Ahad, 25 Ogos 2013

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Lagi Pemimpin UMNO Mahu Timbalan Menteri lantikan Najib Letak Jawatan.

Posted: 25 Aug 2013 08:17 AM PDT


Semalam Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan yang lebih berupa cabaran terhadap pemimpin Hindraf yang dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waythamoorthy berikutan pendiriannya yang mempertikaikan tindakan polis menembak mati lima penjenayah di Pulau Pinang.

Kata Zahid, Waytha bukan saja tidak harus mempertikaikan kerja polis, bahkan juga tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan dasar yang ditentukan kerajaan.

"Beliau jangan ingat beliau masih pemimpin NGO, beliau bukan pemimpin Hindraf lagi dan jangan campur kerja polis,"tegas Zahid.

Tambah Zahid, jika ada pemimpin NGO yang kini sudah menyertai kerajaan masih mengeluarkan kenyataan negatif dan bertentangan dengan dasar kerajaan, letak jawatan dan kembali kepada NGO semula.

Hari ini pula.. Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyokong kenyataan keras rakan Kabinetnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa P. Waythmoorthy perlu meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sekiranya berfikir seperti pemimpin badan bukan kerajaan (NGO).

Menteri Pertahanan berkata, Waythmoorthy perlu berfikir secara rasional dan mengetepikan emosi kerana berfikir menggunakan emosi bukanlah kaedah kepimpinan yang waras.

"Saya setuju dengan Datuk Zahid ... 101 peratus, kita anggota Kabinet bertanggungjawab bersama, tiada mana-mana pihak letakkan kepentingan politik melebihi pertimbangan politik kolektif," katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

"Bersandarkan kepada emosi dalam melaksanakan sesuatu keadaan tidak melambangkan situasi dan emosi tidak menunjukkan kepimpinan yang waras," kata pemangku Menteri Pengangkutan itu tegas ~ The Malaysian Insider

Sepatutnya yang diminta meletakkan jawatan dalam hal ini ialah Najib sendiri, kerana beliau yang mengutip dan melantik individu yang suatau masa dulu dianggap sebagai pengganas oleh UMNO ini sebagai Timbalan Menteri.

Lantikannya bukanlah dilakukan kerana kredibiliti ataupun keupayaan individu yang pernah dilabel sebagai pengganas itu, tetapi sekadar memenuhi janjinya sahaja.

Apa yang jelas Najib dalam hal ini telah tertipu kerana merasakan dengan melantik Waythamoorthy penyokong-penyokong Hindraf akan turut bersama Waythamoorthy, tetapi ianya tidak berlaku.

Oleh kerana lantikan Waythamoorthy tidak memberikan sebarang faedah buat Barisan Nasional, kesilapannya dalam berkata-kata telah dijadikan senjata oleh sepupu Najib dan juga Zahid untuk meminta Waythamoorthy letak jawatan..

Tetapi kenapa Najib tidak diminta meletak jawatan?.. Beliau sepatutnya dipersalahkan..

Enam ditahan, polis rampas bom dan peluru di Pulau Pinang

Posted: 25 Aug 2013 06:36 AM PDT


Enam orang termasuk dua wanita ditahan dan polis merampas sebutir bom, sejumlah peluru dan sebilah pedang samurai selepas menyerbu sebuah rumah flat di Machang Bubuk di sini awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata kesemua mereka berusia 21 hingga 48 tahun itu ditahan dalam Ops Cantas Khas pada pukul 1.30 pagi ini.

"Berdasarkan maklumat dan intipan yang diperoleh, sepasukan pegawai dan anggota polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) menyerbu rumah berkenaan. Terdapat empat lelaki dan dua wanita dalam rumah itu," katanya katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan dalam rumah itu, polis menemui sebutir bom, masing-masing 10 butir peluru berwarna perak bertulis NCCR .38 SPL dan berwarna kuning bertulis THAI ARMS .38 SPL serta sebilah parang samurai dengan ukiran naga.

"Dua lelaki yang ditahan dalam operasi itu memang dikehendaki polis manakala yang lain mempunyai beberapa rekod jenayah lampau," katanya sambil memberitahu polis akan menyiasat sama ada mereka adalah anggota kumpulan kongsi gelap.

Bernama difahamkan mereka yang ditahan itu merupakan anggota sindiket pengedaran dadah dan menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat berkumpul serta menjalankan aktiviti haram kumpulan itu.

Sementara itu, polis akan mengambil keterangan enam lelaki yang cedera selepas terkena tembakan dan serpihan peluru ketika sedang minum di sebuah gerai di Taman Kasawari, Simpang Ampat, di sini Sabtu malam.

Mazlan berkata polis juga akan mengambil keterangan pemilik kedai tempat kejadian itu.

Tiga daripada enam yang cedera itu telah dibenarkan keluar daripada Hospital Sungai Bakap, katanya.

Mazlan berkata siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti motif kejadian dan polis tidak menolak kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan perniagaan.

Dalam kejadian pada pukul 10.45 malam itu, enam lelaki yang sedang minum di sebuah kedai cedera selepas terkena tembakan dan serpihan peluru yang dilepaskan dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal. - Bernama

Hanya 40 Barang Keperluan Dikecualikan Cukai Jika GST Dilaksanakan, Barang Lain Semua Kena Cukai..

Posted: 24 Aug 2013 10:30 PM PDT


40 barang akan dikecualikan jika GST dilaksana, kata Husni. Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata kira-kira 40 barangan keperluan asas, termasuk tepung, beras dan gula, akan dikecualikan daripada cukai sekiranya cukai barangan danperkhidmatan (GST) dilaksanakan.

Beliau berkata kajian mengenai perkara itu sedang dilaksanakan, dan rang undang-undang berhubung GST dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan.

"Kita sedang berbincang dengan NGO dan syarikat korporat sebelum keputusan mengenai GST diputuskan bagi mengambil kira kesejahteraan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Surau Kampung Kuang Hilir, di sini hari ini.

Ahmad Husni berkata GST bukan cukai baru yang akan diperkenalkan, sebaliknya ia menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada.

"Sebanyak 170 negara telah melaksanakan GST, yang didapati lebih efisien dan moden, dan sudah terbukti meningkatkan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata sekiranya GST dilaksanakan, pendapatan negara dijangka meningkat yang membolehkan kerajaan mempertimbangkan untuk meningkatkan kadar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia, selain menurunkan kadar cukai korporat.

"Kita perlu lihat bagaimana hendak mengurangkan kadar cukai korporat supaya lebih ramai pelabur datang ke sini, sekali gus dapat merancakkan ekonomi negara serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya.

Beliau berkata selain memberi manfaat kepada syarikat terlibat, pelaburan juga memberi kebaikan kepada banyak pihak.

"Bila kita melaksanakan satu pelaburan, bukan syarikat sahaja yang memperoleh keuntungan, malah pekerjanya juga akan mendapat keuntungan menerusi kenaikan gaji. Seperti rakyat yang menerima bantuan e-kasih, bantuan bulanan mereka juga akan meningkat," kata Ahmad Husni.

Mengenai Perundingan Belanjawan 2014, Ahmad Husni berkata ia telah selesai dilaksanakan, termasuk di Sabah dan Sarawak, baru-baru ini.

"Sabah dan Sarawak dari segi cabaran, ialah pembangunan jangka panjang di kedua-dua negeri itu dalam konteks ia mesti menjadi kawasan pertumbuhan ekonomi atau pusat ekonomi, dan dengan itu infrastruktur perlu di berikan keutamaan," katanya ~ Bernama

Anak Dedah Punca Timbalan Ketua Pengarah Kastam Mati Di Tembak

Posted: 24 Aug 2013 08:31 PM PDT


Pembunuhan pegawai tertinggi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan kereta berpangkalan di pulau bebas cukai Langkawi, kata ahli keluarganya.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam Datuk Shaharuddin Ibrahim (gambar) ditembak mati di Putrajaya pada 26 April, beberapa minggu sebelum keganasan berkaitan pistol tersebar ke seluruh negara.

"Pembunuhan bapa saya dirancang, ia ada kaitan dengan sindiket penyeludupan kereta di langkawi," kata Mohd Akhtar Shaharuddin kepada The Malaysian Insider minggu ini. Malah beliau sendiri yakin dalang pembunuhan bapanya adalah dari jabatan Kastam sendiri."Saya pasti akan hal itu biarpun polis menafikannya," kata arkitek berumur 30 tahun itu.

"Bapa saya pernah menceritakan kekecewaan beliau terhadap penyelewangan kuasa pegawai kastam yang terlibat dalam rasuah ini berkaitan dengan sindiket penyeludupan kereta di Langkawi.

"Tidak lama selepas membuat aduan itu, beliau menerima surat pertukaran kerja. Surat itu, bagaimanapun ditarik balik apabila Kesatuan Kastam campurtangan dan berjuang mempertahankan hak bapa saya," katanya.

Sebulan selepas itu, Shaharuddin ditembak ketika sedang memandu ke pejabatnya di Putrajaya."Tidak ada siapa faham kehilangan orang tersayang dengan cara kejam begini kecuali bagi mereka yang pernah melalui sendiri kerana itu saya amat berharap kematian bapa dibela," katanya.

Yang lebih menyedihkan Akhtar, empat bulan selepas bapanya ditembak mati, tiada sesiapa didakwa kerana membunuh. Pertama kali bercakap kepada media, Akhtar mengatakan bapanya menerima panggilan daripada pemberita bertanya tentang sindiket penyeludupan kereta di Langkawi, beberapa minggu sebelum ditembak mati.

Tanpa berfikir panjang, orang nombor tiga dalam Kastam itu ke Langkawi untuk menyiasat."Beliau merupakan seorang yang tegas dan tidak pernah menceritakan apa-apa masalah tentang kerja dengan keluarga.

Namun saya diberitahu oleh ibu, seorang wartawan ada menelefon bapa saya bertanyakan mengenai isu sindiket penyeludupan kereta di Langkawi," kata Akhtar.

Akan tetapi beliau tidak pasti sama ada bapanya sempat bercakap dengan pemberita itu selepas pulang dari Langkawi.Akhtar turut mendedahkan bapanya menerima banyak ugutan termasuk peluru dihantar ke rumah mereka.

Menurutnya, beliau membuat pendedahan kerana kecewa dengan layanan dingin diberikan polis ke atas siasatan kes bapanya."Bayangkan sudah hampir berapa bulan kes ini berlaku jangan kata suspek malah sebarang petunjuk tidak diberikan polis," katanya.

Katanya kali terakhir dia berjumpa dengan polis pada bulan Ramadan lalu setelah digesa beberapa kali untuk mendapatkan perkembangan siasatan."Dalam tempoh berapa bulan selepas kejadian saya hanya berjumpa dengan polis dalam dua atau tiga kali.

"Bagaimanapun selepas sebulan mereka langsung senyap dan saya terpaksa mengejar polis untuk mengetahui perkembangan kes," katanya.Menurut Akhtar, layanan diberikan polis terhadap kes bapanya dianggap tidak adil walaupun bapanya merupakan pegawai tinggi kerajaan yang banyak menyumbang kepada negara.

"Kita bercakap tentang pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah, siapa beliau.. tidakkah jasa beliau tidak ternilai kepada negara jadi kenapa memperlakukan keluarga kami begini," katanya kecewa.Tegas Akhtar beliau hanya mahu keadilan bagi bapanya.

"Bapa saya seorang berdedikasi dan pegawai jujur tidak pernah mengambil kesempatan terhadap kelebihan dimiliki walaupun dia boleh berbuat demikian," katanya lagi.

Shaharuddin yang mengetuai bahagian Pekastaman dan Cukai Dalam Negeri hanya tinggal setahun untuk bersara sebelum ditembak mati pada 26 April.Beliau yang dilahirkan di Negeri Sembilan itu sudah berkhidmat selama 30 tahun bersama Kastam dan diberikan jolokan "Mr Clean".

Mangsa yang duduk di bahagian penumpang depan kenderaan pacuan empat roda (4WD) ditembak tiga das oleh seorang daripada dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah dilapor menafikan kaitan pembunuhan Shaharuddin dengan sindiket penyeludupan kereta di Langkawi.

"Ia merupakan spekulasi semata-mata," Ku dilaporkan berkata.Laporan sebelum ini mengatakan polis sudah menyiasat 35 orang untuk kes ini termasuk pegawai-pegawai Kastam dan menahan dua orang untuk siasatan lanjut.

Seorang daripadanya merupakan ahli perniagaan dan seorang lagi merupakan pengedar alat ganti. Kedua-duanya kemudian dibebaskan dengan jaminan.Ku yang dihubungi semula berhubung pendedahan terbaru ini mengatakan, "kami masih menyiasat".

Kes tembak itu berlaku tidak lama sebelum pilihan raya umum ke 13. Kes itu mengejutkan kerana ianya melibatkan pegawai tinggi kerajaan.Selepas kes Shaharuddin, 35 kes tembakan berlaku di seluruh negara yang melibatkan 22 kematian. ~ The Malaysian Insider

Al-Fatihah.. Bekas Pemain Sepaktakraw Negara Yang Juga Ikon Anak Muda PAS Kembali Ke Rahmatullah..

Posted: 24 Aug 2013 10:37 AM PDT


Bekas Pemain Sepaktakraw Negeri Pulau Pinang dan juga Kebangsaan serta pernah dinobatkan sebagai Ikon Pemuda PAS, Fauzi Ghazali telah kembali kerahmatullah pada pagi Sabtu 24 Ogos 2013.

Beliau yang sebelum ini telah ditempatkan di Hospital Besar Pulau Pinang sejak dari sebelum Hari Raya, telah menghembuskan nafasnya yang terakhir sekitar jam 5.45 pagi kerana mengidap kanser liforma.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan juga lima anak yang masih kecil.

Jenazah telah dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Belah Dua, Bukit Mertajam Pulau Pinang untuk dikebumikan.

Bekas pemain sepak takraw negara ini suatu masa dulu pernah mencetuskan kontroversi kerana melangar arahan  Persatuan Sepaktakraw Malaysia untuk tidak mendedahkan aurat dengan memakai seluar panjang dalam satu perlawanan.


Ketegasannya itu telah menyebabkan beliau telah terpilih sebagai Ikon Anak Muda PAS oleh barisan kempimpinan Pemuda PAS Perak dalam Muktamar Pemuda Negeri Perak yang diadakan pada 29 April 2012.

Menyorot kepada sejarah kegiatan beliau dalam sepak takraw, sikap beliau yang tegas serta istiqamah dalam pendirian memakai seluar panjang dalam perlawanan sepaktakraw sehingga sanggup menerima kad merah tanpa sebarang rasa kesal cukup mengkagumkan.

Ikon sebeginilah yang wajar dijadikan rujukan dan perhatian oleh para remaja yang masih kabur berkenaan bagaimanakah identiti tokoh yang perlu mereka sanjungi.

Kekecohan telah berlaku pada Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Liga Siri Super 2011 di Dewan 2020, Kangar, Perlis selepas berlaku pertikaian seluar panjang Fauzi sebagai pemain pasukan Perak dalam perlawanan tersebut.

Walaupun Perak telah menang 2-1, keputusan perlawanan itu diubah menyebelahi Kedah ekoran bantahan terhadap pemakaian seluar panjang 'sut trek' yang didakwa tidak menepati peraturan permainan yang ditetapkan PSM mahupun Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).

Bekas tekong Sukan Asia Busan 2002 itu juga dikenakan kad merah dan dibuang daripada kejohanan oleh pengadil apabila masih berkeras memakainya sebelum menentang Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan digantung daripada sebarang kejohanan anjuran PSM sehingga kesnya dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib...

Gambar yang dirakam pada 17 Ogos lalu
Al-Fatihah untuk Allahyarham.. semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman..

Bagi yang ingin menyalurkan sumbangan kepada keluarganya, bolehlah disalurkan melalui akaun Maybank 157091034688 atas nama Mohd Fauzi Ghadzali.

Tiada ulasan: