Khamis, 23 Mei 2013

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Himpunan Suara Rakyat 505 Akan Diteruskan

Posted: 23 May 2013 08:28 AM PDT


SAMM pc chegu bard badrul hisham 02
SHAH ALAM 23 MEI : Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menegaskan Himpunan Suara Rakyat 505 akan tetap diteruskan sekiranya penggerak utamanya sendiri, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard ditahan polis.
Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan ketika dihubungi berkata perhimpunan rakyat tanpa mengira pangkat ini akan tetap berlangsung di padang timur di hadapan Amcorp Mall pada malam Sabtu ini.
"Perhimpunan yang dianjur oleh gabungan suara rakyat 505 akan tetap diteruskan walaupun ramai kepimpinan rakyat ditangkap.
"Himpunan ini adalah himpunan rakyat. Semua yang hadir tanpa pangkat tetapi sebagai rakyat menuntut demokrasi yang dirampas oleh rejim legasi penjajah untuk kekal berkuasa."
Hari ini polis telah menahan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, aktivis Haris Ibrahim dan aktivis PAS, Tamrin Ghafar dalam operasi yang berlainan dipercayai berhubung perhimpunan Suara Rakyat 505 yang bakal berlangsung Sabtu ini.
Eddy Noor berkata SAMM mengutuk keras perbuatan pihak berkuasa apabila sanggup menangkap mereka yang bersuara dan mengandaikan Malaysia seperti negara yang tidak merdeka.
"Saya berani mengatakan negara kita ini seolah-olah berada dalam keadaan belum merdeka. Ketika mereka yang bersuara bercakap benar disumbatkan kepada lokap seterusnya didakwa di atas akta yang sepatutnya telah dimansuhkan.
"Ini bukti kegagalan Transformasi (Perdana Menteri) Najib (Razak). Ketika kerajaan yang ada ketika ini masih belum sah, juga tanpa sokongan majoriti."
Menurut Edy Noor, penangkapan-penangkapan tersebut telah mengejutkan ramai pihak sekaligus menaikkan semangat aktivis, unit amal serta anggota pemuda untuk memastikan perhimpunan ini mengapai matlamatnya. - SUMBER

Tian Chua, Haris dan Tamrin ditahan di Balai Polis Jinjang

Posted: 23 May 2013 05:34 AM PDT


OLEH MOHD FARHAN DARWIS
MAY 23, 2013
Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) Chua Tian Chang dan aktivis politik Haris Ibrahim, ditahan di bawah Akta Hasutan semalaman di Lokap Berpusat Kuala Lumpur di Balai Jinjang hari ini. — Gambar oleh Siow Feng SawKUALA LUMPUR, 23 Mei — Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) Chua Tian Chang dan Tamrin Ghafar, serta aktivis politik Haris Ibrahim, ditahan di bawah Akta Hasutan semalaman di Lokap Berpusat Kuala Lumpur di Balai Jinjang hari ini.
Ketiga-tiga mereka yang ditahan sekitar tengahari tadi dimasukkan ke lokap berkenaan sekitar jam 5 petang tadi.
Ketika sidang media, peguam mewakili Haris, Gobin Singh Deo berkata, pihaknya bagaimanapun tidak dimaklumkan "kenyataan menghasut" bagaimana yang telah dikeluarkan kesemua pemimpin pembangkang berkenaan sehingga menyebabkan mereka ditahan.
"Mereka telah ditahan dan akan di bawa ke lokap untuk permohonan reman ... kita baru dimaklumkan ketiga-tiga mereka akan ditahan, untuk siasatan kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan dan seksyen 124 Kanun Keseksaan.
"Polis akan bawa mereka esok jam 11 pagi untuk permohonan reman, kemudian terpulang kepada majistret sama ada untuk teruskan reman atau sebaliknya," katanya.
Individu pertama yang ditahan dan didakwa di bawah akta berkenaan adalah aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim di kompleks mahkamah Jalan Duta pagi tadi.
Ahli Parlimen Batu Tian Chua telah ditahan di LCCT pada pukul 12.30 tadi semasa menunggu pesawat untuk ke Kuala Terengganu.
Sementara Haris, aktivis pergerakan Asal Bukan Umno (ABU) ditahan pada waktu sama semasa sedang makan tengahari di Segambut sejurus memberikan sokongan kepada Adam Adli di mahkamah.
Anak kepada bekas timbalan perdana menteri Tun Ghafar Baba, Tamrin yang merupakan bekas ahli Parlimen Batu Berendam turut ditahan ketika sedang makan di Bangsar.
Tian Chua diwakili peguam, New Sin Yew manakala Tamrin diwakili Dr Dzulqarnain Lukman.
Turut hadir di balai polis Jinjang adalah Pengerusi Bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan dan ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar untuk memberikan sokongan kepada ketiga-tiga mereka.
Pihak polis turut dilihat telah mengepung kawasan sekitar balai polis berkenaan tepat jam 6 petang tadi dan melarang mana-mana pihak daripada melakukan demonstrasi pembebasan ketiga-tiga mereka dengan meletakkan kon dan tali penghadang polis.
Adam Adli telah didakwa di bawah seksyen 4(1) (b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15), yang mana sekiranya didapati bersalah, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) boleh dikenakan tindakan denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun.
Beliau walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan diikat jamin sebanyak RM5,000.
Hakim Norsyaridah Awang membebas dan melepaskan Adam yang hadir berbaju T hitam diwakili peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan, N. Surendran, Afiq M. Noor, dan Shamsul Iskandar Mat Akin.
Hakim ketika pendakwaannya berkata ucapan Adam yang dibuat pada 13 Mei di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor mempunyai kecenderungan bagi membangkitkan rakyat Malaysia supaya cuba menukar kerajaan pemerintah dengan cara yang tidak sah.
Adam bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
"Ini akta hasutan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) sudah kata akan hapuskan, tetapi beliau masih gunakan akta ini untuk mendakwa Adam.
Hakim bagaimanapun berpendapat cadangan pemansuhan akta berkenaan masih sedang dikaji diperingkat cadangan dan bersifat pramatang, menjadikan akta berkenaan masih boleh digunakan.
Antara kenyataan Adam yang terkandung dalam kertas pertuduhan yang dibacakan hari ini adalah :"Ambil butiran saya, buat laporan polis, kerana hari ini, saya nak ajak semua yang ada di sini, kita harus susun dan kita akan turun ke jalan raya untuk rampas kembali kuasa kita! Boleh atau tidak?! Boleh atau tidak?! Boleh atau tidak?! Kita tak banyak masa lagi, semua siap sedia, beli kasut, beli tracksuit, beli seluar jeans, sedia kita akan turun ke jalan raya sebab akhirnya dalam dunia ketiga macan negara Malaysia, pilihan raya takkan tumbangkan kerajaan kita.
"Yang boleh tumbangkan kerajaan hanyalah kuasa rakyat. Sedara, ingat, ini sahaja peluang yang kita ada ..."
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, kedua-duanya yang baru dilantik selepas Pilihan Raya 2013 telah memberi amaran dan berikrar akan mengambil tindakan tegas terhadap golongan yang menyeru agar rakyat berhimpun di jalan raya bagi membantah keputusan Pilihan Raya 2013.

Tiada ulasan: