Khamis, 25 Julai 2013

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


[Gambar] Luahan Hati GB SK Pristana? Kecewa dengan Pemimpin UMNO?

Posted: 25 Jul 2013 08:35 AM PDT

Malas nak komen apa-apa. 

TM salin dan tampal paparan skrin in daripada laman FB yang diwujudkan khas untuk menyokong GB SK Pristana.



Adakah luahan hati di bawah ini benar atau hanya rekaan pihak tertentu? Entahlah! Namun, jika dilihat di sini, ada logiknya.

Sumber di sini.





Polis Akan Siasat Kes Sebar Gambar Murid Makan dalam Bilik Mandi dan Persalinan

Posted: 25 Jul 2013 06:47 AM PDT



[MK] Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk A Thaiveegan memberi amaran untuk mengenakan tindakan mengikut Akta Hasutan ke atas individu yang menyebar gambar menunjukkan murid bukan Islam makan di bilik persalinan SK Seri Pristana.

Thaiveegan dalam satu laporan Utusan Online berkata, penyebaran gambar berkenaan "boleh menimbulkan isu provokatif dan perbalahan kaum".

"Polis tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan kepada pihak yang menyebarkan maklumat berbaur hasutan di laman sosial berkenaan isu yang membabitkan sekolah berkenaan," katanya seperti dipetik laman tersebut.

Gambar yang berlegar di Facebook itu dilaporkan mencetus kontroversi di kalangan pengguna Internet 

Beberapa keping gambar di Facebook yang didakwa memaparkan murid bukan Muslim makan di kawasan bilik air di sebuah sekolah sewaktu bulan puasa mencetuskan kontroversi di kalangan pengguna Internet pada hari Selasa lalu.

Gambar itu dikesan dimuatkan oleh ibu bapa kepada pelajar sekolah terbabit, yang terletak berhampiran Sungai Buloh.

Ia menunjukkan pelajar duduk di meja makan yang terletak dalam kawasan bilik persalinan sekolah tersebut.

Timbalan menteri pendidikan II P Kamalanathan yang meninjau kawasan tersebut keesokan harinya bagaimanapun berkata, tindakan berkenaan tidak melibatkan soal agama atau kaum.

Kamalanathan yang berkata, ia hanya melibatkan lokasi kantin sementara tersebut, yang digunakan sejak Mac tahun ini.

Laporan awal mendakwa hanya pelajar bukan Islam dipaksa makan di kantin sementara tersebut pada bulan Ramadan.

Katanya, ia berlaku memandangkan kerja-kerja menaiktaraf kantin tersebut bermula antara seminggu hingga dua minggu lalu.

Kamalanathan juga berkata Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah tersebut juga maklum mengenai kantin sementara tersebut sejak Mac kerana ia dibincangkan dalam satu mesyuarat sebelum ia dilaksanakan.


P/s: Patutkah polis menyiasat si ibu yang mengadu di FB? Akaun FB ibu pelajar itu kini sudah dipadam. Yang peliknya, akaun FB GB itu juga dipadam. Mengapa?



[Video] Ibu Bapa Dakwa Pihak Sekolah dan Wakil Timbalan Menteri Tidak Becakap Benar dalam Isu Makan di Bilik MANDI

Posted: 24 Jul 2013 11:17 PM PDT


Dengar dan nilai sendiri.

Sebelum menonton video di bawah ini, perhatikan isu tarikh pelajar mula makan di bilik mandi dan persalinan seperti yang didakwa oleh pihak sekolah/kementerian dalam media. Perhatikan juga dakwaan pengubahsuaian kantin yang dicanangkan kepada media sebelum ini yang kononnya menjadi alasan kantin ditutup.

Fikirkan juga dakwaan-dakwaan lain yang menyokong tindakan pihak sekolah mengarahkan pelajar bukan Islam makan di bilik mandi dan persalinan.



Off HD untuk menonton video dengan lebih lancar.

Berdasarkan penjelasan video di atas, ibu bapa mendakwa anak mereka mula makan di bilik itu mulai bulan Ramadan, bukan sejak bulan Mac seperti yang didakwa oleh pihak sekolah/kementerian. Wakil ibu bapa juga mendakwa tiada pengubahsuaian dijalankan di kantin sekolah. Pihak sekolah hanya menukar cermin pintu yang menurut mereka boleh dibuat dalam masa yang singkat (dalam beberapa jam).

Persoalannya, siapa yang bercakap benar?

Berdasarkan pemerhatian dan maklumat yang diperoleh, wakil ibu bapa berpendapat seolah-olah ada cover up dalam isu ini. Oleh itu, mereka telah membuat satu laporan polis berkaitan dengan kejadian ini. Sebagai rakyat Malaysia, kita berharap agar siasatan dapat dijalankan dengan adil dan saksama tanpa sebarang prejudis. Selain laporan polis, mereka juga meminta pihak kementerian mengambil tindakan tegas terhadap guru besar sekolah tersebut.

Seperti ditegaskan sebelum ini, soal pelajar bukan Islam diarah makan di bilik mandi dan persalinan bukan soal politik, bukan soal kaum atau agama, tetapi soal keadilan/kesaksamaan dan tempat yang sesuai untuk anak-anak makan dan berehat.

Seperti yang ditulis sebelum ini, jika tiada alasan yang kukuh, tindakan pihak sekolah mencemarkan imej Islam, martabat kementerian, dan memburukkan persepsi masyarakat bukan Melayu terhadap sekolah kebangsaan.-DCM


P/s: Dengar cerita guru besar sekolah telah membuat laporan polis mendakwa dirinya difitnah. Bagus. Biar polis menyiasat kes ini dengan adil.






[Kajian] Pengambilan Sesetengah Pil Vitamin Lebih MEMUDARATKAN daripada Kebaikan

Posted: 24 Jul 2013 10:25 PM PDT



Artikel DM terlalu panjang untuk diterjemahkan dalam masa yang suntuk ini. Namun, secara ringkasnya kajian oleh Fred Hutchinson Cancer Research Centre di Seattle menunjukkan bahawa pengambilan sesetengah pil vitamin lebih memudaratkan daripada kebaikan.

 Misalnya, minyak ikan dapat dikaitkan dengan kanser prostat, manakala pengambilan Vitamin C dalam dos yang tinggi boleh menyebabkan batu karang. Dalam kajian lain, pengambilan Vitamin E boleh menyebabkan kegagalan jantung walaupun sebelum ini dilaporkan pengambilan vitamin ini dapat mengurangkan risiko kanser dan penyakit jantung.

Walaupun kajian ini juga akan dipertikaikan oleh sesetengah doktor dan saintis, namun  hal ini wajar diberi pertimbangan. Tambahan pula artikel itu turut mencadangkan orang ramai mengamalkan diet yang sihat untuk memperoleh vitamin secara semula jadi. 

Anda mahu tahu lanjut tentang kajian ini? Sila baca di sini. -DCM



Tiga Peserta Miss Malaysia World 2013 Mohon Maaf

Posted: 24 Jul 2013 09:39 PM PDT



[Mstar] PETALING JAYA: Tiga daripada empat peserta akhir pertandingan Miss Malaysia World 2013 yang disifatkan menghina Islam telah membuat permohonan maaf.
Sara Amelia

Salah seorang peserta, Sara Amelia Muhammad Bernard, 20, berkata dia telah membuat permohonan maaf secara formal kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

"Saya tidak berniat untuk menyinggung perasaan umat Islam dan agama saya sendiri," katanya pada Rabu.

Seorang lagi perserta, Wafa Johanna De Korte, 19, turut memohon maaf.
Wafa Johanna

"Saya tidak sama sekali ingin menentang fatwa. Saya menghormati fatwa yang diwartakan itu untuk melindungi umat Islam di Malaysia.

"Jika ada mana-mana pihak tersinggung, saya minta maaf sangat-sangat tetapi saya tidak berniat untuk menghina sesiapa," katanya.

Terdahulu, Jawi dilaporkan membuka kertas siasatan terhadap empat peserta akhir yang bertanding merebut gelaran Miss Malaysia World 2013 kerana mereka disifatkan menghina Islam.

Pengarah Jawi Datuk Che Mat Che Ali berkata, bahagian penguatkuasa Jawi akan meneliti perkara itu selepas peserta-peserta terbabit menyatakan kekecewaan mereka dengan fatwa yang mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik.

Fatwa mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik diwartakan pada 8 Feb 1996 mengikut Akta Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 yang memutuskan bahawa menyertai atau menganjurkan atau menyumbang apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik adalah haram dan berdosa bagi orang Islam.

Sementara itu, Miera Sheikh, 19, enggan memberikan sebarang komen mengenai tindakan Jawi.

Miera

Bagaimanapun, dia menghormati budaya masyarakat Melayu dan berkata dia berpegang teguh kepada agama Islam.

"Saya mungkin bukan orang Islam yang sempurna tetapi saya dibesarkan dengan budaya Melayu dan Islam walaupun saya bersikap terbuka mengenai beberapa perkara dalam hidup.

"Bagi saya, agama Islam tidak akan pudar dalam hidup saya sehingga nafas yang terakhir," katanya.

Peserta keempat, Kathrina Ridzuan, tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.
Kathrina

Penganjur pertandingan itu, Datuk Anna Lim berkata keempat-empat peserta itu akan dibenarkan untuk menghadiri acara itu sebagai tetamu jemputan.


P/s: Apa-apapun, Majlis Fatwa dan mufti perlu menjawab pertanyaan mereka di sini.

Harap-harap gadis Islam ini mendapat hidayah dan tidak terpengaruh oleh dakyah rakan bukan Islam yang mencadangkan agar mereka keluar daripada Islam.

Gambar diambil dari sini.

[Video] Suspek Ke-4 Kematian Dhamendran Dakwa Tidak Bersalah

Posted: 24 Jul 2013 08:49 PM PDT



[MK] EKSKLUSIF Inspektor S Hare Krishnan, suspek keempat kematian dalam tahanan - N Dhamendran - mendakwa tidak bersalah tetapi diheret ke dalam kes tersebut untuk "melindungi pihak-pihak tertentu."

Ini didedahkan dalam laporan polis yang dibuat oleh Hare Krishnan pada 1 Jun - sembilan hari selepas kematian Dhamendran pada 21 Mei 21, dan dua minggu sebelum inspektor polis itu menyembunyikan diri.

Laporan tersebut, yang diperolehi oleh Malaysiakini, mendakwa bahawa Hare Krishnan tidak pun berada di lokap di Dang Wangi pada hari Darmendran meninggal dunia.

Dhamendran (kanan), 31, ditemui mati di dalam lokap polis 10 hari selepas dia ditahan reman berhubung kes cubaan membunuh melibatkan senjata api.

Polis pada mulanya mendakwa bahawa dia telah meninggal dunia akibat kesukaran bernafas. Bagaimanapun, bedah siasat mendapati dia mengalami 52 kecederaan, termasuk dikokot di telinganya.

Dalam laporan polis, Hare Krishnan mendakwa telah menerima arahan dari pegawai atasannya pada 21 Mei untuk "melepaskan dan menangkap semula" Darmendran semasa dia sedang makan tengah hari di sebuah restoran di Cheras selepas menemui seorang mangsa kes tembak di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Inspektor itu berkata dia kemudiannya mengarahkan anggota bawahannya untuk berbuat demikian, tetapi kemudian mendapati penangkapan semula Dhamendran telah dilakukan dengan menggunakan pengenalannya (Hare Krishnan) tanpa persetujuannya.

Dia mendakwa bahawa pegawai membuat laporan penangkapan itu menggunakan ID PRS miliknya tanpa kebenarannya.

Dia juga mendakwa dalam laporan itu yang menyatakan bahawa dia terus pulang ke rumah selepas makan tengah hari kerana dia perlu membuat satu lagi serbuan pada malam hari itu.

Dia telah diberitahu tentang kematian Dhamendran pada jam 4.30 petang hari tersebut.

Hare Krishnan mendakwa bahawa terdapat juga arahan untuk memasukkan namanya dalam diari lokap, sesuatu yang juga didakwanya dilakukan tanpa pengetahuan dan kebenarannya.

Dia mendakwa bahawa semua catatan tentang dirinya dalam diari lokap adalah tidak benar dan telah dilakukan untuk mengaitkan dirinya dan melindungi pihak-pihak tertentu.

Polis mengesahkan laporan

Menurut Hare Krishnan, dia tidak pernah "menyentuh atau memukul" Dharmendran pada hari itu, dan mendakwa dia tahu siapa yang "memukulnya dan siapa yang berada di sana dan siapa yang tahu tentang hal itu".

Dia mendakwa hanya mendapat tahu tentang arahan soal siasat (ke atas Dhamendran) apabila dia tiba di pejabat padajam 5.45 petang hari yang sama.

Laporan Hare Krishnan dibuat di balai polis Brickfields pada pukul 7 malam pada 1 Jun.

Walaupun laporan itu dibuat di bawah balai polis Dang Wangi, ia sebaliknya disiasat oleh balai polis Tun HS Lee di Kuala Lumpur.

Ketika dihubungi KiniTV, polis mengesahkan mengenai laporan Hare Krishnan itu.

Bagaimanapun, KiniTV diberitahu bahawa pegawai penyiasat yang ditugaskan untuk menyiasat laporan itu bekerja untuk Unit D9, yang secara kebetulan unit yang sama di mana Hare Krishnan bertugas.

Hare Krishnan kini menyembunyikan diri, dan polis mengeluarkan gambarnya Selasa lalu dalam usaha bagi mendapatkan bantuan orang ramai untuk mengesannya.

Pihak polis telah mendakwa bahawa dia gagal datang bertugas sejak 15 Jun.

Tiga suspek lain - anggota polis Jaffri Jaafar, 44; Mohd Nahar Abd Rahman, 45; dan Mohd Haswadi Zamri Shaari, 32 - telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh Dhamendran pada 5 Jun.






Cerita Mualaf Diceraikan Suami, Terlanjur, dan Tidak Rela Berpisah dengan Anak

Posted: 24 Jul 2013 05:51 PM PDT



[HM] Seremban: "Saya akui jahil dan banyak dosa, tapi akidah saya masih utuh dan sama sekali tidak akan menyerahkan anak kepada pasangan bukan Islam, biarpun ada yang menawarkan RM30,000."

Demikian kata seorang wanita mualaf mahu dikenali sebagai Rokiah, 30-an yang kini hidup terumbang-ambing dan serba kekurangan selepas diceraikan bekas suami, awal bulan lalu. Keadaan diburukkan lagi apabila janda beranak satu itu kini hamil anak luar nikah dan teman lelakinya pula enggan bertanggungjawab, malah memintanya menggugurkan kandungan.

"Melihat kehidupan saya yang serba daif empat pasangan bukan Islam pernah menyuarakan hasrat mahu memelihara anak saya.

"Ada yang mahu mengambil Amin (anak lelaki berusia dua tahun) dan ada juga yang mahukan anak dalam kandungan saya yang kini berusia empat bulan.

"Walaupun saya mualaf dan banyak dibebani dosa silam, saya tetap akan berusaha menjaga anak saya dan tak mahu mereka keluar daripada Islam," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Rokiah berkata, dia kini tidak mempunyai pekerjaan dan hidup menumpang di rumah kakak dan abang iparnya yang bukan beragama Islam bersama tiga anak mereka di Senawang, dekat sini.

"Biarpun ditawarkan puluhan ribu ringgit, saya tidak rela berpisah dengan Amin. Hidup mati saya biarlah dengan Amin dan anak yang masih dalam kandungan. Saya tidak akan menjual mereka," katanya.

Mengimbas kisah hidupnya, Rokiah berkata, selepas diceraikan, dia terpaksa menanggung seorang anak kembarnya, manakala seorang lagi bersama bekas suami yang juga askar di Perak.

Menurutnya yang berasal dari Sarawak dan memeluk Islam pada 2009, selepas bercerai dia menjalinkan hubungan dengan seorang anggota keselamatan di negeri itu hingga terlanjur.

"Saya amat menyesal kerana terlanjur dan ia berlaku kerana selepas bercerai saya hilang arah, tiada pendapatan serta terlalu bergantung harap dengan teman lelaki yang saya kenali Mac lalu," katanya.

Rokiah berkata, sebelum ini dia tinggal di Gerik, Perak bersama bekas suami dan pernah bercerai kali pertama pada tahun lalu sebelum rujuk semula.

"Biarpun rujuk semula, kami tidak tinggal bersama kerana masih tiada persefahaman dan saya terpaksa menumpang di rumah kakak di Senawang.

"Ketika masih belum diceraikan kali kedua, saya berkenalan dengan teman lelaki dan terlanjur hingga hamil, tapi teman lelaki saya enggan bertanggungjawab, malah meminta saya menggugurkan kandungan.

"Bagaimanapun, saya tidak tergamak menggugurkan kandungan saya. Bayi yang saya kandung ini tidak berdosa dan saya tak mahu terus melakukan dosa. Saya mahu teman lelaki bertanggungjawab ke atas kandungan ini," katanya.

Menurut Rokiah, fikirannya kini bercelaru dan tidak tahu hendak berkongsi masalah dengan sesiapa melainkan kakak dan abang iparnya yang bukan Islam.

"Kini, saya tidak bekerja dan terpaksa menyara Amin yang masih kecil selain hanya mampu memberinya susu pekat manis.

"Malah, setiap kali ke klinik kesihatan memeriksa kandungan, saya malu kerana jururawat kerap bertanya nama bapa bayi yang saya kandung," kata anak ketiga daripada empat beradik itu.


Lebih memilukan, kata Rokiah, ketika Aidilfitri semakin hampir, tiada apapun persiapan dibuat buat dirinya dan anak berikutan tidak mampu.


"Saya kini menumpang di rumah kakak yang mempunyai tanggungan lain selain isi rumah di sini semua tidak bekerja," katanya sambil memberitahu tidak pernah membuat aduan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berhubung masalah dihadapinya.

Sementara itu, Pengarah JHEAINS Datuk Johani Hassan meminta mualaf terbabit segera membuat laporan.

"JHEAINS mempunyai unit saudara baru untuk membantu mualaf yang memerlukan maklumat dan bantuan.

"Jika dia (Rokiah) tidak membuat laporan, macam mana kita mahu hulurkan sumbangan dan membantunya," katanya.

Johani berkata, mana-mana saudara baru yang mempunyai masalah juga digalakkan merujuk kepada JHEAINS atau berkunjung ke Pusat Dakwah Islamiah Paroi, di sini, supaya boleh diberikan bantuan sewajarnya.


P/s: Harap-harap pihak berkaitan cepat bertindak. Jangan simpan duit berkepuk-kepuk atau membelanjakan pada perkara yang tidak perlu sedangkan duit tersebut untuk orang yang memerlukan. Selain bantuan kewangan, mualaf ini perlu diberi panduan hidup agar kekal dalam agama suci ini.


 

Tiada ulasan: