujud.

Sebenarnya bagi saya, agenda 'pertembungan ulama' dan profesional' adalah rekaan UMNO dan media BN untuk menimbulkan pergeseran dalaman PAS. Mereka yang memanjangkan isu ini hanya memanjangkan agenda UMNO dalam PAS samada sedar atau tidak.

Untuk pengetahuan semua, saya tidak pernah persalahkan Tuan Guru Presiden dalam soal mencampakkan ide 'Unity Government'. Bagi saya ianya satu tindakan untuk mencetuskan perbahasan berhubung satu pilihan yang mungkin tidak difikirkan oleh yang lain sebelum itu. Ianya dicampakkan untuk dibahas dan apabila ianya ditolak maka Tuan Guru Presiden pun menerimanya dengan baik dan menerima juga hakikat bahawa ianya satu pilihan yang sukar diterima pada masa itu.

Tulisan saya dalam blog pada ketika itu juga tidak menyerang Tuan Guru Presiden tetapi menjelaskan, dari hemat saya, mengapa ianya dicadangkan dan sebab mengapa ianya ditolak.

c) "Ahli PAS Tidak Wajib Wala' Kepada Keputusan Majlis Syura, Mereka Bukan Dapat Wahyu Pun."
Ini juga kononnya apa yang saya ucapkan dalam program wacana di Melaka yang sama. Sekali lagi sesiapa yang mendengar video program berkenaan akan mengetahui bahawa saya tidak sebut kata-kata sedemikian rupa! Semakin mengarut!

Yang saya sebut ialah adanya perbezaan di antara pandangan dan wahyu. Dalam soal wahyu kita tidak boleh bahas dan kita perlu sami'na wa ata'na. Dalam soal pandangan kita boleh berbincang dan berbahas. Saya berikan contoh kisah Hubarb dan Rasulullah (SAW) di Badr.

Tidak pernah saya sebut bahawa apabila sesuatu keputusan telah dibuat melalui proses Syura, termasuk keputusan Majlis Syura, maka tidak wajib untuk kita patuh.

d) "Wala' Dan Thiqah Konsep Yang Bercanggah Dengan Islam Dan Macam Teokrasi, Semua Dari Paderi Dari Tuhan, Kamu Bantah Kamu Sesat."
Ini juga kononnya apa yang saya ucapkan dalam program wacana di Melaka yang sama. Sekali lagi sesiapa yang mendengar video program berkenaan akan mengetahui bahawa saya tidak sebut kata-kata sedemikian rupa. Apa yang saya nyatakan ialah jangan jadikan wala' dan thiqah itu seperti amalan teokrasi dalam erti-kata memberikan kepatuhan membuta-tuli tanpa mengenali mana pandangan dan mana wahyu, atau mana yang boleh ditegur dan dibincang dan mana yang tidak boleh.

Berhubung isu wala' dan thiqah ini, amat jelas bahawa apabila sesuatu keputusan telah dibuat oleh jemaah melalui syura, semua kena patuh. Itu adalah disiplin berjemaah dan hukumnya 'wajib jamaii'. Kalau tidak sudah pasti akan berlaku kecelaruan. Namun, keputusan yang dibuat melalui proses syura sekalipun boleh dikaji kembali selepas perlaksanaannya dari sudut keberkesanannya dan ketepatannya. Ini dinamakan sebagai 'post-mortem' dan ianya merupakan kebiasaan dalam PAS selama ini.

Dalam soal Kota Damansara, bagi yang mengikuti apa yang berlaku, mereka akan sedar bahawa PAS Selangor dan saya tidak mengeluarkan sebarang pendirian sehingga Dato' Mustapha Ali (SUA) sendiri turun ke KD dan mengisytiharkan calon PKR sebagai calon PR. Selepas itu dan hanya selepas itu barulah PAS Selangor membuat PC menyokong kenyataan SUA kerana itulah apa yang telah dipersetujui di peringkat Negeri dan Pusat. Seterusnya semua telah diam dan isu ini saya timbulkan kembali selepas PRU selesai sebagai sebahagian dari post-mortem saya. Kalau setuju maka setuju, kalau tidak, tidak menjadi masalah. Itu hanya pandangan. Maka tidak perlu menabur fitnah. Fitnah merupakan jalan mudah menempah neraka.

Yang pelik ialah apabila ada golongan mempertikaikan kebijaksanaan kerjasama PR secara keseluruhannya, ianya diterima sebagai teguran yang membina dan tidak pula menyalahi konsep wala' dan thiqah! Tetapi bagi yang mempertahankan kerjasama PR ianya dianggap tidak wala'? Persoalan kepelikan ini akan saya kupas dengan lebih terperinci dalam bahagian ke-tiga insyaAllah.

Bersambung...

WaLlahu 'Alam

KHALID SAMAD
http://www.khalidsamad.com

Kebakaran 11 rumah panjang di S'wak, rugi RM12.8 juta

Posted: 26 Aug 2013 10:12 PM PDT


MALAYSIA KINI


Kebakaran yang memusnahkan 11 rumah panjang di Sarawak setakat kelmarin, menyebabkan kerugian dianggarkan RM12.8 juta.

Lima daripada insiden itu disebabkan aktiviti memasak, empat disebabkan litar pintas dan selebihnya penggunaan lilin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Nor Hisham Mohammad berkata sikap lalai, lupa dan leka antara punca berlakunya kebakaran itu.

"Siasatan kami menunjukkan kebocoran gas daripada dapur memasak, selain penggunaan peralatan elektrik yang berpanjangan juga menyumbang kepada insiden itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan di Kching semalam.- Bernama

MB akan dicabar di Bahagian Rembau

Posted: 26 Aug 2013 10:03 PM PDT

 
Pemimpin yang bakal mencabar beliau ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Datuk Mohamad Rais Zainuddin.



REMBAU :Pemilihan Umno di Negeri Sembilan sudah panas apabila Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan akan dicabar pada pemilihan Umno di peringkat Bahagian Rembau tidak lama lagi.

Mohamad merupakan penyandang Ketua Umno Bahagian Rembau.

Pemimpin yang bakal mencabar beliau ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Datuk Mohamad Rais Zainuddin.

Mohamad Rais, 57, berkata keputusan untuk bertanding untuk jawatan Ketua Umno Rembau bukanlah untuk merebut jawatan, sebaliknya bagi memulihkan semangat kekeluargaan yang semakin tipis dikalangan ahli Umno ketika ini.

"Saya melihat semangat kekeluargaan di kalangan ahli Umno semakin tipis. Saya dan semua ahli Umno bertanggungjawab untuk merapatkan semula jurang ini.

"Saya bertanding bukan untuk merebut jawatan tetapi memulihkan semangat kekeluargaan di dalam parti.
"Pertelingkahan berlaku dalam parti ini kadang kala lebih teruk berbanding pihak lawan dan ia akan merugikan diri sendiri.

"Perbezaan pendapat tidak bermakna kita berbeza perjuangan. Matlamat tetap sama tetpai adakalanya kerana desakan dan tekanan menyebabkan orang meluat kepada parti.

"Kalau gaduh beri kesan kepada parti masih tidak mengapa tetapi kita bimbang krisis ini akan menyebabkan mereka balas dendam pada Pilihan Raya," kata Mohamad Rais.

Mohamad Rais pernah menjadi ADUN Chembong dari 2004 hingga 2008 dan memegang portfolio sebagai Exco Kerajaan Negeri dalam tempoh tersebut.

Beliau merupakan Ketua Umno Cawangan Air Hitam, Chembong dan Pengerusi Alumni Kelab Umno Luar Negara.

Senario terbaru ini sudah menjadi buah mulut di kalangan pemimpin dalam Umno mahu pun Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan kerana seandainya Mohamad tewas pada Pemilihan Umno peringkat Rembau, kedudukan beliau sebagai sebagai Menteri Besar sudah pasti akan menjadi tanda tanya.

Sudah pasti kepimpinan Umno Negeri Sembilan yang bukan pro Mohamad akan memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengugurkan Mohamad sebagai Menteri Besar.

FMT difahamkan Mohamad Rais merupakan pro bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan Ahli Parlimen Jempol, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Walaubagaimanapun bukanlah perkara yang mudah untuk menumbangkan Mohamad di Umno Rembau kerana sebagai Menteri Besar yang telah berkhidmat untuk dua penggal dan kini menyambung untuk penggal ketiga, sudah pasti beliau mempunyai beberapa kelebihan.

Apatah lagi di bawah kepimpinan beliau Barisan Nasional berjaya merampas kerusi DUN Paroi dari PAS pada Pilihanraya Umum ke-13 lepas.

Malah majoriti kemenangan calon Barisan Nasional di Parlimen Rembau serta DUN Kota, Chembong, Rantau dan Paroi jauh meningkat berbanding keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 dulu.

Tanda Putera fitnah perkauman, bazir wang cukai rakyat

Posted: 26 Aug 2013 09:53 PM PDT

IMG_9224-001 

KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang sekali lagi melahirkan kekesalannya berhubung penayangan filem kontroversi Tanda Putera yang akan ditayangkan seluruh negara mulai Khamis ini.

Beliau menegaskan, amat tidak wajar untuk sengaja mencipta kejadian palsu yang boleh memburukkan permasalahan kaum dalam negara sedangkan filem itu dibiayai oleh wang cukai rakyat pelbagai kaum.

"Ia adalah kemuncak sikap jenayah tidak bertanggungjawab dan anti nasional untuk sesiapa sahaja mereka-reka kejadian kencing palsu sebagai salah satu sebab yang dikatakan memprovokasi rusuhan 13 Mei 1969 tanpa asas fakta di dalam mana-mana bahan sejarah, sama ada dokumentasi atau fotografi, terutama dalam filem dibiayai dengan wang cukai rakyat.

"Kejadian palsu yang menggambarkan seorang pemuda Cina kencing di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar Selangor itu boleh menjejas, mengancam hubungan antara kaum, membakar, menghasut kebencian dan memudaratkan kepada usaha-usaha pembangunan negara untuk menggalakkan keamanan serta sentiasa berada dalam keadaan muhibah dan harmoni.

"Ia amat menyedihkan jika filem terbaru arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba diingati sebagai filem 'kencing' kerana pembohongan yang tidak bertanggungjawab membayangi seluruh filem itu," katanya dalam kenyataan,semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen DAP Gelang Patah menyatakan tidak ada 'lesen kreatif' yang membenarkan perbuatan jenayah tidak bertanggungjawab dan anti nasional dalam negara.
IMG_9298-001

"Walaupun Shuhaimi Baba mengakui bahawa ianya adalah filem cereka sekitar rusuhan kaum 13 Mei, beliau secara khusus harus mengakui bahawa insiden 'kencing' di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar Selangor adalah khayalan imaginasi dan tidak ada takrif 'lesen kreatif' mewajarkan tindakan tidak bertanggungjawab dan anti nasional itu.

"Shuhaimi yang berbangga dirinya sebagai 'pengasas awal filem-filem seram' tidak boleh menganggap 'Tanda Putera' sebagai genre 'filem-filem hantu' yang pernah dia arahkan dulu memberikannya 'lesen kreatif' untuk membuat adegan rekaan melulu yang boleh membawa kesan buruk hubungan antara kaum," tegasnya.

Portal berita, Malaysiakini bertarikh 20 Julai 2012 melaporkan antara adegan yang yang dipaparkan dalam Tanda Putera adalah peristiwa Lim Kit Siang kencing pada tiang bendera di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris.

ahmad habib (3)-001

Namun Kit Siang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu kerana beliau tidak berada Kuala Lumpur pada 11, 12 dan 13 Mei 1969 dan gambar yang digunakan dalam facebook 'Tanda Putera' bukan pada tahun 1969 tetapi dari kejadian yang berbeza di Sabah 15 tahun kemudian, tahun 1984.

Seorang saksi, Ahmad Habib, yang ketika itu seorang pelajar tahun kedua ijazah pertama Institut Teknologi Mara (ITM) dan berada di rumah Datuk Harun Idris semasa 13 Mei 1969, turut menyatakan adalah mustahil untuk berlakunya insiden 'kencing' dalam kawasan yang diawasi dengan rapi dan ketat di kediaman rasmi itu.

"Ia menjadi satu misteri mengapa insiden 'kencing' episod begitu penting kepada filem 'Tanda Putera' walaupun tidak mempunyai asas fakta," ujarnya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: