DIALOG RAKYAT |
- Zahid tarik balik saman RM10 juta terhadap Rafizi
- Bung: Saya tak nampak sebab Musa perlu tanding VP
- 14 Mayat Warga Tempatan, Tiga Asing Dikenal Pasti
- Kenapa syaitan jadikan bilik air sebagai rumah
- Petisyen Dun Bukit Baru ditangguh 5 Sept
- Operasi Mencari Dihentikan, 15 Mayat Dikenal Pasti
- Najib diminta jelaskan pelantikan Shahrizat
- Pemuda PAS serah sumbangan bantu rakyat Mesir
- Bila Malaysia boleh jadi negara kadar jenayah rendah?
- Siasatan nahas bas meliputi semua sudut
- 420 pelajar dibawa pulang dari Mesir
- Utusan Malaysia diberi tempoh 48 jam bukti kebenaran dua artikel disiar
- DAP desak kerajaan jelaskan jumlah sebenar perbelanjaan iklan JPM
- Bas hilang kawalan 100 meter sebelum terjunam
Zahid tarik balik saman RM10 juta terhadap Rafizi Posted: 22 Aug 2013 12:01 AM PDT Bekas menteri pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menarik balik saman RM10 juta terhadap anggota Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli berhubung isu Awan Megah Sdn Bhd. Perkara itu diselesaikan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Lee Heng Chong. Ia ekoran Rafizi berpuas hati bahawa Zahid, kini menteri dalam negeri, tidak terlibat dengan pengambil alihan Awan Megah oleh Boustead. Rafizi membaca satu kenyataan di mahkamah terbuka bagi maksud tersebut. Dalam kenyataan itu, Rafizi berkata beliau berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Ahmad Zahid bahawa plaintif (Ahmad Zahid) tidak menyalahgunakan kuasa dalam apa-apa perkara atau apa saja dan tidak mempunyai peranan dalam keputusan Boustead Holdings Bhd, untuk menjalankan urus niaga bagi memperoleh saham Astacanggih Sdn Bhd dan tanah pembangunan daripada Awan Megah seperti yang dinyatakan dalam artikel saya bertarikh 29 Disember tahun lepas. Oleh itu, tegas Rafizi, beliau tanpa ragu-ragu dan tanpa syarat menarik balik kenyataan yang salah dalam artikel beliau itu. Rafizi, dalam mengulas mengenai perkara itu, berkata keputusan itu dicapai setelah beliau berpuas hati berdasarkan penjelasan Ahmad Zahid bahawa beliau tidak terbabit. "Ini bukan meminta maaf kepada Ahmad Zahid," katanya. Ahmad Zahid, yang hadir di mahkamah berjabat tangan dengan Rafizi selepas penyelesaian itu dicatatkan di mahkamah. Rafizi diwakili Razlan Hadri Zulkifli dan juga Latheefa Koya, manakala peguam Sashidaran Menon mewakili Ahmad Zahid. Sashidaran juga peguam yang mewakili Awan Megah dalam saman mereka terhadap ahli perniagaan permaidani Deepak Jaikishian, yang akhirnya diselesaikan di luar mahkamah berikutan pengambilalihan oleh Boustead. Ia telah dilaporkan pada awal tahun ini bahawa bekas menteri pertahanan telah memfailkan saman terhadap Rafizi berhubung posting beliau dalam blog bertajuk 'Dakwaan Deepak ada asas, wang rakyat disalah guna untuk menutup mulut Deepak'. | ||||
Bung: Saya tak nampak sebab Musa perlu tanding VP Posted: 21 Aug 2013 11:47 PM PDT Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin menasihatkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang diura-urakan akan bertanding jawatan naib presiden Umno supaya "bertenang dan membuat keputusan" sebaik-baiknya. Bung Moktar yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata beliau "tidak nampak sebab besar" mengapa Musa (kiri) perlu bertanding jawatan ketiga tertinggi dalam hiraki parti itu. "Kalau boleh, pada pandangan saya, wajar kita memberi (peluang) kepada pemimpin yang telah berada di situ untuk memastikan kesinambungan dalam kepimpinan tertinggi parti. "Kalau dua calon dari Sabah, saya nampak, (peluang) kedua-dua mereka pasti terjejas. Perwakilan mungkin tidak akan memberi sokongan kepada pemimpin dari Sabah untuk menerajui pimpinan yang lebih tinggi," katanya. Bung Moktar (kanan) menjawab soalan Malaysiakini berhubung ura-ura ketua menteri Sabah itu akan bertanding jawatan naib presiden Umno pada pemilihan parti itu Oktober ini. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Merdeka Raya dan Kibar Jalur Gemilang di Institut Kemajuan Desa, di Kajang Selangor, yang dirasmikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal. Bung Moktar juga berkata beliau akan mempertahankan jawatan ahli Majlis Tertinggi Umno dan akan memastikan "Shafie dan rakan-rakan MT" dipilih dalam pemilihan itu. | ||||
14 Mayat Warga Tempatan, Tiga Asing Dikenal Pasti Posted: 21 Aug 2013 11:46 PM PDT MSTAR ONLINE KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 warga tempatan dan tiga warga asing telah dikenal pasti daripada 30 mayat mangsa nahas bas di Genting Highlands yang dibedah siasat setakat ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr S. Jeyaindran pada Khamis. Beliau berkata daripada 14 mayat warga tempatan itu, dua adalah Melayu, 11 Cina dan satu Sikh manakala warga asing masing-masing ialah Bangladesh, Nepal dan Korea Selatan. "Daripada 30 mayat yang dibedah siasat setakat 11 pagi ini, sebanyak 22 adalah lelaki dan lapan perempuan," katanya pada sidang akhbar di Hospital Kuala Lumpur di sini. Dr Jeyaindran berkata setakat ini, enam mayat telah dituntut oleh keluarga masing-masing manakala proses untuk mengenal pasti identiti mayat lain masih dilakukan. Unit Forensik HKL dijangka selesai menjalankan proses bedah siasat ke atas tujuh lagi mayat pada tengah hari Khamis. Selain itu, katanya seramai 16 mangsa nahas itu selamat dan berada dalam keadaan stabil. "Lima orang daripada mereka mendapat rawatan di HKL di mana tiga daripadanya warga Malaysia, seorang Bangladesh dan seorang Thailand. Warga Thailand dan seorang warga tempatan kini berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya. Selain itu, lapan orang lagi ditempatkan di Hospital Selayang terdiri daripada tiga warga tempatan, tiga warga Bangladesh dan dua warga Indonesia, seorang warga tempatan dan seorang warga Korea Selatan dirawat di Sungai Buloh dan seorang warga Indonesia di Hospital Bentong. Dr Jeyaindran berkata tiada mangsa yang meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital dan semasa menerima rawatan di kesemua hospital berkenaan. "Ini menunjukkan, kesemua kakitangan perubatan yang terlibat dalam misi ini terbukti telah melakukan yang terbaik dalam mengendalikan proses penyelamatan dan bedah siasat dilakukan dengan efisien dalam masa 24 jam selepas menerima panggilan mengenai kejadian ini pada Rabu," katanya.- BERNAMA | ||||
Kenapa syaitan jadikan bilik air sebagai rumah Posted: 21 Aug 2013 11:41 PM PDT Detik Islam,Sebuah hadis, Rasulullah SAW bercerita bahawa Iblis meminta tempat tinggal kepada Allah SWT seperti halnya Allah SWT memberikan tempat tinggal anak-anak Adam berada di bumi. '' Ya Allah, adam dan keturunannya Engkau beri tempat tinggal di bumi, maka berilah pula aku tempat tinggal,'' kata iblis. Allah SWT berfirman;'' Tempat tinggalmu adalah air (bilik mandi atau jamban),'' (HR. Bukhari). Dari situlah kemudian iblis menggoda setiap orang yang memasuki rumahnya yang berupa bilik mandi, jamban atau tandas. Godaan iblis bermacam cara. Contohnya menggoda manusia agar; 1. Berada lama di dalam bilik mandi. 2. Bernyanyi atau berkata-kata. 3. Bermain-main air atau sesuatu yang lain (bawa i-pod mendengar muzik). 4. Membisik seseorang supaya kencing sambil berdiri. 5. Membiarkan baju yang kotor tergantung dalam bilik mandi. 6. Melupakan seseorang untuk berdoa ketika akan masuk atau keluar dari bilik mandi. 7. Melakukan perkara tidak sopan. 8. Melakukan Wuduk sambil telanjang. 9. Menconteng dinding bilik mandi. 10. Merancang kejahatan. Oleh itu berhati-hatilah sewaktu berada di dalam bilik air atau bilik mandi. Tips yang baik adalah dengan mandi, buang air dan lain-lain sewajarnya saja. Lebih cepat lebih baik. | ||||
Petisyen Dun Bukit Baru ditangguh 5 Sept Posted: 21 Aug 2013 11:34 PM PDT
MELAKA: Hakim Mahkamah Pilihanraya hari ini menangguhkan keputusan bantahan PAS terhadap petisyen BN bagi Dun Bukit Baru kepada 5 September depan. Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, hakim tersebut membuat keputusan tersebut sebentar tadi. Perbicaraan berlangsung di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini bermula jam 10.00 pagi. Pasukan peguam BN diketuai oleh Datuk Hafarizam Harun manakala PAS diwakili oleh Zulkhairi Mohamad. Antara pimpinan PR yang hadir di mahkamah hari ini ialah Adun Bukit Baru, Dr Khalid Kassim; Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin dan calon BN yang tumbang di Parlimen Bukit Katil, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. | ||||
Operasi Mencari Dihentikan, 15 Mayat Dikenal Pasti Posted: 21 Aug 2013 11:33 PM PDT GENTING HIGHLANDS: Polis telah menghentikan operasi mencari saki baki mangsa nahas bas di sini yang meragut 37 nyawa pada Rabu. Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Mohd Mansor Mohd Noor berkata polis telah menghentikan operasi mencari dan kini mengeluarkan barang-barang berharga dan dokumen untuk mengenal pasti mangsa yang terkorban. "Anggota-anggota kami hanya menemui dua pasang kaki yang akan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur. "Kami yakin bahawa tiada lagi mangsa terperangkap di dalam bas atau kawasan tersebut," katanya kepada pemberita di tempat nahas pagi Khamis. Mohd Mansor berkata, daripada 37 penumpang yang maut hanya 15 telah dikenal pasti setakat ini. "Sesiapa yang mempunyai saudara mara menaiki bas ke Genting Highlands dan dilaporkan hilang perlu menghubungi polis dengan segera. "Kami boleh menggunakan apa saja bantuan, malah gambaran pakaian mereka boleh membantu dalam proses mengenal pasti mangsa," katanya. Beliau berkata 34 mayat telah dibedah siasat manakala lima mayat dituntut oleh waris. Mohd Mansor berkata punca kematian disebabkan pelbagai kecederaan dan kerosakan organ dalaman yang serius. | ||||
Najib diminta jelaskan pelantikan Shahrizat Posted: 21 Aug 2013 11:31 PM PDT
Ketua Penerangan DMPP, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, seperti kebiasaan, seseorang yang dilantik menjadi penasihat kepada perdana menteri atau mana-mana kementerian akan diberikan elaun atau gaji serta kemudahan-kemudahan lain. Justeru tegasnya Najib harus memberikan penjelasan berhubung perkara itu kerana bayaran kepada jawatan Shahrizat akan melibatkan wang rakyat. "Perdana menteri mestilah memberikan penjelasan kerana pelantikan ini adalah satu pembaziran. "Kita sudah ada kementerian wanita jadi untuk apa wujudkan kedudukan penasihat yang akan jaga hal-hal wanita juga? Wajarkah wang rakyat yang membayar cukai digunakan untuk membayar elaun penasihat yang tidak penting?" kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini. Aiman juga berkata, pelantikan Shahrizat itu memberikan tamparan hebat kepada Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Rohani Abdul Karim. Pelantikan itu katanya secara tidak langsung menunjukkan seolah-olah Najib tidak yakin dengan kredibiliti Rohani menerajui kementeriannya. "Tidakkah ini memberi tamparan yang hebat kepada menteri yang sedia ada dan menunjukkan Najib seolah-olah tidak meletakkan kepercayaan kepada menteri yang ada untuk melaksanakan tugasnya? "Atau adakah Rohani dilantik hanya untuk mengambil hati orang Sarawak memandangkan Rohani dari Sarawak?" soalnya. Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan pelantikan Shahrizat ada hubung kait dengan pemilihan Umno pada Oktober depan. "Mungkin ini merupakan permainan politik dalam Umno sendiri Mungkin Najib terpaksa memberikan jawatan tersebut kepada Shahrizat atas desakan wanita Umno yang pro Shahrizat. "Jawatan utama termasuk persiden akan dicabar jadi bagi memastikan wanita memberikan sokongan kepada beliau, Shahrizat harus diberikan jawatan khas," katanya. Tambah Aiman juga, pelantikan itu juga dilihat sebagai penyambung kepada karier politik Shahrizat yang hampir musnah akibat terpalit dengan skandal National Feedlot Corporation (NFC) melibatkan anggota keluarganya. Shahrizat sebelum ini pernah dilantik sebagai penasihat khas kepada Perdana Menteri berhubung hal ehwal pembangunan wanita dan sosial pada 2008, walaupun beliau tewas dalam PRU12 pada tahun itu. | ||||
Pemuda PAS serah sumbangan bantu rakyat Mesir Posted: 21 Aug 2013 11:30 PM PDT
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa prihatin dengan penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Mesir dalam tragedi yang menyayat hati. Operasi pembantaian rakyat Mesir oleh rejim kudeta Mesir mencatat korban syuhada di Mesir seramai lebih 2,500 manakala 10,000 orang cedera. Tentera Mesir bersikap kejam terhadap rakyatnya sendiri sehingga ada yang didera dengan begitu zalim dan mati dalam tahanan dan ada yang di bakar hidup-hidup. Terpanggil dengan penderitaan itu, DPPM telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM45,000 kepada Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Islam Mesir (ILMAM) bagi membantu umat Islam di Mesir. "Sumbangan ini akan disalurkan terus kepada umat Islam Mesir melalui Ikhwanul Muslimin untuk keperluan mereka di sana termasuk membeli ubat-ubatan, pakaian, makanan, membiayai anak-anak yatim, ibu tunggal, dan lain-lain lagi," ujar Bendahari DPPM, Ir Muhd Khairil Nizam Khiruddin. Katanya, sumbangan itu diserahkan oleh beliau bersama Khairul Faizi Ahmad Kamil selaku Setiausaha DPPM kepada AJK Ilmam, Ustaz Abdul Rahman Tharin. Turut hadir dalam majlis penyerahan sumbangan tersebut adalah Ust Syed Abdul Kadir Al Joffre selaku Naib Presiden ILMAM serta AJK ILMAM. (Gambar atas) "Sumbangan ini adalah sedikit perkongsian kesedihan dan tangisan umat Islam seluruh dunia selain doa dan munajat yang dipanjatkan setiap hari untuk kesejahteraan mereka di sana," ujarnya lagi. Jelasnya, ILMAM adalah sebuah NGO yang ditubuhkan pada 2010 bertujuan menjaga kebajikan graduan Mesir, membantu persiapan bakal mahasiswa Mesir dan menjadi mediator isu-isu di Mesir. ILMAM mempunyai akses langsung dengan rakyat Mesir termasuk Ikhwanul Muslimin dan mampu menyalurkan maklumat serta hubungan dengan pemimpin Ikhwanul Muslimin di sana selain rakyat Malaysia yang berada di bumi Mesir. ILMAM menjadi semakin signifikan dengan berlakunya konflik berdarah di Mesir apabila pemimpinnya menjadi rujukan setiap golongan yang ingin mengetahui perkembangan di sana untuk mengulas, menterjemah atau memberi penerangan isu-isu yang berkaitan. ILMAM dianggotai seramai lebih 1,000 orang ahli kesemuanya adalah graduan Mesir dan berada di setiap negeri. | ||||
Bila Malaysia boleh jadi negara kadar jenayah rendah? Posted: 21 Aug 2013 11:20 PM PDT KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang ingin tahu bila agaknya Malaysia akan ditampilkan di muka depan majalah dalam dan luar negara sebagai "negara bertuah" dan "rendah kadar jenayah". Ini kerana laporan muka depan dua majalah antarabangsa bulan lalu membuatkan rakyat Malaysia merenung perkembangan di negara ini selepas 100 hari Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) berlalu dan ketika negara sedang bersiap untuk menyambut Hari Kemerdekaan ke-56 sebelas hari lagi. Menurutnya, majalah The Economist edisi 20 Julai lalu menerusi rencana berjudul "The Curious Case of the Fall ini Crime" melaporkan bahawa kadar jenayah di negara kaya semakin turun walaupun berdepan dengan masalah kadar pengangguran yang tinggi dan kelembapan ekonomi. "Rencana "ringkasan berita" The Economist itu menyebut di seluruh dunia maju, gelombang jenayah yang bermula pada tahun 1950an kini sedang berkurangan. "Rekod polis (yang meremehkan beberapa jenis jenayah) dan tinjauan di kalangan mangsa (yang tidak selalunya tersedia sebagai sumber data) menunjukkan kadar jenayah terhadap orang perseorangan dan harta benda semakin berkurangan sepanjang sepuluh tahun lalu di kebanyakan negara kaya. Di Amerika, penurunan kadar jenayah bermula sekitar 1991; di Britain, ia bermula sekitar 1995, walaupun kadar jenayah pembunuhan hanya mula berkurangan pada pertengahan tahun 2000an. Di Perancis, jenayah membabitkan harta benda meningkat sehingga tahun 2001–tetapi ia berkurangan sebanyak satu pertiga sejak itu. Beberapa jenis jenayah tidak lagi berlaku. Pada 1997, sekitar 400,000 kereta dilaporkan dicuri di England dan Wales: pada 2012, jumlahnya hanya 86,000. "Kadar pengurangan jenayah paling ketara di kota utama. Kadar jenayah ganas menurun sebanyak 32% sejak 1990 di seluruh Amerika; kota besar mencatatkan kadar penurunan sebanyak 64%. Di New York, di kawasan sekitar Times Square on 42nd Street, tempat yang dulunya dipenuhi pengedar filem lucah dan penyangak, kini menjadi tempat tumpuan pelancongan berkeluarga. Di kawasan perumahan di London, kanak-kanak bermain di kaki lima konkrit yang dulunya menjadi medan penagih dadah. Di Tallinn, anda boleh berjalan kaki pulang ke rumah selepas menonton teater tanpa dicabul, tidak kira pada jam selewat mana pun anda pulang." Ahli Parlimen Gelang Patah dalam kenyataan medianya berkata, sememangnya orang masih membahaskan mengenai sebab sebenar yang membawa kepada penurunan ketara kadar jenayah di negara maju, tetapi di Malaysia, 100 hari selepas PRU-13 dan 11 hari sebelum sambutan Hari Kemerdekaan ke-56, rakyat masih berdepan dengan ketakutan dan kebimbangan, apa lagi senjata api kini mudah diperolehi dan kadar jenayah membabitkan senjata api kerap terjadi. "Apa yang tidak kena dengan Malaysia sehingga negara ini seolah-olah dikuasai hukum rimba. "Kulit depan majalah Time minggu lalu pula menampilkan laporan berjudul "We are Australia: The true face of the lucky country". "Bolehkah kita bayangkan Malaysia ditampilkan pada muka depan majalah dalam dan luar negeri dalam tempoh tiga bulan lalu sebagai "Wajah Sejati Sebuah Negara Bertuah," katanya. Beliau berkata, perkara itu tidak dapat bayangkan di tengah marak bahasa dan politik kebencian yang berputar mengenai isu kaum dan agama yang seolah-olah cuba menafikan kepelbagaian kaum, bahasa, budaya, dan agama di Malaysia adalah aset negara ini yang terbaik, bukannya punca kelemahan yang terbesar. Katanya, setelah lebih 100 hari PRU-13 dan 11 hari menjelang perayaan Hari Kemerdekaan ke-56, rakyat Malaysia perlu bertanya bila dan apa yang perlu dilakukan agar Malaysia dapat tampil di muka depan majalah dalam dan luar negara sebagai "negara bertuah" dan "rendah kadar jenayah".-Roketkini.com | ||||
Siasatan nahas bas meliputi semua sudut Posted: 21 Aug 2013 11:14 PM PDT SINAR HARIAN KUANTAN - Siasatan mengenai kemalangan bas yang mengorbankan 37 nyawa di KM3.5 Jalan Genting Highlands akan meliputi pelbagai sudut, kata Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani. Beliau berkata polis akan mula mendapatkan keterangan daripada saksi dan penumpang yang terselamat dalam kejadian itu hari ini. "Siasatan akan dilakukan dari semua sudut untuk mendapatkan gambaran tepat mengenai kejadian itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Kemalangan di KM3.5 Jalan Genting Highlands itu meragut 37 nyawa termasuk pemandu bas apabila bas yang dinaiki 53 orang itu terjunam 60 meter ke dalam gaung semasa menuruni jalan curam dari puncak pusat peranginan itu ke ibu negara. Nahas yang disifatkan terburuk dalam sejarah negara itu turut menyebabkan 16 penumpang cedera. - Bernama | ||||
420 pelajar dibawa pulang dari Mesir Posted: 21 Aug 2013 11:12 PM PDT SINAR HARIAN KUALA LUMPUR - Seramai 420 penuntut Malaysia di Mesir akan dibawa pulang secara berperingkat melalui empat penerbangan komersil dalam Ops Piramid 2 hari ini. Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab dalam kenyataan kepada Bernama berkata penerbangan pertama membawa lapan penuntut dari Alexandria menaiki pesawat Emirates dijangka tiba di Kuala Lumpur pada 9.45 malam ini. Seramai 365 penuntut akan dibawa pulang dari Kaherah dengan penerbangan AirAsia dan dijangka tiba pada 5.25 pagi esok (23 Ogos). Penerbangan ketiga akan membawa 45 penuntut, juga dari Kaherah, melalui pesawat Singapore Airlines (SIA SQ493) yang dijangka tiba pada 8.05 pagi, 23 Ogos. Dua lagi penuntut akan dibawa pulang dari Kaherah menaiki pesawat Egypt Air dan dijangka tiba pada 6.40 petang esok. Menurut kenyataan itu penerbangan pertama Egypt Air membawa enam penuntut Malaysia dari Kaherah yang berlepas kira-kira tengah malam tadi waktu Kaherah, dijangka tiba di Kuala Lumpur pada 6.40 petang ini. Selasa lepas, kerajaan memutuskan untuk membawa pulang 3,300 penuntut Malaysia di Mesir menggunakan pesawat komersil berikutan pergolakan di negara itu yang dilaporkan semakin tidak menentu. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini berkata keselamatan penuntut Malaysia di Mesir menjadi keutamaan kerajaan ketika ini dan urusan membawa mereka pulang tidak boleh dilengahkan kerana kemungkinan keadaan menjadi lebih serius. Mohamed Thajudeen, yang mengetuai pasukan MKN yang ditugaskan untuk menilai keperluan pemindahan dan situasi keselamatan rakyat Malaysia di negara berkenaan, tiba di sana pada 19 Ogos. - Bernama | ||||
Utusan Malaysia diberi tempoh 48 jam bukti kebenaran dua artikel disiar Posted: 21 Aug 2013 11:10 PM PDT KUALA LUMPUR- DAP memberi tempoh 48 jam kepada Utusan Malaysia membuktikan dakwaannya terhadap Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini, benar. Media kawalan UMNO itu pada 17 dan 18 Ogos lalu menyiarkan dua artikel bertajuk 'Kit Siang manipulasi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC)' dan 'Akhirnya drama dihentikan' berniat menyerang kepimpinan DAP berkenaan. Ketua Biro Undang-Undang DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo berkata, Utusan Malaysia perlu membuktikan kebenaran artikel yang disiarkan itu jika tidak tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka. "Kami mahu Utusan Malaysia menjelaskan daripada sumber mana mereka peroleh fakta untuk menulis dua artikel yang tidak bertanggungjawab itu. "Jika Utusan Malaysia gagal membuktikannya, tindakan undang-undang akan diambil dan kami memberi tempoh 48 jam untuk mereka menjawabnya. "Tuduhan dan fitnah seperti itu adalah perkara yang serius, ia juga mencemar serta menjejaskan reputasi Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP Kebangsaan, hari ini. Menurut Gobind, dua saman akan dibuat terhadap Utusan iaitu daripada Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng. Beliau menegaskan, DAP juga akan memfailkan saman kepada Editor Utusan Malaysia, Zulkifli Jalil dan penulisnya, Kasthuri Jeevendran. Artikel 'Kit Siang manipulasi pemilihan CEC' didakwa berdasarkan 'Laporan Ekuiti (Penipuan Pemilihan CEC) yang ditulis penulis yang tidak wujud bernama Father Augustus Chen. Antara dakwaan tidak berasas yang tertera dalam dua artikel itu adalah 'bukti begitu kuat mengatakan wujud penyelewengan dan manipulasi undi ketika pengundian', 'wujud 547 perwakilan haram yang kebanyakannya dari Pulau Pinang diarah mengundi' pemimpin tertentu, 'Kit Siang sering campur tangan dalam menentukan cawangan mana harus hadir pada pemilihan CEC' dan pelbagai lagi. Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong turut mengulangi cabaran agar Utusan Malaysia membuktikan kewujudan Father Augustus Chen yang sering dijadikan modal untuk menfitnah parti itu. "Dalam bidang kewartawanan, wartawan bertanggungjawab terhadap apa yang ditulis, segala fakta perlu disahkan terlebih dahulu sebelum diterbitkan. Jadi saya ingin bertanya adakah Utusan Malaysia pernah bertemu 'Father Augustus Chen'?, mana bukti kewujudan beliau?," soalnya. -Roketkini.com | ||||
DAP desak kerajaan jelaskan jumlah sebenar perbelanjaan iklan JPM Posted: 21 Aug 2013 11:06 PM PDT KULAI: Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching menuntut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menjelaskan perbelanjaan yang dibuat jabatan itu untuk iklan dan publisiti daripada 2008 hingga 2013. "Pendek kata, perbelanjaan JPM untuk iklan dan bahan publisiti sejak 2008 hingga 2013 berjumlah RM102,892,112.75. "Terdapat perbezaan besar terhadap perbelanjaan iklan JPM. Jika enam bulan tahun ini, JPM membelanjakan RM264 juta untuk iklan, ia adalah mustahil bahawa jumlah perbelanjaan iklan di JPM antara 2008 dan 2013 hanya RM102 juta. Adakah Shahidan memberi angka yang tidak tepat dengan niat mengelirukan Parlimen dan orang awam?," soalnya dalam kenyataan, hari ini. Malay Mail Online, pada 16 Ogos lalu melaporkan menurut agensi pembelian media antarabangsa, Vizeum Media, JPM melakukan perbelanjaan besar daripada peruntukan kerajaan berjumlah RM264 juta bagi bagi tempoh enam bulan tahun ini, lima kali lebih daripada 2012. Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan berkata, Vizeum Media bukan satu-satunya organisasi yang mendedahkan ketirisan kerajaan itu. "Awal tahun ini, satu kajian iaitu daripada AC Nielsen mendedahkan bahawa JPM membelanjakan RM170 juta untuk iklan dalam suku pertama 2013, ini membuatkan laporan Vizeum Media lebih meyakinkan. "Jadi saya minta Shahidan menjelaskan perbezaan itu serta-merta. Jika tidak, saya tidak akan teragak-agak menyatakan beliau mengelirukan Majlis dan merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, seperti yang diperuntukkan mengikut Aturan 36 (12) Perintah Tetap pada sidang Parlimen akan datang bermula 23 September ini. Dalam pada itu, Nie Ching turut mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (PSRM) menyiasat mengenai kempen pengiklanan kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum ke013 lalu kerana ia merupakan 'penyalahgunaan dana awam' yang jelas.-Roketkini.com | ||||
Bas hilang kawalan 100 meter sebelum terjunam Posted: 21 Aug 2013 10:58 PM PDT Sepasukan anggota bomba dan penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berusaha mengeluarkan kira-kira 40 penumpang bas Genting apabila terbabas ke gaung sedalam kira-kira 50 meter ketika menuruni bukit di kilometer 3.5 Jalan Genting Highland semalam. - Foto Bernama KUANTAN - Bas yang terjunam ke dalam gaung di Km 3.5 Jalan Genting Highlands, hilang kawalan sejauh 100 meter sebelum melanggar tebing dan jatuh ke dalam gaung itu, kata Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani. Katanya siasatan awal juga mendapati sebanyak 48 tiket dijual namun bilangan penumpang yang menaiki bas bernombor pendaftaran WGA 4136 berkenaan lebih daripada itu. Kejadian dilapor berlaku 2.45 petang ketika bas berkenaan menuruni puncak Genting Highlands berdekatan Chin Swee Temple, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini. Nahas yang disifatkan terburuk dalam sejarah negara itu mengorbankan 37 nyawa, manakala 16 lagi cedera. - Bernama |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan