Rabu, 24 Julai 2013

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Ramadan bulan jihad capai kemenangan

Posted: 23 Jul 2013 08:49 PM PDT

Oleh Dato' Dr Haron Din
Kehadiran bulan Ramadan merupakan kesempatan untuk umat Islam meningkatkan usaha muhajadah dan memperkemaskan jentera jihad bagi mencapai kemenangan Islam.

Ramadan yang kembali menjelma menziarahi kita bukannya kelaziman yang tidak mempunyai makna.

Allah S.W.T. menjadikan sesuatu itu tidak sia-sia lebih-lebih lagi kedatangan Ramadan yang mengajak kita untuk lebih prihatin kepada masalah diri dan umat Islam keseluruhannya.

Kita melihat saban waktu orang Islam kecundang dalam menghadapi musuh paling nyata mereka iaitu hawa nafsu dengan berpihak kepada kepentingan duniawi dan mengasingkan diri daripada mengejar kejayaan rohani.

Lebih-lebih lagi dalam perjuangan menegakkan agama Allah di persada tanahair yang boleh dikatakan secara umumnya masih terpinggir.

Berlakunya pemencilan terhadap Islam dalam kehidupan umat hari ini kerana hal-hal keduniaan yang lebih diutamakan termasuk mengenyangkan nafsu amarah lebih daripada memperjuangkan kalimah hukum Allah.

Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda dalam salah sebuah hadisnya yang bermaksud, "Jalan ke syurga penuh dengan perkara yang tidak diingini oleh nafsu manakala jalan ke neraka penuh dengan kekenyangan melayan hawa nafsu."

Oleh itu, Ramadan datang mengajak kita supaya lebih berhati-hati dalam meniti kehidupan supaya tidak terjerumus kepada kehendak nafsu duniawi.

Tegakkan keperibadian Muslim yang menyerah diri dan mematuhi perintah Allah. Laksanakan segala tuntutan Allah yang jelas tertera dalam al-Quran yang diturunkan dalam bulan Ramadan.

Tiada ulasan: