Rabu, 29 Mei 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


TG Nik Aziz: Tiada Penyatuan UMNO-PAS Selagi Saya Hidup

Posted: 29 May 2013 01:20 AM PDT


Kota bahru: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak akan membenarkan sebarang usaha ke arah penyatuan PAS dan Umno selagi beliau masih hidup.

Menurut bekas Menteri Besar Kelantan itu, PAS adalah milik semua ahlinya dan sebarang tindakan atau keputusan yang dibuat perlu mendapat persetujuan daripada semua ahli khususnya melalui muktamar.

"Tidak boleh sesiapapun mengatur usaha untuk mengadakan kerjasama antara PAS dan Umno apa lagi secara senyap-senyap, parti ini terbuka kepada orang ramai dan milik ahli.

"Saya tidak bagi, selagi saya masih hidup saya tidak akan benarkan usaha untuk menjalin kerjasama PAS dan Umno dilakukan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily semalam.

Tuan Guru berkata Umno sejak awal lagi menolak dasar Islam sebagaimana yang diperjuangkan oleh PAS.

Tambahnya, selain persoalan dasar parti, banyak lagi perkara yang perlu dikaji terhadap kesilapan Umno dalam perjuangan mereka.

"Untuk itu tidak ada sebab kita ingin bersama mereka dan saya peringatkan pada yang lain jangan ada usaha ini," ujarnya lagi. -HD

Empat Exco Selangor Dari PAS Sedia Berkhidmat

Posted: 28 May 2013 11:31 PM PDT


Dr Halimah Ali, Dr Ahmad Yunus Hairi, Sallehin Mokhyi dan Iskandar A. Samad.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman menyatakan keyakinan empat calon Pas yang diperkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dapat menjalankan tugas Exco dengan baik.

Menurutnya, empat calon yang terpilih sebagai Exco ialah Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali, Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi, Adun Sabak, Sallehin Mokhyi dan Adun Cempaka, Iskandar A. Samad.

"Sultan guna formula 6:3, enam Melayu di mana Pas empat, PKR dua, dan empat bukan Melayu, iaitu tiga DAP dan satu calon PKR.

"Saya diberitahu oleh setiausaha politik menteri besar tadi (semalam).

"Pas menyambut baik walaupun tak menang di Putrajaya, kita akan tumpu bagi khidmat kepada rakyat," katanya kepada Sinar Harian Online.

Sebelum ini, DAP Selangor menyuarakan perasaan tidak puas hati dengan senarai Exco yang diserahkan kepada Sultan dan menggesa untuk mengadakan perbincangan semula mengenai perkara tersebut.

Bagaimanapun, mengikut laporan media Sultan Selangor telah memberi perkenan kepada senarai calon Exco bagi penggal 2013-2018.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata: "Saya telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada pagi ini (kelmarin) dan Tuanku bersetuju menamakan ahli-ahli Exco yang telah dikemukakan.

"Insya-ALLAH pada Khamis ini jam 9.30 pagi, di Istana Alam Shah, Klang, akan diadakan upacara angkat sumpah dan ikrar oleh semua ahli Exco yang dipilih," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rani juga berkata dakwaan sebelum ini yang menyatakan perlantikan Exco Selangor mempunyai masalah tidak berbangkit lagi.

"Insya-ALLAH, Sultan sudah putuskan, kita terima.

"Tak ada yang dipertikaikan lagi, tak ada soal DAP tak puas hati, semua OK," katanya.

[VIDEO] Tamrin, Haris & Tian Chua Ditahan Semula, Tindakan Keras Kerajaan Bermula Lagi

Posted: 28 May 2013 08:05 PM PDT


Naib Presiden PKR Chua Tian Chang, aktivis Haris Ibrahim dan ahli PAS Tamrin Ghafar ditahan semula oleh polis petang semalam beberapa hari selepas majistret enggan memberikan perintah reman untuk ketiga-tiga mereka.

Sementara menurut laporan dari Twitter, aktivis mahasiswa Safwan Anang turut ditahan petang tadi.

Keempat-empat mereka ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan.

Bercakap kepada The Malaysian Insider ahli Parlimen Puchong dan peguam Gobind Singh Deo mengatakan: "Polis telah mendapatkan waran tangkap dan sekarang mereka ditahan. Kita masih belum mempunyai maklumat lanjut setakat ini tetapi kami percaya mereka ditahan kerana menghasut. Menurut waran mereka perlu dibawa ke mahkamah secepat mungkin iaitu esok pagi.

"Kami masih cuba mendapatkan butiran di mana dan pukul berapa mereka akan didakwa. Saya tidak faham mengepa mereka perlu ditahan semalaman jika mereka akan didakwa. Mereka boleh dibawa ke mahkamah esok tetapi waran telah dikeluarkan dan kita perlu hormat itu."

"Ya," kata Chua apabila dihubungi untuk bertanyakan apakah beliau ditahan.

Apabila ditanya sebab apa beliau ditahan, Chua berkata: "Saya dibawa ke Dang Wangi."

Menurut peguam Malek Imtiaz Sarwar, keempat-empat yang ditahan akan didakwa di mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 9.00 pagi ini.

Pada 24 Mei, Tamrin, Haris dan Chua dibebaskan selepas ditahan semalaman oleh polis.

Pakatan Rakyat (PR) terdahulu mengatakan penahanan merupakan tindakan keras secara nasional terhadap pemimpin pembangkang persekutuan.

Ketiga-tiga dipercayai ditahan berhubung pengelibatan mereka dalam satu forum pada 13 Mei mengenai keputusan pilihan raya 5 Mei yang baru berakhir.

Minggu lalu aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim ditahan kerana menghasut - terlibat dalam forum sama, dituduh menghasut rakyat Malaysia ke jalan raya untuk menjatuhkan kerajaan BN.

Pelajar berumur 24 tahun itu mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dan kes akan mula didengar pada 2 Julai. -TMI


[BERGAMBAR] Apa Yang Muslimat Yang Tutup Aurat Tak Boleh Lakukan?

Posted: 28 May 2013 05:01 PM PDT


Muslimat Kung-Fu TETAP tutup aurat.

Muslimat dan pelajar sekolah Umum Bad-Assery

Gambar-gambar berikut telah diambil dari esei foto dalam China Daily: Mereka sangat mahir dan tangkas. Mengagumkan, perkara ini bukan baru di rantau ini, warga India-Muslim di rantau selatan biasanya melibatkan diri dalam pembelajaran pelbagai seni mempertahankan diri.

Sekolah muslimat Islam dari Pengajian tinggi Maaz di India mengamalkan, wushu-Cina seni mempertahankan diri di dalam kawasan sekolah di bandar selatan India Hyderabad. Muslimat dari umur 10-16 mengambil bahagian dalam sesi mingguan semasa sesi sekolah - (Agensi)








UMNO Bukan ‘Tuhan’ Orang Melayu!

Posted: 28 May 2013 07:55 AM PDT


UMNO usah bersikap terlalu angkuh sehingga menganggap partinya begitu penting dan tempat bergantung bagi semua rakyat, terutama orang Melayu.

Gambaran kepada umum seolah-olah UMNO itu seperti "tuhan" yang menganggap dia pemberi rezeki kepada orang Melayu dan seolah-olah tanpa UMNO orang akan mati.

Buka setakat itu, malah seolah-olah tanpa UMNO, Raja Melayu akan hilang kuasa dan pupus dan agama Islam di negara ini akan terancam.

Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz berkata, UMNO juga menunjukkan keangkuhan menerusi media kawalan mereka membuka pekung sikap hipokrit dan pembohongan terhadap gagasan 1Malaysia tajaan Perdana Menteri, Najib Razak sendiri.

"Setiap rakyat Malaysia bekerja keras demi meneruskan kehidupan, bagaimanapun, sikap bongkak UMNO menggambarkan kepada rakyat betapa kejinya permainan politik mereka berhadapan sindrom penafian akibat ditolak majoriti rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) baru-baru ini.

Kenyataan itu adalah rentetan polemik "Apa lagi Cina mahu" yang dimainkan Utusan Malaysia sehingga saat ini seolah-olah ingin memberitahu rakyat Malaysia bahawa apa yang diperoleh Cina adalah hasil pemberian dan ehsan UMNO.

"Bayangkan jika demikian sikap UMNO kepada bangsa Cina, bagaimana pula sikap mereka kepada bangsa sendiri (Melayu)?

"Najib adalah hipokrit terulung daripada UMNO. Apa jadi dengan konsep 1Malaysia? Suatu impian sebuah negara yang inklusif iaitu semua bangsa sebagai stakeholders yang sama taraf dalam sebuah negara hancur berkecai.

"BN mendapat 133 kerusi Parlimen tetapi kalah dalam undi popular. Ia disalahkan pula kepada "Tsunami Cina". Adakah ini langkah pertama Najib mahu menonjolkan dirinya lebih Melayu daripada Melayu lain?" soalnya.

Datuk Mohd Ariff dalam temubual eksklusifnya dengan Roketkini.com sebelum ini juga pernah menyatakan bahawa apa yang ditunjukkan kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng di Pulau Pinang cukup untuk membuktikan bahawa DAP mengambil berat terhadap orang Melayu dan agama Islam.




"Ini pun sudah cukup sebagai bukti kukuh DAP tidak pinggirkan orang Melayu. UMNO boleh cakap apa saja pun," katanya.-Roketkini.

8 Sebab Legitimasi Najib Sebagai Perdana Menteri Dipertikai

Posted: 28 May 2013 05:20 AM PDT


Terdapat sekurang-kurangnya lapan sebab mengapa sebilangan besar rakyat Malaysia terutama generasi muda mempertikaikan legitimasi Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu.

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang berkata, bantahan sejuta pengundi Malaysia, kebanyakannya generasi muda daripada pelbagai kaum terhadap keputusan PRU-13 menerusi ceramah "Black 505" di seluruh negara.

Katanya, rakyat tunjuk rasa tidak puas hati mereka kerana menganggap PRU-13 paling kotor sepanjang 13 kali pilihan raya umum negara kerana berlakunya politik wang yang tidak beretika melalui strategi UMNO/BN "Duit Duit Duit", "Tipu Tipu Tipu" dan "Takut Takut Takut".

Selain itu, menurut beliau, amalan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang menguntungkan UMNO/BN, yang mana satu undi di Putrajaya (16,000 pengundi) sama nilainya dengan satu undi di Kapar (140,000+ pengundi) hingga menjadi satu penghinaan terhadap prinsip "seorang, satu undi, satu nilai".

"Sekiranya PRU-13 bersih, bebas dan adil, undi popular yang dimenangi Anwar dan Pakatan Rakyat pasti melebihi 60 peratus malah mencapai dua pertiga jumlah keseluruhan, memberikan majoriti kerusi Parlimen kepada PR (mencecah 125 kerusi Parlimen terdiri daripada 45 untuk PKR dan masing-masing 40 untuk DAP dan PAS) bukannya 89 kerusi untuk PR dan 133 kerusi untuk BN seperti sekarang," katanya berucap pada makan malam kesyukuran/pelancaran gerakan Impian Rakyat Malaysia DAP Gelang Patah di Sutera Mall, di sini, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, pemerintahan Najib kurang legitimasi sebagai kerajaan 1Malaysia meskipun mengangkat sumpah untuk menjadi Perdana Menteri untuk semua kaum, kerana meningkatnya polarisasi kaum.

"Najib bertanggungjawab memulanya dengan kenyataannya bahawa keputusan PRU-13 adalah "tsunami Cina" sedangkan ia adalah tsunami rakyat Malaysia, bandar, separa bandar dan anak muda.

"Ini diikuti satu siri reaksi provokasi, mengapi-api dan perkauman serta kempen seperti tajuk akhbar lidah UMNO, Utusan Malaysia: "Apa Lagi Cina Mahu"; ucapan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Noor Abdullah, merupakan ucapan paling rasis dan menghasut pernah dibuat di Malaysia dalam tempoh 44 tahun.

Beliau berkata, pemerintahan Najib juga kurang legitimasi sebagai kerajaan 1Malaysia meskipun mengangkat sumpah selepas pilihan raya untuk menjadi Perdana Menteri untuk semua kaum, kerana meningkatnya polarisasi kaum selepas PRU13.

Menurut Kit Siang, Kabinet Najib tidak mewakili semua rakyat Malaysia, satu kesedaran terlewat yang membawa kepada cadangan BN menamatkan parti berasaskan kaum, dengan menggabungkan semua parti komponen dalam satu perikatan menjadi parti berbilang kaum.

"Rejim pemerintahan Najib juga semakin menekan dan tidak demokratik, berikutan kerjasama Menteri Dalam Negeri dengan Ketua Polis Negara yang paling "bersifat politik" dengan menafikan hak asasi manusia dan demokratik pemimpin Pakatan Rakyat serta aktivis sosial lalu apabila menahan, mendakwa dan tindakan keras terhadap kebebasan berhimpun dan bersuara.

"Contoh terkini bergantung kepada penipuan dan pembohongan adalah ancaman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, untuk memburu pengguna media sosial pro-Pakatan Rakyat sama ada di Facebook, Twitter, YouTube atau blog, berikutan dakwaan tidak masuk akal bahawa DAP membelanjakan RM108 juta tentera siber "Red Bean Army" untuk memburuk-burukkan UMNO/BN di alam siber," katanya.

Kit Siang berkata, Najib juga mempengerusikan Kabinet dengan dua Menteri tidak sah (Paul Low dan Abdul Wahid Omar dan tiga Timbalan Menteri tidak sah (P. Waythamoorthy, J Loga Bala Mohan dan Ahmad Bashan Md Hanipah) kerana semua mereka belum mengangkat sumpah sebagai Senator sebelum mengangkat sumpah sebagai sebagai menteri

Katanya, kelima-lima mereka berada di awang-awangan Perlembagaan sejak 11 hari lalu, kerana belum mengangkat sumpah sebagai Senator dan mereka sendiri tidak berani mengakui mereka adalah Menteri dan Timbalan Menteri yang sah.

"Sandiwara perlembagaan yang berpanjangan itu memalukan Yang di-Pertuan Agong dan juga imej negara di peringkat antarabangsa, hanya menggariskan persoalan serius mengenai legitimasi Kabinet dan jawatan Perdana Menteri Najib," katanya.-Roketkini

Tiada ulasan: