DIALOG RAKYAT |
- RM400 juta adalah siling perbelanjaan PRU13, kata SPR
- Jamil Khir: Pantau restoran 24 jam di bulan puasa
- BN, PAS umum calon Selasa
- Peserta larian amal cedera dilanggar kereta
- Polis siasat dakwaan atlet SUKMA dirogol
- Jika MP baling selipar atau kasut, kita tengoklah'
- Warkah untuk Ridhuan Tee
- Penganalisis: Pengundi Cina memang berpaling dari BN, Malaysia Timur penyelamat
- PAS mahu cabar sejarah, BN mahu kekal tradisi
- Kartun Dedah Penipuan Pilihan Raya
- MBSA Diarah Ambil Tindakan Undang-undang Terhadap Menara Biru
- Kegagalan dan tradisi Umno menolak pemimpin gagal
- Makmal Politik Untuk Tutup Kelemahan Najib
- Dilema Pemilihan Umno Cetuskan Hipokrasi
- Johari cabar MP Simpang Renggam ulangi tuduhan luar Dewan
- Perihal UMNO/BN yang tidak ada ‘telinga’
- Jelaskan Malaysia negara selamat atau sebaliknya: Kit Siang
- BN diskriminasi rakyat sendiri, utamakan warga asing
- 'Enggan terima pengerusi PAC, kukuh BN sebagai pembangkang'
- MB T'ganu: TPM umum calon BN K Besut 9 Julai ini
- 'Presiden' baru Mesir mulakan tugas
- Kembalikan Morsi sebagai Presiden - Ikhwan
- Ulama Azhar seru rakyat tolak rampasan kuasa
- S'gor teruskan air percuma, RM105 juta tambahan
- Penipuan manusia terapung dibongkar, terhangat
RM400 juta adalah siling perbelanjaan PRU13, kata SPR Posted: 07 Jul 2013 04:26 AM PDT Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata jumlah sebenar perbelanjaan PRU-13 hanya akan dapat diketahui apabila akaun perbelanjaan PRU13 ditutup memandangkan bayaran masih dilakukan pejabat-pejabat SPR negeri. "Dalam soal bajet, kita telus kerana perbendaharaan akan pastikan setiap kos pada PRU disertai dengan butiran-butiran dan akhirnya akan diperiksa dan diaudit. "Berdasarkan pengalaman kita, selalunya tidak melebihi jumlah besar atau jumlah siling yang diluluskan. Dasar SPR adalah ketika meminta peruntukan, kita tidak mahu apabila sampai setengah jalan, bajet tak cukup. Jadi kita akan membuat permintaan untuk jumlah atau anggaran besar itu," katanya dalam temu bual dengan Bernama di sini. Anggota Parlimen pembangkang mempersoal jumlah perbelanjaan SPR yang meningkat sekali ganda dalam tempoh lima tahun berbanding hanya RM200 juta pada PRU12. Anggota Parlimen Rasah Anthony Loke Siew Fook menyifatkan sebagai tidak wajar pertambahan perbelanjaan seratus peratus walaupun bilangan pengundi yang terlibat hanya bertambah 20 peratus. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam jawapan bertulis kepada Loke pada Isnin lepas menyatakan kos perbelanjaan mengendalikan PRU13 adalah RM400 juta, dengan pecahan kos adalah elaun lebih masa RM5.018 juta, sewaan pengangkutan, borang semak daftar pemilih, peralatan ICT, sewaan talian, telefon dan faks dan lain-lain RM98.465 juta, bayaran perkhidmatan dan saguhati semua petugas PRU RM204.1 juta serta perbelanjaan lain RM93.354 juta. Wan Ahmad menjelaskan pertambahan siling peruntukan itu dibuat berdasarkan anggaran yang dikemukakan pejabat SPR setiap negeri sebelum dikemukakan untuk pertimbangan dan kelulusan Perbendaharaan. "Setiap kali bila ada PRU, memang peruntukan meningkat sejajar dengan keadaan semasa. Biasanya Perbendaharaan lulus secara jumlah besar dan pengagihan bajet diberi berperingkat-peringkat, termasuk sebelum PRU," katanya. Sebagai contoh, setahun sebelum PRU13, SPR membuat pelbagai persiapan seperti mengadakan latihan kepada petugas-petugas di setiap negeri yang perlu dilakukan beberapa kali. Semua ini melibatkan kos dan merupakan sebahagian daripada peruntukan yang diluluskan itu, katanya. Katanya keseluruhan petugas SPR pada PRU13 kira-kira 235,000, termasuk pegawai pengurus, penolong pegawai pengurus, pegawai dan anggota penguatkuasa, petugas di tempat mengundi dan pemandu arah. Wan Ahmad juga menafikan para petugas diberikan bonus. "Tidak ada bonus, cuma elaun sahaja. Laporan kata petugas SPR dapat bonus adalah tidak tepat sama sekali. Untuk elaun, itu memang meningkat sebab kita mengambil kira kos inflasi dan sebagainya." Beliau menjelaskan caj perkhidmatan dan saguhati untuk petugas SPR adalah besar memandangkan ia melibatkan pembekalan topi, baju-T SPR, vest SPR, payung serta cenderahati lain seperti pen, cakera padat (CD) dan buku panduan. "Bayangkan semua ini untuk 235,000 petugas. Jangan lupa cenderahati turut diberi kepada mereka yang menghadiri taklimat pilihan raya, termasuk wakil-wakil parti politik dan petugas mereka," katanya. Beliau juga berkata SPR perlu menanggung kos petisyen pilihan raya selain menjelaskan perbelanjaan di sesetengah kawasan Parlimen memang lebih tinggi berbanding yang lain berikutan kedudukan geografi. "Di Sabah dan Sarawak sahaja, untuk PRU-13, SPR menyewa lebih 60 helikopter dan lebih 1,000 bot laju," katanya. Walaupun Anggota Parlimen pembangkang mempertikai kewajaran pertambahan perbelanjaan SPR, rakan mereka daripada Barisan Nasional berpendapat pertambahan peruntukan itu sebagai sesuatu yang perlu dilakukan. "Kalau tak cukup petugas, parti pembangkang juga yang kritik tak cukup. Kalau lebih, mereka kata membazir. Bagi saya, yang penting setiap peruntukan itu dibelanjakan dengan berhemah dan tidak ada penyalahgunaan," kata Anggota Parlimen Simpang Renggam Liang Teck Ming. Lagipun, tempoh pilihan raya umum ke-13 lebih panjang berbanding sebelumnya dan turut menyumbang kepada pertambahan perbelanjaan. "Kali ini, kita ada dua minggu tempoh berkempen. Ia adalah satu angka berkadar. PR (pakatan pembangkang yang menggelarkan diri mereka sebagai Pakatan Rakyat) yang mahukannya (tempoh berkempen)lebih panjang, sekurang-kurangnya 21 hari," kata Anggota Parlimen Labis (BN-MCA) Datuk Chua Tee Yong. Walaupun jumlah perbelanjaan pilihan raya kian meningkat, Wan Ahmad berpendapat ia tetap berbaloi dengan tujuan pilihan raya itu diadakan. "Kita perlu melihat daripada sudut kesinambungan proses demokrasi. Tidak ada salah. Sebab itu ada negara-negara maju yang sanggup berbelanja berjuta-juta ringgit membantu negara mundur mengadakan proses demokrasi mereka. "Bagi negara kita, tak ada satu sen pun kita minta sumbangan daripada luar sebab kita nak jaga kedaulatan proses demokrasi di negara ini," katanya ketika mengakhiri temu bual. - Bernama | ||||||
Jamil Khir: Pantau restoran 24 jam di bulan puasa Posted: 07 Jul 2013 04:19 AM PDT Jabatan Agama Islam di setiap negeri diminta melakukan pemantauan di semua restoran yang beroperasi 24 jam bagi memastikan orang Islam yang tidak berpuasa tidak sewenangnya membeli makanan secara terbuka. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharum berkata pemantauan itu perlu dilakukan bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap orang Islam yang sengaja tidak berpuasa. Beliau berkata pengusaha restoran makanan 24 jam tidak dipaksa menutup operasi mereka bagi membolehkan orang bukan Islam mendapatkan makanan sepanjang Ramadan. "Pengusaha restoran 24 jam perlu bekerjasama dengan jabatan agama serta Pihak Berkuasa Tempatan. Mereka dilarang untuk menjual makanan kepada orang Islam kecuali pada waktu munasabah," katanya di Yan hari ini. Beliau ditemui pemberita selepas majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bekas Tentera Tidak Berpencen, Darat, Udara dan Laut (Daulat) di Dewan Serbaguna Guar Chempedak di Yan hari ini. - Bernama | ||||||
Posted: 07 Jul 2013 04:17 AM PDT MALAYSIA KINI BN dan PAS akan mengumumkan calon mereka untuk pilihan raya kecil DUN Kuala Besut pada Selasa depan, menurut laporan akhbar hari ini.Akhbar Sinar Harian yang memetik kenyataan menteri besar Datuk Ahmad Said menyebut, calon berkenaan akan diumumkan sendiri oleh timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ahmad Said juga yakin BN akan menang dalam pilihan raya kecil kali ini dan turut menambah jumlah majoriti undi. "Persiapan telah dibuat. Insya-Allah boleh menang kerana kawasan berkenaan agak selamat dan kita berhadap dapat menambahkan lagi majoriti yang ada," katanya seperti dipetik akhbar tersebut. Laporan dalm akhbar sama turut memetik kenyataan pengarah pilihan raya kecil tersebut dari PAS, Satiful Bahri Mamat yang berkata parti itu juga akan mengumumkan calon mereka pada malam 9 Julai. "Jadi kita mungkin akan menyelesaikan isu calon dalam masa terdekat," katanya. Laporan pada minggu lalu menyebut, BN mengenalpasti sekurang-kurangnya tiga individu yang mungkin akan diketengahkan sebagai calon dalam pilihan raya kecil itu. PAS pula mungkin mempertimbangkan yang dipertua PAS kawasan Besut, Wan Azhar Wan Ahmad. Satu lagi nama yang disebut-sebut dari PAS ialah Napisah Omar, calon Muslimat PAS yang bertanding di kawasan tersebut dalam pilihan raya umum 5 Mei. Suruhanjaya Pilihan Raya semalam menetapkan tarikh 24 Julai untuk pilihan raya kecil DUN Kuala Besut dan 12 Julai untuk penamaan calon. | ||||||
Peserta larian amal cedera dilanggar kereta Posted: 07 Jul 2013 04:15 AM PDT MALAYSIA KINI Tiga wanita cedera akibat dilanggar sebuah kereta ketika menyertai satu satu larian amal anjuran stesen NTV7 di Bandar Utama hari ini.Lim Lee Ling, 43, Lee Shiau Foon, 33, dan Lee Su San, 24 mengalami kecederaan namun laporan awal menyebut kecederaan tersebut tidak serius. Ketiga-tiga wanita berkenaan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya dan seterusnya bertemu dengan penyiasat polis trafik. Laporan Star Online menyebut, saksi mata mendakwa ketiga-tiga individu itu dilanggar oleh satu kenderaan Proton Iswara. Pemandu berkenaan didakwa tidak menghentikan kenderaan selepas melanggar pelumba terbabit, lapor laman terbabit. Menurut laporan itu lagi, penganjur telah mengambil langkah keselamatan dan menggesa pemandu terbabit untuk membuat laporan polis. Acara anjuran NTV7 itu merupakan sebahagian daripada sambutan ulangtahun stesen tersebut yang ke-15. | ||||||
Polis siasat dakwaan atlet SUKMA dirogol Posted: 07 Jul 2013 04:14 AM PDT Polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kes seorang atlet bola baling Sukan Malaysia (Sukma) 2013 yang mendakwa dirogol sekumpulan atlet lelaki di perkampungan sukan di Universiti Putra Malaysia, Rabu lepas. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis memandang serius perkara itu kerana ia melibatkan imej sukan negara amnya dan perbuatan jenayah dalam kalangan atlet, khasnya. "Laporan ini amat serius. Kita akan lakukan siasatan lanjut dan terperinci mengenai kes ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. Akhbar hari ini melaporkan atlet remaja berusia 19 tahun itu mendakwa dirogol bergilir-gilir dalam keadaan separuh sedar di bilik penginapan sebuah kolej universiti itu. Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang dan susulan itu, polis menahan tiga atlet semalam untuk membantu siasatan.- Bernama | ||||||
Jika MP baling selipar atau kasut, kita tengoklah' Posted: 07 Jul 2013 04:08 AM PDT MALAYSIA KINI Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata usahanya untuk melanjutkan siaran persidangan Parlimen di RTM adalah untuk memenuhi tuntutan masyarakat yang mahu melihat stesen berkenaan bersikap lebih adil. "Jika sebelum ini timbul isu orang kata RTM hanya digunakan untuk menyiarkan wajah pemimpin kerajaan sahaja, sekarang tidak lagi. "Ini kerana kalau dalam waktu siaran langsung itu ahli parlimen pembangkang yang banyak bertanya soalan maka mereka akan dapat publisiti. "Kadang-kadang mungkin dia dapat lebih banyak daripada pemimpin kerajaan kerana kita tidak lagi tentukan berapa minit untuk kerajaan dan berapa minit untuk pembangkang," katanya dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia. Shabery berkata lanjutan masa dari 30 minit kepada 90 minit untuk tempoh perbahasan itu juga untuk meningkatkan ketelusan kepada apa yang berlaku di dalam Dewan. "Kalau masa itu mereka baling selipar, kita tengoklah," katanya. Shabery memperkenalkan siaran langsung 30 minit semasa menjadi menteri penerangan ada 2008, yang kemudiannya dipinda oleh penggantinya, Datuk Seri Rais Yatim. Rais menukar format siaran 30 minit itu untuk memfokuskan kepada jawapan menteri dan akan melencongkan siaran kepada wawancara dengan MP BN apabila wakil pembangkang sedang bertanya soalan. Katanya, lebih 1.8 juta penonton sudah mengikuti siaran melalui Internet itu ketika para ahli dewan mengangkat sumpah, 1 Julai lalu. | ||||||
Posted: 07 Jul 2013 04:01 AM PDT Oleh Cikgu Nan SANGAT menarik apabila membaca tulisan-tulisan Tuan dalam akhbar Utusan terutamanya dan juga Sinar Harian. Maaf jika saya membuat kesimpulan walaupun tuan tidak menzahirkan tuan seorang ahli Umno tapi jiwa tuan ada kalanya lebih Umno daripada sebahagian pimpinan Umno. Tuan dilihat mempunyai pandangan yang sangat negatif kepada PAS. Apa saja daripada PAS dilihat salah. Berkawannya PAS dengan DAP dan PKR seolah-olah membekalkan peluru berpandu untuk tuan menyerang PAS. Saya tidak tahu latar belakang tuan, tetapi saya merasa sangat hairan bagaimana seorang yang berbangsa Cina dilihat sangat memusuhi Cina yang lain. Tidak tahu saya rasa benci ini berdasarkan fakta atau sentimen emosi politik yang keterlaluan. Oleh kerana PAS berkawan dengan DAP, PAS juga tidak terlepas daripada sindiran Tuan. Saya juga tidak terkejut jika Tuan mengisytiharkan Tuan ahli Umno, sesuai dengan tulisan Tuan tetapi Tuan berselindung di sebalik status seorang tokoh akademik. Biasanya seorang tokoh akademik mesti menulis berdasarkan fakta. Membuat perbandingan yang adil, jujur dan amanah dengan ilmunya. Suka saya mengajak tuan berfikif sejenak. Membuat perbandingan yang adil antara PAS dan Umno. Ada beberapa soalan yang perlu tuan jawab. Pernahkan Tuan melihat perlembagaan PAS dan perlembagaan Umno?. Kalau belum sila dapatkan. Cuma di sini ingin dijelaskan bahawa apa saja dasar yang diputuskan oleh PAS, ianya mesti mendapat kelulusan Majlis Syura Ulama PAS termasuklah isu tahaluf dengan PKR dan DAP. Lainlah jika Tuan melihat TGNA, TGHH, TG Harun Din, TG Haron Taib, Ust Tuan Ibrahim dan lainnya tidak ada kemampuan untuk menghurai terjemah al- Quran dan Hadis. Ataupun Tuan merasakan ustaz-ustaz dalam Umno lebih benar dan jujur dalam ilmu mereka. Ataupun Tuan merasakan ilmu mereka tidak sehebat ilmu yang ada pada Tuan. Tidakkah ijtihad itu jika salah dapat satu pahala dan kalau betul dapat dua pahala. Dalam masa yang sama, saya ingin bertanya Tuan: Rujukan manakah yang Umno telah buat dalam membuat keputusan isu- isu besar dan kecil dalam parti dan negara? Tidakkah Tuan membaca kenyataan Tan Seri Muhammad Taib mantan Menteri Besar Selangor. Beliau mengatakan Umno tidak pernah membuka al-Quran untuk mengurustadbir parti dan negara. Sepanjang Umno berkawan dengan MCA, MIC, Gerakan dan partiparti lain, pernahkah imej Islam ditonjolkan?. Ayat al-Quran mana yang telah Umno baca untuk mereka? Hadis mana yang telah disyarahkan? Akhlak sahabat mana yang diamalkan? Tidakkah Tuan melihat hasil Umno berkawan dengan mereka sejak merdeka ? Hasilnya tidakkah Tuan membaca kritikankritikan pedas pimpinan MCA tentang Islam: Pernahkah Tuan membaca kritikan Dr Chua Sio Lek, Presiden MCA? Lihat apa beliau kata tentang PAS dan Umno: "Umno dan PAS masing-masing cuba membuktikan mereka lebih Islam. Persaingan antara kedua-dua parti Melayu Islam itu telah membawa Malaysia ke arah dasardasar yang mundur ke belakang." "Negara Islam adalah negara rasuah. Lihat negara negara Islam sekarang". Lihat lagi: Larangan berjabat tangan lelaki dan perempuan adalah suatu yang hina dan tak boleh diterima oleh masyarakat Malaysia." Ini ulasan beliau dalam Pilihan Raya Kecil di Dun Tenang apabila calon PAS, Cikgu Mala tidak bersalaman dengan pengundi lelaki. Siapakah pula yang berkata " Adun Umno hilang akal" apabila Dato' Ayub Rahmat Adun Kemelah, Johor mencadangkan Johor menjadi negeri pertama menjalankan hudud. Tidakkah Tuan melihat pula apa kata pimpinan DAP tentang Islam? "Orang Islam boleh menggunakan dan melaksanakan hukuman ini, manakala orang bukan Islam mempraktikkan hukuman yang ditetapkan kepada mereka mengikut undang-undang yang dipersetujui bersama." "Orang bukan Islam tidak perlu bimbang kerana hukuman berkenaan hanya dijatuhkan kepada pesalah yang beragama Islam setelah melakukan penyiasatan dengan teliti," tulis Dr Tan Seng Giaw dari DAP. Pernahkah atau apakah usaha Tuan untuk memahamkan bangsa Cina di Malaysia supaya memahami Islam yang sebenar? Apa pendekatan Tuan dengan MCA, Gerakan, MIC dan DAP? Atau apakah cukup Cina yang bernama Ridhuan Tee Abdullah saja yang beriman? Cina lain dibiarkan terus dalam dunia mereka? Kenapa Tuan tidak melihat usaha PAS berkawan dengan DAP merupakan salah satu usaha supaya Cina dan India dalam DAP melihat sendiri dari dekat secara teori dan praktikalnya Islam yang diamalkan oleh pimpinan dan ahli PAS? Pernahkah Tuan mendengar ayat- ayat Allah dan hadis Nabi dibaca dalam majlismajlis bersama PAS dan PR? Atau Tuan sengaja memekakkan telinga dan membutakan mata. Atau Tuan telah disantau lintuk oleh Umno? Dalam kehidupan masyarakat majmuk seperti Malaysia, usaha PAS ini patut dipandang dengan positif. Jangan hanya memandang dari sudut politik kekuasaan semata-mata. Betul PAS parti politik, tetapi PAS tidak mengkesampingkan gerakan dakwah dan tarbiyahnya. Usaha PAS dan DAP usaha yang murni. Tidak keterlaluan jika saya katakan sejak PAS bertahaluf dengan DAP hubungan harmoni antara kaum jelas tergambar. Rasa curiga mencurigai semakin berkurang. Persahabatan mereka nampak lebih ikhlas. Mereka bersama dalam misi menegakkan keadilan. Banyak lagi persoalan yang ingin diajukan pada Tuan, Cuma cukup sekadar ini. Bagi PAS usaha untuk menegakkan kesempurnaan kehidupan beragama di bumi Malaysia yang tercinta ini tidak akan dihentikan. Bola tetap dikejar dan ditendang walaupun stokin dipenuhi kemuncup. CIKGU NAN Emel | ||||||
Penganalisis: Pengundi Cina memang berpaling dari BN, Malaysia Timur penyelamat Posted: 07 Jul 2013 03:58 AM PDT Menurut Fellow Kanan di Institut Kajian Asia Tenggara (ISEAS) itu, belum pernah berlaku dalam PRU sebelum ini di mana BN kalah dalam undi popular walaupun masih mendapat majoriti kerusi-kerusi Parlimen. "BN sudah hilang undi popular, Cina sudah berpaling daripada BN. Pilihan raya kali ini dibahagikan berdasarkan etnik dan kelas," kata Chin semasa berucap di majlis Wacana PRU13: Pengaruh Media dan Implikasi Masa Depan. "Tiada Malaysia Timur maka tiada kerajaan BN. Sebab itu, 20 menteri dan timbalan menteri dipilih dari Malaysia Timur," tambah beliau lagi. Chin berkata, parti dari Sabah dan Sarawak telah menyumbang kira-kira 35 peratus jumlah kerusi yang dimenangi BN dalam pilihan raya umum ke 13 (PRU13) lalu dan Parti PBB telah menyumbang 14 kerusi kepada BN. Menurut Chin lagi, DAP merupakan parti terkuat dalam Pakatan Rakyat (PR) berdasarkan kepada keputusan Pilihan Raya 2013 lalu "DAP merupakan parti yang paling berpengaruh berbanding PKR dan PAS yang menyusul dalam PR. Kualiti calon pada masa kini dilihat sangat penting kerana orang ramai yang bersembang di kedai kopi sekali pun mula mempersoal kredibiliti calon yang bertanding dengan mempertikai ijazah yang dimiliki mereka," katanya. Sementara itu, James beranggapan PRU14 akan datang bakal menjadi sebuah pilihan raya yang menelan belanja bilion ringgit sambil membawa beberapa cadangan pembaharuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). "SPR harus perbaiki reputasi buruk mereka dalam PRU13 lepas. Saya percaya jika ada kajian berhubung ketelusan SPR, pastinya badan itu sudah tidak dipercayai lagi. "Persempadanan pilihan raya dan pendaftaran pemilih secara otomatik perlu dipertimbangkan agar pilihan raya dilihat lebih adil. SPR juga harus melantik ahli profesional yang layak menjalankan pilihan raya. Chin turut mencadangkan sistem pilihan raya Malaysia diubah oleh kerana ini sudah biasa dilakukan di luar negara. "Fiji sendiri telah dua kali mengubah sistem pilihan raya mereka. Kita harus melihat profil negara yang tidak jauh berbeza dengan negara kita agar perjalanan pilihan raya dapat diperbaiki," tambah Chin. Dalam pilihan raya 5 Mei lalu, BN menang tipis dengan 133 kerusi Parlimen berbanding PR yang mendapat 89 kerusi. Walau bagaimanapun, PR menang undi popular memperolehi sejumlah 50 peratus atau 5,623,984 berbanding BN sekadar 47 peratus, atau 5,237,699 undi popular dalam Pilihan Raya 2013. | ||||||
PAS mahu cabar sejarah, BN mahu kekal tradisi Posted: 07 Jul 2013 03:49 AM PDT Oleh Zulkifli Sulong Jika PAS menang dan mereka membuat usul undi tidak percaya kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang ada ahli 16:16. Apa yang berlaku ketika itu? Mereka mengajak penyokong dan pengundi di Kuala Besut berfikir suasana itu - suasana politik yang tidak pernah berlaku di Malaysia. Pendapat itu dikongsi bersama dua tokoh PAS di Besut, tokoh veteran PAS, Datuk Husin Awang yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu. Husin adalah bekas Speaker DUN Terengganu ketika PAS memerintah negeri itu antara 1999 hingga 2004. Selain itu, Wan Azhar Wan Ahmad , 48; Yang Dipertua PAS Besut yang disebut-sebut antara nama yang bakal disenarai sebagai calon PAS. Pandangan itu agak selaras kerana sehari sebelum wawancara ini, mesyuarat penyelarasan PRK Kuala Besut peringkat negeri Terengganu diadakan di Markas Besar PRK Kuala Besut di Kampung Baru. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai sebagai hari pengundian untuk PRK manakala 20 Julai hari pembuangan undi awal. 12 Julai pula ditetapkan sebagai hari penamaan calon. PRK itu diadakan ekoran kematian Adunnya yang juga Exco kerajaan negeri Terengganu, Dr A. Rahman Mokhtar selepas 50 hari terpilih untuk kali kedua sebagai Adun. Pada pilihan raya umum lalu, BN mendapat 17 kerusi manakala PAS dan PKR yang menjadi sekutu dalam Pakatan Rakyat memperoleh 15 kerusi. Dengan kematian Dr A. Rahman, Adun BN tinggal 16 sahaja, berbeza satu kerusi dengan Pakatan dalam DUN yang mempunyai 32 anggota. Sebelum ini, Ketua Umno Bahagian Besut yang juga Menteri Pelajaran 2, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata BN tidak akan membenarkan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) untuk memerintah Terengganu. Beliau berkata, jika PAS menangpun, DUN tetap kekal dikuasai BN kerana mereka ada satu undi lagi iaitu Speaker lantikan BN. Apa berlaku jika Adun PAS membuat usul undi tidak percaya kepada Speaker? Ketika itu, speaker yang dilantik BN tidak boleh mengundi kerana ia usul ke atasnya," kata Wan Azhar. Bekas guru yang bertugas di Sabah dan pulang ke Besut kira-kira 10 tahun lalu, itu menyifatkan ia memberi semangat kepada jentera PAS untuk memastikan PRK itu dimenangi mereka. "Semua mahu PAS menang untuk lihat apa berlaku apabila dalam DUN ada 16 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN dan 16 Adun Pakatan," katanya. Calon-calon PAS Besut dan Terengganu menyenarai tiga nama untuk dipertimbang sebagai calon iaitu bekas Adun Kuala Besut (1999) yang juga Setiausaha Majlis Syura, Datuk Nik Zawawi Salleh; Yang Dipertua PAS Besut, Wan Azhar Wan Ahmad manakala seorang lagi, Bendahari PAS Besut, Azlan Yusof. Daripada 13 pilihan raya umum (PRU) dan satu PRK di Kuala Besut, PAS menang empat kali iaitu PRU 1959, PRU 1969, PRU 1974 dan PRU 1999. Umno pula dikatakan menyenarai dua nama popular untuk PRK itu. Bekas Kadhi Besut, Nik Suhaiza Nik Ismail dan AJK Umno Bahagian Besut, Zahanapi Sagaf. Anak bekas Adun Kuala Besut dan Exco Terengganu yang berpengaruh juga disebut-sebut menjadi calon PRK berkenaan. Saya yakin, kalau anak dia masuk senarai, dia akan dapat," kata Azmi Mohamad, 58, seorang penduduk Pulau Perhentian - antara kawasan dalam DUN Kuala Besut. Azmi sudah 30 tahun menetap di pulau pelancongan yang terkenal di seluruh dunia itu. Beliau kenal sangat dengan tokoh politik yang bertukar ke ahli perniagaan itu. "Sebut saja apa perniagaan di Besut, semuanya melibatkan bekas tok wakil itu," katanya, menambah tumpuan utama mereka ialah pembangunan hartanah dan pelancongan. Melalui perkongsiannya dengan seorang tokoh perniagaan Cina di Besut, ia menghasilkan gabungan yang sangat hebat - wang dan pengaruh politik. "Orang lain tak boleh buat bangunan tiga tingkat dari batu di atas pulau tetapi dia dapat. Bahkan jeti ke Long Beach juga di depan bangunan mereka," katanya menceritakan pengaruh bekas ahli politik itu. Jika anak bekas Adun Kuala Besut itu menyertai PRK, ia bakal menjadi lebih menarik lagi. PAS bersemarak untuk membina satu sejarah baru di Malaysia manakala BN pula memiliki individu berpengaruh untuk mengekalkan kuasa sebagai pentadbir daerah pelancongan bertaraf dunia.M/Insider | ||||||
Kartun Dedah Penipuan Pilihan Raya Posted: 07 Jul 2013 12:15 AM PDT SHAH ALAM: Hasil karya kartun lebih mudah difahami dan jelas biarpun sarat dengan mesej menggambarkan segala kepincangan ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu. Melalui pameran yang diadakan, sekumpulan kartunis yang menggelarkan diri sebagai Kumpulan Kartunis Independen (KKI) berharap mesej yang disampaikan melalui karya seni ini dapat dilihat orang ramai di seluruh negara. Ketua kumpulan tersebut, Zulkiflee Anwar AlHaque atau lebih dikenali sebagai Zunar berkata, kartun mempunyai beberapa kelebihan berbanding media lain serta ia lebih mudah disampaikan kepada orang ramai. "Kartun adalah satu imej visual yang mudah melekat di pemikiran orang ramai kerana ia visual, dan ada unsur-unsur lucu walaupun ia membawa mesej yang berat," ujarnya. Zunar ditemui ketika Pameran Kartun Kartunis Lawan Penipuan Pilihan Raya (CAEF) di tapak Pasar Tani Seksyen 17, Shah Alam di sini hari ini. Sebelum ini, Zunar dan KKI yang dianggotai 13 kartunis lain melancarkan gerakan untuk menyebarkan kesedaran mengenai penipuan pilihan raya melalui karya seninya. Dalam pada itu, pameran itu memaparkan lebih 100 karya kartun, termasuk Zunar, Megat Roslan Abdul Wahid, Azman Mat Noh, Johny Ong. Antara hasil karya kartun yang dihasilkan memberi mesej mengenai ketidak-telusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), penggunaan dakwat kekal, pengundi asing dan daftar pengundi ragu. Kumpulan berkenaan telah mengadakan pameran di Amcorp Mall, Petaling Jaya dan Kompleks PKNS, Shah Alam sejak dilancarkan dua bulan lalu. | ||||||
MBSA Diarah Ambil Tindakan Undang-undang Terhadap Menara Biru Posted: 07 Jul 2013 12:12 AM PDT SHAH ALAM : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diarahkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Menara Biru Sdn Bhd berhubung kenyataan syarikat tersebut yang didakwa menjatuhkan kredibiliti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu. Tindakan itu berikutan syarikat berkenaan bersama firma guamannya didakwa memberi kenyataan tidak benar kepada pihak media apabila mendakwa MBSA nyaris disita ekoran gagal membayar ganti rugi kepadanya. Ia berhubung tuntutan ganti rugi dalam kes membabitkan pembinaan 10 unit banglo sebagai kediaman rasmi pegawai MBSA di Seksyen 8. Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata, syarikat itu telah mengambil tindakan mahkamah terhadap MBSA, menuntut RM 3.53 juta. Manakala MBSA pula membuat tuntutan balas terhadap syarikat berkenaan dengan menuntut RM 631,348.91. Tegasnya, prosiding berkenaan masih di peringkat timbang tara dan MBSA membuat permohonan untuk memberhentikan penimbang tara yang dilantik berikutan tidak berpuas hati dengannya. Namun permohonan itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi. "MBSA tidak berjaya dan diarahkan untuk membayar kos RM 30,000 untuk satu pihak, RM 10,000 untuk satu pihak lain serta kos untuk urusan, berjumlah kira-kira RM 40,000. "Bererti, apa yang dituntut oleh Menara Biru itu adalah kos yang diperintahkan oleh mahkamah. Antara satu kos, yang RM 10,000 sudah diperintahkan oleh mahkamah empat tahun lalu dan tidak ditutut. "Sekarang, mereka tunggu empat tahun, mereka datang dengan perintah untuk menyita, " katanya dalam sidang media selepas sesi Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini. Semalam firma guaman yang mewakili syarikat itu pergi ke pejabat Datuk Bandar konnonnya untuk menyita premis tersebut. Bagaimanapun, MBSA membayar kos RM 10,000 menyebabkan syarikat itu tidak menyita pejabat tersebut. Tambah Teng, apa yang dimaklumkan syarikat itu ialah MBSA gagal membayar gantirugi yang diperintahkan mahkamah, sedangkan prosiding sekarang adalah permohonan MBSA untuk mengetepikan penimbang tara yang masih belum dibicara dan diputuskan lagi. Katanya, dalam kes tuntutan bersilang itu, belum ada keputusan pihak mana yang menang, justeru kenyataan syarikat itu adalah tidak berasas, tidak betul dan satu pembohongan. "Tindakan mereka (Menara Biru) jelas berniat jahat dan ingin menjejaskan nama baik MBSA. "Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang lebih tegas kalau mereka ada hutang dengan MBSA," katanya lagi. | ||||||
Kegagalan dan tradisi Umno menolak pemimpin gagal Posted: 07 Jul 2013 12:10 AM PDT Pilihanraya ke 13 baru saja berakhir. Walaupun menang dengan 133 kerusi dan masih mengekalkan kuasa tetapi semua orang lebih banyak bercakap mengenai kegagalan BN dan Najib. Tun Mahathir sendiri dalam ulasan awalnya mengenai keputusan pilihanraya, tidak menyangka Najib lebih teruk daripada Pak Lah manakala Tun Daim pula menyalahkan penasihat-penasihat Najib atas keputusan buruk ini. Dan bayangkan keputusan PRU 13 jika tanpa bantuan Mahathir dan Daim. Pastinya keputusan lebih buruk dan mungkin sudah menjadi pembangkang hari ini. Setelah menghasilkan buku Najib Perdana Menteri Terakhir, Kesilapan-Kesilapan Najib dan Asalkan Bukan Najib sebelum pilihanraya lalu, penulis kini tampil dengan buah tangan terbaru yang bertajuk Najib Gagal. Buku ini memperhalusi pelbagai aspek kegagalan yang diraih Najib hasil keputusan pilihanraya umum yang lalu yang tidak pernah dianalisa oleh mana-mana pihak sebelum ini. Buku ini juga ingin mengingatkan Najib bahawa beliau sebenarnya mengulangi sejarah buruk BN hilang undi popular pada pilihanraya 1969 dan menambah-burukkan jumlah kerusi BN kepada 133 berbanding 140 yang dicapai oleh Pak Lah pada 2008. Berdasarkan pencapaian buruk Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj pada 1969 dan Pak Lah pada 2008, kedua-dua pemimpin itu ditolak kemudiannya kerana UMNO berpendapat pemimpin yang gagal meraih 2/3 majoriti dan tidak mampu mengekalkan undi popular adalah dianggap pemimpin yang gagal. Namun Najib sebenarnya jauh lebih buruk daripada kedua-dua pemimpin itu. Tetapi sebaliknya kegagalan Najib itu mahu diraikan pula dengan menghadiahkannya jawatan Presiden UMNO kepadanya tanpa pertandingan. Apakah ini sesuatu yang logik dan tidak membahayakan masa depan UMNO sendiri? Buku ini, selain mengajak ahli dan pemimpin UMNO merenungi kegagalan Najib, juga mahu mereka memikirkan dengan mendalam apakah pemimpin yang gagal ini boleh membawa keputusan yang lebih baik dalam PRU 14 nanti atau seharusnya Najib ditukar dalam pemilihan parti hujung tahun ini. Jika Najib perlu diganti, siapakah yang layak? Muhyiddin, Tengku Razaleigh, Zahid Hamidi atau Khairy Jamaluddin? Dalam masa yang sama, buku yang sudah berada di pasaran ini juga mengupas pelbagai isu mengenai cabaran-cabaran UMNO menjelang pilihanraya akan datang, masa depan UMNO jika Najib terus kekal dan siapakah pemimpin yang dirasakan layak menerajui negara di masa depan. | ||||||
Makmal Politik Untuk Tutup Kelemahan Najib Posted: 07 Jul 2013 12:06 AM PDT KOMENTAR: Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) bulan lalu memutuskan untuk menubuhkan makmal politik BN bulan depan khusus bagi membuat cadangan mengenai perubahan yang perlu dilakukan kepada gabungan itu. Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata makmal berkenaan akan melihat sama ada perubahan itu melibatkan struktur, penjenamaan atau dasar BN atau ketiga-tiganya sekali. Berdasarkan kenyataan Najib tersebut gabungan yang diasaskan pada 1983 itu dilihat sedang mengalami pergolakan yang meruncing. Idea penubuhan makmal tersebut juga di lihat sebagai kemuncak kepada rasa tidak puas hati sebahagian besar dari 13 parti komponen BN terhadap domonasi Umno selama ini yang menerajui kerajaan. Paling jelas MCA dan Gerakan yang merupakan gabungan terbesar komponen BN yang enggan menyertai kabinet Najib selepas tamat PRU13 lalu. Reaksi dari tindakan MCA dan Gerakan ini, terdapat cadangan supaya BN menjadi parti tunggal. Parti tunggal tersebut bermaksud kesemua 13 parti komponen akan berada dibawah satu perlembagaan parti. Buat masa ini setiap parti mempunyai perlembagaan masing-masing dan cuma bergabung atas nama BN. Persoalan asas yang harus ditanya adalah mengapa MCA dan Gerakan begitu berani mengambil jalan protes secara sinis terhadap Najib dan kepimpinan beliau? Bagi Umno tindakan MCA disambut baik kerana banyak jawatan-jawatan dalam kabinet akan disapu oleh calon-calon Umno. Sememangnya berdasarkan sejarah pun, Umno hanya akan mengadakan hubungan baik sekiranya ada kepentingan yang menguntungkan. PAS pernah mengalami pengalaman pahit tersebut. Kini MCA dan beberapa parti komponen lain sedang merasai 'nikmat' dari tindakan Umno tersebut. Sebelum ini MCA dan beberapa parti yang mewakili kaum Cina menjadi aset kejayaan BN dalam setiap PRU. Namun kini masyarakat Cina menjadikan Pakatan Rakyat sebagai kiblat politik dan penolakan mereka disebabkan MCA bersengkol dengan Umno. Keputusan PRU13 yang menyaksikan hampir 90 peratus masyarakat Cina menolak BN adalah jawapan kepada tindakan MCA tersebut. Amalan rasuah, kronisme dan salah guna kuasa dikalangan pemimpin-pemimpin serta tindakan Umno yang menggunakan sentimen perkauman, agama dan ala samseng menjadikan orang Cina merasa takut, tersinggung dan tersisih. Bayangkan bekas perdana menteri yang suatu ketika dahulu dihormati oleh masyarakat Cina, Tun Dr Mahathir Mohamad berani membuat kenyataan bersifat perkauman bertujuan menyelamatkan Umno dari kalah dalam PRU13 lalu. Ironisnya apatah lagi 'sifat pendam' pemimpin-pemimpin Umno sekarang yang sedang bergelut dalam survival politik semasa. Amalan rasuah dan kronisme dalam Umno juga menjadikan orang-orang Cina terpinggir dari sudut agihan kekayaan ekonomi negara walaupun mereka merupakan golongan pengusaha yang gigih. Dalam asas politik mudah, usaha menawan hati rakyat bukanlah terlalu kronik. Rakyat hanya mahukan nasib mereka terbela dengan keperihatinan kerajaan terhadap nasib mereka. Rasuah, kronisme, salah guna kuasa dan resisme pula adalah musuh sebenar rakyat terhadap kerajaan. Kerajaan yang perihatin pula bermaksud usaha kerajaan untuk mengurangkan sebaik mungkin bebanan yang di tanggung rakyat selain pengurusan agihan kekayaan negara dilakukan secara telus dan adil. Umno-BN gagal melaksanakan amanah ini. Lantaran itulah keputusan PRU13 lalu Umno-BN hanya mencatatkan 47 peratus undi popular. Umno Tidak Demokratik Walaupun pembentukan BN telah berusia 40 tahun namun dalam tempoh tersebut BN terus mempertahankan wadah politik perkauman. Sedangkan pola politik dunia dan politik dalaman sedang melalui era politik baru yang berteraskan keadilan sejagat. Umno-BN lebih tertekan apabila menyaksikan politik baru Pakatan yang semakin mendapat perhatian rakyat pelbagai kaum khususnya masyarakat Cina. Asas kejayaan ini berkiblat kepada politik pelbagai kaum yang membelakangkan dasar-dasar rasisme. PKR yang terdiri dari parti pelbagai kaum, DAP yang juga dianggotai masyarakat pelbagai kaum serta PAS yang telah membuka keahlian kehormat kepada masyarakat bukan Islam melalui kelab penyokong PAS adalah contoh politik baru yang memecah politik perkauman ala BN. Gabungan PR yang baru berusia sepuluh tahun dan memperoleh kemenangan undi popular 51 peratus ketika PRU13 lalu setentunya menggerunkan BN yang berusia 40 tahun penubuhannya. Umno pula bagaikan terperangkap apabila bercakap untuk mempertahan memperjuangkan hak orang melayu kerana akan menghiris perasaan orang Cina, India dan lain-lain kaum. Begitu juga pemimpin MCA dan MIC yang bercakap mengenai mempertahankan hak kaum masing-masing akan menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu Umno. Senario dari dilema ini tidak mungkin berakhir selagi dasar politik perkauman ini tidak di pecahkan. Sikap dayus Umno serta takut dengan bayang-bayang sendiri meletakkan parti tersebut ketinggalan zaman. Usaha untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan timbalannya dalam pemilihan Umno hujung tahun ini membuktikan parti usang tersebut hilang wajah demokratiknya. Justeru bagaimanakah Najib dan Umno mampu melaksanakan solusi hasil bedah siasat yang diputuskan oleh Makmal politik BN nanti? Sedangkan kelayakan Najib menerajui Umno pun berasaskan dasar dayus Umno yang memperuntukan kuota 30 peratus sokongan untuk mencabar kedudukan presiden. Makmal Umno Untuk Salahkan MCA dan Gerakan Apa pun sudah lebih 56 tahun Umno berkuasa. Pelbagai dasar dan moto diperguna untuk penjenamaan semula Umno dan BN. Namun semuanya gagal. Berbilion ringgit telah digunakan untuk penjenamaan semula pemimpin-pemimpin Umno. Dasar Pandang Ke timur di era Dr Mahathir bertukar kepada Islam Hadhari di zaman Tun Abdullah dan sekarang penjenamaam 1Malaysia di era Najib. Semua ini sekadar ilusi untuk kaburi mata rakyat yang habuannya dikaut oleh segelintir kroni-kroni dan adik beradik. Bulan ini makmal politik BN akan memulakan tugasnya. Setentunya makmal ini akan di terajui oleh pemimpin Umno … Dan paling teruja adalah makmal ini bertujuan melarikan isu kelemahan Najib yang gagal memberikan prestasi lebih baik kepada Umno-BN dalam PRU13 lalu. Lalu keputusan makmal tersebut akan meletakkan kesalahan kepada MCA dan Gerakan yang gagal memastikan orang-orang Cina menyokong BN. Itulah Umno dan cara Umno sejak dahulu, kini dan selama-lamanya. | ||||||
Dilema Pemilihan Umno Cetuskan Hipokrasi Posted: 06 Jul 2013 11:59 PM PDT SEJAK (Tun) Dr Mahathir Mohamad mempopularkan istilah dilema melalui bukunya "Dilema Melayu" lebih 40 tahun lalu, ia telah menjadi kata kunci dalam banyak permasalahan dan keadaan. Yang terbaru, dilema menjadi kata kunci kepada pemilihan kepemimpinan Umno. Banyak pemimpin, perwakilan dan ahli Umno dikatakan dalam dilema. Akibat dilema itu, banyak pemimpin Umno telah menjadi hipokrit, bermuka-muka dan lidah bercabang. Minta ampun kalau kasar bunyinya. Di khalayak dan di hadapan media massa mereka setuju cadangan dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan, kononnya untuk mengelak perpecahan. Di belakang mereka mengomel, mengutuk dan mengata. Mereka bantah cadangan dua jawatan teratas tidak dipertandingkan. Di bawah peraturan baru pemilihan, calon yang hendak bertanding perlu, secara terbuka, menyatakan jawatan mana menjadi pilihan. Buat Tawaran Terbuka Kalau teruk sangat penyakit Koro (baca di sini) yang mereka alami - dalam hati meronta-ronta hendak bertanding jawatan tertentu, tetapi takut membuka mulut - mungkin ada satu jalan keluar, iaitu mereka buat kenyataan umum mengatakan mereka bersedia bertanding mana-mana jawatan yang dicalonkan. Cuma bahayanya adalah perwakilan mungkin tidak faham hasrat sebenar mereka. Silap-silap jadi kacau. Misalnya, dalam hati meronta-ronta hendak bertanding Presiden atau Timbalan Presiden, tapi dicalonkan bertanding Naib Presiden saja. Atau mereka boleh kata: "Oleh sebab Umno adalah parti yang mengamalkan demokrasi dan saya menghormati hak ahli, maka dengan ini saya menyatakan bahawa jawatan yang saya pegang boleh dicabar oleh sesiapa saja." Apabila penyandang berdiam diri, orang ramai mungkin buat kesimpulan penyandang tertentu tidak mahu dicabar atau takut dicabar. Kita faham bahawa yang paling teruk hadapi dilema (kalau beliau dalam delima) adalah orang nombor dua. Orang nombor satu tentulah akan pertahan jawatannya kecuali dia bercadang untuk bersara. Keputusan hendak cabar atau tidak adalah di tangan orang nombor dua. Dalam konteks pemilihan Umno kali ini, orang itu adalah Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden. Adakah beliau dalam dilema atau beliau akan mencabar Presiden, Mohd Najib Abdul Razak? Peranan Muhyiddin Sebagai "King Maker"Umum tentu masih ingat peranan Muhyiddin dalam gerakan mempercepatkan peletakan jawatan (Tun) Abdullah Ahmad Badawi yang sekali gus menaikkan Mohd Najib selepas Abdullah mencatat pencapaian buruk dalam PRU 2008. Adakah Muhyiddin yang menunjukkan pintu keluar kepada Abdullah yang memenangi 140 kerusi Parlimen terlepas pandang bahawa prestasi Mohd Najib lebih buruk daripada itu? Soalan yang harus dijawab oleh kepemimpinan dan keahlian Umno adalah masa depan dan hala tuju parti itu. Pemimpin Umno sering mendakwa bangsa Melayu, agama Islam dan negara bergantung kepada Umno – demi bangsa, agama dan negara! Kalau mereka ikhlas terhadap kenyataan itu dan tidak memikirkan kepentingan diri mereka sahaja, mereka tentu tahu dan berani menyatakan secara terbuka siapa yang layak dan boleh diharapkan untuk melaksanakan tugas berat demi Melayu, agama Islam dan negara. Mereka perlu berani mengakui siapa yang sebenarnya menyelamatkan Umno dalam Pilihan Raya Umum 5 Mei lalu – adakah Presiden Umno atau penyokong Umno di luar bandar yang bimbang apa akan terjadi kepada orang Melayu kalau Pakatan Rakyat menang dan DAP menjadi parti terkuat? Apakah yang ditonjolkan dalam pilihan raya lalu – panji-panji Umno, agenda Melayu dan ekonomi luar bandar atau 1Malaysia, "Sokong Saya Undi BN" dan Janji Ditepati? Siapakah yang diutamakan dan ditonjolkan sebagai penyelamat Barisan Nasional ketika PRU – Melayu, Cina atau India? Perwakilan dan ahli Umno wajib fikirkan semua ini kalau mereka komited kepada idealisme dan slogan demi bangsa, agama dan negara. Siapa Pilihan Bukan Melayu? Ironinya, hari ini, banyak orang bukan Melayu yang Perdana Menteri tuduh sebagai penyebab "tsunami Cina" pada PRU lalu, mahu Mohd Najib kekal sebagai Perdana Menteri. Tiba-tiba mereka "yakini" 1Malaysia dan sokong Mohd Najib kerana beliau dianggap "Malaysia first" dan transformasi beliau menguntungkan mereka. Sebaliknya mereka momokkan Muhyiddin kerana dilaporkan berkata beliau "Malay first". Secara tidak disedari atau disengajakan, hakikat yang tidak diperkatakan adalah tidak seorang pun warganegara Malaysia dilahirkan sebagai berbangsa "Malaysian". Kita sama ada dilahirkan Melayu, Iban, Kadazan, Cina, India atau suku-suku kaum lain. Dan sepanjang hayat kita, fakta bangsa dan kaum penting. Sebab itulah Melayu dan Bumiputera mempertahankan keistimewaan mereka manakala orang Cina dan India mati-matian mempertahankan bahasa dan sekolah mereka. Tetapi oleh kerana kita warganegara Malaysia maka secara kolektif kita dikenali sebagai "Malaysian" seperti orang Eropah, Cina, India, Arab, Afrika, Mexico, Filipina dan Vietnam yang menjadi warganegara Amerika Syarikat secara kolektif dipanggil "American". Sebaliknya, kenyataan "Malay first" Muhyiddin itu dikutuk dan beliau digambarkan sebagai perkauman, anti-1Malaysia dan mensabotaj Perdana Menteri. Apa yang hendak dihairankan. Itulah juga yang berlaku kepada Dr Mahathir beberapa ketika sebelum menggantikan Allahyarham Tun Hussein Onn pada tahun 1981. Beliau ditakuti oleh orang bukan Melayu, khasnya Cina kerana kononnya beliau "Malay Ultra" – pelampau Melayu. Orang bukan Melayu, khususnya Cina, yang Mohd Najib tuduh penyebab "tsunami Cina" pada 5 Mei lalu tentulah tidak mahu kepemimpinan Umno dan kerajaan kuat. Kalau kepemimpinan Umno dan kerajaan menjadi lebih kuat dan lebih banyak orang Melayu kembali menyokong Umno, tentulah lebih sukar bagi mereka membuat tuntutan dan memberi peluang Pakatan Rakyat menang lebih besar pada PRU akan datang. Jadi kepemimpinan Umno dan kerajaan yang lemah atau tidak terlalu kuat adalah baik bagi sesetengah pihak. Lihat sajalah bagaimana Kabinet terpaksa menelan ludahnya sendiri dengan menarik balik Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013 setelah ditentang bukan sahaja oleh pembangkang, tetapi oleh beberapa orang ahli Kabinet sendiri. Ini adalah manifestasi kegagalan Kabinet membuat penelitian mendalam dan keputusan jitu dengan mengambil kira segala aspek rang undang-undang berkenaan. Ia juga menjadi ukuran prestasi Jabatan Peguam Negara di bawah Peguam Negara Abdul Ghani Patail sebagai penggubal undang-undang. Ironinya, Muhyiddin yang mengumumkan penarikan balik rang undang-undang itu bagi pihak Kabinet! Kesimpulannya, terpulanglah kepada pemimpin Umno memilih yang mana satu lebih penting – dilema mereka kerana kononnya hendak beradab atau masa depan parti. Mereka boleh memilih antara menyelamatkan kedudukan mereka dan membiarkannya menjadi parti eksklusif, parti rumah tangga, parti golongan feudal dan parti yang bermuka-muka atau berkorban sedikit untuk menjadikan Umno terangkum, berani dan dinamik demi bangsa, agama dan negara.Wallahualam. | ||||||
Johari cabar MP Simpang Renggam ulangi tuduhan luar Dewan Posted: 06 Jul 2013 11:55 PM PDT KEADILAN DAILYKUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng dicabar untuk mengulangi kenyataan diluar Dewan Rakyat berhubung dakwaannya mengenai 20 akaun di luar negara kononnya milik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim."Saya nak minta (MP) Simpang Renggam untuk ulangi ayat di luar (Dewan Rakyat). "Jangan dilindungi kekebalan disini (Dewan Rakyat) kerana ini sesuatu yang serius," kata Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul. Anwar sebelum ini mencabar Liang sekali lagi untuk menjelaskan dakwaannya di dalam dan di luar Dewan Rakyat, namun, berdiam diri apabila diberi peluang tersebut. Pada 2 Julai, Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi dan Sim Tze Tzin (Bayan Baru) memfailkan usul untuk merujuk Liang ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas dakwaannya mengikut Perkara 80 dan Perkara 80(a) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. Tindakan itu diambil selepas semakan dibuat dan mendapati dakwaan Liang tidak berasas dan dengan merujuk sumber palsu. Sementara itu, Anwar dalam sidang media pada sebelah pagi menggesa media termasuk Utusan Malaysia untuk memperbetulkan laporan sebelum sebarang tindakan undang-undang dibuat. "Media yang lapor bertanggungjawab betulkan, termasuk Utusan Malaysia. Hari ini peguam akan menulis surat bantahan dan mengaju kes ini untuk dihadap ke mahkamah. "Tuduhan ini serius dan berulang kali. Mungkin tidak ada kesan, tetapi tidak baik dan tidak beretika," tegasnya. | ||||||
Perihal UMNO/BN yang tidak ada ‘telinga’ Posted: 06 Jul 2013 11:46 PM PDT Oleh Aliff Fikri TELINGA adalah alat yang sememangnya cukup penting untuk mendengar. Seorang rakan yang belajar dalam bidang kedoktoran pernah mengatakan bahawa mengikut kalimat daripada doktor pakar telinga Perancis, pendengaran manusia berkembang hanya 12 minggu setelah terjadinya pembiakan. Pendengaran merupakan indera pertama manusia yang berfungsi dan terakhir sebelum tubuh kita mati. Sebagai seorang yang menuju kedewasaan, kita mampu mendengar melalui seluruh tubuh kita. Kita mampu merasakan suara menjalar di permukaan otot, tulang dan kulit kita. Evelyn Elizabeth Ann Glennie, pemain percussion terkenal United Kingdom yang pernah berkoloborasi dengan Bjork pula mampu mendengar tanpa menggunakan telinganya sama sekali. Banyak bukti keilmuan menunjukkan betapa unggulnya indera pendengaran manusia berbanding penglihatan. Mendengar merupakan cara utama manusia untuk merasakan aliran waktu sejak masa lalu hingga masa depan. Namun, manusia kini mula hilang kemampuan pendengarannya apabila semakin banyak mata yang digunakan berbanding pendengaran. Kita barangkali secara tidak sedar, memiliki kemampuan mengenal pola suara. Kita masih mampu berbicara dengan seseorang di tengah majlis keramaian, konsert, gig serta ceramah paling riuh dengan gegak gempita laungan manusia. Kita mampu memisahkan antara kebisingan dan tanda suara yang diucapkan kawan kita. Kita memiliki kemampuan untuk menyaring satu suara daripada rimbunan suara lain. Kita pernah memiliki kemampuan berdiam cukup lama untuk menikmati indahnya suara yang mendekati tingkap rumah kita pada pagi dan malam hari. Sekarang, kebisingan merupakan musuh ketat kita. Apa yang menyebabkan kita kehilangan kemampuan mendengar? Pertama, teknologi telah menemukan cara untuk merakam. Bermula daripada tulisan, rakaman audio, hingga video. Kedua, dunia menjadi semakin bising. Mendengar kini menjadi pekerjaan yang amat memenatkan. Sebuah kajian dari luar negara menunjukkan bahawa kebisingan di kota besar termasuk Kuala Lumpur dan beberapa bandar besar lain di seluruh dunia meningkat dua kali ganda setiap tahun. Ia menyebabkan kebanyakan manusia bergantung kepada 'headphone' akibat daripada situasi kebisingan melampau ini. Akhirnya alat yang kita panggil 'headphone' ini kemudiannya membuat manusia semakin tidak mendengar antara satu sama lain. Setiap orang akhirnya hidup dalam gelombang suaranya sendiri. Ketiga, manusia kini menjadi semakin tidak sabar. Kita tidak tahan mendengar pidato berjela-jela tanpa topik atau fokus yang jelas. Orang yang pergi ke acara bacaan puisi dan persembahan muzik pula datang hanya untuk menonton, mengambil gambar untuk dimuat naik ke laman sosial, bukan mendengar. Media pula berteriak dengan berita provokatif dan sensasi, seolah-olah itu satu-satunya cara yang mereka mampu lakukan untuk menarik perhatian. Kini kita hanya boleh mendengar kata-kata kita sendiri. Semakin sedikit orang yang menaruh perhatian pada kesunyian, kelembutan suara, atau bisikan. Lama-kelamaan kita menjadi semakin tidak peka, semakin tidak manusiawi. Kekuasaan tanpa batasan, dalam pelbagai bentuk seperti yang diamalkan pimpinan nasionalis Melayu palsu iaitu UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga merupakan penyebab seseorang itu hilang kemampuan mendengar. Penguasa bernama UMNO/BN di negara ini merupakan contoh terbaik dalam fenomena masalah pendengaran ini. Kelompok ini tidak belajar daripada fakta yang ditunjukkan dengan sangat jelas oleh sejarah. 30 tahun terakhir ini, banyak rejim diktator yang mengamalkan cara sama 'tanpa telinga' tidak mahu mendengar tumbang satu persatu. Mereka melakukan pelbagai upaya untuk didengari tanpa mahu mendengar. Bagi mereka, pekerjaan tersulit adalah mendengar keluhan rakyat. Bagaimanapun mereka mahu rakyat mendengar apa yang mereka luah dn bohongkan. Sebagai warga negara yang baik, tugas kita bukannya memilih pemimpin yang tidak mahu dan tidak mampu mendengar. Kita harus ingat bahawa selain puji-pujian, satu-satunya yang mereka ingin dengarkan daripada kita adalah suara yang kita serahkan atas nama mereka pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu. Penguasa semestinya tahu bahawa kehilangan pendengaran bukan masalah besar. Koklea yang tidak difungsikan adalah jalan pintas menuju pembodohan. Mendengar adalah akses utama manusia untuk saling memahami. Dunia di mana manusia tidak saling mendengar adalah tempat yang amat menyeramkan untuk didiami. Berbicara mengenai perihal 'tanpa telinga' ini, baru-baru ini kita melihat pelbagai contoh betapa tidak punya telinganya UMNO/BN dalam kes seperti kekurangan alat rawatan di Sabah. Seperti yang disebut Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu, Jimmy Wong bahawa sehingga kini hanya ada satu mesin radioterapi untuk merawat jutaan penduduk di Sabah yang jumlahnya seramai 2.7 juta. Namun tidak ada sebarang tindakan diambil, bukti nyata mereka tidak ada telinga. Satu lagi contoh ketiadaan telinga ini juga berlaku di Borneo, iaitu di Sarawak. Di mana seorang kanak-kanak lelaki yang bakal menduduki peperiksaan besar dalam sejarah hidupnya bernama Lim Wang Chun dinafikan hak kewarganegaraan dengan tiba-tiba tanpa alasan kukuh daripada kementerian. Desakan rakyat bersama pimpinan Pakatan Rakyat (PR) agar Pengerusi SPR dan timbalannya meletakkan jawatannya juga tidak langsung didengari malah ianya tidak langsung dipandang apatah lagi untuk didengar walaupun pelbagai bukti pendedahan dikemukakan. Ditambah pula dengan isu Jonker Street yang diputar belit dengan alasan yang pada kiraan saya langsung tidak masuk akal. Contoh bencana ketidakadaan telinga ini mengingatkan saya pada novel bertajuk 1Q84 tulisan Haruki Murakami. Dalam novel itu, Murakami mengatakan bahawa kebanyakan orang di dunia ini tidak bersungguh-sungguh menggunakan kepalanya untuk berfikir dan orang yang tidak berfikir adalah orang yang tidak mahu mendengar suara orang lain. Untuk melihat dengan pendekatan yang lebih surreal, sebuah tulisan daripada Seno Gumira Ajidarma berjudul Telinga yang dimuat dalam buku cerpen pendek 'Saksi Mata', menggambarkan dengan baik mengenai seorang lelaki yang setiap hari mengirim telinga dari medan perang kepada kekasihnya. Namun suatu hari dia tidak lagi mampu menemui telinga dan akhirnya mengirimkan kepala manusia kepada kekasihnya itu. Bila membaca balik tulisan Seno itu, saya membayangkan lelaki yang setia kepada kekasihnya tadi sebenarnya memotong telinga pemerintah rakus satu persatu. Dia, seperti kita, marah kerana suaranya tidak didengari. -Roketkini.com | ||||||
Jelaskan Malaysia negara selamat atau sebaliknya: Kit Siang Posted: 06 Jul 2013 11:39 PM PDT Roketkini.com KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menggesa Ketua Polis Negara (KPN) dan Menteri Dalam Negeri menyatakan secara jelas dan jujur tanpa berdolak-dalih samada Malaysia sebuah negara selamat atau sebaliknya. Beliau berkata, KPN dan Menteri Dalam Negeri tidak sepatutnya menyatakan Malaysia sebuah negara yang selamat dan kadar jenayahnya berkurangan sebanyak 26.8% sejak pelancaran Program Transformasi Kerajaan (GTP) pada 2009 serta tergolong sebagai sebuah daripada negara paling aman di Asia Tenggara menurut Peace Index. Katanya, bukannya secara tiba-tiba mengaitkan peningkatan kejadian jenayah ganas kerana penghapusan Ordinan Darurat (EO) pada 2011 yang membawa kepada pembebasan hampir 2,000 orang yang disyaki penjenayah tegar. "Jika pembebasan 2,000 orang yang disyaki sebagai penjenayah tegar disebabkan penghapusan EO pada September 2011 membawa kepada peningkatan kadar jenayah, mengapa perkara itu tidak terlihat pada perangkaan jenayah polis tetapi sebaliknya polis mendakwa secara umum kadar jenayah jalanan dan indeks jenayah berkurangan masing-masing sebanyak 41.3% dan 7.6% pada 2012 berbanding 2011. "Atau apakah ketua sindiket jenayah ganas dan terancang tiba-tiba menjadi lebih giat setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan "perang menentang jenayah" sebulan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu menyebabkan kadar jenayah dan kebimbangan orang ramai meningkat sehingga buat kali pertama rakyat Malaysia merasa tidak selamat untuk makan di luar rumah berikutan beberapa kejadian rompakan bersenjata ke atas pemilik dan pelanggan gerai mamak dan restoran," katanya dalam kenyataan, semalam. Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, tidak sampai setahun lalu, Menteri Dalam Negeri sebelum ini, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersungguh-sungguh menafikan peningkatan kadar jenayah adalah disebabkan pembebasan tahanan EO. "Walaupun media melaporkan bekas banduan terbabit dalam jenayah, bagi saya angkanya tidak berada pada tahap membimbangkan "Apakah Hishammuddin menyatakan perkara yang benar Julai tahun lalu atau beliau memperdayakan rakyat Malaysia bahawa orang ramai diyakinkan bahawa polis mengawasi 1,473 tahanan di bawah Ordinan Darurat dan Akta Kediaman Terhad yang dibebaskan bagi membantu mereka mencari pekerjaan dan memastikan mereka tidak kembali kepada kebiasaan yang buruk," katanya. Menurut Kit Siang, apakah natijah program itu atau hanya cakap-cakap kosong yang tidak pernah dilaksanakan polis di semua negeri dalam negara ini. Katanya, jika polis mahukan kerjasama penuh dalam perang menentang jenayah, ia perlu memberi keyakinan kepada orang ramai dan berkongsi maklumat dengan mereka.-Roketkini.com | ||||||
BN diskriminasi rakyat sendiri, utamakan warga asing Posted: 06 Jul 2013 11:35 PM PDT Roketkini.com SHAH ALAM, : Rakyat Malaysia terus didiskriminasi kerajaan Barisan Nasional (BN) apabila warga asing yang menyertai skim Malaysia My Second Home Centre (MM2H) diberi pengecualian cukai eksais dan cukai kenderaan tetapi nikmat yang sama tidak diperoleh warga tempatan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lau Weng San mempertikaikan tindakan kerajaan BN yang lebih mengutamakan rakyat asing sedangkan rakyat sendiri dibeban dengan pelbagai cukai. "Alasan kerajaan BN sebelum ini untuk tidak hapuskan cukai eksais ialah kerana ia menyumbang kepada cukai yang dikutip kerajaan sebanyak RN7 bilion. "Ini tidak masuk akal. Adakah ini bermakna cukai yang dipungut kerajaan BN daripada rakyat Malaysia tidak berbaloi untuk menikmati pengecualian cukai jualan dan cukai eksais sedangkan rakyat asing baru sahaja berhijrah ke negara ini," jelasnya pada sidang media di Lobi DUN Selangor, hari ini. Setiausaha Organisasi DAP Selangor itu juga meluahkan rasa tidak puas hati terhadap dasar itu yang turut mendiskriminasi wakil rakyat yang memberi khidmat kepada masyarakat. "Wakil rakyat pun tidak dapat kemudahan itu. Mereka hanya dapat pengecualian cukai eksais untuk membeli kenderaan pacuan empat roda pemasangan tempatan," kata Weng San. Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan BN tidak hipokrit dalam melaksanakan slogan "rakyat didahulukan" yang dibanggakan selama ini. "Apa yang berlaku menunjukkan dasar automobil kerajaan BN tidak seimbang. Kami seperti dianaktirikan. Sebagai rakyat, kita tidak harus didiskriminasi," katanya lagi.-Roketkini.com | ||||||
'Enggan terima pengerusi PAC, kukuh BN sebagai pembangkang' Posted: 06 Jul 2013 07:55 PM PDT MALAYSIA KINI Timbalan Ketua DAP Selangor Tony Pua hari ini mengingatkan bahawa BN tidak mampu untuk merampas semula negeri itu jika berterusan menolak untuk melaksanakan tugas sebagai pembangkang di negeri itu.Beliau yang juga ahli parlimen Petaling Jaya Selatan merujuk kepada Ketua Pembangkang DUN Selangor Datuk Shamsuddin Lias yang enggan menerima kedudukan sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira (PAC) negeri. Dalam kenyataannya hari ini, Pua berkata sudah sampai masanya bagi BN untuk menerima peranan itu dan menunjukkan fungsi mereka selepas menolak tawaran tersebut sebelum ini. "Tidak ada alasan kukuh bahawa rakyat Selangor boleh menerima penolakan peranan itu. Malah, kegagalan menerima peranan tersebut hanya akan mengukuhkan BN sebagai pembangkang di Selangor untuk pilihan raya umum ke-14," kata Pua. BN yang memerintah negeri itu sejak 1957, menerima satu tamparan hebat pada 2008 apabila tewas kepada Pakatan Rakyat yang memperoleh 20 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan. | ||||||
MB T'ganu: TPM umum calon BN K Besut 9 Julai ini Posted: 06 Jul 2013 07:52 PM PDT Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada 9 Julai ini. Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata BN negeri menyenarai pendek beberapa calon BN yang layak dan terpulang kepada pucuk pimpinan tertinggi untuk membuat keputusan. "Timbalan Perdana Menteri sendiri akan umum calon pada 9 Julai ini, kita (BN) dah ada calon," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat tiga beradik yang menjadi mangsa dera di Kuala Terengganu baru-baru ini. Beliau berkata BN yakin untuk mempertahankan DUN Kuala Besut berdasarkan sokongan rakyat semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU13). Menurutnya Kuala Besut merupakan kubu kuat BN dan jumlah majoriti yang dimenangi pada PRU13 merupakan satu kedudukan yang selamat untuk mempertahankan erusi itu dan keadaan "DUN tergantung" tidak akan berlaku sekiranya keputusan pilihan raya kecil Kuala Besut tidak menyebelahi BN. DUN Kuala Besut kosong berikutan kematian Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut Dr A Rahman Mokhtar akibat kanser paru-paru, 26 Jun lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermesyuarat semalam menetapkan 24 Julai sebagai tarikh mengundi dan 12 Julai sebagai hari penamaan calon PRK Kuala Besut. -Bernama | ||||||
'Presiden' baru Mesir mulakan tugas Posted: 06 Jul 2013 07:39 PM PDT SINAR HARIAN KAHERAH - MESIR. Bakal menjadi Presiden kerajaan interim Mesir, Adly Mansour memulakan tugas pertama dengan mengadakan perbincangan dengan ketua tentera dan pemimpin-pemimpin politik, semalam. Beliau dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Tentera, Abdel Fattah al-Sisi, yang mengumumkan penyingkiran Mursi Rabu lalu. Mansour turut mengadakan perbincangan dengan bekas ketua Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dari agensi nuklear, ketua liberal dan beberapa pemimpin politik lain yang menentang Mursi. Antara perkara yang menjadi perhatian ialah bagaimana mahu menangani isu krisis negara itu yang sudah mengorbankan 35 nyawa rakyat negara itu. Dipetik dari Reuters, dalam kejadian bantahan yang berlaku ekoran penggulingan Presiden Mohamed Mursi sejak 30 Jun lalu, sekurang-kurangnya 35 maut manakala lebih 1,000 cedera. Bagi melaksanakan penyelesaian itu, Mansour dilaporkan telah memantau pelan tindakan tentera untuk pilihan raya dan menghabiskan hari pertamanya di pejabat Presiden di Itihadiya Palace. Sementara itu, media turut difahamkan, pihak tentera sudah diberikan sedikit maklumat mengenai tarikh pilihan raya namun tiada jangka masa dimaklumkan. | ||||||
Kembalikan Morsi sebagai Presiden - Ikhwan Posted: 06 Jul 2013 07:35 PM PDT
Saya mengikuti siaran langsung Al-Jazeera berbahasa Arab malam tadi sehingga hampir jam 2 pagi yang membuat lintas langsung dari Rabiatul Adawiah, timur Kaherah di mana penyokong Morsi berkumpul. Antara yang berucap ialah Isam Iryan, Naib Ketua FJP membuat kenyataaan mereka tidak akan meninggalkan dataran Rabiatul Adawiyah hingga Morsi dibebaskan. Penyokong Morsi makin teruja kemudiannya apabila Sheikh Muhammad Badi', Mursyid al-Am Ikhwan Muslimin Mesir muncul di pentas (Gambar: Sheikh Muhammad Badi' di pentas. Tulisan tertera di TV Al-Jazeera: 'Semua urusan rampasan kuasa, perlantikan Presiden sementara dan lain-lain dianggap batal). Di antara kenyataan dan ucapannya yang penting ialah: 1. Kami hanya menerima Morsi sebagai Presiden Mesir yang sah, tidak berganjak dari prinsip ini. 2. Kami menolak rampasan tentera. Semua urusan dan perkara yang berlaku selepasnya dianggap batal dan tidak diikitiraf. 3. Kami menyeru tentera supaya berkhidmat untuk negara dan rakyat, sokong kami dan kami sokong kamu. Ucapan ini dibuat terutamanya ketika helikopter tentera sedang beredar di atas kepala kumpulan penyokong Morsi. Ketika itu kehadiran di Rabiatul Adawiyah disebut oleh seorang jurucakap di atas pentas menjangkau 4 juta orang. 4. Kembalikan Morsi sebagai Presiden dan Ikhwan sedia berbincang dengan sesiapa sahaja selepas itu. 5. Saya tidak akan lari dan kami tidak akan lari. Kami pendukung revolusi, bukan orang yang lari. | ||||||
Ulama Azhar seru rakyat tolak rampasan kuasa Posted: 06 Jul 2013 07:32 PM PDT
Beliau yang juga merupakan pengasas Persatuan Ulama Al-Azhar berkata, kepimpinan berasakan rampasan kuasa ditolak menurut syarak. "Dr. Muhammad Morsi merupakan presiden yang sah kerana dipilih melalui pilihanraya. "Adalah tidak wajar bagi rakyat mesir berpaling dari beliau. Ini kerana kepimpinan yang berasaskan rampasan kuasa ditolak menurut syarak," katanya seperti dilapor Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Menurut Sheikh Hashim lagi, rakyat Mesir wajib mengekalkan identiti Arab-Islam berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah di negara itu dan pada sama memberi jaminan hak kewarganegaraan yang sama rata bagi non-muslim serta menjaga perpaduan negara Mesir dan rakyatnya. Menurutnya, konflik yang berlaku di Mesir bukanlah sekadar pertembungan ideologi, tetapi realiti yang berlaku kini ialah pertembungan akidah antara tamadun Islam-Arab Mesir dengan para pendukung sekular dan anti-Islam. Ekoran rampasan kuasa yang berlaku, beliau menyeru rakyat Mesir untuk turut serta dalam revolusi mempertahankan syariat di seluruh Mesir, dan menewaskan kebatilan seperti yang berlaku dalam perang Jamal, serta membentuk satu jawatankuasa tetangga bagi memelihara negara dan rakyat. "Walaupun berbeza pandangan antara kita terhadap penjenayah dan pemberontak, namun kita juga perlu membezakan antara demontrasi rampasan kuasa yang diharamkan Islam dengan demontrasi bantahan yang diharuskan oleh Islam. "Antara prinsip tertinggi dalam Islam ialah menganjurkan kebebasan, membenci pemerintahan diktator dan keganasan," katanya. | ||||||
S'gor teruskan air percuma, RM105 juta tambahan Posted: 06 Jul 2013 07:26 PM PDT
Bagi tujuan penerusan itu, kerajaan negeri telah memohon peruntukan tambahan sebanyak RM 105 juta untuk pemberian bagi tempoh Julai hingga Disember tahun ini. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khadli Ibrahim berkata, peruntukan itu diperlukan kerana peruntukan sebelumnya hanya menampung kos program tersebut sehingga Mei lalu iaitu sebelum Pilihanraya Umum 13 (PRU13). Menjelaskan perkara itu lebih lanjut beliau berkata, peruntukan yang diambil dari belanjawan 2013 itu dibuat kerana sekiranya Kerajaan Negeri yang lain mengambil alih selepas PRU 13, pentadbiran itu tidak dipaksa untuk meneruskan dasar itu. "Jika menang pilihanraya, kita teruskan program pemberian air percuma ini. Keputusan ini dibuat kerana kita tidak mahu membuat keputusan bagi pihak lain. "Tetapi dalam manifesto PR, kita telah senaraikan mengenai usaha meneruskan bantuan air percuma ini," katanya kepada media selepas Dewan Negeri Selangor (DNS) ditangguhkan semalam yang dipetik Selangorku. Permohonan RM 105 juta itu sebahagian daripada permohonan perbelanjaan tambahan sebanyak RM 761 juta yang dibuat melalui satu enakmen di dalam DNS. Daripada RM 105 juta, RM 83 juta adalah bagi menampung bayaran program pemberian air percuma bagi Julai hingga hingga Disember 2013. Manakala RM 22 juta bagi menampung semula peruntukan sedia ada yang telah digunakan bagi bayaran program itu bagi Mei hingga Jun lalu. | ||||||
Penipuan manusia terapung dibongkar, terhangat Posted: 06 Jul 2013 07:21 PM PDT
KUALA LUMPUR: Artikel bertajuk "Penipuan manusia terapung dibongkar" menjadi artikel yang paling diminati para pembaca Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu ke-27, 2013. Di tangga kedua pula ialah artikel bertajuk "Tindakan tentera Mesir setelah 24 jam rampas kuasa" yang ditulis http://www.tintaasyraf.com mengenai beberapa tindakan telah dibuat oleh tentera Abdel Fattah Al-Sisi setelah 24 Jam merampas kuasa daripada Presiden Mesir Dr. Muhammad Mursi. Berita "Ketua Pembangkang S'gor terkedu, tanpa fakta" pula menduduki tempat ketiga. Berikut ialah 10 artikel terhangat Harakahdaily bagi minggu 30 Jun hingga 7 Julai. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan