Rabu, 3 Julai 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Kuota Jualan Bumiputera Datum Jelatek Lebih Tinggi Daripada Projek Kerajaan Persekutuan

Posted: 03 Jul 2013 04:27 AM PDT


MB DATUM JELATEK pc blue 01

SHAH ALAM I : Kuota jualan kepada pembeli bumiputera di projek kondominium bercampur Datum Jelatek oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) lebih tinggi daripada kuota bumiputera yang ditawarkan oleh projek yang dikendalikan Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan bahawa Datum Jelatek tidak memberi keutamaan kepada rakyat asing malah PKNS sudah menetapkan sebanyak 50 peratus daripada unit akan dijual kepada Bumiputera.

"Walaupun projek Datum Jelatek bersebelahan dengan Kuala Lumpur tetapi terdapat projek bersebelahan dengan Datum Jelatek yang dikendalikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kerajaan Persekutuan.

"Tetapi tawaran 30 peratus sahaja diberikan kepada Bumiputera. Namun, Kerajaan Negeri meminta PKNS menetapkan lebih 50 peratus ditawarkan kepada Bumiputera yang terdiri daripada 337 unit.

"Setakat ini, sebanyak 1,029 permohonan Bumiputera diterima untuk dinilai," katanya yang menjawab pertanyaan mulut daripada Adun Sri Muda Shuhaimi Shafei (PKR) di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Abdul Khalid menyangkal dakwaan bahawa komuniti Melayu di kawasan Jelatek, Kuala Lumpur terpinggir akibat projek pembangunan bercampur itu.

Sebaliknya penduduk Melayu yang menjual unit pangsapuri kos rendah mereka kepada PKNS untuk memberi laluan kepada Datum Jelatek menerima keuntungan berlipat kali ganda apabila dibayar RM 300,000.

Manakala harga asal pangsapuri kos rendah mereka hanya sekitar RM 20,000.

Selain itu Abdul Khalid juga berkata Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan permohonan 14 pemilik asal rumah kos rendah itu yang tidak bersetuju dengan tawaran harga daripada PKNS.

Pembayaran kepada peneroka asal sudah dilakukan, namun terdapat 14 pemilik tidak bersetuju walaupun sudah diluluskan oleh mahkamah.

"Terdapat 14 pemilik yang asalnya tidak bersetuju tapi saya rasa mereka sudah tentu akan membuat permohonan supaya harga yang ditawarkan kepada mereka sama dengan mereka-mereka (pemilik) yang sudah dapat," katanya

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga mengarahkan PKNS untuk memberikan penjelasan kepada penduduk berhubung projek itu secara berterusan.

Hasil 2008-2012 Meningkat RM1.51 ke RM1.95 Bilion Setahun, Hasil Bukan Cukai Tunjuk Potensi

Posted: 03 Jul 2013 04:23 AM PDT


MB DUN 07

SHAH ALAMI: Kerajaan Negeri berjaya meningkatkan hasil yang dipungut setiap tahun daripada RM 1.516 bilion pada 2008 kepada RM 1.952 bilion pada 2012.

Pertambahan itu juga menunjukkan sumber dari hasil bukan cukai mencatatkan peningkatan paling ketara dari RM 678 juta setahun pada 2008 melonjak kepada RM 1.146 bilion setahun pada 2012.

Ini sekaligus menjadi suatu sumber berpontensi sebagai penjana pendapatan Kerajaan Negeri pada masa depan.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, hasil cukai turut meningkat dari RM 495 juta setahun pada 2008 kepada RM 553 juta setahun pada 2012.

Manakala terimaan bukan hasil pula RM 343 juta pada 2008 jatuh kepada RM 255 juta pada 2012.

"Hasil bukan cukai adalah hasil yang berpontensi jana pendapatan negeri iaitu dari hasil premium tanah dan juga royalti oleh mereka yang menggunakan sumber negeri," ujar Abdul Khalid ketika berucap di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini

Abdul Khalid menambah lagi, Kerajaan Negeri akan mengemukakan cadangan kepada Majlis Kewangan Negara agar cukai pendapatan yang dikutip Kerajaan Persekutuan di Selangor dikembalikan melalui penarikan cukai.

Selangor Tidak Naik Cukai Pintu Sejak 2008, Beri Diskaun 25 Peratus Pangsapuri Kos Rendah

Posted: 03 Jul 2013 04:21 AM PDT


pangsapuri dengkil

SHAH ALAM, : Pemilik pangsapuri kos rendah di Selangor sudah mula menikmati diskaun cukai pintu sebanyak 25 peratus yang mula dilaksanakan pada Penggal Kedua Cukai Taksiran Tahun 2012 (Julai-Disember 2012).

Menurut Exco Kerajaan Tempatan Selangor, Datuk Teng Chan Khim, Kerajaan Negeri juga mengambil keputusan untuk tidak menaikan cukai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam tempoh lima tahun sejak 2008.

Selain itu, terdapat beberapa PBT di Selangor yang mengambil langkah menurunkan kadar cukai taksiran sebanyak dua peratus bagi kediaman strata seperti apartment dan kondominium.

"Penurunan dua peratus ini dibuat berikutan kemampuan kewangan yang kukuh seperti yang dilakukan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang mempunyai kewangan kukuh," kata beliau ketika menjawab soalan Adun Batang Kali Nadzari Ahmad Dahlan (BN) di dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Chan Khim turut menjelaskan, nilai diskaun yang diberikan 11 PBT seluruh Selangor berjumlah RM 6,893,124.82.

Jumlah diskaun tertinggi dicatatkan di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang mencatatkan diskaun berjumlah RM1,599,436 melibatkan 31,672 unit pangsapuri kos rendah.

Ini diikuti Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) sebanyak RM1,209,190.20 melibatkan 38,387 unit pangsapuri kos rendah.

Surat terbuka untuk bakal calon Kuala Besut

Posted: 03 Jul 2013 04:17 AM PDT

Dr Azman Ibrahim,


Sahabatku Ustaz Nik Zulhaiza yang dihormati,

Pilihanraya Kecil Kuala Besut adalah suatu catatan sejarah penting bagi Negeri Terengganu khususnya dan politik Malaysia amnya. Di saat margin perbezaan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu terlalu hampir, takdir Allah mengatasi segalanya. Semoga Allah mengampuni arwah yang telah pergi dan kita yang tinggal perlu terus menggalas tanggungjawab sebagai khalifah di bumi Allah.

Sahabatku,

Melihat laporan media, nama saudara antara yang tersenarai sebagai bakal calon mewakili BN dalam PRK nanti, tentunya saya sebagai sahabat yang paling awal akan mengutuskan ucapan tahniah. Tentunya kenangan kita bersama di Sekolah Menengah Agama Maarif, Kampung Raja sekitar tahun 1988-1989 dulu masih segar diingatan. Tinggal bersama di Asrama Yayasan Terengganu, bersama bermandi peluh mewakili sekolah dalam pasukan bolasepak, bersama mewakili sekolah dalam 'musabaqah', saudara sebagai qari, saya sebagai pemidato. Kebolehan saudara dalam mengalunkan ayat-ayat suci al Quran sangat saya hormati.

Walaupun kita sekarang berbeza lapangan, saudara sebagai Qadhi, saya sebagai pengamal perubatan tetapi saya yakin, kita sama-sama bekerja untuk meninggikan syariat Allah yang tertulis di dalam al Quran tersebut. Al Quran ini jugalah yang diletakkan oleh parti dokongan saya, PAS! sebagai sumber rujukan tertinggi.

Sahabatku Nik Zulhaiza,

Sejujurnya, saya tidak memaklumi sekiranya saudara ada memegang apa-apa posisi jawatan di dalam Umno walaupun saudara tentunya memaklumi bahawa saya adalah salah seorang pimpinan PAS Terengganu yang pernah bertanding mewakili parti di dalam Pilihanraya Umum. Perbezaan pandangan politik ini diharap tidak menghalang kita untuk kekal saling menghormati dan menghargai.

Sahabatku,

Sebagai Qadhi, sahabat tentu lebih memaklumi bahawa menjadi calon pilihanraya untuk memikul amanah kepimpinan adalah suatu 'tragedi' bagi mereka yang memaklumi beratnya persoalan yang akan ditanggung di hadapan Allah di 'yaumul hisab' nanti. Kerana itulah, ucapan tahniah saya sekiranya saudara dipilih adalah bersyarat supaya saudara memikirkan sehalusnya beberapa perkara berikut:

Yang pertama, saya memberikan pesanan kepada saudara supaya bertaqwa kepada Allah kerana ketaqwaan kepadanya akan memberikan jalan keluar bagi setiap masalah yang kita hadapi.

Yang kedua, saya mengingatkan diri saya dan saudara bahawa dengan amanah kepimpinan yang dipegang, kita wajib untuk kita menyebarkan kebaikan dengan semampunya dan mencegah kemungkaran dengan sehabis daya. Apatah lagi apabila kita adalah sebahagian dari kerajaan yang memerintah.

Yang ketiga, sekiranya kita tidak mampu melakukan kebaikan, hendaklah kita memberikan pertunjuk dan membantu orang lain yang ingin melakukan kebaikan. Jangan sekali-kali dengan kuasa yang kita ada, kita menjadi penghalang kepada orang lain yang ingin melakukan kebaikan.

Yang keempat, keharmonian masyarakat perlu dipelihara dan jangan sekali-kali sebagai pemimpin kita menjadi pencetus suasana tidak sihat dalam masyarakat. Hendaklah berusaha keras untuk menolak apa sahaja yang tidak membawa kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain.

Yang kelima, memikul amanah kepimpinan bermakna memikul tugas khilafah di atas muka bumi. Khalifah bermakna penganti. Menganti dengan makna kita perlu mentadbir muka bumi ini sebagaimana yang dikehendaki oleh tuan punya bumi ini, Allah!

Yang keenam, berhati-hatilah dengan kenikmatan duniawi yang selalu akan datang mengiringi 'anugerah' jawatan dan kepimpinan. Akibat buruknya telah banyak merosakkan ramai manusia dan keperibadian insan.

Akhir sekali, saya berdoa semoga Allah melimpahkan rahmat kepada saudara dan keluarga. Ingatlah misi utama sebagai pemimpin adalah untuk menjaga kemurnian agama dan memimpin dunia dengannya. Islam adalah agama yang memiliki batasan-batasannya, ketentuan-ketentuan. Sesiapa yang dapat melaksanakan dengan sempurna maka sempurnalah imannya dan sesiapa yang belum dapat melaksanakan dengan baik, belum sempurnalah imannya.

Penulis AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu.

Mad Said didesak jelaskan skandal balak, wang panas

Posted: 03 Jul 2013 04:15 AM PDT

Khairul Azlam Mohamad,


KUALA TERENGGANU: "Saya tidak boleh berdiam diri dalam skandal balak 12,000 ekar yang berlaku di negeri (Terengganu) ini. Tanah ini adalah tanah rakyat, wang RM30 juta juga wang rakyat.

"Mereka yang rasuah dan menyeleweng wang rakyat hendaklah dibawa ke pengadilan mahkamah.

"Rakyat mesti terus mendesak mendapat penerangan dan penjelasan yang 'masuk akal' dan bukannya penerangan samar-samar untuk mencari jalan mereka yang bersalah terlepas dari tindakan mahkamah," kata Penaung Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Sultan Ismail kepada Harakahdaily.

Beliau turut mengulangi desakan agar Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said segera menjawab isu skandal balak serta wang 'panas' tersebut.

Katanya, skandal pemberian 12,000 ekar kawasan balak kepada 12 buah kilang papan di Terengganu belum lagi mendapat jawapan munasabah daripada Ahmad.

"Saya mahukan MB Terengganu berhenti main sandiwara murahan dengan memberi jawapan yang samar-samar dan tidak bertanggungjawab dalam kes skandal balak ini," ujarnya.

UPNM: Kenapa panglima tidak lagi jadi panglima?

Posted: 03 Jul 2013 04:10 AM PDT

Anis Nazri,


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar meminta Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan perhatian serius terhadap jawatan Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang baru yang dikatakan diberi kepada bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Bercakap kepada media di parlimen, Mahfuz berkata persoalan berkaitan pelantikan itu perlu dijelaskan memandangkan beberapa persoalan perlu dijawab berhubung Zulkifli itu sendiri.

"Selain berasakan tidak wajar bagi Naib Canselor sedia ada dikeluarkan, persoalan berkaitan mengapa Zulkifli yang mempunyai rekod tidak cemerlang ketika menjadi naib canselor sebelum ini perlu dimaklumkan kepada rakyat," tegas beliau di lobi parlimen, semalam.

Tambah beliau, sebelum ini pihaknya difahamkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menandatangani satu surat untuk mengekalkan naib canselor yang ada sekarang, malah perkara sama dikatakan turut dilakukan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

Beliau turut memaklumkan sehingga hari ini belum ada satu kenyataan rasmi tentang kedudukan Zulkifli, sedangkan jawatan panglima yang dikosongkan telah diisikan oleh orang lain.

Selain Muhyiddin, Mahfuz turut meminta Kementerian Pertahanan untuk menjelaskan kepada awam kenapa panglima itu tidak lagi menjadi panglima dan dikatakan akan menjadi naib canselor, lebih-lebih lagi dengan rekod beliau yang gagal dalam usaha menaikkan ranking UPNM.

"Saya ingin penjelasan kementerian pertahanan, apakah beliau ini mempunyai masalah yang besar sehingga tidak lagi menjadi panglima, atau mempunyai kaitan dengan teguran Sultan Johor sebelum ini berkaitan pembelian pesawat tentera yang dipertikaikan," kata Mahfuz lagi.

TG Nik Aziz wajar diberi penghargaan - Mujahid

Posted: 03 Jul 2013 04:07 AM PDT

Hazayani Zakaria,


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) mencadangkan kepada kerajaan agar memberi penghargaan kepada bekas Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dr Mujahid sewaktu membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agung di Dewan Rakyat semalam berkata, Tuan Guru Nik Aziz wajar menerima penghargaan tersebut atas kejayaan beliau mentadbir negeri lebih 20 tahun tanpa rasuah.

"Beliau telah menyumbang kepada satu pengertian kepimpinan yang bermoral tinggi, yang merendah diri dalam kehidupan seharian dan kepentingan yang menunjukkan 'good governance'.

"Apalah good governance itu tanpa seorang pemimpin bebas rasuah dan dalam saat kita membicarakan tentang negara dan pemimpin yang rasuah tiba-tiba di celah-celah itu muncul seorang pemimpin yang memimpin negeri Kelantan mempunyai intergriti dan tidak ada rasuah," katanya ketika ditemui Harakahdaly semalam.

Dr Mujahid juga berkata, penghargaan tersebut boleh dirakamkan dala pelbagai bentuk contohnya mewujudkan Institut Pemikiran Nik Aziz dan sebagainya.

"Bagi saya ini satu rakaman sejarah, dalam pada kita menuntut good governance dan di hadapan kita ada contoh yang hidup yang menjadi kerajaan dan mendapat sokongan yang padu rakyat.

"Saya telah lontarkan di dewan sebagai satu hasrat untuk menjadikan Tuan Guru Nik Aziz sebagai ikon tidak kiralah sebuah institut pemikiran atau apa sahaja yang merakam jasa Menteri Besar Kelantan ini," katanya.

RCI: Pendatang cerai isteri, kahwini wanita Sabah untuk kukuhkan kewarganegaraan

Posted: 03 Jul 2013 04:03 AM PDT

Oleh Mohd Farhan Darwis

Pendatang dari Filipina hari ini membuat pengakuan kepada Inkuiri Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perkahwinannya dengan wanita Sabah bertujuan mengukuhkan 'kedudukan' kewarganegaraannya.

Pada sesi soal siasat inkuiri itu, Abdul Latif Jumani selaku saksi ke-161 berkta demikian di depan panel RCI di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, malah menceraikan isterinya sebelum ini, bagi mengahwini rakyat tempatan.

"Kamu cerai isteri Filipina kamu cuma satu helah untuk kahwin orang Sabah supaya kedudukan kamu sebagai orang Sabah lebih kuat?" soal pegawai penyiasat, Jamil Aripin sebelum Abdul Latif dijawab: "Ya."

Abdul Latif berasal dari Pulau Ubian Filipina sebelum memasuki Sabah melalui jalan laut pada 1972 ketika berusia 14 tahun bersama ibu dan dua adiknya.

Beliau menceraikan isterinya dari etnik Bajau Filipina walaupun sudah 10 tahun berkahwin atas alasan tidak mampu memberikannya zuriat, sebelum mengahwini wanita tempatan berketurunan Brunei pada 2004.

Mereka kemudian dikurniakan dua anak, masing-masing berusia lapan dan enam tahun.

Ditanya proses beliau mendapatkan kad pengenalan, Abdul Latif berkata beliau pergi ke sebuah rumah di Sembulan, dan bertemu dengan seorang lelaki dari etnik Bajau bagi mendapatkan dokumen warganegara tersebut.

Di sana, beliau kemudiannya diarahkan membawa empat keping gambar, mengisi borang dan cap jarinya diambil.

"Saya bayar RM5 ... selepas lima bulan dapat IC biru," katanya kepada panel RCI.

Beliau turut mendedahkan kad pengenalannya turut mempunyai maklumat sama seperti milik seorang warga Pakistan ketika ingin mendaftar kelahiran anak sulungnya.

"Bila mahu daftar anak JPN kata IC itu (warga) Pakistan punya ..."

Ditanya beliau ada merujuk kepada JPN bagi perkara itu, Abdul Latif berkata beliau telah menghadiri temuduga bagi memastikan pemilik sebenar kad pengenalan berkenaan dan JPN mengesahkan beliau merupakan pemilik asalnya.

"Ada temuduga pastikan siapa pemilik?" soal pegawai penyiasat, dan Abdul Latif kemudian menjawab,"Ya, dan saya disahkan pemilik sebenar," katanya, dan menambah daripada proses itu beliau hanya menggunakan resit sementara memandangkan kad pengenalannya hanya siap selepas lapan tahun.

Perkasa kesal kerajaan lebih hargai kumpulan ‘biadap’

Posted: 03 Jul 2013 03:50 AM PDT

Oleh Md Izwan
Ibrahim mengatakan kerajaan melayan kumpulan biadap pada 3 Julai, 2013. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim.Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali (gambar) kesal berikutan kerajaan tidak menghargai peranan mereka sebaik pilihan raya umum (PRU) berakhir.

Beliau berkata, kerajaan tidak mengambil berat isu yang dibangkitkan oleh kumpulan pendesak Melayu, sebaliknya sanggup mendengar permintaan kumpulan lain yang disifatkannya biadap dan menggugut kerajaan.

"Nasihat oleh Perkasa langsung tidak dihargai, kerajaan tak endah apa yang ditekankan oleh Perkasa.

"Kerjasama baik yang kami berikan tidak disambut baik, sebaliknya kumpulan lain yang lebih agresif, biadap dan guna kaedah menggugut mendapat layanan lebih istimewa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mengungkit pertemuan yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Dong Zong dan Hindraf, malah menjemput paderi ke Putrajaya.

"Mereka (kerajaan) sanggup dengar permintaan dan aduan daripada kumpulan tersebut tetapi tidak pula dengan Perkasa.

"Kerajaan jumpa Dong Zong, Hindraf dan paderi sebelum pilihan raya, tapi ada tak dengar Perkasa dapat layanan sama? Ada tak pemimpin Umno yang hadir ke mesyuarat Perkasa atau rasmikan majlis anjuran Perkasa?" katanya.

DAP gesa kerajaan hapus PTPTN, beri pendidikan percuma

Posted: 03 Jul 2013 03:45 AM PDT

 

Roketkini.com

KUALA LUMPUR, : Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari kecewa dengan statistik prestasi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan IPTS negara yang dianggap indah khabar daripada rupa sedangkan Malaysia berhasrat menjadi hab pendidikan serantau.

 Beliau juga kecewa dengan kemerosotan kedudukan Universiti Sains Malaysia (USM) daripada 307 pada 2007 kepada 326 pada 2012 berdasarkan QS World University Rankings sejak 2007 sedangkan Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan USM sebagai perintis program Accelerated Programme for Excellence (APEX) pada 2008.

Katanya, bukan itu saja, malah USM dan semua universiti di Malaysia gagal tersenarai dalam 400 universiti terbaik di dunia berdasarkan penarafan Times Higher Education (THE) sesi 2011/2012.

"Semakan QS University Rankings: Asia – 2012 pula menunjukkan hanya Universiti Malaya menduduki tangga ke-35 yang disenarai antara 50 universiti terbaik di Asia," katanya ketika membahaskan usul junjung kasih titah Yang Dipertuan Agong, di Parlimen, semalam.

Menurut Zairil, sampai bila Kementerian Pendidikan harus berselindung di sebalik alasan perbezaan antara sistem yang digunakan dalam negara dengan sistem penarafan dan kriteria penilaian universiti di peringkat antarabangsa sedangkan sistem pengajian tinggi dan lingkungan akademia yang sedia ada tidak mampu menghasilkan pensyarah dan mahasiswa bertaraf antarabangsa kerana mereka ditindas dan dikongkong.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar warga akademik (termasuk mahasiswa) diberi suara yang lebih dominan dalam pemilihan Naib Canselor sebagaimana yang diamalkan kebanyakan universiti terkemuka di dunia bukannya pelantikan berdasarkan kecenderungan politik.



 "Mengenai IPTS, saya menyambut baik tindakan Kementerian Pengajian Tinggi sebelum ini melaksanakan moratorium atau pembekuan terhadap permohonan baru IPTS awal tahun ini, namun khuatir dengan kualiti serta pemantauan IPTS sedia ada.

Berdasarkan statistik, sehingga 30 November 2012, terdapat 37 universiti swasta, 20 kolej universiti swasta, tujuh kampus cawangan universiti luar negara dan sebanyak 414 kolej swasta di negara ini dan Menteri bertanggungjawab ketika itu, Datuk Seri Khaled Nordin sendiri mengakui bahawa terdapat tanda-tanda menunjukkan bahawa jumlah graduan yang dikeluarkan IPT adalah melebihi kehendak pasaran.

"Lambakan siswazah kolej swasta ini berlaku kerana orientasi pengajian tinggi swasta berteraskan keuntungan dan mengabaikan kualiti. Hal ini terbukti apabila kementerian sendiri terpaksa menarik balik beberapa kelulusan kolej swasta yang meragukan," ujarnya.

Zairil juga kecewa kerana Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) digunakan untuk membolehkan pihak berkepentingan menjadikan pengajian tinggi sebagai suatu perniagaan mengaut keuntungan semata-mata kerana semua program di kolej swasta yang mendapat akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) terus layak mendapat PTPTN.

Jadi, PTPTN ini sebenarnya membantu kolej swasta dan bukan mahasiswa daripada mempertingkatkan persaingan dan kecemerlangan. Berdasarkan statistik Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan bilangan staf akademik IPTS pada 2010 yang berkelulusan PhD hanya 2,449 orang. Kebanyakan staf akademik IPTS terdiri daripada lulusan Sarjana (14,344 orang), Sarjana Muda (11,228), Diploma (1,271) dan kelulusan lain (3,700).

Beliau juga bimbang masa depan anak bangsa Malaysia yang terpaksa memikul bukan sahaja beban hutang PTPTN tetapi seumpama ditipu dengan janji manis, iaitu ijazah yang sebenarnya tidak laku.

 "Saya menggesa kerajaan mempertimbangkan cadangan menstrukturkan semula pembiayaan pengajian tinggi dengan menghapuskan skim PTPTN dan diganti dengan pendidikan percuma. Namun, tindakan ini mesti disusuli usaha membaiki prestasi dan kualiti IPT agar hanya mereka yang benar-benar layak berada dalam IPTA, manakala mereka yang berkemampuan boleh memilih untuk ke IPTS yang dijamin kualitinya.

"Sehubungan itu, antara langkah kritikal yang harus diambil kerajaan adalah mengembalikan kuasa autonomi sepenuhnya kepada IPTA dan IPTS serta memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), seperti yang pernah dinikmati universiti sehingga 1971," tambahnya.

 Sebelum mengakhiri ucapan, Zairil sempat memetik kata-kata Rendra dalam puisinya:

Seseorang berhak diberi ijazah dokter,

Dianggap sebagai orang terpelajar,

Tanpa diuji pengetahuannya akan keadilan.

Dan bila ada tirani merajalela,

Ia diam tidak bicara,

Kerjanya cuma menyuntik saja.

Bagaimana?

Apakah kita akan terus diam saja?

Mahasiswa-mahasiswa ilmu hukum dianggap sebagai bendera-bendera upacara,

Sementara hukum dikhianati berulang kali.-Roketkini.com -

Siasatan SPRM jangan sekadar redakan amarah rakyat

Posted: 02 Jul 2013 10:04 PM PDT

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pembelian dakwat jangan sekadar bertujuan meredakan kemarahan rakyat.
edy_nor_reduan_samm
Meskipun ia dianggap sebagai kejayaan desakan dari siri himpunan Black 505 , SPR diingatkan untuk tidak bersandiwara untuk meredakan kemarahan rakyat terhadap penipuan.

"Jangan pula kenyataan mahu siasat SPR dibuat semata-mata mahu meredakan kemarahan.

"Rakyat sudah muak dengan jawapan-jawapan tidak masuk akal apabila sesuatu isu didedahkan," kata Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan.

SPR dikecam kerana gagal mengendalikan pilihan raya umum ke-13 dengan dakwat kekal walaupun dijanjikan tidak tanggal dari jadi sehingga 7 hari.

Malah, kandungannya menggunakan bahan yang sama dengan pewarna makanan.

fuziahSementara itu, ahli parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menggesa siasatan berhubung pembelian dakwat wajar dibuat secara telus, bersungguh-sungguh dan terbuka.

"Rakyat perlu diberitahu jika wujud kepincangan dalam pembelian dakwat yang kita tahu menggunakan kos yang sangat besar," katanya.

"Siasatan harus menyeluruh sama ada wujud penyelewengan dalam proses pemberian tender membekal dakwat," kata Fuziah ketika dihubungi Keadilandaily.

Hentikan pelaksanaan AES serta-merta

Posted: 02 Jul 2013 10:02 PM PDT

Azuan Ab Rahman

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat mendesak Kementerian Pengangkutan menghentikan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) serta merta.

Ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, selepas Peguam Negara menangguhkan dakwaan pesalah AES, rakyat menganggap pelaksanaannya dihentikan kerana mencetuskan banyak masalah.

"Saya minta Datuk Seri Hishamuddin Hussien (pemangku Kementerian Pengangkutan) hentikan dan kaji semula pelaksanaan AES seluruh Malaysia," katanya dalam sidang media di Parlimen, semalam.

NO_TO_AES

Teresa sebelum itu diberi jawapan Kementeran Pengangkutan yang mengesahkan pelaksanaan kamera AES di 14 lokasi masih diteruskan.

Menurut jawapan tersebut, pemandu yang menerima saman AES masih perlu menjelaskan kompaun walaupun pendakwaan bagi kes AES ditangguh.

"Notis yang dikeluarkan pesalah trafik itu dibuat mengikut undang-undang," kenyataan Kementerian Pengangkutan dipetik.

Menurut Teresa, salah satu lokasi AES terletak di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur berdekatan simpang Jalan Sepadu yang terletak dalam Parlimen Seputeh.

"Saya mendapati kamera AES ini berkelip 10 kali pada satu-satu masa. Bayangkan berapa banyak untung syarikat Umno yang mengutip kompaun itu," ujarnya.

Azmin: Rundingan TPPA beri kesan negeri Pakatan

Posted: 02 Jul 2013 10:00 PM PDT

Azuan Ab Rahman

KUALA LUMPUR: Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dikendali kerajaan Pusat memberi kesan kepada negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat, terutama Selangor.

Justeru, Adun Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali menuntut kerajaan pusat membuat rundingan dengan Selangor sebelum menandatangani perjanjian TPPA.

"Persetujuan kerajaan negeri penting memandangkan setiap pelaburan asing atau domestik yang masuk ke Malaysia pastinya diurus dan diakomodasi negeri," kata Azmin.

Azmin

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika sesi perbahasan titah diraja Dewan Undangan Negeri Selangor, semalam.

Katanya, antara perihal penting dalam seperti TPPA ialah elemen 'Non Conforming Measures' (NCM).

Elemen tersebut mengehendaki kerajaan menyenaraikan 'perkara yang dipersetujui' dan 'perkara yang tidak dipersetujui' dan 'perkara yang dipersetujui oleh negeri' dan 'perkara yang tidak dipersetujui oleh negeri'.

"Sebahagian besar perdagangan dan pelaburan melibatkan perkara yang tercatat dalam 'Senarai Negeri' dan sSenarai Bersama' seperti tanah, perancangan bandar dan desa, perumahan, kesihatan awam serta saliran dan pengairan.

Menurut Azmin, TPPA adalah satu daripada Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang bersifat pluri – lateral.

"Namun lebih mencabar kerana ia bukan sahaja melibatkan isu pelaburan dan perdagangan, tetapi juga instrumen baru ekonomi seperti pembelian hakmilik intelektual (intellectual property rights procument), buruh dan kedaulatan negara," katanya.

PRK: Anwar janji sepakat bantu Pas

Posted: 02 Jul 2013 09:59 PM PDT


Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
 
KUALA LUMPUR - Tidak timbul lagi percanggahan dalam PR untuk Pas bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut.

Meskipun Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pernah menggesa Pas memboikot PRK sebagai tanda protes terhadap keputusan PRU13, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkata, PR sepakat menyokong Pas bertanding dan akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan.

"Kita bukan saja menyokong malah akan berkempen sekuatnya untuk pastikan kemenangan calon Pas," katanya di Parlimen, semalam.

Menurutnya, PRK kali ini berbeza kerana ia akan bawa perubahan dalam senario politik dan Kerajaan Terengganu jika PR menang.

"Hal siapa bertanding pun tak timbul kerana saya telah bincang dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden Pas) dan kerusi itu memang milik Pas," katanya.

Nurul Izzah: Mana janji PM hapuskan Akta Hasutan?

Posted: 02 Jul 2013 09:52 PM PDT

Oleh Azuan Abd Rahman

KUALA LUMPURAI: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mengusulkan Rang Undang-undang Hasutan (Pemansuhan) 2013 bagi menggantikan Akta Hasutan 1948.

Ia berikutan kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menunaikan janji untuk memansuhkan akta tersebut setahun lalu.

Najib pada 11 Julai 2012 mengumumkan keputusan kerajaan untuk menguatkuasa serta merta semua akta baru dan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional.
IzzahPC
 "Rang Undang-undang untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 ini telah saya hantar ke pejabat Setiausaha Dewan Rakyat semalam," kata Nurul Izzah pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Naib Presiden KEADILAN itu berharap langkah berkenaan dapat menamatkan era penyalahgunaan Akta Hasutan 1948 sekaligus membawa islah dan reformasi tulen di Malaysia.

"Malangnya rakyat masih ternanti-nanti perlaksanaan kata-kata Datuk Seri Najib yang membuat pengakuan bahawa akta itu dianggap umum sebagai alat kerajaan untuk merencatkan tindakan dan pandangan yang tidak sealiran dengan kerajaan," katanya.

Beliau merujuk penahanan Haris Ibrahim, Tian Chua, Tamrin Ghafar, Adam Adli dan Datuk Husam Musa yang didakwa mengikut akta itu berhubung penganjuran Himpunan Black 505.

"Pendakwaan yang dikenakan ke atas mereka adalah terpilih tetapi (bekas hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Noor Abdullah, Datuk Ibrahim Ali dan Utusan Malaysia yang meniup api kebencian dibiarkan tanpa sebarang tindakan," katanya.

Pas sedia hadapi PRK bulan puasa

Posted: 02 Jul 2013 09:50 PM PDT


Mohd-Abdul-Wahid-Endut
Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut
 
KUALA TERENGGANU – Pas bersedia menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut  bila-bila masa sahaja dan tiada masalah sekiranya berlangsung dalam bulan puasa.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata, Pas tidak menganggap ia bebanan sekalipun umat Islam berpuasa ketika itu.

"Kita tidak kira bulan puasa atau tidak bulan puasa. Kita akan teruskan perjuangan kita. Rasulullah pada bulan puasa pun berperang, perang Badar berlaku dalam bulan puasa. Tiada masalah untuk kita, insya ALLAH, bulan puasa lagi semangat," katanya di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu, kelmarin.

Sementara itu, beliau yang juga Adun Wakaf Mempelam menolak persepsi pihak tertentu yang melihat Pas seakan-akan ghairah mendapat kemenangan di Dun Kuala Besut walaupun mereka kalah dengan majoriti cukup besar pada PRU13 lalu.

Beliau menjelaskan, Pas mengambil peluang berdasarkan ruang yang ada berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar, 26 Jun lalu.

"Bukan soal ghairah, soalnya PRK. Kita rasa kita ada ruang untuk bertanding. Soal majoriti berapa, itu pengalaman saya (bertanding) di PRK Parlimen Kuala Terengganu. Walaupun dalam pilihan raya umum (PRU) kita kalah tetapi PRK kita menang kerana suasana pilihan raya umum dan PRK dua keadaan yang berbeza," katanya.

Beliau berharap, dengan tumpuan sepenuhnya yang diberikan semua pihak kepada PRK Dun Kuala Besut, Pas mampu mengulangi kejayaan sebagaimana diperoleh dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu pada 2009.

Sementara itu, beliau memberitahu menerima panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas dari pelbagai pihak yang menyatakan kesediaan membantu Pas pada pilihan raya kecil ini.

"Kalau ditakdirkan menang, insya ALLAH kedudukan kerusi berubah dan apa berlaku selepas itu, kita akan tengok," katanya.

Penyelewengan dakwat kekal: Bos SPR mesti letak jawatan sebelum PRK

Posted: 02 Jul 2013 09:49 PM PDT

Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Semua anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terutama Pengerusi dan Timbalannya perlu meletak jawatan sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut Terengganu, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin.

Ia ekoran SPR sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan dalam pembelian dakwat kekal yang digunakan pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Shamsul

"Oleh kerana SPR kini sedang disiasat ekoran kegagalan mereka mengendali PRU terutama kekesalan rakyat bahawa dakwat yang diguna tidak kekal, maka adalah wajar semua anggota SPR terutama dua bos teratasnya meletak jawatan sebelum berlangsung PRK di Terengganu," katanya kepada Suara Keadilan.

Semalam, seorang pegawai kanan SPR didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana menerima rasuah RM80,000 daripada sebuah agensi pelancongan bagi membantu mendapatkan kontrak bekalan kenderaan untuk kegunaan pemerhati asing semasa PRU lalu.

Pegawai itu bersama seorang lagi mengaku tidak bersalah dan pendakwaan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini manakala sebutan kes akan didengar 10 Julai.

"Sesiapa terlibat rasuah patut didakwa dan kita alu-alukan tindakan itu. Namun pada masa sama kita bimbang pendakwaan individu ini terlalu difokuskan bertujuan mengalihkan tumpuan mengenai kegagalan SPR mengendalikan PRU lalu," kata Shamsul yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil.

Wikileaks: Ada 17 rekod, tapi rekod Anwar tiada

Posted: 02 Jul 2013 09:40 PM PDT


Lagi pendedahan WikiLeaks

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzim  hari ini menafikan dakwaan yang mengatakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar mempunyai 20 akaun luar negara.

Menurut Tze Tzim, dakwaan tersebut  adalah tidak berasas dan berbaur fitnah.

"Semalam pihak PKR telah membuat semakan terhadap data yang didakwa oleh penyokong BN itu.

"...hasil semakan mendapati terdapat 17 rekod Wikileaks mengenai Malaysia, namun satu pun tidak ada kaitan dengan pendedahan Anwar miliki 20 akaun," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Kempen Anti Kenaikan Harga Barang Bermula Ramadhan

Posted: 02 Jul 2013 09:39 PM PDT

 Editor buletin

http://buletinonline.net/images/stories/aberita23/DPPM%20Fomca.jpgDewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan menggerakkan kempen anti kenaikan harga barang secara menyeluruh bermula pada bulan Ramadhan ini dengan mengedarkan risalah agar masyarakat sedar mengenai hak mereka, disamping memberi awasan kepada para peniaga agar tidak menaikkan harga barang sesuka hati mereka.

Menurut Setiausaha DPPM Khairul Faizi Ahmad Kamil, usaha tersebut dimulakan dengan kunjungan hormat kepada Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) yang diadakan pada Isnin, 1 Julai 2013 jam 11.30 pagi bertempat di Pejabat FOMCA, Bangunan SKPPK, Petaling Jaya, Selangor.

"rombongan DPPM dianggotai oleh Ketuanya YB Ustaz Nasrudin Hassan, Timbalannya YB Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz, saya sendiri, Pengarah Pilihanraya Mohd Sany Hamzan serta Exco DPP YB Ustaz Ahamd Baihaki Atiqullah dan Yusapiza Ya'acob.

"Rombongan DPPM disambut oleh Presiden FOMA, Datuk Marimuthu Nadason bersama Ahli Jawatankuasa Kerja Tertinggi FOMCA,"jelas Khairul Faizi pada kenyatan media semalam.

Katanya, kunjungan hormat itu bertujuan untuk mendapatkan input mengenai isu semasa khususnya isu kenaikan harga barangan keperluan terutama menjelang bulan Ramadhan serta isu-isu kepenggunaan.

Beliau berkata, Datuk Paul Sivaraj mewakili jawatankuasa FOMCA memberi taklimat terperinci mengenai isu-isu kepenggunaan serta kenaikan harga barangan yang menjerut rakyat.

"Beberapa cadangan dan resolusi dicapai antaranya ialah kerjasama antara FOMCA, NGO-NGO dengan DPPM dalam usaha memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai hak-hak mereka,

"kunjungan tersebut mengeratkan lagi hubungan antara DPPM dengan NGO-NGO serta membentuk kerjasama erat antara semua pihak bagi kebaikan rakyat,"tambahnya

Lujnah Guaman PAS Kaji Kedudukan Kerusi DUN 16 : 16

Posted: 02 Jul 2013 09:37 PM PDT

Wartawan Buletin

http://buletinonline.net/images/stories/aberita23/wahid%20pc%201%20jul.pngKUALA TERENGGANU - PAS melalui Lujnah Guamannya sedang mengkaji peruntukan undang-undang tubuh negeri Terengganu berkait kedudukan kerusi DUN menjadi  berimbang, 16 :  16 sekiranya PAS menang dalam pilihanraya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Pesuruhjaya PAS negeri Terengganu, YB Haji Mohd Abdul Wahid Endut menyifatkan dakwaan Menteri Pelajaran Kedua yang juga Ahli Parlimen Besut Dato' Seri Idris Jusoh berhubung perkara tersebut adalah tafsiran belaiu yang semestinya memihak.

"itu dakwaan dia (Idris Jusoh) mungkin betul mungkin tak betul......... tafsiran undang-undang boleh dibuat.....itu tafsiran (undang-undang) dia (mesti) dia tafsir untuk dia, kita akan tafsir bagi pihak kita,

"kita ada panel (Lujnah) Guaman kita untuk membuat kajian, kita tak boleh membuat tafsiran tanpa kajian yang teliti, kita tidak mahu membuat tafsiran undang-undang berdasarkan keadaan politik,"ujarnya. [Lihat Video]
Beliau berkata kedudukan berimbang dalam kerusi Dewan Udangan Negeri tidak pernah berlaku sebelum ini dan memerlukan penelitian terhadap perkara tersebut.

Katanya, PAS akan mengkaji peruntukan undang-undang itu dan melihat apa peluang dan ruang yang ada bagi penyelesaian isu tersebut apabila ia berlaku.

Pada waktu ini, keutamaan PAS adalah memberi fokus kepada pilihanraya kecil yang akan diadakan kerana pilihanraya ada tempohnya, dalam masa 60 hari selepas kekosongan kerusi.

"yang ini (isu 16:16) kita masih ada tempoh masa yang panjang, pilihanraya (kecil) ini ia tak tak boleh nak tunggu, ia ada tempoh dalam masa 60 hari (mesti diadakan)........ masa berjalan,

"jadi SPR akan teruskan (pilihanraya) kita masuk dulu (bertanding) dalam pilihanraya, kita akan ambil tindakan susulan selepas itu,"jelasnya.

Ku Li jadi Pengerusi Persatuan Beca SeMalaysia?

Posted: 02 Jul 2013 09:35 PM PDT


Oleh Shahbudin Husin

Tindakan Najib melantik Ahli Parlimen Baling, Azeez Rahim sebagai Pengerusi Tabung Haji yang baru terus menimbulkan persoalan dan menjadi perbualan ramai.

Tidak saja Mahfuz Omar dari Pas dan Nurul Izzah dari PKR yang mempertikaikannya serta menuntut penjelasan Perdana Menteri tentang kriteria perlantikan seseorang sebagai Pengerusi GLC, bahkan rakyat pelbagai peringkat terus bercakap mengenainya.

Di blog dan laman-laman sosial, baik yang pro UMNO mahukan pro pembangkang, perlantikan Azeez itu bukan saja mengundang kecaman dan kritikan, malah dijadikan bahan lawak dan momokan ramai.

Gambar Azeez mencium tangan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor menjadi topik perbualan paling hangat seolah-olah perlantikan beliau itu lebih bersandarkan kepada kekerapannya mencium tangan Rosmah dan bukannya berdasarkan kelayakan ataupun pengalaman yang dimilikinya.

Jika dibandingkan perlantikan Azeez sebagai Pengerusi Tabung Haji dengan beberapa perlantikan lain yang dibuat oleh Najib, memang wujud tanda-tanya besar terutama mengenai kriteria, kelayakan dan kaitan wibawa seseorang itu dengan GLC atau agensi kerajaan yang diamanahkan kepadanya.

Azeez Rahim yang tidak sampai dua bulan menjadi Ahli Parlimen serta tiada pengalaman dalam dunia korporat, pengurusan serta perniagaan, telah dijadikan Pengerusi Tabung Haji, sebuah GLC yang mempunyai aset dan tabungan berbilion ringgit serta rangkaian perniagaan di seluruh dunia.

Tabung Haji juga menjadi tabungan hampir semua umat Islam dan merupakan antara syarikat kebanggaan negara yang ditubuhkan oleh Prof Ungku Aziz bagi memudahkan umat Islam menunaikan rukun Islam kelima iaitu fardu haji ke Mekah.

Dr Latif Ahmad, Ahli Parlimen Mersing yang berpengalaman sebagai Exco Kerajaan Johor dan timbalan menteri, hanya diberikan jawatan Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad atau SPNB, sebuah syarikat milik kerajaan yang tumpuan khususnya lebih kepada projek perumahan kos rendah dan memulihkan projek terbengkalai.

Berbanding dengan Tabung Haji, SPNB jauh lebih kecil walaupun Dr Latif seorang yang lebih berpengalaman serta berpengetahuan dalam politik dan pengurusan.

Annuar Musa yang difahamkan akan dilantik sebagai Pengerusi MARA adalah tokoh hebat dari Kelantan dan pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Kepandaiannya dalam mengurus menjadikan Persatuan Bolasepak Kelantan atau KAFA yang dikendalikannya kini menjadi kuasa baru dalam bolasepak negara dengan memenangi beberapa kejuaraan utama.

Tetapi beliau hanya diberikan jawatan Pengerusi MARA yang kini semakin mengecil peranannya dalam membantu orang-orang Melayu di bidang perniagaan serta pendidikan berikutan peruntukan kerajaan yang semakin dikurangkan tahun demi tahun.

Lebih-lebih lagi setelah Kementerian Pembangunan Usahawan dihapuskan oleh Najib pada 2009 lalu, MARA seolah-olah sudah tenggelam peranannya dalam membantu usahawan-usahawan Bumiputera.

Berbanding dengan Tabung Haji juga, MARA ternyata lebih kecil meskipun Annuar Musa yang bakal dijadikan Pengerusi agensi itu adalah individu yang cukup pengalaman dalam politik, pengurusan serta banyak membantu rakyat di pelbagai peringkat sebelum ini.

Syed Hamid Albar yang pernah menjadi peguam dan berpengalaman sebagai menteri di pelbagai kementerian, apabila digugurkan daripada kabinet pada 2009, hanya diberikan jawatan Pengerusi SPAD yang secara kasarnya hanya menjaga bas, lori dan teksi saja.

Bahkan pelantikannya sebagai Pengerusi Tabung Haji sebelum ini telah ditarik balik walaupun sudah menerima surat perlantikan itu.

Syed Hamid Albar juga dikenali seorang yang berintergeriti tinggi dan wibawanya diketahui ramai di dalam dan di luar negara.

Dibandingkan dengan Tabung Haji juga, SPAD jauh lebih kecil dan seolah-olah tidak padan seorang yang berpengalaman dan berpengetahuan luas seperti beliau hanya ditugaskan menjaga bas, teksi dan lori saja.
Begitu juga dengan bekas Timbalan Menteri Pertanian dan kini Ahli Parlimen Kubang Pasu, Johari Baharom yang dikhabarkan telah dilantik sebagai penasihat di JPM.

Perlantikan beliau itu lebih kepada untuk memberi jawatan semata-mata sedangkan tiada peranan khusus walaupun pengalaman dan pengetahuannnya dalam politik dan kerajaan selama puluhan tahun sebelum ini sebenarnya boleh dimanfaatkan untuk peranan yang lebih besar lagi.

Jika dibandingkan dengan Pengerusi Tabung Haji, jawatan sebagai penasihat di JPM ini hampir tidak memberi makna kerana belum tentu ada nasihat Johari yang mahu diterima-pakai oleh Najib yang diketahui sudah pun mempunyai ramai penasihat sebelum ini.

Semua perlantikan itu seolah-olah memberi gambaran bahawa semakin tinggi pengetahuan, pengalaman dan wibawa seseorang itu, semakin tidak penting dan kecil agensi kerajaan, GLC atau jawatan yang akan diberikan kepadanya manakala mereka yang tiada pengalaman, malah kewibawaannya dipertikaikan akan diberikan tanggungjawab mengendalikan syarikat yang bernilai berbilion-bilion ringgit pula.

Dalam hal ini jika Tengku Razalegh Hamzah, seorang yang mempunyai wibawa, pengalaman dan pengetahuan yang lebih tinggi, pernah menjadi Menteri Kewangan, Pengerusi IMF, Pengerusi Bank Dunia dan pelbagai jawatan lagi serta berperanan menubuhkan Bank Bumiputra dan Petronas, mahu diberikan jawatan oleh Najib, barangkali jawatan yang akan diberikan hanyalah Pengerusi Persatuan Beca SeMalaysia saja.

Oh Malaysia tanahairku!! - shahbudindotcom.blogspot.com

Dalang Demo Ibu Tunggal Dah Cabut, Saman Pada Kerajaan S'gor Batal

Posted: 02 Jul 2013 09:25 PM PDT


KELAB GREENBOC

Mahkamah Rayuan Putrajaya telah membatalkan kes saman ibu tunggal terhadap kerajaan Selangor kerana plaintif gagal memfailkan notis rayuan kepada mahkamah.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata, Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Selangor, Murtini Kasman Saman tidak memfailkan notis rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membatalkan saman tersebut sehingga tempoh tamat berakhir pada 12 Jun lalu.

Sehubungan itu, Rodziah berkata, Murtini dan plaintif yang lain telah akur dengan keputusan mahkamah bahawa saman yang dibawa itu satu kesilapan dalam proses mencari keadilan.

"Selain itu, 3,010 ibu tunggal yang lain juga telah menarik balik saman mereka pada 12 Jun.

"Pelbagai kes saman lain seperti tuntutan oleh suri rumah juga telah ditarik balik. Kerajaan Selangor bersetuju kekalahan Martini dan kes saman kesemuanya yang lain ditarik balik tanpa sebarang tuntutan kos oleh kerajaan negeri Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang dibuat di lobi Dewan Undangan Negeri hari ini.

Kumpulan ibu tunggal itu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam tahun lalu dengan menuntut elaun berjumlah RM10.9 juta seperti dijanjikan kepada mereka oleh Pakatan Rakyat dalam manifesto pilihan raya umum 2008.

Pada 12 Disember 2011, kerajaan Selangor dan Khalid memfaikan permohonan untuk membatalkan saman tersebut dan pada 23 Januari lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu dan memutuskan kes itu dibicarakan.

Pada 13 Mei lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan bahawa sebuah manifesto pilihan raya tidak boleh dikuatkuasakan secara sah.

Kerajaan Selangor Beri Bantuan Tanpa Mengira Fahaman Politik

Posted: 02 Jul 2013 04:39 PM PDT


rodziah DUN soal jawab 01

SHAH ALAM I : Kerajaan Negeri mengingatkan semua pegawai kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya bersikap professional ketika bertugas dengan mengutamakan kepentingan masyarakat di Selangor tanpa pilih kasih.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail berkata, semua pegawai dan kakitangan diarahkan supaya bersikap terbuka dan penuh tanggungjawab dalam melaksanakan tugas tidak kira fahaman politik.

"Semua pegawai JKM sentiasa diingatkan untuk meningkatkan tahap professionalisma mereka dan meletakkan penerima yang benar-benar memerlukan sebagai asas keutamaan tanpa mengambilkira latar belakang politik.

"Sehubungan itu jika terdapat lagi mana-mana pegawai yang masih melakukan perkara tersebut, sila laporkan nama mereka untuk diambil tindakan selanjutnya."

Rodziah berkata demikian ketika menjawab soalan Adun Dusun Tua, Razaly Hassan di dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Pentadbiran Daerah Besar, Maju, Pendapatan Perkapita Tertinggi Perlu Dipecah Dua

Posted: 02 Jul 2013 04:37 PM PDT


Lau Weng San 01

SHAH ALAM: Adun Kampung Tunku, Lau Weng San menyarankan agar daerah yang terlalu besar seperti Petaling dipecahkan kepada dua bagi memudahkan pentadbirannya seperti mengadakan lebih dari dua pejabat daerah dan tanah.

Menurut Weng San, selain menjadi daerah yang besar dengan keluasan 484 km persegi, daerah itu turut mencatatkan populasi sebanyak 1.8 juta orang dengan kepadatan penduduk 3,680 orang bagi setiap km persegi.

Selain itu, Petaling juga merupakan sebuah daerah termaju dan memiliki pendapatan perkapita daerah tertinggi disebabkan aktiviti industri dan komersial yang aktif.

"Kini Daerah Petaling mempunyai tiga buah PBT iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

"Agensi Kerajaan Persekutuan di Daerah Petaling juga sudah dibahagi kepada dua, contohnya Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Utama dan Petaling Perdana.

"Biarpun begitu sehingga sekarang Daerah Petaling hanya disokong satu pejabat tanah dan daerah sahaja iaitu Pejabat Tanah dan Daerah Petaling (PTDP)," kata Weng San ketika berucap di dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini.

Menurut Weng San lagi, jumlah kakitangan di Pejabat Tanah dan Daerah Petaling wajar ditingkatkan selaras dengan peruntukan RM 11 .4 juta yang diterimanya.

"Saranan Kampung Tunku ialah kerajaan harus melakukan sesuatu untuk memastikan PTD mempunyai bilangan kakitangan awam yang sepadan dengan tugas yang dipikul serta hasil yang dikutip," kata Weng San lagi.

Malaysia belum ada kes MERS

Posted: 02 Jul 2013 04:32 PM PDT

SINAR HARIAN
Datuk Dr S Subramaniam
Datuk Dr S Subramaniam
 
PETALING JAYA - Setakat ini tiada rakyat Malaysia yang pulang dari Arab Saudi termasuk jemaah umrah, dikesan menghidap simptom virus Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
  
Beliau berkata kementerian sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak sebarang kemungkinan, antaranya melakukan pemeriksaan suhu badan di pintu masuk lapangan terbang.
  
"Kalau pemeriksaan dapati ada yang demam, kami akan minta mereka untuk menjalani periksaan lanjut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Kesihatan Antarabangsa Persatuan Hospital Swasta Malaysia 2013 di sini, hari ini, yang akan berlangsung hingga Khamis ini.
  
Dr Subramaniam berkata demikian sebagai mengulas penularan virus MERS di Arab Saudi sejak September lepas dan sehingga kini meragut 33 nyawa, manakala 55 lagi dijangkiti virus itu.
  
Sehingga kini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum menemui vaksin untuk mencegah jangkitan MERS selain tidak mengetahui punca jangkitan virus maut itu.

Antara gejala jangkitan MERS ialah demam panas, kesukaran bernafas, cirit birit dan muntah-muntah.
  
Dr Subramaniam berkata Kuala Lumpur akan sentiasa memantau perkembangan semasa di Jeddah selain mengikut segala cadangan serta pandangan yang diberikan pihak berkuasa Arab Saudi mengenai cara terbaik menggelakkan jangkitan MERS.
  
Terdahulu dalam ucapannya, Dr Subramaniam berkata industri penjagaan kesihatan Malaysia merupakan antara sektor yang paling dinamik di negara ini kerana ia disokong oleh sektor penjagaan kesihatan swasta.
  
Menyentuh mengenai teknologi penjagaan kesihatan, beliau berkata ia merangkumi setiap aspek kehidupan manusia dan boleh digunakan daripada awal kehidupan, sebelum bermulanya penyakit.
  
"Jika sakit, teknologi penjagaan kesihatan akan membantu dalam membuat keputusan dan memilih pengamal perubatan yang sesuai melalui direktori dalam pangkalan data kesihatan," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: