"BERANI KERANA BENAR!" |
- Jadual Harian Seorang Muslim Di Bulan Ramadhan
- Menghayati Kepentingan Masa Di Bulan Ramadhan
- Bersihkan hati mulai Ramadan ini
Jadual Harian Seorang Muslim Di Bulan Ramadhan Posted: 08 Jul 2013 06:53 PM PDT 4.00 pagi Bangun Berdoa kepada ALLAH dengan doa : Segala puji bagi ALLAH yang telah menghidupkan aku setelah DIA mematikan aku dan kepadaNYAlah aku akan dikembalikan. Berniatlah untuk melaksanakan sebanyak-banyak kebaikan hari itu. Mandi dan membersihkan diri. Mengambil wudhu dan memakai pakaian yang suci untuk beribadah, berwangi-wangian. 4.20 pagi Solat Sunat Taubat Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat taubat 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun, rakaat kedua selepasAl-Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Selepas sembahyang, angkatlah tangan memohon ampun kepada ALLAH. Menangislah menyesali dosa-dosa. Solat Sunat Tahajjud Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat tahajjud 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun, rakaat kedua selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Selepas sembahyang, angkatlah tangan berdoa kepada ALLAH. Solat Sunat Hajat Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat hajat 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Selepas Al-Fatihah rakaat pertama baca ayatul Kursi 1 kali. Selepas Al-Fatihah rakaat kedua baca surah Al-Ikhlas 11 kali. Ketika sujud terakhir baca 11 kali dan sertakan di dalam hati segala hajat-hajat kita. Solat Sunat Witir Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat witir 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Selepas salam, bangun lagi dan sembahyang witir 1 rakaat. Perbanyakkan berdoa kepada ALLAH dengan penuh rasa kehambaan, rendah diri, meminta-minta, merintih-rintih, agar ALLAH ampunkan dosa-dosa kita, taubat kita, terima amalan kita, memperkenankan doa dan permintaan kita. 5.00 pagi Makan Sahur - Menggosok gigi dan membersihkan sisa-sisa makanan di mulut. 5.28 pagi Bersiap menunggu waktu Subuh dengan membaca Al-Quran atau berselawat. Sembahyang sunat Subuh, sembahyang Subuh berjemaah. Selesaikan wirid harian di tikar sembahyang atau baca Al-Quran hingga terbit matahari. 7.00 pagi Membuat persiapan ke tempat kerja. Melangkah ke tempat kerja dengan membaca Bismillah dan doa kepada ALLAHagar semua aktiviti kita diberkatiNYA. Sentiasa berselawat kepada Rasulullah SAW sama ada menyebutnya atau di hati. Banyakkan istigfar/meminta ampun. Melaksanakan kerja dengan bersemangat dan penuh bertanggungjawab. Datangkanrasa bahawa ALLAH sentiasa memerhati kerja-kerja yang di lakukan dan yakinlah DIA akan membalas segala kebaikan yang kita buat. 10.00 pagi Sembahyang Sunat Dhuha. Ia adalah sumber rezeki yg berkat kalau istiqamah diamalkan. Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat dhuha 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Penuhi masa rehat tengahari dengan menambah ilmu atau membaca Al-Quran. Elakkan sungguh-sungguh dari melakukan dosa walaupun kecil dan perkara yg sia-sia. Contoh dosa-dosa : mengumpat mengutuk, menyindir yang menyakitkan orang, bergaul bebas tanpa menjaga syariat seperti berbual dengan bukan muhrimmengenai perkara yang tiada sangkut paut dgn kerja. 12.45 tghr Bersiap untuk solat Zohor. Menunggu waktu bersembahyang dengan berselawat. Solat Zohor berjemaah.Laksanakan juga solat sunat Rawatib Bersujud. Syukur setelah selesai sembahyang sunat dan wirid sebagai berterima kasih kepada ALLAH yg memberi kita nikmat besar dapat menyembahNYA. 4.15 ptg Bersedia untuk solat Asar. Solat Asar berjemaah. Laksanakan juga solat sunat Qabliyah. Bersujud syukurlah setelah selesai sembahyang sunat dan wirid sebagai berterima kasih kepada ALLAH yg memberi kita nikmat besar dapat menyembahNYA. 5.30 ptg Membeli barang-barang keperluan berbuka dan sahur Tanpa berlebih-lebih. Ingatlah walaupun syaitan dirantai tetapi nafsu masih ada dlm diri kita !!! 6.30 ptg Memperbanyakkan doa sebelum berbuka. Kerana di waktu itu adalah masa yang mustajab doa. Ingatlah sabda Rasulullah SAW : "Ramai orang yang berpuasa, yang mereka dapat hanya lapar dan dahaga", merintihlah kepada ALLAH memohon agar amalan kita diterima. Apabila masuk waktu magrib. Bacalah doa dan berbuka : Wahai Tuhan, kerana Engkaulah aku berpuasa, kepada Engkaulah aku beriman dan dengan rezki engkaulah aku berbuka. Berbuka puasa dengan makanan manis seperti buah kurma dan meminum air, terus menunaikan solat maghrib berjemaah, setelah itu barulah makan makanan berat. 8.00 mlm Solat Isya' berjemaah dan diteruskan dengan solat Terawih. Cuba pertahankan solat terawih walau bagaimana keadaan sekalipun kerana fadhilatnya amat besar. Bacalah Al-Quran dengan penuh tawadhuk, seeloknya baca dengan bertadarus ( berkumpulan bergilir-gilir, seorang baca, yang lain menyemaknya) , cuba khatamkan membaca Al-Quran paling kurang satu kali sepanjang ramadhan. Kebanyakan imam-imam besar mengkhatamnya dua kali dalam sehari (60 kali sebulan Ramadhan) 11.00 mlm Memperbanyakkan istigfar sebelum tidur. Berniatlah utk puasa esok hari dgn berniat : Sahaja aku berpuasa hari esok untuk menunaikan puasa ramadhanyg wajib ke atasku , tahun ini kerana ALLAH Taala. ( JANGAN LUPA!!!) Tidur awal agar dapat bangun utk beribadah. Bacalah doa sebelum tidur : Dengan namaMU Ya ALLAH! Aku hidup dan mati. Ingatlah tidur adalah mati yg sementara, kemungkinan kita dipanggil ALLAH ketika tidur. |
Menghayati Kepentingan Masa Di Bulan Ramadhan Posted: 08 Jul 2013 06:45 PM PDT Oleh Azrina Binti Sobian "Masa itu emas". Satu ungkapan yang seringkali disebut tetapi gagal difahami secara mendalam maknanya bagi kebanyakan orang. Ungkapan ini secara ringkasnya menunjukkan betapa masa itu penting dan perlu dihargai. Ini kerana satu-satu masa yang telah terlepas, tidak mungkin akan kembali semula. Kita sering mendengar ungkapan 'janji Melayu'. Ungkapan ini sebenarnya memberi makna yang tidak baik kepada orang Melayu yang pastinya adalah seorang Muslim. Ungkapan ini bukan sahaja menunjukkan sikap tidak menepati janji tetapi dalam masa yang sama ia juga merujuk kepada sikap mengabaikan masa di kalangan Muslim. Ungkapan ini seolah-olah menunjukkan betapa seseorang Muslim itu suka tiba lewat pada satu-satu masa yang telah dijanjikan. Cuba lihat pula di sekeliling kita. Di pejabat, di majlis-majlis rasmi dan tidak rasmi atau kehadiran di mesyuarat, kerap kali ada sahaja yang tiba lewat. Mereka seolah-olah merasakan bahawa tiba lewat itu satu kelebihan dan tidak langsung rasa bersalah mengabaikan masa yang telah ditetapkan bagi sesuatu majlis itu. Inilah sikap sebahagian besar daripada kita terhadap masa dan sikap ini perlu diubah.Ketibaan bulan Ramadhan ini sebenarnya, bukan sahaja memberi peluang kepada setiap Muslim untuk meningkatkan ibadah dan membuktikan ketaatan kepada Maha Pencipta tetapi, dalam masa yang sama, bulan ini membuka peluang untuk kita menilai dan seterusnya memperbaiki mutu diri. Dalam hal ini penilaian diri yang ingin dilakukan boleh juga dibuat dari segi penghargaan terhadap masa. Berkaitan dengan masa ini, beberapa soalan boleh kita ajukan. Sejauhmanakah kita menghargai masa? Sepenting manakah masa itu dalam kehidupan kita? Adakah kita pernah menyesali masa-masa penting yang tidak dapat kita manfaatkan? Adakah kita berasa sedih apabila masa berlalu begitu sahaja? Persoalan-persoalan yang ditanya ini membawa kita kembali mengenang kepentingan menghargai masa dan betapa manusia menghadapi banyak kerugian akibat mangabaikan masa. Bagaimanakah pula cara kita menghargai masa dalam bulan Ramadhan? Sebelum persoalan ini dijawab, elok juga ditegaskan di sini bahawa sekurang-kurangnya terdapat dua cara manusia menghargai masa. Mereka yang menyedari kepentingan masa akan menggunakannya dengan sebaik mungkin, sama ada di bulan Ramadhan mahupun bulan-bulan yang lainnya. Ketetapan masa untuk bersahur, berbuka dan beribadat di bulan ini dianggap sebagai satu rahmat dalam mengatur perjalanan hidup seorang Muslim. Bukan itu sahaja, masa-masa untuk menjalankan kegiatan lain seperti masa bersama keluarga, bekerja dan bermasyarakat juga digunakan sebaik mungkin kerana semestinya bulan Ramadhan ini bukan sahaja satu bulan untuk meningkatkan keimanan tetapi juga masa untuk memperbaiki hubungan sesama manusia. Pendek kata, bagi insan begini, bulan Ramadhan adalah masa yang tepat untuk memperbaiki lagi apa yang sudah menjadi kebiasaan baginya. Berbeza pula dengan manusia yang tidak tahu menghargai masa. Ketetapan masa yang diperuntukan dalam bulan Ramadhan ini dirasakan begitu menyiksakan. Perlu bangun awal pagi untuk bersahur dan tanpa tidur lagi, perlu pula bersiap ke tempat kerja. Rasa mengantuk dan keletihan terbawa-bawa di tempat kerja dan ini mempengaruhi perasaan (mood) seseorang. Perasaan terganggu itu pula memberi kesan dalam perhubungan sesama manusia apabila kata-kata manis dan baik tidak mampu diucap dan hanya senyum pudar yang mampu dilontarkan. Dipendekkan cerita, aturan masa yang ditetapkan di bulan Ramadhan ini dirasakan begitu mencabar dan menyiksakan. Begitulah penggunaan masa di kalangan manusia berbeza di dunia ini. Walaupun terdapat berbagai cara manusia menggunakan masa namun penggunaan masa dengan cara yang betul dan bijak adalah sangat dituntut. Apatah lagi di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, penggunaan masa sebaik mungkin amat penting kerana bulan yang penuh keberkatan ini menjanjikan pelbagai faedah. Jika tidak dimanfaatkan masa yang ada dengan kegiatan yang bermakna maka terlepaslah segala keuntungan yang telah dijanjikan untuk seluruh masyarakat Muslim. Oleh itu, masa yang ada di bulan Ramadhan ini hendaklah digunakan dengan sebijak mungkin. Kebijaksaan ini meliputi kemampuan untuk mengatur segala kegiatan yang hendak dilakukan di bulan ini. Rancanglah masa-masa untuk bermunajat, menilai diri, masa untuk berfikir tentang ciptaan-Nya dan masa untuk memenuhi keperluan hidup manusia seperti berehat, bekerja, berkeluarga dan bermasyarakat. Matlamat perancangan adalah untuk melihat setiap kegiatan yang dijalankan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan seterusnya bermanfaat dalam kehidupan diri dan insan di sekeliling kita. Penerangan-penerangan yang disebutkan di atas menunjukkan betapa masa itu perlu dihargai dan dihayati kepentingannya. Ketetapan untuk melakukan sesuatu perkara pada sesuatu masa tertentu di dalam bulan Ramadhan ini seharusnya diterima baik sebagai satu kaedah untuk mendidik diri setiap Muslim. Kerap kali kita mendengar bahawa bulan Ramadhan adalah satu bulan yang penuh dengan unsur pendidikan. Pendidikan ini meliputi pendidikan keimanan, persaudaraan sesama Muslim, penjagaan kesihatan, menghargai masa dan sebagainya. Oleh itu, sewajarnya kita menggunakan kelebihan bulan ini untuk mendidik diri dan insan yang kita kasihi. Pengajaran yang telah kita perolehi itu pula hendaklah berterusan, bukan hanya 'hangat' di bulan yang mulia ini. Akhir kata, bagi menghayati kepentingan masa, maka hayatilah pepatah Arab ini yang menyebut bahawa "Masa itu seperti pedang, jika kamu tidak memotongnya nescaya ia akan memotong kamu". Oleh itu, berilah perhatian kepada penjagaan masa dan jangan izinkan diri kita ditewaskan oleh masa kerana ini hanya merugikan diri. Dan ingatlah sesungguhnya orang beriman itu sentiasa menghayati dan menggunakan masa yang ada dengan sebaik mungkin. |
Bersihkan hati mulai Ramadan ini Posted: 08 Jul 2013 06:40 PM PDT Oleh Mastura binti Mohd Zain Bulan Ramadan datang lagi dan kita bersyukur masih diberi kesempatan untuk menyambut kedatangannya dalam keadaan yang tenang. Sememangnya semua orang inginkan ketenangan dalam menjalani kehidupan seharian dan bukannya hati yang sentiasa risau dan resah gelisah. Namun kebelakangan ini kita dapati terdapat pelbagai kes bunuh diri dan cubaan bunuh diri yang berlaku di sekeliling, termasuklah di kalangan mereka yang profesional seperti doktor dan peguam. Masyarakat tertanya-tanya mengapa perkara ini berlaku sehingga memaksa seseorang itu mengambil keputusan untuk menamatkan nyawanya sendiri? Perkara ini berkaitan tekanan mental yang menyebabkan seseorang itu hilang pertimbangan dan berlaku perubahan kepada perasaan dan tingkah lakunya.Masalah mental kini menjadi ancaman utama kepada seluruh penduduk dunia dan penduduk Malaysia khususnya. Tinjauan Kesihatan dan Mobiliti Kebangsaan 2011 menunjukkan 12 peratus rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai jenis penyakit mental. Ini menakutkan kerana ini bermakna seorang daripada enam (1:6) rakyat negara ini mengalami penyakit mental. Masyarakat tidak seharusnya memandang negatif dan menyisih mereka yang ada penyakit mental ini. Anak-anak harus diberitahu agar jangan melabel pesakit mental sebagai ‘gila' kerana tiada siapa yang suka perkara ini terjadi kepada ahli keluarga mereka. Sebaliknya kita harus cuba untuk memahami punca atau sebab mereka berkelakuan demikian. Kita harus ingat bahawa bukan semua orang mampu menghadapi tekanan hidup dengan baik. Terutamanya dalam era menuju ke arah negara maju, di mana segala-galanya bergerak dengan pantas serta kos sara hidup yang kian meningkat. Dalam keadaan ini pasti ada mereka yang mengalami masalah kewangan dan sebagainya. Kita dapati selalunya mereka yang bermasalah akan suka menyendiri. Perkara ini yang akan membuat seseorang itu cenderung ke arah sakit mental. Perkhidmatan kaunselling mampu membantu supaya pesakit dapat meluahkan isi hati mereka. Pada masa ini kita hanya mempunyai 233 pakar sakit jiwa seluruh Malaysia untuk penduduk hampir 30 juta. Nisbahnya ialah 0.8 pakar untuk 100,000 penduduk, satu angka yang jelas tidak mencukupi. Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini ambillah peluang untuk membersihkan hati agar sentiasa merasa tenang dan gembira. Hati yang bersih sahaja yang akan menerima hidayah daripada Allah SWT, khususnya di bulan Ramadan yang disebut sebagai bulan hidayah. Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya di dalam diri manusia ada sebuah jasad. Jika ia baik, akan baik seluruh amal manusia. Jika ia rosak, akan rosak seluruh amalnya. Ketahuilah, ia adalah hati(Hadis Riwayat Ahmad). Beberapa perkara yang boleh kita lakukan bagi merawat hati yang pertamanya, muhasabah diri. Muhasabah diri dalam bahasa Arab disebut muhasabatun nafsi, ertinya mengenal pasti apa sahaja penyakit hati masing-masing. Seterusnya adalah memperbaiki diri atau bertaubat atas segala dosa-dosa lalu. Mintalah ampun kepada Allah yang Maha Pengampun semoga hati akan menjadi lebih tenang. Cuba untuk mengurangkan bercakap dalam bulan Ramadhan ini. Jagalah mulut kerana terlalu banyak bercakap boleh membuat hati menjadi keras. Jangan sibuk mengata dan mengambil tahu hal orang. Bercakap perkara yang penting sahaja dan hindari menjadi orang yang suka bercakap besar, suka bergosip dan sebagainya. Amalkan membaca al-Quran di bulan Ramadhan, memahami maksudnya dan mengamalkannya. Selain daripada pahalanya berganda-ganda, ia mampu menyuci dan menenangkan hati. Ia juga dapat menjauhkan sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, buruk sangka, pemarah, takbur, cintakan dunia, penakut dan malas. Sentiasa berzikir dan mengingati Allah setiap masa. Jika dilaksanakan bersungguh-sungguh, ia akan menghadirkan hati yang tenteram serta bersinar terang. Banyakkan juga bersedeqah kerana sedeqah menawarkan ruang penyucian jiwa. Selain mampu menghindarkan sifat-sifat bakhil, bersedeqah di bulan Ramadan lebih besar pahalanya. Hadis Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: " Sedeqah yang paling utama adalah sedeqah pada bulan Ramadan". Setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba melakukan kebajikan di bulan Ramadan seperti memperbanyakkan sedeqah kerana balasan kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak. Bersedeqah bukan hanya memberikan wang ringgit tetapi termasuk juga memberi makan fakir miskin dan orang-orang yang berpuasa. Amalan bersedeqah ini harus diteruskan selepas bulan Ramadan kerana ia dapat menghakis sifat kedekut dalam dirinya di samping mengeratkan ikatan kemesraan di dalam anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu. Sedeqah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedeqah yang ikhlas dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk. Belajar mengawal emosi dan menundukkan nafsu. Nafsu makan, nafsu marah, nafsu seks, nafsu harta, nafsu pangkat, semuanya ditundukkan semasa berpuasa. Emosi dan nafsu yang tidak terkawal akan membuat hati menjadi tidak tenang dan menjurus kepada penyakit hati. Apa yang jelas bulan Ramadan bukan sekadar menahan makan dan minum tetapi juga peluang membersihkan hati melalui amalan berterusan, walaupun selepas bulan Ramadan. Apabila hati bersih, hidup akan menjadi lebih tenang dan terhindar dari segala kegelisahan dan ketakutan. |
You are subscribed to email updates from "BERANI KERANA BENAR!" To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan