Jumaat, 5 Julai 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Undang-undang baru untuk ganti Ordinan Darurat, kata Zahid

Posted: 04 Jul 2013 05:00 PM PDT

Oleh Muzliza Mustafa

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar) mengatakan draf pertama set undang-undang baru untuk menggantikan Akta Ordinan Darurat kini berada di Jabatan Peguam Negara.

Menteri Dalam Negeri itu berkata kerajaan bersetuju untuk menggubal undang-undang baru berikutan peningkatan jenayah selepas pemansuhan Akta Ordinan Darurat dan Akta Kediaman Terhad.

"Kita mengalu-alukan idea dan cadangan baru daripada semua pihak termasuk pemimpin pembangkang dan organisasi bukan kerajaan bagi memastikan undang-undang baru itu berkesan," katanya.

Ahmad Zahid mengatakan beliau mahu kerjasama dari pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Mereka boleh salurkan cadangan mereka kepada saya dan saya mahu mereka bersetuju dengannya. Jadi jika kita tidak menerima apa-apa cadangan, jangan datang kepada saya dan merungut apabila undang-undang diperkenalkan," katanya.

Zahid mengatakan Kementerian Dalam Negeri akan mewujudkan pasukan petugas khas untuk mengesan pengedar dadah dan penjual yang bebas kerana Ordinan Darurat dimansuhkan.

Beliau bagaimanapun tidak memberitahu agensi mana yang akan digunakan untuk mengesan pengedar dadah.

"Kami dapati pengedar dadah antara 2,600 tahanan dari Simpang Renggam kembali kepada urusan lama selepas dua undang-undang dimansuhkan," katanya di Jalan Raja Alang hari ini.

Pengumuman Zahid itu hadir selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri memberitahu Parlimen pada Isnin kerajaan telah menyediakan undang-undang baru untuk menggantikan Akta Ordinan Darurat bagi menangani jenayah yang semakin meningkat.

Sementara Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo hari ini menyalahkan kerajaan kerana peningkatan jenayah.

"Kerajaan perlu menerima dan mengakui keputusan awal untuk memansuhkan undang-undang dibuat dengan tergesa-gesa, tanpa kajian yang betul dan tidak memberi perhatian sewajarnya mengenai akibat daripada tindakan tersebut."

Anwar: Kejatuhan Morsi sebabkan ‘Arab Spring’ mundur

Posted: 04 Jul 2013 04:54 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER
 
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengutuk kudeta tentera yang menggulingkan Presiden Mesir, Dr Mohamed Morsi dan mendakwa ia menyebabkan kemunduran kepada "Arab Spring".

Ketua Pembangkang itu, berkata seluruh negara yang mengamal demokrasi mesti mengutuk tindakan tidak demokratik itu.

"Pemimpin yang dipilih secara demokratik melalui pilihan raya bebas dan adil tidak seharusnya digulingkan sebegitu rupa.
 
"Tidak kira apa pengakhirannya, caranya adalah tidak wajar," katanya pada kenyataan media lewat petang ini.

PAS hari ini mengutuk penggulingan Mohamed Morsi dan mengecam tindakan tentera negara itu menggunakan golongan ulama bagi menghalalkan perbuatan mereka.

Menurut Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kudeta dan diktator bukan lagi pilihan manusia lagi dalam era sekarang.

"Di mana-mana sahaja, ada ulama dipergunakan untuk menentang gerakan Islam," kata Nik Abdul Aziz dalam satu kenyataannya pagi ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Abdul Fattah El-Sisi dalam pengumumannya awal pagi ini turut menamakan Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan, Adly Mansour sebagai presiden sementara sehingga pilihan raya baru diadakan.

Menurut Abdul Fatah, Mesir akan ditadbir sebuah kerajaan Teknokrat dengan kuasa penuh sepanjang tempoh peralihan.

Serentak itu, larangan perjalanan dikenakan terhadap Mohamed Morsi dan pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin termasuk ketuanya Mohammed Badie dan timbalannya Khairat El Shater.

Pengumuman yang dibuat secara langsung melalui televisyen disambut dengan sorakan kumpulan anti presiden yang baru berkuasa selama setahun itu.
Mohamed Morsi mula memimpin Mesir selepas Hosni Mubarak digulingkan pada Februari 2011 selepas berkuasa selama 30 tahun dalam demonstrasi besar-besaran yang digelar "Arab Spring".

CCSC berjaya kurangkan kadar jenayah di Chow Kit

Posted: 04 Jul 2013 04:50 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

Kewujudan Pusat Rawatan dan Prihatin (CCSC) di bawah seliaan Agensi Antidadah Kebangsaan(AADK), khususnya di Chow Kit, menyaksikan impak positif apabila kadar jenayah di kawasan itu berkurangan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sehingga Mac lalu, hanya 236 orang ditahan bagi kes jenayah yang berpunca daripada masalah penagihan dadah di kawasan itu.

"Pusat ini dilihat memberikan kesan positif serta impak cukup besar dalam membasmi masalah sosial dan jenayah di negara ini yang membabitkan penagihan dadah," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra ke CCSC di Chow Kit semalam. Dalam tinjauan sejam itu, beliau turut melawat Rumah Perlindungan Sinar Teratak Afidah yang menempatkan wanita terbabit masalah sosial seperti pekerja seks dan penagihan dadah.

Ahmad Zahid berkata, Yayasan Al-Bukhari bersetuju menyumbang RM5 juta kepada AADK, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu penagih dadah, bekas pekerja seks serta anak gelandangan bagi membantu mereka meneruskan kehidupan.

Beliau menyeru jabatan kerajaan dan NGO menjalin kerjasama erat dalam membantu kanak-kanak gelandangan di sekitar Kuala Lumpur dan Chow Kit. Sehingga kini, dilaporkan kira-kira 1,000 kanak-kanak gelandangan hidup di Chow Kit dan dianggarkan 10 hingga 25 peratus daripada jumlah itu terbabit dengan masalah dadah.

Ahmad Zahid berkata, keadaan itu berpunca daripada faktor persekitaran malah 80 peratus daripada kanak-kanak berkenaan adalah anak penagih dadah.

Beliau berkata, Malaysia mendapat pujian pihak badan dunia kerana berjaya merawat serta memulihkan penagih dan dilihat sebagai satu-satunya kerajaan di dunia yang memberi sokongan penuh terhadap usaha membasmi penagihan dadah dalam negara.

Katanya,Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi penghargaan dan pujian terhadap pendekatan 'Pulih dan Prihatin' Malaysia dalam laporan "Good Practices In Asia: Effective Paradigm Shifts Towards Improved National Response To Drug and HIV/AIDS" yang dikeluarkan awal tahun lalu.

Ahmad Zahid juga mengingatkan pengedar serta pembekal dadah agar menghentikan aktiviti penjualan bahan itu sekali gus terus merosakkan masyarakat. "Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperkuat penguatkuasaan undang-undang terutama terhadap jerung besar yang jadi pembekal dadah. Jangan ingat kamu boleh lepas, jadi hentikan segera," katanya.

Beliau berkata KDN akan menubuhkan sebuah pasukan khas bagi membanteras jenayah dadah. "Jangan terkejut jika ada pasukan khas ditubuhkan yang bukan daripada Ibu Pejabat Kontinjen Polis atau Ibu Pejabat Polis Daerah, tetapi daripada KDN sendiri," katanya. - Bernama

Ahli Seniman Dijangka Boikot Perjumpaan Lima Artis Veteran

Posted: 04 Jul 2013 04:39 PM PDT



Zed Zaidi
 
PETALING JAYA: Ahli-ahli Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dijangka akan memboikot satu majlis perjumpaan dan sidang media yang akan diaturkan oleh artis veteran Abu Bakar Omar dan empat yang lain pada Ahad ini.

Presidennya, Zed Zaidi atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 33, berkata langkah itu bertujuan untuk mengelakkan ahli –ahli persatuan itu terpengaruh dengan agenda tidak baik kumpulan veteran tersebut.

"Saya dan ahli-ahli Seniman ada mendapat jemputan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan dari mulut ke mulut semalam (Rabu) mengenai majlis itu.

"Bagaimanapun, saya sudah maklumkan kepada semua ahli agar tidak datang pada perjumpaan itu kerana ia bukan atas urusan persatuan, sebaliknya diaturkan atas kehendak peribadi," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.

Zed Zaidi berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat lima orang artis veteran iaitu Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran, Mior Ahmad Zaudi Mior Ali, Datuk Abdullah Sani dan Roslinda Buang untuk menganjurkan satu perjumpaan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pada Ahad ini.

Pertemuan itu juga dikatakan untuk menamatkan kemelut kumpulan veteran itu dengan persatuan berkenaan selepas kelima-lima mereka berjaya mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang Mesyuarat Agung Tahunan Seniman yang ke 15 diadakan pada 1 Jun lalu.

Abu Bakar Omar
 
Dalam Zed berkata, pihaknya juga telah menghantar surat kepada Finas agar tidak membenarkan perjumpaan tersebut atas alasan ia adalah permohonan yang dilakukan secara individu dan bukan atas kapasiti persatuan.

"Pagi tadi (Khamis) saya sudah hantar surat kepada Finas agar tidak membenarkan sebarang perjumpaan yang menggunakan nama Seniman.

"Mereka sepatutnya menggunakan saluran yang betul untuk menyelesaikan masalah ini kerana bagi saya ia adalah masalah dalaman persatuan dan mereka perlu bertemu dengan persatuan secara peribadi, bukannya mengadakan perjumpaan beramai-ramai serta melakukan sidang media," katanya.

Tambah Zed, sebelum ini pihaknya sudah beberapa kali cuba memanggil kumpulan veteran tersebut bagi menyelesaikan kemelut ini namun tidak dilayan.

"Saya sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang lima artis veteran ini inginkan. Jika mereka mahu membuat pemilihan semula dan calonkan diri sendiri untuk memegang jawatan saya tidak ada masalah tapi mereka pula tidak mahu. Saya tidak faham apa yang cuba diperjuangkan," katanya.

Zed berkata, dia percaya kumpulan veteran tersebut mempunyai motif tertentu dan telah menjadikan Seniman sebagai misi mereka.

Katanya lagi, jika perkara ini berterusan, dia tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis demi melindungi kepentingan persatuan tersebut.


Rampasan kuasa di Mesir, apa sikap Malaysia?

Posted: 04 Jul 2013 04:29 PM PDT


Oleh Dr Azman Ibrahim 

Parti Refah pimpinan Dr Necmettin Erbakan menang besar dalam pilihanraya Turki pada tahun 1996. Dr Necmettin dilantik sebagai Perdana Menteri tetapi hanya bertahan selama 9 bulan kerana digulingkan oleh tentera yang menjadi pelindung setia kepada sistem sekular Turki pada tahun 1997.

Pada tahun 1998, Parti Refah telah diharamkan dengan pelbagai pertuduhan manakala Dr Necmettin tidak dibenarkan aktif dalam arena politik Turki. Beliau dianggap pesalah yang harus dikenakan hukuman penjara 2 tahun tetapi dibebaskan serta mendapat pengampunan selepas itu dari Presiden Abdullah Gul dari Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).

Sejarah seakan berulang kembali, Dr Mohammed Mursi dari Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), Mesir dilantik sebagai Presiden pilihan rakyat pada tarikh 30 Jun 2012 setelah memenangi Pilihanraya Presiden dengan mendapat 51.7 peratus undi. Dr Mursi merupakan Presiden Mesir pertama yang dipilih melalui pilihanraya secara demokratik, selain merupakan orang awam pertama yang memegang jawatan tersebut.

Menjelang dinihari pagi 4 Julai 2013, kira-kira setahun empat hari mentadbir Mesir dengan, Ketua Majlis Angkatan Bersenjata Mesir, Jeneral Abdul Fatah As-Sisi dengan disokong Syeikh al-Azhar lantikan Hosni Mubarak, Ahmed al-Tayyeb, mengistiharkan rampasan kuasa.

Walaupun dinafikan oleh pihak tentera bahawa ia adalah rampasan kuasa, apa lagi istilah yang boleh digunakan apabila apabila Pasukan Pengawal Republik menduduki stesyen televisyen, menangkap ketua stesyen TV Misr25, mengarahkan pihak lapangan terbang menyekat perjalanan pemimpin Ikhwan, beribu orang tentera berkonvoi di jalan-jalan utama Kaherah, kereta kebal memenuhi jalan-jalan, maka apa lagi istilah yang sesuai digunakan kalau ini bukan rampasan kuasa.

Berita yang diterima melaporkan Morsi dikenakan tahanan rumah. Kita meyakini susulannya dari rampasan kuasa ini, Mursi, pimpinan FJP dan Ikwan Muslimun akan dihadapkan dengan pelbagai pertuduhan yang direka-reka selepas ini sebagai alasan untuk proses penangkapan secara besar-besaran.

Di kalangan pemimpin Negara ummat Islam, Perdana Menteri Turki kelihatan paling tegas dan bermaruah di dalam isu ini apabila secara jelas mengistiharkan bahawa Turki tidak mengiktiraf rampasan kuasa yang tak bertamaddun ini dan akan terus berurusan dengan kerajaan yang sah pilihan rakyat pimpinan Presiden Mursi.

Kita tentunya memandang sinis dengan kenyataan Presiden Obama yang mengesa supaya dipulangkan semula kuasa pemerintahan Mesir kepada kerajaan pilihan rakyat. Manakan tidak, ketika seluruh dunia memaklumi bagaimana dokongan kukuh Obama kepada Yahudi Israel dan segala polisi zalim mereka terhadap Palestin. Sedangkan polisi Mursi adalah membela Palestin dan anti Israel. Tiba-tiba seolah-olah Obama sebagai bapak pelindung Israel ingin menunjuk baik. Sungguh inilah telunjuk lurus kelinking berkait!

Bagaimana sikap kita Malaysia? Perdana Menteri jangan berlagak bacul tanpa apa-apa penegasan bermakna dalam isu ini. Yang pertama atas nama sesama negara Ummat Islam. Yang kedua atas nama demokrasi. Yang ketiga atas nama hak asasi manusia. Tak kan kita nak melihat sahaja mereka yang tidak bersalah sedang berhadapan dengan tindakan rakus dan agresif polis serta tentera Mesir.

Parlimen sedang bersidang. Ayuh bentangkan satu usul mengutuk rampasan kuasa ini. Kemudian isytiharkan bahawa Malaysia tidak mengiktiraf sebarang tindakan rampasan kuasa yang tak bertamadun. Kalau perlu tarik balik Duta Malaysia di Mesir sebagai menandakan seriusnya bantahan kita sehingga mandat rakyat dikembalikan. Beranikah kita?

(*) Penulias ialah AJK Perhubungan PAS Terengganu.

Kalau Inginkan Durian Runtuh, Menangkanlah PAS Di Kuala Besut!!

Posted: 04 Jul 2013 04:26 PM PDT



Oleh Shahbudin Husin

Bahang pilihanraya kecil DUN Kuala Besut sudah mula dirasai oleh semua pihak. Walaupun SPR hanya akan bermesyuarat Jumaat ini bagi menentukan tarikh penamaan calon dan hari mengundinya tetapi semua pihak, baik UMNO mahupun PAS iaitu parti yang bakal bertanding di kerusi itu seperti sudah melonjak semangat masing-masing untuk memenangi kawasan itu

Bahkan jika pilihanraya itu diadakan pada bulan puasa pun, semangat mereka tetap sama.

Di pihak PR, pada peringkat awalnya seperti nampak kecelaruan dengan PAS dan PKR masing-masing mahu meletakkan calonnya manakala DAP pula menyarankan agar dipulaukan pilihanraya walaupun jelas dalam pilihanraya umum lalu kawasan itu ditandingi oleh PAS. Sama ada semua itu suatu strategi atau percubaan melemahkan semangat musuh tetapi kini nampaknya semua sudah sepakat bahawa PAS yang sepatutnya meletakkan calonnya di Kuala Besut itu.

UMNO pula sudah mengumumkan Muhyiddin Yassin sebagai Pengarah Pilihanrayanya dengan dibantu oleh Idris Jusoh selaku timbalannya. Beberapa nama bakal calon juga sudah mula kedengaran. Meskipun perlantikan Idris mungkin disebabkan kedudukannya sebagai Ketua UMNO Besut tetapi cakap-cakap sudah mula kedengaran bahawa UMNO telah mengenepikan Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu dari sebarang peranan dalam pilihanraya kecil ini.

Dengan tiadanya peranan khusus untuk Ahmad Said dalam pilihanraya ini, beliau mungkin hanya menjadi pengiring kepada mana-mana pemimpin pusat yang turun berkempen ke kawasan itu nanti, suatu peranan yang jauh lebih kecil kerana biasanya seorang Menteri Besar akan dijadikan Timbalan Pengarah dalam pilihanraya kecil.

Bagi kedua-kedua pihak, UMNO dan Pas, mereka akan berjuang habis-habisan untuk memenangi pilihanraya kecil ini. Dengan BN menguasai DUN Terengganu pada nisbah 17-15 kerusi sebelum ini, mereka mahu memenangi semula kerusi itu bagi mengekalkan kelebihan dua kerusi yang dimenanginya. Bagi PAS pula, mereka mahu memenanginya kerana ia akan menjadikan kedukan kerusi DUN Terengganu menjadi 16-16, suatu senario yang boleh memberikan pelbagai implikasi dari segi tafsiran undang-undang, Perlembagaan dan kuasa Sultan.

Jika kedudukan seri berlarutan dan menimbulkan suasana yang tidak aman, DUN Terengganu kemungkinan akan dibubarkan bagi membolehkan pilihanraya peringkat negeri diadakan dan seterusnya untuk memilih siapakah pemenang yang sebenarnya. Dalam hal ini, jika dilihat dari sudut momentum, UMNO tentunya akan kecut perut manakala PAS melihatnya sebagai peluang terbaik untuk menguasai negeri itu.

Walaupun BN menang di Kuala Besut dalam PRU 13 lalu dengN majoriti 2,434 undi melalui calonnya, Allahyarham Dr Abdul Rahman Mokhtar tetapi orang-orang Kuala Besut berkata, kemenangan BN ketika itu banyak disumbangkan oleh peribadinya yang disukai ramai. Lagi pula lawannya adalah dari muslimah Pas, Puan Nafisah.

PAS bukan saja bersemengat untuk memenangi DUN Kuala Besut bagi menggoncang kedudukan kerajaan Negeri Terengganu tetapi juga berdasarkan sejarah bahawa parti itu pernah memenangi kawasan itu beberapa kali sebelum ini. Kali terakhir PAS menang di situ ialah pada pilihanraya 1999, iaitu ketika PAS menguasai negeri Terenganu.

Ini menunjukkan Kuala Besut bukanlah kebal buat UMNO dan BN. Jika PAS meletakkan calon yang betul, diterima ramai dan diikuti dengan cara serta strategi kempen yang betul juga, memenangi Kuala Besut bukanlah mustahil. Tambahan pula, belum apa-apa, PAS sudah pun mendapat bonus kempen apabila Ahmad Said disisihkan oleh UMNO sendiri dalam pilihanraya ini.

Penyisihan Ahmad Said ini tentunya boleh dijadikan modal yang baik dalam kempen. Pilihanraya kecil ini antara lainnya ialah untuk mempertahan kedudukan kerajaan negeri dan Ahmad Said daripada terus tidak stabil, tetapi oleh kerana Menteri Besar sendiri diketepikan, ia tentulah juga membawa maksud bahawa UMNO tidak meyakini sepenuhnya kepimpinan dan kewibawaan beliau untuk terus mentadbir negeri itu.

Dalam hal ini, bukan saja pengundi atas pagar boleh diracuni keyakinannya dalam isu penyisihan Ahmad Said, bahkan iman politik orang UMNO juga boleh tergoncang dibuatnya, terutamanya penyokong kuat Menteri Besar.

Selain itu, dengan kedudukan yang kritikal antara UMNO dan PAS di Terengganu sekarang dan masing-masing ingin memenangi kawasan itu, sudah tentulah pelbagai jenis habuan, pembangunan dan durian runtuh akan dinikmati oleh pengundi Kuala Besut sepanjang kempen pilihanraya berlangsung. Jika pilihanraya diadakan pada bulan puasa, pengundi Kuala Besut pastinya akan menikmati kemeriahan yang berpanjangan di bulan puasa ini. Jika orang di tempat mencari-cari Lailatul Qadar dan memohon doa dimurahkan rezeki, pengundi Kuala Besut mungkin tidak menang tangan menadah rezeki yang melimpah.

Pada Hari Raya ini pula, pengundi Kuala Besut mungkin menjadi rakyat Malaysia paling mewah dan bergaya berbanding di tempat-tempat lain.

Tidak diragukan lagi, terutamanya UMNO dan BN, mereka akan berusaha memenangi DUN Kuala Besut ini dengan apa cara sekali pun. Peruntukan pembangunan, habuan, jamuan berbuka puasa, morey, sahur besar-besaran dan pelbagai durian runtuh lainnya akan diturunkan silih berganti. Muhyiddin dan menteri-menteri kabinet juga akan sentiasa kelihatan di Kuala Besut membawa pelbagai peruntukan dari kementerian masing-masing.

Pendek kata, orang Kuala Besut akan menjadi anak emas kepada kerajaan wassatiyah Najib.

Itu baru semasa kempen di Kual Besut. Andainya jika PAS menang di Kuala Besut dan kedudukan jumlah kerusi DUN menjadi seri 16-16, sikap murah hati kerajaan Pusat akan lebih berganda lagi. Jika pilihanraya peringkat negeri terpaksa diadakan untuk menentukan siapakah pemenang yang sebenar, sekali lagi kerajaan Pusat akan berbelanja habis-habisan untuk memastikan mereka kekal berkuasa. Dengan kedudukan seri dan sama-sama kuat itu, tentulah UMNO yang menguasai kerajaan Pusat akan berbelanja semahunya dan akhirnya seluruh rakyat Terengganu menikmati untungnya.

Andainya jika kemenangan PAS di Kuala tidak mengubah atau menggugat kedudukan kerajaan negeri berikutan UMNO mempunyai kelebihan undi Speaker dan Menteri Besar baru tidak perlu dilantik berikutan Menteri Besar sudah mengangkat sumpah di hadapan Sultan, untuk tempoh lima tahun menjelang pilihanraya akan datang, rakyat Terengganu juga akan dijaga serta dibelai sebaik-baiknya untuk memastikan kuasa dalam genggaman tidak terlepas. Sekali lagi, dalam tempoh lima tahun rakyat Terengganu akan mewah dengan rezeki, habuan dan ganjaran. Durian runtuh yang berganda-ganda akan dinikmati pula.

Seluruh pengundi dan kawasan pilihanraya di Terengganu akan dijaga bagai si tua kaya yang baru dapat menikah dengan perempuan muda. Malah Ahmad Said yang selama ini kerap kali bersikap gedebe pun mungkin berubah menjadi seorang yang lemah lembut dan berbudi bahasa.

Ini bermakna pilihanraya kecil Kuala Besut yang pertama diadakan selepas PRU 13 memberi banyak kelebihan jika pengundi kawasan itu tahu menggunakan kuasa mengundi yang ada di tangan masing-masing dengan bijaksana. Fikirkan untuk kebaikan Kuala Besut dan juga untuk seluruh Terengganu.

‘Haruan’ didakwa baham anak kandung

Posted: 04 Jul 2013 04:23 PM PDT


'Haruan' didakwa baham anak kandung
Tertuduh (kanan) keluar dari mahkamah selepas selesai dituduh, semalam.
 
KOTA BHARU - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol anak kandungnya, tahun lalu.

Lelaki berusia 43 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azahari.

Dia didakwa melakukan persetubuhan dengan anak keempat dari enam beradik itu di alamat Kampung Aman, Kandis, Bachok, antara jam 10 dan 9 pagi, November 2012.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh juga dikenakan tidak kurang 10 kali sebatan.

Ketika tuduhan dibacakan, tertuduh yang berada dalam kadang pesalah, beberapa kali menggelengkan kepalanya.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin kemudian menetapkan tarikh lain untuk sebutan semula kes berkenaan dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selepas mengambil kira saksi-saksi kes yang terdiri daripada ahli keluarga. Kes tersebut bersambung pada 1 Ogos depan.

Akta Kebankrapan 1967 dalam proses pinda

Posted: 04 Jul 2013 04:20 PM PDT

SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Jabatan Insolvensi Malaysia kini dalam proses meminda Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) bagi memudahkan individu yang diisytihar bankrap mendapat pelepasan kebankrapan.
  
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata dengan pindaan itu, beberapa peruntukan alternatif akan diperkenal kepada pemuitang untuk mendapatkan semula hutang berasaskan kepada kerangka perundangan insolvensi seperti perkiraan sukarela individu dan skim pembayaran semula hutang.
  
Beliau berkata draf rang undang-undang kebankrapan itu telah dibawa kepada perhatian pihak Jabatan Peguam Negara.
  
"Bagi peruntukan pelepasan, antara peruntukan yang dicadangkan adalah pelepasan secara automatik selepas kes ditadbir dalam suatu tempoh masa tertentu," katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Nancy berkata demikian ketika menjawab soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) berhubung cadangan kerajaan untuk meminda undang-undang bagi memudahkan seseorang yang muflis keluar daripada kemuflisan.

Beliau berkata berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi, seramai 246,357 individu telah diisytihar bankrap secara automatik dan disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen serta dilarang ke luar negara.
  
Subseksyen 38(1)(c) Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) melarang individu yang diisytihar bankrap untuk keluar negara kecuali dibenarkan oleh Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia, katanya.
  
Nancy berkata berdasarkan akta sedia ada, terdapat tiga cara bagi seseorang muflis untuk keluar daripada status bankrap iaitu pelepasan melalui perintah mahkamah, sijil pelepasan oleh Ketua Pengarah dan pembatalan melalui perintah mahkamah.
  
"Bagi pelepasan bankrap, pemohon boleh memfailkan permohonan di mahkamah bila-bila masa selepas dijatuhkan perintah penerimaan dan perintah penghukuman. Satu tarikh akan ditetapkan untuk mendengar dan memutuskan permohonan itu.
  
"Bagi pelepasan melalui sijil pelepasan, ia merupakan kuasa budi bicara Ketua Pengarah Insolvensi. Bagi melayakkan dilepaskan, kes kebankrapan mestilah ditadbir melebihi lima tahun selain kriteria lain. Namun ia juga tertakluk kepada bantahan pihak pemiutang," katanya.
  
Beliau berkata bagi pembatalan bankrap melalui perintah mahkamah pula, permohonan boleh dibuat sama ada apabila tuntutan telah dibayar sepenuhnya atau apabila fakta kes menunjukkan bahawa bankrap tidak sepatutnya dijatuhkan perintah penerimaan dan perintah penghukuman.  - Bernama

Mahkamah putuskan 17 Julai kes detektif Lahad Datu

Posted: 04 Jul 2013 04:16 PM PDT

SINAR HARIAN
KOTA KINABALU - Mahkamah Tinggi menetapkan 17 Julai sebagai tarikh untuk memutuskan sama ada pihak pendakwa mempunyai kes prima facie terhadap anggota Cawangan Khas Lahad Datu Detektif Koperal Hassan Ali Basari, yang dituduh menyembunyikan maklumat tentang kegiatan pengganas.
  
Hakim Ravinthran Paramaguru juga akan membuat keputusan sama ada tertuduh perlu membela diri.
  
Pihak pendakwa dalam perbicaraan kes Hassan Ali menutup kesnya hari inidengan mengemukakan hujah ia mempunyai cukup bukti untuk mempercayai bahawa anggota polis itu menyembunyikan maklumat tentang kegiatan pengganas.
  
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan mengemukakan tiga perbualan telefon yang dipintas dan bil yang menunjukkan tertuduh telah berhubung dengan pengganas Filipina yang melakukan pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari.
  
Beliau berkata saksi terlindung kedua pihak pendakwa, yang memintas tiga perbualan telefon itu, memberi keterangan bahawa tertuduh dihubungi seorang lelaki Sabah untuk memberi keterangan tentang kejadian berkaitan pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan pengganas Filipina di kampung Tandou pada 1 Mac, yang meragut nyawa dua komando VAT 69.

Kata Nordin, saksi berkenaan dapat mengecam suara Hassan Ali berdasarkan beberapa perbualan telefon yang beliau pintas, di mana tertuduh memperkenalkan dirinya.
  
Satu lagi perbualan telefon yang dipintas antara Datu Agbimudin Kiram, yang mengetuai pencerobohan itu, dan anak saudaranya Datu Amir Bahar, menunjukkan Datu Amir Bahar menghubungi tertuduh, yang memberi maklumat tentang pergerakan pasukan keselamatan Malaysia.
  
Nordin berkata berdasarkan komunikasi yang dipintas itu, tertuduh menggunakan dua nombor untuk menghubungi pengganas.
  
Katanya saksi Abdul Rahman Othman, seorang eksekutif di Celcom Axiata Bhd, memberi keterangan bahawa satu daripada nombor telefon itu - 0195800155 didaftar atas nama tertuduh, manakala nombor 0138888359 didaftar atas nama Mohd Esham Hassan, yang dikenal pasti pegawai penyiasat DSP Ang Seow Aun sebagai anak tertuduh.
  
Nordin berkata berdasarkan keterangan Abdul Rahman, bil telefon menunjukkan berlaku komunikasi antara dua nombor itu dan nombor 0142847213, yang menurut saksi SAC Zulkifli Abd Aziz, bekas timbalan ketua Cawangan Khas Sabah, adalah kepunyaan Datu Agbimudin, yang beliau peroleh daripada saudara lelaki Datu Agbimudin dikenali sebagai Datu Ismail, yang Zulkifli temui di sini pada tahun lepas.

Pihak pendakwa juga mengemukakan hujah bahawa pada Januari, tertuduh diberi amaran oleh saksi terlindung pertama bahawa 1,500 anggota Pasukan Diraja Sulu akan berkumpul di Pulau Simunul, di selatan Filipina, untuk memasuki Sabah.
  
Nordin berkata saksi itu memberi keterangan bahawa beliau terdengar maklumat itu daripada perbualan 20 lelaki berpakaian berwarna oren berbelang dengan perkataan 'Royal Sulu Force' tertera pada pakaian mereka, di Pulau Bongao, selatan Filipina.
  
Pihak pendakwa juga berkata tertuduh tidak melaporkan maklumat tentang kegiatan keganasan pada majlis taklimat tentang pencerobohan itu di pejabat Cawangan Khas Lahad Datu sedangkan dia mempunyai peluang untuk berbuat demikian.
  
Hassan Ali menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan itu antara Januari dan 3 Mac di Pejabat Cawangan Khas Lahad Datu.
  
Tertuduh, yang diwakili peguam Kamarudin Mohamad Chinki dan Ram Singh, boleh dikenakan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
  
Pihak pendakwa memanggil 18 saksi dalam perbicaraan dari 24 hingga 28 Jun itu. - Bernama

Tiada ulasan: