Selasa, 9 Julai 2013

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Ingat Kes Kanak-kanak Malang Ini? Penghakiman Kesnya Amat Menyayat Hati

Posted: 08 Jul 2013 11:25 PM PDT


Pemandu Teksi Terlepas Hukuman Gantung

[Bernama] Putrajaya: Pemandu teksi Mohd Fazli Azri Jamil, yang didapati bersalah membunuh anak perempuan teman wanitanya tiga tahun lepas, terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan meminda pertuduhan terhadapnya kepada menyebabkan kematian kanak-kanak itu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Malik Ishak, dalam keputusan sebulat suara menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap Mohd Fazli, 31, kerana menyebabkan kematian Syafiah Humaira Sahari, 3.

Abdul Malik memutuskan sabitan Mohd Fazli bagi kesalahan membunuh tidak selamat kerana masih terdapat keraguan siapa menyebabkan kecederaan pada bahagian kepala kanak-kanak malang itu.

Beliau berkata laporan bedah siasat menunjukkan Syafiah Humaira mengalami kecederaan di kepala dan bahagian perut.


"Kami sudah mempertimbang keterangan saksi pendakwaan dan mendapati kecederaan di bahagian perut kanak-kanak itu jelas akibat perbuatan Mohd Fazli yang menendang serta memijak mangsa dengan but bola sepaknya," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata tidak ada bukti menunjukkan kecederaan mangsa di kepala disebabkan Mohd Fazli.

Abdul Malik juga berkata, hakim Mahkamah Tinggi gagal mempertimbang isu berkenaan.

Sehubungan itu, panel itu membenarkan rayuan Mohd Fazli untuk mengetepikan hukuman bagi sabitan atas kesalahan membunuh dan menggantikannya dengan pertuduhan menyebabkan kematian mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan. 



P/s: Tertuduh hanya dikenakan hukuman penjara selama 18 tahun, walaupun ketika membaca kekejaman yang dilakukannya terhadap mangsa bisa menjatuhkan air mata dan kesabaran seseorang.  

Tertuduh tidak dikenakan hukuman gantung kerana menurut hakim masih terdapat keraguan tentang orang yang menyebabkan kecederaan pada bahagian kepala kanak-kanak malang itu.

Kalau bukan tertuduh, siapa syaitan itu?

Berita awal tentang kes ini di sini.

Lebih menyayat hati apabila tertuduh dalam kes seorang budak yang dibelasah hingga mati hanya dikenakan hukuman penjara 5 tahun. Baca di sini.



Guru Ditembak Mati di Bachok, Apa Komen Isterinya?

Posted: 08 Jul 2013 09:31 PM PDT


[SH] BACHOK - Seorang guru penolong kanan hal ehwal murid Sekolah Kebangsaan Beris Panchor di sini, maut selepas terkena tiga das tembakan dalam kejadian di simpang tiga Jalan Beris Panchor Tawang-Kota Baharu, berhampiran sekolah itu, di sini hari ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata dalam kejadian 1.40 petang itu, Hashim Mat Zain, 43, yang juga guru muzik sekolah berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera terkena tembakan di bahagian dada dan bahu kanan.

"Mangsa yang sedang memandu keretanya ditembak seorang suspek yang tidak dikenali sebelum keretanya terbabas ke kiri jalan dan berhenti di hadapan sebuah rumah penduduk.

"Pemeriksaan forensik mendapati empat das tembakan telah dilepaskan oleh suspek, tiga mengenai cermin depan dan satu das mengenai cermin pintu hadapan sebelah pemandu. Sebutir anak peluru dipercayai .38 telah dijumpai di dalam kusyen pemandu," katanya dalam satu kenyataan.

Jalaluddin berkata siasatan awal mendapati selain bertugas sebagai guru, mangsa turut menjalankan pelbagai perniagaan dan dipercayai mempunyai masalah hutang.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baharu, untuk bedah siasat.

Sementara itu, pemilik rumah, Siti Aminah Abdullah, 60, berkata ketika kejadian beliau sedang menunaikan solat Zohor sebelum terdengar beberapa letupan dan dentuman kuat.

"Saya kemudian keluar daripada rumah dan mendapati ada sebuah kereta melanggar tiang tangga dan kedengaran seorang lelaki sedang mengerang kesakitan di dalam kenderaan itu," katanya menambah beliau kemudian memanggil jiran untuk membantu lelaki berkenaan.

Seorang lagi saksi, Mohamad Idris, 64, berkata ketika kejadian beliau berada di rumahnya yang tidak jauh daripada situ dan mendengar beberapa das tembakan dilepaskan.

"Saya bergegas ke bahagian depan rumah dan mendapati sebuah kereta telah melanggar tangga sebuah rumah. Saya hampiri kereta berkenaan dan mendapati seorang lelaki terbujur dekat gear, masih bernyawa. 

"Saya kemudian mengajar mangsa mengucap dua kalimah syahadah sebelum melihat mangsa menghembuskan nafas yang terakhir," katanya.

Rakan mangsa, Khaziman Osman @ Seman, 43, ketika ditemui di tempat kejadian berkata kali terakhir dia bercakap dengan mangsa ialah pada pagi semalam.

"Arwah mengajar subjek muzik. Semalam dia tak banyak cakap. Saya pun tak sempat nak cakap lama dengan arwah. Saya pulang awal semalam dan arwah pulang kemudian," katanya.

Usaha Bernama untuk menemu bual anggota keluarga mangsa gagal kerana mereka masih terkejut dan enggan ditemui pemberita. 


Komen isteri arwah yang dipetik dari sebuah laman FB.



P/s: Al fatihah. Biarlah polis menyiasat motif pembunuhan ini. Semoga negara paling selamat di Asia Tenggara ini terus selamat seperti dicanangkan oleh pihak polis.


Belasah Kanak-kanak Hingga Menyebabkan Kematian, Pesalah Hanya Dikenakan Penjara 5 Tahun

Posted: 08 Jul 2013 05:44 PM PDT


[SH] AYER KEROH - Padah menyebabkan kematian anak angkat tunangnya di sebuah rumah tahun lalu, seorang buruh dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Amiezul Al Ikram Mohamed Ikram, 33, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Azhaniz Teh Azman Teh selepas menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan pindahan yang disabitkan ke atasnya.

Berdasarkan pertuduhan, Amiezul didapati menyebabkan kematian Noor Sofia Syaqira, 5, dan melakukan homisid salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh di sebuah rumah di Taman Seri Telok Mas, kira-kira jam 4 petang pada 1 September 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, sehari selepas kejadian, kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Melaka untuk diperiksa doktor sebelum mendapati mangsa sudah tidak bernyawa dan mengalami kesan bengkak pada dahi, selain lebam di leher, tangan, kaki serta dada.

Melalui keterangan, berlaku pertengkaran antara tertuduh dengan ibu mangsa sebelum tertuduh yang hilang pertimbangan kemudian bertindak membawa mangsa ke dalam bilik lalu memukul dan menampar kanak-kanak itu.

Tertuduh turut mengambil sebotol air mineral lalu membalingnya ke arah mangsa lalu terkena di kepala sebelum dihantar ke hospital selepas badannya didapati sejuk dan lemah pernafasan.

Terdahulu, Amiezul diwakili peguam Collin Andrew meminta mahkamah memberikan hukuman ringan kerana tertuduh mempunyai tanggungan termasuk kedua ibu bapanya yang menghidap kencing manis.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Maisarah Kamal ketika mengendalikan kes meminta tertuduh yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah diberi hukuman berat sebagai pengajaran.

"Berdasarkan fakta kes, kecederaan mangsa disebabkan perbuatan tertuduh yang melepaskan geram. Malah, tertuduh tidak menyerah diri selepas melakukan kesalahan tersebut dan ditangkap lima bulan kemudian.

Selepas meneliti fakta kes dan mempertimbangkan rayuan dikemukakan, Azhaniz menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun bermula tarikh tangkapan pada 21 Mac lalu terhadap tertuduh.

Sebelum ini, Sinar Harian 8 September lalu melaporkan tertuduh bertindak mendera anak angkat teman wanitanya hingga menyebabkan kanak-kanak berkenaan menemui ajal akibat kecederaan teruk organ dalaman.


P/s: Bagaimana kesalahan yang amat serius dan kejam ini hanya dibalas dengan hukuman penjara 5 tahun?



Tiada ulasan: