Mahkamah Pilihan Raya Kota Bharu hari ini menolak petisyen yang difailkan PAS untuk membatalkan keputusan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising yang dimenangi BN dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu.
Hakim Pilihan Raya Datuk Zamani Abdul Rahim, yang membuat keputusan itu,  berkata ini kerana pihak pempetisyen gagal mematuhi peraturan penyampaian.
"Petisyen itu tidak disampaikan dengan sempurna dan dengan ini petisyen ini tidak sah dan ditolak dengan kos," katanya ketika membacakan keputusan itu.
Zamani kemudiannya mengarahkan pihak pempetisyen membayar kos RM30,000.
Pada PRU13 lalu, DUN Selising dimenangi calon BN Zulkifle Ali yang
mengalahkan calon PAS, Saipul Bahrim Mohamad dan calon Bebas, Ibrahim Ismail dengan majoriti 107 undi.
Petisyen itu difailkan Pengarah Pilihan Raya PAS DUN Selising, Semsudin Muhammad.
   
Dalam prosiding hari ini, Zamani turut menolak bantahan awal yang difailkan defendan-defendan daripada PAS bagi membatalkan petisyen bagi kawasan Parlimen Bachok, DUN Jelawat dan DUN Gaal yang dibuat oleh BN.
   
Zamani mengarahkan defendan membayar kos RM30,000 bagi setiap bantahan awal yang ditolak itu.
   
Sehubungan itu, beliau menetapkan sembilan hari iaitu dari 12 hingga 15 Ogos dan dari 18 hingga 22 Ogos ini untuk tarikh perbicaraan bagi petisyen kawasan Parlimen Bachok dan DUN Jelawat, serta dari 1 hingga 5 September untuk tarikh perbicaraan petisyen DUN Gaal.
   
Bagi kawasan Parlimen Machang, Zamani menetapkan 16 Julai ini untuk mendengar keputusan bantahan awal dan jika ditolak, beliau menetapkan 8 hingga 12 September sebagai tarikh perbicaraan.
   
Calon BN bagi kawasan Parlimen Bachok Datuk Dr Awang Adek Hussin tewas kepada calon PAS Ahmad Marzuk Shaary dengan majoriti 201 undi manakala bagi kerusi DUN Jelawat, calon BN Datuk Ilias Husain kalah kepada calon PAS Abdul Aziz Kadir dengan majoriti 102 undi.
   
Bagi kawasan Parlimen Machang pula, calon PKR Wan Zawawi Wan Ismail kalah kepada  calon BN Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dengan majoriti 805 undi dan di DUN Gaal, calon BN Redzuan Stapha kalah kepada calon PAS Tuan Mazlan Tuan Mat dengan majoriti 302 undi.
   
Terdahulu, ketua barisan peguam mewakili BN, Datuk Mohd Hafarizam Harun membantah kehadiran tiga peguam untuk mewakili pempetisyen bagi kawasan Parlimen Machang.
   
Menurut Mohd Hafarizam, ketiga-tiga peguam itu iaitu R. Sivarasa, Latheefa Koya dan Muhammad Afiq Muhammad Noor tidak boleh mewakili pempetisyen itu kerana mereka bukan peguambela yang dilantik oleh pempetisyen di bawah Kaedah 9 Kaedah-kaedah  Petisyen Pilihan Raya 1954.
   
Zamani kemudiannya membenarkan bantahan Mohd Hafarizam.   

Barisan peguam yang mewakili PAS dan PKR diketuai Hisham Fauzi.
   
Dalam pilihan raya umum lalu, PAS menguasai 32 kerusi DUN di Kelantan berbanding BN yang memenangi 12 kerusi manakala PKR satu kerusi.
   
Bagi kerusi Parlimen, BN memenangi lima daripada 14 kerusi, yang lainnya dimenangi PAS.
   
Mohd Hafarizam, yang ditemui pemberita selepas itu, bersyukur dengan penolakan petisyen DUN Selising atas faktor tidak memenuhi peruntukan undang-undang.
   
Katanya, ia keputusan wajar kerana tidak ada asas untuk mahkamah meneruskan perbicaraan.
   
Beliau juga melahirkan rasa gembira apabila tiga daripada petisyen yang difailkan BN tidak ditolak dan memberi peluang untuk saksi memberi keterangan pada perbicaraan nanti.
   
"Kami amat bersyukur dan gembira kerana tiga petisyen yang difailkan tidak ditolak tetapi telah ditetapkan untuk perbicaraan. Ini merupakan satu penanda aras untuk rakan kami di negeri lain pertahankan (21) petisyen yang difailkan BN. Ia adalah petisyen yang kukuh dan wajar untuk dibawa ke perbicaraan," katanya.
- Bernama