Rabu, 21 Ogos 2013

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Barat di belakang tragedi Mesir

Posted: 20 Aug 2013 06:15 PM PDT

Oleh MOHAMAD SABU
RAKYAT Mesir berada di bawah pemerintahan "diktator" sejak dari zaman Jamal Abdul Nasir dan diikuti dengan zaman Anuar Sadat, dan juga zaman Hosni Mubarak. Pertubuhan yang terbesar yang bangun melawan pemerintahan Mesir pada waktu itu ialah Ikhwanul Muslimin. 


Ikhwanul Muslimin ialah pertubuhan yang begitu tersusun, mempunyai "tanzim" yang begitu jelas, dan soal pemimpin atau "Al-Qaid" yang begitu hebat iaitu Imam Hassan Al-Banna telah memulakan karier dakwah dalam memberi kesedaran kepada orang Islam terutama selepas zaman penjajahan. Penjajah Perancis, British, Itali ataupun negara-negara Barat yang lain, menjajah seluruh dunia Islam termasuk utara Afrika. Oleh kerana Ikhwanul Muslimin dianggap memberikan saingan kepada mereka yang berkuasa pada waktu itu, yang mereka mengambil alih kuasa melalui rampasan kuasa terhadap "Kerajaan Beraja Farouk," maka saingan itu mesti dihapuskan atau pun dilemahkan, maka Ikhwanul Muslimin diharamkan.
Dalam masa pengharaman itu, Ikhwanul Muslimin terus bergerak melalui unit-unit sel mereka terutama majlis-majlis usrah, menguasai gerakan-gerakan pelajar dan gerakan buruh, NGO hal kedoktoran dan hal kemasyarakatan banyak dikuasai oleh golongan yang dilatih atau disebut di sini "ditarbiyah" oleh Ikhwanul Muslimin.
Pengaruh Ikhwanul Muslimin Mesir merebak hampir ke seluruh dunia Arab dan dunia Islam, tak terkecuali Parti Islam Se-Malaysia (PAS) juga terpengaruh dan dipengaruhi oleh gerakan Ikhwanul Muslimin, dan setiap kali ucapan dibuat oleh pemimpin merujuk kepada contemporary leader iaitu pemimpin semasa dalam gerakan Islam, maka pemimpin Ikhwanlah menjadi sebutan dan rujukan para pemimpin PAS, termasuk saya sendiri, yang banyak merujuk kepada perjuangan Ikhwanul Muslimin di Mesir dan juga di dunia Arab.
Penindasan terhadap Ikhwanul Muslimin berterusan sehinggalah zaman Mubarak, di mana secara ringkasnya apabila berlaku "Arab Spring" di Tunisia, ia merebak ke Mesir. Anak-anak muda Mesir sama ada seperti Wa'il Ghanim dan rakan-rakannya yang menguasai facebook dan dunia alam maya ini (internet) menyebabkan pe-ngaruh mereka untuk membuat perubahan di Mesir. Anak-anak muda mula berkumpul menuntut demokrasi, keadilan dan juga menolak kerajaan yang bersikap rakus dan zalim.
Sehinggalah himpunan kecil bertukar menjadi perhimpunan jutaan orang dan bermingguminggu berjalan di Medan Tahrir sehinggalah ke peringkat akhirnya Mubarak mengundur diri dan menyerahkan kepada kerajaan sementara untuk mengadakan pilihan raya.
Apabila diadakan pilihan raya, Ikhwanul Muslimin satu gerakan yang tersusun yang selama ini bergerak secara rahsia, menjelmakan diri secara terbuka dan berkempen secara terbuka untuk menang dalam pilihan raya, dan golongan Islam, Ikhwan dan golongan Islam yang lain menguasai 70% kerusi Parlimen.
Ini satu kejutan yang berlaku di Mesir dan menggembirakan seluruh pencinta ataupun mereka yang ingin melihat Islam kembali menyinari dan mengepalai tamadun di atas muka bumi ini.
PAS dan kami semua amat bergembira dengan kemenangan golongan Islam di Mesir, dan Mesir pula menjadi pusat kepada negara- negara Arab dan mempunyai penduduk paling ramai di kalangan negara Arab, dan ia akan berlaku di seluruh dunia Islam khasnya, dan dunia ketiga amnya.
Apabila berlaku pilihan raya Presiden pula, Ikhwan pula telah mengemukakan seorang calon iaitu Dr Mohamad Morsi, dan dalam pertandingan itu Mohamad Morsi telah menang dengan hampir 52% undi popular. Selepas kemenangan Morsi tidak ada kumpulan yang membuat demontrasi untuk mengatakan pilihan raya tidak adil dan berlaku penipuan. Tidak ada gerakan "505" seperti berlaku di Malaysia selepas pilihan raya.
Oleh itu kemenangan Morsi adalah sah dan mutlak. Dia adalah Presiden pilihan rakyat.
Apabila hampir satu tahun Morsi memerintah, setiap pemerintahan sudah tentu ada kelemahan dan kelebihan. Rakyat yang tidak bersetuju pula keluar ke jalan raya di atas nama tamarud menyatakan ketidaksenangan dan ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan Morsi.
Bagi saya tindakan rakyat keluar ke jalan raya, dalam tunjuk perasaan kepada tamarud, itu juga sah, mereka berhak menyuarakan pandangan, berhak berkumpul secara aman, dan mereka berhak menyuarakan ketidakpuasan hati mereka.
Yang paling ketara kejahatannya di sini ialah rampasan kuasa, yang dibuat oleh pihak tentera terhadap kerajaan yang dipilih secara sah.
Sepatutnya pemerintahan tentera dan juga dunia Barat yang tidak suka kepada pemerintahan Morsi, memberikan tekanan supaya diadakan pilihan raya secara awal.
Biar rakyat menentukan siapa mereka yang hendak dipilih, bukan penggulingan kerajaan yang sah. Apabila kerajaan yang sah digulingkan, maka ia melanggar segala nilai dan norma demokrasi yang disanjung dan diguna pakai di negara Barat.
Apabila kerajaan Morsi digulingkan, panglima penguling kuasa, Abdel Fatteh As-Sisi yang memainkan peranan utama, yang mengepalai pemerintahan walaupun dilantik orang lain menjadi Presiden sementara, tetapi menteri- menteri dan sebagainya, tentera yang sebenarnya yang berkuasa, secepat kilat negara-negara Teluk memberikan sokongan.
Negara-negara Teluk yang kesemuanya di bawah pengaruh Amerika, daripada situ kita lihat Amerika merestui rampasan kuasa itu melalui sokongan Saudi, Qatar, Kuwait dan negara-negara Teluk yang di negara mereka tidak ada pilihan raya dan tidak ada demokrasi, kecuali di negara Kuwait yang agak bebas. Lain-lain negara Teluk yang lainnya tiada demokrasi dan mempunyai pangkalan tentera Amerika.
Oleh itu, Amerika tidak dapat menafikan yang mereka berada di belakang rampasan kuasa itu.
Rakyat keluar ke jalan raya duduk dan bantah adalah tindakan yang sah, tanpa membawa senjata untuk mengembalikan pemerintahan yang dipilih oleh rakyat. Iaitu Morsi mesti dikembalikan ke tampuk kuasa. Morsi akan menjalankan pilihan raya selepas itu untuk menentukan kedudukan siapa yang dipilih oleh rakyat sepatutnya.
Jikalau pada tahun 1978, rakyat Iran keluar ke jalan raya untuk menjatuhkan kerajaan Shah dan pihak polis serta tentera bertindak begitu kasar, membunuh lebih 4,000 pelajar dan anak-anak muda di Teheran, kerajaan haram Mesir ini pun melakukan tindakan yang lebih zalim daripada Shah Iran kerana rakyat keluar bukan untuk menggulingkan kerajaan As-Sisi, tetapi rakyat keluar untuk menuntut supaya kerajaan yang sah dikembalikan kuasa.
Oleh itu, tindakan pemerintahan Mesir bertindak begitu zalim dan ganas terhadap rakyat yang hendak mengembalikan hak yang diperolehi melalui proses demokrasi dan pilihan raya yang sah dan diakui sah dan adil.
Maka keadaan ini akan sampai bila berlarutan dan kita nampak negara-negara Barat mereka tidak suka demokrasi berlangsung di dunia ketiga dan dunia Islam.
Mereka tetap mahu orang Islam dan juga dunia ketiga berada di dalam keadaan keterbelakang "backward" dalam hal demokrasi supaya mereka terus menguasai dunia ini.
Oleh itu, kita berharap gerakan Islam, orang Islam dan penduduk dunia ketiga jangan terperangkap dengan jualan manisan demokrasi yang dilaungkan oleh Barat, pada masa yang sama mereka mahu ianya hanya berjalan di negara mereka sahaja, tetapi mereka tidak mahu demokrasi itu berjalan di negara lain, khasnya negara Islam dan dunia ketiga.

Tentera Mesir cuba hancurkan pergerakan Ikhwanul Muslimin

Posted: 20 Aug 2013 06:14 PM PDT



Selepas menggempur dua khemah penyokong Mursi di perkarangan Masjid Rabaa al-Adawiya dan Dataran al-Nahda di Kaherah pada Rabu lalu, bagi menyuraikan penyokong Mursi yang berkampung di situ sejak pihak tentera menyingkirkan Mursi pada 3 Julai lalu, mengakibatkan lebih 2,000 terbunuh, pihak tentera kini bertindak lebih jauh bukan sahaja bagi memburu pemimpin Ikhwanul Muslimin, tetapi juga cuba menghapuskan pengaruh pergerakan Ikhwanul Muslimin dengan mengharamkan dan melabelkan pergerakan itu sebagai pertubuhan pengganas. Kelmarin, polis Mesir bertindak menyerbu kediaman-kediaman pemimpin Ikhwanul Muslimin bagi menahan pemimpin pergerakan itu atas dakwaan cuba menggagalkan rancangan tunjuk perasaan besar-besaran penyokong Mursi yang dirancang oleh pergerakan itu.
Operasi itu dilancarkan berikutan tindakan Ikhwanul Muslimin melalui Pakatan Anti-Rampasan Kuasa, kelmarin merancang mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran di hadapan bangunan Mahkamah Agung di selatan Kaherah.
Serbuan itu dilancarkan sejak awal kelmarin bagi menahan pegawai-pegawai tertinggi Ikhwanul Muslimin dan mendakwa mereka atas tuduhan menghasut keganasan dan mengetuai serangan terhadap balai-balai polis serta gereja.
Kekejaman yang dilakukan oleh pihak tentera Mesir semasa menyuraikan penunjuk perasaan merupakan tindakan yang melampaui batas-batas kemanusiaan apabila melancarkan tembakan terbuka ke arah penyokong Mursi yang tidak bersenjata dan mengadakan perhimpunan secara aman bagi menunjukkan bantahan mereka terhadap pihak tentera.
Ia bertujuan untuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan penyokong Mursi yang kebanyakannya merupakan penyokong Ikhwanul Muslimin.
Dalam serbuan itu, tentera Mesir bukan sahaja menggunakan gas pemedih mata, peluru hidup, tetapi juga kumpulan penembak tepat yang ditempatkan di bangunan-bangunan tinggi sekitar Masjid Rabaa al-Adawiyah dan Dataran al-Nahda yang diberi tugas utama untuk 'menembak dan membunuh', tetapi juga menggunakan kereta perisai, dan jentolak bagi merobohkan dan membersihkan khemah-khemah penyokong Mursi.
Malahan tentera Mesir turut menggunakan helikopter yang membawa anggota tentera yang melepaskan tembakan dari udara ke arah penyokong Mursi yang bertempiaran lari menyelamatkan diri semasa operasi itu.
Tiada asas yang kuat bagi tentera Mesir untuk bertindak sejauh itu, kerana penyokong Mursi hanya mengadakan bantahan aman dengan duduk beramai-ramai bagi mendesak tentera mengembalikan jawatan Mursi sebagai Presiden Mesir yang dipilih secara demokratik oleh rakyat.
Tindakan tentera Mesir itu boleh disamakan dengan tindakan tentera Nazi terhadap penduduk Yahudi semasa Perang Dunia Kedua yang melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sepatutnya telah mengambil tindakan keras terhadap pihak berkuasa tentera dan kerajaan sementara Mesir atas kekejaman yang dilakukan ke atas penduduk awam.
Pemimpin tentera Mesir dan kerajaan sementara Mesir juga perlu dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa kerana melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap penyokong Mursi.
Dalam perkembangan terbaharu pula, Ketua Tentera Mesir Jeneral Abdul Fatah al-Sissi memberi amaran akan menggunakan kekuatan tentera habis-habisan bagi menumpaskan penunjuk perasaan.
Kenyataan tegas Abdul Fatah itu menimbulkan persoalan apakah tentera benar-benar mahu mengembalikan ketenteraman awam atau mahu menghapuskan Ikhwanul Muslimin dan saki baki pengaruh pergerakan itu dalam kalangan rakyat Mesir bagi mengukuhkan kuasa pemerintahannya dan menggagalkan kebangkitan Islam di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam itu.
Tindakan tentera itu jelas menunjukkan mereka ingin kembali mendominasi politik di bumi Mesir dan belum bersedia untuk menerima pemerintahan rakyat yang berpaksikan demokrasi.
Tentera sukar menerima kenyataan bahawa pengaruh tentera dalam politik Mesir sejak Revolusi 1952 di bawah Jeneral Muhammad Naguib dan Gamal Abdul Nasser kini sudah berakhir dengan kebangkitan rakyat dan kejatuhan Presiden Hosni Mubarak.

Falsafah Aidilfitri perlu dihayati

Posted: 20 Aug 2013 06:13 PM PDT

Apabila Rasulullah bertanya kepada mereka apakah dua hari raya tersebut, mereka segera menjawab bahawa dua hari raya yang mereka sambut itu adalah perayaan yang telah diwarisi secara turun-temurun daripada datuk nenek mereka terdahulu.


Lalu Rasulullah SAW telah menyatakan kepada masyarakat Arab Madinah bahawa Islam telah menggantikan dua hari raya yang diraikan itu dengan dua hari yang lebih bermakna iaitu Hari Raya Korban atau Aidiladha dan Hari Raya Fitrah atau disebut Aidilfitri.
Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu merupakan satu ibadat.
Hari Raya Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang-orang yang telah dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna.
Kemenangan itu bukan saja menang kerana telah berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang bulan Ramadan, tetapi juga kemenangan kerana seseorang yang telah mengerjakan puasa tersebut dengan sendirinya dapat menghalang diri daripada melakukan apa jua perkara yang dilarang. Sekiranya dilakukan juga maka akan terbatallah puasanya.
Kerana itulah Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan tersebut. Kalimat 'fitri' sendiri bermaksud fitrah, iaitu dengan kejayaan manusia balik kepada fitrah yang asal, Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda.
Oleh kerana ini dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambut hari raya itu sendiri perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu. Apabila saja diumumkan esok adalah hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat dengan memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran.
Sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani daripada Ubadah bin Soib menyatakan bahawa: "Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari Kiamat."
Pada pagi hari raya biasanya dimulakan dengan membersih diri, bersiap-siap untuk ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri dan seterusnya menghidupkan ukhuwah dengan kunjung mengunjung di kalangan saudara mara dan sahabat handai.
Perlu diingat bahawa Islam tidak pernah mengajar umatnya berlebih-lebih atau melampaui batas dalam menyambut apa sahaja perayaan.
Ini bermakna Islam menegah umatnya melakukan pembaziran dalam menyambut hari raya seperti boros berbelanja semata-mata untuk bergaya pada hari raya dengan pakaian yang mahal dan kuih-muih yang terlalu banyak.
Pada zaman Rasulullah, telah datang seorang sahabat kepada baginda dengan berpakaian serba baru, kata sahabat ini: "Ya Rasulullah, pada tahun ini saya tidak dapat menyambut hari raya Aidilfitri." Lalu baginda segera bertanya: "Kenapa wahai saudaraku?" Lelaki tersebut pun berkata: "Kerana saya tidak ada baju baru." Rasulullah kemudiannya bertanya beberapa sahabat yang lain, agar sesiapa yang mempunyai baju yang baru dapat kiranya diberikan kepada lelaki tadi.
Ini bermakna Islam tidak melarang sesiapa sahaja untuk bergaya dengan baju baru. Tetapi pengajaran daripada kisah tadi ialah dalam menyambut hari raya tidak semua bernasib baik dengan mempunyai pakaian baru untuk dipakai pada hari tersebut.
Lalu, digalakkan sesiapa yang ingin membuat kebajikan dengan bersedekah apa sahaja kepada orang-orang yang tidak berupaya.
 lWAN MARZUKI WAN RAMLI ialah Guru Pendidikan Islam di SK Sultan Ibrahim (4), Pasir Mas, Kelant

Wasiat Abbas kepada anaknya, Abdullah mengenai rahsia

Posted: 20 Aug 2013 06:12 PM PDT

Oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz 
SABDA Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Apabila datang seseorang bercakap sesuatu perkara, setelah orang itu beredar maka perkara yang dicakapkan itu menjadi amanah."
Amanah itu bererti wajib dijaga dengan sempurna. Hanya perkara yang baik saja boleh diceritakan kepada pihak lain, supaya perkara yang makruf itu kian tersebar serta menaikkan nama baiknya di pandangan masyarakat.




Sementara perkara yang buruk wajib ditutup dan melindungi daripada diketahui umum sebagai amanah. Dengan cara begitu keaibannya tidak diketahui umum dan keburukan tersekat daripada merebak. Adapun orang yang duduk semajlis dengan kita adalah amanah, semestinya banyak perkara dan hal ehwal peribadinya yang diketahui mengenai kawan semajlis itu.
Justeru mengenai perkara buruk itu mesti dijaga sepenuhnya, melindungi ehwal kawan semajlis hendaklah berlaku secara timbal balik antara mereka. Seseorang ditanya; "bagaimanakah menjaga rahsia seseorang, sedangkan tidak pernah didengar cerita buruk terbit daripada lisannya? Orang itu menjawab: "Sesungguhnya  dadaku adalah kubur bagi rahsia seseorang."
Sebagaimana kubur tidak pernah memuntahkan mayat yang bersemadi di dalamnya, begitu juga apabila seseorang bercakap pelbagai perkara kepadanya. Hakikatnya dia datang hendak semadikan rahsia diri terkubur rapi di dadanya.
Rahsianya mohon dilindungi. Kerana dia yakin bahawa sahabatnya adalah bilik kebal yang selamat bagi menyimpan rahsianya, sesungguhnya dada bagi orang baik-baik itu adalah kubur yang selamat bagi segala rahsia. Untuk mengenal pasti baik buruknya seseorang itu, ialah sama ada rahsia kawannya tersimpan rapi atau tebongkar bersepah merata melalui lisannya.
Berkata Saiyidina Abbas kepada Abdullah anaknya: "Sesungguhnya telah kuperhatikan bahawas Saiyidina Umar dalam majlis besar apabila hendak minta pendapat, seringkali dia mendapatkan kamu lebih dahulu. Oleh itu aku hendak berpesan lima perkara kepadamu:
Pertama, jangan buka rahsia ketua (Umar). Kedua, apabila berada di majlisnya jangan sekali-kali bercerita tentang keburukan orang lain.
Ketiga, jangan diketahuinya yang engkau pernah berdusta walaupun kepada orang lain.
Keempat, jangan sekali-kali derhaka pada perintahnya.
Kelima, jangan sampai dia tahu yang kamu khianat."
Seorang alim besar bernama Sya'bi ketika mengulas nasihat Abbas kepada Abdullah itu, bahawa setiap perkara yang dipesan oleh Abbas layak dibayar 1,000 dinar, kerana inilah pesanan yang boleh menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat.
Setengah daripada tanggungjawab lidah ialah senyap daripada bertengkar dan bertelagah pada setiap perkara diucap oleh kawanmu, ertinya jangan cepat mencelah dan mengganggu orang sedang bercakap.
Abdullah bin Abbas r. anhuma berkata: "Kamu jangan berbincang dengan orang bodoh (safih), kerana dia hanya akan menyusahkan kamu, apa yang kita kata walaupun baik tidak akan didengarnya, kerana dia tiada kemahiran menilai perkara baik lantaran kesafihannya.
Jangan berbalah dengan orang yang perangai dan tutur kata lemah lembut (halim), kerana dia pun akan marah juga. Akibatnya akan merugikan kerana kehilangan seorang halim yang sepatutnya menjadi sahabatnya.
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesiapa yang tidak berbalah dengan rakannya yang bercakap perkara tidak berguna (mubtilun), di akhirat kelak Allah SWT peruntukkan kepadanya sebuah mahligai di dalam syurga. Sesiapa yang tidak bertengkar meskipun dirinya di pihak yang benar (muhiqqun), Allah SWT cadangkan baginya sebuah mahligai di bahagian atas syurga."
Pengajaran mustahak daripada hadis tersebut ialah supaya menghindari perbalahan dan pertengkaran. Sebaliknya dianjurkan supaya bersoal jawab sebagai bertukar fikiran dan nasihat, seseorang kemuka pendapatnya untuk kebaikan bersama.
Tetapi berbalah iaitu bertegang urat kerana menegakkan benang basah, jelas ia tidak disetujui oleh agama.
Ini kerana asas perbalahan ialah memperlekeh pendapat orang lain di samping hendak menaikkan dirinya.
Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Meninggalkan perbalahan dalam situasi sedar dirinya salah (mubtilun) adalah wajib (fardu). Allah SWT menjanjikan syurga baginya."
Apabila seseorang sedar dirinya di pihak yang salah, langkah bijak yang perlu diambil ialah senyap untuk elak daripada perbalahan. Sikap tersebut amat terpuji hingga Allah SWT menjanjikan syurga untuknya.
Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Sesiapa yang mengelak daripada perbalahan sedangkan dirinya di pihak yang benar, semestinya derita jiwanya lebih parah daripada berdiam diri atas perkara yang salah. Untuknya dibinakan mahligai di puncak syurga."
Sesungguhnya terlalu menderita jiwa orang yang menahan lidah kerana mengelak daripada perbalahan dan pertengkaran, sedangkan dia di pihak yang benar dan mampu berdebat dengan mengemukakan hujah dan dalil.
Justeru beban derita jiwa yang ditanggung itu tidak siasia, mampu mengelak daripada berbalah dianggap berjaya menahan sesuatu, meskipun jiwanya parah demi mentaati larangan Allah SWT.
Sebagai imbalan atas kejayaan itu, anugerah Tuhan iaitu pahala yang banyak dan mahligai mewah di puncak syurga sedia menantinya di akhirat kelak. Oleh itu elak daripada perbalahan, digalak pula memberi nasihat dengan hujah dan dalil.

Ahli syurga tempelak ahli neraka

Posted: 20 Aug 2013 06:10 PM PDT

Oleh TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Tafsir Surah al-'Araf ayat 44
FIRMAN Allah yang bermaksud, "Dan (apabila ahli-ahli syurga itu berada di tempat masingmasing), berserulah mereka kepada ahli neraka dengan berkata: "Sesungguhnya kami telah dapati apa yang telah dijanjikan kepada kami oleh Tuhan kami, semuanya betul." (Surah al-A'araf: 44)


Dalam ayat ini Allah SWT menceritakan bagaimana dialog antara ahli syurga dengan ahli neraka apabila mereka berada di tempat balasan masing-masing sama ada di syurga atau di neraka bertujuan untuk mencela dan menempelak golongan yang ingkar perintah Allah di dunia dahulu yang dihumbankan ke dalam neraka di hari akhirat kelak. Berkata ahli syurga kepada ahli neraka: "Sesungguhnya kami telah dapati apa yang telah dijanjikan kepada kami oleh Tuhan kami semuanya betul." Yakni Tuhan kami telah menjanjikan syurga dengan segala nikmatnya yang melimpah ruah ketika Ahli syurga tempelak ahli neraka Tafsir Surah al-'Araf ayat 44 di dunia dahulu dan janji itu telah kami perolehi sekarang di mana telah menjadi penghuni tetapnya. Semua janji itu benar tetapi kamu wahai penghuni neraka membohonginya, tidak mempercayainya.
Kemudian ahli syurga pula bertanya: "Apakah kamu dapati apa yang dijanjikan kepada kamu oleh Tuhan kamu benar?" (Surah al-A'araf: 44)
Yakni oleh kerana kamu ingkar perintah Allah, tidak beriman dengan hari akhirat dan kamu di dunia dahulu dijanjikan dengan neraka, apakah janji itu benar dan kamu perolehinya sekarang?
Ahli-ahli neraka itu menjawab sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Berkata mereka itu, benar." (Surah al-A'araf: 44) Yakni semua janji itu benar, kami perolehinya sekarang dengan sebab keingkaran kami terhadap perintah Allah, menjadi manusia yang tidak beriman dengan janji-janji tersebut.
Begitulah juga Allah SWT menyebut berhubung dialog dua kelompok manusia ini dalam ayat lain yang bermaksud, "Maka dia pun memandang (ke arah neraka), lalu dilihatnya rakannya itu berada di tengah-tengah neraka yang menjulang-julang.
"Dia pun (menempelaknya dengan) berkata: "Demi Allah! Nyaris-nyaris engkau menceburkan daku dalam kebinasaan.
"Dan kalaulah tidak disebabkan nikmat pemberian Tuhanku (dengan hidayat petunjuk), nescaya akan menjadilah daku daripada orangorang yang dibawa hadir (untuk menerima balasan azab).
"(Kemudian dia berkata kepada rakan-rakannya yang sedang menikmati kesenangan di syurga bersama): "Bukankah kita (setelah mendapat nikmatnikmat ini) tidak akan mati lagi; "Selain daripada kematian kita yang dahulu dan kita juga tidak akan terkena seksa?" (Surah As-Soofaat: 55-59)
Yakni mereka yang menjadi ahli neraka menafikan apa yang pernah mereka katakan di dunia dahulu bahawa mereka tidak akan menerima balasan seksa selepas mati. Mereka di dunia dahulu mendakwa kehidupan hanya di dunia sahaja, tidak ada kehidupan selepas mati. Yakni mereka tidak percaya adanya hari kiamat, balasan syurga dan neraka.
Bukan sahaja ahli neraka ditempelak oleh rakan-rakannya daripada kalangan ahli syurga, mereka juga ditempelak oleh para malaikat yang sentiasa patuh kepada perintah Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud, "(Dan dikatakan kepada mereka): "Inilah api neraka yang dahulu kamu mendustakannya.
"Maka adakah ini sihir juga (sebagaimana yang kamu katakan terhadap keterangan Rasul Kami dahulu?), atau kamu tidak nampak (kenyataannya sebagaimana kamu tidak nampak di dunia dahulu akan kebenaran Rasul Kami)?
"Rasalah bakarannya; kemudian sama ada kamu bersabar (menderita azabnya) atau tidak bersabar, sama sahaja (tidak ada faedahnya) kepada kamu, kerana kamu tidak dibalas melainkan dengan apa yang kamu telah kerjakan."
"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, ditempatkan dalam taman-taman syurga dan nikmat kesenangan (yang tidak ada taranya).
"Mereka bersenang lenang dengan apa yang dikurniakan oleh Tuhan mereka, dan mereka dipelihara Tuhan daripada azab neraka.
"(Dan dikatakan kepada mereka): "Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman yang lazat serta baik kesudahannya, dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan." (Surah at-Tur: 14-19)

Tiada ulasan: