DIALOG RAKYAT |
- DAP kecewa Kamalanathan tutup isu kontroversi tanpa penjelasan
- Rafizi: Timbalan, pengerusi SPR elak isu dakwat
- Polis harap Hare Krishnan tampil beri kenyataan sebenar
- Jika masih rakyat Malaysia, tetap terikat undang2
- Tunjuk kertas undi: 'Saya hanya spontan'
- Anwar vs Shafee di mahkamah
- Madinah dinaik taraf lepas musim haji
- Kuala Besut: Hanya Ahmad Said yang wajar bergembira
- Selangor Syaratkan 30% Wanita Sebagai Ahli Majlis Di Setiap PBT
- Empat Wanita Islam Sertai Ratu Cantik Berdarah Campuran
- Harga ayam sepatutnya ditetap sebelum puasa
- Jerebu Beralih Ke Utara, P.Pinang Hampiri Paras Tidak Sihat
- Perkhidmatan bas Rapid diperluas ke seluruh ibu negeri
- Alvin, Vivian Dibenar Ikat Jamin RM30,000 Seorang
- PAS akur dengan keputusan PRK Kuala Besut - Bernama
- Bukan semua Syiah sesat, kata Mufti Perak
- Tribunal Rakyat bermula 18 September, kerajaan harus respon, kata Ambiga
- 5,696 pengundi berjiwa besar di Kuala Besut
- Proksi anak bekas PM lawan menantu bekas PM
- Warga Kuala Besut, nantikan limpahan pembangunan
- Sokong Pakatan: Orang Asal dinafi kad pengenalan
- Hakim rayuan kes Fitnah II disebut dalam video VK Lingam
- RM100,000 selenggara lif 4 pangsapuri
- BN kekal kerusi, majoriti 4,000 tersasar
- SPRM bidas dakwaan Rafizi
DAP kecewa Kamalanathan tutup isu kontroversi tanpa penjelasan Posted: 25 Jul 2013 04:25 AM PDT Roketkini.com KUALA LUMPUR: DAP kecewa kerana Timbalan Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan begitu tergesa-gesa menutup kes kontroversi pelajar bukan Islam yang disuruh menggunakan bilik mandi sebagai kantin sementara di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Sungai Buloh pada bulan puasa tanpa menjelaskan kepada umum. Selain itu, DAP juga sedih apabila gambar polis dengan senjata berat berkawal di luar sekolah itu bagi menghalang ibu bapa dan rakan mereka yang seolah-olah dianggap penjenayah. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata ini kerana ibu bapa kepada 1,300 pelajar sekolah itu, termasuk 28 pelajar bukan Islam mahu penjelasan diberi terhadap fakta dan kenyataan yang sangat tidak konsisten dan bercanggah mengenai kejadian itu. Katanya, seluruh rakyat Malaysia juga mahukan kebenaran didedahkan sebelum mereka yakin dengan dakwaan Kamalanathan bahawa ini bukan isu berkaitan kaum atau agama. "Sifat tergesa-gesa menyelesaikan kes kontroversi itu dilihat sebagai usaha untuk menutup kebenaran, kecuali Kamalanathan boleh menjelaskan kepada ibu bapa mengenai pemindahan kantin ke bilik mandi kerana kerja membaikpulih sejak Mac tahun ini. "Tambahan pula, kami tidak nampak langsung tanda-tanda kerja membaikpulih kantin dilakukan dan jika sudah selesai, kenapa kantin itu tidak dibuka semula," katanya dalam kenyataan media, hari ini. Bagaimanapun, Kamalanathan gagal menjawab persoalan ibu bapa mengenai anak mereka disuruh makan di kantin sementara dalam bilik mandi itu dua hari selepas bermulanya Ramadan. Kamalanathan hanya menyelesaikan masalah memindahkan tempat makan keluar daripada bilik mandi itu sedangkan tindakan tidak diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan insiden seperti itu tidak berulang. "Umum perlu mengetahui bagaimana insiden sedemikian boleh berlaku kerana sangat memalukan bagi kanak-kanak yang terpaksa makan di bilik mandi yang dijadikan kantin sementara. "Mesej yang jelas mesti disampaikan supaya penjawat awam dapat menghormati sensitiviti dan hak semua masyarakat. Kegagalan berbuat demikian hanya akan menambahkan persepsi negatif bahawa sensitiviti dan hak orang bukan Islam boleh diinjak-injak tanpa sebarang hukuman," tambahnya. | ||||
Rafizi: Timbalan, pengerusi SPR elak isu dakwat Posted: 25 Jul 2013 04:22 AM PDT MALAYSIA KINI MP PKR Rafizi Ramli mendakwa cabaran yang disuarakan pemimpin tertinggi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke atasnya merupakan satu cara untuk mengelak daripada menjawab isu berhubung penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya 5 Mei.Dakwanya, pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan timbalan, Datuk Wan Ahmad Wan Omar bersembunyi di sebalik cabaran berkenaan dan tidak berusaha membersihkan nama suruhanjaya tersebut. "Tugas kedua-dua mereka adalah untuk menjawab perkara-perkara ini, bukannya berlagak dengan cabar-mencabar. Jika pendedahan saya itu salah, kenyataan saya di luar Dewan sudah cukup untuk mereka mengambil tindakan undang-undang. "Kenapa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR beriya-iya mahu melindungi dan menyembunyikan identiti pembekal dakwat kekal sedangkan pembekal ini telah merosakkan kredibiliti SPR di mata rakyat?," katanya. Rafizi mengulas cabaran Abdul Aziz dan Wan Ahmad semalam, yang mahu beliau mengulangi dakwaan mengaitkan kedua-duanya dengan pembekal dakwat tersebut. Beliau berkata Abdul Aziz dan Wan Ahmad masih perlu menjawab soalan yang dikemukakannya sebelum ini, antaranya berhubung kontrak secara rundingan terus kepada syarikat yang membekal dakwat kekal dan kelengkapan pilihan raya itu. Beliau juga mahu kedua-duanya menjelaskan mengenai penglibatkan dalam soal perolehan bahan tersebut. "Apakah benar kedua-dua mereka lepas tangan sepenuhnya dalam hal ehwal pembekalan sedangkan ia adalah aspek paling utama pelaksanaan dakwat kekal yang diwar-warkan mereka? "Apakah pengerusi dan timbalan pengerusi SPR tidak terlibat langsung di dalam sebarang perbincangan mengenai dakwat kekal, termasuk demonstrasi, kandungan kimia, kaedah pelaksanaan dan lain-lain?," kata Rafizi. Beliau juga menuntut kedua-duanya menjelaskan sama ada mereka telah membincangkan isu dakwat kekal tersebut dengan pegawai SPR yang lain. "Mustahil pengerusi dan timbalan pengerusi menjawab media tanpa pengetahuan dan maklumat awal mengenai pelaksanaan dakwat kekal termasuklah hal ehwal logistiknya seperti pembekalan dan lain-lain?," katanya. | ||||
Polis harap Hare Krishnan tampil beri kenyataan sebenar Posted: 25 Jul 2013 04:20 AM PDT MALAYSIA KINI Polis Kuala Lumpur berharap Inspektor Hare Krishnan - suspek keempat dalam kes kematian dalam tahanan - N Dhamendran - tampil segera ke ibupejabat polis kontinjen Kuala Lumpur bagi membolehkan kenyataan sebenarnya direkod mengikut prosedur yang ditetapkan."Kehadiran beliau adalah penting bagi membolehkan beliau menjelaskan isu-isu sebagaimana yang beliau nyatakan di dalam laporan polis serta kenyataan media yang telah disiarkan," kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh. Beliau menegaskan demikian dalam satu kenyataan petang ini sebagai mengulas laporan Malaysiakini yang memetik laporan polis Hare Krishnan yang mendakwa dia tidak bersalah tetapi diheret ke dalam kes tersebut untuk "melindungi pihak-pihak tertentu". Mohmad berkata, Hare Krishnan sehingga ini masih gagal menghadirikan diri untuk kembali bertugas dan seterusnya membantu menyelesaikan siasatan berhubung kes kematian Dhamendran di lokap cawangan D9, Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur. Pihak polis telah mendakwa Hare Krishnan gagal datang bertugas sejak 15 Jun. Laporan polis itu dibuat oleh Hare Krishnan pada 1 Jun - sembilan hari selepas kematian Dhamendran pada 21 Mei 21, dan dua minggu sebelum inspektor polis itu menyembunyikan diri. Laporan tersebut, yang diperolehi oleh Malaysiakini, mendakwa bahawa Hare Krishnan tidak pun berada di lokap di Dang Wangi pada hari Darmendran meninggal dunia. Dhamendran (kanan), 31, ditemui mati di dalam lokap polis 10 hari selepas dia ditahan reman berhubung kes cubaan membunuh melibatkan senjata api. Polis pada mulanya mendakwa dia telah meninggal dunia akibat kesukaran bernafas. Bagaimanapun, bedah siasat mendapati dia mengalami 52 kecederaan, termasuk dikokot di telinganya. Menurut Mohmad lagi, tanpa kehadiran Hare Krishnan, segala laporan atau kenyataan yang dibuat oleh pegawai tersebut, bukan sahaja melewatkan proses siasatan, malahan turut gagal menegakkan keadilan sebagaimana yang dikehendaki oleh pegawai berkenaan dan pihak-pihak yang berkenaan. Tiga suspek lain - anggota polis Jaffri Jaafar, 44; Mohd Nahar Abd Rahman, 45; dan Mohd Haswadi Zamri Shaari, 32 - telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh Dhamendran pada 5 Jun. | ||||
Jika masih rakyat Malaysia, tetap terikat undang2 Posted: 25 Jul 2013 04:11 AM PDT SINAR HARIAN KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia yang melakukan kesalahan di bawah undang-undang Malaysia ketika berada di luar negara tidak boleh lari daripada dikenakan tindakan. Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin berkata ini kerana mereka tetap perlu kembali ke tanah air atau berjumpa wakil kedutaan Malaysia di luar negara untuk memperbaharui pasport mereka. "Warganegara Malaysia yang melakukan kesalahan di bawah undang-undang negara tidak boleh lari selama-lamanya, kecuali dia hendak gugurkan kewarganegaraan Malaysia," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Lim Nget Yoon pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini. Mengenai sekumpulan penuntut Malaysia yang menterbalikkan Jalur Gemilang di Taiwan Mei lepas, beliau berkata Malaysia hanya boleh mengambil tindakan jika mereka mengeluarkan perkataan melibatkan nama Yang di-Pertuan Agong atau melakukan sesuatu yang dirasakan menderhaka. Terdahulu, menjawab soalan Senator Datuk S. Nallakaruppan mengenai 21 rakyat Malaysia yang berdemonstrasi di Singapura, Hamzah berkata tindakan mereka melanggar undang-undang Singapura dan ada di antara mereka dikenakan tindakan iaitu permit kerja dibatalkan. "Dalam hal ini tindakan yang diambil adalah urusan dalaman dan hak negara hos itu dan kerajaan Malaysia tidak ada hak untuk campur tangan," katanya. Beliau berkata kementerian, khususnya Pejabat Perwakilan di luar negara sentiasa memantau serta melaporkan sebarang bentuk aktiviti yang dijalankan rakyat Malaysia termasuk perhimpunan dan demonstrasi di tempat-tempat awam di negara asing. "Bagaimanapun setiap tindak-tanduk di negara asing adalah tanggungjawab sendiri dan jika mereka didapati telah melanggar undang-undang dan peraturan negara hos, mereka haruslah bersedia menerima risikonya," katanya. Beliau berkata kerajaan juga sentiasa mengadakan beberapa aktiviti untuk menjelaskan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat Malaysia di luar negara. "Aktiviti ini secara tidak langsung mengawal aktiviti mereka dan kalau mereka masih lagi melakukan aktiviti tertentu bagi memprotes kerajaan Malaysia itu adalah hak negara tuan rumah untuk mengambil tindakan yang ada di sana, katanya. - Bernama | ||||
Tunjuk kertas undi: 'Saya hanya spontan' Posted: 25 Jul 2013 04:09 AM PDT SINAR HARIAN KUALA BESUT - Insiden menunjukkan kertas undi oleh calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman adalah satu tindak balas spontannya selepas diminta bertalu-talu oleh jurugambar. Tengku Zaihan, 37, berkata, beliau tiada niat untuk menunjukkan kertas undi itu disebabkan keadaannya yang agak letih berkempen selama 12 hari sejak 12 Julai lepas. Bekas jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Putrajaya itu antara pengundi yang awal mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut pada hari pengundian semalam. "Maklumlah saya ni tidak cukup tidur berbelas hari, badan pun letih. Keadaan itulah menyebabkan tindakan saya jadi spontan. "Semasa nak lipat kertas undi itu masuk ke dalam kotak undi, jurugambar tidak henti-henti panggil saya dan saya pun tidak sengaja menunjukkan kertas undi sebab mahu memberi respons," katanya, hari ini. Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu yang dibangkitkan pihak pembangkang kononnya beliau telah melanggar peraturan pilihan raya apabila menunjukkan kertas undinya kepada jurugambar pada hari mengundi semalam. Pada PRK Dun Kuala Besut semalam, Tengku Zaihan mengalahkan calon Pas, Endot@Azlan Yusof, 48, dengan majoriti 2,592 undi setelah Tengku Zaihan memperoleh 8,288 undi manakala Azlan mendapat 5,696 undi. Tengku Zaihan berterima kasih kepada penduduk Kuala Besut yang mengundinya dan masih mengekalkan jiwa 'Gelombang Biru' hingga berjaya mengelakkan Dun Terengganu daripada tergantung 16:16 seperti yang dicanangkan oleh Pas mengenai 16:16 Terengganu Baru. "Saya bukanlah penyelamat tetapi pengundi Kuala Besut yang sebenarnya memainkan peranan utama dalam menentukan kemenangan BN dan meneruskan kesinambungan BN memastikan penduduk sini mendapat pembangunan berterusan. "Selain daripada sokongan setempat, saya lihat pengundi muda mula beri sokongan kepada BN... mungkin juga ia ada kaitan dengan faktor calon muda diketengahkan BN," katanya. Terdahulu, Tengku Zaihan memulakan tugas hari pertamanya sebagai wakil rakyat dengan bertemu penduduk di sekitar kawasan itu seawal pukul 10 pagi. Beliau bermula dengan mengunjungi bapanya, Che Ku Abdul Rahman Che Ku Abdullah, 74, di Kampung Gertak Seratus untuk memohon restu sebelum memulakan tugas pertamanya. Tengku Zaihan yang ditemani isteri, Siti Salbiah Osman, 34, turut bertemu golongan peniaga di Pasar Tani Kuala Besut kira-kira 30 minit sebelum melawat rumah penyokong BN yang meninggal dunia pagi tadi akibat penyakit lelah sejak lapan tahun lalu di Kampung Kayu Kelat di sini. Dalam pada itu, Tengku Zaihan turut menambah, sebagai permulaan beliau akan menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan melihat kembali perancangan yang telah dibuat oleh wakil rakyat terdahulu. Sementara itu, Tengku Zaihan turut mengakui skop tanggungjawabnya kini lebih luas berbanding pekerjaannya sebelum ini yang juga harus turun bertemu rakyat. - Bernama | ||||
Posted: 25 Jul 2013 12:47 AM PDT AKHIRNYA Anwar Ibrahim akur dan secara tidak langsung 'surrender' kepada hakikat setakat karisma semata-mata bukanlah jalan ke Putrajaya. Pandai bercakap sahaja tidak menjamin apa-apa. Sebaliknya laluan bagi seseorang pemimpin untuk menjadi perdana menteri lebih sukar dari berjalan kaki merentasi Gurun Sahara. Kita harus ingat ramai terlupa bahawa tiap suatu yang berlaku adalah dengan kehendak ALLAH. Sebenarnya mukadimah di atas mengambil kira perkembangan sehari dua ini berhubung prosiding rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi KL yang melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan. Kes yang boleh kita katakan bermula pada 26 Jun, 2008 memakan masa begitu lama. Ia sudah tertangguh berpuluh kali sehingga ramai yang geleng kepala. Tapi pada 9 Januari tahun lalu ALLAH mentakdirkan Anwar berjaya dalam kes berkenaan. Justeru tidak hairan jika sekali lagi tumpuan semua pihak terhadap kes ini. Tapi malangnya mahkamah sekali lagi terpaksa menangguhkan prosiding pada 1 Ogos gara-gara peguam bela utama Anwar, Karpal Singh jatuh sakit. Walau bagaimanapun 1 Ogos pun bukannya jauh sangat cuma kira-kira seminggu saja lagi. Apa yang menjadi perbualan dan mengundang minat ialah kemasukan peguam tersohor Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah sebagai Timbalan Pendakwa Raya untuk prosiding ini. Atau dengan kata lain, Shafee bertindak membantu kerajaan dan Saiful. Shafee bakal mengetuai pasukan pendakwaan manakala pada masa sama kita menyaksikan Karpal, seorang lagi peguam bela hebat, bertindak di pihak ketua pembangkang. Tidak ada sesiapa boleh mempertikai kemasukan Shafee dalam barisan pendakwa kerana selagi ia tidak bertentangan dengan undang-undang, kita harus menghormati keputusan itu. Kerajaan juga tentu mahukan Saiful mendapat pembelaan yang paling wajar. Apa yang menarik mengenai Shafee ialah pelantikannya sebagai Timbalan Pendakwa Raya merupakan kali pertama seorang peguam dilantik oleh Peguam Negara ke tugas ini. Shafee berkata dia dibayar gaji bagi memastikan pelantikannya "secara kontrak adalah sah." Melalui kuasanya, Peguam Negara dengan fiat (kebenaran) di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk mengendalikan kes rayuan di Mahkamah Rayuan—sejajar di bawah Seksyen 379 CPC. Kita pun bukannya nak mengulas lebih-lebih tapi yang menarik ialah Shafee telah membina nama sebagai seorang peguam bela sejak hampir dua dekad. Kalau kita lihat kes-kes yang dikendalikan adalah berprofil tinggi. Kliennya lazim pulang dengan senyuman. Sedang kita tidak punyai ramai peguam berbangsa Melayu yang sehebat Karpal, kita berbangga Shafee di kalangan kita. Tak malu kalau kita mendabik dada berkata peguam Melayu pun bukanlah calang-calang. Bercakap tentang Shafee kita tentu teringatkan Allahyarham Prof Dr Ahmad Ibrahim, seorang peguam bela serta ilmuwan Islam tersohor. Kes yang mengangkat namanya tentulah kes Natrah di Singapura. Bagi pelajar perundangan sama ada di dalam ataupun luar negara, nama Prof Ahmad sinonim dengan "Einstein" dalam bidang undang-undang. Dipendekkan cerita bukan saja dia ilmuan sehingga digelar bapa perundangan Malaysia , Allahyarham juga hidup begitu zuhud. Kalau P Ramlee dikait sebagai sebutir permata dalam dunia seni yang sukar nak kita lahirkan lagi, begitu juga Prof Ahmad. Kini apa yang dimulakan Ahmad, diteruskan Shafee. Kalau dulu yang "Umno" pun cari Karpal Singh untuk mengendali kes-kes mereka tapi zaman itu sebagai sejarah lama. Sejak sedekad lalu, khidmat Shafee ditagih. Dengan kes dikendalinya memberi sinar harapan pada pelanggan. Tak perlu nak kita sebut satu persatu tapi jika rajin mengikutinya, kita tahu kes-kes yang dimenanginya. Sebenarnya kita bukan nak buat Saiful senyum kerana sejak 2008 lagi wajah anak muda ini sering dibalut ketenangan. Badai atau taufan politik langsung tidak menakutkan meskipun sekali sekala kita lihat dia hampir-hampir lemas. Yang menjadi minat kita ialah Shafee mengembalikan nostalgia pada perwatakan Prof Ahmad serta laluan yang dirintis di Singapura pada tahun 1950an kini bayang-bayang itu sudah pun menjadi realiti di kalangan peguam-peguam Melayu. Namun di sebalik semua itu, paling menyeronokkan ialah sudah tentu secara senyap-senyap Anwar menyimpan rasa takut - peluang ke Putrajaya tertutup sama sekali kerana kali ini dia bukan berdepan nama-nama peguam kelas kedua yang tiba-tiba nama mereka disebut, tetapi seorang peguam yang mempunyai rekod trak cemerlang dalam kes-kes dikendalikan olehnya. | ||||
Madinah dinaik taraf lepas musim haji Posted: 25 Jul 2013 12:41 AM PDT SINAR HARIAN MADINAH - Kerajaan Arab Saudi akan membangunkan Madinah seperti apa yang dilakukan di Makkah pada masa ini bagi memberikan khidmat terbaik kepada umat Islam di seluruh dunia yang datang ke dua tanah suci itu bagi menunaikan haji, umrah dan ziarah. Proses menaik taraf besar-besaran bandar Madinah terutama Masjid Nabawi akan bermula sebaik sahaja selepas musim haji tahun ini. Timbalan Pengurus Besar (Madinah) Kementerian Haji Mohammad Al-Arabi berkata berikutan usaha pembangunan tiga tahun bermula di Makkah selepas musim haji tahun lalu, proses menaik taraf yang sama akan dijalankan di Madinah. " Seperti yang anda semua tahu ada projek hebat di Makkah, pembesaran Masjidil Haram, kini tiba masa bagi Madinah (Masjid Nabawi). Projek pembesaran itu sudahpun diluluskan Raja Abdullah. Melalui projek pembesaran itu, Masjid Nabawi akan dapat menampung 1.6 juta jemaah berbanding 800,000 orang sebelum ini. " Ia berterusan secara selari. Ia merupakan pembesaran sepenuhnya. Proses awal sebenarnya telah bermula. Ia akan diteruskan tanpa mengganggu mereka yang tinggal di Madinah," katanya kepada wartawan Malaysia di sini. Sebelum itu, beliau mengadakan perbincangan dengan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Ismee Ismail. Makkah kini dibangunkan secara besar-besaran. Ini membabitkan pembesaran Masjidil Haram termasuk meruntuhkan sebahagian masjid itu bagi memperbesar ruang solat. 'Mataf', satu kawasan sekitar Kaabah, juga akan diperluaskan bagi membolehkan bilangan jemaah melakukan tawaf sekeliling Kaabah ditingkatkan kepada 130,000 berbanding 48,000 sebelum ini. Berikutan kerja menaik taraf kemudahan haji di Makkah, Arab Saudi terpaksa mengurangkan bilangan jemaah haji dari seluruh dunia tahun ini sebanyak 20 peratus dan 50 peratus jemaahnya bagi memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah haji. Sementara itu, Al-Arabi berkata Kementerian Haji mendapatkan pandangan dari jemaah haji sebelum ini dan akan berusaha meningkatkan khidmatnya bagi musim haji tahun ini. " Tahun ini kami beri perhatian terutamanya bagaimana kita mahu jemaah haji benar-benar berpuas hati. Kami mahu berada lebih dekat dengan jemaah..terutamanya mengenai hal ehwal haji. Kami akan memberi perhatian kepada mereka sebagai pelanggan kami. " Kami benar-benar mahu perjalanan mereka selamat. Kami juga tidak mahu mereka menghabiskan masa berkenaan prosedur terutama di lapangan terbang dan kaunter pertanyaan. Kami mahu mereka terus sahaja ke tempat penginapan mereka.Kami hanya mahu mereka berasa begitu dekat dengan Allah. Jemaah yang datang dari seluruh dunia hanya mahu mencapai matlamat ini," katanya. Katanya sebagai sebahagian daripada proses meningkatkan perkhidmatan, mereka mahu berada dekat dengan jemaah haji dan juga ingin tahu kesan dan nilai perkhidmatan yang disediakan kepada jemaah selain mendengar pandangan jemaah haji. Mengenai kerjasama di antara kementerian dan Tabung Haji, Al-Arabi berkata beliau benar-benar bangga dengan kerjasama antara kedua pihak itu yang telah dapat membantu ramai rakyat malaysia menunaikan ibadah haji. " Kami dengar pandangan mereka (Tabung Haji) dan mereka mendengar pandangan kami," katanya. - Bernama | ||||
Kuala Besut: Hanya Ahmad Said yang wajar bergembira Posted: 25 Jul 2013 12:37 AM PDT
Seperti yang dijangka, pilihan raya kecil DUN Kuala Besut adalah kawasan yang sukar bagi PAS. Walaupun PAS turun bertanding dengan semangat yang tinggi ingin membawa perubahan dan mencipta sejarah Terengganu seri, Kuala Besut nampaknya bukanlah medan yang sesuai bagi tujuan itu. Meski PAS kali terakhir pernah memenangi DUN Kuala Besut pada 1999 tetapi sejak 2004, kawasan itu merupakan kubu ampuh bagi Umno dan BN. Sejak kepimpinan Idris Jusoh di Besut di mana beliau juga pernah menjadi Menteri Besar daripada 2004 hingga 2008, kawasan itu sudah beralih menjadi kubu yang selamat bagi Umno dan BN. Tambahan pula dalam pilihan raya kecil kali ini, BN juga melambakkan projek pembangunan bernilai hampir RM500 juta yang meliputi 15 projek untuk kepentingan nelayan dan pelancongan di kawasan itu. Dengan tempoh kempen hanya 11 hari tetapi 15 projek dicurahkan, bermakna dalam sehari penduduk di situ diberi lebih daripada satu projek pembangunan. Ini merupakan suatu hakikat bahawa kerajaan sebenarnya amat pemurah dalam mencurahkan projek jika kedudukannya hampir tergugat. Dalam keadaan itu, tidak menghairankan jika BN terus menang di Kuala Besut. Bagaimanapun, kemenangan ini sebenarnya tidak boleh terlalu dibanggakan jika dikira dengan nilai wang yang dicurahkan berbanding dengan undi yang diperoleh. Meskipun mengekalkan kedudukan 17-15 di DUN Terengganu, kemenangan di Kuala Besut hanyalah dengan majoriti 2592 undi berbanding 2434 pada pilihanraya umum 5 Mei lalu. Ini bermakna dengan hampir RM500 juta dicurahkan, 15 projek pembangunan dilambakkan dan hampir semua menteri dan pemimpin Umno serta kerajaan berkampung atau berulang-alik ke Kuala Besut, peningkatan undi yang diperolehi hanyalah 158 sahaja. Terlalu mahal kos yang perlu dibayar untuk kemenangan ini dan hampir tidak berbaloi dengan nilai kemenangan yang diperoleh. Kalaupun kemenangan ini mahu juga dibanggakan dan membuatkan hati gembira, barangkali yang layak berbuat demikian hanyalah Menteri Besar, Ahmad Said saja. Dengan kemenangan ini dan mengekalkan status quo 17-15, Ahmad Said sekurang-kurangnya akan kekal lagi sebagai Menteri Besar sehingga 2018. Jika BN kalah dan kedudukan menjadi 16-16, kedudukan beliau sebagai Menteri Besar tentunya akan tergugat. Tetapi sekarang beliau tentunya boleh tersenyum panjang sehingga tarikh pilihan raya umum akan datang. Kerusi Menteri Besarnya pasti selamat dan tidak tergugat lagi, kecuali kalau ada lagi ADUN BN yang meninggal dunia selepas ini. Bagi Muhyiddin dan Idris Jusoh yang menjadi Pengarah dan Timbalan Pengarah pilihanraya pula, kemenangan ini tidak mengubah apa-apa kedudukan mereka. Mungkin sekadar menerima pujian dan kata-kata ucapan tahniah saja. Kedudukan Najib juga tidak berubah. Kemenangan di Kuala Besut ini juga tidak mungkin menjadikan kerusi Presiden Umno dan Perdana Menteri yang didudukinya bertambah kukuh atau kebal. Isu pilihan raya kecil jelas berbeza dengan isu dalam pemilihan Umno. Sekiranya ditakdirkan ada pertandingan bagi jawatan Presiden Umno hujung tahun ini, kemenangan di Kuala Besut ini sama-sekali tidak menjadikan graf politiknya menaik, bertambah baik atau menjadikan beliau takut ditandingi. Sokongan pengundi Melayu luar bandar terhadap Umno yang dicapai dalam kemenangan di Kuala Besut ini tidaklah terlalu menghairankan. Kemenangan 133 kerusi dalam pilihanraya umum lalu pun disumbangkan oleh pengundi Melayu di kampung-kampung, luar bandar dan pedalaman. Sokongan mereka kepada Umno dan BN adalah kerana keyakinan mereka Umno masih memperjuangkan kepentingan Melayu di samping adanya pemimpin seperti Muhyiddin yang masih kuat jiwa Melayunya. Dalam erti kata yang lain, pengundi Melayu rata-ratanya menolak sikap liberal, terbuka dan jiwa 1Malaysia yang cuba diterapkan oleh Najib. Hanya kerana masih adanya Muhyiddin dan lain-lain pemimpin yang meletakkan "Melayu dahulu" yang masih ada dalam Umno yang masih menambat hati mereka ini terhadap Umno. Meskipun Muhyiddin menyifatkan kemenangan di Kuala Besut adalah hadiah hari jadi kepada Najib yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke-60, hakikatnya hadiah ini tidaklah begitu berharga kepada Najib. Berbanding Ahmad Said yang dihadiahkan dengan kekal sebagai Menteri Besar melalui Kuala Besut dan Muhyiddin yang lebih diberi pujian atas kedudukannya sebagai Pengarah Pilihan Raya, Kuala Besut sebenarnya hanya memberi makna yang kecil bagi Najib. Bahkan yang lebih dibimbangi Najib kiranya aura kemenangan Kuala Besut ini lebih menyerlahkan kehebatan Muhyiddin berbanding dirinya menjelang Perhimpunan Umno hujung tahun ini. http://shahbudindotcom.blogspot.com/ | ||||
Selangor Syaratkan 30% Wanita Sebagai Ahli Majlis Di Setiap PBT Posted: 25 Jul 2013 12:35 AM PDT SHAH ALAM : Kerajaan Negeri mensyaratkan setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus Ahli Majlis di kalangan wanita untuk penggal akan datang. Ia merupakan salah satu kriteria yang diperlukan pada pemilihan Ahli Majlis PBT yang akan bermula pada 1 Januari 2014. Selain itu, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata, tempoh perkhidmatan Ahli Majlis juga tidak boleh melebihi daripada empat tahun atau dua penggal berturut-turut. Katanya, antara syarat minimum adalah mesti berumur 21 tahun ke atas, dan memiliki kelayakan minimum akademik sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan menetap sekurang-kurangnya lima tahun di bawah PBT berkenaan. Pembahagian kuota juga hendaklah 75 peratus merupakan calon daripada parti politik, manakala 25 peratus daripada calon Badan Bukan Kerajaan (NGO). "Calon NGO hendaklah daripada organisasi berdaftar dan namanya hendaklah dicadangkan oleh organisasi berkenaan," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini. | ||||
Empat Wanita Islam Sertai Ratu Cantik Berdarah Campuran Posted: 25 Jul 2013 12:34 AM PDT MTAR ONLINE PETALING JAYA: Empat gadis Islam yang tidak dibenarkan menyertai pertandingan merebut gelaran 'Miss World Malaysia 2013' adalah dari keluarga berdarah campuran. Wafa Johanna De Korte, 19, berketurunan Belanda dan Melayu dan dibesarkan di Kuala Lumpur. Wafa Johanna, mula terlibat dalam iklan televisyen sejak berusia lima tahun. Dia amat menggemari kepelbagaian budaya dan latar belakang kaum di Malaysia. "Semua orang hidup aman dan ia amat menakjubkan untuk melihat kita hidup harmoni," katanya. Sara Amelia Muhammad Bernard, 20, dari Ipoh, berkata ibunya berdarah kacukan British dan Melayu manakala bapanya, Iban-Jerman. Sara Amelia memulakan karier sebagai model apabila menyambung pengajian di Kolej Taylor Sri Hartamas. "Saya mempunyai rakan-rakan dari pelbagai kaum dan mempunyai peluang untuk belajar mengenai adat dan kepercayaan. Saya juga menyukai kepelbagaian makanan di Malaysia," tambahnya. Miera Sheikh, 19, gadis kacukan Melayu dan Arab, menetap di Singapura ketika kecil sebelum berpindah semula ke Malaysia bersama ibu bapanya. Dia berkecimpung dalam bidang peragaan sejak di Tingkatan 3. Kathrina Ridzuan, 23, berdarah campuran Inggeris dan Melayu serta pernah muncul sebagai model dalam beberapa iklan. | ||||
Harga ayam sepatutnya ditetap sebelum puasa Posted: 25 Jul 2013 12:31 AM PDT
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Pesekutuan menyifatkan tindakan kerajaan yang akhirnya menetapkan harga standard RM 7.70 sekilogram berkuatkuasa esok sebagai "lambat bertindak". Setiausahanya Nurul Islam Mohamed Yusof berkata, pihak kementerian sepatutntya bertindak lebih awal kerana isu kenaikan harga ayam ini bukan baru, malah setiap tahun menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidil Fitri pasti akan berlaku. "Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan ingin mendesak pihak kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang diketuai oleh menterinya, Datuk Hasan Malek untuk mengambil langkah drastik terhadap isu ini. "Sewajarnya langkah ini sudah dirancang awal kerana musim perayaan berlaku setiap tahun, dan harga ayam ini naik mendadak pada tahun ini. Satu mekanisme kawalan mesti dilakukan oleh pihak kementerian," katanya dalam satu kenyataan. Menurutnya, jika ketetapan harga dibuat awal, contohnya sebelum Ramadan lalu, iaitu ketika harga ayam hanya RM6.50 sekilogram, maka kenaikan mendadak sehingga RM9.00 sekilogram seperti disesetengah tempat tidak akan berlaku. Malah, mungkin juga harga tersebut boleh dikurangkan dan tidak perlu mencecah RM7.70 sekilogram seperti yang diwartakan oleh kerajaan bermula esok, iaitu selepas 16 hari umat Islam sudah menjalani ibadah puasa. "Kami juga berpendapat sekadar menetapkan harga kawalan tidak memadai tanpa ada pemantauan dan penguatkuasaan dari pihak Kementerian. "Justeru, pihak DPPWP dengan tegas mendesak pihak kerajaan untuk membuat pantauan yang ketat dan konsisten khususnya terhadap pengusaha dan pembekal daging ayam bagi memastikan harga ayam berada dalam kawalan," katanya. | ||||
Jerebu Beralih Ke Utara, P.Pinang Hampiri Paras Tidak Sihat Posted: 25 Jul 2013 12:26 AM PDT GEORGE TOWN: Kualiti udara di Pulau Pinang menghampiri paras tidak sihat. Beberapa kawasan di negeri ini pada pagi Khamis mencatatkan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) . Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), Seberang Jaya kelihatan menghampiri paras tidak sihat apabila bacaan IPU meningkat dari 95 pada pukul 8 pagi kepada 98 (10 pagi). IPU di Prai dan Universiti Sains Malaysia masih berada pada paras sederhana dengan bacaan 92 dan 83 pada pukul 10 pagi. | ||||
Perkhidmatan bas Rapid diperluas ke seluruh ibu negeri Posted: 25 Jul 2013 12:25 AM PDT Rancangan kami ialah untuk memulakan operasi di semua ibu negeri mulai tahun ini, kata CEO Zohari Sulaiman. GEORGE TOWN: Perkhidmatan bas Rapid akan diperluaskan ke semua ibu negeri secara berperingkat mulai tahun ini, seiring dengan aspirasi Belanjawan 2013 untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang berkualiti dan cekap untuk orang ramai. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rapid Bus Sdn Bhd, Zohari Sulaiman berkata kerajaan komited untuk memperluaskan perkhidmatan bas. "Rancangan kami ialah untuk memenuhi mandat dan memulakan operasi di semua ibu negeri mulai tahun ini. "Pada 2013, kami merancang perkhidmatan bas Rapid di Kota Bahru. Kami juga telah membuat persediaan untuk ini lebih awal lagi, tetapi menangguhkan pelaksanaannya. "Dengan lampu hijau diberikan kerajaan, ia seharusnya bermula tahun ini," kata beliau kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dengan kakitangan RapidPenang semalam. Ditanya sama ada bas-bas elektrik akan diperkenalkan di Pulau Pinang, Zohari berkata tiada lagi perancangan ke arah itu, tetapi projek perintis pertama, Bus Rapid Transit (BRT) Sunway Line, telah sedia sebagai landas pelancaran. Projek itu dijangka beroperasi menjelang 2015. Projek perintis "Kami merancang untuk mempunyai beberapa bas di bawah projek perintis. Sama ada ia akan diperluaskan ke kawasan operasi lain, akan diputuskan kemudian," kata Zohari, yang juga merupakan pengarah kumpulan Prasarana untuk bahagian bas. Dengan anggaran kos RM300 juta, projek itu akan dilaksanakan di bawah kerjasama awam-swasta antara Prasarana dan Sunway Bhd. Cadangan laluan BRT-Sunway akan menyediakan perkhidmatan bas yang mesra kepada para pengunjung ke Sunway Resort City dan penduduk di Bandar Sunway dan Subang Jaya. Mengulas mengenai operasi di Pulau Pinang, Zohari berkata RapidPenang akan mempunyai sejumlah 400 bas menjelang akhir 2014 untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang cekap kepada warga Pulau Pinang. Beliau berkata RapidPenang akan menambah 200 lagi bas buatan Eropah baharu, dengan 80 unit pertama dijangka tiba sebelum akhir tahun sementara yang selebihnya menjelang akhir tahun depan. Zohari berkata daripada 120 bas itu, 40 unit ialah bas dua tingkat.- Bernama | ||||
Alvin, Vivian Dibenar Ikat Jamin RM30,000 Seorang Posted: 25 Jul 2013 12:21 AM PDT MSTAR ONLINE KUALA LUMPUR: Pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee yang ditahan di penjara, akan dibebaskan dengan ikat jamin RM30,000 setiap seorang dengan dua orang penjamin. Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin yang membenarkan permohonan mereka bagi semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan mereka diikat jamin. Mohd Azman membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Chong Joo Tian yang mewakili pasangan berkenaan dan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff. "Setelah mahkamah menyemak perintah Hakim Mahkamah Sesyen Murtazadi Amran mengikut Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah dan Seksyen 35 Akta Mahkamah Kehakiman, mahkamah memberi jaminan RM10,000, masing-masing kepada kedua-dua pemohon dengan dua orang penjamin bagi setiap pertuduhan," kata hakim itu. Alvin yang ditahan di Penjara Sungai Buloh dan Vivian di Penjara Kajang menghadapi tiga pertuduhan. Mereka tidak hadir di mahkamah pada Khamis. Mohd Azman turut mengenakan empat syarat tambahan kepada mereka, iaitu pasangan itu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis pada minggu pertama setiap bulan. Mahkamah turut melarang mereka memuat naik artikel, komen, gambar lucah atau jelek serta apa-apa bentuk penulisan yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman. Selain itu, mereka juga dihalang daripada menggunakan peranti komunikasi berangkaian bagi mengakses Internet untuk memuat naik gambar, komen dan artikel yang boleh menghasut dan menimbulkan permusuhan antara kaum. Bagaimanapun, Mohd Azman mengekalkan perintah Mahkamah Sesyen supaya ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapi pasangan itu dibicarakan bersama selepas mendapati ia melibatkan transaksi dan saksi sama. - BERNAMA | ||||
PAS akur dengan keputusan PRK Kuala Besut - Bernama Posted: 25 Jul 2013 12:19 AM PDT Calon PAS Endot@Azlan Yusof akur dengan kekalahannya kepada calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut. "Saya terima kekalahan ini dan kalah itu perkara biasa, kita tidak merasa pelik dengan kekalahan ini tetapi jikalau kita menang ia memang suatu yang luar biasa," katanya. Beliau yang dikenali sebagai Che Long, 48, berkata demikian pada sidang media di markas PAS PRK Kuala Besut di Kampung Baharu, Kuala Besut, semalam. Azlan, seorang kontraktor, menyifatkan pilihan raya ini sebagai aman dan berpuas hati dengan kempen selama 12 hari sejak 12 Julai lalu. Calon PAS itu, bagaimanapun tidak hadir ketika keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK A Rahim Jusoh di Dewan Majlis Daerah Besut di Jerteh, malam tadi. Beliau memberi alasan tidak sempat hadir kerana sibuk tetapi enggan mengulas lanjut. Azlan kalah kepada Tengku Zaihan, 37, dengan majoriti 2,592 undi selepas mendapat 5,696 undi berbanding calon BN 8,288 undi. Sementara itu, PAS mengakui strategi 'Gelombang Biru' BN lebih mantap berbanding slogan '16-16 Terengganu Baru.' Yang Dipertua PAS Besut, Wan Azhar Wan Ahmad, berkata penduduk Kuala Besut dilihat lebih mementingkan pembangunan yang dicanangkan BN. - Bernama | ||||
Bukan semua Syiah sesat, kata Mufti Perak Posted: 25 Jul 2013 12:17 AM PDT Beliau menegaskan perihal ibadah golongan Zaidiah yang terletak di bawah pecahan Syiah diterima kerana tidak berbeza dengan pegangan mazhab Shafie. Mufti Perak itu juga mendedahkan terdapat kira-kira 70 mazhab yang terangkum dalam fahaman Syiah. "Kita tidak menolak ada fahaman Syiah ini yang dianggap terkeluar dari Islam. Ini kerana ajaran Syiah yang hangat diperkata memang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sanggup mengkafirkan rakan seagama," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider. Seorang ahli akademik dari sebuah universiti tempatan yang terlibat dalam kajian ketamadunan menyifatkan isu Syiah hangat diperkatakan berikutan krisis di Timur Tengah yang belum menemui jalan penyelesaian. Jika isu itu terus diperbesarkan di Malaysia, katanya, tidak mustahil negara juga bakal berdepan kemelut perang saudara, malah mungkin mengheret kaum lain yang tidak terlibat dalam isu itu. "Sebelum kejatuhan Presiden Mesir Mohamed Morsi, diskriminasi kaum berlaku kepada penganut Kristian dan Syiah di sana. Empat orang berfahaman Syiah dibunuh dengan kejam dalam insiden itu," katanya. Ahli akademik itu menganggap serangan terhadap Syiah di negara ini disebabkan pengaruh golongan Salafi yang membenci golongan berkenaan walaupun mereka tidak mencetuskan huru-hara dalam negara. Katanya, antara sebab kerajaan Kedah menggunakan pendekatan mengharamkan Syiah di negeri itu kerana bimbang provokasi tercetus antara pengikut Syiah dan ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri berkenaan. "Kerajaan Kedah ambil pendekatan itu kerana kebanyakan penduduknya bukan berpendidikan tinggi. Maka dikhuatiri jika ada pihak yang cuba mulakan provokasi, pergaduhan sesama Islam boleh tercetus. "Ini berlainan situasinya seperti di Kuala Lumpur, ketegangan mungkin dapat dielak jika dua kumpulan berkenaan saling mengawal sensitiviti dan emosi masing-masing," katanya. Berdasarkan sejarah, pensyarah itu berkata pengembangan Syiah di Nusantara agresif pada abad ke-20 di Pasai dan Perlak, malah merebak ke Istana Siam pada abad ke-17 berikutan wujudnya pemakaman di Pattaya. Jika kerajaan telus untuk menyelesaikan isu Syiah, katanya, ketua mereka atau lebih dikenali sebagai 'Usuli' perlu didekati dan pendekatan musyawarah dilakukan. "Jika kerajaan terus mengancam Syiah menggunakan pendekatan menangkap atau beri kaunseling langsung, ditakuti mereka akan berpura-pura dalam penampilan dan akidah bagi mengelak diri diancam atau dikenal pasti. "Lebih mengejutkan, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Mei lalu menggesa umat Islam seluruh dunia tanpa mengira fahaman Sunni atau Syiah supaya berdamai, berhenti berbalah dan berbunuhan sesama sendiri. "Awal minggu ini, Dr Mahathir menggesa negeri yang belum mewarta fatwa anti Syiah, patut berbuat demikian dengan mengambil kira bahawa fahaman itu hanya membawa kesan negatif dan memecah belah ummah," katanya. Selasa lalu, agensi berita nasional, Bernama melaporkan kerajaan Terengganu akan mematuhi pewartaan fatwa anti-Syiah walaupun negeri itu bebas dari pengaruh fahaman atau ajaran itu. Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata laporan mendapati isu Syiah di negeri itu di peringkat terkawal. Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Salleh Man, berkata fatwa pengharaman Syiah di negeri itu sudah diumum sejak beberapa tahun lalu. | ||||
Tribunal Rakyat bermula 18 September, kerajaan harus respon, kata Ambiga Posted: 25 Jul 2013 12:10 AM PDT Tribunal Rakyat selama lima hari yang diadakan di Kuala Lumpur bagi menyiasat dakwaan berlaku penipuan pilihan raya seperti daftar pemilih yang tidak bersih serta dakwat kekal mudah ditanggalkan. "Kami jangka kerajaan akan memberi respon positif kepada semua penemuan dalam tribunal rakyat nanti." "Tribunal memberi fokus kepada isu berkaitan pilihan raya, khususnya penipuan dan salah guna kuasa," kata pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor. Dalam pada itu, Bersih juga mengumumkan enam ahli tribunal berpengalaman untuk mengendalikan prosiding yang terdiri daripada tiga dari luar negara dan tiga warga tempatan. Tiga individu dari luar negara ialah bekas Wakil Khas Setiausaha Agung PBB di Kemboja, Yash Pal Gai selaku pengerusi; bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia, Ramlan Surbakti dan Kraisak Choonhavan, bekas Presiden ASEAN Inter-Parliamentary Myanmar Caucus (AIPMC). Tiga ahli tempatan ialah Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya, Datuk Azzat Kamaludin; bekas profesor Fakulti Ekonomi dan Pentabdiran Universiti Malaya, Dr Mavis Puthucheary dan Rev Dr Hermen Shastri, Setiausaha Agung Lembaga Gereja Malaysia (CCM). "Kriteria pemilihan berasaskan pengalaman dan reputasi di kalangan masyarakat awam," kata Pengarah Eksekutif Pertubuhan Kebajikan Wanita (WAO), Ivy Josiah yang turut sama dalam sidang media hari ini. Bagi pasukan perundangan, Bersih mengumumkan pelantikan Profesor Undang-Undang Universiti Malaya Gurdial Singh Nijar bagi mengumpul bukti dan mengambil keterangan saksi untuk dibentang dalam tribunal. Di samping itu, Ahli Jawatankuasa Penganjur lain turut berada dalam Tribunal Rakyat ialah Irene Fernandez, Meera Samanther dan Jerald Joseph. Ambiga berkata, tribunal itu akan menjadi platform 'kuasa moral' untuk menyiasat secara terbuka pendedahan penipuan yang didakwa dalam pilihan raya umum 5 Mei. "Kami juga akan menjemput pemerhati untuk melihat perjalanan prosiding, ia termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya," katanya. | ||||
5,696 pengundi berjiwa besar di Kuala Besut Posted: 24 Jul 2013 11:59 PM PDT Seperti yang dijangka ramai orang - berdasarkan situasi pilihan raya kecil Dun Kuala Besut itu sendiri, demografi pengundi dan limpahan pelbagai janji, imbuhan pelbagai bentuk - maka calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman menewaskan lawannya dari PAS, Endut@Azlan Yusof dengan majoriti 2,592 undi. BN memperolehi 8,288 undi, manakala PAS pula memperolehi 5,696 undi. Pada pendapat saya, mereka yang mengundi PAS seramai 5,696 itu adalah pengundi yang sangat luar biasa, mempunyai daya pemikiran politik yang menjangkau jauh walaupun berada di kawasan nelayan miskin. Mereka berfikiran matang dan mempunyai harga diri, tidak mudah dibeli, tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai janji yang ditaburkan sepanjang kempen. Boleh ditafsirkan bahawa dalam situasi yang sedemikian rupa, masih ada sejumlah 5,696 pengundi yang berjiwa besar dan pengundi inilah menjadi kekuatan asas kepada PAS sendiri untuk merancang masa depannya di kawasan ini. Pilihan raya kecil Kuala Besut memang sangat luar biasa walaupun hanya 17,679 pengundi – 98 peratus Melayu – kerana pilihan raya kecil tersebut telah mencapai rekod tertinggi peruntukan, pelbagai habuan, janji projek dan pelbagai lagi daripada Barisan Nasional. Jumlah semuanya RM337 dan sekiranya jumlah itu dibahagikan di kalangan 17,679 pengundi berdaftar, ini bermakna undi di Kuala Besut bernilai RM19,000 setiap satu. Demikian menurut badan reformasi pilihan raya Bersih 2.0. Bagaimanapun, menurut Ahli Jawatankuasa Induk PRK Kuala Besut Dr Dzulkefly Ahmad pula, jumlah peruntukan yang digunakan oleh Umno BN sehingga hari terakhir kempen tersebut mencecah RM476.19 juta. Jumlah ini sekaligus meletakkan nilai PRK Kuala Besut antara yang tertinggi dalam sejarah pilihan raya. Dalam hubungan ini Bersih 2.0 membidas berleluasanya kejadian pancing undi dengan dana awam yang dilakukan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri pada kempen pilihan raya kecil itu. Kuala Besut adalah sebuah kawasan nelayan miskin yang bersempadan dengan Negeri Kelantan. Selama kempen itu, Umno/BN menaburkan pelbagai janji projek, khususnya perumahan untuk nelayan miskin, serta pelbagai habuan lain yang tidak terpermenai banyaknya dan tentunya pengundi di situ 'sangat beruntung' justeru hari raya akan menjelang dua minggu lagi. Seperti saya katakan dulu bahawa sepanjang sejarah pilihan raya di Malayasia, kawasan miskin, lebih-lebih lagi yang jauh di pedalaman, maka Umno/BN begitu mudah mencapai kemenangan setiap pilihan raya. Bahkan ada persepsi umum bahawa kawasan miskin menjadi 'simpanan tetap' kepada Umno/BN. Ertinya, Umno/BN tidak bimbang kedudukannya jika pilihan raya di adakan di kawasan miskin, bukan kerana ia benar-benar pembela golongan tersebut, tetapi 'pengundi menerima habuan dan membalas budi'. Beri saja mereka habuan, mereka mudah mengundi Umno/BN. Kaedah ini yang dilakukan oleh mereka sejak 'zaman berzaman', dijangka akan berterusan, justeru cara ini mudah dilakukan dan kesannya lumayan. Pengundi Kuala Besut dan kawasan pedalaman miskin yang lain tidak memerlukan isu besar dan canggih seperti kegawatan ekonomi, kronisme, nepotisme, pembaziran, pelanggaran hak asasi manusia, demokrasi, kebebasan bersuara dan lain-lain. Pengundi di kawasan miskin hanya memikirkan sekitar kehidupan harian mereka. Maka golongan seperti inilah menjadi 'lubuk' yang sangat mudah Umno/BN mengekalkan pengaruhnya yakni mereka membawa habuan yang banyak dari kota dan menaburkan janji pelbagai projek. Sebab itu, hampir setiap hari sepanjang kempen pilihan raya kecil di Kuala Besut ini janji demi janji diumumkan, di samping pelbagai habuan lain. Saya melihat pelbagai gambar jamuan demi jamuan di malam hari di kawasan itu dan di siang hari pelbagai bantuan lain dihulurkan. Inilah suasana ketika kempen pilihan raya di Dun tersebut. Beberapa pengundi yang ditemui berkata: "PAS bagus, tapi dia tidak boleh beri wang." Ini menggambarkan hampir keseluruhan suasana di situ. Menurut kajian Ilham Centre, kedudukan sosioekonomi pengundi di Dun tersebut yang berada di bawah garis kemiskinan menyebabkan kebergantungan kepada manipulasi bantuan pihak BN. Sebab itu saya mengatakan dari awal bahawa PAS menghadapi pilihan raya kecil Kuala Besut ini dalam situasi up-hill battle, sepeprti mendaki bukit. Bagaimanapun jentera PAS/Pakatan rakyat sewajarnya dipuji kerana telah bertungkus-lumus siang dan malam, tidak kira walaupun pada bulan Ramadhan. Dalam pilihan raya kecil Kuala Besut itu tercipta sejarah hitam yang akan diingat lama, apabila pihak pengurusan kem tentera Gong Kedak, di Besut, seperti yang dilaporkan, menghalang Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menunaikan solat Maghrib di masjid TUDM. Itulah antara wajah buruk pilihan raya kecil Dun tersebut. Sementara itu, sewajarnya kita mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengarah PRK PAS Kuala Besut, Dato' Husam Musa, Yang Dipertua PAS Besut Wan Azhar Wan Ahmad, Pengurus Kempen PRK Kuala Besut Hanapiah Mat dan pimpinan semua peringkat yang bekerja keras semasa kempen tersebut. Yang sangat penting difikirkan di sini ialah supaya PAS/Pakatan Rakyat menumpukan perhatian mendidik pengundi, memberikan kefahaman dan kesedaran politik bukan saja kepada pengundi di Dun Kuala Besut tetapi juga di seluruh negara terutamanya di kawasan pedalaman. PAS/Pakatan Rakyat mempunyai harapan masa depan. Pakatan telah menawan pengundi bandar dalam PRU yang lalu. Oleh itu, perhatian serius perlu diberi kepada pengundi luar bandar, di samping mengekalkan sokongan pengundi bandar. | ||||
Proksi anak bekas PM lawan menantu bekas PM Posted: 24 Jul 2013 11:55 PM PDT Apabila Pemuda Umno Johor membuat keputusan agar jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia terbuka untuk dipertandingkan, maksud tersiratnya tidaklah sukar difahami. Meskipun mereka memberi alasan untuk menyuburkan sistem demokrasi, alasan pokoknya ialah untuk memberi ruang kepada Naib Ketua Pemudanya, Razali Ibrahim bertanding jawatan itu menentang Khairy Jamaluddin. Razali kini sudah pun melebihi usia 40 tahun dan tidak boleh berada lagi dalam Pemuda Umno, kecuali menjadi Ketua Pemuda kerana Perlembagaan Umno menetapkan hanya bagi jawatan ketuanya yang tidak tua-tua dan sentiasa digelar "pemuda".Sementara KJ mengalu-alukan sesiapa juga yang mahu mencabarnya, Razali pula masih berdiam diri lagi dan akan memberi keputusan dalam masa yang sesuai nanti. Beliau mungkin sedang memikirkan semasak-masaknya apakah mahu mencabar KJ atau meninggalkan dunia Pemuda Umno begitu saja tetapi secara logiknya jika beliau tidak mahu bertanding, beliau sudah boleh memberi jawapan lebih awal. Namun dengan menangguh-nangguh untuk memberi jawapan yang pasti menunjukkan keinginan untuk bertanding itu ada dalam dirinya. Dalam hubungan ini, langkah yang diambil oleh Pemuda Johor yang mahukan jawatan Ketua Pemuda terbuka untuk dipertandingkan sebenarnya tidak lebih sebagai usaha merisik khabar dan meninjau-ninjau respon daripada Pemuda bahagian-bahagian seluruh negara. Sekiranya respon yang diperolehi memuaskan hati dan boleh dijadikan asas untuk menyertai persaingan, tidak ada sebab Razali tidak mahu bertanding menentang KJ, walaupun dalam kerajaan jawatannya hanyalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri manakala KJ pula adalah Menteri Belia dan Sukan. Perbezaan jawatan dalam kerajaan tidak menjadi masalah kerana ia boleh ditampung melalui sokongan daripada pihak-pihak atasan yang menaunginya. Ini pernah berlaku ketika Zahid Hamidi yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan tetapi menang jawatan Ketua Pemuda pada 1996 walaupun pencabarnya ketika itu mempunyai jawatan menteri dan menteri besar. Zahid menang kerana Anwar yang menjadi Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri menaunginya ketika itu. Dalam politik Umno, Razali juga mempunyai penauntnya. Razali dikenali sebagai anak didik kepada Hishammuddin Hussein, Naib Presdien Umno dan Menteri Pertahanan sekarang ini. Beliau pernah menjadi Setiausaha Sulit kepada Hishammuddin dan kemudian bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno Muar pada tahun 2000 tetapi tewas. Bagaimanapun kerana hubungan Hishammuddin yang rapat dengan Menteri Besar Johor ketika itu, Ghani Othman, beliau dikatakan telah melobi agar Razali dipilih sebagai calon pilihanraya bagi kerusi Parlimen Muar pada tahun 2004. Selepas pilihan raya itu, Hishammuddin yang ketika itu menjadi Ketua Pemuda Umno Malaysia telah melantik Razali sebagai Ketua Pemuda Umno Johor. Sejak itu bintangnya menyinar dalam Pemuda Umno dan kemudian menang jawatan Naib Ketua Pemuda Umno pada pemilihan 2009 menewaskan Reezal Merican. Apa pun tanggapan ramai mengenai Razali, kedudukannya sebagai anak didik Hishammuddin adalah sesuatu yang sukar ditanggalkan sehingga ada yang berkata, dikerat 14 pun Razali tetap akan menganggap Hishammuddin sebagai bos dan mentornya dalam politik. Jika Razali bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno, pemilihan Umno hujung tahun ini akan menyaksikan paling ramai pemimpin dari Johor menawarkan diri untuk bertanding. Dengan Muhyiddin dan Hishammuddin sudah sedia ada sebagai Timbalan Presiden dan Naib Presiden dari Johor, Razali sebagai calon Ketua Pemuda juga dari Johor, bagi jawatan Ketua Wanita Umno pula kemungkinan dua tokoh dari Johor iaitu Halimah Siddique dan Azalina Othman Said akan turut menyertai pertandingan kali ini. Andainya Menteri Besar Johor, Khaled Nordin mahu mencuba lagi bertanding jawatan Naib Presiden Umno di mana beliau hanya kalah tipis pada 2009 lalu, bermakna lebih ramai pembesar-pembesar dari Johor mahu menguasai Umno melalui pemilihan kali ini. Itu belum dikira lagi yang bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi Umno. Kebarangkalian Razali bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda Umno sukar ditolak bukan saja kerana faktor umurnya yang tidak boleh lagi berada dalam dunia kepemudaan selain menjadi ketua, tetapi juga untuk kepentingan mengukuhkan lagi kedudukan bos dan mentornya Hishammuddin dalam hireaki UMNO. Dengan Razali sebagai protegenya menjadi Ketua Pemuda, secara automatik kedudukan Hishammudin dalam Umno menjadi lebih kukuh berbanding Naib-Naib Presiden yang lain, bahkan peluangnya mengekalkan jawatan itu menjadi lebih mudah lagi kali ini. Selain dilihat penyertaannya dalam pertandingan itu sebagai proksi kepada Hishammuddin, untuk mencabar KJ yang berjawatan menteri penuh, Razali juga mungkin terpaksa memohon sokongan daripada penyokong-penyokong Mukhriz Mahathir yang kini sudah menjadi Menteri Besar Kedah. Mukhriz yang kalah bersama Khir Toyo ditangan KJ dalam pemilihan 2009 lalu dikatakan mahu mencuba kerusi Naib Presiden pula kali ini. Atas perkiraan menang-menang, Mukhriz tentunya akan meminta para penyokongnya dalam Pemuda supaya menyokong Razali untuk menewaskan KJ dan seterusnya akan membuka laluannya lebih mudah kepadanya untuk memenangi jawatan Naib Presiden Umno bersama-sama dengan Hishammuddin. Dengan kedudukan ini, penyertaan Razali dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda ini sebenarnya adalah menjadi proksi kepada dua anak bekas Perdana Menteri iaitu Hishammuddin dan Mukhriz manakala KJ yang bakal dilawannya pula adalah menantu bekas Perdana Menteri. Ini sekaligus menjadikan perebutan jawatan Ketua Pemuda UMNO kali ini paling glamour, berprestij dan mempunyai nilai pasaran paling tinggi. - shahbudindotcom.blogspot.com, | ||||
Warga Kuala Besut, nantikan limpahan pembangunan Posted: 24 Jul 2013 04:15 PM PDT
Pertama sekali tahniah kepada warga Kuala Besut atas pilihan anda semua. Nyata dan jelas sekali BN masih di hati pengundi Kuala Besut. Pada PRK Kuala Besut hari ini, calon PAS, Endot @ Azlan Yusof yang mesra dengan panggilan Che Long mendapat 5,696 undi sementara calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman memperoleh 8,288 undi. Walaupun rata-rata pengundi yang sempat saya temui sepanjang tempoh kempen mengakui ketinggian budi, keluhuran peribadi calon PAS, tetapi… saya nukilkan beberapa dialog yang dilalui sendiri sepanjang 12 hari kempen PRK Kuala Besut dengan masyarakat setempat. "Mok cik ni jak zaman ritu lagi pakoh dacing, lagu mano pun mok cik dok leh tukar, hok awe royat tu comey blako doh, tapi nak wat guano, mok cik dok leh pakoh hok lain dari dacing.." "Calon Pas ni kito kenal, ore baik, jjuruh, suko tolong ore. Tapi gak ambo dok tukar dengan dacing walau mari malaikat pun…" "kawe ni ore susah, mmikir setakat nak makan anok beranok loo jah! Sapo hok buleh wi pitih, hok tu kawe undi.." "Mintak maaf laa awe weehh… anok-anok ambo sekoloh ramai lagi, kan keno tarik bantuan, dok berasap laa dapur ambo…" Apa yang cuba saya nukilkan di atas adalah sedikit gambaran cara berfikir warga Kuala Besut. Ternyata slogan '16:16 Terengganu Baru' sedikit pun tak berbekas di hati pengundi yang digambarkan hasilnya dengan peningkatan majoriti kemenangan BN. Ternyata orang Kuala Besut bukanlah idealis dan boleh dipengaruhi dengan isu-isu walaupun apa yang kita bawa adalah isu setempat yang mampu dipandang dan 'dikelih' oleh mata kasar. Mereka lebih memikirkan survival hidup hari ini, esok dan seterusnya… 'nok wat make loo' ikut istilah orang Besut. Mungkinkah idea-idea yang kita sepanjang kempen bawa tak mampu dihadam dengan baik oleh mereka? Seorang teman seperjuangan menitipkan mesej, "bersabarlah wahai para pejuang. Kita bukan berlawan dengan Umno/BN, tetapi kita berhadapan dengan gerombolan kuasa kerajaan pusat dan kerajaan negeri dengan segala macam machinery, money and media. 'Habih tea' ikut istilah orang Besut. Saya mengakui kebenaran kata-kata sahabat ini. Apakah kemenangan dengan cara ini bermaruah? Aaah! Persetankan istilah maruah dan integriti. Dengan wang dan kuasa, segalanya mungkin. Nyata dengan janji pembangunan yang tak pernah dilihat oleh mata, orang Kuala Besut akan memahat sejarah mencipta tamadun! Muara Sungai Besut akan bertukar menjadi gerbang pelancongan antarabangsa dengan peruntukan RM250 juta. Empangan baru Pengkalan Nangka RM35 juta. Sekolah Menengah Alor Peroi, rumah pangsa mampu milik Tok Saboh serta pelbagai lagi projek pembangunan. Diharap selepas ini Lebuhraya Pantai Timur akan disambungkan terus ke Kuala Besut. Peruntukan hampir RM400 juta untuk sebuah Dun sekecil Kuala Besut dengan hanya lebih 17 ribu pengundi adalah suatu limpahan yang hebat. Tahniah sekali lagi warga Kuala Besut. Diharap tempiasnya akan mengalir sedikit sebanyak ke Jabi dan tentunya warga Pasir Puteh yang bersepadan juga berminat untuk tumpang sekaki. Seorang teman di Besut sempat melahirkan 'kebimbangannya' "Lagu tu punyo janji, ambo bimbe kawasan lain pun turut buat semayang hajat, mintok tok wokil dia mati awal…" saya hanya mampu tersenyum. Selamat menempuh baki 15 hari lagi dari bulan Ramadhan al Mubarak. | ||||
Sokong Pakatan: Orang Asal dinafi kad pengenalan Posted: 24 Jul 2013 04:09 PM PDT Oleh Masdar Wahid KUALA LUMPUR: Ahli parlimen Miri Dr Michael Teo Yu Keng menyelar sikap membisu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan agensi berkaitan berhubung permohonan sekumpulan orang Asal di Sarawak mendapatkan Kad Pengenalan (IC) di negeri itu. "Bertahun-tahun orang Asal ini memohon IC. Bukan sahaja tidak diendahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), malah mereka dihina dengan pelbagai kata-kata kesat semasa mengemukakan permohonan. "Lebih kurang ajar, cubaan Orang Asal meminta perhatian Najib yang tiba di Miri baru-baru ini langsung tidak dipedulikan," kata Dr Michael (gambar) kepada Keadilandaily. Beliau menjelaskan perkara tersebut pada sidang media di lobi Parlimen, baru-baru ini. Michael menyifatkannya sikap dwi standard JPN terhadap orang Asal sebagai zalim dan tidak profesional dalam menguruskan hak rakyat. "Adalah menjadi hak seseorang menyokong mana-mana parti sebagaimana dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. "Tugas pegawai JPN ialah memproses permohonan tanpa prejudis terhadap latar belakang pemohon," katanya. Sejak beberapa tahun, orang Asal termasuk kaum Penan yang memohon Daftar Lewat Sijil Lahir dipinggir kerajaan Sarawak walaupun Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengakui kumpulan itu adalah peribumi. Sedangkan orang Asal sukar mendaftar IC sebaik dilahirkan kerana masalah pengangkutan dan penempatan mereka jauh di luar bandar selain kos pengangkutan yang tinggi. Mereka terpaksa mengambil masa beberapa hari untuk tiba ke pekan atau bandar yang paling hampir. Justeru, Teo mengumumkan minatnya untuk bertanding dalam pilihan raya Sarawak (PRN) akan datang bagi membantu Pakatan Rakyat menawan negeri terbesar di Malaysia itu. | ||||
Hakim rayuan kes Fitnah II disebut dalam video VK Lingam Posted: 24 Jul 2013 04:01 PM PDT Oleh Sidiqin Omar KUALA LUMPUR: Seorang daripada tiga panel hakim rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim Fitnah II ialah Datuk Ramly Mohd Ali. Ramly (atas) adalah hakim yang membenarkan permohonan rayuan Datuk Zambry Kadir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung status Menteri Besar Perak. Nama Ramly juga pernah disebut dalam rakaman video Hakim VK Lingam yang mencetuskan kontroversi pada 2007. "Ada kemungkinan dia (Ramly) dilantik untuk memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kalah, " kata ahli parlimen Batu, Tian Chua. Selain Ramly, dua lagi hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya terdiri daripada Tengku Maimun Tuan Mat dan Mohd Zawawi Salleh. Sementara itu, Tian menambah, pelantikan Shafee Abdullah (kiri) sebagai ketua pasukan pendakwaan adalah pincang kerana beliau merupakan peguam BN dalam kes membabitkan krisis perlembagaan negeri Perak di mahkamah. Dalam perbicaraan tersebut, BN diwakili Shafee dan penasihat undang-undang Umno, Datuk Hafarizam Harun. "Pelik apabila kerajaan tidak melantik mana-mana DPP (Timbalan Pendakwaraya) dari pejabat Peguam Negara," katanya. Justeru kata Tian, Shafee berpotensi tidak meletakkan posisinya sebagai ketua pendakwa dengan tujuan menegakkan keadilan berikutan sikapnya yang prejudis terhadap Pakatan Rakyat dan Anwar. "Shafee berkata dengan angkuh; dalam satu atau dua jam, dia boleh seksa Anwar. "Jelas ada unsur campur tangan politik dalam kes rayuan ini. Seolah ada niat untuk melanjutkan konspirasi," kata Tian. | ||||
RM100,000 selenggara lif 4 pangsapuri Posted: 24 Jul 2013 03:56 PM PDT Oleh: Masdar Wahid SHAH ALAM : Kerajaan Selangor memperuntukkan RM100,000 bagi menyelenggara dan membaikpulih lif rosak di empat blok Pangsapuri Desa Mentari, Petaling Jaya. Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad berkata, peruntukan itu diberi selepas menerima aduan penghuni pangsapuri berkenaan yang terpaksa mengguna tangga hingga ke tingkat 18 akibat lif rosak. "Kerajaan Negeri mengambil inisiatif membantu penduduk sebaik menerima maklumbalas daripada pemaju yang menyatakan pungutan penyelenggaraan pangsapuri itu tidak mencukupi. "Penyelenggaraan dan membaikpulih semua lif akan mengguna peruntukan Skim Bantuan Baik Pulih Harta Bersama Pangsapuri (Ceria)," katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di pejabat Menteri Besar hari ini. Menurutnya, kerajaan Selangor sedia menimbang cadangan rakyat agar sebuah pasukan khas ditubuh bagi memantau, membaikpulih serta menyelesaikan masalah kerosakan lif di pangsapuri kos rendah seluruh negeri itu. Pada 17 Julai lalu, seorang kanak-kanak berusia 11 tahun maut dengan lehernya hampir putus selepas terperosok di celah lif yang rosak di tingkat 3 Blok 8, di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) milik Kerajaan Persekutuan. Bagaimanapun, dua hari selepas itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan menyatakan agar rakyat jangan menyalahkan kerajaan persekutuan ekoran kejadian itu walaupun masalah lif tidak diselenggara sering dibangkitkan rakyat di media sejak sekian lama. | ||||
BN kekal kerusi, majoriti 4,000 tersasar Posted: 24 Jul 2013 03:53 PM PDT MALAYSIA KINI Keputusan tidak rasmi untuk pilihan raya kecil DUN Kuala Besut mula diperolehi malam ini melalui sumber BN dan PAS. Keputusan awal menunjukkan BN mengekalkan kawasan DUN berkenaan. Kem BN berkumpul di satu hotel empat bintang, Demong Resot dengan diketuai timbalan pengerusi parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kumpulan penyokong PAS pula berhimpun di Kampung Baharu. Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan calon PAS Endot@Azlan Yusof LANGSUNG 10.15pm: Pengurus pilihan raya kecil DUN Kuala Besut A Rahim Jusoh mengumumkan Tengku Zaihan sebagai ADUN Kuala Besut. BN - 8,288 undi PAS - 5,696 undi Majoriti - 2,592 undi Ia menunjukkan bahawa BN hanya berjaya menambah 158 undi berbanding majoriti dalam pilihan raya umum 5 Mei. 10pm: Kumpulan penyokong BN bersorak sebaik calon parti itu, Tengku Zaihan tiba ke pusat penjumlahan undi. Tengku Zaihan diiringi barisan pemimpin parti tersebut - Tan Sri MuhyiddinYassin, Datuk Seri Ahmad Said, Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Ahmad Maslan. 9.02pm: AJK pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad berkata parti itu sedar bahawa BN mendahului dalam pilihan raya umum lagi dengan majoriti 2,434 undi. Namun, BN hanya berjaya meraih tambahan kira-kira 200 undi walau mengumumkan peruntukan RM477 juta semasa kempen tersebut, katanya. "Kami berpuas hati dan reda, meskipun disogokkan dengan begitu hebat dan juga mereka mengharapkan menang 4,000 undi, tetapi kami berjaya mengagalkan mereka," kata Dzulkefly. "Kami tahu sukar (untuk capai) menang tapi tidak mustahil dan kami menerima kekalahan. Kami melancar serangan bersungguh-sungguh namun pelbagai sebab (kekalahan) ini," katanya. Tambahnya, PAS juga tidak melihat bahawa strategi mereka untuk membentuk jumlah kerusi yang sama banyak di DUN Terengganu itu merupakan satu kesilapan. "Kami tidak menganggap agenda 16:16 satu yang silap, kerana kami telah menjelaskan sejelas-jelasnya, cuma ada rakyat yang faham dan percaya, tetapi tidak boleh memberi undi. Jika dihitung dengan sogokan, menakut-nakutkan dan sebagainya. "Kami juga berdepan dengan pengundian (pada hari bekerja), menyebabkan pengundi luar dan penyokong kami tidak dapat balik," katanya. 8.30pm: ANALISIS - PAS membuka gelanggang dengan menimbulkan isu besar termasuk isu tanah dan juga strategi untuk mencapai jumlah kerusi sama banyak dengan BN - 16:16. PAS kemudiannya berubah arah dengan menganjurkan program seperti karnival mesra rakyat, cabutan bertuah dan juga pemberian petrol percuma kepada penunggang motosikal. Pertambahan jumlah majoriti undi BN yang tidak begitu signifikan itu juga menunujukkan bahawa PAS masih dapat mengekalkan pengaruh dari penyokongnya walau tewas. 8.25pm: Setiausaha agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menulis ucapan tahniah kepada parti atas kemenangan di DUN Kuala Besut. "Tahniah BN, kita menang dengan majoriti lebih baik walau jumlah keluar mengundi 79 peratus, kita menang kesemua pusat daerah mengundi. "Terima kasih rakyat Kuala Besut (kerana) undi BN," katanya. 8pm: Sumber PAS menyebut, BN mendahului dengan hampir 2,600 undi. BN pada awal kempen mensasarkan untuk meraih sehingga 4,000 undi majoriti. PAS - 5,283 undi BN - 7,882 undi Majoriti - 2,599 undi Rosak - 93 undi | ||||
Posted: 24 Jul 2013 03:41 PM PDT SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membidas dakwaan PKR yang mengatakan pihaknya tidak bertindak ke atas maklumat atau aduan yang dibuat. Dalam laporan Sinar Harian Online semalam, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa dua aduan yang dibuat kepada SPRM sebelum ini tidak mendapat sebarang jawapan. Dua laporan tersebut berkaitan dengan isu NFC dan mengenai ahli perniagaan balak, Michael Chia. Menurut SPRM, dalam satu kenyataannya, dakwaan tersebut tidak berasas sama sekali. "SPRM ingin menegaskan, kedua-dua kes yang dimaksudkan oleh beliau (Rafizi) telah pun diambil tindakan yang sewajarnya. "Sehubungan itu, kenyataan yang mengatakan SPRM tidak bertindak ke atas maklumat atau aduan yang dibuat kepada SPRM adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali," kata SPRM dalam satu kenyataan, hari ini. Menyentuh dakwaan itu, SPRM menjelaskan serba sedikit tentang kedua-dua kes yang disentuh Rafizi. "Dalam isu-isu NFC ini, aduan yang diterima oleh SPRM adalah menjurus kepada kesalahan pecah amanah (CBT) iaitu kesalahan di bawah Kanun Kesiksaan. "Oleh itu, aduan ini telah pun dirujuk kepada pihak polis. Pengadu telah dimaklumkan akan tindakan SPRM ini dan bersetuju dengan tindakan yang telah diambil," katanya. Tambahnya, "SPRM turut menerima aduan daripada pihak lain dan menyiasat individu terlibat dengan perbuatan rasuah yang berkaitan dengan NFC dan individu terbabit telah pun dituduh di mahkamah." Dalam kenyataan sama, SPRM turut menjelaskan dakwaan terhadap kes Michael Chia. "Berkenaan dengan aduan melibatkan seorang ahli perniagaan balak, Michael Chia pula, SPRM telah bekerja keras menjalankan siasatan dengan terperinci. "Siasatan telah selesai dijalankan dan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk kajian dan keputusan mereka," katanya. Sehubungan itu, SPRM meminta agar mana-mana pihak yang tidak berpuas hati membabitkan suruhanjaya itu boleh membuat aduan. "SPRM ingin menekankan bahawa semua maklumat yang mempunyai asas berlakunya perbuatan rasuah akan diambil tindakan sewajarnya oleh SPRM mengikut peruntukkan undang undang Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. "Jika ada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan SPRM, mereka boleh membuat aduan kepada Jawatankuasa Aduan iaitu salah satu daripada lima badan bebas yang memantau tugas-tugas SPRM," katanya. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan